G. Bilakah boleh menyetubuhi wanita haidh yang telah suci?

Bagi Mazhab Hanafi, apabila isteri telah kering sahaja haidhnya, sudah boleh dukhul (kita pakai bahasa lembut lah sedikit). Dukhul maksudnya ‘masuk’. Boleh faham yer? Boleh mubasharah, tetapi tidak boleh dukhul.

Namun, bagi Mazhab Syafi’iy, isteri hanya boleh didatangi selepas isteri telah mandi. Barulah dikira telah suci dan inilah pendapat yang kuat.

✍🏻Dalilnya boleh dilihat dalam Baqarah:222

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haidh. Katakanlah: “Darah haidh itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haidh itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Tafsir:
Lihat pada kalimat: حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ. Keduanya bermaksud ‘suci’.

Kalimah يَطْهُرْنَ yang pertama adalah apabila haidh telah kering. Maka ini suci peringkat pertama. Kalimah تَطَهَّرْنَ yang kedua pula, apabila sudah mandi. Maka dari ayat ini dan susunannya, ulama’ berpegang bahawa sebenar-benar suci adalah apabila sudah mandi.

Maka, bawa bersabar dahulu para suami sekalian. Bagi peluang kepada isteri untuk mandi.

Sambung kepada beberapa perbincangan tentang haidh dan nifas.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️
=========================

1. Bagaimanakah status sumpah seorang isteri di dalam keadaan marah kerana berkecil hati terhadap suaminya, tidak mahu pulang ke Kedah (kampung mertua isteri). Tetapi beberapa hari kemudian apabila kemarahannya reda, si isteri pulang jua ke Kedah?
Adakah si isteri berdosa?

🔵 Sumpah yang sebegini dikira sebagai sumpah yang tidak disengajakan kerana disebutkan ketika marah. Maka tidak perlu bayar kaffarah sumpah. Firman Allah ﷻ:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.
[Surah Al-Maidah 5:89]

2. Apakah yang dipanggil sebagai darah wiladah?

🔵 Darah wiladah adalah darah yang keluar semasa bersalin/melahirkan. Tidak perlu mandi wajib untuk wiladah kerana darah nifas masih keluar. Apabila sudah berhenti darah nifas, barulah mandi wajib.

3. Adakah benar ada pandangan yang menyatakan tempoh maksima nifas adalah 60 hari?

🔵 Benar. Pendapat mazhab Asy-Syafi’iy adalah 60 hari iaitu berlainan dari pendapat jumhur. Ini adalah hasil kajian beliau sendiri melihat kebiasaan wanita di zaman itu.

4. Apakah hukum untuk wanita di dalam haidh berwudhu’?

🔵 Tiada anjuran berwudhu’ bagi mereka yang dalam haidh dan nifas. Perkara ini tidak dibincangkan oleh ulama kerana tidak pernah dilakukan pada zaman dahulu.

5. Bagaimanakah jika tidak mampu membayar kaffarah menyetubuhi wanita haidh?
Adakah perlu berpuasa?

🔵 Tiada dalil kaffarah dengan berpuasa. Jika tidak mampu membayar kaffarah tersebut, maka hanya tinggal meminta keampunan Allah ﷻ. Semoga diampunkanNya.

6. Adakah keguguran pada umur kehamilan lapan bulan perlu menjalani tempoh nifas?

🔵 Ya, masih ada nifas. Pada umur kehamilan lapan bulan telah pun ditiupkan ruh pada janin.

7. Bagaimanakah status mereka yang keguguran pada tempoh 1-3 bulan kehamilan?

🔵 Ada tiga peringkat. Merujuk kepada umur janin.

a. Sehingga 80 hari.
Ulama’ sepakat bahawa darah yang keluar tersebut adalah istihadhah. Perlu solat.

b. 80 hingga 120 hari.
Ulama khilaf. Ada yang berpandangan ia adalah nifas. Sebahagian lain mensyaratkan pada bentuk janin. Sama ada sudah sempurna seperti bentuk manusia atau belum. Bentuk janin boleh disahkan oleh doktor.

c. 121 hari dan seterusnya.
Ulama’ sepakat ia adalah darah nifas.

8. Adakah mereka yang keguguran dan menjalani Dilation and Curettage (D&C) boleh salat seperti biasa?

🔵 Perlu melihat pada darah itu keluar atau tidak. Kemudian bergantung pada bentuk janin.

9. Adakah memakai “kain sarung” ini seumpama tuala wanita pada waktu sekarang atau ia adalah pakaian khas wanita haidh pada waktu tersebut ketika bersama suami?

🔵 Kain sarung itu digunakan untuk menahan darah sahaja. Itu pun masa pengaliran darah banyak. Membantu semasa mubasharah.
Maka boleh menggunakan apa-apa sahaja, tuala wanita dan sebagainya. zaman dahulu ada kain sarung sahaja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s