J. Membaca ayat setelah al-Fatihah

Tajuk :

1⃣. Surah-surah apakah yang dibaca Nabi ﷺ pada salat-salatnya?
2⃣. Nabi ﷺ pernah membaca surah-surah yang serupa (dan tidak) pada satu rakaat.
3⃣. Sifat Qira’ah Nabi.
4⃣. Membaca Al-Quran dengan tartil dan membaguskan suara ketika membacanya.
5⃣. Apakah yang diucapkan jika seseorang membaca akhir Surah Qiyamah dan awal Surah al-A’la.
6⃣. Waktu-waktu surah al-Fatihah dan surah lainnya dibaca jahar dan sirr

 

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

J. Membaca ayat setelah al-Fatihah

Disunatkan setelah membaca al-Fatihah untuk membaca surah yang lain.

Tidak diperselisihkan lagi bahawa membaca mana-mana ayat Al-Quran setelah membaca al-Fatihah itu sememangnya disyari’atkan.

✍🏻 Antara dalil disyari’atkan pembacaan ayat-ayat Al-Qur’an setelah pembacaan al-Fatihah adalah hadith Abi Sa’id رضي الله عنه:

أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ.

Kami telah diperintah (oleh Nabi) agar membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat/surah) yang mudah (bagi kami).
(Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya. Berkata an-Nawawi dalam Majmu’ Syarah al-Muhazzab, jld. 3, ms. 285: “Sanadnya sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim.” Juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, hadith no. 818)

📌 Menurut asy-Syafi’iy رحمه الله:

Saya menyukai bahawa orang yang mengerjakan salat itu, membaca sesudah Umm Al-Quran, akan satu surah dari Al-Quran. Kalau dibacanya setengah surah nescaya memadai. Kalau hanya dibacakan Umm Al-Quran tanpa membaca apa-apa surah dari Al-Quran maka tidak perlu diulangi raka’at tersebut. Saya tidak menyukai perbuatan itu bagi mereka yang mengerjakan salat. Saya menyukai sekiranya paling kurang dibacanya sesudah Umm Al-Quran surah yang terpendek dari Al-Quran seperti surah al-Kautsar atau yang serupa dengan itu. (asy-Syafi’iy, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 260)

Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan Al-Quran yang wajib di dalam salat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat.

✍🏻 Daripada Atha’ bin Abi Rabah رحمه الله ;

عَنْ عَطَاءٍ قَالَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ
فِي كُلِّ صَلَاةٍ قِرَاءَةٌ فَمَا أَسْمَعَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْمَعْنَاكُمْ وَمَا أَخْفَى مِنَّا أَخْفَيْنَاهُ مِنْكُمْ وَمَنْ قَرَأَ بِأُمِّ الْكِتَابِ فَقَدْ أَجْزَأَتْ عَنْهُ وَمَنْ زَادَ فَهُوَ أَفْضَلُ

“Dalam setiap salat terdapat suatu bacaan, maka sesuatu yang diperdengarkan oleh Nabi ﷺ, nescaya kami memperdengarkannya kepada kalian. Dan sesuatu yang disembunyikan oleh baginda, nescaya kami menyembunyikannya dari kalian, sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan Al-Quran yang diwajibkan di dalam salat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik”.
(Sahih Muslim no. 601 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Walaupun sunat, akan tetapi tidak digalakkan meninggalkannya dengan sengaja kerana akan mengurangkan pahala salat kita.

Membaca surah atau ayat selepas al-Fatihah hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Adapun pada rakaat ketiga atau keempat, tidak disunatkan.

✍🏻 Daripada Abi Qatadah رضي الله عنه, dia meriwayatkan;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ مِنْ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ وَيُسْمِعُنَا الْآيَةَ أَحْيَانًا وَيَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُخْرَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

“Sesungguhnya Nabi ﷺ membaca pada dua rakaat yang awal (iaitu rakaat pertama dan kedua) di dalam salat Zuhur dan Asar; al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (iaitu rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Sahih Muslim no. 686)

Sebenarnya Nabi Muhammad ﷺ juga pernah membaca ayat atau surah dari Al-Quran di rakaat ketiga dan keempat dalam salat Zuhur dan Asar. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Said al-Khudri رضي الله عنه.

✍🏻 Dalilnya;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلاَةِ الظُّهْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ
فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ ثَلاَثِينَ آيَةً وَفِي الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً
(أَوْ قَالَ نِصْفَ ذَلِكَ) وَفِي الْعَصْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ
فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً وَفِي الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ نِصْفِ ذَلِكَ.

Bahawa Nabi ﷺ membaca (ayat) pada dua rakaat yang pertama dalam salat Zuhur kira-kira 30 ayat pada setiap rakaat dan pada dua rakaat yang akhir kira-kira 15 ayat. Dan pada dua rakaat yang pertama dalam salat Asar pada setiap rakaatnya kira-kira 15 ayat.
Sedang pada dua rakaat (yang akhir) setengah dari itu.
(Sahih Muslim no. 688)

Syarah:
Jadi kalau hendak membaca surah pada rakaat ketiga dan keempat, dibolehkan. Cuma tidaklah ditekankan. Hukum yang sunatnya tetap pada rakaat pertama dan kedua sahaja.

Bagi orang yang salat berjemaah, jika salat yang dikerjakan adalah salat jahriyyah (iaitu salat yang sunat diperdengarkan bacaan Al-Quran di dalamnya), memadai dia hanya mendengar bacaan surah atau ayat oleh imamnya sahaja. Tidak perlu lagi dia membaca surah atau ayat selepas al-Fatihah.

✍🏻 Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
قَالَ أَبُو عَبْد الرَّحْمَنِ كَانَ الْمُخَرِّمِيُّ يَقُولُ هُوَ ثِقَةٌ يَعْنِي مُحَمَّدَ بْنَ سَعْدٍ الْأَنْصَارِيَّ

“Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (Al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)”.

Abu Abdurrahman berkata; al Makhrami berkata; Muhammad bin Sa’ad al-Anshari orangnya tsiqah (terpercaya). (Sunan Nasa’i no. 913. Hasan Sahih menurut al-Albani)

Dikecualikan jika makmum berada berjauhan dengan imam dan tidak dapat mendengar bacaan imamnya, pada ketika itu sunat dia membaca sendiri.

Adapun jika salat yang dikerjakan ialah salat sirriyyah (iaitu salat yang tidak sunat diperdengarkan bacaan Al-Quran di dalamnya), makmum disunatkan membaca sendiri surah atau ayat selepas al-Fatihah itu, iaitu tidak memadai dengan bacaan imamnya sahaja.

✍🏻 Dalilnya, hadith daripada Jabir رضي الله عنهما;

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ
كُنَّا نَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ وَفِي الْأُخْرَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

“Kami membaca di dalam salat Zuhur dan Asar di belakang imam pada dua rakaat yang pertama surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Pada dua rakaat yang lain (iaitu rakaat ke tiga dan ke empat), kami hanya membaca al-Fatihah sahaja” (Sunan Ibnu Majah no. 834 dengan sanad yang sahih)

Rasulullah ﷺ ketika menjadi imam dalam salat begitu peka dengan keadaan makmum dalam menentukan jumlah ayat yang ingin baginda bacakan. Sekiranya ada keuzuran maka baginda akan memendekkan bacaan baginda dalam salat. Di antara keuzuran tersebut adalah sekiranya baginda terdengar suara bayi yang sedang menangis, keadaan cuaca yang mendung menunjukkan hari hendak hujan, dalam keadaan musafir dan juga ketika salat khauf.

✍🏻 Dalilnya adalah sebuah hadith daripada Qatadah bahawa Anas bin Malik رضي الله عنهما menceritakan kepadanya;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
إِنِّي لأَدْخُلُ فِي الصَلاَةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا
فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي
مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ.

Bahawa Nabi ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya aku masuk dalam salat dan berkeinginan untuk memperpanjangkan salat tersebut. Lalu aku mendengar tangisan anak kecil, maka aku pun meringankan salatku kerana aku mengetahui besarnya kesedihan ibu anak itu kerana tangisannya.
(Sahih Bukhari no. 709).

📍 Maka, sebagai imam kena tengok kesesuaian makmum. Kalau ada orang tua, atau ada anak-anak kecil, maka boleh baca surah yang pendek-pendek sahaja.


1. Surah-surah apakah yang dibaca Nabi ﷺ pada salat-salatnya?

Memang ada hadith-hadith yang menyebut surah-surah yang Nabi ﷺ baca pada Salat Subuh, Zuhur dan sebagainya. Tetapi itu bukanlah penetapan. Kerana Nabi ﷺ pun menukar-nukar surah yang baginda baca. Kadangkala Nabi ﷺ baca panjang dan adakala baginda baca surah yang pendek.

Pada dasarnya kita boleh memilih apa sahaja ayat-ayat dari Al-Quran yang mudah untuk dibaca setelah pembacaan Umm al-Kitab.

✍🏻 Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Abi Said رضي الله عنه:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ
أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ

“Kami telah diperintah (oleh Nabi ﷺ) supaya kami membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat/surah) yang mudah (bagi kami).
(Sunan Abu Daud no. 695)

📍 Menurut Syaikh Sayyid Sabiq رحمه الله: “Rasulullah ﷺ tidaklah menentukan surah-surah tertentu yang dibaca pada waktu salat tertentu hingga tidak boleh membaca yang lain…” (Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah)


2. Nabi ﷺ pernah membaca surah-surah yang serupa (dan tidak) pada satu rakaat

Maksud ‘serupa’ itu adalah surah-surah itu ada persamaan dari segi kandungan makna dan kisah di dalamnya. Tapi tidaklah semestinya semua surah itu kena ada persamaan. Maka boleh dibaca lebih dari satu surah dalam satu rakaat.

Rasulullah ﷺ pernah membaca Surah ar-Rahman dan an-Najm dalam satu rakaat; Surah al-Qamar dan al-Haqqah pada satu rakaat; Surah ath-Thur dan adz-Dzaariyat pada satu rakaat; Surah al-Waqiah dan al-Qalam pada satu rakaat; Surah al-Ma’ariji dan an-Naaziat pada satu rakaat; Surah al-Mutaffifeen dan ‘Abasa pada satu rakaat; Surah al-Insan dan al-Qiyaamah pada satu rakaat; dan Surah an-Naba’ dan al-Mursalaat pada satu rakaat.

Oleh kerana ada dalil di atas, maka kalau membaca dua surah dalam satu rakaat, maka dibolehkan.

Kebiasaan dalam salat sirriyyah apabila kita telah menghabiskan bacaan sesuatu surah atau ayat dari Al-Quran dan imam pula masih belum rukuk maka kita akan hanya menunggu imam tersebut untuk menghabiskan bacaannya tanpa membaca apa-apa.

Maka dari hadith ini dapatlah kita fahami bahawa bukanlah menjadi satu kesalahan untuk kita membaca beberapa surah sementara menunggu imam untuk rukuk. Malah perbuatan ini adalah lebih baik kerana sekiranya kita tidak membaca apa-apa maka fikiran kita tentu akan mengelamun tentang perkara-perkara lain yang tidak berkaitan dengan ibadah salat.


3. Sifat Qira’ah Nabi ﷺ

Berikut diterangkan tentang cara-cara Nabi ﷺ membaca Al-Quran yang dipetik dari hadith-hadith Nabi ﷺ iaitu:

a. Membaca dengan jelas, satu huruf demi satu huruf

✍🏻 Daripada Abdullah bin ‘Amru, dia berkata;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ..

“Rasulullah ﷺ bersabda: “Dikatakan kepada orang yang membaca Al Qur’an: “Bacalah, dan naiklah, serta bacalah dengan tartil (jangan terburu-buru), sebagaimana engkau membaca dengan tartil di dunia …”
(Sunan Abu Daud no. 1252. Dinilai hasan sahih oleh al Albani رحمه الله)

b. Memanjangkan bacaan sesuai dengan hukum tajwid

✍🏻 Daripada Qatadah, dia berkata;

عَنْ قَتَادَةَ قَالَ
سَأَلْتُ أَنَسًا عَنْ قِرَاءَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ كَانَ يَمُدُّ مَدًّا

“Aku bertanya kepada Anas bin Malik, “Bagaimanakah cara Rasulullah ﷺ membaca Al-Quran?” Anas menjawab, “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).” (Abu Daud no. 1253. Sahih menurut al-Albani)

c. Memotong bacaan pada setiap ayat

✍🏻 Dalilnya;

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ
أَنَّهَا ذَكَرَتْ أَوْ كَلِمَةً غَيْرَهَا قِرَاءَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
{ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ }
يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةً

Daripada Ummu Salamah bahawa dia menyebutkan -atau kalimat yang lainnya- bacaan Rasulullah ﷺ ;

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ, الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ, الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ, مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ

baginda membacanya dengan memutus bacaan satu ayat-satu ayat.”
(Sunan Abu Daud no. 3487 dan dinilai sahih oleh al-Albani رحمه الله. Sunan at-Tirmizi no. 2851)

d. Kadang kala dengan suara yang perlahan, kadang kala dengan suara yang kuat

✍🏻 Daripada Abdullah bin Abi Qais, dia berkata;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَيْسٍ قَالَ
سَأَلْتُ عَائِشَةَ كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّيْلِ أَكَانَ يُسِرُّ بِالْقِرَاءَةِ أَمْ يَجْهَرُ فَقَالَتْ كُلُّ ذَلِكَ قَدْ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا أَسَرَّ بِالْقِرَاءَةِ وَرُبَّمَا جَهَرَ فَقُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي الْأَمْرِ سَعَةً
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ

“Aku bertanya kepada mengenai bacaan Rasulullah ﷺ, “Adakah Baginda membaca secara perlahan ataupun kuat?” Aisyah menjawab, “Kedua-dua cara itu pernah dilakukan oleh baginda. Kadang kala Baginda baca dengan perlahan, dan kadang kala Baginda baca dengan kuat.” Aku membalas, “Seluruh pujian kepada Allah yang memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara ini. ”
Abu Isa berkata, bahawa hadith ini hasan sahih gharib. (Sunan Tirmidzi no. 411 dan dinilai Sahih oleh al-Albani رحمه الله)

e. Membaca Al-Quran pada waktu malam

✍🏻 Dalilnya;

عَنْ أُمِّ هَانِئٍ بِنْتِ أَبِي طَالِبٍ قَالَتْ
كُنْتُ أَسْمَعُ قِرَاءَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّيْلِ وَأَنَا عَلَى عَرِيشِي

Ummu Hani binti Abi Thalib berkata:
“Aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ membaca (Al-Quran) pada waktu malam, dan ketika itu aku berada di atas tempat tidur.” (Sunan Ibnu Majah no. 1339)

f. Membaca dengan suara yang merdu

✍🏻 Dalilnya;

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Daripada Al Bara` bin ‘Azib ia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Perindahlah Al-Quran dengan suara kalian.” (Sunan Abu Daud no. 1256)


4. Membaca Al-Quran dengan tartil dan membaguskan suara ketika membacanya

Allah ﷻ memerintahkan kita agar kita membaca Al-Quran dengan tartil.

✍🏻 firman-Nya ﷻ :

وَرَتِّلِ الْقُرْءَانَ تَرْتِيلا

Dan bacalah al-Qur’an itu dengan tartil. (Al-Muzammil: 4)

📍 Tetapi bagaimanakah bacaan yang dikira sebagai tartil? Berikut beberapa keterangan sahabat tentang makna tartil:

1⃣. Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه menjelaskan makna tartil dalam ayat,
”Mentajwidkan huruf-hurufnya dengan mengetahui tempat-tempat berhentinya”. (Syarh Mandhumah Al-Jazariyah, hlm. 13)

2⃣. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan,

بينه تبييناً
Dibaca dengan jelas setiap hurufnya.

3⃣. Abu Ishaq رضي الله عنه pula mengatakan,

والتبيين لا يتم بأن يعجل في القرآة، وإنما يتم التبيين بأن يُبيِّن جميع الحروف ويوفيها حقها من الإشباع

Membaca dengan jelas tidak mungkin boleh dilakukan jika membacanya terburu-buru. Membaca dengan jelas hanya boleh dilakukan jika dia menyebut semua huruf, dan memenuhi cara pembacaan huruf dengan benar. (Lisan al-Arab, 11/265).

📌 Oleh itu, inti tartil dalam membaca adalah membacanya perlahan-perlahan, jelas setiap hurufnya, tanpa berlebihan. (Kitab al-Adab, as-Syalhub, hlm. 12)

Maka, sebaik mungkin, kita kena belajar tajwid supaya kita tahu bagaimana bacaan yang benar. Tetapi tidaklah ini mengganggu kita untuk mengerjakan salat pula. Kalau masih tidak tahu tajwid, maka boleh sahaja baca setakat yang kita mampu. Tetapi tidaklah boleh jadi imam lagi.

Kita hendaklah sedaya upaya membaca Al-Quran dengan bacaan yang indah.

✍🏻 Rasulullah ﷺ bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya: Hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu. (Sunan Nasa’i no. 1015, daripada al- Bara’ رضي الله عنه)

Berdasarkan sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Lubabah رضي الله عنه.

✍🏼 Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: Bukan dari kalangan kami sesiapa yang tidak melagukan bacaan Al-Quran.
(Sunan Abu Daud no.1471. Hasan Sahih menurut al-Albani)

Syarah: melagukan Al-Quran ini seperti yang kita biasa dengar qari-qari seperti Imam Abdurrahman as-Sudais حفظه الله baca. Mereka ada lenggok mereka sendiri. Maka kita pun boleh juga melagukan dengan cara kita.

Bukanlah maksud ‘lagu’ dalam ayat ini seperti tarannum seperti Bayati, Soba, Hijaz dan lain-lain.

Lebih-lebih lagi, bukanlah hendak lagukan ikut lagu Hindustan, pop yeh yeh dan sebagainya. Jangan buat perkara yang tidak pernah dilakukan pada zaman dahulu. Cuba dengar bacaan qari yang terkenal, sedap sahaja mereka baca walaupun mereka tidak ikut irama lagu-lagu tertentu. Ada yang perlahan, ada yang laju. Maka kita boleh ikut kesesuaian kita: kalau hendak rancak sedikit maka kita lagukan laju sedikit.


5. Apakah yang diucapkan jika seseorang membaca akhir dari surah Qiyaamah dan awal Surah al A’la?

Ada beberapa ayat yang apabila dibaca, ada jawapan yang disunatkan untuk menjawabnya. Ini boleh dibaca di dalam salat mahu pun di luar salat.

✍🏻 Dua ayat Al-Quran yang sunnah dijawab;

1⃣. Al-Qiamah: 40

Daripada Musa bin Abi Aisyah رحمه الله, beliau menceritakan;

“Ada orang yang salat di atas rumahnya, ketika dia membaca,

أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى

(Bukankah Dzat yang demikian itu lebih mampu menghidupkan yang mati?)”

Maka dia mengucapkan,

” سُبْحَانَكَ “

“Maha Suci Engkau”

lalu dia menangis. Mereka pun bertanya kepada lelaki tersebut perihal perbuatannya itu. Dia menjawab, “Aku pernah mendengarnya daripada Rasulullah ﷺ.”

(HR. Abu Daud no. 750 dan sahih menurut al-Albani).

2⃣. Satu lagi adalah ayat al-A’la:1. Ini berdasarkan satu hadith riwayat Ibnu Abbas رضي الله عنهما;

حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ إِسْرَائِيلَ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ مُسْلِمٍ الْبَطِينِ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَرَأَ ‏{‏ سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى ‏}‏ قَالَ ‏”‏ سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى ‏”‏ ‏.‏

Ibnu Abbas meriwayatkan: “Apabila Nabi ﷺ membaca سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى maka baginda membaca: سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى (Maha Suci Rabbku yang Maha Tinggi).

(Sunan Abi Daud no.749, sahih menurut al-Albani)


6. Waktu-waktu Surah Fatihah dan surah lainnya dibaca dengan jahar dan sirr

Ada waktu dianjurkan untuk melirihkan bacaan ayat dan ada kalanya dianjurkan jahr. Secara umumnya begini: Salat Subuh, Maghrib dan Isyak dijaharkan pada dua rakaat pertama (ini kita semua sudah tahu). Salat Zuhur dan Asar dilirihkan bacaannya.

Salat Jumaat, Solat Eid, Salat Gerhana dan Istisqa’ juga dijaharkan bacaannya.

Untuk salat sunat yang dikerjakan siang hari, tidak perlu dikeraskan bacaan. Untuk salat sunat yang dikerjakan pada malam hari pula, boleh pilih sama ada untuk mengeraskan atau melirihkan bacaan. Tetapi yang lebih molek adalah pertengahan diantara keduanya.

✍🏻 Dalilnya dari sebuah hadith yang menjelaskan:

عن أبي قتادة رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم خرج ليلة فإذا هو بأبى بكر رضى الله عنه يصلى يخفض من صوته . قال : و مر بعمر رضى الله عنه و هو يصلى رافعا صوته. قال : فلما اجتمعا عند النبى صلى الله عليه و سلم. قال يا أبا بكر مررت بك و أنت تصلى تخفض صوتك. قال : قد أسمعت من ناجيت يا رسول الله . قال : فارفع قليلا . ثم قال لعمر : مررت بك و أنت تصلى رافعا صوتك ؟ فقال يا رسول الله أوقظ الوسنان و أطرد الشيطان. قال : إخفض من صوتك شيئا.

“Diriwayatkan dari Abu Qatâdah رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ pernah keluar pada suatu malam. Lantas beliau mendapati Abu Bakar رضي الله عنه sedang salat dengan melirihkan suaranya. Beliau juga mendapati Umar رضي الله عنه sedang salat dengan mengeraskan suaranya. Tatkala mereka berdua berkumpul bersama Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Wahai Abu Bakar, aku melewatimu saat kamu salat dengan suara lirih.” Abu Bakar berkata: “Sungguh suaraku terdengar oleh Dzat yang menjadi objek munajatku wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Keraskanlah sedikit suaramu!.” Kemudian Rasulullah bersabda kepada Umar : “Aku berjalan melewatimu saat kamu salat dengan mengeraskan suara.” Umar berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin membangunkan orang yang kantuk dan mengusir setan.” Baginda bersabda: “Perlahankanlah sedikit suaramu!.” (HR. Abu Daud no. 1133 dan al-Hakim. Disahkan oleh al-Hakim dan disetujui oleh az-Zahabi)

Syarah: Maka kita pilih suara yang agak-agak pertengahan di antara keduanya.

Setelah membaca surah, maka kita akan bergerak ke rukuk bersama dengan takbir.


SOAL JAWAB KELAS
==========================

1. Bolehkah membaca surah yang sama pada kedua-dua rakaat atau membaca dua hingga tiga ayat dari surah yang panjang?

🔵 Kedua-dua cara tersebut boleh, tetapi ia bukanlah sunnah.

Dalil dibolehkannya amalan tersebut adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud (no. 816), daripada seorang lelaki dari Juhainah, bahawasanya dia mendengar Nabi ﷺ membaca (اذا زلزلت الارض) (surat Az-Zalzalah) pada kedua rakaat salat Subuh. Dan aku tidak tahu apakah Rasulullah ﷺ lupa, ataukah beliau membacanya dengan sengaja.”

Dihasankan oleh Syaikh Al Albani رحمه الله dalam “Sahih Sunan Abi Daud“.

Syaikh Al Albani رحمه الله menulis dalam kitab beliau “Sifat Salat Nabi” (hal. 90): “Tampaknya Nabi ﷺ melakukannya dengan sengaja, sebagai bentuk pensyariatan (hal tersebut).”

Kena faham beza ‘dibolehkan’ dan ‘masyru’ (disyariatkan). Ada yang Nabi ﷺ buat sekali sekala dan ada yang sahabat buat dan Nabi ﷺ tidak larang. Maknanya, ia boleh dilakukan, tetapi tidaklah sampai ke tahap sunat yang kita perlu ulang-ulang buat. Kita lihat bagaimana Syaikh Utsaimin menjelaskan hal ini:

Syaikh Ibnu Utsaimin رحمه الله berkata:

“Berdasarkan tinjauan tersebut, bahwasanya ia dibolehkan, namun tidak disyari’atkan: Kisah seorang lelaki yang diutus oleh Nabi ﷺ mengutus satu pasukan yang dipimpin oleh seorang lelaki. Pemimpin pasukan tersebut biasa mengimami para sahabatnya dan mengakhiri bacaannya dengan surah al-Ikhlas. Ketika mereka kembali dan mengabarkan hal tersebut kepada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tanyakanlah kepadanya mengapa dia melakukannya?”, kemudian lelaki tersebut menjawab, “Sesungguhnya surah tersebut mengandung sifat-sifat Ar-Rahman, dan aku senang membacanya.” Maka Nabi ﷺ bersabda, “Beritahukanlah kepadanya bahwa Allah mencintainya.” Nabi ﷺ menyetujui amalan lelaki tersebut, iaitu ia mengakhiri bacaan salatnya dengan surat al-Ikhlas. Akan tetapi, Rasulullah ﷺ tidak mensyari’atkannya, kerana beliau tidak mengakhiri bacaan salatnya dengan surah al-Ikhlas, tidak pula memerintahkan ummatnya untuk melakukannya. Maka menjadi jelaslah dengan keterangan ini bahawasanya ada amalan-amalan yang dibolehkan, namun tidak disyari’atkan. Maksudnya, jika ada orang yang melakukannya maka ia tidak diengkari, akan tetapi tidak dituntut untuk berbuat demikian. ” (Selesai kutipan dari “Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin” 17/252)

Jadi kalau orang tanya hukum: Bolehkah baca surah yang sama pada rakaat ke dua, jawapannya: Ya, boleh.

Tetapi ia bukanlah sunnah. Kita sebagai pelajar hendaklah mencari sebanyak mungkin pahala dan ikut sebanyak mana sunnah yang kita boleh ikut.

 

2. Jikalau membaca surah selain al-Fatihah pada rakaat ketiga dan keempat bukan sunat, maka adakah tiada pahala?

🔵 Boleh dapat pahala tetapi bukan tahap sunat dan bukan untuk dilazimi.

 

3. Adakah membaca surah lain pada rakaat ketiga dan keempat sunnah untuk ditinggalkan atau dilakukan?

🔵 Ia setakat boleh sahaja. Katakanlah kita sudah habis baca al-Fatihah, tetapi imam masih tidak habis lagi. Kalau lama, boleh kita baca surah dahulu. Tetapi bukanlah untuk dilazimi. Perkara yang dilazimkan adalah baca pada rakaat pertama dan kedua.

 

4. Adakah surah selain al-Fatihah perlu dimulakan dengan basmallah?

🔵 Ia sama seperti perbincangan sebelum ini sama ada basmalah sebahagian dari surah atau pun tidak. Jadi, boleh pilih salah satu. Hendak baca boleh; tidak baca pun boleh juga.

 

5. Bagaimanakah untuk mengamalkan bacaan surah selepas al-Fatihah ini?
i. Perlu dibaca seluruh surah sepenuhnya?
ii. Dibaca awal tetapi tidak dihabiskan?
iii. Dibaca pertengahan hingga akhir surah?
iv. Dibaca mana2 sahaja ayat Al-Quran, bukan permulaan mahupun akhir surah, juga tidak dihabiskan bacaan?
v. Awal surah dibaca pada raakat pertama dan akhir surah dibaca pada rakaat kedua?

🔵 i. Ini sunnah terbaik.
ii. Boleh.
iii. Boleh.
iv. Boleh.
v. Boleh.

 

6. Adakah kalau kita hendak baca dua surah dalam satu rakaat kita perlu baca ikut urutan surah seperti dalam Al-Quran?

🔵 Hal ini disebut sebagai tankis al-surah, iaitu membaca surah selepas kemudian baru membaca surah yang sebelumnya. Seperti contoh, seseorang yang membaca surah an-Nas, kemudian dia membaca surah al-Falaq berikutnya. Ia menjadi perbincangan ulama’ yang panjang lebar.

 

7. Adakah makruh hukumnya kalau tidak ikut urutan?

🔵 Tentunya ada khilaf sama ada boleh atau tidak. Pendapat yang rajih, hukumnya adalah makruh dan khilaf aula (menyelisihi keutamaan) di sisi jumhur para fuqaha.

 

8. Adakah begitu juga kalau rakaat pertama mesti baca al-Falaq dahulu dan rakaat kedua baca an-Nas walaupun an-Nas ada 6 ayat?

🔵 Sebaiknya baca Al-falaq dahulu pada rakaat pertama dan an-Nas pada rakaat kedua. Bilangan ayat tidak dikira.

 

9. Bagaimana pula kalau 2 rakaat ba’diah Isyak dan 1 Witir dibaca surah al-Mulk setiap satu rakaat 10 ayat? Bolehkah dijadikan amalan tetap?

🔵 Boleh. Tetapi cubalah jangan dijadikan amalan tetap. Tambahlah ayat-ayat lain pula.

Dibenarkan kalau itu sahaja ayat yang dihafal. Tetapi janganlah selama-lama baca ayat itu sahaja.

 

10. Baca surah ikut urutan ini boleh buat khatam Al-Quran masa salat?

🔵 Ya, tentu sekali.

Para sahabat tadabbur Al-Quran dalam salat mereka (salat sunat). Ini adalah waktu paling baik untuk tadabbur Al-Quran kerana waktu itu memang tidak buat kerja lain dan tumpu buat ibadat sahaja kerana sedang salat.

Tetapi, kalau hafal surah al-Ikhlas dan an-Nas sahaja, tidak dapatlah tadabbur.

Selalunya ini juga dilakukan oleh orang kita semasa Tarawih. Sebab itu ulama’ dahulu buat pembahagian Al-Quran yang dinamakan ruku’. Ada 540 ruku’ dalam Al-Quran. 20 rakaat x 27 hari = 540 ruku’.

“Maka, sebagai imam kena tengok kesesuaian makmum. Kalau ada orang tua, atau ada anak-anak kecil, maka boleh baca surah yang pendek-pendek sahaja.”

 

11. Berdasarkan perkara di atas, adakah itu maksudnya imam hanya disunatkan memendekkan bacaan surah-surah sahaja dan bukan pendekkan rukuk, sujud dan bilangan rakaat?

🔵 Tidaklah seperti itu.

 

12. Bagaimanakah adab membaca Al-Quran? Adakah dibaca al-Fatihah atau basmalah dahulu atau masih ada tuntutan lain yang perlu di buat semasa hendak mula membaca Al-Quran?

🔵 Isti’azah dan bismillah sahaja.

 

13. Adakah dituntut melagu-lagukan azan sepertimana dituntut membaca Al-Quran dengan suara yang baik?

🔵 Tidak boleh.

 

14. Jika tidak menjadi sunat membaca Al-Quran dengan tarannum, apakah keperluan belajar taranunm?

🔵 Tidak ada keperluan. Dahulu apabila Parsi ditakluk Islam, raja-rajanya suka lagu. Apabila tidak boleh ada nyanyian, maka mereka nyanyikan Al-Quran dengan lagu kegemaran mereka yang terdahulu.

 

15. Adakah ini bermaksud mengikuti bacaan qiraat yang 7, bukanlah bertaranum seperti selalu di pertandingan tilawah Al-Quran?

🔵 Qiraat lain dengan tarannum. Qiraat ini umumnya tidak diamalkan lagi kecuali kalau ada yang tahu sahaja.

 

16. Berapakah jumlah sebenar Qiraat dan bolehkah kita menukar-nukar Qiraat di dalam salat?

🔵 Bilangan Qiraat yang mutawatir ada 7. Ilmu Qiraat ini ilmu tinggi. Kalau tidak mahir, tidak perlu tukar. Kalau tahupun, elok tidak diamalkan sekiranya jadi imam sebab boleh buat orang keliru. Pernah terjadi makmum mufaraqah kerana dia tidak tahu imam pakai Qiraat lain.

 

17. Jika kita salat sendirian terutama salat sunat iaitu salat Tahajud, bolehkah kita baca surah yang panjang (tetapi belum hafal) sambil pegang Al-Quran?

🔵 Timbul perkara ini kerana kita hendak membaca lebih banyak ayat Al-Quran dalam salat. Lagi banyak ayat Al-Quran, lagi banyak pahala dalam salat.

Memegang mushaf menjadi khilaf dan perbincangan yang banyak diantara ulama’. Ringkasnya, ada yang membenarkan dan ada tidak. Mazhab Hanbali dan Syafi’iy membenarkan sedangkan mazhab Hanafi tidak membenarkan langsung.

Sebab tidak galakkan kerana ia mengganggu juga. Banyak pergerakan, tidak dapat sedekap ikut sunnah, mengganggu konsentrasi kerana hendak tengok bacaan.

Kesimpulannya, boleh tetapi hanya di dalam salat sunat sahaja. Selalunya dilakukan dalam salat Tarawih tetapi kalau salat sunat yang lain pun boleh juga.

Dalil yang membenarkan dalam salat sunat:

عن عائشة أم المؤمنين رضي الله عنها أنها كان يؤمها عبدها ذكوان ويقرأ من المصحف

Daripada Aishah Ummul Mukminin رضي الله عنها, sesungguhnya dia telah diimamkan oleh budak suruhannya bernama Zakwan dalam keadaan Zakwan membaca daripada Mushaf . (Diriwayatkan secara mua’llaq oleh Imam Bukhari dalam Bab 436 Hukum Berimam Dengan Budak Suruhan/Maula. Turut diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Abi Shaibah. Menurut Imam Ibn Hajar, athar ini adalah sahih).

Apa yang Zakwan lakukan adalah salat Tarawih. dan diringankan bab ini dalam salat sunat kerana memang salat sunat agak longgar. Kerana itu salat sunat boleh kalau dilakukan sambil duduk atau baring.

 

18. Apakah hukum kalau salat sunat sambil pegang handphone?

🔵 Hukum yang sama, sebab sekarang dalam handphone sudah ada mushaf.

Tetapi kena flight mode supaya tidak terganggu dengan panggilan dan pesanan yang masuk.

 

19. Adakah berbisik termasuk kepada bacaan pertengahan? Bagaimana pula jika bacaan tidak didengari? Adakah sah salat?

🔵 Berkenaan bab ‘Rukun Qawli’ yang selalu disebut di dalam media sosial itu tidak ada dalilnya. Selalu disebutkan bahawa perlu didengari pada telinga.

Ini tidak benar dan tiada dalilnya. Ia menjadi masalah apabila dihukumkan tidak sah salat.

Yang sebenarnya adalah perlu disebut dan diucapkan oleh mulut tetapi tidak semestinya perlu didengari pada telinga.

Yang disebut pertengahan di dalam kelas kita malam ini adalah apabila solat jahr (kuat) maka hendaklah suara itu pada pertengahan kerana itulah yang terbaik.

 

20. Bagaimana pula dengan salat jenazah di malam hari? Adakah perlu jahr atau sirr?

🔵 Salat jenazah tetap dibaca secara sirr, sama ada malam atau siang. Dari Abu Umamah dia berkata:

السُّنَّةُ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الْجَنَازَةِ أَنْ يَقْرَأَ فِي التَّكْبِيرَةِ الأُولَى بِأُمِّ الْقُرْآنِ مُخَافَتَةً ثُمَّ يُكَبِّرَ ثَلاَثًا وَالتَّسْلِيمُ.

Berdasarkan as-Sunnah salat jenazah adalah membaca Al-Fatihah sesudah takbir pertama secara perlahan, kemudian diikuti dengan takbir sebanyak tiga kali dan sesudahnya salam.
[Sunan An-Nasai no.1963]

 

21. Adakah bacaan akhir surah Al-Qiyamah dan awal surah Al-A’la perlu dijawab secara sirr di dalam salat?

🔵Ya.

 

22. Adakah sunat menjawab bacaan akhir surah Al-Qiyamah dan awal surah Al-A’la yang dibaca sendiri?

🔵 Sama ada kita membaca sendiri atau kita mendengar bacaan orang lain.

 

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Jika seorang lelaki berpuasa qadha kemudian, kemudian puasanya batal kerana jimak dengan isteri, adakah hukumnya macam puasa fardhu, kena kaffarah puasa dua bulan berturut-turut?

🔵 Ibnu Rusyd di dalam kitab Bidayatul-Mujtahid berkata, “Jumhur ulama’ sepakat bahawa tidak ada kewajiban membayar kaffarah akibat membatalkan puasa qadha Ramadhan secara sengaja. Hal ini karena di dalam puasa qadha tidak ada unsur kemuliaan dalam waktu pelaksaannya, iaitu bulan Ramadhan.”

 

2. Adakah makruh kalau sengaja batalkan puasa qadha’?

🔵 Puasa qadha’ macam puasa wajib. Tidak boleh dibatalkan.

Berkata Syaikh Utsaimin رحمه الله:

Jika seseorang telah memulai puasa wajib seperti puasa qadha Ramadan dan kifarah sumpah, dan kifarah fidyah memotong rambut dalam ibadah haji jika seorang yang berihram menggundul kepalanya sebelum tahalul, atau puasa serupa yang wajib maka tidak dibolehkan dalam puasa seperti itu membatalkannya tanpa uzur syarie.

Demikian pula, siapa yang telah memulai melakukan amal yang wajib, maka dia harus menyempurnakannya, tidak boleh dia batalkan kecuali ada uzur syarie yang membolehkannya untuk membatalkan.

 

3. Benarkah jika sengaja membatalkan qadha puasa Ramadhan tanpa uzur syarie, hukumnya bukan makruh tetapi berdosa sebab ia sama dengan puasa wajib?

🔵 Ya, benar. Umpama batalkan puasa ramadhan juga.

 

4. Apakah contoh uzur syarie?

🔵 Maksudnya sakit sangat sampai tidak tahan. Kalau terus puasa juga, boleh mudarat. Lembik longlai, sudah muntah-muntah atau demam. Kena jujur menilai sendiri. Sebab sendiri tahu mampu atau tidak. Nanti sendiri kena jawab dengan Tuhan (“kenapa kamu buka puasa hari itu?”).

 

5. Apakah maksud “cengkaman anjing-anjing-Mu” dalam bacaan doa qunut Nazilah?

🔵 Doa qunut Nazilah tidak ada yang standard. Boleh berubah-ubah ikut keadaan.

Ini kaedah bahasa arab lama. Isyarat kepada mereka dimusnahkan oleh serangan dari Allah. Anjing itu boleh jadi anjing betul atau tentera dari manusia. Nabi Muhammad pun pernah doa begitu untuk Abu Lahab.

Contoh kita doa untuk musnahkan Israel zionis. Allah boleh hantar tentera Amerika yang musnahkan mereka.

 

6. Adakah itu maksudnya “anjing neraka” yang berasal dari khawarij?

🔵 Bukan.

I. Wajib membaca Fatihah dalam salat sirriyyah (Zuhur dan Asar)

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

I. Wajib membaca Fatihah dalam salat sirriyyah (Zuhur dan Asar)

Rasanya kita tidak ada masalah dengan hal ini. Kerana kalau kita salat Zuhur dan Asar walaupun tidak kedengaran baca al-Fatihah, kita tetap akan baca juga.

✍🏻 Dalil membaca al-Fatihah dalam Zuhur dan Asar adalah hadith ini:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

كَانَ يَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ فِي الأُولَيَيْنِ بِأُمِّ الْكِتَابِ

وَسُورَتَيْنِ وَفِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُخْرَيَيْنِ بِأُمِّ الْكِتَابِ.

Daripada Abdullah bin Abi Qatadah, dari bapanya bahawasanya Nabi ﷺ biasa membaca pada salat Zuhur di dua rakaat pertama dengan Umm al-Kitab (al-Fatihah) dan dua surah, lalu pada dua rakaat terakhir membaca Umm al-Kitab.
(Sahih Bukhari no. 776)

Apakah yang kita baca setelah Surah Fatihah?

H. Mengucapkan ‘Amin’ dengan mengeraskan suara

Tajuk:
1⃣. Membaca ‘amin’ bersama imam
2⃣. Makna ‘amin’

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

H. Mengucapkan ‘Amin’ dengan mengeraskan suara

Di antara amalan dalam salat yang perlu diperhatikan dan sering dianggap remeh oleh sebahagian kaum Muslimin adalah mengucapkan kata “aameen” dalam salat . Tentang ucapan “aameen” ini, Ibnul Qayyim رحمه الله mengatakan, “Mengucapkan “aameen” (dipanggil ta’min) adalah perhiasan salat seperti mengangkat kedua tangan (ketika takbiratul ihram) yang merupakan perhiasan salat. Juga termasuk mengikuti sunnah dan mengagungkan perintah Allah ﷻ.”


1. Membaca Amin bersama Imam

Cara membaca “aamiin” adalah mengucapkan bersama dengan imam. Ianya memiliki keutamaan yang banyak, di antaranya:

1⃣. Menjadi sebab terampunnya dosa apabila ucapan amin itu bersamaan dengan aminnya para malaikat.

✍🏼 Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه :

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُوا فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Apabila imam mengucapkan ‘aamiin’ maka ucapkanlah ‘aamiin’, karena siapa yang ucapan aamiinnya bersamaan dengan ucapan aamiin para malaikat maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari no. 738 dan Muslim 4/128)

2⃣. Menjadi penyebab terkabulnya doa, seperti yang dijelaskan oleh Abu Musa رضي الله عنه dalam riwayat Hiththan bin Abdullah رحمه الله bahawa:

✍🏻 Nabi ﷺ bersabda,

إِذَا صَلَّيْتُمْ فَأَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ ثُمَّ لْيَؤُمَّكُمْ أَحَدُكُمْ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَالَ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ فَقُولُوا آمِينَ. يُجِبْكُمُ اللَّهُ

Apabila kalian salat maka luruskanlah saf (barisan) kalian kemudian hendaknya salah seorang diantara kalian menjadi imam. Apabila imam bertakbir maka kalian bertakbir dan bila imam mengucapkan “GHAIRIL MAGHDHÛB BI’ALAIHIM WALAADH-DH LÎN” maka ucapkanlah: aamiin, nescaya Allah mengabulkannya. (Sahih Muslim no. 612)

3⃣. Yahudi iri dengan adanya ta’min pada kaum Muslimin.

✍🏻 Rasulullah ﷺ bersabda :

إِنَّ الْيَهُوْدَ قَوْمٌ حَسَدٌ وَ إِنَّهُمْ لاَ يَحْسِدُوْنَنَا عَلَى شَيْءٍ كَمَا يَحْسِدُوْنَنَا عَلَى السَّلاَمِ وَ عَلَى (آمِيْنَ )

Sesungguhnya Yahudi adalah kaum yang penuh hasad dan mereka tidak hasad kepada kita tentang sesuatu yang melebihi hasadnya mereka kepada kita dalam salam dan ucapan aamiin. (HR Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya 1/73/2 dan dinilai sahih oleh syaikh al-Albani رحمهم الله dalam Silsilatul Ahâdîtsish Shahîhah 2/312)


2. Makna “amin”

Ta’min adalah bahasa Arab yang bermakna mengucapkan kata “Aamiin” (آمين) setelah selesai membaca al-Fatihah dan ketika mendengar doa orang lain.

Menurut kebanyakan para ulama’, kata “Aamiin” (آمين) itu sendiri bermakna “Ya Allah kabulkanlah!”

Imam Ibnu Abdilbarr رحمه الله menyatakan, “Menurut para ulama’, kata “aamiin” itu bermakna “Ya Allah kabulkanlah doa-doa kami”.

Ibnu Hajar رحمه الله menjelaskan, “Maknanya menurut majoriti ulama’ adalah “Ya Allah, kabulkanlah” dan ada yang menyatakan lain namun masih kembali semuanya kepada makna ini.

Inilah lafaz yang disepakati kebolehannya dan sesuai dengan sunnah dalam mengucapkan aamiin:

📍 Ada beberapa kata yang mirip untuk kata “Aamiin“.

1⃣. Sebutan أَمِيْنٌ (a:pendek, min:panjang), ertinya ‘orang yang amanah atau terpercaya’.

2⃣. Sebutan أٰمِنْ (a:panjang, min:pendek), ertinya ‘berimanlah’ atau ‘berilah jaminan keamanan’.

Ketika salat, kita tidak boleh membaca “Amin” dengan dua cara baca di atas.

3⃣. Sebutan آمِّيْنَ (a:panjang 5 harakat, mim:bertasydid, dan min: panjang), ertinya ‘orang yang bermaksud menuju suatu tempat’. Ada sebahagian ulama’ yang memperbolehkan membaca “Amin” dalam salat dengan bentuk bacaan semacam ini. Demikian keterangan Al-Wahidi رحمه الله. Imam An-Nawawi رحمه الله mengatakan, “Ini adalah pendapat yang sangat aneh. Kebanyakan ahli bahasa menganggapnya sebagai kesalahan pengucapan orang awam. Beberapa ulama’ mazhab kami (Mazhab Syafiiy) mengatakan, ‘Siapa saja yang membaca ‘Amin’ dengan model ini dalam salatnya maka salatnya batal.’” (At-Tibyan fi Adab Hamalatil Qur’an, hlm. 134)

4⃣. Sebutan أٰمِيْنَ (a:panjang 2 harakat kerana mengikuti mad badal, min:panjang 4–6 harakat karena mengikuti mad ‘aridh lis sukun, dan nun dibaca mati), ertinya ‘kabulkanlah’. Inilah bacaan “Amin” yang benar.

Ta’min dilakukan dengan kuat (jahar) dan ini ada dalil hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه.

✍🏻 Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَلاَ (غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ) قَالَ: آمِينَ. حَتَّى يَسْمَعَ مَنْ يَلِيهِ مِنَ الصَّفِّ الأَوَّلِ

Maksudnya: “Apabila Rasulullah ﷺ membaca (غَيرِ الْمَغضُوبِ عَلَيهِم وَلاَ الضَّآلِينَ), Baginda berkata Amin sehingga terdengar oleh orang yang berada dalam saf yang pertama di belakang Baginda.”
(HR Abu Daud no. 934)

Hadith riwayat Ibn Majah pula menambah:

فَيَرْتَجُّ بِهَا الْمَسْجِدُ

Maksudnya: “Sehingga masjid bergema dengan laungannya.”
(HR Ibn Majah no. 853)

Syarah: Maka jangan malu-malu kucing untuk sebut aamiin di dalam masjid. Lafazkan dengan kuat, tetapi tidaklah sampai menjerit.

Adakah kita membaca Fatihah juga dalam Solat yang sirr?


SOAL JAWAB KELAS
=====================

1. Betulkah kalau baca Amin di luar salat dengan sebutan “a” dan “min” dibaca pendek?

🔵 Tidak betul. Dari segi bahasa pun tidak sama.

 

2.

إِذَا صَلَّيْتُمْ فَأَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ ثُمَّ لْيَؤُمَّكُمْ أَحَدُكُمْ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَالَ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ فَقُولُوا آمِينَ. يُجِبْكُمُ اللَّهُ

Apabila kalian salat maka luruskanlah saf (barisan) kalian kemudian hendaknya salah seorang diantara kalian menjadi imam. Apabila imam bertakbir maka kalian bertakbir dan bila imam mengucapkan “GHAIRIL MAGHDHÛB BI’ALAIHIM WALAADH-DH LÎN” maka ucapkanlah: âmîn, niscaya Allâh mengabulkannya. (HR Muslim no. 4/119)

Adakah dibolehkan berdoa selepas bacaan al-Fatihah berpandukan hadith di atas?

🔵 Bukan. Hadith itu maksudnya doa dalam al-Fatihah itu yang akan dimakbulkan.

 

3. Adakah boleh mengaminkan al-Fatihah yang dibaca di luar salat kerana ada doa di dalamnya?

🔵 Ya, memang disyariatkan ta’min walaupun di luar salat.

 

4. Adakah sama juga praktikalnya dengan jemaah perempuan iaitu kena “jahr”kan (kuatkan suara) “aameen” bersama imam perempuan?

🔵 Salat lelaki dan wanita sama sahaja.

 

5. Ada orang mengajarkan supaya selepas membaca ولا الضالين dibaca pula وغفرلي ولولديا, kemudian dibaca aamiin dalam al-Fatihah yang kita baca. Adakah ini benar?

🔵 Tiada dalil. Jangan buat.

 

6. Saya pernah baca dalam sebuah kitab, bahawa bacaan di atas adalah disunatkan. Adakah ia tidak benar?

🔵 Memang ada dalam kitab. Macam kata Dr. MAZA: tidak beritahu ada dalam kitab pun kita sudah tahu ia ada dalam kitab.

Hadith amalan itu memang ada. Tetapi hadith itu bukan sahaja mauquf tetapi ramai perawi lemah pula di dalamnya. Jadi tidak boleh dijadikan hujah.

Kita mahu amalkan yang jelas sahih sahaja.

 

7. Apakah maksud mauquf?

🔵 Mauquf: berhenti.

Hadith yang berhenti pada kata-kata sahabat sahaja. Bukan Nabi yang cakap.

 

8. Apakah kitab thurath?

🔵 Kitab lama, yang dipusakai. Dari katadasar Warith (yang diwarisi). Kitab pondok, kitab kuning. Kitab yang banyak dipakai di pengajian pondok.

 

 

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Kejadian ini terjadi di kampung saya sendiri, adakah menjejaskan azan subuh apabila “asholatu khairun minannaum” tidak dilafazkan semasa azan?

🔵 Tidak menjejaskan azan kerana ada pendapat mengatakan itu lafaz sebelum waktu masuk (untuk gerak orang dari tidur). Jadi ia bukan syarat azan.

 

2. Adakah azan akan terjejas jika lafaz “haiya alas solah” dan “haiya alal falah” hanya di lafazkan sekali?

🔵 Kalau lafaz tidak cukup, maka azan terjejas. Lain kali jangan buat lagi. Salat masih sah.

 

3. apakah ada syarat untuk seseorang itu menjadi bilal yang mengalunkan azan?

🔵 Syarat menjadi muazzin:

1. Muslim
2. Ikhlas
3. Adil dan amanah
4. Suara bagus
5. Tahu bila masuk waktu.

 

4. Bolehkah melakukan salat jamak qasar di masjid berjarak 1 KM dari rumahnya (masjid itu berada dalam kampungnya) dalam perjalanan pulang dari permusafiran?

🔵 Boleh. Itulah sunnah

 

5. Adakah ini bermaksud mengambil manfaat dari rukhsah semasa berada di dalam musafir? Bagaimana pula kalau sudah sampai di rumah?

🔵 Kena salat tamam.

 

6. Bolehkah salat jamak takdim dilakukan di rumah sebelum musafir, contohnya mula keluar rumah selepas waktu Zuhur?

🔵 Boleh. Tetapi kena jamak tamam.

 

7. Nabi ﷺ menunaikan salat witir semasa menunggang unta . Adakah salat sunat lain seperti salat Dhuha , salat sunat yang mengiringi salat fardhu juga boleh dilakukan semasa sedang menaiki kenderaan ?

🔵 Salat sunat boleh dilakukan di atas kenderaan.

Cuma Nabi tidak melakukan salat Rawatib kecuali Qabliyah subuh sahaja. Maka ia jadi salat sunat yang lain. Dhuha itu pun termasuk salat sunat. Cuma dilakukan pada waktu dhuha. Jadi boleh dilakukan atas kenderaan.

Salat sunat Rawatib: Qabliyah dan ba’diyah.

 

8. Sekiranya ada luka pada bahagian kaki dan sudah dibalut tetapi ada keluar air dengan sedikit darah. Haruskah ditukar balutan itu atau biarkan sahaja ketika hendak salat?

🔵 Biarkan sahaja.

 

9. Adakah sah mandi wajib sekiranya ada lebihan air mani yang keluar setelah mandi wajib?

🔵 Sah. Itu bukan keluar air mani baharu tetapi ia lebihan dari dalam kantung sahaja.

G. Membaca Al-Fatihah Adalah Rukun Setiap Salat

Tajuk:
1⃣. Keutamaan membaca al-Fatihah.
2⃣. Adakah Basmalah dibaca dengan kuat?
3⃣. Adakah Basmalah termasuk salah satu dari surah al-Fatihah?
4⃣. Orang yang tidak mampu hafal surah al-Fatihah.
5⃣. Adakah surah al-Fatihah dibaca juga oleh makmum?

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

G. Membaca Fatihah adalah rukun bagi setiap rakaat

Tidak perlu dipanjangkan lagi, semua sudah tahu bahawa Surah al-Fatihah adalah rukun salat. Memang perlu dibaca dan tidak boleh ditukar dengan surah-surah lain. Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Salat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah.

✍🏻 Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

”Tidak ada salat (tidak salatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.” (HR. Ibnu Majah no. 828)


1. Keutamaan membaca al-Fatihah

Bacaan al-Fatihah kita di dalam salat itu didengari oleh Allah ﷻ dan dijawab oleh Allah ﷻ

✍🏻 Dalilnya adalah;

« قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ ( الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِى عَبْدِى وَإِذَا قَالَ (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَىَّ عَبْدِى. وَإِذَا قَالَ (مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ). قَالَ مَجَّدَنِى عَبْدِى – وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَىَّ عَبْدِى – فَإِذَا قَالَ (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ). قَالَ هَذَا بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ. فَإِذَا قَالَ (اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ ). قَالَ هَذَا لِعَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ »

“Allah تعالى berfirman: Aku telah membahagikan salat antara-Ku dan antara hamba-Ku dua bahagian. Dan bagi hamba-Ku apa dia pinta. Maka apabila hamba berkata (Alhamdulillahirabbil alamin). Allah تعالى menjawab: Hamba-Ku memuji-Ku. Dan apabila dia berkata (Arrahmanirrahim) Allah تعالى berfirman: Hamba-Ku telah memuja muji ke atas-Ku. Dan apabila dia berkata (Malikiyaumiddin), Allah menjawab: hamba-Ku memuliakan Aku dan Dia berkata hamba-Ku menyerahkan kepada-Ku. Apabila dia berkata (Iyyakana’budu wa iyyakanasta’in) Dia berfirman “Ini diantara-Ku dan antara hamba-Ku, dan untuk hamba-Ku apa yang dia pinta”. Dan apabila dia membaca (Ihdinassirotolmustaqim……….waladdollin) Maka Allah menjawab: Ini adalah untuk hamba-Ku, dan baginya apa yang ia minta.
(HR. Muslim no. 904)

Syarah: Ini adalah salah satu dari Hadith Qudsi. Amat hebat sekali hadith ini dan perlu kita ketahui. Kalau kita dapat ingat hadith ini dan kita bayangkan semasa salat itu Allah ﷻ sedang menjawab bacaan kita, maka tentunya bacaan al-Fatihah kita lebih bermakna, bukan? Inilah salah satu dari cara untuk mendapat khusyuk di dalam salat.

Penting untuk kita faham apa yang kita baca dalam salat supaya setiap tutur kata kita itu bermakna dan tidaklah kita cakap kosong sahaja. Oleh kerana al-Fatihah ini sudah beribu dan entah berjuta kali kita baca, sehingga tanpa kita hadir hati pun, kita boleh baca dengan lengkap. Tetapi masalahnya, bila kita tidak tumpukan perhatian, maka fikiran kita akan menerawang jauh entah ke mana.

Maka hadith di atas amat penting untuk kita ingat.

Surah al-Fatihah ini adalah satu surah yang amat agung. Ini kita tahu dari banyak pujian Rasulullah ﷺ .

✍🏻 Antaranya sebuah hadith dimana Rasulullah ﷺ bersabda:
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ

“Alhamdulillahirabbil ‘alamin (surah al-Fatihah) adalah as-Sab’ul matsani dan al-Qur’an yang agung yang dikurniakan padaku.” (Sahih Bukhari no. 4622 dari Abu Sa’id bin al-Mu’alla).

Syarah: As-Sab’ul Mathani bermaksud ‘tujuh yang diulang-ulang’. Maksudnya ada tujuh ayat di dalamnya dan memang sentiasa diulang-ulang oleh Muslimin di dalam kehidupan sehariannya.

Lagi satu maksud Sab’ul Mathani ialah ia mengandungi tujuh perkara utama yang diulang-ulang di dalamnya. Maksudnya, Fatihah ini sebenarnya adalah ‘ringkasan’ kepada keseluruhan Al-Quran. Maka apabila kita membacanya, maka kita diingatkan kepada keseluruhan Al-Quran.

Tetapi untuk memahaminya, kenalah dahulu belajar tafsir Surah al-Fatihah ini. Barulah bacaan kita lebih bermakna. Barulah sekejap gembira, sekejap takjub, sekejap takut hendak menangis, sekejap rasa sayang sangat kepada Allah ﷻ, sekejap berharap, sekejap benci kepada Yahudi dan kemudian kesian kepada Nasara.

Semua ini dan banyak lagi ada di dalam Surah al-Fatihah. Tetapi kalau tidak dipelajari tafsirnya, tentu tidak terasa.

Maka kerana kehebatan Surah al-Fatihah inilah yang menyebabkan ia amat sesuai sekali dibaca di dalam salat kita. Tentu ada sebab kenapa Allah ﷻ suruh kita baca al-Fatihah di dalam setiap rakaat kita, bukan?


2. Apakah Basmalah dibaca dengan kuat?

Ini mungkin satu perkara yang agak janggal pula kepada pelajar baru. Kenapa pula ada persoalan ini? Bukankah selalu kita baca basmalah?

Membaca basmalah sebelum membaca al-Fatihah adalah perkara yang khilaf. Ada ulama’ yang mewajibkan membacanya dan ada yang tidak, malah makruh pula membaca basmalah. Perbincangan ini adalah sebagai pengetahuan kepada anda kalaulah ada yang tidak baca basmalah dalam al-Fatihah, tidaklah terkejut sangat. Apabila kita ada ilmu, kita boleh relaks sahaja dan tidak kelam kabut.

Lebih teruk lagi, tidaklah menuduh orang yang tidak membaca basmalah itu sebagai Wahabi. Antara Imam yang kata tidak wajib membaca basmalah adalah Imam Nawawi رحمه الله. Sejak bila pula beliau mendaftarkan diri menjadi Wahabi?

Ulama’ khilaf sama ada dibacakan basmalah sebelum baca Surah al-Fatihah ataupun tidak, kerana ulama’ pun khilaf, adakah Basmalah sebahagian Surah al-Fatihah ataupun tidak? (ini akan dibincangkan dalam topik seterusnya nanti). Bagi mereka yang mengatakan Basmalah sebahagian dari al-Fatihah, maka kena baca basmalah dengan jahr dan kalau yang berpendapat basmalah bukan sebahagian dari al-Fatihah, maka tidak boleh basmalah dibaca jahr (sama ada tidak baca langsung, atau dibaca sirr sahaja).

Menurut al-Hafiz Ibn Katsir (700 – 774 H), seorang imam besar, ahli tafsir, dan antara ulama agung bermazhab Syafi’iy, para ulama’ bersepakat bahawa kalimah بسم الله الرحمن الرحيم Bismillahirrahmaanirrahiim (Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang), adalah salah satu ayat dalam Surah An-Naml (iaitu ayat ke-30).

Kemudian mereka berbeza pendapat dalam perkara-perkara berikut:

1. Adakah basmalah merupakan ayat tersendiri yang diletakkan pada setiap awal surah? Atau
2. Merupakan bahagian awal surah yang ditulis pada awalnya? Atau
3. Sebahagian daripada setiap surah yang tuliskan pada awal surah? Atau
4. Sebahagian daripada Surah al-Fatihah sahaja, tetapi tidak pada surah lain? Atau
5. Pemisah antara surah-surah, dan bukan ayat Al-Quran? Dan pendapat ini, antara pendapat-pendapat ulama’ salaf dan khalaf, adalah yang paling disukai daripada yang tersebut di atas.

Kalau kita lihat perbahasan di atas, memang banyak sekali khilaf antara ulama’. Maka tidak hairanlah kalau masyarakat pun ada khilaf.

Daripada kata-kata Ibn Katsir رحمه الله ini, dapat kita ketahui bahawa jumhur ulama’ berpendapat bahawa basmalah hanyalah pemisah atau pembatas antara surah-surah dalam Al-Quran, dan bukan ayat Al-Quran itu sendiri. Dan pendapat ini merupakan pendapat yang menjadi popular (kegemaran) di kalangan ulama’ salaf (terdahulu) mahupun khalaf (terkemudian). Dan kita juga mengetahui, bahawa Ibn Katsir رحمه الله adalah salah seorang ulama’ bermazhab Syafi’iy.

✍🏻 Antara dalil yang digunakan sebagai hujah mengatakan tidak dibacakan basmalah secara jahar adalah:

1⃣. Hadith daripada Anas رضي الله عنه yang menyebutkan,
َعَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا كَانُوا يَفْتَتِحُونَ الصَّلَاةَ بِ
{ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ }

Maksudnya: “bahawasanya Nabi ﷺ, Abu Bakr dan ‘Umar رضي الله عنهما memulai salat dengan bacaan Alhamdulillaahi Rabbil’alamiin.” (Sahih Bukhari no. 701)

2⃣. Disebutkan dalam kitab tersebut, Imam Muslim رحمه الله telah menambah:

لَا يَذْكُرُونَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فِي أَوَّلِ قِرَاءَةٍ وَلَا فِي آخِرِهَا

Mereka tidak menyebut Bismillaahirrahmaanirrahiim pada awal bacaan mahupun akhirnya. (Sahih Muslim no. 606)

3⃣.
وفي رواية لاحمد و النسائي و ابن خزيمة : لا يجهرون ببسم الله الرحمن الرحيم
Dan dalam satu riwayat daripada Ahmad, Nasa`i dan Ibn Khuzaimah: Mereka tidak membaca dengan kuat Bismillaahirrahmaanirrahiim.
(Bulughul Maram, kitab as-Salat no. 300)

4⃣.
وفي اخرى لابن خزيمة : كانو يسرون

Dan dalam riwayat daripada Ibn Khuzaimah: Mereka membaca Bismillaahirrahmaanirrahiim dengan suara yang lembut.
(Bulughul Maram, Kitab as-Salat no. 301)

Syarah: Berdasarkan riwayat ini, dapat ditakwilkan kepada riwayat yang meniadakan membacanya sepertimana dalam riwayat Imam Muslim رحمه الله. Namun bukanlah tidak dibaca langsung basmalah itu, tetapi dibaca secara lembut sahaja.

Akan tetapi pihak yang mengatakan basmalah dibaca jahr ada hujah mereka juga. Antaranya sebuah hadith yang diriwayatkan secara jemaah daripada sahabat-sahabat, bahawasanya Rasulullah ﷺ menjaharkan bacaan Bismillaahirrahmaanirrahiim.

✍🏻 Iaitu dalil dari riwayat Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nua’im bin Abdullah al-Mujmar رحمه الله. Beliau berkata;

صلَّيتُ وراءَ أبي هُرَيْرةَ فقرأَ : بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ، ثمَّ قرأَ بأمِّ القرآنِ حتَّى إذا بلغَ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ فقالَ : آمينَ . فقالَ النَّاسُ : آمينَ ويقولُ : كلَّما سجدَ اللَّهِ أَكْبر ، وإذا قامَ منَ الجلوسِ في الاثنتَينِ قالَ : اللَّهُ أَكْبر ، وإذا سلَّمَ قالَ : والَّذي نفسي بيدِهِ إنِّي لأشبَهُكم صلاةً برسولِ اللَّهِ – صلَّى اللَّهُ عليهِ وعلَى آلِهِ وسلَّمَ – .

Aku pernah salat di belakang Abu Hurairah kemudian dia membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , lalu membaca surat Al Fatihah hingga tatkala telah sampai pada غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّين , (bukan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang tersesat) dia mengucapkan آمينَ. Orang-orang pun lalu mengucapkan آمينَ pula. Abu Hurairah juga mengucapkan اللَّهُ أَكْبر setiap kali hendak sujud, dan ketika bangun dari duduk tahiyyat pertama. Setelah selesai salam, dia berkata; Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, Aku adalah orang yang paling menyerupai Rasulullah ﷺ dalam salat.

(Dinilai hasan oleh syaikh Muqbil Hadi al-Wad’iy dalam Sahih al-Musnad no.1404. Namun riwayat Nu’aim Al Mujmar dinilai sahih di sisi mazhab Syafi’iy)

Syarah: Maka pihak yang mengatakan memang sunnah bacaan basmalah jahar itu pun ada dalilnya. Tetapi, menurut Prof. Dr. HAMKA, apabila kita selidiki lebih mendalam, seperti yang telah dilakukan oleh Imam asy-Syaukani رحمه الله dalam kitab Nailul Authar, setiap hadith yang menjadi pegangan bagi golongan yang men”jahr”kan itu ada sahaja Naqd (kritikan) terhadap perawinya, sehinggakan yang betul-betul bebas daripada kritikan langsung tidak ada. At-Tirmizi pernah mengatakan: “Isnadnya tidaklah sampai sedemikian tinggi nilainya.”

Kesimpulan: Terdapat perbezaan pendapat yang ketara antara para sahabat, tabiin, dan para ulama’ secara umumnya. Kedua-dua golongan, yang men”jahr”kan dan men”sir”kan bacaan basmalah masing-masing mempunyai dalil-dalil dan hujah mereka sendiri.

Pendapat saya, dalil yang mengatakan tidak men”jahr”kan basmalah adalah lebih kuat. Ini dikuatkan lagi dengan keterangan daripada muhaddith abad ini, Syaikh Nasiruddin al-Albani رحمه الله dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Sifat Solat Nabiyyi ﷺ min Al-Takbiir ilaa At-Tasliim ka`annaka taraahaa (Sifat Salat Nabi ﷺ daripada takbir hingga salam seolah-olah engkau melihatnya). Beliau mengambil pendapat yang men’sir’kan bacaan basmalah.

Begitulah juga pendapat Syaikh Husain bin ‘Audah al-Awayisyah, penulis kitab ENSIKLOPEDI FIQIH PRAKTIS yang menjadi rujukan utama kelas kita ini.

Maka boleh sahaja kalau jadi imam dan bacaan basmalah itu dilembutkan. Dan kalau kita menjadi makmum kepada imam yang berbuat begitu, tidaklah kita hairan lagi. Tidaklah kecoh pakat kumpul makmum yang lain dan cari imam lain sebab salat tidak sah kerana imam tidak membaca basmalah.


3. Apakah Basmalah termasuk salah satu dari Surah al-Fatihah?

Ini juga adalah satu perbincangan panjang lebar juga di kalangan ulama’. Saya sampaikan di sini supaya kita tahu ada perbincangan ini dan tidaklah kita hairan kalau ada yang baca al-Fatihah tetapi tidak menyebut basmalah. Namun tidaklah kita membincangkannya dengan terlalu panjang kerana di sini hanyalah kelas pemula sahaja.

Oleh kerana negara ini kebanyakannya memakai pendapat Imam Syafi’iy, maka kita sudah biasa menerima basmalah sebagai sebahagian dari al-Fatihah. Akan tetapi, menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanafiyah, pendapat yang paling sahih dalam mazhab Hanbali, dan menjadi pendapat kebanyakan fuqaha, basmalah bukanlah sebahagian dari al-Fatihah dan bukan sebahagian dari awal surah apa pun dalam Al-Quran. Namun basmalah adalah ayat yang ada dalam Al-Quran.

📍 Fungsi basmalah adalah untuk memisah satu surah dengan surah lainnya. Basmalah disebut di awal surah al-Fatihah. Sedangkan menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Malikiyyah, basmalah bukan sebahagian dari ayat Al-Quran kecuali pada surah an-Naml.

✍🏻 Dalil bahawasanya basmalah bukan sebahagian dari al-Fatihah adalah dari hadith Qudsi yang kita telah pernah berikan sebelum ini. Riwayat ini dari Abu Hurairah رضي الله عنه,

« قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ ( الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِى عَبْدِى وَإِذَا قَالَ (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَىَّ عَبْدِى. وَإِذَا قَالَ (مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ). قَالَ مَجَّدَنِى عَبْدِى – وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَىَّ عَبْدِى – فَإِذَا قَالَ (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ). قَالَ هَذَا بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ. فَإِذَا قَالَ (اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ ). قَالَ هَذَا لِعَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ ».

“Allah تعالى berfirman: Aku membahagi salat (maksudnya: Al Fatihah) menjadi dua bahagian, iaitu antara diri-Ku dan hamba-Ku dua bahagian dan bagi hamba-Ku apa yang dia minta. Jika hamba mengucapkan ’alhamdulillahi rabbil ‘alamin (segala puji hanya milik Allah)’, Allah تعالى berfirman: Hamba-Ku telah memuji-Ku. Ketika hamba tersebut mengucapkan ‘ar rahmanir rahiim (Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang)’, Allah ‎تعالى berfirman: Hamba-Ku telah menyanjung-Ku. Ketika hamba tersebut mengucapkan ‘maaliki yaumiddiin (Yang Menguasai hari pembalasan)’, Allah ‎berfirman: Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku. Dia berkata sesekali: Hamba-Ku telah memberi kuasa penuh kepada-Ku. Jika ia mengucapkan ‘iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in (hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan)’, Allah berfirman: Ini antara-Ku dan hamba-Ku, bagi hamba-Ku apa yang dia minta. Jika dia mengucapkan ‘ihdiinash shiroothol mustaqiim, shirootolladzina an’amta ‘alaihim, ghoiril magdhuubi ‘alaihim wa laaddhoollin’ (tunjukkanlah pada kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang telah Engkau beri nikmat, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan jalan orang yang sesat), Allah berfirman: Ini untuk hamba-Ku, bagi hamba-Ku apa yang dia minta.” (HR. Muslim no. 395).

Syarah: Kalau dibaca hadith ini, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ terus mula menyebut al-Fatihah dengan kalimat alhamdulillah… bukannya bismillah.

📌 Alasan kedua: Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia bahagikan al-Fatihah ini kepada ‘dua bahagian’. Dan kalimah iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in adalah antara Allah ‎ﷻ dan hambaNya, yang bermaksud ia duduk di tengah-tengah. Kalau ingin jadikan iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in duduk di tengah-tengah, maka basmalah tidak termasuk. Cuba tengok balik susunan al-Fatihah itu. Kalau buang basmalah, barulah kemas iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in duduk di tengah-tengah.

Mungkin timbul persoalan lain pula: bagaimana pula al-Fatihah itu disebut sebagai tujuh ayat yang diulang-ulang? Kalau buang basmalah, tinggal 6 sahaja, kan?

Jangan takut, ia tetap 7 ayat juga. Iaitu ayat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ dipecah menjadi dua:

Kalimat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم menjadi ayat ke 6 dan kalimat غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ menjadi ayat ke 7.

Tetapi, memang ada juga pendapat yang mengatakan basmalah adalah sebahagian dari al-Fatihah.

✍🏻 Dalil:

1⃣. Terdapat hadith dari Ummu Salamah رضي الله عنها menceritakan:

أنّ النبيَّ قرأ في الصلاة بسم الله الرحمن الرحيم ، وعدها آية.

“Sesungguhnya Nabi membaca Bismillahirrahmanirrahim sebagai satu ayat (dari al-Fatihah)”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang sahih. Dinilai sahih dalam Irwa’ no. 343 oleh al-Albani. Kedudukan sanad hadith ini sebagai sahih juga ditegaskan oleh Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka al-Fiqhul-Manhaji (Jil. 1, hlm. 131)).

2⃣. Daripada Nu’aim al-Mujmar رحمه الله:

. صَلَّيتُ وَراءَ أبي هُرَيرةَ فقَرَأَ: {بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ} [الفاتحة: 1]، ثم قرَأَ بأُمِّ القُرآنِ، حتى بلَغَ {غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ} [الفاتحة: 7]، قال: آمينَ، وقال النَّاسُ: آمينَ، ويقولُ كلَّما سَجَدَ: اللهُ أكبرُ، وإذا قام منَ الجُلوسِ منَ اثنتَينِ قال: اللهُ أكبرُ، ثم يقولُ إذا سَلَّمَ: والذي نَفْسي بيَدِه، إنِّي لأشبَهُكم صَلاةً برسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ..

Aku pernah salat di belakang Abu Hurairah kemudian dia membaca ” بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ [ al-Fatihah:1], lalu membaca surah al-Fatihah hingga tatkala telah sampai pada ‘ { غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } [al-Fatihah:7], (bukan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang tersesat) dia mengucapkan ‘Aamiin.’ Orang-orang pun lalu mengucapkan Aamiin pula. Abu Hurairah juga mengucapkan ‘Allahu Akbar’ setiap hendak sujud, dan bangun dari duduk tahiyyat pertama. Setelah selesai salam, dia berkata; Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, Aku adalah orang yang paling menyerupai Rasulullah ﷺ dalam salat.

(Dinilai sahih oleh Syaikh Syu’aib al-Arna’outh, takhrij Sunan ad-Daruqutni no. 1168).

Kesimpulan: Kedua-dua kumpulan mempunyai hujah masing-masing. Jadi ianya kekal menjadi ikhtilaf di kalangan ulama’. Maka kita terima itu sebagai khilaf dan menerima seadanya dalam perkara ini yang memerlukan berlapang ada (iaitu apabila dua-dua pihak ada dalil).


4. Orang tidak mampu menghafal surah al-Fatihah

Kita telah sebut yang al-Fatihah adalah rukun salat. Ini jelas melalui sabda Nabi ﷺ:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tiada salat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.” (HR Imam al-Bukhari no. 756)

Tetapi bagaimana jikalau seseorang itu tidak mampu menghafal al-Fatihah (mungkin kerana masih kecil atau mualaf yang baru masuk Islam?).

Allah ﷻ tidak membebankan sesiapa yang tidak mampu. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

al-Baqarah:286

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada Al-Quran, maka bolehlah orang itu menggantikannya dengan zikir sebagai ganti surah al-Fatihah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad رحمهم الله.

✍🏻 Daripada Abdillah bin Abi Aufa رضي الله عنه;
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ: إِنِّي لاَ أَسْتَطِيعُ أَنْ آخَذُ مِنَ القُرْآنِ شَيْئًا ، فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئُنِي مِنهُ ، قَالَ: قُلْ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.
(رواه أبو داود وأحمد)

Maksudnya: Telah datang seseorang kepada Nabi ﷺ, lalu beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ: Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatu pun daripada Al-Quran, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada Al-Qur’an.

Lalu Baginda ﷺ pun menjawab: Bacalah:

(سُبْحَانَ اللَّهِ ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ).

(Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan tiada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar). (HR Imam Abu Daud no. 832 dan Musnad Ahmad no. 18322)

Syarah: Jadi boleh terus salat dan baca zikir-zikir itu. Akan tetapi hendaklah seseorang itu berusaha sedaya mungkin untuk belajar menghafal Surah al-Fatihah kerana penukaran kepada zikir di atas bukanlah berterusan.

Ia untuk jangka masa pendek sahaja, sehingga dia boleh lancar membaca al-Fatihah.


5. Apakah Surah al-Fatihah dibaca juga oleh makmum?

Seperti yang kita telah pernah sebutkan, al-Fatihah wajib di dalam salat sama ada salat Fardhu atau Salat sunat. Akan tetapi kewajipan ini gugur bagi makmum. Makmum wajib diam dan mendengar bacaan imam dalam rakaat jahriah.

✍🏻 Ini berdasarkan kepada firman Allah ﷻ dalam A’raf:204

وَإِذا قُرِئَ القُرآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.

Syarah: Oleh kerana imam sedang membaca surah dari Al-Quran selepas Fatihah, maka wajib makmum mendengar bacaan imam itu.

Dalil-dalil lain yang menunjukkan makmum tidak perlu membaca surah al-Fatihah dalam salat jahriyyah (iaitu apabila imam membaca surah dengan kuat – rakaat pertama dan kedua dalam salat Subuh, Maghrib dan Isyak) adalah hadith berikut:

✍🏻 Dalil-dalilnya:

1⃣. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , beliau berkata;

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا.

Dijadikan imam itu hanya untuk diikuti. Oleh kerana itu apabila imam takbir, takbirlah kalian, dan apabila imam membaca, maka hendaklah kalian diam mendengarkan (bacaan imam itu).”
[Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah رحمه الله dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani رحمه الله dalam Sahih Sunan Ibn Majah, hadith no. 846]

2⃣. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, katanya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
انْصَرَفَ مِنْ صَلاَةٍ جَهَرَ فِيهَا بِالْقِرَاءَةِ
فَقَالَ: هَلْ قَرَأَ مَعِي أَحَدٌ مِنْكُمْ آنِفًا؟
فَقَالَ رَجُلٌ: نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ.
قَالَ: إِنِّي أَقُولُ مَالِي أُنَازَعُ الْقُرْآنَ؟
قَالَ: فَانْتَهَى النَّاسُ عَنْ الْقِرَاءَةِ
مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا جَهَرَ
فِيهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الصَّلَوَاتِ بِالْقِرَاءَةِ
حِينَ سَمِعُوا ذَلِكَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ ِ.

Dari Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah ﷺ sesudah selesai mendirikan salat yang baginda keraskan bacaannya (jahriyah)
di dalam salat itu, Baginda bertanya:

“Apakah ada seseorang di antara kamu yang membaca bersamaku tadi?”
Maka seorang laki-laki menjawab, “Ada ya Rasulullah!”
Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berkata: Mengapakah (bacaan)ku dilawan dengan Al-Quran juga?”
Berkata Abu Hurairah: “Kemudian berhentilah orang-orang dari membaca bersama Rasulullah ﷺ pada salat-salat
yang Rasulullah ﷺ keraskan bacaannya,
ketika mereka sudah mendengar (larangan) yang demikian itu dari Nabi ﷺ ”.
[Sahih: Dikeluarkan oleh at-Tirmizi رحمه الله dan beliau berkata: “Hadith ini hasan.” Al-Albani رحمه الله menilainya sahih, rujuk Shahih Sunan at-Tirmizi, hadith no. 312]

📌 Pendapat makmum tidak membaca al-Fatihah dalam salat jahriyah ini juga adalah menjadi pilihan Ahmad bin Hanbal dan Malik bin Anas, al-Zuhri, Ibnul Mubarak, Ishak dan dikuatkan oleh Ibnu Taymiyyah رحمهم الله.

Membaca al-Fatihah atau tidak bagi makmum di belakang imam, adalah masalah yang sering menjadi perselisihan dan perdebatan, bahkan sampai-sampai ada sebagian ulama’ membuat tulisan tersendiri tentang hal ini. Perselisihan ini berasal dari pemahaman dalil. Ada dalil yang menegaskan harus membacanya dan ada dalil yang memerintahkan untuk membacanya. Di lain sisi, ada juga ayat atau berbagai hadith yang memerintahkan diam ketika imam membacanya. Dari sinilah terjadinya khilaf.

📍 Secara umumnya, ada tiga pendapat:

1⃣. Mazhab Hanafi, langsung tidak membaca al-Fatihah di belakang imam. Kerana imam telah menanggung bacaan al-Fatihah makmum.

2⃣. Mazhab Syafie, makmum tetap wajib membaca al-Fatihah di belakang imam.

3⃣. Pendapat ketiga ini menjamak dua pendapat di atas. Ini adalah pendapat mazhab Malik. Kalau dengar bacaan al-Fatihah imam (rakaat pertama dan kedua, makmum tidak membaca al-Fatihah. Tetapi kalau tidak dengar (rakaat ketiga, keempat atau duduk jauh atau pekak), maka baca al-Fatihah.

Lalu bagaimana pula kalau tidak membaca al-Fatihah? Bukankah al-Fatihah itu wajib? Memang wajib, tetapi ia telah ditanggung oleh imam.

✍🏻 Ini berdasarkan seperti dalil-dalil di bawah:

1⃣. Daripada Jabir bin Abdullah bin Amru bin Haram رضي الله عنهما,

من كان له إمام فقراءة الإمام له قراءة

“Barangsiapa yang salat di belakang imam, bacaan imam menjadi bacaan untuknya.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah no. 850. Syaikh Al Albani رحمه الله mengatakan bahwa hadis ini hasan. Namun, ada juga yang mengkritik hadith ini dan kerana itu bukan semua mengambil hadith ini sebagai sandaran).

Akan tetapi ada lagi dalil lain sebagai penguat. Hadith lainnya adalah sabda Nabi ﷺ,

2⃣. Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه;

إِنَّمَا الإِمَامُ – أَوْ إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ – لِيُؤْتَمَّ بِهِ ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا ، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا ، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا ، وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ . فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ . وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

“Sesungguhnya imam itu diangkat untuk diikuti. Jika imam bertakbir, maka bertakbirlah. Jika imam rukuk, maka rukuklah. Jika imam bangkit dari rukuk, maka bangkitlah. Jika imam mengucapkan ‘sami’allahu liman hamidah’, ucapkanlah ‘rabbana wa lakal hamd’. Jika imam sujud, sujudlah.” Dalam riwayat Muslim pada hadith Abu Musa terdapat tambahan,

وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا

“Jika imam membaca (al-Fatihah), maka diamlah.”

(HR Bukhari no. 733 dan Muslim no. 411)

Serta satu lagi adalah perbuatan seorang sahabat, Abu Bakrah (bukan Abu Bakr).

3⃣. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari jalan al-Hasan, dari Abu Bakrah bahawasanya dia mendapati Nabi ﷺ sedang rukuk. Lalu Abu Bakrah rukuk sebelum sampai ke saf. Lalu ia menceritakan kejadian yang dia lakukan tadi kepada Nabi ﷺ,

زَادَكَ اللَّهُ حِرْصًا وَلاَ تَعُدْ

“Semoga Allah menambah semangat untukmu, namun jangan diulangi.” (HR Bukhari no. 783)

Syarah: Dari hadith ini Abu Bakrah رضي الله عنه tidak sempat dapat al-Fatihah dengan imam. Beliau hanya sempat dapat rukuk sekali sahaja. Kemudian Nabi ﷺ tidak pun menyuruh Abu Bakrah رضي الله عنه mengulang baca al-Fatihah.

📍 Maka pendapat yang mengatakan makmum tidak perlu membaca al-Fatihah dalam rakaat jahriyyah adalah kuat. Maka janganlah takut untuk senyap sahaja mendengar bacaan imam.

Ada juga imam yang melakukan inovasi dengan berhenti sekejap selepas membaca al-Fatihah untuk beri peluang kepada makmum untuk membaca al-Fatihah. Tujuannya supaya makmum baca juga al-Fatihah dan semasa imam baca surah, makmum dapat dengar bacaan surah imam.

Dalil untuk perbuatan ini tidak ada dalam sunnah. Maka paling tinggi ianya adalah setakat ijtihad sahaja. Tetapi ada masalah kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah melakukan perkara ini. Jadi kita takut hendak buat sesuatu yang baginda tidak lakukan, sedangkan baginda salat setiap hari dan tidak ada contoh sebegitu daripada baginda dan para sahabat.

Dan perbuatan ini pun mengelirukan makmum. Bayangkan, imam beri peluang membaca al-Fatihah tetapi tidak beri masa yang cukup. Semasa makmum sempat baca tiga empat ayat al-Fatihah, imam sudah mula baca surah. Makmum pun pening sekejap: hendak habiskan al-Fatihah atau berhenti dengar bacaan imam?

Dan kalau jadi imam dan amalkan perbuatan ini pun agak susah juga: sementara bagi peluang makmum baca al-Fatihah, imam buat apa? Adakah menunggu sahaja dengan senyap? Adakah baca al-Fatihah sekali lagi? Adakah baca surah lain sementara menunggu?

📌 Kalau buat salah satu dari tiga perkara di atas, apakah pula dalilnya? Allahu a’lam.

Setelah membaca Fatihah, maka kita akan membaca ta’min.


SESI SOAL JAWAB KELAS
========================

1. Bolehkah menggunakan kedua-dua hujah ni: Kadang-kadang membaca bismillah dan kadang-kadang tidak membacanya ketika di dalam salat?

🔵 Ya boleh. Ada masa hendak baca dan ada masa tidak baca. Sebab kedua-dua ada hujah dan dalil.

Kalau saya jadi imam kepada pelajar saya, saya tidak jahr basmalah. Kalau jadi imam kepada bukan pelajar, saya jaharkan. Elakkan kontroversi.

Sebab ada dalil. Kalau doa selepas salat, saya sudah tidak kira siapa makmum. Sebab dalil doa selepas salat memang tidak ada. Biarlah mereka terpinga-pinga.

 

2. Adakah basmalah itu tidak perlu dibaca atau hanya dibaca secara sir?

🔵 Imam Malik berpendapat makruh kalau baca basmalah.

Yang lain kata: Baca basmalah tetapi dibaca sirr.

Imam Syafie: Baca jahr.

Boleh lihat hujah-hujah mereka dan boleh buat pilihan. Mereka semua imam-imam kita.

 

3. Adakah ini juga untuk bacaan surah selepas al-Fatihah?

🔵 Ya.

 

4. Sekiranya makmum mengambil pendirian tidak membaca al-Fatihah ketika imam jahr, perlukah makmum itu membaca ta’awwuz juga?

🔵 Ini pun ada khilaf.

1⃣ Hanafi: Makmum langsung tidak baca al-Fatihah sebab bacaan al-Fatihah sudah ditanggung imam.

2⃣ Syafie: Makmum kena baca al-Fatihah setiap rakaat.

3⃣ Ahmad: Makmum cuma baca al-Fatihah pada rakaat ketiga dan empat sahaja.

Maka makmum yang membaca al-Fatihah, boleh sahaja ta’awwuz.

 

5. Dalam salat Zuhur umpamanya, bolehkah dibaca basmalah pada rakaat pertama dan tidak dibaca basmalah pada rakaat kedua atau keempat. Bercampur aduk antara membaca dan tidak membaca basmalah di dalam satu salat?

🔵 Ya, boleh.

 

6. Bolehkah wanita salat jahr jika dia salat di kamarnya?

🔵 Boleh.

 

7. Adakah wanita yang membaca jahr ketika salat sendirian mesti sirrkan suaranya jika suaminya lalu di situ?

🔵 Kalau suami dan anak-anak dengar tidak mengapa. Perkara yang menjadi masalah ialah kalau ajnabi dengar. Kalau dia salat dalam bilik, itu di kira sudah selamat.

 

8. Adakah batal salat kalau ajnabi dengar bacaan salat daripada wanita bukan mahram?

🔵 Tidak batal. Tetapi itu tidak bagus. Sebab itu wanita salat dalam bilik sahaja. maksud saya, kalau suami dan anak yang dengar, boleh lagi sebab bukan ajnabi.

Tetapi suara perempuan bukanlah kuat. Cuma kalau salat tetapi ada orang lelaki lain, maka akan mengganggu khusyuk. Sama sahaja, kalau lelaki salat tetapi ada perempuan, khusyuk jadi terganggu.

 

9. Sekiranya dia salat di ruang salat wanita, adakah dia mesti membaca secara sirr untuk tidak mengganggu orang lain yang sedang salat?

🔵 Senang sahaja. Untuk wanita, biar diri sendiri sahaja yang dengar. Tidak perlu disuarakan. Selalunya tidak kuat mana pun suara perempuan.

 

10. Andaikan kita salat sendirian dan ingin membaca beberapa surah pendek, misalannya surah 3 Qul, adakah boleh jika tidak dibaca basmalah antara ketiga-tiga surah tersebut atau seeloknya dibaca basmalah sebagai penanda pemisah antara surah-surah?

🔵 Kedua-duanya boleh.

 

11. Firman Allah ﷻ:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang) …
[Al-Muzzammil 73:20]

Adakah ini suatu rukhsah atau kadar minima ayat yang wajib dibaca di dalam salat?

🔵 Ini adalah berkenaan bacaan surah selepas Fatihah dalam salat sunat.

 

12. Bolehkah perempuan membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara perlahan atau baca sekadar menggerakkan mulut sahaja (tidak mengeluarkan suara) sama ada bersendirian atau berjemaah?

🔵 Boleh sahaja dibaca kuat atau tidak.

Kalau baca dengan kuat (keluar suara) jangan sampai ganggu orang. Itu sahaja.

 

13. Adakah sama sahaja hukumnya bagi imam wanita untuk jemaah wanita dengan imam lelaki?

Adakah imam wanita tidak membaca kuat atau imam hanya baca dalam hati?

🔵 Ya, tidak boleh baca dalam hati.

Imam wanita dan lelaki sama sahaja. Cuma imam wanita duduk dalam saf.

 

14. Manakah pendapat yang rajih dalam membaca surah al-Fatihah dalam salat berjemaah?

Sekiranya kita memilih pendapat Imam Malik, adakah kita kena berpegang pada pendapat itu selamanya atau kita boleh tukar kepada pendapat lain pula apabila ada keperluan?

🔵 Semua pendapat itu ada dalil. Maka boleh pilih salah satu yang anda rasa paling kuat.

Pendapat dan pegangan boleh berubah dari masa ke semasa. Ada ketika, kita sangka itu satu pendapat yang kuat. Tetapi kemudian dapat dalil yang menguatkan pendapat yang lain, maka boleh sahaja tukar. Ini bukan macam pilih pasukan bola sepak, pegang sampai mati.

 

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Bagi salat jamak qasar , adakah iqamah boleh dibaca pada salat kedua setelah selesai menunaikan salat yang pertama?

🔵 Ya, ini sunnah.

 

2. Bagaimanakah jarak kaki ketika berdiri untuk salat ketika bersendirian dan berjemaah?

🔵 Biasa sahaja, selebar bahu lebih kurang, jangan kuncup dan jangan kangkang. Kaki menghadap ke kiblat, tidak capang ke kiri dan kanan.

 

3. Saya terbaca ada pelbagai versi pendapat yang menyentuh bab kaki. Ada pendapat kata kalau berjemaah kena sampai perlu bersentuh bahu dan kaki. Tidak boleh renggang sehasta. Jika tidak, maka batal saf. Adakah itu benar?

🔵 Bahu sahaja yang kena rapat, tetapi kaki tidak perlu.

Jika tidak sentuh bahu sahaja sudah dikira tiada pahala saf. Tidak perlu tunggu sampai sehasta.

 

4. Bagi jemaah perempuan sesama perempuan, adakah kedudukan imamnya sebaris dengan makmum?

Adakah kena bersentuh bahu juga sama seperti jemaah lelaki?

🔵 Ya. Sama baris dan bersentuh bahu.

 

5. Benarkah bahagian tapak kaki perempuan kena dirapatkan ketika salat? Atau boleh saja seperti lelaki?

🔵 Cara salat wanita sama sahaja seperti lelaki.

 

6. Adakah larangan lalu di hadapan orang salat itu, bagi orang yang salat berjemaah atau salat sendirian?

Bagaimana jika seorang makmum yang mempunyai hajat tetapi laluannya terhalang oleh orang yang salat sunat?

🔵 Kalau salat jemaah tiada masalah lalu di hadapan makmum lain, sebab sutrah makmum adalah sutrah imam.

Jika kes orang yang salat sendirian, maka tidak boleh lalu di hadapan dia. Kena tunggulah.

Orang yang salat itu yang masalah. Tidak tahu cari tempat sesuai untuk salat.

 

7. Benarkah kalau lalu di tempat dia sujud itu yang tidak boleh. Kalau lalu di luar tempat sujud masih boleh, walaupun tiada sutrah?

🔵 Ya.

 

8. Apakah maksud luar tempat sujud?

🔵 Agak-agak kawasan kepala dia sujud.

 

9. Adakah syarat sutrah kena tinggi dan memadaikah jika ia sehelai kertas A4?

🔵 Dalil yang ada, sutrah kena tinggi sebab dalam hadith sebut pelana unta atau kuda.

Tetapi ada juga yang kata garisan juga boleh. Cuma hadith yang sebut garis itu tidak sahih. Maka sebaiknya ambil benda yang tinggi. Contohnya seperti bag sandang tetapi kalau tidak ada, pakai jugalah pendapat garisan itu.

 

10. Jika sutrah itu sudah tinggi, adakah ia juga mesti panjang dan selebar tubuh orang yang salat itu?

🔵 Tidaklah kena ikut ukuran tepat. Asalkan orang tahu itu sutrah.

Tidak ada ukuran lebar. Biasanya Nabi pakai tongkat sahaja dengan cacak tongkat di hadapan baginda.

 

11. Bolehkah jika saya letak kunci sahaja buat tanda, jika itu saja yang ada.

🔵 Kunci terlalu kecil untuk dijadikan sutrah.

 

12. Jika anak kecil usia 2 tahun lalu di hadapan ketika sedang salat, adakah kena sekat?

🔵 Tidak perlu. Sebab dia pun tidak faham.

 

13. Kalau saya ternampak serangga atau haiwan kecil pada telekung kawan, bolehkah saya tepis serangga tersebut sedang ketika itu saya juga sedang salat?

🔵 Biarkan.

 

14. Bagaimanakah cara yang benar ketika minum air zam-zam?

i) Minum berdiri sambil mengadap kiblat.
ii) Minum duduk sambil mengadap kiblat.

🔵 Telah ada larangan Nabi tentang minum sambil berdiri. Dan dalam masa yang sama, ada juga hadis Nabi minum berdiri. Antaranya semasa minum air zam-zam.

Maka, larangan minum berdiri itu adalah makruh, bukan haram. Kerana apabila Nabi larang dan kemudian buat pula yang baginda larang, maka larangan itu dikira sebagai makruh.

Maka, minum air termasuk air zam-zam itu sebaiknya duduk. Cuma kalau perlu minum berdiri, maka boleh sahaja.

Maka adab yang lebih penting adalah membaca basmalah, mengadap kiblat, berdoa, minum sampai kenyang dan tidak bernafas dalam air.

 

15. Adakah berdoa itu untuk air zam-zam sahaja atau boleh juga air selain air zam-zam?

Adakah dibaca doa khusus atau boleh saja apa-apa doa?

🔵 Kalau pasal duduk atau berdiri itu adalah untuk semua air.

Air yang berkat ialah air zam-zam. Boleh baca doa apa-apa sahaja. Tiada doa khusus.

 

16. Untuk mengamalkan sesuatu ilmu, wajibkah kita hafal dan tahu ulama’ yang mengeluarkan fatwa dan ijtihad tersebut?

Contohnya jika hendak tinggalkan qunut subuh, wajibkah kita tahu itu pendapat siapa?

🔵 Tidak wajib tahu siapa punya pendapat. Memadai sekadar kita tahu ada pendapat sebegitu.

Langkah terbaik ialah kita tahu itu pendapat siapa, apakah dalil sandaran yang dipakai. Inilah yang terbaik.

F. Berdiri pada Salat Fardhu (Qiyam)

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

F. Berdiri pada Salat Fardhu (Qiyam)

Jikalau kita mampu, maka wajib untuk salat berdiri dalam Salat Fardhu. Inilah yang dinamakan ‘qiyam’. Kalau salat sunat, memang ada pilihan sama ada mahu salat duduk atau berdiri. Tetapi kalau salat fardhu, wajib berdiri.

Tentunya tengok keadaan. Kalau tidak mampu, maka boleh salat duduk, baring, malah salat dengan mata pun boleh.

✍🏻 Ini berdasarkan firman-Nya:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.
(Surah al-Taghabun: 16)

Dan ini juga berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain رضي الله عنه katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang salat.

✍🏻 Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

“Bersalatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”
(HR. al-Bukhari no.1066)

Malah, kalau dalam keadaan takut, seseorang boleh salat fardhu sambil berjalan kaki atau di atas kenderaan. Dalam keadaan itu, qiblat pun sudah tidak dikira lagi.

Kalau seseorang itu terpaksa salat tanpa berdiri kerana keuzuran, dia akan tetap dapat pahala yang sama kalau dia salat berdiri.

✍🏼 Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

َ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan ketika dia beramal dalam keadaan dia bermukim dan juga dalam keadaan dia sihat.
(Sahih Bukhari no. 2274)

Bagaimana kalau boleh berdiri tetapi keadaan tidak sesuai, seperti salat di atas perahu di tengah gelombang lautan? Boleh juga duduk. Ini berdasarkan satu hadith:

✍🏻 Dalam sebuah hadith, Ibnu Abbas رضي الله عنهما bertanya kepada Rasulullah ﷺ :

يا رسولَ اللهِ كيف أُصَلّي في السفينَةِ قال صلّ فيها قائما إلا أن تخافَ الغرقَ

“Wahai Rasulullah, bagaimana cara salat di atas perahu? Baginda bersabda: ‘salatlah di dalamnya sambil berdiri, kecuali jika engkau takut tenggelam‘”
(HR. Ad Daruquthni 2/68, disahihkan Al Albani dalam Sahih Al Jami 3777. Menurut al-Baihaqi; hadith ini hasan. Lihat Faidhul-Qadier, hadith no. 5009 ).

Syarah: Maknanya, kita ikut kemampuan kita. Kalau rasa mampu salat berdiri kerana mungkin keadaan laut tidak bergelombang sangat, maka berdirilah. Kalau tidak boleh, barulah duduk. Jangan terus duduk.

Seperti yang telah disebut, salat sunat boleh dibuat secara duduk malah boleh berbaring.

✍🏻 Nabi ﷺ bersabda:

من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ

“Sesiapa yang salat secara berdiri itulah yang afdal, dan sesiapa yang bersalat secara duduk dia mendapat separuh pahala salat berdiri dan sesiapa yang bersalat secara mengiring dia mendapat separuh pahala salat duduk.”
( HR. al-Bukhari no. 1065)

Syarah: Maka boleh kalau mahu salat sunat duduk (tanpa sebab apa-apa) tetapi pahalanya jadi separuh dan kalau salat berbaring, pahala jadi suku. Mungkin jarang kita buat di negara ini. Tetapi kalau di negara lain, ada yang buat.

Sebagai contoh, imam salat terawih lama sangat, maka ada yang tidak tahan dan duduk dalam saf dan malah ada yang berbaring pun. Apabila kita tahu hukum, maka boleh sahaja kita melakukannya.

Semasa kita berdiri qiyam, tentunya yang pertama sekali kita baca adalah Surah Fatihah.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS ☘️
========================

1. Bagaimanakah keadaan seseorang yang tidak mampu berdiri tetapi yang mampu sujud? Adakah boleh sujud dengan duduk di atas kerusi?

🔵 Lakukan bahagian mana yang termampu. Jika boleh diri, maka perlu berdiri.

2. Bagaimanakah keadaan salat sambil berjalan kaki? Adakah perlu berhenti ketika rukuk dan sujud kemudian sambung berjalan kembali?

🔵 Situasinya adalah semasa itu sedang dikejar musuh. Maka tidak sempat hendak berhenti untuk rukuk dan sujud. Oleh itu, lakukan dengan isyarat sahaja.

3. Bagaimanakah salat sunat secara duduk atau baring ini? Adakah perlu takbiratul ihram secara berdiri kemudian terus duduk atau mulakan dengan keadaan duduk?

🔵 Takbir ketika duduk atau baring.

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Apakah hukum mengulangi bacaan Al-Fatihah kerana was-was dengan bacaan kita?

🔵 Ini adalah masalah was-was kerana gangguan syaitan. Ini perlu diperbaiki penyakit itu.

2. Adakah boleh ketika membaca Al-Fatihah tetapi hati fokus dengan terjemahan Al-Fatihah?

🔵 Boleh, itu adalah peringkat yang permulaan. Peringkat perlu menterjemah dahulu di dalam fikiran kerana tidak mahir bahasa Arab.

Apabila sudah mahir nanti, maka sudah boleh fokus pada bacaan tanpa perlu menterjemahkannya.

3. Adakah benar sukar untuk khusyuk jika kita tidak memahami konsep ihsan? Untuk mendalami tafsir ini, adakah perlu menghadiri kelas tafsir atau sekadar rujuk kitab tafsir sahaja?

🔵 Ada banyak tempat sudah boleh mempelajari tafsir sekarang. Di UiTO ini pun ada beberapa kelas tafsir dan saya pun sudah tafsirkan surah Al-Fatihah dalam group yang lain.

Boleh membaca sendiri kitab tafsir, tetapi lebih baik jika ada guru yang mengajar kerana jika sekadar membaca sahaja, lebih susah hendak faham.

Ya, konsep ihsan itu perasaan seperti Allah sedang melihat kita. Tetapi dimulakan dengan tafhim (faham apa yang dibaca). Kita faham apa yang kita sebut, kita dapat rasai seperti sedang berdialog dengan Allah dan senanglah sedar yang Allah sedang memerhatikan kita.

E. Isti’azah (Membaca Ta’awwuz)

Tajuk :
1. Melirihkan Bacaan Ta’awwuz
2. Membaca Ta’awwuz Pada Setiap Rakaat

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

E. Isti’azah (membaca Ta’awwuz)

Isti’adzah atau ta’awwuz (ada dua panggilan) ini adalah lafaz:

اَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Kalau inginkan bacaan yang panjang, boleh dibaca:

أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ

“A’udzu billahis samii’il ‘aliim, minasy syaithoonir rojiim min hamzihi wa nafkhihi wa naftsih (ertinya: aku berlindung kepada Allah Yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui dari gangguan syaitan yang terkutuk, dari kegilaannya, kesombongannya, dan nyanyiannya yang tercela).”

(HR. Abu Daud no. 775 dan Tirmizi no. 242. Al Hafiz Abu Thahir mengatakan sanad hadith ini hasan).

Tetapi boleh sahaja dibaca yang pendek itu.

✍🏻 Dalil membaca ta’awwuz ini adalah ayat Nahl:98

فَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ فَاستَعِذ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ

Apabila kamu membaca Al Qur’an hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.

Tafsir: Oleh kerana sebentar lagi akan dibacakan Surah Fatihah dalam salat, maka kerana itu disyariatkan membaca ta’awwuz.


1. Memperlahankan bacaan ta’awwuz

Jumhur Ulama’ berpendapat ta’awwuz dibaca senyap. Cuma Imam as-Syafi’iy berpendapat boleh pilih sama ada membaca jahr atau sirr di dalam salat yang jahr.


2. Membaca ta’awwudz pada setiap rakaat

📌 Ini adalah satu persoalan: Adakah ta’awuz itu dibaca pada rakaat pertama sahaja atau pada setiap rakaat?

Disyariatkan untuk membacanya setiap rakaat berdasarkan keumuman ayat Nahl:98. Ini adalah kerana setiap rakaat ada dibacakan Fatihah, bukan?

Akan tetapi ada juga ulama’ yang berpendapat ta’awwuz itu dibaca sekali sahaja berdasarkan satu hadith:

✍🏻 Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا نَهَضَ مِنَ الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ اسْتَفْتَحَ الْقِرَاءَةَ بِ (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ) وَلَمْ يَسْكُتْ

“Rasulullah ﷺ ketika bangkit ke rakaat kedua, baginda memulai dengan membaca ‘alhamdulillahi rabbil ‘aalamiin … ‘. Belum tidak diam sejenak sebelum itu.”
(HR. Muslim no. 599).

Syarah: Kalau dilihat literal dari hadith ini, baginda terus membaca Fatihah sahaja, tanpa ada bacaan lain sebelumnya (tiada ta’awwuz).

Akan tetapi, Syaikh Albani رحمه الله berhujah yang hadith ini hanya mengatakan yang pada rakaat kedua dan seterusnya, baginda tidak membaca doa istiftah, bukannya tidak membaca ta’awwuz.

Kesimpulan: Untuk keluar dari khilaf, apa salahnya baca ta’awwuz pada setiap rakaat? Tidak ada sesiapa pun yang akan marah, bukan? Malah ia adalah doa yang baik. Akan tetapi, kalau terlupa, tidaklah mengapa kerana ada juga pendapat yang mengatakan ia tidak wajib.

Bagaimana cara qiyam dalam solat?


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS🍀

1. Adakah boleh membaca ta’awuz sebelum surah lain selepas Al-Fatihah?

🔵 Ta’awuz dibaca untuk Al-Fatihah sahaja.

2. Bilakah waktu untuk melakukan perbuatan membaca ta’awuz kemudian meludah ke kiri dan kanan supaya dihindari dari gangguan syaitan?

🔵 Ia dilakukan apabila merasakan diganggu syaitan. Bila-bila masa sahaja.

3. Semasa membaca Al-Fatihah dan merasa diganggu syaitan di dalam salat , adakah harus kita membaca ta’awuz dan meludah? Adakah perlu mengulangi bacaan Al-Fatihah?

🔵 Harus. Tidak perlu mengulangi bacaan Al-Fatihah.

4. Jika merasakan ada gangguan iblis semasa salat, tetapi tidak membaca ta’awuz dan meludah, cuma beristighfar di dalam hati sahaja. Adakah perbuatan istighfar itu menyelisihi sunnah?

🔵 Semasa salat, kadang-kala fikiran memang akan berawangan. Maka perlu kembalikan fokus tersebut.

Satu cara adalah perlu fahami apakah kalimah-kalimah yang disebut di dalam salat itu. Ini dipanggil tafhim.

Masalah kita, tidak diajar apakah maksud takbir, masuk zikir-zikir, maksud rukuk dan juga sujud itu. Jika kita mengetahui falfasah di sebaliknya, maka setiap kalimah dan perbuatan kita itu bermakna, maka kita dapat menumpukan perhatian.

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Adakah boleh sekadar membaca ta’awuz sebelum memasuki tandas?

🔵 Boleh tetapi tidak dapat pahala doa Nabi ajar. Sebab memasuki tandas ada doa yang khusus.

2. Adakah perlu dibaca sewaktu berjalan menuju ke tandas atau hanya apabila di hadapan pintu tandas?

🔵 Sama sahaja. Asalkan sebelum memasuki tandas.

D. Doa Istiftah

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

D. Doa Istiftah

Doa Istiftah dibaca selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca Fatihah. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Maka ia amat digalakkan.

✍🏻 Di antara dalilnya adalah hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا كبَّر في الصلاة؛ سكتَ هُنَيَّة قبل أن يقرأ. فقلت: يا رسول الله! بأبي أنت وأمي؛ أرأيت سكوتك بين التكبير والقراءة؛ ما تقول؟ قال: ” أقول: … ” فذكره

“Biasanya Rasulullah ﷺ setelah bertakbir ketika salat, baginda diam sejenak sebelum membaca ayat. Maka aku pun bertanya kepada baginda, wahai Rasulullah, kutebus engkau dengan ayah dan ibuku, aku melihatmu berdiam antara takbir dan bacaan ayat. Apa yang engkau baca ketika itu adalah:… (baginda menyebutkan doa istiftah)”
(Sahih Muslim no. 940 dengan lafaz ini, Sahih Bukhari no. 702 dan lain-lain)

Di negara ini, sudah terbiasa dengan satu bacaan Istiftah tetapi ia tidak berapa tepat kerana ia adalah gabungan dari dua doa. Sebenarnya ada bacaan yang lebih tepat.

📍Yang biasa kita ada baca adalah doa ini:

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

“Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha Suci Allah, baik waktu pagi dan petang” (HR. Muslim 2/99)

Ini adalah satu doa yang lengkap. Cukup sahaja kalau baca doa ini sahaja.

Tetapi entah mengapa ditambah dengan sebahagian dari doa yang lain pula:

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي، وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

“Aku hadapkan wajahku kepada Dzat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk orang yang musyrik. Sesungguhnya shalatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Rabb semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Oleh kerana itu aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk orang yang aku berserah diri. Ya Allah, Engkaulah Maha Penguasa. Tidak ada Ilah yang berhak disembah selain Engkau. Mahasuci Engkau dan Maha Terpuji. Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hambaMu. Aku telah menzalimi diriku sendiri dan akui dosa-dosaku. Kerana itu ampunilah dosa-dosaku semuanya. Sesungguhnya tidak ada yang bisa mengampuni segala dosa melainkan Engkau. Tunjukilah aku akhlak yang paling terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkannya melainkan hanya Engkau. Jauhkanlah akhlak yang buruk dariku, kerana sesungguhnya tidak ada yang sanggup menjauhkannya melainkan hanya Engkau. Akan aku patuhi segala perintah-Mu, dan akan aku tolong agama-Mu. Segala kebaikan berada di tangan-Mu. Sedangkan keburukan tidak datang dari Mu. Orang yang tidak tersesat hanyalah orang yang Engkau beri petunjuk. Aku berpegang teguh dengan-Mu dan kepada-Mu. Tidak ada keberhasilan dan jalan keluar kecuali dari Mu. Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi. Kumohon ampunan dariMu dan aku bertaubat kepadaMu” (HR. Muslim 2/185 – 186)

Jadi saya tidak tahu apakah alasan ditambah dengan sebahagian dari doa ini bersamaan dengan doa yang pertama. Mungkin ada pendapat ulama’ tetapi saya tidak tahu. Sepatutnya kita baca doa yang pertama sahaja, kemudian sekali sekala ditukar dengan doa yang kedua ini. Ini lebih rapat kepada sunnah.

📍Dan sebenarnya ada lagi doa istiftah yang lain.

1⃣ Sebagai contoh:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

“Ya Allah, jauhkanlah antara aku dan kesalahanku sebagaimana Engkau telah menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, sucikanlah kesalahanku sebagaimana pakaian yang putih disucikan dari kotoran. Ya Allah, cucilah kesalahanku dengan air, salju, dan air dingin” (HR.Bukhari 2/182, Muslim 2/98)

Perhatikan makna doa istiftah ini yang amat menarik sekali.

Ada lagi doa-doa yang lain. Ada yang panjang dan pendek.

2⃣ Kalau hendak baca yang pendek:

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

“Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, pujian yang terbaik dan pujian yang penuh keberkahan di dalamnya” (HR. Muslim 2/99).

Dan ada lagi doa-doa yang lain. Boleh dirujuk di dalam kitab-kitab antaranya Hisnul Muslim yang menyenaraikan semua doa-doa itu. Baik kalau kita tahu lebih dari satu supaya kita boleh tukar-tukar dan menjadikan solat kita lebih bermakna.

Kadangkala ada masa kita rasa kita banyak sangat dosa, maka bacalah doa istiftah yang minta Allah ﷻ bersihkan kita dari dosa. Ada masa baru lepas berdebat dengan orang yang tidak mahu menerima jalan sunnah, maka bacalah doa istiftah yang minta Allah ﷻ tunjukkan kebenaran.

Doa istiftah ini sunnah dibaca sirr dan kalau dibaca jahr adalah makruh, namun tidaklah membatalkan salat.

Sebelum kita memulakan membaca Surah al-Fatihah, kita baca dulu Isti’azah.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS ☘️
========================

1. Adakah boleh membaca salah satu doa iftitah ini tanpa menggabungkannya?

🔵 Ya. Lebih rapat dengan sunnah.

2. Adakah Nabi tidak mengamalkan doa iftitah yang panjang?

🔵 Ada doa yang panjang dan doa yang pendek. Boleh tukar-tukar kerana semuanya diamalkan oleh Nabi.

3. Berapakah versi doa iftitah yang ada?

🔵 Setahu saya ada 14 versi. Semua lafaz yang sahih boleh diamalkan.

4. Adakah gabungan doa iftitah tersebut adalah pandangan Imam An-Nawawi?

🔵 Allahu a’lam. Itu yang saya katakan, saya tidak tahu hujahnya. Maka saya katakan yang lebih rapat dengan sunnah adalah membaca satu sahaja doa istiftah itu dan tidak digabungkan.

5. Adakah diasingkan pemilihan doa iftitahnya untuk salat fardu atau sunat, siang atau malam?

🔵 Daripada hadith memang ada yang Nabi membacanya di waktu salat fardhu dan sunat. Tetapi bagi kita, boleh sahaja membaca mana-mana doa istiftah itu, kerana doa istiftah tidak terikat dengan salat fardhu atau salat sunat.

6. Jika kita terus-menerus membaca doa iftitah yang gabungan itu, adakah jatuh hukum bid’ah?

🔵 Saya tidak galakkan dan juga menjatuhkan hukum bid’ah kerana ia adalah doa dan bab doa itu luas. Saya suka melakukan seperti Nabi buat supaya lebih rapat dengan sunnah.

7. Bagaimanakah dengan mereka yang membaca ta’awuz sebelum iftitah, adakah gugur bacaan iftitah tersebut?

🔵 Jika telah membaca ta’awuz dahulu, maka gugurlah bacaan istiftah.

Jadi ta’awuz dibaca sebelum Al-Fatihah, bukan sebelum istiftah.

C. Mengangkat Tangan Dan Meletakkan Atas Dada

Tajuk:
1. Meletakkan tangan di atas dada.
2. Cara mengangkat tangan
3. Waktu mengangkat tangan.

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

C. Mengangkat tangan dan meletakkannya atas dada

Para ulama’ bersepakat bahawa disyariatkan mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram dan semasa berubah rukun (takbir intiqal).

Dalilnya pada hadith;

أنَّ النبيَّ صلّى الله عليه وسلّم كان يرفعُ يديه حذوَ مَنكبيه؛ إذا افتتح الصَّلاةَ، وإذا كبَّرَ للرُّكوع، وإذا رفع رأسه من الرُّكوع

“Nabi ﷺ biasanya ketika memulai salat, ketika takbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepada setelah rukuk, baginda mengangkat kedua tangannya setinggi bahunya”
(Sahih Bukhari no.735)

Namun mereka berselisih pendapat mengenai hukumnya. Sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya wajib, seperti Al-Auza’i, Al-Humaidi, Ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim. Dalil mereka adalah kerana hadith-hadith menunjukkan bahawa Nabi ﷺ selalu mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram.

Sedangkan baginda bersabda:

صلوا كما رأيتموني أصلي

“Salatlah kalian sebagaimana kalian melihatku salat.” (Sahih Bukhari no.5549)

Namun pendapat ini tidak tepat, kerana banyak tata cara salat yang baginda selalu lakukan seperti duduk tawaruk, duduk iftirasy, berdoa istiftah, dan lain-lain namun tidak wajib hukumnya. Bahkan ini semua tidak dinilai wajib oleh ulama’ yang mewajibkan mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Sehingga ada idthirad (kegoncangan) dalam pendapat ini.

📌 Yang benar, Ibnul Munzir telah menukil ijma ulama’ bahawa mengangkat tangan ketika takbiratul ihram itu hukumnya sunnah (Shifatu Shalatin Nabi, 63-67).

Sekarang timbul persoalan yang agak menarik: Berapa tinggi tangan diangkat semasa takbiratul ihram itu?

Kedua tangan diangkat setinggi bahu atau setinggi hujung telinga?

1. Berdasarkan hadith;

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ إذا قام إلى الصلاةِ يرفعُ يديه حتى إذا كانتا حذوَ مِنكَبيه

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi bahunya.” (HR. Ahmad 9/28, Ahmad Syakir mengatakan: “sanad hadith ini sahih”)

2. Juga hadith;

كانَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إذا افتتحَ الصلاةَ رفع َيدَيهِ حتى تكوناَ حَذْوَ أُذُنَيهِ

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika memulai salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi kedua telinganya.” (HR. Al Baihaqi 2/26)

3. Serta hadith dari Malik bin Huwairits رضي الله عنه

أنه رأى نبي الله صلى الله عليه وسلم . وقال : حتى يحاذي بهما فروع أذنيه

“Dia melihat Nabi ﷺ salat, dia berkata (tangannya diangkat) sampai setinggi pangkal telinganya.” (HR. Muslim no.391, Abu Daud no.745)

Ini adalah khilaf tanawwu’ (perbezaan variasi), maka seseorang boleh memilih salah satu dari cara yang ada. Bahkan yang lebih utama terkadang mengamalkan yang satu dan terkadang mengamalkan yang lain, sehingga masing-masing dari sunnah ini tetap lestari dan diamalkan orang.

Saya katakan tadi yang perbincangan ini menarik kerana pernah timbul dulu ada yang kata kalau hendak kenal orang Wahabi, tengok cara mereka angkat takbir. Kalau setakat bahu (“style Batman” katanya) itulah Wahabi. Mungkin dia tidak tahu hadith-hadith ini sampai dia berkata begitu.

Selain dari takbiratul ihram, kita disyariatkan juga untuk mengangkat tangan semasa berubah rukun. Ini dinamakan takbir intiqal. Yang selalu baginda lakukan adalah:

a. Ketika rukuk
b. Bangkit dari rukuk
c. Bangkit dari rakaat kedua


1. Meletakkan tangan di atas badan

Ini adalah perbuatan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. Kita panggil sedekap. Para ulama bersepakat bahawa bersedekap ketika salat adalah hal yang disyariatkan.

Ini berdasarkan hadith dari Sahl bin Sa’ad رضي الله عنه

كان الناسُ يؤمَرون أن يضَع الرجلُ اليدَ اليُمنى على ذِراعِه اليُسرى في الصلاةِ

“Dahulu orang-orang diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan di atas lengan kirinya ketika salat” (HR. Al Bukhari no.740)

Syarah: Walaupun dalam hadith Bukhari ini terdapat ungkapan perintah untuk bersedekap, namun tidak diketahui perkataan dari salaf, baik dari sahabat, tabi’in, mahupun tabi’ut tabi’in ataupun para imam mazhab yang menyatakan wajibnya bersedekap dalam salat (lihat Sifat Shalat Nabi Lit Tharifi, 84).

Dengan demikian bersedekap dalam salat hukumnya sunnah tidak sampai wajib.

Letak tangan kanan pula ada di Para ulama’ bersepakat bahawa tangan kanan berada di atas tangan kiri, namun mereka berbeza pendapat mengenai perincian bentuk sedekap, yang merupakan khilaf tanawwu’ (perbezaan dalam variasi). Walaupun demikian, cara yang bersedekap yang benar dibahagi menjadi dua cara:

Cara pertama iaitu al wadh’u (meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri tanpa melingkari atau menggenggam).
Maknanya letak sahaja tangan kanan atas tangan kiri.

Tiga tempat: di punggung tangan kiri, di pergelangan tangan kiri dan di lengan bawah dari tangan kiri.

Dalilnya, hadith dari Wa-il bin Hujr tentang sifat salat Nabi ﷺ,

ثم وضَع يدَه اليُمنى على ظهرِ كفِّه اليُسرى والرُّسغِ والساعدِ
“..setelah itu baginda meletakkan tangan kanannya di atas punggung tangan kiri, atau di atas pergelangan tangan atau di atas lengan” (HR. Abu Daud no.727, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abi Daud).

Cara kedua iaitu al qabdhu (jari-jari tangan kanan melingkari atau menggenggam tangan kiri).

Dalilnya, hadith dari Wa-il bin Hujur رضي الله عنه:

رأيتُ رسولَ اللَّهِ إذا كانَ قائمًا في الصَّلاةِ قبضَ بيمينِهِ على شمالِهِ

“Aku Melihat Nabi apabila berdiri dalam salat baginda melingkari tangan kirinya dengan tangan kanannya” (HR. An Nasa-i no.886, Al Baihaqi no. 2/28, disahihkan Al Albani dalam Sahih An Nasa-i).

Adapun di luar dua cara ini, seperti meletakkan tangan kanan di siku kiri, atau di lengan atas, adalah kekeliruan dan tidak ada satu pun ulama’ yang membolehkannya.

📍Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله mengatakan: “Kita pernah melihat orang yang bersedekap dengan memegang sikunya, apakah ini ada dasarnya? Jawabnya, ini tidak ada dasarnya sama sekali.” (Syarhul Mumthi’, 3/36).

Sebahagian ulama’ membezakan tata cara bersedekap lelaki dengan wanita, namun yang tepat tata cara bersedekap lelaki dengan wanita adalah sama. Kerana pada asalnya tata cara ibadah yang dicontohkan oleh Nabi ﷺ itu berlaku untuk lelaki dan wanita kecuali ada dalil yang membezakannya.

Di manakah pula letak dua tangan kita?

Pernahkah anda dengar ada yang berkata: “Kalau nak kenal Wahabi, mereka akan sedekap di dada.” Benarkah itu ciri-ciri wahabi? Maka Nabi Muhammad ﷺ pun Wahabi jugalah kalau begitu? Maka di manakah kita hendak meletak tangan kita semasa berdiri? Kalau sekarang kita tengok pelbagai cara yang ada.

Para ulama’ berbeza pendapat mengenai letak sedekap. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat bahawa letak sedekap adalah di bawah pusat.

Berdasarkan dalil hadith;

أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : مِنَ السُّنَّةِ وَضْعُ الْكَفِّ عَلَى الْكَفِّ فِي الصَّلَاةِ تَحْتَ السُّرَّةِ
“Ali رضي الله عنه berkata: Termasuk sunnah, meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan dalam salat di bawah pusat” (HR. Abu Daud 758, Al Baihaqi, 2/31)

Namun hadith ini sangat lemah kerana ada perawinya yang bernama Ziad bin Zaid Al Kufi statusnya majhul ‘ain, dan Abdurrahman bin Ishaq yang berstatus dhaiful hadith.

Adapun Syafi’iyyah dan Malikiyyah berpendapat di bawah dada dan di atas pusat.

Dalilnya hadith Wail bin Hujr;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ

“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mengencangkan keduanya di atas dadanya ketika baginda salat” (HR,. Abu Daud 759, Al Baihaqi 4/38, At Tabrani dalam Mu’jam Al Kabir 3322)

Adapun Syafi’iyyah dan Malikiyyah berpendapat di bawah dada dan di atas pusat.

Dalilnya hadith Wa-il bin Hujr;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ

“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mengencangkan keduanya di atas dadanya ketika baginda salat” (HR,. Abu Daud 759, Al Baihaqi 4/38, Ath Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 3322)

Syafi’iyyah dan Malikiyyah memaknai bahawa maksud lafadz عَلَى صَدْرِهِ adalah bahagian akhir dari dada. Namun kesahihan hadith ini diperselisihkan oleh para ulama’. Yang tepat insya Allah, hadith ini lemah. Letak kelemahannya pada perawi Mu’ammal bin Isma’il, yang dapat dirinci sebagai berikut:

Juga dinukil sebagai salah satu pendapat imam Ahmad رحمه الله bahawasanya letak sedekap betul-betul di atas dada, sesuai zahir hadith. Ini juga yang dikuatkan oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله dan juga Syaikh Al Albani رحمه الله.

📌 Namun kerana tidak ada hadith yang sahih dari Nabi ﷺ tentang ini maka yang tepat tidak ada batasan letak sedekap. Dalam hal ini perkaranya luas. Sedekap boleh di atas dada, di bawah dada, di perut, di atas pusat mahupun di bawah pusat (lihat Sifat Shalat Nabi Lit Tharifi, 90).

Semoga ini dapat menyelesaikan permasalahan ini di kalangan kita. Boleh letak di mana-mana bahagian tubuh, asalkan di ‘tengah tubuh’.

Adapun bersedekap di dada kiri atau di rusuk kiri, dan orang yang melakukannya sering beralasan bahawa itu adalah tempatnya jantung, ini adalah alasan yang dibuat-buat yang tidak ada asalnya.

Kadangkala ada juga kita tengok orang pegang senget sebelah kiri. Ini tidak ada dalilnya dan kena ditinggalkan. Ada kekeliruan dalam cara itu.


2. Cara mengangkat tangan semasa takbir.

Jari-jari direnggangkan, tidak terlalu terbuka dan juga tidak dirapatkan.

Berdasarkan hadith;

كان إذا قام إلى الصلاة قال هكذا – وأشار أبو عامر بيده ولم يفرج بين أصابعه ولم يضمها

“Biasanya Nabi ﷺ jika salat baginda begini, Abu Amir (perawi hadith) mengisyaratkan dengan gerakan tangannya, baginda tidak membuka jari-jarinya dan tidak merapatkannya”
(HR. Ibnu Khuzaimah no.459, disahihkan Al Albani dalam Sahih Ibnu Khuzaimah)

Untuk telapak tangan, sebahagian ulama’ seperti Ibnul Qayyim, At Thahawi, Abu Yusuf dan sebahagian besar Hanabilah menganjurkan mengarahkan telapak tangan lurus ke arah kiblat ketika mengangkat kedua tangan.

Berdalil dengan hadith;

إذا استفتح أحدُكم الصلاةَ فليرفع يديْهِ ، وليستقبل بباطنِهما القِبلةَ

“Jika salah seorang kalian memulai salat hendaklah mengangkat kedua tangannya, lalu hadapkan kedua telapak tangannya ke arah kiblat”

(HR. Al Baihaqi dalan Sunan Al Kubra 2/27, dalam Silsilah Adh Dha’ifah (2338) Al Albani berkata: “dhaif jiddan”)

Dan ada beberapa hadith yang semakna namun tidak ada yang sahih.

Adapun hadith dari Wa-il bin Hujr رضي الله عنه;

لأنظرن الى صلاة رسول الله صلى الله عليه و سلم قال فلما افتتح الصلاة كبر ورفع يديه فرأيت إبهاميه قريبا من أذنيه

“Sungguh aku menyaksikan Nabi ﷺ salat, ketika baginda memulai salat baginda bertakbir lalu mengangkat kedua tangannya sampai aku melihat kedua ibu jarinya dekat dengan kedua telinganya” (HR. An Nasai no.1101, disahihkan Al Al-bani dalam Sunan An Nasai)

Oleh itu, hadith ini bukan merupakan dalil yang sarih akan perbuatan ini. Namun memang terdapat atsar sahih dari Ibnu Umar رضي الله عنهما

✍🏻 Lafaz atsarnya;

انه كان اذا كبر استحب ان يستقبل بإبهامه القبلة

“Ibnu Umar رضي الله عنهما biasanya ketika bertakbir beliau menyukai menghadapkan kedua ibu jarinya ke arah kiblat” (HR. Ibnu Sa’ad dalam Ath Thabaqat 4/157, dinukil dari Shifatu Shalatin Nabi, 63)

Maka, sebahagian ulama’ berdalil dengan keutamaan menghadap kiblat di luar dan di dalam ibadah.

1. Di antaranya seperti ayat;

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya” (QS. Al Baqarah: 144)

2. Juga hadith Nabi ﷺ:

البيتِ الحرامِ قبلتِكم أحياءً وأمواتًا

“Masjidil Haram adalah kiblat kalian ketika hidup mahupun ketika mati.” (HR. Abu Daud no. 2875)

Hadith ini diperselisihkan kesahihannya dan secara umum ini adalah pendalilan yang tidak sharih (tegas). Oleh kerana itu, yang rajih insya Allah, mengarahkan kedua telapak tangan ke kiblat ketika takbiratul ihram itu boleh dilakukan sebagaimana perbuatan Ibnu Umar رضي الله عنهما namun tidak sampai disunnahkan (Shifatu Shalatin Nabi, 63-66).


3. Waktu mengangkat tangan

📍Persoalan: Adakah takbir dahulu atau angkat tangan dahulu?

Menurut Malikiyyah dan Syafi’iyyah, takbir bersama dengan mengangkat tangan. Inilah yang biasa dilakukan di negara ini.

Sedangkan Hanafiyyah dan salah satu pendapat Syafi’iyyah, mengangkat tangan itu sebelum takbir.

Sebahagian ulama’ Hanafiyah juga berpendapat mengangkat tangan itu setelah takbir.

📌 Yang benar, kita ada pilihan untuk takbir salah satu dari tiga cara ini, ertinya boleh mengangkat tangan dahulu sebelum takbir, boleh setelah takbir dan dibolehkan juga sekali dengan takbir. Kerana semua ini pernah dipraktikkan oleh Nabi ﷺ(Ashlu Sifati Shalatin Nabi, 193-199).

Dalil sebelum takbir:

1. Hadith dari Ibnu Umar رضي الله عنهما:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ رفع يديه حتى تكونا حذو منكبيه ثم كبَّر

“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir” (HR. Muslim no.390)

✍🏻 2. Hadith dari Abu Humaid As Sa’idi رضي الله عنه:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ يرفع يديه حتى يحاذي بهما منكبيه، ثم

يكبر

“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir”
(HR. Abu Daud no.729 disahihkan Al Al-bani dalam Sahih Abi Daud)

Dalil bersamaan dengan takbir:

✍🏻 1. Hadith dari Ibnu Umar رضي الله عنهما:

رأيت النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افتتح التكبير في الصلاة، فرفع يديه حين يكبر حتى يجعلهما

حذو منكبيه، وإذا كبَّر للركوع؛ فعل مثله

“Aku melihat Nabi ﷺ memulai salatnya dengan takbir. Lalu baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga keduanya setinggi bahu. Jika baginda hendak rukuk, baginda juga melakukan demikian.”
(HR. Bukhari no.738)

✍🏻 2. Hadith Malik Ibnul Huwairits رضي الله عنه:

أن رسول الله كان إذا صلى ، يرفع يديه حين يكبر حيال أذنيه ، وإذا أراد أن يركع ، وإذا رفع رأسه من الركوع

“Rasulullah ﷺ biasanya jika salat baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga sampai setinggi kedua telinganya. Baginda lakukan itu juga ketika hendak rukuk atau hendak mengangkat kepala dari rukuk.” (HR. An Nasa-i no.879, disahihkan Al Albani dalam Sahih Sunan Nasa-i)

Dalil setelah takbir:

✍🏻 Atsar dari Abu Qilabah رحمه الله,

أنه رأى مالك بن الحويرث ، إذا صلى كبر . ثم رفع يديه . وإذا أراد أن يركع رفع يديه . وإذا رفع رأسه من الركوع رفع يديه . وحدث ؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يفعل هكذا

“Ia melihat Malik bin Al Huwairits jika salat beliau bertakbir, lalu mengangkat kedua tangannya. Jika beliau ingin rukuk, beliau juga mengangkat kedua tangannya. Jika beliau mengangkat kepala dari rukuk, juga mengangkat kedua tangannya. Dan beliau pernah mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ juga melakukan seperti itu” (HR. Muslim no. 391)

Setelah kita sedekap, maka kita mula membacakan Doa Istiftah.


 

🍀SESI SOAL JAWAB KELAS ☘️
=========================

1. Bagaimanakah keadaan untuk memulakan salat?Ke manakah arah mata harus melihat?

🔵 Sebelum takbir perlu berdiri sejenak bagi mengingatkan diri untuk salat. Tenangkan diri dan jangan kelam kabut.

Mata pandang satu tempat sahaja. Selalunya memandang ke tempat sujud. Ini untuk memperoleh fokus. Jangan matakan melilau untuk melihat ke merata arah.

2. Bagaimanakah wanita mengangkat tangan untuk bertakbir? Adakah tangan berada di depan dada atau sisi?

🔵 Takbir wanita sama sahaja dengan takbir lelaki. Nabi Muhammad tidak mengajarkan takbir berlainan untuk wanita.

3. Adakah cara yang betul mengangkat tangan untuk takbir dengan,
a. Kepit ketiak, atau
b. Siku di angkat hingga paras bahu (sampai terkena sahabat di sebelah) ?

🔵 Perlu dilaraskan bersesuaian dengan keadaan. Tidak perlu kembangkan siku itu, kerana tangan hanya diangkat paras bahu dan telinga sahaja.

4. Ada yang menyatakan, salat itu adalah himpunan doa. Oleh yang demikian, ketika mengangkat takbir, belakang tangan perlu menghadap kiblat (gaya berdoa). Adakah benar dasar pendapat ini?

🔵 Tidak benar, itu adalah rekaan sendiri menggunakan akal. Tiada dalil juga ia dilakukan oleh Rasulullah ‎ﷺ.

5. Adakah ada perbezaan antara tatacara angkat tangan untuk takbiratulihram dan takbir intiqal?

🔵 Tiada perbezaan.

6. Adakah mengangkat takbir sebelum rukuk itu dilakukan oleh Nabi?

🔵 Ya.

7. Adakah rukun qauli wajib dilafazkan atau boleh dibaca di dalam hati.

🔵 Perlu dilafazkan. Bacaan di dalam hati, itu adalah tempat niat. Maknanya mulut perlu bergerak. Tidak semestinya telinga perlu mendengar.

8. Bagaimanakah keadaan tangan semasa iktidal? Tangan sedekap atau lurus ke bawah?

🔵 Saya tidak membincangkan hal ini kerana ini baru kelas pemula dan ramai tidak mengetahui pun perbincangan ini.

Ia khilaf. Selepas naik dari rukuk, kedudukan tangan di tepi atau sedekap balik. Perbuatan Nabi sendiri tidak jelas. Sebab itu khilaf. Hadith yang berkenaan adalah:

كَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ اسْتَوَى حَتَّى يَعُوْدَ كُلُّ فَقَارٍ مَكَانَهُ

Apabila mengangkat kepalanya (bangkit dari rukuk), maka beliau pun meluruskan (badannya) hingga semua rangkaian tulang belakangnya kembali ke posisinya.
[Sahih Al-Bukhari].

Kalimah ‘kembali ke posisi’ itu yang khilaf. Posisi yang bagaimana? Maka ada tiga pendapat:

a. Sedekap sunnah. Ini adalah pendapat Syaikh Utsaimin

b. Sedekap bukan sunnah. Bangkit dari rukuk, tangan di tepi. Ini pendapat Syaikh Albani.

c. Dua-dua boleh. Sebab hadis tidak menjelaskan. Ini pendapat Imam Ahmad. Zaman beliau juga sudah ada perbincangan tentang hal ini.

9. Jika tidak melakukan takbir intiqal sebelum rukuk, adakah salat dikira sah?

🔵 Ia sunnah, tetapi ada ulama mengatakan ianya wajib. Maka lakukanlah, jangan ditinggalkan.

10. Adakah ada larangan untuk menguatkan suara ketika melafazkan rukun qauli hingga mengganggu orang lain?

🔵 Ya, mengganggu orang lain dengan sengaja sentiasa sahaja salah. Berdosa.

11. Adakah membaca basmallah dan ta’awuz sebelum salat boleh diamalkan?

🔵 Tidak boleh menjadi rutin.

12. Adakah boleh melafazkan takbir perpindahan rukun hanya apabila hampir-hampir sempurna rukun seterusnya?

🔵 Boleh. Asalkan ada takbir.

13. Adakah panjang takbir perlu berpandungan bacaan Ahli Qiraat?

🔵 Boleh gunakan bacaan biasa sahaja, tidak seperti bacaan surah yang dibaca dengan tajwid.

 

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Jika terlupa tahiyat awal, apakah yang perlu dilakukan?

🔵 Melakukan sujud sahwi sebelum salam.

2 Jika sewaktu tahiyat akhir terasa terlupa berapa rakaat, apakah yang perlu dilakukan?

🔵 Perlu menambah rakaat dan kemudian sujud sahwi.

3. Berkenaan menyapu kepala ketika mengambil wudhu’. Adakah wajib menyapu seluruh kepala atau boleh juga menyapu sebahagian kepala?

🔵 Ini khilaf. Yang rajih adalah menyapu seluruh kepala.

4. Ketika mengambil wudhu’, adakah telinga perlu disapu atau dibasuh?

🔵 Menyapu air ke telinga.

5. Apakah hadis yang digunakan untuk perbuatan menyapu sebahagian kepala?

🔵 Tiada hadis berkenaan menyapuq sebahagian kepala. Cuma ulama mazhab benarkan berdasarkan huruf ب dalam برءوسكم dalam Surah Al-Maidah ayat 6.

Itupun tidak sepakat. Malah ada ulama seperti mazhab Imam Malik yang mengatakan wajib menyapukan air ke seluruhan kepala dan tidak sah jika meninggalkannya. Begitu juga pendapat imam Al-Bukhari.

6. Adakah benar cara melakukan sujud sahwi inj adalah selepas bacaan “…hamidummajid”, terus sujud, membaca zikir seperti biasa, kemudian duduk iftirasy, membaca zikir seperti biasa, kemudian sujud, membaca zikir seperti biasa, kemudian duduk tawarruk, akhir sekali memberi salam?

🔵 Ya, benar.

7. Adakah boleh melakukan sujud sahwi tanpa diserta zikirnya?

🔵 Membaca zikir adalah sunnah.

8. Ada orang berpegang pada pendapat: asalkan ibadah aku sah sudahlah; buat yang wajib sahaja sudahlah; bukan batal jika tinggalkan yang sunat; dll. Adakah amalan meninggalkan sunat ini boleh menjerumuskan seseorang ke lembah perkara bid’ah?

🔵 Itu adalah pendapat yang tidak bijak. memang ada hadis yang boleh dijadikan sebagai dalil, tetapi hadis itu boleh ditafsirkan lagi. Ada hadis yang menceritakan sahabat datang kepada Nabi dan dia kata dia tidak akan tambah dari apa yang Nabi sebutkan.

Kita kena menyedari yang amalan kita tidak banyak, tidak sempurna. Maknanya kita miskin pahala, dosa pun banyak, maka banyak pahala kita yang ketirisan sahaja. Jangan melepaskan peluang hendak menambah pahala dengan buat amalan-amalan sunat.

Tiada perkaitan antara meninggalkan perkara sunat dengan bid’ah.

9. Apakah benar pendapat yang menyatakan, jika kita hanya buat yang wajib sahaja dan meninggalkan yang sunat, pahala amalan kita tidak sempurna (bukan markah penuh) walaupun ibadahnya sah?

🔵 Kita sebagai manusia tidak boleh memandang ibadah kita sempurna. Itu sudah terkena talbis iblis. Maka kita perlu memandang ibadah kita sentiasa sahaja kurang dan ianya boleh ditampung dengan amalan sunat.

Meninggalkan perkara sunat masih sah ibadah tetapi ini perbincangan pahala. Pahalanya tidak lengkap.

10. Bagaimanakah cara yang betul untuk salat duduk? Siapakah yang diberi kelonggaran untuk melakukan salat dengan cara duduk sahaja?

🔵 Agak sukar untuk dijawap secara terperinci. Mereka yang diberi keringanan untuk salat secara duduk bergantung kepada keadaan dia.

Sebelum duduk atas kerusi, perlu diperhatikan keupayaan seseorang itu. Bolehkah dia berdiri, duduk tawaruk, iftirasy, bersila, atau bersimpuh? Perlu mencuba untuk melakukan sebegitu dahulu sebelum terus menggunakan kerusi.

Saya tidak pernah menemuramah orang yang duduk atas kerusi tetapi saya khuatiri, mereka terus duduk atas kerusi, padahal boleh bersila, atau boleh duduk tahiyat lagi. Malah jika boleh berdiri, makanboleh sahaja salat berdiri.

11. Apakah perbezaan sunat dengan sunnah?

🔵 Sunnah itu bermaksud ‘contoh’, iaitu contoh daripada Nabi ‎ﷺ.

Dalam Sunnah, ada perbuatan yang hukumnya wajib dan ada yang ‘sunat’. contoh: solat fardhu itu sunnah, tapi ia wajib, bukan sunat.

Di negara ini menggunakan istilah ‘Sunat’, tetapi sebenarnya istilah ‘mandub’ lagi bagus. Apabila disebut sunat, sudah membuatkan orang keliru dengan sunnah.

Mandub (atau sunat di dalam negara kita) adalah sesuatu yang jika dibuat mendapat pahala, jika ditinggalkan tidaklah berdosa.

Orang kita selalunya berpendapat jika tidak dibuat adalah tidak mengapa, maka mereka tidak melakukannya.

Sepatutnya mereka perlu melihat: jika dibuat mendapat pahala, jika ditinggalkan amatlah rugi, maka perlulah dibuat.

12. Adakah boleh hanya melakukan duduk iftirasy sahaja ketika tahiyat awal dan akhir?

🔵 Ya, boleh.

13. Adakah sah wudhu’ anggota yang terkena dakwat pen?

🔵 Sah, dakwat pen tidak menghalang wudhu’ kerana ia nipis sahaja.

14. Adakah berzikir dan berdoa selepas salat fardhu yang diketuai oleh imam itu adalah sunnah?

🔵 Bukan sunnah,
tidak ada doa berjemaah selepas salat yang diamalkan oleh Nabi atau sahabat. Tudak ada hadith sahih atau dhaif tentang perkara ini. Jadi yang manusia buat adalah kekeliruan tentang doa.

15. Adakah bacaan di dalam salat sendirian atau berjamaah perlu dibaca sehingga didengari oleh diri sendiri dengar, atau boleh dibaca di dalam hati. Contohnya bacaan Al-Fatihah?

🔵 Membaca Al-Fatihah adalah sebahagian dari rukun qauli. Memang perlu dibaca yang bermaksud buka mulut dan membaca.

Tetapi suara tidak semestinya didengari pada telinga kita. Saya tahu sudah lama berlegar di medsos yang mengatakan rukun qauli perlu didengari pada telinga.

Akan tetapi hujah itu tidak ada dalil. Jadi ia dibaca sahaja dan tidak semestinya perlu didengari pada telinga kita.

Jangan dibaca di dalam hati. Hati adalah tempat niat. Bacaan kena dibaca, perlu disebut. Rasanya kita boleh faham samada kita sebut atau tidak.

16. Adakah sunnah untuk menguatkan bacaan ketika salat malam (salat fardu dan salat sunat)?

🔵 kedua-dua adalah sunnah.

17. Adakah doa dan zikir pada pada waktu lain sama juga seperti bacaan dibdalam salat iaitu mesti membuka mulut dan mengerakkan lidah dan tidak semestinya terdengar suara ditelinga sendiri ?

🔵 Doa dan zikir tempatnya di mulut, niat tempatnya di hati. Maka perlu disebut. Tetapi tidaklah perlu didengari pada telinga.

18. Bilakah waktu sesuai untuk mengamalkan kalimah lailahaillallah tersebut. Saya biasa membacanya semasa naik motor pergi kerja? Bolehkah dibaca selepas salat?

🔵 Tiada masalah dengan bacaan tahlil pada bila-bila masa. Yang menjadi masalah adalah ‘majlis tahlil’ sahaja.

19. Adakah boleh salat selepas pengera azan di telefon pintar, tetapi Masjid belum mengumandangkan azan?

🔵 Jika diyakini bahawa telah masuk waktu, maka boleh salat dan salatnya sah.

20. Apakah hukum apabila turut membaca di dalam hati mengikut bacaan imam semasa imam membaca surah dalam solat?

🔵 Harus. Tidaklah disuruh dan tidaklah dilarang. Memang kita perlu mendengar apa yang imam baca. Lebih baik adalah faham apa yang imam baca dan hayati surah itu. Perlunya belajar tafsir dan banyak makna yang boleh diingatkan. Jika sudah faham makna, maka lebih khusyuk salat sebab tidak teringat perkara lain. Apabila kita tidak tahu, dengarlah sahaja bacaan imam.

B. Takbiratul Ihram

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

B. Takbiratul Ihram

Selepas niat, langkah pertama adalah takbir. Seseorang mengangkat kedua tangannya dan mengucapkan ‘Allahu Akbar‘ ketika memulai salat, ini dinamakan takbiratul ihram.

Takbiratul ihram termasuk rukun salat, salat tidak sah tanpanya. Dalil bahawa takbiratul ihram adalah rukun salat adalah hadith yang dikenal sebagai hadith al musi’ shalatuhu, iaitu tentang seorang sahabat yang belum faham cara salat, hingga setelah dia selesai salat Nabi ﷺ terus mengajarinya.

1. Baginda bersabda kepadanya:

ارجِعْ فَصَلِّ فإنك لم تُصلِّ

“Ulangi lagi, kerana engkau belum salat”

Syarah: ini menunjukkan salat yang sahabat itu lakukan tidak sah sehingga tidak dianggap sudah menunaikan salat.

2. Kemudian Nabi ﷺ mengajarkan salat yang benar kepadanya dengan bersabda:

إذا قُمتَ إلى الصَّلاةِ فأسْبِغ الوُضُوءَ، ثم اسْتقبل القِبْلةَ فكبِّر…

“Jika engkau hendak salat, ambillah wudhu’ lalu menghadap kiblat dan bertakbirlah…”
(HR. Bukhari no. 757, Muslim no. 397)

Syarah: Dari hadith ini juga, tidaklah Nabi ﷺ mengajar lafaz niat, bukan?

Para ulama’ mengatakan, dinamakan takbiratul ihram kerana dengan melakukannya, seseorang diharamkan melakukan hal-hal yang sebelumnya halal, hingga salat selesai.

Sebagaimana hadith;

مفتاح الصلاة الطهور وتحريمها التكبير وتحليلها التسليم

“Pembuka salat adalah bersuci (wudhu’), yang mengharamkan adalah takbir dan yang menghalalkan adalah salam.”
(HR. Abu Daud no. 618, disahihkan Al Albani dalam Sahih Abi Daud)

Sebagaimana kita ketahui, ketika dalam keadaan salat, kita diharamkan berbicara, makan, minum dan lain-lain hingga salat selesai.

Takbiratul ihram itu wajib diucapkan dengan lisan, tidak boleh hanya diucapkan di dalam hati. Lalu para ulama’ berselisih pendapat apakah disyaratkan suara takbir minimal dapat didengar oleh diri sendiri atau tidak.

📍 Sebahagian ulama’ seperti Hanabilah mensyaratkan demikian, iaitu suara takbir dapat didengar oleh sebelahnya atau minimal dapat didengar oleh si pengucap sendiri (Syarhul Mumthi’, 3/20). Namun yang rajih, hal ini tidak dipersyaratkan.

Syaikh Al-Utsaimin رحمه الله mengatakan: “Yang benar, tidak disyaratkan seseorang dapat mendengar suara takbirnya. Kerana terdengarnya takbir itu zaaid (objek eksternal) dari pengucapan. Maka bagi yang mengatakan hal ini diwajibkan, wajib mendatangkan dalil.” (Syarhul Mumthi’, 3/20).

Selepas takbiratul ihram, kita belajar bagaimana sedekap.

A. Niat

Tajuk:

1⃣ Pengertian niat
2⃣ Adakah niat diucapkan?

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

Sekarang kita masuk bab baru dimana tatacara salat diajar dengan terperinci satu persatu.

 

A. Niat

Mari kita lihat satu bab yang amat mengelirukan umat Islam di dunia. Dengan bab niat inilah jadi keliru habis dan kelam kabut kita tengok cara orang salat.

Sampaikan berkali-kali mereka angkat takbir kerana niat tidak ‘masuk’. Benarkah begitu? Bagaimanakah cara niat yang sebenarnya?

 

1. Pengertian niat

Niat adalah syarat sah salat atau ia adalah rukun salat. Maknanya niat memang kena ada.

Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam Al-Bayyinah:5

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama

✍🏼 Dan jangan lupa satu hadith yang amat terkenal sekali:

ٍعَنْ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Dari Umar, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah ‎ dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana dia hijrah.”
(Sahih Bukhari no. 52 dengan lafaz ini; Sahih Muslim no. 3530; dan empat imam Ahli Hadith)

Maka yang membezakan sama ada sesuatu amalan itu menjadi ibadah atau tidak, adalah niat.

Niat juga menentukan sama ada ibadah itu diterima ataupun tidak: kerana ibadah yang niatnya tidak ikhlas maka tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ.


 

2. Adakah niat diucapkan?

Ini adalah satu perbincangan yang amat besar dan ramai yang tidak faham tentang hal ini. Maka kita kena buka hati dan minda kita untuk memikirkannya.

Ramai dari kalangan masyarakat Islam kita melafazkan niat yang dimulai dengan: Usolli…. Akan tetapi tidak pernah perkara ini dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan diajar oleh baginda dan para sahabat baginda. Maka ia tidaklah ada dalam syarak. Maka ianya adalah amalan bid’ah.

Tetapi mungkin yang mengajarnya mengatakan ia adalah bidaah Hasanah? Benarkah begitu? Kita katakan ia bukan bidaah yang baik berdasarkan hadith:

✍🏼 Dari Jabir bin Abdullah رضي الله عنها, Rasulullah ﷺ bersabda:

ُ.ُ …إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu ialah kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”
(Sunan Nasa’i no.1560 dengan lafaz ini; Sahih Muslim no.1435 dan lainnya).

Memang ada yang berfatwa lafaz niat ini khilaf di nusantara kerana wujud di dalam kitab-kitab genre baru mazhab.

Contoh:
1. Kitab Mughni Muhtaj karya Khatib Syarbini dan al-Bahooti. Keduanya dari mazhab Syafi’iyah yang menyatakan hukumnya sunat.

2. Al-Dardir dari mazhab Maliki menyatakan hukumnya harus.

Isu ini menjadi semakin panas apabila golongan muhaqqiqin, dan aliran salafiyah atau ahli hadith dan gerakan sunnah seperti Ibnu Taymiyah, muridnya Ibnu Qayyim, dan buku Talbis Iblis karya Ibnu Jauzi رحمهم الله yang membid’ahkan talafudz niat. Ini kerana hukum asal di sisi mazhab Syafi’iy sendiri dan Imam an-Nawawi رحمه الله.

✍🏼 Imam Asy-Syafi’i رحمه الله berkata;

الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل

“Was-was dalam niat salat dan taharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kekurangan warasan dalam akal”
(Al Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28)

✍🏼 Menurut Imam al-Syuyuti رحمه الله pula;

ومن البدع أيضاً: الوسوسة في نيّة الصّلاة، ولم يكن ذلك من فعل النبي – صلى الله عليه وسلم – ولا أصحابة، كانوا لا ينطقون بشيء
من نية الصلاة بسوى التكبير. وقد قال تعالى: لقد كان لكم في رسول الله أُسوة حسنة
“Termasuk bid’ah, was-was dalam niat salat. Nabi ﷺ dan para sahabat baginda tidak pernah begitu. Mereka tidak pernah sedikitpun mengucapkan lafaz niat salat selain takbir”

Hukum muttakhir, lafaz niat adalah bid’ah. Ini hukum asal di dalam mazhab Syafi’iy. Kajian para muhaqqiqin mendapati banyaknya terjadi masalah akibat talafudz niat yakni terjadinya wabak was-was ketika hendak berniat.

Persoalan yang perlu dirungkai atau diteliti. Siapa yang menjadikan talafudz niat dari bid’ah kepada khilaf?

📍Dari manakah asalnya talafudz niat ini muncul?

Talafudz Niat: Niat yang dilafazkan untuk membantu hati.

Ia di mulai oleh Imam Abu Abdillah al Zubairi رحمه الله. Wafat pada tahun 317H di Basrah, Iraq.

(ابوعبد الله الزبير بن أحمد بن سليمان بن عبد الله بن عاصم بن المنذر بن الزبير بن العوام الأسدي.

Abu Abdillah al Zubair susur galurnya dari keturunan az Zubair bin Awwam رضي الله عنه. Imam Abu Abdillah al Zubair telah salah di dalam memahami perkataan Imam Asy-Syafi’i رحمه الله iaitu ketika menyimpulkan bahawa wajib melafazkan niat dalam salat dari perkataan beliau.

📍Ini disebabkan oleh salahfaham beliau terhadap ungkapan Imam Asy-Syafi’i رحمه الله yang berikut:

إذا نوى حجّاً وعمرة أجزأ، وإنْ لم يتلفّظ وليس كالصّلاة لا تصح إلا بالنّطق

“Jika seseorang berniat haji atau umrah maka itu sah walaupun tidak diucapkan. Berbeza dengan salat, salat tidak sah kecuali dengan an Nutq (lafaz)”

Imam An Nawawi رحمه الله berkata:

قال أصحابنا: غلط هذا القائل، وليس مراد الشافعي بالنّطق في الصّلاة هذا، بل مراده التكبير

“Para ulama mazhab kami berkata, yang berkata demikian telah salah. Bukanlah maksud Imam Asy-Syafi’i رحمه الله itu melafazkan niat di dalam salat, namun maksud an Nutq adalah takbir”
(Al Majmu’, 3/243)

Syarah:
Imam syafi’i رحمه الله di dalam al-Umm, ketika membicarakan Ibadah Umrah dan Haji, di dalam bab Niat di Miqat.

Kita disunatkan melafazkan Niat haji dan umrah dengan kuat, Labbaika Umratan wa Hajjan. Imam Asy-Syafi’i رحمه الله berkata, ungkapan lafaz itu cuma sunat akan tetapi untuk salat perlu dilafazkan.

Lafaz yang dimaksudkan dengan salat bukan lafaz niat tetapi bertakbiratul Ihram. Apa yang difahami oleh Imam Abu Abdillah al Zubairi رحمه الله adalah Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله mewajibkan lafaz niat ketika salat.

Akan tetapi kesilapan Imam az Zubairi رحمه الله telah berkembang menjadi suatu fenomena talafudz dan ussolli di nusantara. Fenomena ini terjadi kerana tidak sampainya kalam Imam an-Nawawi رحمه الله kepada umat nusantara.

Maka, yang sahih Nabi ﷺ tidak memulakan salat dengan lafaz niat salat.

Dalil hadith dari ‘Aisyah رضي الله عنها berkata:

كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يستفتح الصَّلاة بالتّكبير

“Adapun Rasulullah ﷺ memulai salatnya dengan takbir”
(HR. Muslim, no.498)

Menurut pendapat Imam Asy-Syafi’i رحمه الله, bil Nutq adalah takbir bukan usolli.

Hukum:
Talafudz niat adalah bid’ah kerana menyalahi sifat salat Nabi ﷺ dan merupakan kesilapan dalam memahami matan kenyataan Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله. Inilah kesilapan Imam Abu Abdillah az Zubairi رحمه الله dari Basrah.

Dikatakan bahawa talafudz niat ini adalah untuk membantu orang yang hendak memulakan salat. Akan tetapi kita melihat ia tidak membantu, malah merosakkan salat. Berapa ramai yang kita lihat keliru dengan lafafudz niat ini sampai berkali-kali dia melafazkan niat dan berulangkali takbiratul ihram kerana niat tidak ‘masuk’?

Dan berapa ramai yang tidak melakukan amal ibadat kerana tidak tahu untuk baca niat? Mereka sangka niat itu wajib maka kerana mereka tidak tahu ‘lafaz niat’?

Maka memang tidak boleh dilafazkan niat ini walaupun ia diajar di sekolah-sekolah sekarang. Kita kena berani untuk salat tanpa lafaz niat. Kita tidak perlu melafazkannya sebagaimana kita tidak perlu untuk beritahu sesiapa yang kita hendak minum air, baca buku, berjalan dan sebagainya. Niat itu memang sudah ada, tidak perlu dilafazkan.

Kalau niat tidak dilafazkan, perlukan ia disusun dalam hati kita? Kalau kita selalu lihat, terseksa mereka yang terpaksa menjaga qasad, ta’rudh dan ta’yin.

Contoh:
Qasad = sahaja aku
Ta’rudh = solat
Ta’yin = fardhu subuh

Semasa mereka takbiratulihram, lama mereka takbir (Allaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahu akkkkkkkkkkkkkbar!) Ini tidak diajar dalam syarak salaf tapi ia datang kemudian dan telah menyusahkan umat Islam kita. Sedangkan takbiratul ihram itu mudah sahaja: Allahu akbar.

Maka bagaimana yang patut kita lakukan? Sebelum kita memulakan salat, kita berdiri tegak dahulu, sedar yang kita akan memulakan salat apa dan kemudian terus angkat takbir. Memang niat kena ada, tetapi tidaklah susah seperti yang biasa diajar di sekolah. Tenang-tenang sahaja dalam salat.

 

Selepas niat, kita belajar cara takbiratul ihram pula.


 

🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️
=========================

1. Adakah benar perlakuan sahabat, tabi’in dan tabi’ al-tabi’in juga bukan penguat bagi sesuatu amalan walaupun mereka adalah salaf al-salih? Contohnya, dikhabarkan dari Ibnu Khuzaimah dari Al-Rabi’ berkata: Apabila (Imam) Al-Syafi’i mahu memulakan salat, beliau berkata:
بِسْمِ اللَّهِ ، مُوَجِّهًا لَبَيْتِ اللَّهِ مُؤْدِيًا لِفَرْضِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ اللَّهُ أَكْبَرُ
Bismillah, dalam keadaan menghadap Baitullah, menunaikan kefarduan yang Allah ‘Azza Wajalla, Allah Akbar.
[Mu’jam Ibnu Al-Muqri no.319]. Hadis maqtu’.

🔵 Walaupun sahabat melakukan sesuatu amalan, belum tentu ia menjadi hukum syarak jika dia mengamalkannya berseorangan. Yang benar menjadi sunnah adalah jika dilakukan oleh Khulafa al-Rasyidin.

Kerana apabila mereka melakukan kesalahan maka ia akan diketahui oleh sahabat-sahabat yang lain dan mereka akan menegurnya.

Contohnya, Usman bin Affan memerintahkan azan dua kali untuk salat Jumaat. Sahabat masih ramai lagi pada waktu itu dan mereka tidak menegur pun perbuatan tersebut. Maka ia menjadi syarak.

Kalau sahabat buat amalan menyendiri dan tidak disokong dengan dalil dari Rasulullah, atau sahabat-sahabat lain, maka ia tidak kuat.

 

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Apakah ada zikir-zikir semasa membasuh anggota wudhu’?

🔵 Tidak ada amalan sedemikian.

2. Ketika perang Khandak, Rasulullah ‎ﷺ dan para sahabat telah dilalaikan daripada menunaikan salat. Adakah Rasulullah ‎ﷺ dan para sahabat qadha’ salat berturut-turut dengan setiap satu salat dilaungkan azan dan iqamah?

🔵 Mereka mengqadha’kan salat berturut-turut. Azan hanya sekali dan mengulangi iqamah untuk setiap salat.

3. Adakah qadha’ yang dilakukan itu didahulukan dengan salat Maghrib, kemudian qadha’ Zuhur dan kemudian Asar?

🔵Salat dilakukan mengikut turutan walaupun waktu Maghrib. Turutannya adalah Zuhur, kemudian Asar, dan kemudian Maghrib.

Oleh yang demikian jika jama’ takhir, perlu melakukan salat awal Zuhur atau Maghrib dahulu walaupun pada waktu salat Asar atau Isyak.

4. Bagaimanakah jika yang terlalai itu adalah musafir? Adakah qada’ salat perlu tamam atau qasar?

🔵 Jika dia masih di dalam musafir maka qada’ dilakukan secara qasar. Jika sudah bukan musafir, maka dilakukan secara tamam.

5. Apakah hukum menjual jual organ tubuh?

🔵 Ia adalah perkara baru yang tiada dalilnya. Maka ia dalam ruang lingkup ijtihad. Ada yang berpendapat boleh dan ada berpendapat tidak.

Saya pilih pendapat yang menyatakan ianya haram kerana organ tubuh bukan harta untuk diniagakan.

6. Apakah hukum memakai seluar jeans yang menampakkan bentuk paha, dipakai oleh lelaki?

🔵 Tidak boleh. Firman Allah ﷻ:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
[Surah al-A’raf, 7:26]

Pakaian itu bukan hanya menutup kulit sahaja, tetapi juga tidak boleh menunjukkan bentuk badan. Sama untuk wanita dan lelaki. Kerana itu di dalam ayat di atas, ada tambah: وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.

Maka pakailah pakaian yang menunjukkan ketaqwaan. Jika jeans ketat tu mengiurkan para wanita, maka janganlah memakainya. Kita perlu menilai adakah wanita akan teransang atau tidak?