Beberapa zikir dan doa yang sahih dari sunnah.

✅ Beberapa zikir dan doa yang sahih dari sunnah.

Zikir-zikir berikut boleh dipilih dan tidak terikat mesti dilakukan mengikut turutan (yang disusun oleh penulis) atau mesti diamalkan semuanya sekaligus di setiap kali selesai salat. Namun ia diberikan keluasan dalam memilih dan mengamalkannya bersesuaian dengan anjuran dan teks atau lafaz yang terdapat di dalam sunnah/hadith.

Mungkin adakalanya boleh membaca istighfar sebagaimana dalam hadith yang akan disebutkan di bawah, atau mungkin boleh memilih untuk bertahlil, atau boleh untuk tasbih, tahmid, dan takbir, atau yang lainnya sebagaimana yang dianjurkan dalam hadith.

Atau boleh pula memilih untuk membaca istighfar berserta Allahumma Antassalaam…, dan kemudian tahlil atau ayatul kursi. Ia dilakukan bersesuaian dengan kesungguhan, kemampuan, dan kemudahan dalam mengikuti sunnah.

🔘 Pertama » Membaca Istighfar

Tsauban رضي الله عنه menjelaskan cara Nabi ﷺ beristighfar setelah salat fardhu:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ: اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ قَالَ الْوَلِيدُ: فَقُلْتُ لِلْأَوْزَاعِيِّ: كَيْفَ الْاسْتِغْفَارُ؟ قَالَ: تَقُولُ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ

Rasulullah ﷺ apabila selesai bersalat, baginda beristighfar tiga kali, kemudian mengucapkan:

اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

“Ya Allah, Engkaulah As-Salaam, dan dari Engkau As-Salaam (keselamatan dan kesejahteraan), segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan.”

Dalam lafaz yang lain:

اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

“Ya Allah, Engkaulah As-Salaam, dan dari Engkau As-Salaam (keselamatan dan kesejahteraan), segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, wahai yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan.”

Al-Waliid (salah seorang perawi, murid Al-Auzaa’i) bertanya kepada Al-Auzaa’i رحمهم الله, “Bagaimana cara beristighfar yang dimaksudkan?” Al-Auzaa’i رحمه الله menjawab:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ، أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ

(Dengan mengucapkan): “Astaghfirullah, astaghfirullah… (yakni aku memohon ampun kepada Allah – pent)…”.” (Sahih Muslim, bab: Anjuran berzikir setelah salat, no. 591)

Yakni mengucapkan astaghfirullah 3 kali. Kemudian diikuti Allaahumma Antassalaam…

Dalam Musnad Ahmad, dari Tsauban رضي الله عنه, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنْصَرِفَ مِنْ صَلَاتِهِ . قَالَ: ” أَسْتَغْفِرُ اللهَ “، ثَلَاثًا، ثُمَّ يَقُولُ: ” اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجِلَالِ وَالْإِكْرَامِ

“Bahawa Rasulullah ﷺ apabila baginda hendak beranjak pergi (atau mengubah posisinya setelah salam) dari salatnya, baginda mengucapkan:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ
“Aku memohon ampun kepada Allah.” Sebanyak 3 kali, kemudian baginda mengucapkan:

اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجِلَالِ وَالْإِكْرَامِ

“Ya Allah, Engkaulah As-Salaam, dan dari Engkau As-Salaam (keselamatan dan kesejahteraan), segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan.” (Musnad Ahmad, no. 22408. Isnadnya sahih menurut Syu’aib Al-Arnauth)

Diriwayatkan juga oleh Al-Imam At-Tirmidzi dalam Sunan-nya, no. 300 dan beliau berkata hadith hasan sahih.

⏭ Nota: Adalah disunnahkan bagi imam setelah selesai mengucapkan zikir ini (atau seukuran tempoh bacaan zikir tersebut) setelah salam agar dia berpaling dari arah kiblat seraya menghadap ke arah makmum, yakni tidak disukai bagi imam berlama-lama di tempatnya dengan menghadap kiblat. Tetapi sebaliknya hendaklah dia berpaling dari arah kiblat dengan menghadap kepada makmum setelah bacaan atau setelah seukuran tempoh bacaan tersebut. (lihat: Sahih Al-Bukhari, no. 845, 852. Sahih Muslim, no. 471, 592, 708).

⏯ Nota: perhatikan bahawa lafaz istighfar itu pendek sahaja, bukan panjang seperti imam-imam kita baca di masjid.

🔘 Kedua » Kalimat Tahlil

⏸ Nota: bukan ‘Majlis Tahlil’. Selalu orang keliru, bila tengok ada hadith tentang ‘tahlil’. Memanglah ada ‘tahlil’ sebab itu anjuran Nabi ﷺ. Yang tidak ada, ‘Majlis Tahlil’.

Dari hadith Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنه, bahawa beliau menulis surat kepada Mu’awiyah bin Abi Sufyan رضي الله عنهما, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ مَكْتُوبَةٍ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ

“Bahawa Nabi ﷺ mengucapkan pada setiap akhir salat maktubah (yakni salat fardhu):

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ

“Tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah satu-satunya, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya puji-pujian. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tidak ada penghalang bagi apa-apa yang Engkau beri dan tidak ada yang memberi apa-apa yang Engkau cegah. Tidak bermanfaat kemuliaan (atau kekayaan), dari Engkaulah kemuliaan (dan kekayaan).” (Musnad Ahmad, no. 18183. Sahih Al-Bukhari, no. 844. Muslim, no. 593. Sunan Abi Dawud, no. 1505. At-Tirmidzi, no. 299)

Dalam riwayat yang lain, juga dari hadith Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنه, beliau menulis kepada Mu’awiyah رضي الله عنهما:

إِنِّي سَمِعْتُهُ يَقُولُ عِنْدَ انْصِرَافِهِ مِنَ الصَّلاَةِ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ» ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

“Sesungguhnya aku mendengar Nabi ﷺ mengucapkan ketika selesai saja dari salat (dengan ucapan):

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah satu-satunya, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya puji-pujian. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Sebanyak 3 kali.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6473)

Adapun lafaz: “فِي دُبُرِ صَلاَةٍ”, para ulama’ berselisih pendapat dalam memahaminya. Di mana sebahagian mereka memahaminya sebagai akhir/penghujung salat, yakni setelah tasyahhud akhir namun sebelum salam. Sebahagian yang lain memahami ia adalah sebaik selesai salat setelah salam.

Manakala sebahagian lain merincikannya, di mana jika lafaznya berbentuk doa, maka diamalkan sebaik selesai tasyahhud akhir sebelum salam, dan jika lafaznya semata-mata berbentuk zikir (seperti pujian, tahlil, atau tasbih) maka diamalkan sebaik selesai salat setelah salam.

Allah ﷻ berfirman:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ

“Maka apabila engkau telah selesai salat, maka berzikirlah…” (Surah An-Nisaa’, 4: 103)

Sebahagian ulama’ berdalilkan ayat ini untuk menyatakan bahawa yang disunnahkan sebaik selesai salat adalah zikir, bukannya mengkhususkan dengan doa-doa. Adapun doa-doa lebih utama dibaca sebelum salam sebagaimana banyak dikemukakan dalam hadith-hadith Nabi ﷺ yang sahih. Wallaahu a’lam.

🔘 Ketiga » Kalimat Tahlil

Dari hadith Ibnu Az-Zubair رضي الله عنهما, beliau berkata:

كَانَ ابْنُ الزُّبَيْرِ، يَقُولُ: فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ حِينَ يُسَلِّمُ «لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ، وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ» وَقَالَ: «كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُهَلِّلُ بِهِنَّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ

Bahawa Ibn Az-Zubair mengucapkan pada setiap akhir salat setelah salam:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ، وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“Tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah satu-satunya, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujian. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan (dengan pertolongan) Allah. Tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah. Kami tidak beribadah kecuali kepada-Nya. Bagi-Nya yang memiliki nikmat, pemilik Al-Fadhl (keutamaan) dan bagi-Nya pujian yang baik. Tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah, dengan memurnikan agama (yakni ibadah) kepada-Nya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukai.”

Dan Ibn Az-Zubair berkata, “Bahawa Rasulullah ﷺ melafazkan kalimat-kalimat tahlil (yakni kalimat tauhid) ini di akhir setiap salat.” (Sahih Muslim, no. 594)

🔘 Keempat » Kalimat Tahlil

Dari hadith Abu Dzarr رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلاَةِ الفَجْرِ وَهُوَ ثَانٍ رِجْلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَتَكَلَّمَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ، كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ، وَمُحِيَ عَنْهُ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ، وَرُفِعَ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ، وَكَانَ يَوْمَهُ ذَلِكَ كُلَّهُ فِي حِرْزٍ مِنْ كُلِّ مَكْرُوهٍ، وَحُرِسَ مِنَ الشَّيْطَانِ

“Siapa yang mengucapkan di akhir (setelah salat) fajr (fardhu Subuh) dan dua kakinya masih pada posisi salat, serta sebelum berkata apa-apa, (zikir berikut):

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah satu-satunya, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya puji-pujian, Yang menghidupkan dan mematikan, dan adalah Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Sebanyak sepuluh kali, maka akan ditulis baginya 10 kebaikan, dihapuskan darinya 10 keburukan, diangkat untuknya 10 darjat, sepanjang hari tersebut dia akan terhindar dari hal-hal yang berbahaya, dan dia dijaga daripada gangguan syaitan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3474. Mawarid Adz-Dzom’an, no. 2341. Kata At-Tirmidzi hadith ini hasan sahih gharib)

🔘 Kelima » Tasbih, Tahmid, dan Takbir

Dari hadith Abu Hurairah رضي الله عنه , beliau berkata:

أَنَّ فُقَرَاءَ الْمُهَاجِرِينَ أَتَوْا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالُوا: ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَى، وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ، فَقَالَ: «وَمَا ذَاكَ؟» قَالُوا: يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ وَلَا نَتَصَدَّقُ، وَيُعْتِقُونَ وَلَا نُعْتِقُ، فَقَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَفَلَا أُعَلِّمُكُمْ شَيْئًا تُدْرِكُونَ بِهِ مَنْ سَبَقَكُمْ وَتَسْبِقُونَ بِهِ مَنْ بَعْدَكُمْ؟ وَلَا يَكُونُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلَّا مَنْ صَنَعَ مِثْلَ مَا صَنَعْتُمْ» قَالُوا: بَلَى، يَا رَسُولُ اللهِ قَالَ: تُسَبِّحُونَ، وَتُكَبِّرُونَ، وَتَحْمَدُونَ، دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ مَرَّةً
قَالَ أَبُو صَالِحٍ: فَرَجَعَ فُقَرَاءُ الْمُهَاجِرِينَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالُوا: سَمِعَ إِخْوَانُنَا أَهْلُ الْأَمْوَالِ بِمَا فَعَلْنَا، فَفَعَلُوا مِثْلَهُ، فَقَالَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ذَلِكَ فَضْلُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ

“Bahawa fuqara’ (orang-orang miskin) dari kalangan muhajirin pernah datang kepada Rasulullah ﷺ lalu mereka mengadu, “Orang-orang kaya telah pergi dengan darjat yang tinggi dan kenikmatan yang lestari.” Maka Rasulullah bertanya, “Kenapa begitu?”

Maka mereka berkata lagi, “Mereka salat sebagaimana kami salat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah namun kami tidak mampu bersedekah. Malah mereka juga memerdekakan hamba, namun kami tidak mampu memerdekakan hamba.”

Maka Rasulullah ﷺ bersaba, “Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang dengannya kalian akan mengejar orang-orang yang telah mendahului kalian dan menggungguli orang-orang di belakang kalian? Tidak ada yang lebih utama berbanding kalian kecuali siapa yang melaksanakan perkara yang semisal dengan apa yang kalian lakukan.”
Mereka jawab, “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah pun bersabda:

“Kalian bertasbihlah (Subhanallah), bertakbir (Allaahu Akbar), dan bertahmid (Alhamdulillah) di setiap kali akhir salat (yakni sebaik selesai dari salat) 33 kali.”

Perawi (Abu Soleh) berkata, “Setelah itu, para fuqara’ muhajirin ini kembali lagi kepada Rasulullah ﷺ lalu berkata:
“Saudara-saudara kami dari kalangan orang-orang berharta telah mendengar apa yang kami lakukan, lalu mereka pun melakukan hal yang semisal.” Maka Rasulullah ﷺ pun bersabda:
“Demikianlah keutamaan (kelebihan) yang Allah berikan bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Sahih Al-Bukhari, no. 843. Sahih Muslim, no. 595 dan ini adalah lafaz di Sahih Muslim)

Dalam Sahih Al-Bukhari, disebutkan:

فَاخْتَلَفْنَا بَيْنَنَا، فَقَالَ بَعْضُنَا: نُسَبِّحُ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَنَحْمَدُ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَنُكَبِّرُ أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ، فَرَجَعْتُ إِلَيْهِ، فَقَالَ: تَقُولُ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، حَتَّى يَكُونَ مِنْهُنَّ كُلِّهِنَّ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ

“Kami berbeza pendapat dalam hal ini. Beberapa orang dari kalangan kami (para sahabat) mengatakan bahawa zikir yang diucapkan adalah tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, dan takbir 34 kali. Lalu aku pun kembali kepada Nabi dan bertanya, baginda pun bersabda:

“Ucapkanlah:
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ

“Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), dan Allaahu Akbar (Allah Maha Besar).”
Sehingga setiap satunya menjadi 33 kali.” (Sahih Al-Bukhari, no. 843)

Manakala dalam riwayat Al-Bukhari yang lain di Sahihnya, mengucapkan Subhanallah 10 kali, Alhamdulillah 10 kali dan Allaahu Akbar 10 kali. (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 6329)

Atau dalam hadith yang lain disebutkan, dari Ka’ab bin ‘Ujrah, Rasulullah ﷺ bersabda:

مُعَقِّبَاتٌ لَا يَخِيبُ قَائِلُهُنَّ – أَوْ فَاعِلُهُنَّ – دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ، ثَلَاثٌ وَثَلَاثُونَ تَسْبِيحَةً، وَثَلَاثٌ وَثَلَاثُونَ تَحْمِيدَةً، وَأَرْبَعٌ وَثَلَاثُونَ تَكْبِيرَةً

“Beberapa kalimat yang tidak akan rugi (atau gagal) seseorang yang mengucapkannya atau melakukannya di setiap kali akhir salat maktubah (yakni salat fardhu), adalah: mengucapkan 33 kali tasbih (yakni Subhanallah), 33 kali tahmid (yakni Alhamdulillah), dan 34 kali takbir (yakni Allaahu Akbar).” (Sahih Muslim, no. 596)

Atau dalam hadith yang lain dari hadith Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَحَمِدَ اللهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَكَبَّرَ اللهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ، وَقَالَ: تَمَامَ الْمِائَةِ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

“Sesiapa yang di akhir setiap salat bertasbih kepada Allah 33 kali, bertahmid kepada Allah 33 kali, dan bertakbir kepada Allah 33 kali yang mana jumlah seluruhnya menjadi 99 kali, dan dia menambahnya menjadi 100 dengan mengucapkan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah satu-satunya, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya-lah kerajaan, milik-Nya puji-pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
“Maka diampunilah kesalahan-kesalahannya walaupun seperti buih-buih di lautan.” (Sahih Muslim, no. 597)

Namun, jika telah memilih hadith dengan lafaz tasbih (yakni Subhanallah) 33 kali, tahmid (yakni Alhamdulillah) 33 kali, dan takbir (yakni Allaahu Akbar) 34 kali, maka tidak perlu menambah dengan lafaz di atas. Boleh lihat rincian penjelasannya dalam Syarah Shahih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi رحمه الله (Wafat: 676H) pada bab:
باب استحباب الذكر بعد الصلاة وبيان صفته
“Bab anjuran zikir-zikir setelah salat dan penjelasan sifatnya.”

🔘 Keenam » Membaca Al-Mu’awwidzaat سورة المعوذات
[Makna Mu’awwidzaat adalah ‘melindungi’]

Dari hadith ‘Uqbah bin ‘Aamir Al-Juhani رضي الله عنه, beliau berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ بِالْمُعَوِّذَاتِ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan aku agar membaca Al-Mu’awwidzat di akhir (yakni setelah selesai) setiap salat.” (Musnad Ahmad, no. 17792. Sunan Abi Daud, no. 1523. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Kata Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani رحمه الله (Wafat: 852H), “Yang dimaksudkan dengan Al-Mu’awwizat adalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Naas.” (Fathul Bari, 9/62)

Manakala dalam riwayat At-Tirmidzi رحمه الله:
‘Uqbah bin ‘Aamir رضي الله عنه berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ بِالمُعَوِّذَتَيْنِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan aku agar membaca Al-Mu’awwidzatain (Surah Al-Falaq & An-Naas) di akhir setiap salat.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2903 dan At-Tirmidzi mengatakan hadith ini gharib)

🔘 Ketujuh » Membaca Ayat Al-Kursi

Dari hadith Abu Umamah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ إِلَّا أَنْ يَمُوتَ

“Siapa yang membaca ayat Al-Kursi di akhir (setelah selesai) setiap salat maktubah (yakni salat fardhu), tidak ada yang dapat menghalanginya dari masuk Syurga kecuali mati.” (Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 9848. Al-Mu’jam Al-Ausath oleh Ath-Thbarani, no. 8068. Dinilai sahih oleh Asy-Syaikh Al-Albani dan Asy-Syaikh Muqbil Al-Wadi’i)

Ayat Al-Kursi adalah ayat 255 dari Surah Al-Baqarah:

اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

“Tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Dia yang Maha Hidup lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Milik-Nya apa-apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi-Nya tanpa izin-Nya. Dia mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan apa-apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa pun dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan adalah Dia (Allah) Maha Tinggi lagi Maha Agung.” (Surah Al-Baqarah, 2: 255)

🔘 Kelapan » Memohon ilmu bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima

Dari hadith Ummu Salamah رضي الله عنها, bahawa Nabi ﷺ apabila selesai dari salat Subuh sebaik salam, beliau mengucapkan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon ilmu yang bermanfaat kepada Engkau, rezeki yang baik, dan amal-amal yang diterima.” (Musnad Ahmad, no. 26602. Sunan Ibn Majah, no. 925. Majma’ Az-Zawa’id, no. 16976. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

🔘 Kesembilan » Memohon agar dapat mengingat Allah, bersyukur, dan beribadah dengan baik kepada-Nya

Dari Ash-Shunabihi, dari Mu’adz bin Jabal رضي الله عنه, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ بِيَدِهِ، وَقَالَ: «يَا مُعَاذُ، وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ، وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ»، فَقَالَ: ” أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لَا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ تَقُولُ: اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Bahawa Rasulullah ﷺ mengambil tangannya (yakni tangan Mu’adz) dan beliau bersabda: “Wahai Mu’adz, wallaahi aku mengasihi engkau, wallaahi aku mengasihi engkau.” Lalu Nabi bersabda: “Aku wasiatkan kepada engkau wahai Mu’adz, janganlah engkau tinggalkan pada setiap kali akhir salat untuk membaca:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir (mengingat) kepada-Mu, mensyukuri nikmat-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Musnad Ahmad, no. 22119, 22126. Sunan Abi Daud, no. 1522. Sahih Ibn Hibban, no. 2020, 2021. Sahih Ibn Khuzaimah, no. 751. Al-Adabul Mufrad oleh Al-Bukhari, no. 690)

🔘 Kesepuluh » At-Ta’awwudz/Al-Isti’adzah

Dari hadith Mush-‘ab bin Sa’d dan ‘Amru bin Maimun رضي الله عنهما, mereka berkata:

كَانَ سَعْدٌ، يُعَلِّمُ بَنِيهِ هَؤُلَاءِ الكَلِمَاتِ كَمَا يُعَلِّمُ المُكَتِّبُ الغِلْمَانَ وَيَقُولُ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ بِهِنَّ دُبُرَ الصَّلَاةِ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَعَذَابِ القَبْرِ

“Bahawa Sa’d mengajari anaknya beberapa kalimat sebagaimana seorang guru mengajar tulis-menulis kepada murid-muridnya. Beliau (yakni Sa’d) berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ berta’awwudz dengan kalimat-kalimat tersebut di akhir salat:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَعَذَابِ القَبْرِ

“Ya Allah aku berlindung kepada Engkau dari sikap pengecut, aku berlindung kepada Engkau dari sikap kikir (bakhil), aku berlindung kepada Engkau dari usia yang terlalu tua (nyanyuk), dan aku berlindung kepada Engkau dari fitnah dunia dan dari ‘azab kubur.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3567. Sahih Ibn Khuzaimah, no. 746. Sahih Ibn Hibban, no. 2024. Syarhus Sunnah oleh Al-Baghawi, 3/232)

🔘 Kesebelas » At-Ta’awwudz / Al-Isti’adzah

Dari hadith Abu Bakrah رضي الله عنه, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ الصَّلَاةِ: “اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ”.

“Bahawasanya Nabi ﷺ mengucapkan di akhir salatnya (zikir berikut):

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kekufuran, dari kefaqiran, dan dari ‘azab kubur.” (Musnad Ahmad, no. 20409. Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 1271, 7849. Musnad Al-Bazzar, no. 3103. Sahih Ibn Hibban, no. 747. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 927)


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-76☘️JUMAAT 03/05/19
========================

1. Adakah benar salam yang pertama itu dikira wajib dan salam kedua pula sunnah?

🔵 Ya, benar.

2. Adakah sah salat yang dahulu sekiranya pernah menggangguk ke depan, ke kanan dan ke kiri sebelum salam?

🔵 Salat-salat dahulu yang salah itu tidak perlu diulang. Nabi Muhammad ‎ﷺ apabila membetulkan sahabat, baginda tidak suruh mereka mengulang salat.

Yang dulu itu biarkan sahaja. Kita hanya perlu minta ampun kerana waktu itu masih jahil. Perbaiki sahaja salat yang di hadapan nanti.

3. Adakah dianjurkan untuk membaca doa ketika menoleh kiri dan kanan?

🔵 Tidak ada. Itu adalah bid’ah.

4. Ketika salat berjemaah, waktu manakah yang sesuai untuk makmum hendak memberi salam? Adakah hendak menunggu imam selesai mengucapkan salam yang kedua iaitu kiri dan kanan barulah makmum mula memberi salam atau pun boleh memberi salam setelah imam sudah selesai memberi salam yang pertama?

🔵 Imam sudah memberi salam yang pertama kita pun boleh memberi salam. Tidak perlu tunggu imam hendak memberi salam yang kedua.

Di Malaysia, ramai yang menunggu imam memberi salam yang kedua baru hendak memberi salam.

5. Adakah dikira mendahului imam jika makmum mula mengucapkan salam sebaik mendengar imam mengucapkan ‘ assala’ tanpa menunggu imam menghabiskan ucapan salam pertamanya?

🔵 Tidak. Tetapi, untuk langkah keselamatan, hendaklah menunggu imam sudah benar-benar menghadap ke sebelah kanan.

6. Apakah maksud membuka tangan kanan dan kiri?

🔵 Jika tidak pernah tengok boleh rujuk gambar ini.

7. Zaidiyah ada menggunakan pendapat mengangkat tangan tanda sudah habis salat kemudian ganti toleh kiri dan kanan?

🔵 Kalau tidak toleh, boleh lagi. Tetapi kalau mengangkat tangan, tidak tahu pula.

8. Adakah yang sunnah melepaskan jari telunjuk itu sebelum salam?

🔵 Dua-dua boleh. Asalkan tangan masih lagi di paha.

9. Adakah cara salat wanita dan lelaki tiada beza dari mengangkat takbir sehingga memberi salam?

🔵 Ya, benar.

10. Adakah boleh membaca zikir dan doa sambil berjalan keluar masjid selepas selesai salat?

🔵 Ada Zikir tertentu yang dianjurkan semasa duduk. Sampai Allahumma antas salam.

11. Adakah menunda zikir selepas salat atas perkara tertentu seperti hendak ke tandas kemudian membaca zikir semula masih dinamakan zikir selepas salat?

🔵 Boleh lagi.

12. Apakah dinamakan zikir seperti ini? [zikir sambil menari]

🔵 Ghuluw.

13. Selepas membaca zikir dan berdoa setelah selesai salat fardu Subuh. Saya terus menyambung membaca zikir pagi dan petang. Adakah ini bermakna saya dianggap menambah atau melakukan bid’ah? Perlukah saya menunda bacaan zikir pagi dan petang itu dalam 5 atau 10 minit selepas selesai membaca zikir selepas salat?

🔵 Zikir pagi memang selepas Subuh dan zikir petang memang selepas Asar.

14. Adakah kurang pahala jika tidak membaca semua zikir dan wirid seperti yang dilakukan oleh imam selepas selesai salat fardhu?

🔵 Tidak perlu habiskan semua. Boleh tukar-tukar. Pakej utama sekurang-kurangnya adalah sampai allahumma antas salam. Nabi pun tidak buat sekali harung.

15. Adakah boleh menggunakan biji tasbih untuk berzikir bagi orang yang pelupa atau sukar mengira?

🔵 Pakai jari sahaja.

16. Adakah boleh menggunakan tasbih digital kalau berzikir dalam jumlah yang banyak?

🔵 Tidak perlu dikira-kira. Baca sahaja. Itu sebab Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, dari Ibrahim berkata:

كَانَ عَبْدُ اللهِ يَكْرَهُ العَدَّ وَيَقُوْلُ أَيَمُنُّ عَلَى اللهِ حَسَنَاتِهِ

Abdullah bin Mas’ud membenci hitungan (dengan tasbih) dan berkata, ”Apakah mereka menyebut-nyebut kebaikannya di hadapan Allah?” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al Mushnaf, no. 7667 dengan sanad yang sahih).

Maksud dia: Kenapa hendak berkira-kira sangat? Adakah hendak menebus daripada Allah setelah sudah banyak membaca bilangan zikir tertentu?

Dari segi psikologi, apabila sibuk dengan mengira bilangan, kita tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada maksud zikir itu sendiri kerana hendak cepat menghabiskan seribu ke tiga ribu.

Kebanyakan zikir yang ada bilangan tidak banyak. Sampai 33 sahaja. Paling banyak pun 100 (masih boleh lagi).

Pengajaran: tidak perlu mengira bilangan zikir kita. Tumpukan perhatian kepada maksud zikir itu. Hadhir hati. kalau beristighfar, rasakan diri itu benar-benar berdosa dan berharap minta ampun. Berapa banyak? Bilangan tidak ditentukan. Bacalah sampai rasa lega, atau sudah bosan, atau pun sudah rasa cukup.

Jawapan sama dengan tasbih digital. Tasbih digital itu ada tasbih moden sahaja.

17. Betulkah jika saya beramal dengan cara ini?

🔵 Ya. Ini salah satu cara yang boleh digunakan. Tidak ditetapkan caranya.

18. Adakah jari jemari kita akan dipersoalkan di akhirat kelak jika berzikir menggunakan tasbih?

🔵 Bukan jari yang dipersoalkan.

Maksudnya, jari akan menjadi ‘saksi’ kita berzikir iaitu tubuh kita sendiri yang akan menjadi saksi. Daripada dia menjadi saksi kita memegang benda yang tidak patut dipegang, tentu lebih baik jika jari kita yang menjadi saksi.

19. Adakah benar kalau amalkan zikir, ayat, dan surah tertentu dengan jumlah tiada asalnya dari Nabi saw kerana hendak fadhilat tertentu, maka syaitan akan menjadi pendamping?

🔵 Agak keras pernyataan ini. Syaitan menjadi pendamping kalau ada amalan yang salah. Selalunya, apabila yang meratib beribu-riban ini adalah orang tarekat. Terdapat sebab dia mengamal banyak-banyak. Sebab syeikh dia suruh dan hendak naik tingkatan dan ada lagi amalan-amalan salah yang lain. Oleh sebab itu, syaitan suka.

Syaitan suka manusia yang berzikir ribu riban ni.

Bila banyak meratib, tidak sempat hendak belajar benda yang lain. Berjam-jam duduk meratib. Tidak ada masa untuk masuk ke kelas. Terus berada di dalam kejahilan sahaja. Apabila jahil, senang syaitan hendak menipu dia.

20. Betulkah jika sudah biasa berzikir kemudian tidak dapat berzikir disebabkan terlalu sibuk maka hati mula gelisah dan menggeletar?

🔵 Ayat Al-Qur’an kata dengan mengingati Allah hati akan tenang. Berzikir sahaja, jangan dihiraukan bilangannya.

21. Adakah boleh mengamalkan “Allahhumaajirni minannar” sebagai zikir selepas salat?

🔵 Boleh. Tetapi, hadith tentang bilangan itu tidak sahih. Maka, boleh sahaja membacanya beberapa kali.

22. Apakah tujuan mengangkat jari telunjuk ketika tahiyat?

🔵 Angkat jari sebagai penekanan.

23. Adakah melakukan qabliyah sebelum salat Jumaat hukumnya sunat atau pun tidak?

🔵 Tidak. Sebab zaman Nabi, azan sahaja terus baginda naik mimbar. Memang tiada qabliyah. Zaman sekarang ada yang buat qabliyah sebab tidak mengikut ajaran sunnah yang tepat.

24. Adakah doa memohon ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima dari hadith Ummu Salamah رضي الله عنها, hanya boleh dibaca selepas salat Subuh sahaja?

🔵 Jika mengikut sunnah, doa itu dibaca selepas subuh. Hendak dibaca pada waktu yang lain pun boleh tetapi tidak sunnah. Tidak salah dibuat tetapi tidak sunnah.

25. Apakah dalil yang mereka gunakan sampai jatuh hukum wajib bagi mereka?

🔵 Sebab Nabi tidak pernah tinggal.

Tetapi istilah wajib pada mereka tidak sama dengan kita.

Kita fardhu dan wajib itu sama.

Bagi mereka, ada yang fardhu (lima waktu) dan ada yang wajib (yang Nabi buat tidak pernah tinggal).

26 . Apa akan terjadi kepada salat fardhu mereka jika mereka tidak buat yang wajib?

🔵 Fardhu itu lebih kuat daripada wajib. Fardhu itu rukun.

Bagi mereka, tidak buat yang wajib maka berdosa. Oleh itu, mereka amat tekankan.

Menurut mazhab lain pula, ia sunat muakkad. Sangat kuat kerana sunat muakkad adalah sunat yang dituntut bukan sunat yang biasa.

27. Adakah kalau kita pula tidak buat yang wajib maka jadi tidak sah?

🔵 Tidak buat yang wajib adalah dosa besar dan ada yang kata menjadi kufur. Hal ini telah dibincangkan.

28. Sekiranya saya salat bejemaah mengikut imam dan ketika saya hendak takbir iman telah pun rukuk dan saya tidak sempat hendak membaca al Fatihah dan terus sahaja rukuk mengikut imam. Adakah betul tindakan saya jika menggantikan semula surah yang tertinggal itu pada pengakhiran salat?

🔵 Pendapat yang lebih kuat dalam hal ini ialah yang menyatakan bahawa anda telah dianggap mendapatkan satu rakaat. Tidak perlu ditambah. Dapat rukuk dikira dapat rakaat itu.

Hal ini berdasarkan hadith sahabat Abu Bakrah yang mendapatkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam sedang rukuk maka, beliau bergegas rukuk sambil berjalan bergabung ke shaf barisan salat guna mengikuti gerakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Pada kisah ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak memerintahkan sahabat Abu Bakrah untuk mengulang rakaat yang beliau tertinggal, namun beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam hanya mengingatkan sahabat Abu Bakrah agar tidak mengulangi sikapnya rukuk di belakang shaf lalu berjalan menuju ke shaf.

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

زادك اللّهُ حرصاًولاتَعُدْ

“Semoga engkau bertambah rajin dan janganlah engkau mengulanginya lagi” [ Bukhari ]

Yang awak buat adalah pendapat Imam Bukhari. Pada beliau, tidak dapat rakaat itu kerana tidak baca Fatihah.

29. Adakah makmum kena memberi salam atau pun berselawat jika imam membaca tasyahud dan tidak membaca selawat selepas salat terawih?

🔵 Baca tasyahhud.

30. Apakah zikir yang elok diucapkan selepas memberi salam salat Terawih?

🔵 Tidak ditetapkan.

31. Adakah perlu kita berganjak ke depan jika orang depan kita terputus saf?

🔵 Ya.

32. Adakah memberi kesan jika kita tidak menyempurnakan saf?

🔵 Imam Nawawi rahimahullah berkata, “Tidak lurusnya saf akan menimbulkan permusuhan dan kebencian, serta membuat hati kalian berselisih.” (Syarh Shahih Muslim, 4:157)

Salat tetap sah. Tetapi, pahala sudah berkurang kerana salat jemaah tidak sempurna.

33. Adakah batal salat sekiranya terkentut sebelum sempat memberi salam yang kedua?

🔵 Tidak batal. Salam pertama sahaja yang wajib.

34. Maksudnya, kalau salam kedua pun tidak akan batal salat sebab ada yang beritahu batal salat?

🔵 Sudah kentut tidak payah lagi bagi salam yang kedua.

Kentut selepas salam pertama sudah selamat sebab salat tidak akan batal.

35. Jika imam memilih zikir seperti contoh yang keempat iaitu kalimat tahlil. Adakah perlu habiskan zikir itu dahulu baru boleh berpaling kepada makmum?

🔵 Boleh berpaling selepas Allahumma antas salam.

36. Adakah perlu tetap di dalam posisi tawarruk dan iftirasy atau boleh tukar cara duduk?

🔵 Cara duduk tidak ditetapkan. Ikut suka.

Akan tetapi, duduk iftirasy dan tawaruk itu sudah memang terbaik sebab ia duduk yang dipilih untuk salat.

Maka imam Malik duduk iftirasy semasa beliau mengajar hadith. Kala jengking gigit pun dia tidak ubah.

Anak murid yang belajar dengan dia pun kena duduk seperti itu. Jika duduk cara lain akan dihalau.

Maulana Hadi berazam belajar daurah tafsir selama 40 hari duduk iftirasy dan dia berjaya.

37. Adakah boleh duduk seperti duduk antara dua sujud sepanjang bacaan surah jika kaki sudah letih sangat berdiri ketika salat berjemaah?

🔵 Salat sunat memang boleh duduk. Dapat pahala separuh.
Malah ada yang baring (bukan di Malaysia) kerana penat sangat. Dapat pahala suku.

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Adakah dalil tentang “air yasin”?

🔵 Tidak ada dalil yang kukuh. Itu sudah dikomersilkan dalam masyarakat Melayu. Hal ini kerana, orang Melayu kita tahu membaca Yasin sahaja, maka disebabkan itu mereka mengulang-ulang.

Tetapi apabila di sekolah tahfiz, mereka hafal semua surah, jadi disebabkan itu mereka membuat air 30 juzuk pula. untuk dikomersilkan.

2. Adakah perkara itu bagus dan boleh diamalkan?

🔵 Ia merupakan amalan bidaah. Satu kejahilan.

3. Bagaimana cara hendak menerangkan perkara ini kepada masyarakat yang selalu mengamalkan bidaah?

🔵 Kena mengajak mereka untuk belajar agama supaya mereka dapat faham. Kalau kita terus tegur mereka, mereka akan marah. Jadi kamu kena mengajak mereka masuk belajar sini. Lebih baik kalau mereka sendiri faham. Manusia memang akan menentang kalau mereka ditegur secara langsung. Jadi kita kena mengajar mereka sedikit demi sedikit.

4. Setiap hari Jumaat ramai yang membawa botol air ke masjid untuk ditadah bacaan air Yasin. Macam mana cara hendak menegur imam dan ustaz yang membuat hal sedemikian?

🔵 Bukan semua benda kita mampu hendak tegur. Ini adalah amalan masyarakat kita yang rata-rata jahil. Kalau kita tegur begitu sahaja, nanti kita akan dipandang serong dan digelar wahabi. Kecuali orang yang mempunyai jawatan dan pangkat besar.

Mulakan dengan tidak pergi. kemudian cerita sedikit demi sedikit kepada orang lain.

5. Adakah termasuk perbuatan bidaah jika membaca doa selepas salat jemaah?

🔵 Memang bidaah. Tiada hadith sahih atau dhaif yang cerita Nabi berdoa secara berjemaah dengan para sahabat selepas salat.

6. Adakah rendaman kurma iaitu air nabeez ada rujukan dari hadith?

🔵 Ia memang dilakukan oleh Nabi Muhammad tetapi ia bukan sunnah syar’iyyah. Tidak perlu diikuti. Sebab itu hanya sunnah jibliyyah sahaja kerana air nabeez ini bukan orang islam sahaja yang buat. Orang yang bukan muslim zaman itu pun ada yang buat juga.

Hal ini kerana, air zaman itu payau (tanda filter Cuckoo) dan rendam kurma itu hendak bagi air manis dan hilangkan rasa payau.

Caranya dengan merendam sahaja kurma dalam air semalaman. Air itu akan menjadi manis. Saya selalu dengar ada kebaikannya juga air nabiz ini. Mungkin disebabkan campuran dengan kurma. Tetapi tidak boleh lebih dari tiga hari, sebab nanti akan menjadi tuak. Mereka yang sudah biasa buatnya pasti akan tahu tentang ini. Ia akan mengeluarkan buih-buih dan rasanya akan masam.

Jangan bagi kepada syiah, kerana bagi mereka ia haram.

Hadithnya:

عن ابن عباس قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم ينتبذ له أول الليل فيشربه إذا أصبح يومه ذلك والليلة التي تجيء والغد والليلة الأخرى والغد إلى العصر، فإن بقي شيء سقاه الخادم أو أمر به فصب.

[Sahih muslim]

Daripada Ibn ‘Abbas, katanya: Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam selalu dibuatkan air nabiz untuk baginda pada awal malam. Lalu baginda meminumnya apabila masuk waktu pagi pada hari tersebut, juga pada malam yang akan tiba, pada keesokan pagi, pada malam lain, pada keesokan pagi (hari ketiga) sehingga Asar. Sekiranya masih berbaki sedikit, baginda akan memberi minum kepada khadam atau baginda memerintahkan supaya membuangnya.

7. Adakah niat puasa tidak perlu dibaca?

🔵 Tidak ada langsung lafaz niat di dalam ibadat. Dan tidak perlu disusun niat itu di dalam hati.

8. Saya ada pelihara seekor kucing.Adakah bulu kucing membatalkan wudhu’? Bagaimana pula ketika sujud ada kucing duduk di tempat sujud. Adakah saya perlu menukar tempat sujud atau pun beranjak selangkah dari tempat itu?

🔵 Untuk situasi kucing ini dimaafkan.

Kabshah binti Ka’ab Ibn Malik melaporkan: “Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wudhu’. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut.” Kabshah meneruskan kata-katanya, Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya lalu dia bertanya, “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Saya menjawab, “Ya.” Abu Qatadah menjelaskan, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.” Hadith sahih direkod oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Nasa’i, dan Ibn Majah.

Ubah kedudukan hanya kalau kucing ada di tempat sujud.

9. Apakah fadhilat salat sunat Terawih?

🔵 Hadis yang sahih: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ ، إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu”. [ Bukhari, no. Hadith 36]

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

10. Benarkah segala amalan sunat pada bulan Ramadan akan digandakan pahala sebanyak 70 kali?

🔵 Tersebar amalan meter ramadan berpusing 70 kali ganda. Ini dari sumber hadith yang palsu dan mungkar.

Dalam riwayat ini disebutkan:

من تطوع فيه بخصلة من خصال الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه، ومن أدى فيه فريضة كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه

Sesiapa melakukan amalan sunat, pahalanya seperti sesiapa menunaikan amalan wajib di luar Ramadan. Sesiapa menunaikan amalan wajib, maka seperti dia menunaikan 70 kewajipan di luar Ramadan.

[Sahih Ibnu Khuzaimah, no: 1887, beliau mengisyaratkan kedhaifannya dengan menyebut: Seandainya ia sahih (باب فضائل شهر رمضان إن صح الخبر).

Penelitian lebih mendapati hadith ini mungkar.

Maka tidak boleh dijadikan hujah. Secara umum, memang pahala bulan Ramadan akan lebih disebabkan puasa itu sendiri.

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ‏”‏ ‏.‏

Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat, dan makannya kerana Aku.

Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan:
1- Kegembiraan ketika berbuka puasa.
2- Kegembiraan ketika bertemu tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi. [Sahih Muslim].

11. Apakah hukum salat terawih untuk orang yang bermusafir? Perlukah mereka melakukan salat terawih?

🔵 Orang yang bermusafir tentu susah untuk melakukan salat terawih tetapi kalau dia biasa buat terawih semasa mukim, maka dia akan mendapat pahala.

Dari Abu Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Ketika seorang hamba itu sakit atau safar, maka dicatat pahala untuknya sesuai amalan yang dia lakukan ketika mukim (tidak safar) dan ketika sihat. (HR. Ahmad 19679 dan Bukhari 2996).

12. Adakah masih melakukan salat Terawih secara bersendirian ketika hampir menjelang waktu salat Subuh bagi orang yang tidak berkesempatan hendak salat Terawih berjemaah kerana bekerja?

🔵 Salat terawih boleh sahaja dibuat secara bersendirian.

13. Adakah kena keluar daripada surau sekiranya surau tersebut sering membuat bacaan tahlil selepas salat Isyak?

🔵 Ya, kena keluar.

14. Adakah cadangan bacaan tasyahhud yang mudah untuk mengajar pelajar pendidikan khas?

🔵 Pilih salah satu lafaz tasyahhud. Buat yang mereka mampu sahaja. Jika tidak mampu sangat, cukup membaca tasbih, tahmid dan takbir sahaja.

15. Adakah boleh menghadiri acara tahlil kemudian doa selamat dan jamuan makan walaupun tiada bacaan Yasin?

🔵 Ini semua bidaah. Jangan campur sedikit pun. Jangan cari alasan hendak bagi boleh.

16. Pendekatan yang bagaimana lebih awla untuk anak-anak yang keliru mengenai hukum disebabkan ajaran di sekolah berbeza dengan ajaran di rumah?

🔵 Tidak ada yang lebih awla. Ada satu hukum sahaja. Iaitu salam yang wajib adalah sekali sahaja.
Kita anggap ustaz itu yang keliru.

17. Di manakah hendak mencari sekolah sunnah di Malaysia ?

🔵 Dr Basit Abd Rahman. Boleh lihat di page dia Abu Anas Madani.

18. Adakah boleh jika saya salat terawih 8 rakaat sahaja di masjid walaupun mereka buat sehingga 20 rakaat. Selepas itu saya ikut imam salat witir dua rakaat kemudian baru saya salat witir 1 rakaat sendirian?

🔵 Saya tidak faham cara ini. Sekejap ikut sekejap tidak ikut.

Perempuan elok salat di rumah sahaja. Ini lebih afdhal.

19. Benarkah salat wanita di rumah lebih utama daripada salat bersama Rasulullah ‎ﷺ di Masjid Nabawi ?

🔵 Ya.

20. Adakah boleh lelaki salat Isyak secara berjemaah di masjid dan salat terawih di rumah?

🔵 Boleh. Memang ada perbincangan mana yang lebih afdhal sama ada salat terawih di rumah atau di masjid?

Tetapi menjawab soalan: boleh sahaja salat di rumah.

Z. Mengucap Salam. Salam yang pertama adalah Rukun dan Salam kedua adalah Sunat.

1⃣ Salam termasuk rukun salat. Sehingga orang yang meninggalkan salam, baik dengan sengaja mahupun lupa maka salatnya batal.

Dari Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

“Kunci salat adalah bersuci, yang mengharamkannya adalah takbiratul ihram dan yang menghalalkannya adalah salam.” (Musnad Ahmad no.1075, Sunan Abu Daud no.618, Jami’ at- Tirmizi no.3, Sunan Ibnu Majah no.275 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth)

Syarah: Mengharamkannya: batas yang mengharamkan untuk melakukan kesibukan di luar salat. Selepas kita takbiratul ihram, sudah haram buat benda-benda lain selain dari aktiviti salat.

Contoh: makan nasi lemak halal, tetapi haram makan dalam salat.

Menghalalkannya: batas yang menghalalkan untuk melakukan kesibukan di luar salat. Selepas salam, sudah boleh makan nasi lemak balik.

2⃣ Salam yang statusnya rukun salat adalah salam pertama, sedangkan salam kedua hukumnya sunah. Rasulullah ﷺ pernah melakukan salam sekali.

Dari Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau menceritakan,

أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كان يسلم تسليمة واحدة
“Bahawa Nabi ﷺ pernah melakukan salam sekali.” (HR. Baihaqi dalam al-Kubra no. 3107, at-Thabrani dalam al-Ausath no. 8473, dan yang lainnya)

Maka, kalau ada yang hendak terkentut sangat, tunggulah sampai habis salam pertama.

3⃣ Adakah menoleh itu wajib?

Tidak. Inti dari salam adalah bacaan Assalamu alaikum wa rahmatullah….. Sementara menoleh ketika salam, hukumnya dianjurkan dalam mazhab Syafiiyah. Salat tetap sah, sekalipun tidak menoleh ketika salam. Imam An-Nawawi رحمه الله mengatakan,

ولو سلم التسليمتين عن يمينه أو عن يساره أو تلقاء وجهه أجزأه وكان تاركا للسنة

Jika ada orang yang mengucapkan salam dua kali ke kanan atau ke kiri, atau menghadap ke arah depan (tidak menoleh), salatnya sah, sekalipun dia meninggalkan sunah. (al-Majmu’ Syarh Muhadzab, 3/478).

Jadi kalau sakit kepala, tidak menoleh pun tidak mengapa. Kalau sengaja tidak mahu menoleh kerana malas sangat, atau kerana kepala seberat bangunan, salat tetap sah.

4⃣ Dianjurkan untuk menoleh secara penuh ketika salam dua kali, sehingga pipi orang yang salat kelihatan dari belakang.

Dari Sa’ad bin Abi Waqqas رضي الله عنه, beliau menceritakan,

كُنْتُ أَرَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسَارِهِ، حَتَّى أَرَى بَيَاضَ خَدِّهِ

”Saya melihat Rasulullah ﷺ melakukan salam dengan menoleh ke kanan dan ke kiri. Hingga aku melihat putihnya pipi baginda.” (HR. Muslim 582).

Syarah: Bila nampak pipi dari belakang itu memberi isyarat yang Nabi ﷺ pusing kepala sampai melihat ke kanan dan ke kiri dengan lengkap.

5⃣ Cara salam ada 5:

a. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” ketika menoleh ke kanan dan ke kiri.

Dari Abu Ubaidah bin Abdullah bin Jarrah رضي الله عنه,

أَنَّ ابْنَ مَسْعُودٍ كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، وَعَنْ يَسَارِهِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، يَجْهَرُ بِكِلْتَيْهِمَا

Bahawa Ibnu Mas’ud salam ke kanan dengan mengucapkan, “Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” dan menoleh ke kiri dengan membaca, “Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” beliau mengeraskan keduanya. (HR. Abdurazaq dalam Musannaf, 3129).

Hal yang sama juga dilakukan sahabat Ammar bin Yasir رضي الله عنهما (Musannaf Abdurazaq 3134).

b. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” ketika salam pertama dan mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah” pada saat salam kedua.

Dari Wa-il bin Hujur رضي الله عنه, beliau menceritakan,

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ»، وَعَنْ شِمَالِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ»

“Saya salat bersama Nabi ﷺ. Beliau mengucapkan salam ketika menoleh ke kanan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” dan ketika menoleh ke kiri beliau mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” (HR. Abu Daud 997 dan disahihkan al-Albani)

c. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah” ketika menoleh ke kanan dan ke kiri.

Dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه,

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ

“Saya melihat Rasulullah ﷺ melakukan salam ke kanan dan ke kiri, mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah”, hingga terlihat putihnya pipi baginda.” (Sunan Nasa’i no. 1130, Abu Daud dan disahihkan al-Albani).

d. Salam pertama mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” dan salam kedua mengucapkan, ”Assalamu alaikum.”

Dari Wasi’ bin Hibban, beliau pernah bertanya kepada Ibnu Umar رضي الله عنهما tentang tata cara salat Nabi ﷺ. Beliau pun menunjukkannya, di antaranya,

وَذَكَرَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ عَنْ يَمِينِهِ، السَّلَامُ عَلَيْكُمْ عَنْ يَسَارِهِ

Wasi’ menyebutkan bahwa Ibnu Umar mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” ketika menoleh ke kanan dan mengucapkan ”Assalamu alaikum.” ketika menoleh ke kiri. (Sunan Nasai no. 1340 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).

e. Salam sekali dengan hanya mengucapkan ”Assalamu alaikum.”

Aisyah رضي الله عنها menceritakan tata cara salat Nabi ﷺ,

ثم يسلم تسليمة واحدة، السلام عليكم، يرفع بها صوته، حتى يوقظنا

”Kemudian baginda salam sekali, mengucapkan ’Assalamu alaikum’ dengan mengangkat suaranya, sehingga membangunkan kami.” (Musnad Ahmad no. 24795 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).

6⃣ Nabi ﷺ kadangkala salam sekali dengan menoleh sedikit ke arah kanan;

Aisyah رضي الله عنها menceritakan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ فِي الصَّلَاةِ تَسْلِيمَةً وَاحِدَةً تِلْقَاءَ وَجْهِهِ يَمِيلُ إِلَى الشِّقِّ الْأَيْمَنِ قَلِيلًا

”Rasulullah ﷺ melakukan salam sekali ketika salat ke arah depan dengan menoleh sedikit ke kanan.” (HR. Ibn Khuzaimah dalam sahihnya no. 706, Hakim dalam Mustadrak no. 805, An-Nasai dalam Al-Kubra no. 1454 dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani)

✂️ Kesalahan Yang Dilakukan Ketika Salam

1. Membuka tangan kanan dan kiri ketika menoleh pada saat salam. Saya pernah juga melihat perkara ini dilakukan.

Sebenarnya kebiasaan ini pernah dilakukan sebahagian sahabat di zaman Nabi ﷺ.
Dari Jabir bin Samurah رضي الله عنه,

”Ketika kami salat bersama Rasulullah ﷺ, kami mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah – Assalamu alaikum wa rahmatullah” sambil berisyarat dengan kedua kanan ke samping masing-masing. Kemudian Rasulullah ﷺ mengingatkan,

عَلَامَ تُومِئُونَ بِأَيْدِيكُمْ كَأَنَّهَا أَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ؟ إِنَّمَا يَكْفِي أَحَدَكُمْ أَنْ يَضَعَ يَدَهُ عَلَى فَخِذِهِ ثُمَّ يُسَلِّمُ عَلَى أَخِيهِ مَنْ عَلَى يَمِينِهِ، وَشِمَالِهِ

”Mengapa kalian mengangkat tangan kalian, seperti keldai yang suka lari? Kalian cukup letakkan tangan kalian di pahanya kemudian salam menoleh ke saudaranya yang di samping kanan dan kirinya.” (Sahih Muslim no. 657 dengan lafaz ini, Musnad Ahmad no.20120, Sunan Al-Baihaqi no. 917, Sunan Nasa’i no. 1318 dan yang lainnya).

Syarah: Jadi tidak perlu angkat tangan beri isyarat atau buka tangan kanan bila salam ke kanan dan buka tangan kiri bila salam ke kiri.

2. Menggangguk ke depan, ke kanan dan ke kiri.

Kita biasa melihat ada angguk dahulu sebelum salam. Angguk depan, angguk kanan, kemudian angguk depan semula, kemudian angguk ke kiri. Saya tidak tahu dari mana asalnya amalan ini. Tidak ada di dalam sunnah. Pernah ada yang beritahu kepada saya kenapa dia melakukannya tetapi saya sudah lupa.

✴️ 1. Cara salat yang diriwayatkan berlaku bagi lelaki dan wanita

Kita telah banyak menyampaikan cara-cara salat. Kita tidak bezakan mana-mana pun dari cara-cara itu kerana cara salat bagi lelaki dan wanita sama sahaja. Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak pernah membezakan.

Apa yang lazim diajarkan di dalam kitab-kitab atau kelas-kelas pengajian Fardhu ‘Ain di Malaysia ialah wujud perbezaan dalam sifat salat lelaki dan perempuan. Umpamanya bagi perempuan apabila mengangkat tangan ketika Takbir hendaklah merapatkan tangan dan ketiaknya. Sedangkan bagi lelaki hendaklah merenggangkan tangan dari ketiaknya. Ketika sujud pula kaum perempuan hendaklah merapatkan pahanya kepada perutnya serta tangannya pula dirapatkan kepada rusuk. Sedangkan bagi lelaki dijauhkan pahanya dari perut serta tangannya direnggangkan dari rusuk kiri dan kanan.

Oleh kerana tidak ada dalil yang sarih tentang perbezaan ini, maka kita boleh katakan yang ia adalah pendapat sahaja.

👁‍🗨 Menurut al-Albani رحمه الله:
Tidak terdapat keterangan dari sunnah yang menerangkan adanya cara-cara khusus untuk perempuan yang berbeza dengan cara yang berlaku untuk lelaki. Bahkan sabda Nabi ﷺ: “Salatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersalat”, berlaku secara umum dan mencakupi kaum perempuan.

👁‍🗨 Ibrahim al-Nakha’i menyatakan:

تَفْعَلُ الْمَرأَةِ فِي الصَّلاَةِ كَمَا يَفْعَلُ الرَّجُلُ.

Dalam salat, wanita mengerjakannya sama dengan cara yang dilakukan oleh lelaki.

👁‍🗨 Al-Albani رحمه الله juga telah membawa sebuah riwayat dari al-Bukhari dalam kitabnya al-Tarikh al-Saghir, mukasurat 95 dari Ummu al-Darda’ رضي الله عنها berbunyi:

أََنَهَا كَانَتْ تَجْلِسُ فِي صَلاَتِهَا جِلْسَةَ الرَّجُلِ, وَكَانَتْ فَقِيْهَةً.

Sesungguhnya (Ummu Darda’) dalam salat, duduk seperti cara duduk lelaki,
padahal beliau seorang perempuan yang ahli fiqh.

✴️ 2. Zikir-zikir dan doa setelah salam.

Kita dianjurkan berzikir selepas menunaikan salat. Ada zikir-zikir dan doa yang sahih dari ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi sebelum itu, mari kita lihat apakah Adab Berzikir Selepas Salat:

1. Dibaca secara individu (bukan secara berjemaah atau koir).

2. Dibaca dengan merendahkan suara, yakni tidak dikuatkan atau dinyaringkan, apatah lagi sehingga menggunakan alat pembesar suara sebagaimana yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Namun hendaklah cukup sekadar diri sendiri yang mendengar dan memahaminya atau menghayatinya.

[Kuat atau tidak ini kena dinilai sendiri. Saya sendiri pernah ditegur oleh seorang warga Bangladesh kerana zikir kuat. Padahal tentulah saya sudah zikir perlahan kalau dibandingkan dengan orang lain. Tetapi masih lagi ditegur oleh orang. Maka kena lebih berhati-hati kalau ada orang lain di sebelah kita.]

3. Tidak disunnahkan berzikir selepas salat dengan suara yang kuat, diperdengarkan, serta jama’i (atau koir), melainkan jika bagi tujuan mengajar kepada mereka yang ingin mempelajari sampai difahami. Malangnya di negara kita sudah merdeka 60 tahun pun tetapi masyarakat masih tidak pandai-pandai lagi. Kerana itulah agaknya imam-imam tidak pernah berhenti dari menggunakan mikrofon semasa berzikir selepas salat jemaah.

👁‍🗨 Adakah membaca zikir beramai-ramai dan dengan suara kuat ini sebab mengikut mazhab Syafi’iy رحمه الله? Mari kita lihat apa kata beliau sendiri.

Al-Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله berkata di dalam kitabnya, Al-Umm:

وَأَخْتَارُ للامام وَالْمَأْمُومِ أَنْ يَذْكُرَا اللَّهَ بَعْدَ الِانْصِرَافِ من الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ الذِّكْرَ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يَجِبُ أَنْ يُتَعَلَّمَ منه فَيَجْهَرَ حتى يَرَى أَنَّهُ قد تُعُلِّمَ منه ثُمَّ يُسِرُّ فإن اللَّهَ عز وجل يقول {وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِك وَلَا تُخَافِتْ بها} يعنى وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ الدُّعَاءَ وَلَا تَجْهَرْ تَرْفَعْ وَلَا تُخَافِتْ حتى لَا تُسْمِعَ نَفْسَك

“Aku berpendapat bahawa bagi imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah di setiap kali selesai dari salat, dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, melainkan bagi seorang imam yang bertujuan mengajari makmumnya tentang zikir tersebut, maka dia boleh mengeraskan suara bacaan zikirnya, sehingga apabila dia telah mengetahui bahawa para makmum telah tahu, maka hendaklah dia kembali merendahkan suara zikirnya, kerana Allah عز وجل berfirman:

وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلا

“Dan janganlah engkau mengeraskan suaramu dalam salatmu dan janganlah pula merendahkannya.” (Surah al-Israa’, 17: 110)

Maksud kata الصلاة (Ash-Shalah) wallahu Ta’ala a’lam adalah doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau menjahrkan (mengangkat dan memperdengarkan) suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhafit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya. (Al-Umm, 1/127)

Maknanya, yang membaca zikir kuat (lagi teruk bila pakai mikrofon) itu bukan sahaja langgar arahan Allah ﷻ, bahkan langgar kata-kata Imam Syafi’iy رحمه الله sendiri.

✴️ 4. Zikir-zikir ini dilaksanakan sebaik selesai salat fardhu setelah salam.

❎ Beberapa Bentuk Kesalahan Umum Ketika Berzikir Setelah Salat:

I. Berzikir dengan suara yang lantang serta berlagu.

II. Berzikir atau berdoa secara jama’i, koir, dan bertekongkan imam.

III. Berzikir dengan zikir-zikir yang tidak ada landasan atau pedomannya dari dalil yang sahih, sama ada lafaznya, bilangannya, mahupun kaifiyatnya (tatacaranya). Seperti contohnya berzikir dengan bacaan surah Al-Fatihah dan menambah lafaz tertentu pada istighfar.

✴️ 4. Berzikir dengan biji tasbih. Sebahagian ulama’ menganggap berzikir dengan menggunakan biji tasbih adalah bid’ah dan mencontohi amalan kaum Yahudi, Nasara, dan Budha. Sebaliknya yang sahih dari Nabi ﷺ, disunnahkan agar membilang bacaan-bacaan zikir dengan jari tangan kanan. (lihat: Sunan Abi Daud, no. 1501, 1502. At-Tirmidzi, no. 3486)

Sebenarnya, sudah banyak ulama’ yang menulis dan membahas hukum penggunaan alat tasbih untuk menghitung zikir.

👁‍🗨 Menurut Syaikh Bakr Abu Zaid رحمه الله, dari ulama’ yang terdahulu ataupun yang sekarang (kontemporari), yang pendapatnya boleh dijadikan sebagai hujjah, menunjukkan kesimpulan, bahawa tidak ada satu pun hadith yang sahih yang membolehkan menggunakan selain jari tangan untuk menghitung zikir.

Biji tasbih yang banyak digunakan oleh orang kita sekarang tidaklah ada dalam sejarah Islam yang awal. Melainkan ia diambil daripada amalan agama-agama lain. Pada zaman tabi’in baru mula ada menggunakan kerikil atau biji kurma (belum pakai biji tasbih lagi), tetapi itu pun sudah ditegur oleh sahabat kerana sahabat masih ada lagi.

Banyak atsar sahabat dan tabi’in رحمهم الله yang menunjukkan, bahawa mereka mengengkari orang yang menggunakan bijian atau kerikil untuk menghitung zikirnya. Di antara atsar tersebut ialah:

👁‍🗨 Atsar Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, dari Ibrahim berkata:

كَانَ عَبْدُ اللهِ يَكْرَهُ العَدَّ وَيَقُوْلُ أَيَمُنُّ عَلَى اللهِ حَسَنَاتِهِ

Abdullah bin Mas’ud membenci hitungan (dengan tasbih) dan berkata,” Apakah mereka menyebut-nyebut kebaikannya di hadapan Allah?” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al Mushnaf, no. 7667 dengan sanad yang sahih).

Atsar dari Amru bin Yahya رحمه الله; dia menceritakan pengengkaran Abdullah bin Mas’ud terhadap halaqah di masjid Kuffah yang orang-orangnya bertasbih, bertahmid dan bertahlil dengan kerikil. Riwayat selengkapnya, lihat Sunan Ad Darimi, Kitabul Muqaddimah, hadith no. 206. Juga disebutkan dalam Tarikh Wasith, Aslam bin Sahl Ar Razzaz Al Wasithi. Syaikh Al-Albani mensahihkan sanad hadith ini dalam As Silsilah Ash Shahihah, hadith no. 2005

Adapun yang membawa masuk alat tersebut ke dalam dunia Islam dan yang pertama kali memperkenalkannya ialah kelompok-kelompok tareqat atau tasawwuf; disebutkan oleh Sidi Gazalba sebagai hasil kombinasi pemikiran antara Islam dengan Yahudi, Kristian, Manawi, Majusi, Hindu dan Budha serta mistik Pytagoras. Rujukan: Sidi Gazalba, Sistematika Filsafat.

Allahu a’lam. Selepas itu, apakah zikir dan doa yang sahih dari Sunnah?

Y. Berdoa Sebelum Salam dan Lafaz-lafaznya

Doa lebih baik diucapkan di dalam ibadah. Lebih-lebih lagi dalam salat kerana salat itu adalah ibadah yang utama. Tambahan pula waktu itu kita sedang menghadap Allah ﷻ maka molek sekali kita panjatkan doa kita pada waktu itu.

Perumpamaannya begini: Katakan anda berjumpa Menteri kerana hendak meminta sesuatu. (Ini perumpamaan sahaja, bukan senang hendak jumpa menteri dan menteri tidak buat kerja begini). Kita sudah jumpa Menteri, bersembang tanya itu dan ini, kemudian kita keluar pejabatnya.

Apabila di luar pejabat, baru kita SMS/Whatsapp permintaan kita.

Tentulah Menteri itu hairan dan kata: “Eh tadi masa depan saya pakcik tak cakap apa pulak? Kenapa dah keluar baru nak minta? Bukankah lebih elok minta semasa depan saya?”

Mari kita lihat beberapa doa yang boleh dijadikan amalan.

1⃣ Doa Mohon Perlindungan Daripada Azab Neraka, Azab Kubur, Fitnah Kehidupan Dan Kematian Dan Fitnah Dajjal.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ،
وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال

Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari azab neraka jahanam, dari azab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari kejahatan fitnah Dajjal.” (Sahih Muslim no. 924).

2⃣ Doa Ini Sangat Baik Diamalkan Jika Kita Ada Masalah Hutang.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari azab kubur, aku berlindung denganMu dari fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu dari fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari dosa dan hutang.” (Sahih Bukhari no. 789)

3⃣ Doa Yang Ini Amat Baik Untuk Melupuskan Sifat Mazmumah Yang Ada Pada Diri Kita.

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمْرِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sifat bakhil, aku berlindung denganMu dari sifat pengecut, aku berlindung denganMu dari dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku berlindung denganMu dari fitnah dunia dan siksa kubur. (Sahih Bukhari no. 5893)

4⃣ Doa Mohon Diampunkan Dosa Yang Terdahulu.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي, أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْت

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah bagiku dosa-dosa yang terdahulu, yang terkemudian, yang aku rahsiakan, yang aku nyatakan, yang aku melampau, dan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku tentangnya. Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengemudiankan sesuatu, tiada illah sebenar melainkan Engkau.” (Hadith Riwayat Muslim no. 1762).

5⃣ Doa Mohon Ampun Kerana Menzalimi Diri Sendiri. Doa ini adalah doa taubat. Sesuai Sangat Dibaca Selepas Membaca Tahiyyat Akhir Dalam Salat Taubat.

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْماً كَثِيراً وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ. فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak. Tiada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah bagiku dengan keampunan disisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Hadith Riwayat Bukhari no. 6181 dan Muslim no. 6819).

6⃣ Doa Yang Amat Baik Untuk Memohon Allah ﷻ Jadikan Kita Hambanya Yang Bersyukur Dan Sentiasa Mengingatinya.

اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

Maksudnya, “Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepadaMu dan beribadah yang baik untukMu” (Sunan Abu Daud no. 1301, Sunan Nasa’i no. 1286)

7⃣ Doa Ini Untuk Memohon Allah ﷻ Mudahkan Urusan Hisab/Perbicaraan Kita Di Mahkamah Allah ﷻ Di Akhirat Nanti.

اللهم حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرَا

Maksudnya, “Ya Allah! Hitunglah aku dengan perhitungan yang mudah.” (Musnad Ahmad no. 23082)

8⃣ Doa Mohon Perlindungan Dari Perbuatan Syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu dari menyekutukan-Mu sedang aku mengetahuinya. Dan aku memohon ampun kepada-Mu atas apa Yang aku tidak ketahui. (HR Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 716, Musnad Ahmad no. 19108, Amal al-Yaumi wal Lailah Ibnu Sunni no. 258, Al Hakim At-Tirmizi no. 4/142, Abu Ya’la no. 58. Sahih al-Albani dalam Sahih Adabul Mufrad no. 551)

9⃣ Doa Mohon Ampun Dosa

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya, “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu. Ya Allah Yang Maha Esa, Tempat meminta sesuatu, Yang Tidak Melahirkan dan Tidak Dilahirkan, dan tidak ada yang setara dengannya, ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Sunan Abu Daud no. 835)

🔟 Doa Memohon Dimasukkan Ke Syurga Dan Diselamatkan Dari Neraka

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon kepada-Mu, agar dimasukkan ke Syurga dan aku berlindung dengan-Mu dari Neraka.” (Sunan Abu Daud no. 672)

Doa-doa ini dan mungkin ada lagi doa-doa lain boleh dibaca sebelum kita memberi salam. Dari segi turutan doa, boleh dibaca doa dalam Al-Qur’an sebagai doa yang terbaik kerana Allah ﷻ yang ajar. Kemudian doa yang diajar oleh Nabi ﷺ. Kemudian kita boleh susun doa-doa kita sendiri yang lafaznya baik.

Doa-doa ini bukanlah perlu dibaca setiap kali. Boleh pilih-pilih doa-doa itu. Ini kerana Nabi ﷺ pun tidaklah baca semua sekali doa itu sekaligus. Boleh pilih-pilih doa itu.

Doa ini bukanlah dibaca kalau kita menjadi makmum. Apabila imam sudah memberi salam, maka kita tidaklah boleh tunggu lama, kenalah kita beri salam juga. Jadi kalau ingin membaca doa panjang, boleh salat sunat dan bacalah doa sepanjang mana pun.

🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-75☘️RABU 01/05/19
========================

1. Apakah doa yang sesuai dibaca sebelum salam, oleh seorang imam?

🔵 Boleh membaca doa yang pertama. Permohonan lengkap dan padat.

2. Bolehkah dibaca secara jama’ doanya?

🔵 Kekalkan lafaz asal doanya dan itu yang lebih baik. Setiap orang ada permohonannya tersendiri. Masyarakat kita perlu belajar cara berdoa. Jangan hanya bergantung orang untuk membacakan doa selagi kita hidup.

3. Apakah hukum menambah selawat dengan lafaz sayyidina di dalam salat mahupun di luar salat?

🔵 Tidak diajarkan oleh Rasulullah ‎ﷺ, dan tidak di amalkan oleh sahabat. Maka ia bid’ah dhalalah.

4. Adakah doa-doa yang diajarkan Rasulullah ‎ﷺ tidak boleh diubah lafaznya?

🔵 Ya, doa yang sahih daripada Nabi jangan ditukar lafaznya. Gunakan sahaja seperti lafaz yang telah disebutkan. Lagipun doa itu untuk dibaca sendiri, bukannya dijama’kan supaya dibacakan sekali untuk orang lain. Meskipun begitu boleh menambah apa-apa doa daripada ayat Al-Quran. Di dalamnya ada doa untuk ibu bapa dan keluarga.

5. Adakah boleh berdoa di dalam hati sambil memejamkan mata supaya lebih khusyuk?

🔵 Sekali sekala adalah dibolehkan tetapi kebiasaannya doa dilafazkan. Hati adalah tempat niat.

6. Jika imam telah habis membaca tasyahhud dan selawat kemudian memberi salam, adakah kita perlu terus mengikut imam memberi salam tanpa menghabiskan selawat?

🔵 Habiskan selawat dan terus ikut imam dengan memberi salam.

7. Adakah doa-doa yang dinyatakan dibaca sebelum salam boleh dibaca semasa sujud?

🔵 Ya boleh.

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS (1/2)

1. Semasa salat sunat, adakah boleh berdoa lama ketika sujud?

🔵 Boleh.

2. Berkenaan doa selepas salam, adakah boleh menadah tangan?

🔵 Kebanyakan berdoa adalah tanpa menadah tangan. Doa tanpa menadah tangan lebih mudah. Malah Imam Izz Abdul Salam berkata: “Tidaklah mengangkat tangan di dalam doa itu melainkan juhala’ (orang jahil).” Maka doa ketika makan, doa selepas wudhu’, doa naik kenderaan, doa sebelum berjimak, doa masuk tandas serta selainnya, adalah tidak perlu mengangkat tangan. Doa yang biasa mengangkat tangan adalah selepas salat.

3. Adakah boleh melaksanakan dua kali witir di dalam satu malam? Contohnya telah menutup salat Tarawih dengan salat Witir, kemudian ingin melaksanakan salat Tahajjud pula.

🔵 Salat Tahajjud boleh ditutup tanpa salat Witir. Sebahagian pendapat ada menyatakan boleh melakukan dua kali witir tetapi pendapat itu tidak kuat.

4. Apakah dalil mengharuskan bacaan doa ketika rukuk?

🔵 Sila rujuk kembali nota kelas berkenaan rukuk.

5. Adakah boleh melaksanakan witir tiga rakaat dengan satu salam?

🔵 Boleh, tetapi bukan seperti salat Maghrib. Witir tiga rakaat tanpa tahiyyat awal.

6. Adakah seseorang boleh membaca doa yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah ‎ﷺ semasa salat.

🔵 Boleh, doa dibaca di mana-mana sahaja di dalam salat. Hanya dianjurkan untuk memperbanyakkan doa semasa sujud, kerana ia tempat paling dekat dengan Allah.

7. Adakah benar seseorang perlu tunggu Imam keluar dari masjid untuk mendapatkan kelebihan tertentu?

🔵 Saya tidak tahu. Yang dinyatakan oleh hadith adalah apabila seseorang salat bersama imam hingga selesai, dicatit baginya pahala seperti menghidupkan keseluruhan malam. Daripada Abu Zar al-Ghifari, bahawa Rasulullah ‎ﷺ bersabda:

إنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Sesiapa yang berdiri (salat) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”.
[Jami’ Al-Tirmizi, no. Hadith 734. Hadith ini adalah Hasan Sahih sebagaimana dinyatakan oleh Imam Al-Tirmizi]

8. Jika kita ingin sambung salat Tahajjud dan Witir di rumah, adakah boleh meninggalkan witir bersama imam, tetapi masih boleh mendapat kelebihan selesai salat bersama imam?

🔵 Boleh meninggalkan witir bersama imam tetapi tidak mendapat ganjaran seperti selesai salat bersama imam.

9. Adakah boleh berniat tarawih semasa salat Witir bersama imam?

🔵 Tidak boleh kerana bilangan rakaat tarawih dan witir berbeza. Tidak mengapa menghabiskan salat bersama imam dengan witir. Tetap boleh menunaikan solat tahajjud nanti. Walaupun begitu, jika tertidur hingga terlepas salat tahajjud, masih mendapat pahala salat sepanjang malam kerana telah salat bersama imam sebelumnya.

10. Apakah puasa wisal?

🔵 Puasa dua hari tanpa berbuka dan tanpa bersahur. Nabi ada melakukannya tetapi Nabi melarang sahabat buat. Kerana ia memudharatkan. Ini adalah pengkhususan yang diberikan kepada baginda.

Tetapi di zaman sekarang sejak ada “Intermittent Fasting”, sudah ada yang tidak makan selama tiga hari berterusan. Dan ia tetap dilarang.

Dari Abu Hurairah, dia berkata:
نَهَى رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ اَلْوِصَالِ, فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ اَلْمُسْلِمِينَ: فَإِنَّكَ يَا رَسُولَ اَللَّهِ تُوَاصِلُ? قَالَ: ” وَأَيُّكُمْ مِثْلِي? إِنِّي أَبِيتُ يُطْعِمُنِي رَبِّي وَيَسْقِينِي “. فَلَمَّا أَبَوْا أَنْ يَنْتَهُوا عَنِ اَلْوِصَالِ وَاصَلَ بِهِمْ يَوْمًا, ثُمَّ يَوْمًا, ثُمَّ رَأَوُا اَلْهِلَالَ, فَقَالَ: ” لَوْ تَأَخَّرَ اَلْهِلَالُ لَزِدْتُكُمْ ” كَالْمُنَكِّلِ لَهُمْ حِينَ أَبَوْا أَنْ يَنْتَهُوا
Sesungguhnya Rasulullah ‎ﷺ melarang dari puasa wisal. Ada seorang muslim yang menyanggah Rasul, “Sesungguhnya engkau sendiri melakukan puasa wisal?” Rasul pun memberikan jawapan, “Siapa yang semisal denganku? Sesungguhnya aku di malam hari diberi makan dan minum oleh Rabbku.” Lantaran mereka tidak mau berhenti dari puasa wisal, Nabi berpuasa wisal bersama mereka kemudian hari berikutnya lagi. Lalu mereka melihat hilal, baginda pun berkata, “Seandainya hilal itu tertunda, aku akan menyuruh kalian menambah puasa wisal lagi.” Maksud baginda menyuruh mereka berpuasa wisal terus sebagai bentuk hukuman bagi mereka karena enggan berhenti dari puasa wisal.
[Sahih Al-Bukhari no. 1965 dan Sahih Muslim no. 1103]

Juga hadith dari Abu Sa’id Al-Khudri, dia mendengar Rasulullah ‎ﷺ bersabda:
لاَ تُوَاصِلُوا ، فَأَيُّكُمْ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُوَاصِلَ فَلْيُوَاصِلْ حَتَّى السَّحَرِ » . قَالُوا فَإِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ « إِنِّى لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ ، إِنِّى أَبِيتُ لِى مُطْعِمٌ يُطْعِمُنِى وَسَاقٍ يَسْقِينِ
Janganlah melakukan wishal. Jika salah seorang di antara kalian ingin melakukan wisal, maka lakukanlah hingga sahur (menjelang Subuh).” Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau sendiri melakukan wisal.” Rasul ‎ﷺ bersabda: “Aku tidak seperti kalian. Di malam hari, aku diberi makan dan diberi minum.”
[Sahih Al-Bukhari no. 1963]

11. Adakah qunut tiga rakaat dan satu salam mempunyai bacaan qunut?

🔵 Ya ada. Sunat dibaca pada rakaat terakhir.

12. Adakah salat Dhuha juga boleh dilaksanakan 4, 6, 8 dan 12 rakaat dengan satu salam?

🔵 Salat Dhuha dilaksanakan dua rakaat – dua rakaat. Tidak seperti salat Witir.

13. Adakah benar salat qabliyah Zuhur ada dua dan empat rakaat?

🔵 Ya. Boleh pilih salah satu.

14. Adakah membaca qunut witir perlu mengangkat tangan?

🔵 Sunat dengan mengangkat tangan.