Hal-hal yang disangka membatalkan wudhu’ tetapi tidak. Kadangkala ada perkara yang kita sangka membatalkan wuduk, tetapi sebenarnya tidak. Mari kita bincangkan.
1. Menyentuh kemaluan tanpa syahwat.
Kita telah bincangkan perkara ini dalam bab pembatal wudhu’. Kita telah sebut bagaimana kalau sentuh kemaluan dengan syahwat sahaja akan membatalkan wuduk. Maka, kalau sentuh kerana hendak cuci dalam mandi wajib, kalau sebab-sebab yang lain, maka tidaklah membatalkan wuduk.
2. Menyentuh perempuan tanpa syahwat.
Perkara ini menjadi khilaf yang besar di kalangan masyarakat kita kerana rata-rata masyarakat kita berpegang dengan mazhab Syafie yang berpendapat asal bersentuhan sahaja lelaki dan perempuan, itu akan membatalkan wudhu’.
Berkenaan masalah ini, ulama’ umumnya terbahagi kepada 3 kumpulan:
1. Sentuh lelaki perempuan terus batal, termasuk suami isteri. Ini pendapat mazhab Syafie.
2. Sentuh lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu’, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini pendapat mazhab Hanafi.
3. Sentuh lelaki dan wanita membatalkan wudhu’ jika ada syahwat. Ini pendapat mazhab Malik dan Ahmad.
Jadi, ada beberapa pendapat yang perlu dilakukan kajian dan untuk dibuat pilihan manakah yang lebih kuat atau lebih rapat kepada dalil. Mari kita lihat apakah dalil-dalil yang ada.
✍Dalil yang digunakan oleh mazhab Syafie bahawa sentuhan lelaki dan wanita membatalkan wudhu’ adalah ayat Maidah: 6
ِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wuduk.
✍Bagi mazhab Hanafi, pembatalan wudhu’ memerlukan dalil yang kuat. Ayat Maidah: 6 di atas diterjemahkan sebagai jimak, bukannya sentuh biasa.
Ini adalah kerana kalimah yang digunakan adalah لامس dan bukan لمس sahaja. Kalau لمس sahaja, ia bermaksud ‘sentuh’ tetapi apabila ada penambahan alif pada perkataan itu menjadi لامس, maka ia bermaksud ‘bersentuh-sentuhan’ yang membawa maksud ‘jimak’ tetapi dalam bahasa yang lembut.
Pendapat ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith yang berkaitan.
✍Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها:
كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا
Maksudnya: “Aku pernah tidur di hadapan Rasulullah ﷺ dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda ﷺ (dan baginda sedang menunaikan salat), lalu apabila baginda ﷺ hendak sujud, baginda ﷺ memegang kaki-ku, lalu aku pun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda ﷺ sujud), apabila baginda ﷺ bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.”
(HR Al-Bukhari)
✍Satu lagi hadith daripada ‘Aisyah رضي الله عنها juga:
فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ
Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah ﷺ pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda ﷺ, lalu dua tangan ku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda ﷺ itu ditegakkan, dan bagindaﷺ membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.”
(HR Muslim)
Syarah:
Zahir dari kedua-dua hadith ini jelas menunjukkan Nabi ﷺ pernah menyentuh ‘Aisyah رضي الله عنها ketika baginda ﷺ menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah رضي الله عنها juga pernah menyentuh Nabi ﷺ ketika baginda ﷺ menunaikan solat.
Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wudhu’ sudah tentu Nabi ﷺ akan membatalkan solatnya disebabkan wudhu’ baginda ﷺ terbatal kerana baginda ﷺ telah disentuh oleh ‘Aisyah رضي الله عنها.
Mazhab Malik dan Ahmad menggabungkan dua pendapat ini dengan mengatakan sentuhan itu akan membatalkan jikalau ada syahwat. Tetapi pendapat ini juga dikritik kerana bagaimana hendak tentukan ada syahwat atau tidak?
📍Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu’ dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita.
📍Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah, dan ulama’ semasa seperti Al-Syaikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, Al-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin, para ulama’ dari Lajnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama’ yang lain lagi.
Akan tetapi, secara praktikal, tentulah ini boleh menimbulkan masalah di negara kita yang mengamalkan mazhab Syafie. Maka pendapat ini boleh dipakai, tapi janganlah ditayang-tayang kepada umum. Ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan kepada mereka yang tidak belajar.
3. Keluar darah kerana luka, bekam dan lain-lain.
Pertamanya, kena tahu kalau darah haidh yang keluar, itu memang akan membatalkan wudhu’. Perkara yang kita hendak bincangkan ini adalah kalau darah yang keluar selain dari darah haidh.
Seperti biasa, ada khilaf ulama’ dalam hal ini. Ada yang kata keluar darah membatalkan wudhu’ dan ada yang kata tidak. Maka mari kita cuba rincikan dan cuba mencari pandangan yang rajih. Kita lihat apakah dalil dan hujah dua pandangan itu.
✍Imam An-Nawawi menyatakan bahawa ada ulama’ yang berpandangan keluarnya darah itu membatalkan wudhu’ jika keluar dari selain dua jalan. Ulama’ yang berpendapat seperti ini adalah mazhab Abu Hanifah, Ats-Tsauri, Al-Auza’i, Ahmad, dan Ishaq.
✍Imam Al-Khathabi menyatakan bahawa ini adalah pendapat kebanyakan fuqaha’. Ini menjadi pendapat dari ‘Umar bin Al-Khattab, ‘Ali bin Abi Thalib, ‘Atha’, Ibnu Sirin, Ibnu Abi Laila dan Zifr.
Ulama’ lainnya berpandangan bahawa keluar darah itu tidak membatalkan wudhu’ sebagaimana pendapat ulama’ Malikiyah, Syafi’iyah dan sebahagian ulama’ Hanbali untuk darah yang sedikit sahaja.
✍Di antara dalil yang digunakan oleh ulama’ yang menyatakan batalnya wudhu’ kerana keluar darah adalah hadith tentang darah istihadhah.
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ جَاءَتْ فَاطِمَةُ ابْنَةُ أَبِى حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ ، أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – « لاَ ، إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ ، وَلَيْسَ بِحَيْضٍ ، فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِى الصَّلاَةَ ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّى » . قَالَ وَقَالَ أَبِى « ثُمَّ تَوَضَّئِى لِكُلِّ صَلاَةٍ ، حَتَّى يَجِىءَ ذَلِكَ الْوَقْتُ »
Dari ‘Aisyah رضي الله عنها, dia berkata bahwa Fathimah bin Abu Hubaisy mendatangi Nabi ﷺ, ia berkata, “Wahai Rasulullah, aku wanita yang mengalami istihadhah dan belum suci. Apakah aku tetap meninggalkan solat?”
✍Rasulullah ﷺ menyatakan, “Tidak, itu hanyalah darah urat. Itu bukanlah darah haidh. Jika datang waktu kebiasaan haidhmu, maka tinggalkanlah salat. Jika waktu kebiasaan haidhmu telah selesai, maka mandilah, lalu solatlah.” Kemudian Nabi ﷺ bersabda, “(Ketika keluar darah istihadhah), berwudhu’lah setiap kali salat sampai datang waktu tadi (waktu kebiasaan haidh).”
(Bukhari no. 228, Kitab 4: Al-Wudhu’, Bab 63: Mencuci Darah)
Hadith ini dijadikan dalil bahawa keluar darah membatalkan wudhu’ kerana keluar darah istihadhah diperintahkan untuk berwudhu’. Sedangkan darah istihadhah adalah darah yang keluar kerana adanya urat yang terluka. Sedangkan yang dimaksudkan adalah sesuatu yang keluar dari dua jalan itu seperti kencing, air besar, dan haidh.
✍Adapun ulama’ yang berdalil bahawa keluar darah tidak membatalkan wudhu’ adalah hadith dari Jabir bin ‘Abdullah رضي الله عنه yang menyatakan (ketika perang Dzatu Ar-Riqa’), ada seseorang yang dipanah hingga keluar darah, ia tetap melanjutkan ruku’ dan sujud dalam solatnya.
Hadith yang dimaksudkan telah diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 198, dari Jabir رضي الله عنه, dia berkata, “Kami keluar bersama Rasulullah ﷺ dalam perang Dzatu Riqa. Lalu baginda ﷺ singgah di suatu tempat, maka baginda bersabda, “Siapa yang bersedia melindungi kami?” Maka bertugaslah seorang dari kalangan Muhajirin dan seorang dari kalangan Ansar. Lalu baginda ﷺ berkata, “Hendaklah kalian berdua berjalan di hadapan perkampungan.” Setelah mereka berada di hadapan perkampungan, maka seorang dari kalangan Muhajirin berbaring sedang yang seorang dari kalangan Ansar melakukan solat. Kemudian datang seorang dari kalangan musyrik, lalu dia menjunamkan tiga anak panah kepadanya, namun orang itu meneruskan ruku’ dan sujud, lalu temannya menyedari, ketika orang dari kalangan Muhajirin melihat darah yang terdapat pada orang Ansar, dia berkata, “Subhanallah! Mengapa tidak engkau beritahu aku saat pertama kali engkau terkena anak panah?” Dia berkata, “Saya ketika itu sedang membaca surah, kerananya saya tidak ingin memotongnya.”
(Hadith ini dihasankan oleh Syaikh Al-Albany dalam Sahih Abu Daud).
Syarah:
Walaupun sahabat itu berdarah, tetapi dia tidak memberhentikan solatnya. Sudah tentu kisah itu sampai kepada baginda ﷺ dan baginda ﷺ tidak menegur perbuatan sahabat itu. Jadi keluar darah tidaklah membatalkan wudhu’. Hadith ini menjadi dalil yang jelas bahawa darah tidak membatalkan wudhu’, walaupun banyak. Kerana, seandainya hal tersebut membatalkan wudhu’, nescaya dia akan keluar dari solat.
Ada lagi beberapa dalil yang boleh dijadikan hujah:
1️⃣ Ibnu Umar pernah memicit lukanya, lalu keluar darah namun dia tidak berwudhu’.
2️⃣ Ibnu Abi Aufa pernah mengeluarkan ludah bercampur darah, namun dia meneruskan salatnya.
3️⃣ Ibnu Umar dan Hasan berkata kepada orang yang berbekam, “Tidak ada kewajiban baginya kecuali mencuci bahagian yang dibekam,”
4️⃣ Al-Hafiz berkata dalam Al-Fath, (1/281), “Terdapat riwayat sahih bahawa Umar melakukan solat sementara lukanya mengeluarkan darah.”
Ini semua menunjukkan bahawa keluarnya darah dari selain salah satu dua jalan, tidak membatalkan wudhu’. Bagaimana pula dengan hadith tentang darah istihadhah tadi? Imam Nawawi رحمه الله dalam Al-Majmu’ menjelaskan tentang darah istihadhah yang dijadikan dalil keluar darah membatalkan wudhu’, “Makna hadith adalah hanya mengabarkan bahawa darah istihadhah bukanlah darah haidh.
Darah istihadhah jika keluar tetap diwajibkan berwudhu’ kerana darah tersebut keluar dari tempat hadas. Namun hal ini bukan difahami bahawa setiap darah yang keluar dari mana saja membatalkan wudhu’.”
4. Muntah, sama ada banyak atau sedikit.
Tiada dalil yang mengatakan muntah membatalkan wudhu’. Memang ada hadith Nabi berwudhu’ selepas muntah.
✍Namun Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin رحمه الله menyatakan, “Tentang hadith yang di mana Nabi ﷺ berwudhu’ ketika muntah, hadithnya didhaifkan oleh kebanyakan ulama’. Itu sekadar perbuatan, asalnya dihukumi tidak wajib kerana tidak ada perintah khusus.
Hal ini bertentangan pula dengan hadith–walaupun dha’if–bahawa Nabi ﷺ berbekam, lalu salat tanpa mengulangi wudhu’nya. Hal ini menunjukkan yang sama untuk muntah bahawa tidak diwajibkan untuk berwudhu’.”
(Majmu’ Fatawa, 11:198)
✍Hadithnya Abu Dardaa’ رضي الله عنه, kata beliau :
ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ – ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ – ﻗَﺎﺀَ ﻓَﺄَﻓْﻄَﺮَ ﻓَﺘَﻮَﺿَّﺄَ . ﻓَﻠَﻘِﻴﺖُ ﺛَﻮْﺑَﺎﻥَ ﻓِﻰ ﻣَﺴْﺠِﺪِ ﺩِﻣَﺸْﻖَ ﻓَﺬَﻛَﺮْﺕُ ﺫَﻟِﻚَ ﻟَﻪُ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺻَﺪَﻕَ ﺃَﻧَﺎ ﺻَﺒَﺒْﺖُ ﻟَﻪُ
“bahawa Rasulullah ﷺ muntah, lalu berbuka puasa, lalu berwudhu’. Kemudian aku bertemu dengan Tsaubaan di masjid Damsyiq, lalu aku menceritakan hal tersebut kepadanya, maka beliau berkata : ‘benar, aku yang membawakan air wudhu’ untuk Beliau’”
(HR. At-Tirmizi dan selainnya, Imam At-Tirmizi berkata : ‘hadith Husain yang paling sahih dalam bab ini’. Disahihkan juga oleh Syaikh Al-Albani).
Syarah:
Ulama’ tidak berpegang dengan hadith ini. Ada dua sebab:
1. Ada yang mendhaifkan hadith ini.
2. Kalau ada yang menerima hadith ini, ia tidak menunjukkan batalnya wudhu’ secara mutlak kerana itu hanya perbuatan Nabi Muhammad ﷺ. Pada prinsipnya, perbuatan baginda ﷺ tidak menunjukkan kepada hukum wajib. Kalau hendak buat pun, ia bermaksud meneladani perbuatan Nabi ﷺ sahaja.
Maka, mewajibkan ambil wudhu’ selepas muntah tidak ada dalil khusus.
5. Ragu-ragu, sama ada sedang berhadas atau tidak.
Ramai dari kalangan orang kita yang ada penyakit ragu-ragu, atau was-was. Ada juga dipanggil OCD (Obsessive Compulsive Disorder). Maka banyaklah masalah yang timbul dalam hal ini. Ada yang wudhu’ berkali-kali, mandi junub berkali-kali, salat pun berkali-kali… Itu tidak termasuk bab pembersihan lagi, sampaikan ada yang bermalaman mencuci lantai yang dia ‘rasa’ ada najis. Tidak mustahil kalau ada yang sedang membaca ini pun ada masalah ini. Kerana itu saya sentuh di sini.
Ini memberatkan diri berlebihan dari yang sepatutnya dan sangatlah tidak produktif. Membuang masa melakukan perkara yang tidak perlu dilakukan. Dan ia memberi imej negatif terhadap Islam, seolah-olah Islam ini berat sangat sampaikan benda senang pun nak kena buat berkali-kali.
Masalah ini terjadi kerana kekurangan ilmu tentang apa yang menyebabkan wudhu’ batal. Ada kesalahan belajar di mana-mana, mungkin belajar dengan ustaz yang mengajar kaedah yang berat dalam perkara yang tidak perlu.
Maka ni menyebabkan boleh terganggu fikiran pelajar itu sampai mengganggu kehidupan dia. Ia mengganggu kehidupan, hubungan dengan keluarga dan juga pekerjaan. Maka hendaklah berusaha untuk keluar dari permasalahan ini.
📍Mereka yang ada masalah was-was ini akan selalu keliru:
“Ini ada najis atau tidak?”
“Ini batal atau tidak?”
“Aku kentut ke ni?”
Ini terjadi kerana mereka diajar yang kalau kentut, maka batal wudhu’. Memang benar tetapi mereka takut sangat sampai mereka selalu fikir: “kentut batal, kentut batal, kentut batal” sampai dia ‘terasa’ dia kentut. Padahal tidak pun kerana kalau waktu lain okay sahaja, tetapi bila ambil wudhu’ atau salat, mulalah ‘terasa’ pada lubang angin.
Ini adalah kerana syaitan akan ambil kesempatan dari kejahilan orang itu. Syaitan akan bisikkan: “eh kau tadi dah kentut la… dah batal dah wudhu’ kau.. Kena pergi ambil balik”. Bila sudah ambil wudhu’, dia bisikkan lagi… dan lagi … dan lagi. Kalau lagi dilayan bisikan syaitan itu, maka lagi akan dibisikkan lagi, sampailah ke tahap mempersoalkan kewujudan Allah ﷻ.
Ketahuilah agama Islam tidak memberatkan penganutnya. Memang kentut membatalkan wudhu’, tetapi hanya kentut yang PASTI sahaja. Kalau agak-agak, itu tidak dikira. Itu adalah mainanan dan bisikan syaitan sahaja. Ingatlah firman Allah ﷻ:
✍Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah: 185)
📍Seseorang yang yakin bahawa dia telah kentut maka wudhu’nya akan terbatal serta merta sama ada angin tersebut mengeluarkan bunyi atau tidak, berbau ataupun tidak. Ini bagi orang yang normal, dia sedar dengan yakin yang dia telah kentut.
Namun, sekiranya seseorang ragu-ragu sama ada dia telah kentut ataupun tidak, pada ketika inilah sifat-sifat yang zahir daripada kentut itu perlu diambil kira bagi memastikan kedudukan wudhu’nya.
✍Ini sepertimana yang disebutkan dalam hadith Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid :
شكي إلى النبي صلى الرجل يخيل إليه أنه يجد الشيء في الصلاة؟ فقال: لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا
Maksudnya: Seorang lelaki telah mengadu kepada Nabi ﷺ bahawa dia seolah-olah mendapati sesuatu di dalam salatnya (ragu-ragu wudhu’nya terbatal sewaktu sedang salat). Maka (baginda) bersabda: Janganlah dia berhenti (salat) sehingga mendengar bunyi atau mendapati (mencium) bau.
[Muttafaq ‘Alaih, Al-Bukhari no.134, Muslim no.361 dan disyarah dalam Al-Fath (`12/329)]
Syarah:
Hadith di atas juga merupakan salah satu dalil yang menyokong kaedah fiqh اليقين لا يزول بالشك yang bermaksud “ Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”. Aplikasi kaedah ini menetapkan sekiranya seseorang telah mencapai tahap yakin, keraguan yang timbul setelah keyakinan tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak keyakinan tadi. Maka ini mengajar kita supaya jangan terkesan dengan bisikan syaitan. Hanya kalau yakin kentut, barulah wudhu’ terbatal. Kalau setakat was-was, maka itu tidak dikira, teruskan salat.
Kesimpulannya:
Kena abaikan bisikan syaitan itu. Kena ada ilmu supaya dapat menolak bisikan-bisikan syaitan itu. Memang di awal peringkat belajar ini, rasa tidak tenang sahaja, tetapi lama-kelamaan akan hilang perasaan itu dan semoga anda akan sembuh dari penyakit was-was ini.
6. Rasa keluar titisan dari kemaluan
Bersinambungan dari perbincangan tentang perasaan keluar angin kentut, begitulah juga dengan perasaan menitis air apa-apa sahaja dari kemaluan. Tidak boleh memberhentikan salat kerana sangkaan ada air keluar dari kemaluan.
✍Dalil yang sama digunakan:
Baginda ﷺ bersabda:
لاَيَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَرِيحًا
Jangan hentikan salatnya sebelum dia mendengar suara kentut atau mencium baunya”
[Bukhari no. 134 dan Muslim no. 540]
✍Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pernah ditanya: “Apabila seseorang merasakan keluarnya suatu titisan di dalam salatnya, apakah dia telah batal?” Beliau pun menjawab: “Hanya merasakan tidaklah membatalkan wudhu’”. Oleh kerana itu, dia tidak boleh keluar dari salat yang wajib hanya kerana keraguan.
Sekali lagi diingatkan yang ini adalah kalau was-was keluar air atau tidak. Kalau dia yakin memang ada air keluar, maka batallah wudhu’nya kecuali kalau orang yang ada penyakit salisul baul (kencing tidak lawas, selalu menitik keluar). Orang ini ada penyakit, maka kalau benar keluar air kencing, maka tidak batal salat itu, kerana dimaafkan. Dengan syarat dia telah melakukan apa yang diperintahkan kepadanya.
Kalau ada masalah Salisul Baul ini, maka ulama’ menganjurkan untuk:
a. Melakukan istabrak (mengeluarkan sisa air kencing), antaranya dengan cara berdehem, atau mengurut zakar dengan cara meletakkan jari tengah (hantu) tangan kiri di bawah zakar dan jari ibu di atas zakar dan mengurutnya keluar
b. Selepas setiap kali kencing, basuh air kencing dan renjiskan bahagian seluar dengan air supaya kurang rasa was-was.
c. Dinasihatkan supaya jangan sibuk mahu memeriksa seluar. Syaitan biasa akan ganggu dengan bisikkan. Maka, kena tahan dari pergi membuka seluar dan periksa dalam seluar.
d. Kepada mereka yang ada penyakit ini, maka kena ambil wudhu’ setiap kali hendak salat. Dan di antara dua waktu itu, jangan kisahkan. Orang yang terkena penyakit Salisul Baul hukumnya sama dengan wanita istihadhah.
✍Rasulullahﷺ berkata kepada wanita yang terkena istihadhah:
“Sesungguhnya itu darah yang keluar dari urat, bukan darah haidh. Jika tiba masa haidh, hendaklah dia meninggalkan salat. Jika masa haidh telah selesai, cucilah darahnya darimu lalu salatlah.”
[Sahih, diriwayatkan oleh Al-Bukhari no. 228, Muslim no. 333 dan selainnya]
7. Memotong rambut atau kuku, dan melepaskan khuf.
Ada kekeliruan yang melakukan salah satu dari tiga perkara ini akan membatalkan wudhu’. Maka ketahuilah tidak ada dalil tentang perkara itu.
Allahu a’lam. Sila sambung ke perbincangan yang seterusnya.
☘️SESI SOAL JAWAB ☘️
====================
1. Apakah imam Asy-Syafi’iy hanya mengemukakan dalil dari Surah Al-Maidah ayat 6 berkenaan terbatalnya wudhu’ ?
🔵 Ya, setakat yang diketahui.
2. Benarkah hujah balas yang dikemukakan dalam mazhab Asy-Syafi’iyah melalui hadith Aisyah رضي الله عنها, Nabi ﷺ dalam keadaan berlapik kain ?
🔵 Ya, ini adalah hujah balas dari mazhab Asy-Syafi’iyah.
Hujah ini telah dibalas balik:
i. Mengatakan ada pelapik (kain) merupakan sebuah andaian sahaja. Tidak disebut dalam hadith tersebut.
ii. Keadaan waktu itu yang gelap. Adakah Nabi ﷺ pasti yang Aisyah رضي الله عنها dalam keadaan berlapik? Adakah Nabi ﷺ akan melakukan sesuatu yang boleh membatalkan wudhu’ dan solatnya.
iii. Begitu juga dengan Aisyah رضي الله عنها yang telah menyentuh baginda ﷺ dalam gelap. Beliau pun tidak nampak.
Kita sudah sedia maklum baginda ﷺ tidak isbal. Maka sudah pasti kaki baginda tidak berlapik dan kenapa setelah disentuh baginda tidak memberhentikan solat baginda kerana wudhu’ baginda telah batal?
3. Apakah boleh melaksanakan solat dengan menggunakan tuala wanita (pad) ketika ada darah istihadhah?
🔵 Ya, dibolehkan.
4. Bagaimana dengan hadith bahawa Nabi ﷺ telah mencium Aisyah رضي الله عنها?
🔵 Ya ada dan ada yang mengatakan bahawa ciuman tersebut adalah ciuman ke mulut.
5. Apakah memakan daging Unta (dimasak) hanya perlu membasuh mulut sahaja berdasarkan satu riwayat memakan makanan yang terkena api tidak perlu perbaharui wudhu’ cukup sekadar membasuh mulut?
🔵 Di awal Islam, hukum memakan makanan yang dimasak dengan api boleh membatalkan wudhu’ sudah dimansuhkan. Hukum terkemudian cukup sekadar basuh mulut sahaja juga sudah dimansuhkan. Memakan makanan (dimasak) boleh meneruskan solat tanpa perlu membasuh mulut atau memperbaharui wudhu’. Daging unta (masak @ tidak) diwajibkan memperbaharui wudhu’.
6. Adakah terbatalnya wudhu’ sekiranya menyentuh kemaluan orang lain, seperti Ibu bapa yang membasuh kencing berak anak (kecil) atau anak yang membasuh kencing berak ibu bapanya (uzur)?
🔵 Tidak membatalkan wudhu’. Sentuhan bukan kerana syahwat.
7. Selain daging unta, adakah kesemua makanan dan minuman tidak membatalkan wudhu’ secara mutlak?
🔵 Hanya daging unta dan tidak kepada makanan yang lain.
8. Adakah tidur miring di atas rusuk kanan dikatakan sunnah jibliyyah dan tidak diberatkan untuk melakukannya?
🔵 Ini adalah sunnah qauliah bukan sunnah jibliyyah dan memang ia dianjurkan untuk dilakukan.
9. Adakah isteri disunnahkan untuk tidur di sebelah kanan atau kiri suami ?
🔵 Tiada sunnah khusus untuk isteri tidur diarah mana sekalipun sebelah suami.
10. Adakah berdosa jika isteri tidur membelakangi suami?
🔵 Tidak menjadi kesalahan isteri tidur membelakangi suami sewaktu tidur. Perkara yang dilarang membelakangi suami adalah apabila menolak kehendak suami untuk bermubasharah.
Terjemahan hadisnya;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللّهُ تَعَالى عَنْهُ عَنْ رَسُوْلِ اللّه صَلَى اللّه عَلَيْهِ وَآلِهِ وصَحْبِه وَسَلَمْ
قَالَ; ((إِذَا بَاتَتِ المَرْأَةُ مُهَاجِرَةً فِرَا شَ زَوْجِهَا لَعَنَتْهَا المَلَٰائكة حَتَى تَرْجِعَ)) ۔رواه البخاري ومسلم۔
Ertinya; Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:”Jika seorang isteri berpisah katil dengan suaminya, malaikat melaknatnya sampai dia pulang”
(H.R Bukhari dan Muslim)
Maksudnya tidak mahu melayan suaminya.
11. Semasa mengiring untuk tidur dan telah membaca doa, tiba-tiba sebelum terlelap telah terkentut. Adakah perlu mengambil semula wudhu’ atau terus tidur sahaja?
🔵 Jika terkentut sebelum terlelap tidur maka perlulah mengambil semula wudhu’ jika ingin mengamalkan sunnah tersebut.
12. Adakah terbatal wudhu’ tersentuh kemaluan dengan bahagian belakang tapak tangan?
🔵 Mengikut mazhab Syafi’iy ia tidak membatalkan wudhu’ jika tersentuh dengan hadapan tangan atau belakang tangan sekalipun jikalau tanpa syahwat.
13. Adakah tiada masalah jika mengikut sebarang mazhab?
🔵 Ya. Boleh mengikut mazhab selain mazhab syafi’iy.
14. Adakah perintah mengambil air wudhu’ telah wujud sejak zaman Nabi Musa?
🔵 Berkemungkinan besar zaman Nabi lain pun ada wudhu’ kerana mereka juga menunaikan solat. Cuma cara mereka sahaja kita tidak tahu.
15. Adakah kita disunatkan mengambil air wudhu’ walaupun wudhu’ kita sebelumnya masih belum batal?
🔵 Sunat perbaharui wudhu’ walaupun wudhu’ kita tidak batal.
16. Adakah benar lelaki yang memakai kain sutera di dunia tidak akan dapat memakainya di akhirat kelak?
🔵 Berkemungkinan tidak akan masuk syurga langsung. Jenis orang yang tidak mengikut syari’at. Benda mudah mengenai larangan memakai sutera pun mereka tidak boleh ikut, apatah lagi mengenai bab lain.
17. Bolehkah lelaki memakai emas celup bagi tujuan dalam bidang lakonan sahaja?
🔵 Tetap haram.
18. Bolehkah lelaki menggunakan emas untuk tujuan perubatan meskipun perubatan zaman sekarang telah dimodenkan?
🔵 Tidak perlu. Lagipun emas agak mahal. Zaman sekarang telah ada prostetik. Perubatan zaman Nabi dahulu terhad kerana kekurangan bahan. Tetapi boleh juga sekiranya ada yang ingin berubat menggunakan emas. Tetapi kita lebih digalakkan mengikut kemajuan semasa.
19. Adakah terdapat pendapat ulama yang mengatakan makruh sekiranya memakai pakaian yang mengandungi bahan campuran dengan sutera lebih banyak daripada sutera?
🔵 Sebesar 4 jari sahaja.
Dalam hadith ini ;
وَلِمُسْلِمٍ : نَهَى نَبِيُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ عَنْ لُبسِ الْحَرِيرِ إِلاَّ مَوْ ضِعَ إِصبْعَيْنِ أَوْ ثَلاَثٍ أَوأَرْبَعٍ
Dalam riwayat Muslim disebutkan, Rasulullah ﷺ melarang mengenakan sutera kecuali seukuran dua jari, tiga atau empat.
20. Apakah hukum makan menggunakan bekas makanan orang kafir atau ahli kitab?
🔵 Hukumnya adalah harus menggunakan bekas orang kafir. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Tha’labah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا
Maksudnya: “Basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengannya.”
Riwayat al-Bukhari
21. Adakah sah solat sekiranya rambut kita terkeluar?
🔵 Jika tidak disengajakan, maka tidak batal. kalau sedang menunaikan solat tiba-tiba perasan ada rambut yang terkeluar, maka terus masukkan sahaja rambut itu.
22. Adakah sah solat sekiranya dahi kita terlapik dengan kain telekung atau sesuatu yang berlapik di atas tempat sujud seperti tikar dan sejadah ketika sujud?
🔵 Sah solat kalau dahi ada terlapik. Sebab memang sudah terlapik pun seperti lapik lantai dan lapik sejadah. Jadi kalau berlapik menggunakan telekung dan terlapik dengan rambut, maka perbuatan itu tidak akan membatalkan solat.
23. Adakah sah solat jika seseorang memakai kopiah yang besar sehingga hampir menutup keningnya ketika solat?
🔵 Sah solat
24. Adakah terdapat dalil yang mengatakan solat tidak akan sah sekiranya menutup kening ketika solat?
🔵 Tiada. Menurut sunnah ia sah.
25. Bagaimanakah jika dapat menahan kentut sehingga kentut tidak terjadi?
🔵 Selagi tidak terkeluar kentut maka tidak terbatal wudhu’nya.
26. Pernyataan “menuntut ilmu bagi menolak dan mengabaikan bisikan syaitan”, adakah hanya diaplikasikan pada hal-hal di dalam ibadah solat?
🔵 Boleh diaplikasikan di dalam semua keadaan hal-hal berkaitan ibadah.
27. Apakah hukum jika orang yang mempunyai masalah salisul baul atau Istihadhah, melakukan solat fardhu tanpa memperbaharui wudhu’ setiap kali solat?
🔵 Menyelisihi sunnah dan dikhuatiri solatnya tidak sah.
28. Adakah boleh mengqiyaskan orang yang terlantar sakit dengan yang mempunyai penyakit salisul baul dan Istihadhah?
🔵 Orang yang terlantar sakit dipermudahkan untuk menggunakan wudhu’ yang sama selagi mana tidak batal.
29. Adakah mereka yang menghidapi penyakit salisul baul perlu memakai lampin semasa solat bagi mengelakkan terkena najis pada pakaian mereka?
🔵 Jika ia tidak menyusahkan mereka, adalah dibolehkan. Boleh juga menggunakan kain pelekat bersih hanya untuk solat.
30. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah salisul baul bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah?
🔵 Boleh gunakan kaedah balutan.
31. Berapakah tempoh masa wudhu’ mereka yang memakai khuf bagi bermusafir dan bermukim?
🔵 Ringkasnya 3 hari untuk bermusafir dan sehari semalam untuk bermukim.
32. Ada yang berpendapat bahawa dubur yang terzahir semasa buang air besar perlu dibersihkan juga semasa mandi wajib, dikhuatiri ada najis. Juga supaya air dapat diratakan ke seluruh kulit. Adakah ini benar?
🔵 Meratakan air ke seluruh badan semasa mandi wajib adalah perlu dilakukan. Najis juga perlu dibersihkan dahulu sebelum mandi wajib. Menjadi kekarutan apabila diajarkan untuk mengorek lubang dubur bagi membersihkan najis di dalamnya, serta melakukan meruang bagi wanita. Di sokong pula perbuatan tersebut daripada hadith yang bertaraf palsu. Ajaran sebeginilah yang perlu kita jauhi dan elakkan.
33. Bagaimana pula apabila kita mampu tahan kentut semasa solat tetapi bukan sebelum solat, bukankah menahan kentut itu perkara yang makruh?
🔵 Isunya adalah pengganggu ketika solat.
Dari Abu Darda’ رضي الله عنه, beliau mengatakan:
من فقه الرجل إقباله على حاجته حتى يقبل على صلاته وقلبه فارغ
“Bahagian dari pemahaman seseorang terhadap agama, dia selesaikan semua hajatnya (sebelum solat), sehingga dia boleh solat dan keadaan hatinya tidak terganggu.”
(Hadith riwayat Al-Bukhari secara muallaq).
Jika mempunyai rasa hendak kencing, berak atau kentut, maka perlu selesaikannya sebelum solat. Kemudian barulah mengambil wudhu’ dan solat. Jika perkara tersebut ditahan sebelum solat, dikhuatiri ia akan datang kembali ketika solat dan akan mengganggu kekhusyukan. Inilah yang menjadi makruh. Menahan kentut yang dibolehkan adalah apabila datang tanpa diundang ketika solat.
34. Apakah syarah bagi hadith ini?
Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, dari Nabi ﷺ, beliau bersabda,
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
“Cukup seseorang dikatakan pendusta, jika dia menceritakan segala apa yang dia dengari.”
(HR. Muslim no. 5).
🔵 Kita hanya boleh menyampaikan perkara yang kita pasti benar sahaja. Jika belum pasti, maka simpan sahaja. Adalah bahaya menyampaikan maklumat yang belum diketahui kepastiannya.
Contohnya:-
a. Jika menyampaikan ajaran yang belum pasti benar atau tidak. Dikhuatiri mengamalkan ajaran yang salah.
b. Jika menyampaikan suatu berita sensasi yang belum pasti benar atau tidak. Dikhuatiri memburukkan nama sesiapa yang diperkatakan tersebut.
Masalahnya di zaman media sosial kini, maklumat senang diperolehi dan mudah dikongsikan kepada sesiapa sahaja. Sekilas baca ia berunsur agama dan nasihat yang baik untuk semua orang, tetapi adakah telah disemak dahulu adakah benar dan sahih? Apabila kita kongsi perkara yang tidak benar, maka kita telah berdosa. Oleh yang demikian berhati-hatilah apabila ingin berkongsi maklumat.
35. Sebelum solat, saya akan buang air dahulu dan akan kesat dengan tisu sehingga kering supaya semasa solat nanti saya yakin memang di dalam keadaan bersuci. Adakah boleh menggunakan cara ini untuk menambah keyakinan?
🔵 Kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah adalah merenjis ais pada pakaian supaya nanti tidak terfikir ia adalah air kencing. Kita terus mengetahui itu adalah air basahan renjisan tadi.
36. Benarkah ada hadith yang menyatakan bahawa umat terdahulu binasa kerana banyak bertanya? Apakah syarah bagi hadith tersebut?
🔵 Hadith tersebut adalah, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda”:
مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَافْعَلُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ ، كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ ، وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ
Apa sahaja yang aku larang kalian darinya, maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan kepada kalian, lakukanlah semampu kalian. Sesungguhnya yang menyebabkan orang-orang terdahulu binasa adalah kerana banyak pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.
(Hadith riwayat Al-Bukhari no.7288 dan Muslim no.1337)
Syarahnya adalah jika bertanya tentang sesuatu permasalahan adalah tidak mengapa, bukannya banyak mempersoalkan jawapan yang telah dijelaskan. Contohnya pertanyaan yang dianjurkan, “haiwan apakah yang dibolehkan untuk berkorban?”
Setelah diterangkan jawapannya. Dipersoalkan, “kenapa hanya haiwan tertentu sahaja, kenapa tidak begitu, kenapa tidak begini, kalaulah begitu, jika begini?” Pertanyaan sebeginilah yang dilarang. Bertanya perkara yang tidak perlu sehingga menyebabkan sesuatu yang mudah menjadi semakin rumit dan sukar.
37. Adakah sah wudhu’ apabila basuhan tangan yang pertama dicelup ke dalam wadah air?
🔵 Sah tetapi sebaiknya basuhan tangan tersebut dilakukan di luar wadah. Ini juga sebahagian sunnah.