Kitab Taharah: Bab Mandi

Bab Mandi

Ringkasnya ‘Mandi’ (atau ghusl dalam bahasa Arab) adalah mengalirkan air ke seluruh tubuh badan. Ia tidak sama dengan mandi biasa yang hanya untuk membersihkan badan sahaja. Ini kerana mandi biasa itu bukanlah kerana mahu mengamalkan ibadat dan tidak ada hukum berkenaannya, boleh mengikut cara apa-apa sahaja.

Ia berlainan dengan mandi wajib kerana perlu mengikuti peraturan yang syariat telah tetapkan. Nama lain yang digunakan bagi mandi jenis ini adalah ‘Mandi Wajib’, ‘Mandi Junub” selain dari ghusl (bahasa Arab).

Rasanya ramai yang ada masalah dengan fiqh mandi ini, sampaikan ada yang berjam-jam di dalam bilik air untuk menyelesaikan mandi wajib ini. Ada juga yang menggunakan air berbaldi-baldi kerana tidak faham cara mandi atau risau sangat mandi tidak sah.

Selain itu ada yang sudah keluar mandi dan semasa mahu memakai baju, boleh pergi mandi semula. Saya juga pernah dengar ada kisah makcik yang sudah bercucu tetapi tidak tahu cara mandi junub! Maknanya dia tidak pernah mandi junub. Semoga itu tidak terjadi kepada kita dan keturunan kita. Maka tolong sebarkan ilmu di sini kepada masyarakat.

✍🏻Dalil ghusl ada di dalam surah Maidah:6

وَإِن كُنتُم جُنُبًا فَاطَّهَّروا
“dan jika kamu junub maka mandilah”

✍🏻Dan juga dalam ayat Nisa:43

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنتُم سُكارىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ وَلا جُنُبًا إِلّا عابِري سَبيلٍ حَتّىٰ تَغتَسِلوا

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (dan jangan solat) sedang kamu dalam keadaan junub, kecuali dalam musafir, hingga kamu mandi.”

Syarah:
Kedua-dua ayat ini adalah dalil yang cukup kuat bagi mengatakan yang mandi itu adalah termasuk dalam syariat agama. Ia dilakukan apabila perlu sahaja, bukannya setiap hari.

Mari kita masuk ke Perbincangan Pertama: Hal-hal yang Mewajibkan Mandi

A. Hal-hal yang Mewajibkan Mandi

Hal-hal yang Mewajibkan Mandi.

Pertama sekali kita akan belajar apakah perkara atau sebab-sebab yang mewajibkan kita mandi wajib ini.

1. Keluar air mani.

Keluar air mani itu tidak kiralah keluar semasa kita tidur atau jaga. Sama ada lelaki ataupun wanita.

Persoalan: Kalau orang lelaki memang biasa jika dikatakan keluar air mani. Namun, mungkin ada yang terkejut jika orang perempuan pun ada air mani juga.

✍🏻Hal ini ada dalilnya dari hadith Ummu Sulaim:

جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ امْرَأَةُ أَبِي طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنْ الْحَقِّ هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا هِيَ احْتَلَمَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ

“Ummu Sulaim, isteri Abi Talhah telah datang bertemu Rasulullah ﷺ lalu berkata: Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya Allah ﷻ tidak malu daripada kebenaran (Allah ﷻ tidak menyuruh kita malu untuk bertanya demi mengetahui kebenaran). Adakah wajib ke atas wanita untuk mandi apabila dia bermimpi (mimpi berlaku jima’)? Maka sabda Rasulullah ﷺ: Ya, apabila dia melihat air (mani).”
[Hadith Muttafaq ‘alaih – Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim]

Syarah:
Nabi Muhammad ﷺ mengajar sekiranya nampak kesan air mani itu, maka hendaklah wanita yang ihtilam (mimpi basah) itu mandi.

📍Apakah maksud ‘nampak air’ itu?

Iaitu kalau nampak kesan pada kain atau pada tilam. Kalau keluar hanya di bahagian dalam sahaja, kebanyakan ulama’ mengatakan tidak perlu mandi. Cuma yang kena mandi adalah kalau sampai keluar ke pintu faraj.

Bonus:
Mimpi basah dalam bahasa Arab adalah ihtilam.

Untuk mudah ingat: mimpi sedap atas tilam atau: eh, eh, tiba-tiba basah pulak tilam aku ni….. Ihtilam lah tu….

Bonus:
Hadith ini juga mengajar wanita jangan malu bertanya.

Memang sifat malu kena ada, tetapi dalam bab ilmu, mesti kuatkan semangat untuk bertanya sekiranya tidak faham. Contoh kelas kita ini, walaupun agak sensitif kerana menyebut hal dalam kelambu, tetapi kita belajar untuk memahami ilmu.

Nabi ﷺ sendiri pernah memuji wanita Kaum Ansar yang perasaan malu mereka tidak menghalang mereka dari bertanya. Agama kita ini bukan bab salat dan puasa sahaja, tetapi melibatkan semua aspek di dalam kehidupan.

Cuma, jika ada ustazah yang boleh menjawab soalan-soalan sensitif, ini adalah lebih baik kerana wanita akan lebih selesa untuk bertanya. Jadi, kembali kepada perbincangan kita tadi.

Memang wanita agak susah untuk dikenal pasti air maninya kerana bukan semua wanita ada keluar air mani. Ini kerana fizikal alat kemaluan pun tidak sama dengan lelaki yang senang sahaja dikesan. Mungkin ia keluar tetapi ada di dalam faraj dan tidak dapat dikesan.

📍Dalam hal ini, kalau tidak nampak, maka tidak perlu dicari-cari. Nabi pun kata: إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ apabila dia nampak air (mani) itu.

✍🏻Ada perbezaan di antara air mani lelaki dan wanita sebagaimana disebut oleh Nabi ﷺ dalam Sahih Muslim no 469:

إِنَّ مَاءَ الرَّجُلِ غَلِيظٌ أَبْيَضُ وَمَاءَ الْمَرْأَةِ رَقِيقٌ أَصْفَرُ فَمِنْ أَيِّهِمَا عَلَا أَوْ سَبَقَ يَكُونُ مِنْهُ الشَّبَهُ

Ketahuilah bahawa mani lelaki itu kental dan berwarna putih, sedangkan mani perempuan itu berair dan berwarna kuning. Mana pun mani dari salah seorang mereka yang lebih mendominasi atau menang, nescaya kemiripan terjadi kerananya.

Syarah:
Ini adalah maklumat dari Nabi ﷺ yang pastinya baginda ﷺ dapat dari wahyu juga. Jadi memang benar ada juga air mani dari perempuan (walaupun ramai yang tidak tahu, termasuklah doktor biasa). Sekiranya air mani wanita yang kuat, maka wajah anak itu akan mirip emaknya dan kalau air mani lelaki yang kuat, maka anak itu akan mirip wajah bapanya.

Bonus:
Dari kajian sains wanita (Pakar Sakit Puan), air mani wanita bukan keluar dari faraj, tetapi keluar dari saluran kencing. Namun, diulang, bukan semua wanita memancutkan air mani.

Hadith di atas juga menjadi dalil bahawa kalau mimpi berjimak tetapi tidak ada kesan air mani (lelaki atau perempuan) maka, tidak perlu mandi. Ini kerana Rasulullah ﷺ mengaitkan wajib mandi hanya jika nampak air mani sahaja. Jadi kalau tidak nampak, tidak perlulah mandi.

Begitulah juga, jika tidak berjimak atau tidak bermimpi, tetapi keluar air mani, maka tetap kena mandi juga. Perkara yang penting, ada keluar air mani atau tidak? Itulah persoalannya.

Kesimpulan:

1. Sekiranya bermimpi dan nampak ada kesan air mani, wajib mandi.

2. Ketika bangun dari tidur dan ada kesan air mani, walaupun tidak ingat bermimpi atau tidak, maka wajib mandi.

3. Sekiranya bersetubuh, sama ada keluar mani atau tidak, tetap wajib mandi.

4. Hukum mandi bagi wanita dan lelaki sama sahaja dalam hal ini.


 

2. Bertemu dua kemaluan

Keadaan yang dimaksudkan adalah jimak. Ini yang selalu disebut ‘bertemu dua khitan’ iaitu apabila hasyafah lelaki (kepala zakar) masuk ke dalam faraj wanita.

✍🏻Dalilnya adalah hadis Nabi:

“Jika seseorang duduk di antara empat anggota badan isterinya (maksudnya: menyetubuhi isterinya), lalu bersungguh-sungguh kepadanya, maka wajib baginya mandi.”
[Bukhari no. 291 dan Muslim no. 348]

Dalam riwayat Muslim ada tambahan, وَإِنْ لَمْ يُنْزِلْ“… walaupun tidak mengeluarkan mani.”

Syarah:
Maksudnya di antara empat cabang perempuan itu adalah dua tangan dan dua kaki. Ia bahasa kiasan dan lembut untuk merujuk kepada jimak. Apabila seorang lelaki di atas seorang wanita. Itulah maksud ‘bersungguh’.

✍🏻Satu lagi hadith sebagai dalil. Dari ‘Aisyah رضي الله عنها‎ ia berkata,

إِنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنِ الرَّجُلِ يُجَامِعُ أَهْلَهُ ثُمَّ يُكْسِلُ هَلْ عَلَيْهِمَا الْغُسْلُ وَعَائِشَةُ جَالِسَةٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنِّى لأَفْعَلُ ذَلِكَ أَنَا وَهَذِهِ ثُمَّ نَغْتَسِلُ ».

Seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang seorang laki-laki yang menyetubuhi isterinya namun tidak sampai keluar air mani. Apakah keduanya wajib mandi? Sedangkan Aisyah رضي الله عنها‎ ketika itu sedang duduk di samping, maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku sendiri pernah bersetubuh dengan wanita ini (yang dimaksud adalah Aisyah رضي الله عنها‎, pen) namun tidak keluar mani, kemudian kami pun mandi.”
[Muslim no. 350]

Kesimpulannya
Sekiranya masuk sahaja kepala zakar lelaki ke dalam farji perempuan, maka hendaklah mandi junub.

– Walaupun tidak keluar air mani.

– Walaupun bukan suami isteri (zina).

– Walaupun memakai kondom.

– Walaupun memasukkan zakar ke dalam dubur (jadi tidak terhad kepada farji wanita sahaja).

📍Akan tetapi jika tidak masuk, setakat ketuk pintu sahaja, tidaklah kena mandi junub.


 

3. Selesai (berhenti) haidh dan nifas.

Setelah kering darah haidh dan nifas, maka wajib bagi wanita itu untuk mandi.

✍🏻Dalilnya adalah ayat Al-Baqarah:222

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّابينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: “Haidh itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah ﷻ kepadamu. Sesungguhnya Allah ﷻ menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.

Syarah:
Ada dua kalimah suci yang disebut dalam ayat ini. Kalimah ‘suci’ yang pertama adalah apabila darah haidh sudah berhenti dan kalimah ‘suci’ kedua adalah setelah mandi wajib.

Oleh kerana itu belum boleh lagi jimak suami isteri setelah haidh berhenti, melainkan mandi terlebih dahulu. Jika kena mandi sebelum salat, maka ia juga bermaksud kena mandi sebelum bersetubuh.

✍🏻Satu lagi dalil mengenai hal ini adalah hadits ‘Aisyah رضي الله عنها‎, Nabi ﷺ berkata kepada Fathimah binti Abi Hubaisy,

فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِى الصَّلاَةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

“Apabila kamu datang haidh hendaklah kamu meninggalkan salat. Apabila darah haidh berhenti, hendaklah kamu mandi dan mendirikan salat.”
[Bukhari no. 320 dan Muslim no. 333]

📍Bagaimana pula dengan nifas? Apakah darah nifas itu?

Setelah melahirkan anak, seorang perempuan kebiasaannya akan mengeluarkan darah untuk beberapa hari dan darah ini dinamakan darah nifas.

✍🏻Hukum darah nifas sama sahaja dengan darah haidh. Ini kita boleh lihat dalam satu hadith Riwayat Muslim:

١١٩ – (…) – حَدَّثَنَا أَبُو بَكۡرِ بۡنُ أَبِي شَيۡبَةَ وَعَمۡرٌوالنَّاقِدُ وَزُهَيۡرُ بۡنُ حَرۡبٍ. جَمِيعًا عَنِ ابۡنِ عُيَيۡنَةَ. قَالَ عَمۡرٌو: حَدَّثَنَا سُفۡيَانُ بۡنُ عُيَيۡنَةَ، عَنۡ عَبۡدِ الرَّحۡمَٰنِ بۡنِ الۡقَاسِمِ، عَنۡ أَبِيهِ، عَنۡ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنۡهَا قَالَتۡ: خَرَجۡنَا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، وَلَا نَرَىٰ إِلَّا الۡحَجَّ، حَتَّىٰ إِذَا كُنَّا بِسَرِفَ، أَوۡ قَرِيبًا مِنۡهَا حِضۡتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ ﷺ وَأَنَا أَبۡكِي فَقَالَ: (أَنَفِسۡتِ) – يَعۡنِي الۡحَيۡضَةَ – قَالَتۡ: قُلۡتُ: نَعَمۡ. قَالَ: (إِنَّ هٰذَا شَيۡءٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَىٰ بَنَاتِ آدَمَ، فَاقۡضِي مَا يَقۡضِي الۡحَاجُّ، غَيۡرَ أَنۡ لَا تَطُوفِي بِالۡبَيۡتِ حَتَّىٰ تَغۡتَسِلِي).
قَالَتۡ: وَضَحَّى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنۡ نِسَائِهِ بِالۡبَقَرِ.
[البخاري: كتاب الحيض، باب الأمر بالنساء إذا نفسن، رقم: ٢٩٤].

119. Abu Bakr bin Abu Syaibah, ‘Amr An-Naqid, dan Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami. Seluruhnya dari Ibnu ‘Uyainah. ‘Amr mengatakan: Sufyan bin ‘Uyainah menceritakan kepada kami, dari ‘Abdurrahman bin Al-Qasim, dari ayahnya, dari ‘Aisyah رضي الله عنها, beliau mengatakan: Kami pernah keluar berpergian bersama Nabi ﷺ dan kami hanya berfikiran untuk haji. Sampai kami tiba di Sarif atau lebih dekat daripada Sarif, aku mengalami haidh. Nabi ﷺ masuk menemuiku dalam keadaan aku sedang menangis. Baginda ﷺ bertanya, “Apakah engkau nifas?” ‘Aisyah berkata: Aku menjawab: Ya. Beliau bersabda, “Ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan atas puteri-puteri Adam. Kerjakanlah apa saja yang dikerjakan oleh orang yang berhaji namun engkau jangan tawaf di Kaabah sampai engkau mandi.” ‘Aisyah berkata: Rasulullah ﷺ menyembelih seekor sapi yang diniatkan untuk para istrinya.
Bukhari, Kitab al-Haidh: Bab perintah kepada wanita apabila nifas. No. 294.

Syarah:
Lihat Nabi Muhammad ﷺ bertanya kepada Aisyah: “Apakah engkau nifas?” sedangkan baginda ﷺ tahu yang Aisyah tidakpun melahirkan anak. Baginda samakan antara haidh dan nifas.

Jadi dari sini kita boleh tahu bahawa hukum untuk haidh sama sahaja bagi hukum untuk perempuan yang bernifas. Maka apabila telah selesai nifas, maka wanita itu hendaklah mandi.


 

4. Kematian

Orang yang mati wajib mandi. Tentulah dia tidak mandi sendiri, jadi maksudnya ‘dimandikan’ oleh orang lain. Jumhur (majoriti) ulama’ menyatakan bahawa memandikan orang mati hukumnya fardhu kifayah, ertinya jika sebahagian orang sudah melakukannya, maka yang lain gugur kewajipannya.

📍Untuk mudah diingati maksud fardhu kifayah: Orang lain sudah buat, kita tak ‘payah’.

✍🏻Dalil mengenai wajibnya memandikan mayat di antaranya adalah perintah Nabi ﷺ kepada Ummu ‘Athiyah dan kepada para wanita yang lain untuk memandikan anaknya,

اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مَنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ

“Mandikanlah dengan air yang dicampur dengan daun bidara tiga kali, lima kali atau lebih dari itu jika kalian anggap perlu dan jadikanlah yang terakhirnya dengan air dan daun bidara.”
[Bukhari no. 1253 dan Muslim no. 939]

Yang wajib dimandikan adalah setiap Muslim yang mati, baik laki-laki atau perempuan, anak kecil atau dewasa, orang merdeka atau hamba.

Pengecualian:

1. Jika orang yang mati tersebut adalah orang yang mati di medan perang ketika berperang dengan orang kafir (mati syahid).

2. Jika kanak-kanak yang mati dalam perut sebelum berumur 4 bulan. Ini adalah kerana ruh belum ditiup ke dalam tubuhnya.


 

5. Ketika masuk Islam.

Apabila orang kafir masuk Islam, maka dianjurkan untuk mereka mandi. Ada juga yang mewajibkannya seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan pengikutnya dari ulama’ Hanabilah, Imam Malik, Ibnu Hazm, Ibn Al Munzir dan Al Khattabi. Penulis kitab rujukan kita ini memilih pendapat yang mengatakan ia wajib.

✍🏻Mengenai wajibnya hal ini terdapat dalam hadith dari Qais bin ‘Ashim رضي الله عنه,

أَنَّهُ أَسْلَمَ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَغْتَسِلَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ

“Beliau masuk Islam, maka Nabi ﷺ memerintahkannya untuk mandi dengan air dan daun bidara.”
[An-Nasai no. 188, At-Tirmidzi no. 605, Ahmad 5/61. Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih]

Syarah:
Ulama’ mengambil maksud perintah dari Nabi ﷺ ini membawa erti ‘wajib’. Perintah yang berlaku untuk Qais di sini berlaku juga untuk yang lainnya. Dalam kaedah ushul, hukum asal perintah adalah wajib.

Namun, ada juga ulama’ yang mengambil maksud ia hanya ‘sunat’ sahaja. Oleh kerana itulah ada perbezaan pendapat di kalangan ulama’.

Bonus:
Kita selalu mendengar ‘daun bidara’ dalam hadith. Ini adalah bahan basuhan zaman dahulu seperti sabun pada zaman sekarang. Zaman sekarang gunalah Shokobutsu atau Palmolive, tidak semestinya kena cari daun bidara pula.


 

6. Mandi untuk Solat Jumaat

Perkara ini khilaf di kalangan ulama’. Jumhur (majoriti) ulama’ berpendapat mandi Hari Jumaat untuk Solat Jumaat itu mustahab/sunat dan tidaklah wajib. Namun, ada pendapat yang mengatakan ia wajib dan kita akan bentangkan di sini pendapat itu.

✍🏻Di antara ulama’ yang berpendapat mandi Jumaat ini wajib adalah Syaikh Al-Albani, Al-Wadi’i, dan Ibnul ‘Utsaimin رحمه الله dan Syaikh Salih Fauzan Al-Fauzan. Yang berpendapat begini juga adalah sekelompok daripada para sahabat رضي الله عنهم أجمعين seperti Umar, Abu Hurairah, Abu Sa’id, Ammar dan selain mereka.

🏻Pendapat ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Al-Munzir, dan ia juga merupakan pendapat ulama’ Zahiri, diriwayatkan juga daripada Imam Malik, Al-Khattabi, dan riwayat daripada Imam Ahmad bagi sesiapa yang menghadiri salat Jumaat.

✍🏻Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Al-Qayyim pula berpendapat wajibnya mandi Jumaat bagi yang memiliki bau peluh atau bau tubuh yang tidak sedap yang boleh mengganggu orang lain. Wajib bagi mereka dan sunat bagi orang lain.

📍Jadi ringkasnya, ada 3 pendapat:

1. Wajib secara mutlak
2. Wajib kalau ada bau badan.
3. Sunat sahaja

Mari kita lihat pendapat yang mengatakan wajib mandi Jumaat.

Seorang muslim yang sudah baligh dan hendak melakukan Salat Jumaat wajib mandi sebelum berangkat ke masjid.

✍🏻Hal ini berdasarkan hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : ” إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ

‘Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu mahu pergi mendirikan salat Jumaat, hendaklah dia mandi.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, hadith no: 1399]

✍🏻Dalam hadith lain,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : “ الْغُسْلُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ ”

Abu Said Al-Khudri رضي الله عنه berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: Mandi pada hari Jumaat wajib untuk setiap orang yang sudah baligh.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, Bab Wajibnya Mandi Pada Hari Jumaat Untuk Setiap Orang Yang Sudah Baligh, hadith no: 1403]

✍🏻Dalam hadith lain pula,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” حَقٌّ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ ، أَنْ يَغْتَسِلَ فِي كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ ، يَغْسِلُ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ ” .

Abu Hurairah رضي الله عنه meriwayatkan Nabi ﷺ bersabda: Hak Allah ﷻ ke atas setiap Muslim ialah seseorang itu perlu mandi pada setiap tujuh hari, dia membasuh kepalanya dan tubuhnya.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, Bab Memakai Minyak Wangi dan Menggosok Gigi Pada Hari Jumaat, hadith no: 1408]

Syarah:
Maka, dari hadith-hadith ini jelas mengatakan yang mandi Jumaat itu wajib. Ia wajib bagi mereka yang hendak pergi berjemaah salat Jumaat. Maka dengan ini, golongan perempuan yang hendak salat Jumaat disyariatkan juga untuk mandi Jumaat.

✍🏻Satu lagi dalil:

حَدَّثَنِي سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ، عَنْ أَبِيهِ ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ” بَيْنَا هُوَ يَخْطُبُ النَّاسَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ، دَخَلَ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَنَادَاهُ عُمَرُ ، أَيَّةُ سَاعَةٍ هَذِهِ ؟ فَقَالَ : إِنِّي شُغِلْتُ الْيَوْمَ فَلَمْ أَنْقَلِبْ إِلَى أَهْلِي ، حَتَّى سَمِعْتُ النِّدَاءَ فَلَمْ أَزِدْ عَلَى أَنْ تَوَضَّأْتُ ، قَالَ عُمَرُ : وَالْوُضُوءَ أَيْضًا ، وَقَدْ عَلِمْتَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَان يَأْمُرُ بِالْغُسْلِ

‘‘Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما menceritakan bahawa ketika Umar رضي الله عنه sedang berkhutbah kepada manusia pada hari Jumaat, seorang daripada sahabat Rasulullah ﷺ masuk, lalu Umar bertanya kepadanya: Sekarang waktu apa? Lelaki itu menjawab: Sesungguhnya aku sibuk pada hari ini, dan aku tidak sempat pulang kepada keluargaku sehinggalah aku mendengar seruan azan. Lalu aku tidak melakukan apa-apa melainkan sekadar berwudhu’ sahaja. Umar berkata: Wudhu’ sahaja?! Sesungguhnya engkau tahu bahawa Rasulullah ﷺ menyuruh untuk mandi.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, hadith no: 1401]

Syarah:
Lihatlah bagaimana Saidina Umar رضي الله عنه amat menekankan kewajiban mandi Jumaat ini sampai beliau menegur seorang sahabat walaupun di atas mimbar!

Kesimpulan:

1. Para ulama’ sepakat bahawa jika seseorang salat Jumaat tanpa mandi terlebih dahulu, salatnya tetap sah. Walaupun tidak buat perkara yang wajib, tetapi salat tetap sah, cuma berdosa kerana tidak melakukan perkara wajib.

2. Mandi Jumaat disyariatkan untuk salat Jumaat, bukan sekadar kerana tibanya hari Jumaat. Jadi jika bermusafir dan tidak salat Jumaat, maka gugurlah kewajiban itu.

Persoalan:
Bagaimana sekiranya hari Jumaat pagi itu, seseorang itu berjunub pula? Ada dua sebab untuk mandi di sini iaitu kerana junub dan salat Jumaat.

🔹Pendapat pertama
Satu pendapat dalam hal ini adalah pendapat jumhur ulama’ bahawa cukup satu kali mandi untuk semuanya.

Diantara dalil yang menunjukkan hal ini adalah hadith:

Barang siapa mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub kemudian berangkat ke masjid (pada waktu pertama), seakan-akan dia berkorban dengan unta ….”
[HR. al-Bukhari 832 dan Muslim 1403]

Syarah:
Ulama’ mengatakan hadith ini menyebut sekali mandi sahaja. Akan tetapi ada juga ulama’ yang memegang pendapat yang mengatakan wajib mandi dua kali: sekali untuk junub dan kali kedua untuk salat Jumaat.

✍🏻Ini berdasarkan satu atsar dari sahabat:

Dalam Riwayat Al-Hakim(1/282) melalui Yahya bin Abu Katsir, dari Abdullah bin Abu Qatadah dia berkata: Ayahku masuk menjumpaiku ketika itu aku sedang mandi hari jumaat. Ia berkata “Ia mandi junub atau untuk salat jumaat?” (Abdullah berkata) Aku mengatakan” kerana junub”. Dia berkata: “Mandilah sekali lagi”. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Barang siapa mandi hari Jumaat, maka dia dalam keadaan suci hinggga (datang) Jumaat yang lain”
(Diriwayatkan juga oleh At-Thabrani dalam Al-Ausath. Sanadnya dekat dengan hasan, sebagaimana dikatakan oleh Albani dalam Sahiihut Targhib wa Tarhib. Al-Hakim berkata: Hadith sahih menurut riwayat Bukhari-Muslim. Dipersetujui oleh Az-Zahabi.

Maka kalau ikut pendapat ini, mandi junub dahulu kerana keluar mani/jimak dan kemudian mandi sekali lagi kerana hendak salat Jumaat. Ini adalah kerana mandi junub dan mandi Jumaat adalah dua ibadat yang berbeza (walaupun perbuatan sama: mandi).

Macam salat Zuhur dan Asar. Memang dua-dua salat yang sama sahaja perbuatannya tetapi tidaklah boleh niat solat Zuhur dan Asar serentak, bukan? Kita sudah melihat pendapat yang mengatakan wajibnya mandi Jumaat, akan tetapi kita telah nyatakan juga ada pendapat lain. Begitulah luasnya ilmu fikah ini.

🔹Pendapat Kedua:
Pendapat yang mengatakan kewajiban mandi Jumaat ini ada ilatnya (sebabnya) iaitu kerana bau badan yang mengganggu jemaah lain. Kalau tiada masalah ini, maka tidaklah wajib untuk mandi.

✍🏻Ulama’ yang berpendapat begini menggunakan dalil hadith:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَتْ : ” كَانَ النَّاسُ يَنْتَابُونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ مِنْ مَنَازِلِهِمْ وَالْعَوَالِيِّ ، فَيَأْتُونَ فِي الْغُبَارِ يُصِيبُهُمُ الْغُبَارُ وَالْعَرَقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُمُ الْعَرَقُ ، فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْسَانٌ مِنْهُمْ وَهُوَ عِنْدِي ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَوْ أَنَّكُمْ تَطَهَّرْتُمْ لِيَوْمِكُمْ هَذَا

‘Aisyah رضي الله عنها berkata: Orang ramai datang pada hari Jumaat dari rumah-rumah mereka di perkampungan Al-‘Awaliy. Mereka datang melalui kawasan yang berdebu sehingga tubuh mereka berdebu dan berpeluh. Salah seorang daripada mereka datang berjumpa Nabi ﷺ ketika baginda ﷺ berada bersamaku. Nabi ﷺ pun bersabda: Seandainya kalian bersuci untuk hari ini.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Jumaat, Bab Siapa Yang Wajib Hadir Jumaat, hadith no: 1404]

🔹Pendapat ketiga
Ini juga pendapat jumhur ulama’: mandi Jumaat itu mustahab atau sunat sahaja, bukannya wajib. Tentu mereka tahu hadith-hadith yang menyebut ‘wajib’ mandi itu tetapi mereka mentakwilkan kata “wajib” sebagai taukid (penekanan) sahaja dan tidaklah membawa kepada wajib/fardhu. Oleh kerana itu mereka menyimpulkan bahawa hukum mandi salat Jumaat adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang kuat, dituntut).

✍🏻Bagi mereka yang berpendapat mandi Jumaat ini sunat sahaja antaranya menggunakan hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ، ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ ، وَزِيَادَةُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ، وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasullullah ﷺ bersabda: Sesiapa yang berwudhu’ dan membaguskan wudhu’nya, kemudian menghadiri salat Jumaat lalu mendengar khutbah, diampunkan untuknya dosa-dosa di antara dua Jumaat dan ditambah lagi tiga hari. Sesiapa yang bermain-main dengan batu kerikil (ketika khutbah Jumaat) sesungguhnya sia-sia (salat Jumaatnya).
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, Bab Kelebihan Sesiapa Yang Mendengar dan Diam Ketika Khutbah, hadith no: 1425]

Syarah:
Hadith ini menyebut wudhu’ sahaja. Maka, kerana itu ada pendapat yang mengatakan yang wajib adalah wudhu’ sahaja dan mandi itu adalah sunat. Satu lagi dalil hujah yang mengatakan mandi Jumaat sunat sahaja:

✍🏻Ada hadith riwayat Samurah bin Jundah رضي الله عنهما Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ يَوْمَ اَلْجُمُعَةِ فَبِهَا وَنِعْمَتْ, وَمَنْ اِغْتَسَلَ فَالْغُسْلُ أَفْضَلُ

“Barang siapa yang berwudhu’, maka dia telah mengikuti sunnah dan itu yang terbaik. Barang siapa yang mandi, maka yang demikian itu lebih afdhal.”
[Abu Dawud no. 354, At-Tirmizi no. 497, An-Nasai no. 1379, Ibnu Majah no. 1091, Ahmad, no. 22. Imam At-Tirmizi menghasankannya)

Syarah:
Kalau kita melihat hadith ini, seolah-olah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم mengatakan jika berwudhu’ sahaja pun sudah diterima. Namun kalaulah ditambah dengan mandi, maka itu أَفْضَلُ (lebih baik).

Jadi ulama’ mengatakan yang mandi Jumaat itu sunat dan baik, tetapi tidaklah wajib. Maknanya, ada pilihan sama ada untuk wudhu’ sahaja, atau teruskan dengan mandi sekali. Kalau berwudhu’ sahaja sudah memadai, tetapi jika mandi sekali, itu lebih baik.

Akan tetapi, ulama’ yang mengatakan mandi Jumaat itu wajib, berhujah bahawa kalimah أَفْضَلُ tidaklah menidakkan kewajiban mandi. Maknanya, mandi tetap wajib dan tidak ada pilihan. Ini adalah kerana ada juga kalimah yang seumpamanya digunakan, tetapi ia bukanlah bermaksud pilihan.

✍🏻Sebagai contoh, lihat ayat Ali Imran:110

وَلَو آمَنَ أَهلُ الكِتابِ لَكانَ خَيرًا لَهُم

Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka

Kalau kita baca ayat ini secara literal, maka seolah-olah memberi pilihan kepada Ahli Kitab sama ada hendak beriman atau tidak tetapi tentulah ayat itu bukan bermaksud sebegitu. Mereka memang wajib beriman dan tidak ada pilihan.

Satu lagi hujah: kita selalu dengar azan subuh: الصلاة خير من النوم (solat itu lebih baik dari tidur)

📍Adakah ada pilihan dalam kalimat ini? Adakah boleh tidur, tapi lebih baik kalau solat?

Jawapan
Tentu tidak! Solat subuh itu wajib. Jadi bukanlah apabila dikatakan sesuatu itu ‘lebih baik’, ‘lebih afdhal’, bermaksud ada pilihan. Ada kalanya, ia bermaksud wajib juga.

📌Maka kerana itu pendapat yang rajih, Mandi Jumaat itu adalah wajib. Allahu a’lam.

📍Bilakah waktu mandi Jumaat ini?

Jawapan:
Masa yang terbaik adalah waktu dekat-dekat hendak salat Jumaat sekiranya mampu. Ini adakah kerana tujuan utama mandi itu adalah supaya tidak busuk semasa berjemaah salat Jumaat. Namun, jika tidak boleh hendak balik ke rumah kerana kerja dan sebagainya, maka bolehlah mandi di pagi hari sebelum pergi kerja. Kalau orang yang sudah pencen, senanglah hendak mandi sebelum salat Jumaat.

✅ Sekian Bab Wajib Mandi. Kita telah bincangkan 6 perkara. Selepas ini kita akan belajar bab Sunat Mandi pula.

Sekian bab bila diwajibkan mandi. Sekarang mari lihat pula bilakah kita dianjurkan untuk mandi?


 

☘️SESI SOAL JAWAB KELAS☘️
=========================

1. Adakah air mani itu keluar sekaligus banyak atau ia keluar secara sedikit demi sedikit?

🔵 Air mani keluar seperti air kencing. Ia akan keluar sedikit demi sedikit.

2. Apabila air mani itu keluar adakah ia keluar secara banyak ataupun sedikit?

🔵 Sedikit atau banyak itu adalah subjektif dan bergantung kepada individu itu.

3. Adakah ihtilam (mimpi basah) akan dialami oleh semua lelaki atau hanya segelintir sahaja? Benarkah ihtilam ini sebagai tanda seseorang itu telah baligh?

🔵 Ya, ihtilam (mimpi basah) akan dialami oleh semua lelaki dan ini adalah tanda bahawa lelaki tersebut sudah baligh.

4. Adakah air mani perempuan berwarna kuning seperti warna air kencing ?

🔵 Saya tidak pasti. Tetapi semestinya ia pekat.

5. Bagaimanakah cara untuk mengenal pasti air mani?

🔵 Kena tengok kepekatan dia.

6. Apakah perbezaan antara mazi dan wadi?

🔵 Mazi dan wadi ia kelihatan lebih cair daripada air mani.

7. Sekiranya air mani itu bercampur dengan air kencing. Bagaimana cara untuk kita mengenal pasti bahawa itu adalah air mani dan bukannya air kencing?

🔵 Air mani lebih pekat dan ada kesan keras nanti.

8. Adakah benar tidak perlu mandi wajib sekiranya keluar air mani disebabkan faktor tertentu seperti kesejukan, mengangkat beban yang berat dan patah tulang rusuk?

🔵 Saya tidak pasti perkara yang disebut di atas boleh menyebabkan keluar air mani.

Tetapi kalau keluar air mani memang kena mandi wajib.

9. Apakah yang dimaksudkan “ketuk pintu”?

🔵 Maksudnya hasyafah zakar lelaki tidak masuk ke dalam faraj wanita.

10. Adakah tidak perlu mandi wajib sekiranya hasyafah lelaki tidak masuk ke dalam faraj wanita?

🔵 Kalau air mani tidak keluar maka, tidak perlu mandi wajib. Tetapi, kalau terkeluar air mani maka, kena mandi wajib.

11. Adakah kita perlu mandi wajib selepas berasa nikmat sesudah terbangun daripada tidur?

🔵 Kalau tiada keluar air mani maka, tidak perlu mandi wajib. Walaupun mimpi sedang berjimak tapi tidak keluar air mani maka, tidak perlulah mandi wajib.

12. Bagaimana pula dengan status hadith ini?

Mujahid mengatakan, ”Ketika kami, iaitu sahabat-sahabat yakni, Ibnu Abbas, Thawus, Sa’id bin Jubair, dan Ikkrimah duduk melingkar di dalam masjid, sedang Ibnu Abbas sedang berdiri salat, maka tiba-tiba muncullah di hadapan kami seorang laki-laki yang bertanya, ’Adakah diantara tuan-tuan yang dapat memberi fatwa?’ ’Keluarkanlah pertanyaan anda!’ ujar kami. Katanya, ’Setiap kali saya kencing maka air kencing itu senantiasa diiringi oleh air yang terpancar’. Kamipun bertanya, ’Apakah ia air yang menjadi asal kejadian anak?’
’Benar’ katanya. ’Kalau demikian, anda wajib mandi,’ kata kami lagi.

Akan tetapi laki-laki itu tidak menampakkan kepuasannya dengan jawaban kami dan kemudian ia memalingkan dirinya untuk melangkah pergi. Sementara itu Ibnu Abbas menyegerakan shalatnya lalu mengatakan kepada Ikrimah supaya memanggil orang itu.

Ketika orang itu sedang berbalik, Ibnu Abbas pun bertanya kepada kami, ’Apakah fatwa anda terhadap laki-laki itu berdasarkan kitabullah?’ Kata kami, ’Tidak’. Ibnu Abbas bertanya lagi, ’Apakah fatwa anda tadi berdasarkan hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم?’ Kami pun menjawab, ’Tidak’. Ibnu Abbas bertanya lagi, ’Apakah fatwa anda tadi berdasarkan pendapat sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم?’. ’Juga tidak’. ’Kalau begitu dari mana fatwa Anda itu?’ tanyanya lagi, ’Dari hasil pemikiran kami sendiri’, tegas kami.

Itulah sebabnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bersabda ’Seorang ahli hukum lebih berat bagi setan dibandingkan dengan seribu orang ahli ibadah’.

Dalam pada itu, laki-laki tadi pun tiba kembali di hadapan Ibnu Abbas, lalu beliau bertanya kepadanya, ’Bagaimanakah perasaanmu bila yang demikian itu terjadi, apakah disertai dengan syahwat pada kemaluanmu?’. Laki-laki itu menjawab, ’Tidak’. Tanya Ibnu Abbas pula, ’Apakah engkau merasakan kelesuan pada tubuhmu?’. ’Tidak’, jawabnya lagi.
’Kalau begitu, ia hanya kerana pengaruh cuaca dingin,’ Kata Ibnu Abbas pula, ’Jadi, anda cukup berwudhu’ saja jika terjadi hal demikian itu.’”

🔵 Maaf, saya tidak tahu atsar itu.

Tetapi, di dalam fatwa Islam dinyatakan,

وأما خروج المني بغير شهوة فقد اختلف العلماء في ذلك ، والراجح أن خروجه بغير شهوة لا يوجب الغسل بل يوجب الوضوء

Keluarnya mani tanpa syahwat, diperselisihkan para ulama’ mengenai statusnya. Dan pendapat yang lebih kuat, bahawa keluarnya mani tanpa syahwat, tidak mengharuskan mandi, namun mengharuskan berwudhu’. (Fatwa Islam no. 47693)

Oleh kerana itu, sperma yang keluar tanpa disertai syahwat, tidak dihukumi sebagai mani. Tetapi dihukumi sebagai madzi. Misalnya, keluar sperma kerana
kedinginan, atau kerana penyakit spermathozoa (air sperma keluar terus menerus).

13. kalau alat kelamin lelaki itu berdiri semasa tidur. Adakah itu disebabkan kedinginan seperti yang dimaksudkan hadith di atas?

🔵 Alat kelamin lelaki berdiri itu perkara biasa dan boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Tidaklah bermakna ia berdiri akan keluar mani.

14. Adakah ihtilam (mimpi basah) sama seperti onani?

🔵 Tidak sama ihtilam (mimpi basah) dengan onani. Onani itu haram.

15. Adakah lelaki yang beronani ini dianggap sudah baligh?

🔵 Baligh dikira apabila sudah ihtilam (mimpi basah). Bukannya apabila sudah beronani.

16. Pada umur berapakah wanita datang baligh?

🔵 Wanita datang baligh apabila keluar haidh dan selalunya apabila berumur 9 tahun.

17. Apakah hukum jika kanak – kanak perempuan bersalaman dengan seorang ustaz?

🔵 Ini terdapat banyak pendapat jadi kena membuat pilihan sendiri.

Mazhab Syafi’iy mengharamkan secara mutlak bersalaman meskipun orang dewasa dengan kanak-kanak ataupun orang besar.

Tetapi terdapat banyak lagi pendapat yang lain. Antaranya Yusuf Qardhawi yang berkata boleh bersalaman di dalam keadaan yang tertentu.

Tengoklah semua pendapat dan pilih salah satu. Kalau saya, akan memilih pendapat bahawa tidak boleh bersalaman.

18. Adakah benar kefahaman saya bahawa memasukkan sesuatu selain dari zakar ke dalam faraj tidak perlu mandi wajib jika tidak berasa lazat?

🔵 Ya, tidak perlu mandi wajib.

19. Bagaimana pula jika ada suami yang perlu mengeluarkan air mani sendiri disebabkan proses perubatan. Adakah perlu mandi wajib?

🔵 Ya, kena mandi wajib jika keluar air mani.

20. Adakah rukhsah menggunakan hukum berwudhu’ dalam keadaan memakai khuf ini, membawa maksud, tidak perlu memperbaharui wudhu’ setiap kali salat fardhu’?

🔵 Rukhsahnya, semua anggota wudhu’ dibasuh seperti biasa. Tetapi kaki disapu sahaja pada khuf/stoking/kasut.

21. Adakah itu bermaksud tidak perlu memperbaharui wudhu’ selagi tiada hadas?

🔵 Perbaharui wudhu’ sunat sahaja. Jika batal pun sapu khuf juga.

22. Adakah Solat Subuh dan Maghrib boleh dijamak dan qasar?

🔵 Solat Subuh dan Maghrib tidak boleh diqasar.

23. Adakah solat Jumaat boleh dijamak?

🔵 Solat Jumaat boleh dijamakkan dengan salat Asar.

24. Adakah perlu berdehem selepas membuang air kecil?

🔵 Ini dinamakan istibrak. Maksudnya menuntut kebersihan. Yang kita sudah belajar adalah menggunakan air dan benda kesat.

Memang selalu disebut berdehem dan lain-lain. Tetapi, kerana tiada dalil, maka itu tidak wajib. Hendak mengatakan ia sunat pun tidak.

Syaikhul Islam pernah ditanya, untuk orang yang selesai kencing, agar lebih bersih. Apakah harus berdehem, naik turun, bergerak, dan sebagainya untuk memastikan kencingnya sempurna keluarnya.

Jawapan beliau,

التنحنح بعد البول والمشي والطفر إلى فوق والصعود في السلم والتعلق في الحبل وتفتيش الذكر بإسالته وغير ذلك : كل ذلك بدعة ليس بواجب ولا مستحب عند أئمة المسلمين بل وكذلك نتر الذكر بدعة على الصحيح لم يشرع ذلك رسول الله صلى الله عليه وسلم

Berdehem setelah kencing, bergerak, gerakan naik turun, atau menggunakan tali, mengurut zakar agar mengalir, atau semacamnya, semua itu tidak ada ajarannya, tidak wajib, tidak pula sunah menurut para ulama’. Termasuk menyentil zakar, tidak ada ajarannya menurut pendapat yang benar, tidak pernah diajarkan Nabi صلى الله عليه وسلم. (Majmu’ al-Fatawa, 21/106)

Maka kalau ada kajian yang mengatakan ia boleh membersihkan air kencing, maka bolehlah dibuat. Cuma ianya tidak sunat.

25. Bolehkah mencukur atau memotong kuku sebelum mandi wajib?

🔵 Boleh.

26. Sekiranya terlupa mandi wajib perlukah mengulang mandi wajib?

🔵 Terlupa mandi wajib memang kena mandi wajib.

27. Sekiranya kita memotong kuku dan mencukur bulu-bulu sebelum mandi wajib atau ketika haidh. Adakah kita perlu membasuh sekali semasa mandi wajib?

🔵 Tiada masalah. Kuku dan bulu tidak perlu mandi junub. Tubuh kita yang kena mandi junub.

28. Adakah perlu mandi wajib kerana melahirkan anak?

🔵 Ini dinamakan Mandi Wiladah. Dalilnya mengenai mandi ini tidak ada atau tidak kuat. Maka tidak menjadi kewajipan melakukannya. Mandi yang wajib bagi wanita bersalin adalah apabila darah nifas sudah berhenti.

29. Adakah kerana haidh, perlu membayar dam iaitu sembelihan seekor sapi ketika melakukan haji?

🔵 Ia adalah dam kerana melakukan haji tamattu’.

30. Adakah mandi hadas dan mandi junub adalah sama?

🔵 Ya, sama. Junub adalah bermaksud “menjauhkan”. Apabila kita di dalam hadas, ia menjauhkan kita dari melakukan ibadah. Kerana itulah dinamakan junub.

31. Adakah keguguran kandungan berusia lebih empat bulan, wajib mandi dan perlu solat jenazah?

🔵 Ya.

32. Pendapat manakah yang rajih bagi orang kafir yang masuk Islam. Perlukah dia mandi?

🔵 Pendapat yang mengatakan ia wajib mandi.

33. Bagaimanakah jika kandungan lebih empat bulan, berlaku keguguran tetapi waris tidak dapat mengambilnya untuk disempurnakan jenazahnya?

🔵 Keguguran berlaku di hospital akan diuruskan oleh pihak hospital.

34. Bagaimanakah tatacara solat sunat rawatib empat rakaat? Adakah perlu duduk tahiyyat awal?

🔵 Solat sunat dilakukan dua rakaat, dua rakaat. Maka salat sunat rawatib 4 rakaat dilakukan 2 rakaat 1 salam kemudian lakukan 2 rakaat 1 salam juga.

35. Berapakah kuantiti air yang boleh digunakan untuk mandi wajib?

🔵 Diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ mandi wajib dengan hanya segantang air.

36. Apakah yang perlu dilakukan apabila ketika sedang solat, tiba-tiba ada orang ke datang rumah mengetuk pintu berkali-kali atas hal yang mustahak? Adakah perlu ditinggalkan salat tersebut atau perlu diteruskan sehingga selesai solat?

🔵 Beberapa perkara yang terlibat.

– Tidak boleh berhenti apabila solat fardhu walaupun ibu bapa yang memanggil. Jika solat sunat, boleh dihentikan mengikut keadaan dan keperluan.

– Boleh memberi isyarat ketika sedang solat. Jika orang memanggil itu boleh nampak, maka kita angkat tangan. Atau menguatkan bacaan di dalam solat supaya boleh didengari.
Atau, membaca Subhanallah agak-agak dia boleh dengar.

– Boleh berhenti jika keadaan yang sangat mendesak sehingga boleh menyebabkan kecederaan atau nyawa, maka boleh dihentikan salat sama ada salat fardhu atau sunat. Kerana nyawa lebih mustahak.

– Boleh juga dipercepatkan salat tersebut. Dalilnya Rasulullah pernah hendak memanjangkan salat tetapi apabila baginda terdengar suara budak menangis maka baginda mempercepatkan salat.

37. Apakah boleh menghentikan salat sekiranya seseorang datang mengetuk pintu rumah kerana perkara mustahak?

🔵 Terdapat beberapa perkara yang dibolehkan.

i. Salat sunat boleh dihentikan mengikut keadaan dan keperluan seperti panggilan ibubapa sedangkan salat fardhu tidak dibenarkan.

ii. Sekiranya pemanggil tersebut kelihatan. Beri isyarat dengan mengangkat tangan dan sekiranya tidak (kelihatan) maka kuatkan (perdengarkan) bacaan kita atau dengan menyebut Subhanallah’ (سبحان الله) dalam kadar yang boleh didengari (pemanggil).

iii. Keadaan mendesak yang boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa maka bolehlah dihentikan sama ada salat fardhu atau pun sunat.

iv. Mempercepatkan salat berdasarkan dalilnya Nabi ﷺ pernah mempercepatkan salat disebabkan mendengar suara budak menangis.

38. Bagaimana sekiranya berpegang dengan pendapat wajibnya mandi salat Jumaat kemudian pergi bermusafir dan berhenti untuk melaksanakan salat Jumaat sedangkan belum mandi (salat Jumaat) ?

🔵 Boleh mandi di awal pagi Jumaat sebelum bermusafir.

39. Apakah perempuan juga boleh melaksanakan salat Jumaat?

🔵 Wanita juga boleh melaksanakan salat Jumaat cuma ia jarang berlaku di Malaysia dan tiada kewajipan ke atas wanita, tetapi dibenarkan.

40. Apakah yang dimaksudkan “mandi”? adakah untuk melaksanakan salat Jumaat? atau mandi pada hari Jumaat?

🔵 Mandi sebelum melaksanakan salat Jumaat.

41. Adakah pendapat yang mengatakan mandi sekali (mandi junub dan mandi salat Jumaat) itu berpendapat mandi salat Jumaat itu wajib atau adakah ia mandi sunat salat Jumaat?

🔵 Wajib atau sunat sama sahaja. Bagi yang pendapat wajib, maka wajib dipenuhi dengan sekali mandi dan yang pendapat sunat maka ia mendapat pahala bila mandi sekali (junub dan solat Jumaat).

42. Adakah sama cara mandi salat Jumaat dengan mandi junub?

🔵 Cara mandi sama sahaja.

43. Bolehkah saya berpegang dengan pendapat mandi salat Jumaat adalah sunat?

🔵 Boleh. Ini dinamakan khilaf dan ada hujah masing-masing.
Ini merupakan keluasan fekah.

44. Manakah pendapat yang rajih mandi sekali atau dua kali (dipisahkan junub dan salat Jumaat) ?

🔵 Mandi dua kali (dipisahkan junub dengan salat Jumaat).

Mandi wajib sebenarnya mudah dan menjadi beban (susah) apabila tidak tahu.

45. Bagaimana niat bagi yang mengatakan mandi sekali (janabah dengan salat Jumaat) ?

🔵 Niat kedua-dua sekali. Dua dalam satu.

46. Apakah perlu berwudhu’ semula sekiranya sudah mandi Jumaat?

🔵 Tidak perlu kerana mandi (Jumaat) itu lebih besar dari wudhu’.

47. Sekiranya membuang air (kencing) waktu sedang mandi (Jumaat), apakah perlu mengulangi wudhu’ untuk menunaikan salat Jumaat?

🔵 Tidak perlu selagi masih dalam keadaan (belum selesai) mandi Jumaat.

48. Bolehkah mandi Jumaat walaupun tidak pergi menunaikan salat Jumaat?

🔵 Tidak salat maka tidak perlulah mandi (Jumaat).

Mandi bukanlah kerana hari Jumaat. Mandi adalah kerana salat Jumaat.

49. Adakah batal wudhu’ jika menyentuh bahagian lubang faraj dan batang zakar?

🔵 Tidak batal wudhu’ menyentuh bahagian itu.

Kecuali kalau menyentuh dengan syahwat. Maknanya menyentuh hendak bersedap sedapan.

Maaf, ini bab fiqh yang menyusahkan. Mungkin ada dalam kitab-kitab tertentu.

Sebab itu belajar kitab macam tu enam tahun tak habis.

50. Adakah berhati – hati juga sebahagian daripada kaedah fiqh?

🔵 Itu tambahan yang bukan datang dari dalil.

Asalnya memang berhati-hati tetapi kemudian menyusahkan.
Memeningkan orang sampai menjadi penyakit was-was.

51. Adakah perlu disertu sekiranya kita terpijak najis anjing atau babi?

🔵 Cukup dibasuh dengan air sahaja.

52. Adakah kaedah membasuh najis babi atau anjing menggunakan air sahaja merupakan qaul jumhur?

🔵 Jumhur tidak perlu sertu.
Mazhab Syafi’ iy sahaja mewajibkan sertu.

53. Adakah kaedah spray dan merenjis air pada bahagian yang terkena air kencing itu ditujukan khas untuk cara mencuci najis bagi bayi lelaki?

🔵 Ya. Bayi lelaki kurang dari 2 tahun umurnya dan tidak makan melainkan susu ibunya sahaja.

54. Adakah najis ringan dan mukhaffafah itu mempunyai maksud yang sama?

🔵 Ya, maksud yang sama iaitu najis bayi lelaki yang berumur kurang dua tahun.

55. Sekiranya air mazi dan air wadi terkena pada pakaian. Adakah cukup sekadar merenjis air sahaja pada pakaian itu dan tidak perlu dicuci?

🔵 Ulama khilaf.

Syafi’ iy : Wajib cuci
Hanbali : Cukup dengan membasahkan sahaja. Ambil air satu telapak tangan dan basahkan.

Tetapi jalan yang selamat ialah mencuci pakaian itu (membasuh).

Berdasarkan hadith Sahl bin Hanif, ia berkata:

كنت ألقى من المذي شدة, وكنت أكثر منه الاغتسال, فسألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن ذلك؟ فقال: إنما يكفيك بأن تأخذ كفًّا من ماء فتنضح بها من ثوبك حيث ترى أنه أصابه

“Aku seringkali keluar madzi, sehingga sering sekali mandi keranaya. Lalu ku ceritakan hal ini kepada Rasulullah ‎ﷺ. Maka beliau berkata : “Kamu cukup mengambil air setelapak tangan, lalu kamu basahi pakaianmu yang terkena madzi itu sampai terlihat basah” (HR. Ahmad dalam Musnad-nya, Abu Daud, At Tirmidzi, Ibnu Majah, dinilai hasan oleh Asy Syaikh Al Albani)

Khilaf pada kalimah “nadhah” dalam hadith. Sama ada membasahkan sahaja atau mencuci.

56. Adakah sama kaedah mencuci najis bayi lelaki dengan bayi perempuan?

🔵 Tidak.

57. Bagaimana kaedah untuk mencuci najis bayi perempuan?

🔵 Sama seperti mencuci najis lain yang kita panggil najis pertengahan.

Soalan-soalan Tentang Permasalahan Wudhu’

☘SESI SOAL JAWAB KELAS☘
========================

1. Adakah sah wudhu’ jika membasuh mulut dan hidung secara berasingan?

🔵: Sah.

2. Adakah dimaksudkan bahawa boleh berkumur – kumur dahulu sebanyak tiga kali, kemudian baru membasuh hidung?

🔵: Boleh. Jika dibuat sekali harung pun tidak mengapa. Yang lebih baik adalah kalau dibuat sekali harung.

3. Adakah beristinyaq dahulu kemudian berkumur – kumur itu, adakah menepati sunnah?

🔵: Mengikut susunan berkumur dahulu. Cuba jaga tertib ketika berwudhu’.

4. Adakah Nabi ‎ﷺ menggunakan air wudhu’ yang lain khas untuk membasuh janggut selepas selesai membasuh muka?

🔵: Ya. Baginda menggunakan air yang telah diasingkan. Khas untuk janggut baginda kerana janggut baginda lebat.

5. Benarkah kefahaman saya bahawa, tidak mengapa sekiranya tidak memasukkan air ke dalam hidung jika berasa sakit?

🔵: Jika sakit tidak perlu. Hukum Islam tidak memberatkan penganutnya.

6. Bolehkah membasuh janggut sekali dengan muka? Contohnya, membasuh muka sehingga di bawah dagu.

🔵: Jika janggut itu nipis maka, dibolehkan. Tapi kalau tebal, takut air tidak sampai ke kulit dagu.

7. Bagaimanakah cara yang betul ketika menyapu air wudhu’ di anggota bahagian kepala?

🔵: Basahkan tangan dan sapu seluruh kepala. Basahkan sahaja sebab tujuan kita bukan hendak membasuh rambut.

8. Adakah sah wudhu’ sekiranya menyapu air wudhu’ di separuh bahagian kepala sahaja?

🔵: Sapulah di seluruh bahagian kepala. Keluar dari khilaf itu lebih selamat kerana ada mazhab yang mengatakan bahawa tidak sah wudhu’ jika tidak menyapu air wudhu’ di seluruh bahagian kepala. Walaupun ada juga mazhab yang mengatakan tiga helai rambut, ada yang kata separuh dan ada yang satu pertiga. Tapi sapulah keseluruhan kepala, ini lebih baik dan tidak susah pun.

9. Adakah terdapat pendapat yang mengatakan basahkan tangan kemudian masukkan jari ke lubang hidung?

🔵: Tidak pernah jumpa pendapat seperti ini. Ini dinamakan ‘mengorek’ lubang hidung, bukannya istinshar. Tak tepat kalau buat cara begitu.

10. Adakah terdapat pendapat yang mengatakan menyapu air wudhu’ di anggota kepala dimulai dari depan ke belakang kemudian dari belakang ke hadapan?

🔵: Ya. Ada pendapat lain yang mengatakan boleh undur (reverse).

11. Bolehkah mengusap kepala sekali dengan telinga sebanyak satu kali?

🔵: Ya.

12. Adakah menyapu wudhu’ di seluruh kepala itu maksudnya kena sampai ke tengkuk belakang?

🔵: sebelum sampai tengkuk.

13. Bagaimana pula dengan wanita yang berambut panjang? Adakah perlu menyapu air wudhu’ di rambut dari depan ke belakang kemudian dari belakang ke hadapan ketika berwudhu’?

🔵: Bukan menyapu air wudhu’ di rambut tetapi menyapu air wudhu’ di kepala. Sapu setakat di bahagian kepala sahaja. Bukan sampai di hujung rambut.

14. Bagi seorang wanita pula, bolehkah menyapu air wudhu’ di kepala dan tengkuk sampai ke telinga terutamanya ketika mandi?

🔵: Tidak perlu sapu tengkuk. Sapu kepala dengan cara di atas boleh dilakukan pada bila – bila masa, tidak terhad hanya pada ketika mandi.

15. Bagaimana pula berwudhu’ dengan cara menitiskan air di atas kepala dan menyapu kepala?

🔵: Ya, ia juga salah satu cara berwudhu’ bahagian kepala.

16. Bilakah masa yang sesuai untuk membasuh telinga ketika berwudhu’?

🔵: Selepas menyapu kepala, terus sahaja sapu telinga. Tidak perlu mengambil air yang baharu.

17. Adakah betul cara membasuh kepala sebanyak tiga kali dan membasuh telinga pula sebanyak tiga kali?

🔵: 1. Sapu kepala, kemudian usap telinga. Sekali sahaja sudah cukup walaupun ada pendapat yang kata sunat kalau lebih.

Maka boleh tambah lagi:
2. Sapu kepala, kemudian usap telinga.
3. Sapu kepala, kemudian usap telinga.

Bukannya menyapu kepala, kepala dan kepala. Kemudian telinga, telinga dan telinga.

18. Adakah menyapu air wudhu’ di kepala sebanyak sekali dengan cara dari depan ke belakang tanpa tidak perlu mengulanginya semula dari belakang ke hadapan itu merupakan pendapat yang rajih?

🔵: Ya. Sampai ada mazhab yang mengatakan cukup sekali sahaja.

Tetapi kalau dua atau tiga kali pun boleh.

19. Adakah memasukkan jari telunjuk ke lubang telinga sewaktu berwudhu’ itu sunnah? Dan bolehkah menggunakan selain dari jari telunjuk (membasuh telinga)?

🔵: Jari telunjuk, nanti kita akan sentuh dan ada mengatakan boleh dengan jari kelingking atau jari manis, ianya tidak benar. Boleh kita menggunakan jari lain sekiranya jari telunjuk tiada.

20. Adakah benar pendapat yang mengatakan pekap dengan telapak tangan dan basuh sehingga 9 basuhan dengan alasan telinga adalah anggota yang paling banyak maksiat?

🔵: Tiada cara lain dalam membasuh anggota telinga dan yang disebut dalam soalan adalah merupakan rekaan. Kecuali kalau dibawa dalil dari hadis.

21. Apakah batal solat sekiranya masih terdapat tompokan darah di tangan?

🔵: Darah bukan najis yang boleh membatalkan solat.

22. Apakah perasaan ragu-ragu disebabkan tidak tahu sesuatu hukum boleh membatalkan solat?

🔵: Perasaan ragu-ragu (was-was) tidak membatalkan solat.

23. Ada yang mengatakan solat boleh terbatal sekiranya terdapat tompokan darah (sebesar duit syiling 5 sen) pada badan ataupun pakaian. Benarkah terbatalnya solat tersebut?

🔵: Tidak batal kerana Nabi Muhammad ‌‎ﷺ sewaktu sujud pernah diletakkan di belakang baginda isi perut unta dan baginda ‎ﷺ tidak membatalkan solatnya.

24. Bolehkah sekiranya saya membiarkan air jatuh dengan sendirinya dari hidung tanpa menggunakan tangan kiri (istinsyaq)?

🔵: Boleh, tapi kurang menepati sunnah.

25. Perlukah menyedut air ke dalam mulut dan hidung pada masa yang sama dan bolehkah menggunakan kedua-dua tangan?

🔵: Dengan menggunakan sebelah tangan kanan sudah mencukupi. Bermula dengan sedut air ke dalam mulut untuk berkumur dan lebihan air tadi disedut ke dalam hidung kemudian dihembuskan sedikit. Elok belajar caranya dengan melihat perbuatan orang yang tahu. Kalau disebut di sini, mungkin tidak nampak.

26. Adakah perlu mengambil satu lagi telapak tangan air untuk membasuh janggut dan ini bermaksud akan menambah satu lagi pergerakan?

🔵: Ya betul. Ia untuk memastikan air sampai ke dagu. Tidak mengapa jika ada pertambahan pergerakan.

27. Bagaimanakah cara yang betul untuk membasuh telinga?

🔵: Bermula dengan mengusap kepala sehingga ke belakang kepala kemudian terus basahkan telinga. ‘Sapu’ sahaja, tidak perlu ‘basuh’ telinga itu.

28. Adakah berwudhu’ sama seperti bersolat tidak dibenarkan membuat sebarang pergerakan?

🔵: Tidak sama. Berwudhu’ boleh bergerak seperti pergerakan menjawab sekejap panggilan telefon manakala solat tidak dibenarkan. Kena ingat yang wudu’ bukan solat. Belum masuk solat lagi.

29. Apakah yang dimaksudkan dengan menadah tangan semasa air disembur keluar dari hidung?

🔵: Maksudnya menahan air dari hidung dengan menggunakan tangan kiri semasa menghembus air tersebut supaya tidak terpercik di merata-rata tempat.

30. Perlukah hembuskan air yang telah disedut masuk ke dalam hidung?

🔵: Perlu ada sedikit hembusan. Inilah yang dikatakan istinshar. Cara tersebut dilakukan untuk mengeluarkan kotoran yang berada dalam hidung.

31. Adakah menjadi kesalahan untuk berwudhu tiga kali basuhan/sapuan pada semua anggota?

🔵: Ia tidak dianggap kesalahan. Ia boleh dilakukan sebegitu.

32. Bagaimanakah jika rambut dikenakan minyak rambut, adakah perlu menyapu keseluruhan kepala atau menyapu ubun-ubun sahaja?

🔵: Perlu menyapu keseluruhan kepala, kerana anggota wudhu’ adalah kepala bukanlah rambut. Minyak rambut tidak ada masalah. Kita sebenarnya nak sapu kepala, tapi sebab rambut ada atas kepala, maka kita sapu sekali rambut itu.

33. Adakah benar pendapat yang mengatakan tidak boleh menyapu kepala dengan meratakan kesemua jari tangan kerana sebahagian jari akan digunakan untuk menyapu telinga pula?

🔵: Boleh menggunakan kesemua jari tangan atau boleh juga menggunakan 6 jari untuk kepala dan 4 jari lain untuk telinga. Ini sekadar teknik sahaja. Tidak diajarkan secara khusus.

34. Adakah wanita juga perlu menyapu keseluruhan kepalanya?

🔵: Tatacara solat dan wudhu’ adalah sama bagi lelaki dan wanita.

35. Adakah dibolehkan berwudhu’ dengan cara membasuh muka sekali, tetapi anggota lain dilakukan sebanyak dua atau tiga kali?

🔵: Boleh, kerana bilangan satu, dua, dan tiga kali basuhan/sapuan adalah sunnah.

36. Bagaimanakah seorang wanita ingin mengambil wudhu’ di tempat yang terbuka?

🔵: Boleh menyapu ke atas tudungnya. Nanti kita akan sentuh dalam bab ‘sapu khuf’.

37. Apakah hukum mengeringkan atau membiarkan air wudhu’ kering sendiri?

🔵: Tiada larangan. Bukan perkara yang membatalkan wudhu’. Boleh biarkan air kering sendiri atau hendak keringkan dengan tuala. Tiada masalah mana-mana pun.

38. Adakah memadai untuk membasuh muka sahaja tanpa melebihi had muka iaitu anak rambut hingga ke bawah dagu atau kiri dan kanan anak telinga?

🔵: Ya, tetapi di dalam keadaan biasa lebih elok untuk melebihkan had membasuh muka. Ini supaya dapat pastikan menyentuh keseluruhan tubuh yang wajib.

39. Apakah yang perlu dilakukan apabila ketika ingin mengambil wudhu’ pada bahagian kaki, air telah terputus? Adalah perlu ulangi semula wudhu’ atau cukup hanya menyambung basuhan pada kaki sahaja?

🔵: Hanya perlu sambung membasuh kaki sahaja.

40. Ketika menyapu tudung, adakah perlu menyapu sebahagian ubun-ubun sedikit sebelum menyapu ke seluruh tudung?

🔵: Ya, boleh kerana ada sebahagian ulama yang berpendapat sedemikian. Jika tidak boleh menyapu sebahagian ubun-ubun, maka teruskan menyapu keseluruhan tudung.

41. Apakah boleh menyapu tengkuk selepas wudhu’ sebagai perbuatan untuk menyegarkan diri?

🔵: Ya, kerana itu adalah perbuatan ‘selepas’ wudhu’. Jangan menyakininya adalah sebahagian wudhu’ pula.

42. Adakah boleh membasuh telinga dahulu sebelum kepala?

🔵: Jumhur ulama mewajibkan tertib dalam perbuatan wudhu’. Maka kita harus menjaganya. Walaupun ada yang berpendapat sebaliknya sebagaimana Imam Al-Bukhari.

43. Apakah pilihan yang ada apabila ingin berwudhu’ di dalam keadaan cuaca yang terlalu sejuk?

🔵: Boleh memanaskan air dahulu sebelum berwudhu’. Selain itu, boleh melewatkan sedikit waktu solatnya sebagaimana Rasulullah pernah melewatkan sedikit solat zohor kerana cuaca yang sangat panas.

44. Adakah benar kefahaman saya bahawa jika kita mempunyai keyakinan mengenai sesuatu contohnya bab solat. Jika kita yakin batal, maka kena ulangi semula wudhu’ dan solat. Jika kita yakin tidak batal, maka kena teruskan sahaja solat. Tidak boleh duduk atas pagar dengan sikap ragu-ragu atau was-was. Kita kena membuat pilihan dengan yakin.

🔵: Bukan begitu. Yang betulnya begini, apabila kita sudah yakin dengan wudhu’ kita kemudian timbul perasaan syak atau was-was bahawa wudhu’ kita itu batal kerana kentut dan sebagainya, jangan layan. Kita perlu tahu bahawa, perasaan ‘syak telah batal’ tidak boleh mengalahkan ‘keyakinan ada wudhu’. Maka, kita terus kekalkan bahawa kita masih ada wudhu. Perasaan syak dan was-was itu abaikan sahaja. Jangan dilayan perasaan itu.

45. Apakah benar wanita tidak perlu membuka ikatan rambutnya ketika berwudhu’?

🔵: Ya. Mandi junub pun tidak perlu membuka ikatan rambutnya. Maka begitulah juga kalau dalam wuduk, sapu sahaja bahagian kepala (atas rambut). Kerana kita bukan nak sapu rambut tapi kita nak sapu kepala.

46. Bagaimana pula jika perempuan tidak membuka ikatan rambutnya ketika mandi junub, sudah tentu air tidak terkena bahagian dalam rambut?

🔵: Mandi junub bukan kita hendak membasuh rambut. Tetapi kita hendak membasuh kepala. Kena faham beza antara keduanya. Nanti kita akan sentuh lagi dalam bab mandi.

47. Adakah masih dalam tertib wudhu’ apabila membasuh tangan hingga ke siku dahulu sebelum menyapu kepala?

🔵: Ini memang sudah tertib.

Ada ulama seperti Imam Bukhari yang berpendapat tertib bukanlah syarat sah wudhu’.

Tapi banyak juga yang mengatakan bahawa tertib adalah syarat. Maka, kita jagalah sahaja. Bukan susah pun hendak menjaga tertib syarat wudhu’.

48. Adakah wudhu’ tidak batal jika terkena najis/tahi?

🔵: Terkena najis tidak akan membatalkan wudhu’. Basuh sahaja. Contohnya, membasuh najis anak, tidak akan membatalkan wudhu’.

49. Adakah betul memasukkan air dengan cara menghirup air untuk berkumur dan menyedut air ke dalam hidung? Manakala cara mengeluarkan air pula, menghembus air dari hidung kemudian berkumur dan meluah di atas tangan kiri?

🔵: Menghembus air dengan tangan kiri itu adalah untuk hidung. Bukannya untuk berkumur. Air kumur dari mulut tidak payah ditadah.

50. Adakah sah solat sekiranya kita terlelap sekejap tetapi mulut masih dalam bacaan ketika solat?

🔵: Sah, sebab sekejap sahaja. Tetapi, tidak elok menunaikan solat dalam keadaan mengantuk kerana ditakuti akan tersilap baca. Jika mengantuk, seeloknya tidur dahulu.

51. Adakah sah solat bagi seorang yang masih dalam menunaikan solat fardhu maghrib dan pada masa yang sama dia terdengar azan fardhu masuk waktu solat Isyak?

🔵: Sah.

52. Dengan berwudhu’, dapat menghapuskan dosa – dosa kecil kita. Apakah contoh dosa- dosa kecil yang terhapus apabila berwudhu’?

🔵: Dosa kecil yang kita tidak perasan pun kita buat. Contohnya, mata ternampak benda yang tidak patut kita nampak.

53. Adakah dosa mengumpat atau yang melibatkan orang lain juga akan terhapus apabila mengambil air wudhu’?

🔵: Dosa mengumpat itu sudah dianggap dosa besar. Sebab ada larangan dari Nabi Muhammad ‎ﷺ iaitu larangan ghibah/mengumpat.

54. Apakah hukum lelaki berambut panjang?

🔵: Lelaki boleh berambut panjang. Tapi janganlah pula cukur janggut. Itu dah jadi perempuan pula.

55. Bagaimana pula dengan artis- artis yang mewarnai rambut mereka? Adakah sah mandi junub mereka?

🔵: Ya sah. Maka kalau mereka hendak ‘hijrah’, kita tidak perlu menyuruh mereka botakkan kepala mereka. Jangan menyusahkan mereka dengan perkara yang tidak perlu.

56. Bolehkah membasuh kaki dengan cara membasahkan sahaja tanpa menggosok?

🔵: Sah menurut Mazhab Syafi’iy dan batal menurut Mazhab Malik. Seeloknya digosok.

57. Basuh itu seharusnya digosok bukannya membasahkan sahaja. Dalam Al-Quran menyebut ‘basuh’ bukan ‘basah’kan.

🔵: Nanti saya akan sentuh bagaimana kita sepatutnya basuh (gosok).

58. Sahkah wudhu’ jika sekadar membasahkan tangan kemudian mengusap (menyapu) kaki?

🔵: Tidak sah, hanya anggota kepala dan telinga sahaja yang diusap (sapu), selain dari itu perlu dibasuh.

59. Apakah melakukan percikan air itu setelah selepas membuang air kecil lalu dibersihkan kemudian memercikkan air ke atas kain atau seluar?

🔵: Kencing kemudian bersihkan, ambil wudhu’ dan akhir sekali percikkan air pada kain atau seluar.

60. Benarkah terdapat hadith’ Nabi ﷺ pernah mengambil wudhu’ dengan sekali basuhan bagi setiap anggota wudhu’?

🔵: Ya, memang ada hadith’ Nabi ﷺ mengambil wudhu’ dengan sekali basuhan, dua kali basuhan dan tiga kali basuhan bagi setiap anggota wudhu’. Maka tidak ada masalah kalau sekali basuh sahaja. Sunat dan dapat pahala lebih kalau lebihkan basuhan.

61. Apakah dengan cara meratakan air itu kita menadah air di tapak tangan selepas itu alirkan pada anggota wudhu’ kemudian kita sapu anggota wudhu tersebut?

Bagaimana pula dengan cara Syiah membasuh wudhu’?

🔵: Cara yang disebut itu betul. Tadah air dengan tapak tangan, basahkan anggota wudhu’ kemudian sapu (gosok) untuk meratakan air pada anggota tersebut.

Cara Syiah cukup sekadar basahkan tangan kemudian di sapu pada anggota wudhu’. Jangan ikut Syiah kerana mereka mengubah agama Islam ini dan mereka reka ibadah yang cara ibadah.

62. Apakah cara Syiah dengan membasahkan tangan kemudian menyapu (gosok) dilakukan pada keseluruhan anggota wudhu’?

🔵: Tidak, anggota kaki sahaja yang mereka tidak boleh basuh sekadar yang saya ketahui.

63. Apakah sah sekiranya kita membasuh lengan hanya sampai bawa siku sahaja disebabkan lengan baju yang sempit?

🔵: Sah sampai siku dan sebaiknya dilebihkan lagi ke atas siku

64. Bagaimanakah cara yang betul menggunakan “spray” untuk berwudhu’?

🔵: Jika menggunakan “spray” perlu banyakkan air supaya air yang di”spray” itu mengalir pada anggota wudhu’.

Tidak digalakkan untuk menggunakan “spray”. Lebih baik menggunakan air di dalam gelas atau botol air mineral sahaja. Tapi kalau itu sahaja yang ada, bolehlah.

65. Adakah haidh dan nifas membatalkan wudhu’?

🔵: Ya, batal wudhu’nya jika keluar secara normal kecuali darah istihadah kerana ia adalah satu penyakit.

66. Adakah sah wudhu’nya jika basuhan pertama tidak rata dan kemudian dibasuhkan buat kali yang ke-2?

🔵: Sah, kerana ia dikira satu basuhan sahaja.

67. Adakah air liur basi membatalkan wudhu’?

🔵: Terkeluarnya air liur basi tidak membatalkan wudhu’ tetapi yang membatalkan wudhu’ jika telah tertidur nyenyak hingga keluarnya air liur basi itu yang membatalkan wudhu’. Jadi batal wuduk bukan kerana air liur basi itu tapi kerana tidur yang nyenyak.

68. Apakah yang dimaksudkan dengan “meninggikan darjat”?

🔵: Meninggikan darjat bermaksud memperolehi pahala yang lebih, hasilnya kedudukan yang lebih tinggi di dalam syurga nanti.

69. Adakah sah wudhu’ apabila jika tidak mengikut tertib atau tidak teratur?

🔵: Ya, sah. Tapi sebaiknya ikut tertib. Tidak susah pun.

70. Adakah ada pendapat yang menyatakan bahawa sendawa membatalkan wudhu’?

🔵: Sendawa tidak membatalkan wudhu’.

71. Adakah berwudhu’ lebih dari tiga kali dikira berdosa?

🔵: Ya.

72. Adakah tidak boleh mandi dengan air yang banyak?

🔵: Tidak boleh, gunakanlah air berpada-pada.

73. Berdasarkan hadith yang dinyatakan, ar-ribath (الرِّبَاطُ) boleh membawa maksud perbatasan. Apakah perkaitannya dengan kebaikan (yang banyak) sebagaimana yang diterjemahkan?

🔵: Ar-Ribath yang dimaksudkan adalah menjaga perbatasan negara Islam, di mana ia boleh memperoleh pahala yang besar.

Bagi mereka yang bukan mujahidin, ribath membawa maksud menjaga batas agama daripada berbuat dosa dan senantiasa melakukan amal kebaikan.

74. Setelah solat maghrib sementara menunggu waktu solat Isyak, manakah yang lebih utama: sama ada memperbaharui atau tidak memperbaharui wudhu’?

🔵: Jika menunggu di masjid, akan memperoleh pahala khusus asalkan masih di dalam wudhu’. Dikira sebagai sedang beribadah walaupun sedang menunggu sahaja. Maka kalau batal wuduk, sila ambil wuduk balik.

Kalau di rumah, tidak ada kelebihan ini. Walaupun begitu, adalah baik sentiasa di dalam keadaan berwudhu’.

75. Situasinya adalah selepas selesai berwudhu’, baru disedari ada sisik ikan di lengan, maka hanya membasuh lengan sahaja untuk melengkapi wudhu’?

🔵: Ya, betul.

76. Adakah boleh membantu kawan yang terlantar sakit untuk berwudhu’, dengan cara membasuh dan meratakan air pada anggota wudhu’ mereka?

🔵: Ya, boleh. Selain itu, boleh juga membantu suami atau isteri kita yang terlantar sakit untuk berwudhu’. Ini tidak membatalkan wudhu’ kerana ada pendapat yang menerangkan bahawa tidak batal wudhu’ apabila bersentuhan antara suami isteri.

77. Adakah berbual-bual semasa wudhu’ dibolehkan?

🔵: Ya, boleh tetapi tidak digalakkan.

78. Adakah dalil untuk melafazkan niat ketika membasuh muka dengan air ketika wudhu’?

🔵: Tiada dalil untuk melafazkan niat, atau menyusun niat di hati, atau waktu untuk menyebutkan niat. Ada yang kata semasa membasuh muka, ada pula yang kata semasa membasuh tangan, selain itu ada yang kata semasa membuka pili air.

Maka tiada keperluan untuk melafazkan niat.

79. Apakah hukum berdoa setelah mengambil wudhu’?

🔵: Sunat.

80. Adakah melafazkan niat sebelum berwudhu’ dianggap bida’ah walaupun ramai mengamalkannya?

🔵: Ya, bida’ah kerana ia tidak dilakukan oleh salaf. Ramainya orang yang buat tidaklah menjadikan ianya benar.

81. Jika diberi pilihan untuk berwudhu’ menggunakan air paip dan air botol mineral, yang manakah lebih baik?

🔵: Boleh berwudhu’ menggunakan mana-mana pilihan yang ada. Tiada yang lebih afdhal dari salah satunya. Sama sahaja.

82. Perlukah mengulangi wudhu’ apabila terkena najis bayi lelaki bawah 2 tahun yang minum susu ibu?

🔵: Tidak perlu mengulangi wudhu’, hanya perlu membersihkan najis tersebut apabila hendak solat kerana najis tidak boleh dibawa solat.

83. Bagaimanakah cara untuk mandi dengan hanya menggunakan 2.7 liter air?

🔵: Konsepnya adalah dengan meratakan air ke seluruh bahagian badan.

84. Semasa mengangkat takbir untuk mengerjakan solat sunat sebelum subuh, ada orang datang menjadi makmum saya. Adakah perlu saya menguatkan bacaan saya sedangkan saya bukan melaksanakan solat fardhu tetapi solat sunat.

🔵: Boleh menguatkan bacaan kerana menjadi imam. Dan boleh juga tidak menguatkan bacaan. Kerana cara menjadi makmum sebegini bukanlah sunnah. Tidak ada diajar oleh Nabi dan tidak pernah dilakukan oleh sahabat.

85. Bilakah waktu untuk melakukan qunut nazilah pada solat zuhur?

🔵: Boleh dilakukan pada rakaat terakhir selepas rukuk.

86. Adakah tetap berdosa melakukan sesuatu bida’ah tanpa kita mengetahuinya?

🔵: Perkara yang lepas tetap dikira sebagai kesalahan. Ia tetap berdosa. Kerana itu, apabila kita tahu yang perbuatan kita yang dahulu itu salah, maka kita kena meminta keampunan Allah. Setelah bertaubat, maka lupakan perkara yang telah lalu, perbaikilah perbuatan kita di masa mendatang. Teruskan belajar supaya kita tidak melakukan kesalahan tanpa sedar.

Oleh yang demikian, kita kena sentiasa mempelajari ilmu agama. Selalu memperbaiki amal ibadah kita. Di dalam solat kita mintalah hidayah supaya Allah tunjukkan kepada kita cara hendak beribadat kepada Dia dengan cara yang paling baik.

87. Bagi mereka yang mempunyai penyakit kencing tidak lawas, adakah perlu memakai kain yang sama atau perlu menukarnya untuk setiap kali solat?

🔵: Gunakan kain tersebut sebagai pakaian khas untuk solat. Salin kain, basuh kemaluan dan berwudhu’, kemudian solat seperti biasa. Sesudah solat, tukar kembali persalinan kerja/belajar.

88. Bagaimanakah cara untuk menentukan mandi menggunakan pancuran (shower) itu dianggap membazir?

🔵: Kita boleh sahaja menjamakkan (mengabungkan) mandi biasa dengan mandi wajib. Maka tiada masalah kalau buat serentak. Jika mandi biasa kebiasaannya dilakukan di dalam tempoh 5 minit, maka sekarang boleh mandi wajib itu di dalam tempoh seminit dua sahaja.

Masalah yang biasa berlaku apabila mandi biasa yang kebiasaannya dilakukan 5 minit sahaja, tetapi apabila buat sekali dengan mandi wajib, menjadi 20 minit.

Sambung ke perbincangan seterusnya, mengusap khuf.

Mengusap Khuf

Khuf adalah seperti kasut atau stoking (sebenarnya kasut tidak, stoking juga tidak). Khuf ini selalunya diperbuat dari kulit dan ia menutup buku lali sekali.

Ia selalunya dipakai di Tanah Arab pada musim sejuk. Bila kaki sejuk mereka akan pakai terus sepanjang masa. Ketika di rumah mereka juga pakai termasuk sewaktu solat pakai. Jadi apabila sudah memakai khuf, yang jadi masalah pula sekiranya mahu mengambil wudhu’.

Ini kerana apabila kaki sejuk, dikhuatiri akan menyebabkan demam. Selain itu ia menyulitkan pula selepas membasuh kaki kerana hendak lap air wudhu’ sebelum dipakai khuf semula. Maka, ada kemudahan yang diberikan dalam Islam tentang hal ini.

Akan tetapi, kita tidak memakai khuf di sini bukan? Jadi kenapa kita perlu belajar bab khuf? Ini kerana ada manfaat juga yang kita boleh ambil dari hukum ini. Contohnya, kalau askar pakai but di dalam hutan dan dia hendak solat, tidaklah perlu dia menanggalkan but.

Kita sebagai orang awam juga, ada keadaan susah untuk kita menanggalkan kasut dan mengambil wudhu’ di tempat orang ramai atau tempat yang susah mahu mengambil wudhu’, maka boleh manfaatkan juga hukum ini.


1. Kebenaran Mengusap Khuf.

Terdapat dalil yang banyak tentang amalan ini dan di antara hadith-hadith yang menyebutkan tentang mengusap khuf adalah sebagai berikut:

✍Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنه berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ. فَقَالَ : ((دَعْهُمَا، فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ)) فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا.

Aku pernah menyertai Nabi ﷺ dalam satu safar, (tatkala baginda ﷺ berwudhu’) aku pun menjulurkan tanganku untuk melepas dua khuf yang sedang baginda ﷺ kenakan. Namun baginda berkata: “Biarkan dua khuf ini (jangan dilepas) kerana aku memasukkan keduanya (yakni kedua kaki Rasulullah ﷺ) dalam keadaan suci.” Baginda ﷺ pun mengusap di atas kedua khuf tersebut.”
[Bukhari no. 206 dan Muslim no. 274]

Satu lagi hadis:

✍Hudzaifah ibnul Yaman رضي الله عنه menuturkan pengalamannya bersama Nabi ﷺ:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ، فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ قَوْمٍ، فَبَالَ قَائِمًا، فَتَنَحَيْتُ، فَقَالَ : ((اُدْنُه)) فَدَنَوْتُ حَتَّى قُمْتُ عِنْدَ عَقْبَيْهِ، فَتَوَضَّأَ، فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ.

Aku pernah berjalan menyertai Nabi ﷺ, lalu baginda ﷺ berhenti di tempat pembuangan sampah suatu kaum dan kencing di situ dalam keadaan berdiri. Maka aku pun menyingkir dari baginda ﷺ, namun baginda ﷺ berkata: “Mendekatlah.” Aku pun mendekat hingga aku berdiri di sisi kedua tumit baginda. Kemudian beliau ﷺ berwudhu’ dan mengusap di atas dua khufnya.”
[Muslim no. 273]

Catatan:
Juga terdapat dengan lafaz yang hampir sama di dalam Sahih Ibnu Hibban no. 1428. Jadi, ulama’ sepakat dibolehkan menyapu khuf dalam wudhu’ apabila kena syaratnya. Manakala yang menolaknya pula adalah golongan Khawarij dan Syiah sahaja.

✍Ibnul Mundzir berkata:
“Para ulama’ berselisih pendapat tentang manakah yang lebih afdhal, mengusap khuf atau pun melepaskan keduanya dan mencuci kaki?” Dia berkata: “pendapat yang dipilihnya, mengusap khuf lebih afdhal, kerana hal ini termasuk hal yang diingkari oleh ahlul bid’ah dari kaum Khawarij dan Syiah Rafidhah.” Dia berkata: “menghidupkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ yang diingkari oleh orang-orang yang menyelisihinya lebih baik dari meninggalkannya.”


2. Mengusap stoking.

Bagaimana pula dengan stoking? Orang kita jangan kata ada khuf, mengenai khuf juga mereka tidak tahu. Jadi, adakah mereka akan ketinggalan kemudahan yang Allah ﷻ berikan ini?

Para fuqaha’ bersepakat bahawa harus bagi seorang Muslim untuk menyapu stoking mereka sewaktu berwudhu’ menggantikan basuhan kaki jika stoking tersebut diperbuat daripada kulit dan menutupi buku lali.

Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang stoking biasa yang diperbuat daripada bulu ataupun kapas. Dalam isu ini mereka terbahagi kepada dua pendapat.

1. Pendapat yang menentang: Mereka mengatakan stoking bukan dijadikan dari kulit maka tidak sama dengan khuf.

2. Pendapat ini dikritik kerana memang ada hadith Nabi ﷺ menyapu stoking. Maka ini adalah pendapat yang kedua.

✍Hadith riwayat Al-Mughirah bin Syu’bah, katanya: Rasulullah ﷺ telah berwudhu’ dan baginda ﷺ menyapu khuf dan juga stokingnya.
[At-Tarmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, Ahmad. Imam At-Tarmizi mengkategorikan sebagai hadith hassan sahih]

✍Juga hadith Bilal: “Aku telah melihat Rasulullah ﷺ menyapu kedua stokingnya dan juga serbannya”.
(Ahmad, At-Tirmizi dan At-Tabrani. Hadith ini dikategorikan sebagai hassan sahih oleh Imam At-Tirmizi]

✍Terdapat sembilan orang sahabat yang mengharuskan perbuatan menyapu stoking yang tidak diperbuat daripada kulit, seperti Ali, Ammar bin Yasir, Ibnu Mas’ud, Anas, Ibn Umar, al-Barra, Bilal, Ibnu Abi Aufa dan Sahl bin Sa’ad.

✍Ia juga turut diamalkan oleh kebanyakan para tabi’in yang terkemuka seperti Ata’, Hassan al-Basri, Sa’id bin Musayyab, Ibnu Jubair, al-Nakha’i dan al-Thawri. [pengamalan para sahabat dan tabi’in ini telah menjadikan perbuatan menyapu di atas stoking sesuatu yang dapat diterima]

✍Dari Al-Azraq bin Qais, dia berkata: “Aku pernah melihat Anas bin Malik berhadas. Maka, ia membasuh mukanya, dua tangan dan mengusap dua stoking kakinya yang terbuat dari bulu”. Aku bertanya,”Engkau mengusapnya?” Dia menjawab,”Keduanya adalah khuf, hanya saja terbuat dari bulu”.
Disahihkan Ahmad Syakir; Ad-Dulabi (1/179).

Kesimpulannya:
Hujah membolehkan menyapu stoking ini juga amat kuat. Sekian hujah bagi mengatakan kalau pakai stoking juga boleh disapu menggantikan basuh kaki.


3. Mengusap alas kaki (sandal)

Kita telah sentuh tentang menyapu khuf yang menutup mata kaki dan juga stoking yang juga menutup mata kaki. Lalu bagaimana pula dengan kasut atau sandal yang tidak menutup mata kaki? Ini menjadi perbincangan ulama’.

✍Ada dalil Rasulullah pernah sapu sandal (capal) baginda. Ini berdasarkan Hadits Al-Mughirah bin Syu’bah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ

Rasulullah ﷺ berwudhu` dan mengusap dua stoking kaki dan sandalnya.
[Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani; Abu Dawud (159), At-Tirmizi (99), Ahmad (4/252]

Syarah:
Hadith ini memberi isyarat bahawa Rasulullah ﷺ berwudhu` dan mengusap stoking dan sandalnya. Hadith ini, dengan merujuk ulama’ yang mensahihkannya, mengandungi dua hal:

1. Rasulullah ﷺ memakai sandal dan juga stoking dan mengusapnya, sehingga hukumnya menjadi satu seperti pada pemakaian dua pasang stoking atau memakai dua pasang khuf sekaligus.

2. Al-Mughirah melihat Nabi ﷺ sedang mengusap satu usapan pada stoking dan usapan lainnya pada sandal. Sehingga hadith ini menjadi dalil bolehnya mengusap sandal, meski pun kaki tidak dibaluti dengan stoking.

Kesimpulan ini, walau agak jauh, tetapi didukung dalam hadith ini.

✍Hadith Abu Zhubyan, bahawa ‘Ali bin Abi Thalib berwudhu’` dan mengusap sandalnya, dan kemudian dia memasuki masjid dengan melepaskan dua sandalnya. Setelah itu dia mengerjakan solat …
[Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh Al-Baihaqi 1/288, ath Thahawi 1/58 lihat Tamamul Minnah hlm. 15] dan tidak ada penyebutan kata stoking dalam hadith ini.

Akan tetapi, ulama’ juga meletakkan syarat, ini jenis sandal yang susah hendak dibuka (memerlukan dua tangan waktu hendak dibuka). Ini kerana ada sandal yang ikat juga. Bukannya jenis selipar Jepun yang mudah dilepaskan begitu sahaja.


4. Mengusap khuf atau stoking yang koyak.

Bagaimana pula kalau khuf atau stoking itu koyak pula? Ada ulama’ yang mengatakan sudah tidak boleh lagi di amalkan sapu khuf kerana ia sudah tidak sempurna sifat khuf itu iaitu menutup kaki. Tetapi pendapat ini dikritik. Maka, boleh menyapu khuf walaupun ada koyak sedikit atau banyak.

Antara hujah:

1️⃣ Hukum asal boleh menyapu khuf dan stoking dan tidak ada tambahan yang mengatakan jika khuf koyak, tidak boleh disapu.

2️⃣ Sahabat zaman dahulu juga tentu ada mengalami khuf dan stoking yang koyak rabak kerana mereka miskin. Namun tidak disebut pengkhususan yang mengatakan kalau koyak sudah tidak boleh.

3️⃣ Kalau tidak boleh sapu khuf kerana koyak, tentu Nabi ﷺ sudah menegur. Namun, tidak ada riwayat sebegini.

4️⃣ Koyak atau tidak, selagi khuf dan stoking boleh dipakai, maka ia tetap dikira sebagai khuf dan stoking.

5️⃣ Tujuan dibenarkan menyapu khuf adalah untuk kemudahan. Kalau sudah ditetapkan syarat yang ketat, hilanglah tujuan asal untuk beri kemudahan itu.


5. Mengusap pembalut.

Rukhsah mengusap khuf ini dipanjangkan pula untuk perbuatan menyapu atas kain pembalut luka. Ini menjawab persoalan ramai orang: ‘bagaimana kalau anggota wudhu’ berbalut?’

Jadi salah satu cara yang dianjurkan oleh ulama’ adalah dengan sapu tangan yang basah di atas pembalut itu dan tidak perlu dibuka. Termasuk juga tidak perlu hendak tayamum lagi. Wudhu’ itu sudah sah.


6. Perbincangan tambahan berkenaan sapu khuf.

a. Adakah jika membuka khuf membatalkan wudhu’?

Saya cuba terangkan dengan memberi satu senario: Katakanlah kita memakai khuf, boot atau stoking pada pagi hari. Waktu Zuhur, wudhu’ kita batal dan kita ambil wudhu’ dan pada kasut kita sapu sahaja. Kemudian kita buka (mungkin kerana masuk masjid), adakah ia membatalkan wudhu’ itu?

Adakah boleh dipakai lagi wudhu’ itu pada waktu Asar nanti? Ulama’ berbeza pendapat tentang perkara ini:

1. Wudhu’ masih tetap sah. Tidak ada apa-apa yang perlu dilakukan.

2. Perlu membasuh kaki sahaja.

3. Mengulang wudhu’.

Pendapat pertama adalah yang lebih rajih (tepat), bersesuaian dengan rukhsah (kemudahan) yang Allah ﷻ berikan. Bila Allah ﷻ dah beri kemudahan, jangan kita sempitkan.

Hujah lain:

1. Sayidina Ali memakai sandal dan beliau menyapu pada sandalnya itu dan kemudian beliau lepaskan dan solat.

2. Ikut logik. Katakanlah seorang menyapu kepala dan kemudian dia botakkan kepalanya. Adakah dia kena ambil wudhu’ semula kerana rambut yang disapu tadi sudah tiada?

3. Ini juga pendapat Syaikh Al-Albani, Ibnu Taimiyah, Hasan Basri, Ibnu Hazm dan Ibnul Munzir.

Kesimpulan:
Kalau seseorang menyapu khuf, stoking atau kasut dan dia membuka khuf itu, tidaklah membatalkan wudhu’nya. Dia boleh pakai kembali khuf itu dan wudhu’ tetap kekal. Asalkan tidak berhadas semasa buka khuf.


 

b. Adakah jika telah habis batas waktu, terus membatalkan wudhu’ itu?

Rukhsah menyapu khuf dibenarkan selama tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir dan sehari semalam bagi orang yang bermukim. Lalu bagaimana kalau masa itu telah tamat? Adakah wudhu’ terbatal secara automatik?

Ini juga ada khilaf:

1. Perlu mengambil wudhu’ semula kerana wudhu’ telah batal.

2. Hanya basuh kaki sahaja.

3. Tidak batal wudhu’ dan tidak perlu buat apa-apa.

✅Pendapat ketiga inilah yang dipilih oleh Syaikh Al-Albani dan Ibnu Taimiyah رحمكم الله Wudhu’ masih sah selagi tidak berhadas. Kalau sudah berhadas, barulah batal wudhu’ dan perlu di ambil wudhu’ semula untuk solat.


 

c. Haruskan khuf dilepaskan jika junub?

Khuf perlu dilepaskan kerana junub. Maknanya, menyapu khuf hanya boleh dipakai untuk hadas kecil sahaja.

✍Hal ini dinyatakan dari hadith Shafwan bin ‘Assal رضي الله عنهما, dia berkata:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرْنَا إِذَا كَانَ سَفْرًا أَلاَّ تَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَنَوْمٍ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami, apabila kami sedang safar agar tidak melepaskan khuf-khuf kami selama tiga hari tiga malam kecuali bila ditimpa janabah. Akan tetapi apabila hanya buang air besar, kencing, dan tidur (tidak perlu melepaskannya).”
[At-Tirmidzi no. 96. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’us Sahih, 1/538]


 

d. Memakai khuf ketika suci adalah syarat.

Ini syarat yang perlu diperhatikan. Kena memakai khuf, but atau stoking semasa suci. Jadi ambil wudhu’ dahulu barulah pakai khuf. Ini jelas dalam hadith yang telah diberikan sebelum ini:

✍Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنهماberkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ. فَقَالَ : ((دَعْهُمَا، فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ)) فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا.

Aku pernah menyertai Nabi ﷺ dalam satu safar, (tatkala baginda ﷺ berwudhu’) aku pun menjulurkan tanganku untuk melepas dua khuf yang sedang baginda ﷺ kenakan. Namun baginda berkata: “Biarkan dua khuf ini (jangan dilepas) kerana aku memasukkan keduanya (yakni kedua kaki Rasulullah ﷺ) dalam keadaan suci.” Baginda ﷺ pun mengusap di atas kedua khuf tersebut.”
[Bukhari no. 206 dan Muslim no. 274]


 

e. Bahagian alas kaki yang diusap.

📍Inilah yang penting : Bagaimana cara hendak mengusap khuf itu?

Jawapan:
Tempat yang diusap adalah bahagian atas kaki itu atau bahagian lain, kecuali bawah. Kita bukan hendak sapu kotoran tanah dari khuf itu.

Boleh lihat video ini: https://youtu.be/yrqY2YnAbhw

Ini menjadi dalil bahawa agama kita ini bukan ikut akal kita. Jikalau ikut logik, mestilah sapu bahagian bawah yang terkena tanah, bukan?

✍Sayidina Ali رضي الله عنه pernah berkata; “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf lebih logik dari menyapu di atasnya. Namun aku telah melihat Nabi ﷺ menyapu bahagian atas dua khufnya”.


 

f. Berapa lama batas waktu boleh menyapu khuf dan bilakah masa itu bermula?

Musafir: 3 hari tiga malam – 72 jam
Orang bermukim: Sehari semalam – 24 jam.

✍Dalilnya adalah hadith riwayat Shafwan bin ‘Assal رضي الله عنهما, dia berkata:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرْنَا إِذَا كَانَ سَفْرًا أَلاَّ تَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَنَوْمٍ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami, apabila kami sedang safar agar tidak melepaskan khuf-khuf kami selama tiga hari tiga malam kecuali bila ditimpa janabah. Akan tetapi apabila hanya buang air besar, kencing, dan tidur (tidak perlu melepaskannya).”
[At-Tirmizi no. 96. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’us Sahih, 1/538]

✍Penetapan tempoh di atas adalah berdasarkan

Hadis dari Sayidina ‘Ali رضي الله عنه yang menceritakan; “Nabi ﷺ memberi (kebenaran) tiga hari tiga malam kepada orang musafir (untuk menyapu khuf) dan sehari semalam untuk orang mukim (yakni tidak bermusafir)”.

📍Persoalan yang mungkin timbul: bilakah bermula masa ini?

Jawapan:
Masa bermula sejak mula sapu khuf. Bukan semasa mula pakai khuf. Saya bagi senario:

Ambil wudhu’ dan memakai khuf pada pukul 7 pagi. Kemudian pergi kerja. Pada pukul 10 pagi anda membuang air. Wudhu’ batal pukul 10 pagi. Pada pukul 2 petang anda mahu solat Zuhur. Maka, anda ambil wudhu’ dan sapu sahaja pada khuf.

📍Bilakah waktu sehari semalam bermula? Adakah dari pukul 7 pagi, atau pukul 10 pagi, atau pada pukul 2 petang?

Jawapan:
Pada pukul 2 petang baru masa bermula untuk sehari semalam (atau tiga hari tiga malam, bergantung sama ada anda bermukim atau musafir). Ini pandangan yang rajih kalau dibandingkan dengan pendapat-pendapat yang lain.


 

🍀SESI SOAL JAWAB ☘️
==================

1. Jika bagi wanita, mereka akan menanggalkan stoking apabila memasuki tandas untuk menunaikan hajat, maka dengan cara mengambil wudhu’ dahulu sebelum memakai stoking, kemudian apabila hendak solat hanya perlu menyapu di atas stoking sahaja. Adakah ini dibolehkan?

🔵 Ya, boleh.

 

2. Adakah perlu menggunakan air yang banyak untuk mengusap khuf sebagaimana membasuh kaki?

🔵 Tidak, mengusap khuf bersamaan dengan mengusap kepala. Hanya perlu basahkan tangan sahaja.

 

3. Adakah hanya perlu mengusap bahagian atas khuf sahaja dan meninggalkan bahagian tapak khuf?

🔵 Ya.

 

4. Adakah perlu mengusap sehingga tiga kali sapuan?

🔵 Cukup sekadar sekali usapan sahaja.

 

5. Adakah kita boleh menggunakan hukum memakai khuf jika bukan di dalam keadaan cuaca yang sejuk?

🔵 Ya, musyaqqah (kepayahan) itu bukan sahaja bermaksud ‘sejuk’ tetapi juga membawa maksud kepayahan kita untuk membuka dan memakai kembali kasut.

 

6. Bagaimanakah caranya mengusap khuf ini?

🔵 Hanya perlu menyapu bahagian atas sahaja. Tidak perlu menyapu bahagian belakang khuf. Perbuatan ini bersifat ta’abbudi sahaja (taat kepada arahan). Bukannya sehingga perlu dicuci.

 

7. Situasinya adalah kita khuatir kehilangan but berjenama kepunyaan kita semasa hendak solat di masjid, adakah boleh mengqiyaskan but tersebut sebagai khuf dan membawanya bersama ketika solat?

🔵 Jawapan:

a. Ya, boleh solat dengan but tersebut.

b. Walaupun begitu, tidak boleh memakai but ke dalam masjid yang ada permaidani. Perlu bersesuaian dengan keadaan.

 

8. Adakah benar fahaman saya iaitu apabila memasuki tandas tanpa memakai stoking, kemudian berwudhu’ tetapi tidak membasuh kaki kerana berniat untuk mengusap stoking kelak. Selepas itu hanya perlu mengusap stoking sahaja sebelum menunaikan solat?

🔵 Jika tiada kepayahan untuk membuka dan memakai stoking apabila hendak ke tandas, maka gugurlah rukhsah untuk menggunakan hukum mengusap khuf.

 

9. Bagaimanakah kaedah jika telah berwudhu’ dan berniat untuk mengusap stoking apabila terbatalnya wudhu’, tetapi ketiadaan air pada waktu itu?

🔵 Jika tiada air, maka boleh tayammum.

 

10. Jika kita memakai stoking dan kasut, adalah perlu menyapu pada kaki stoking hingga ke hujung kasut?

🔵 Tidak, hanya perlu mengusap pada atas kasut.

 

11. Adakah benar kaedah mengusap khuf adalah dengan menggunakan tiga jari? Bolehkah dilakukan dengan selain tiga jari?

🔵 Ya kerana itu adalah salah satu pendapat yang menyatakan tiga jari sudah cukup. Tiada dalil khusus yang menetapkan bilangan jari.

 

12. Adakah boleh melakonkan watak para Nabi dan sahabat dan apakah dalil jika ia dilarang?

🔵 Tidak boleh kerana ia boleh menyebabkan kita merendahkan sifat Nabi. Katakanlah pelakon itu buat muka marah, adakah Nabi begitu? Atau dia buat sifat gelak-gelak? Adakah Nabi begitu?

Ia bahaya kerana jikalau manusia melihat, mereka akan terkesan dan terbayang-bayang begitulah perihal Baginda padahal tidak. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini tetapi ada dalil umum iaitu kita disuruh untuk menghormati Rasulullah ‎ﷺ di dalam semua perkara.

 

13. Adakah mengambil wudhu’ dengan menggunakan spray dan air yang seminima satu gelas boleh diterima di dalam mazhab Asy-Syafi’iy?

🔵 Tiada masalah bagi mazhab Asy-Syafi’iy kerana cara ini melebihi dari keperluan minima mazhab Asy-Syafi’iy.

Contohnya di dalam mazhab Asy-Syafi’iy tidak perlu menyapu seluruh kepala dan juga tidak perlu menjamah anggota wudhu’ untuk pastikan air wudhu’ sampai kepada anggota wudhu’.

 

14. Bagaimanakah cara untuk duduk tasyahud dengan memakai but?

🔵 Boleh gunakan cara duduk iq’a seperti di dalam gambar. Kita akan bincangkan dengan lebih tuntas di dalam bab solat kelak.

15.  Apakah yang dimaksudkan dengan “melepaskan khuf” selepas tiga hari dan tiga malam? Bagaimanakah caranya jika bermusafir lebih daripada tiga hari dan tiga malam?

🔵 Apabila tamat tempoh khuf, perlu memperbaharui wudhu’ tanpa memakai khuf. Berwudhu’ seperti biasa dan kemudian memakai khuf kembali.

 

16. Adakah tidak perlu untuk mandi selama tiga hari dan tiga malam?

🔵 Jika di negara sejuk, adalah perkara biasa apabila tidak mandi untuk berhari-hari. Ini juga berlaku di Tanah Arab pada zaman dahulu. Apabila tiada halangan untuk mandi seperti biasa, maka gugurlah rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf.

 

17. Saya keliru dengan pernyataan yang menyatakan hanya perlu menyapu khuf apabila berhadas kecil. Mohon mencerahan.

🔵 Jika berhadas kecil, hanya perlu memperbaharui wudhu’ tanpa membasuh kaki. Jika berhadas besar, maka perlu mandi seperti biasa.

 

18. Adakah boleh membuka khuf apabila khuatir terkena najis apabila menunaikan hajat?

🔵 Jika tiada masalah untuk membuka khuf, maka gugurlah rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf.

 

19. Adakah boleh tidak mahu menggunakan rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf?

🔵 Rukhsah adalah hadiah yang Allah ﷻ berikan. Allah ﷻ suka jika kita menerima hadiah-Nya.

 

20. Adakah benar fahaman saya bahawa rukhsah menggunakan khuf apabila ada kesusahan untuk membuka dan memakai kembali khuf, serta kemudaratan yang berlaku apabila khuf dibuka seperti musim terlalu sejuk, tempat yang berbatu tajam dan lain-lain.

🔵 Ya, dalam situasi kita di Malaysia ini, jika ada kepayahan untuk membuka dan memakai kembali sarung kaki (khuf, but, kasut, stokin dan lain-lain), atau bekerja di tempat yang sukar untuk mengambil wudhu’ (di dalam kapal terbang, kapal selam, kapal angkasa dan lain-lain), mungkin rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf boleh digunapakai.

 

21. Adalah mereka yang terlantar sakit boleh menggunapakai rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf supaya mudah untuk mengambil wudhu’?

🔵 Ya, boleh selama tempoh sehari dan semalam.

 

22. Adakah orang sakit tidak boleh memakai khuf selama tempoh tiga hari dan tiga malam?

🔵 Ya, tidak boleh kerana tempoh tiga hari dan tiga malam hanya untuk mereka yang bermusafir.

 

23. Adakah boleh menyapu pada stoking nipis sebagaimana yang selalu wanita memakainya?

🔵 Kita ambil pendapat yang kata boleh.

 

24. Adakah boleh bertukar-tukar stoking di dalam tempoh tiga hari dan tiga malam bermusafir?

🔵 Ya, boleh. Caranya dengan terus menggantikan stoking yang baru tanpa melengahkannya.

 

25. Jika untuk yang bermukim. Adakah tidak boleh menanggalkan stoking di dalam tempoh sehari dan semalam?

🔵 Ya, tidak boleh dilepaskan selama tempoh tersebut.

 

26. Adakah akan basah tudung apabila kita menyapu air wudhu’ pada tudung?

🔵 Sebenarnya, perbuatan menyapu tudung tidak menyebabkan tudung basah. Kita perlu menyapu kepala, bukannya membasahkan kepala.

 

27. Adakah hukum menyapu pada penutup kepala seperti tudung dan serban ini boleh diqiyaskan dengan khuf iaitu perlu mengambul wudhu’ sempurna baru boleh pakai menutup kepala? Adakah mempunyai had tempoh juga sebagaimana khuf?

🔵 Sebenarnya tiada dinyatakan hal sedemikian di dalam rukhsah menyapu serban atau tudung.

 

28. Adakah batal apabila membuka stoking sebentar kerana ingin menggaru kaki yang gatal?

🔵 Tidak batal. Malah, jika kita menyapu khuf tetapi tetap solat di masjid tanpa menggunakan khuf, apabila memakai kembali khuf masih boleh digunakan. Asalkan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.

 

29. Adakah mereka yang bermusafir dan memggunakan rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf akan melakukan semua aktiviti dengan memakai khuf seperti tidur, makan, berburu dan lain-lain?

🔵 Ya, melakukan semua aktiviti dengan memakai khuf.

 

30. Adakah boleh memakai dua lapis stoking, kemudian keesokannya, menanggalkan satu stoking dan berwudhu’ dengan stoking lain?

🔵 Ya, boleh.

 

31. Adakah selepas memakai stoking, kemudian menambah stoking lain lagi tanpa perlu perbaharui wudhu’?

🔵 Ya, boleh.

 

32. Adakah boleh tidak memulakan membaca surah tanpa lafaz bismillah?

🔵 Hukum membaca bismillah ini merupakan perkara khilaf, sama ada ia adalah sebahagian dari surah atau tidak. Jadi boleh dibaca ataupun tidak.

 

33. Adakah sah solat apabila tidak membaca bismillah pada Al-Fatihah,?

🔵 Ini perkara khilaf. Jawapan ringkasnya, solat sah.

 

34. Adakah perlu mengulangi solat apabila melihat cecair jernih keluar dari kemaluan, walhal telah mandi wajib yang berwudhu’?

🔵 Tidak perlu. Solatnya sah kerana keluar bukan dengan syahwat.

 

35. Adakah sunnah untuk iqamah apabila melakukan solat qada?

🔵 Ya, sunnah.

 

 

Beberapa Permasalahan Wudhu’

Sekarang kita hendak membincangkan isu-isu yang timbul dalam bab wudhu’ ini. Diharap dengan mengetahui perkara ini, akan memberikan lebih pemahaman tentang wudhu’.

1. Berkumur-kumur dengan tangan kanan.

Gunakan tangan kanan semasa berwudhu’.

✍🏻Dalilnya, bahawa Rasulullah ﷺ berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung dari satu telapak tangan (kanan), dan beliau lakukan tiga kali.
(HR Bukhari Muslim)


 

2 . Mengeluarkan air dari hidung dengan tangan kiri.

Semasa memasukkan air ke dalam hidung menggunakan tangan kanan tetapi apabila mengeluarkan air dari hidung, disunatkan untuk menggunakan tangan kiri. Ini kerana air yang keluar itu adalah air kotor.

✍🏻Dalilnya:

عن علي: أَنَّهُ دَعَا بِوَضُوْءٍ فَتَمَضْمَضَ وَ اسْتَنْشَقَ وَ نَثَرَ بِيَدِهِ اْليُسْرَى فَفَعَلَ هَذَا ثَلاَثًا ثُمَّ قَالَ: هَذَا طَهُوْرُ نَبِيِّ اللهِ صلى الله عليه وسلم

Dari Ali رضي الله عنه bahawasanya dia menyuruh mengambil air wudhu’ lalu dia berkumur-kumur dan istinsyaq serta menyemburkan (air tersebut) dengan tangannya yang kiri. Ia melakukan hal tersebut tiga kali kemudian berkata, ”Beginilah cara bersucinya Nabi
An-Nasa’i: I/ 67. Berkata Syaikh Al-Albani: Sahih isnadnya.


 

3. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan satu cedukan.

Kalau mampu, gunakan satu cedukan sahaja untuk berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

✍🏻Dalilnya hadith dari ‘Abdullah bin Zaid

فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفٍّ وَاحِدَةٍ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلاَثًا

“Kemudian dia berkumur-kumur dan memasukkan air dalam hidung melalui satu telapak tangan dan hal demikian dilakukan sebanyak tiga kali.” ‘Abdullah bin Zaid mengatakan itulah cara wudhu’ Rasulullah ﷺ
(Muslim, no. 235)

Mungkin ini memerlukan praktis dahulu baru menjadi. Maka kena cari orang yang tahu. Takut lemas pula nanti.

4. Bersungguh-sungguh berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kecuali ketika puasa.

Maka memasukkan air ke dalam hidung ini bukan perkara kecil. Memang Rasulullah ﷺ suruh bersungguh-sungguh. Cuma bulan puasa sahaja jangan tarik kuat sangat. Takut air tersedut banyak sangat sampai masuk ke dalam tekak.

✍🏻Dalam hadith telah diperintahkan,

وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ إلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

“Seriuslah dalam memasukkan air dalam hidung (istinsyaq) kecuali dalam keadaan berpuasa.”
[Abu Daud, no. 142, Ibnu Majah, no. 448; An-Nasa’i, no. 114. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadith ini sahih]

Maknanya, pada hari selain dari berpuasa memang disuruh bersungguh-sungguh dalam menyedut air ke dalam hidung.


 

5. Menyela-nyela janggut.

Hal ini kita telah bincangkan dalam bab kewajipan dalam wudhu’.

✍🏻Kita telah bawakan hadith:

عن أنس –يعني ابن مالك-: أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم كَانَ إِذَا تَوَضَّأَ أَخَذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَأَدْخَلَهُ تَحْتَ حَنَكِهِ فَخَلَّلَ بِهِ
لِحْيَتَهُ وَ قَالَ هَكَذَا أَمَرَنيِ رَبيِّ عز و جل

Dari Anas bin Malik رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ apabila berwudhu’ mengambil satu telapak tangan air lalu memasukkannya ke bawah dagunya lalu menyela-nyela janggutnya dengannya dan baginda bersabda, “Demikianlah Rabb Azza wa Jalla telah memerintahku”.
[Abu Dawud no. 145, Berkata Syaikh Al-Albani, hadith ini sahih]


 

6. Wajib mengusap seluruh kepala.

Ini mungkin maklumat baru bagi kebanyakan dari masyarakat kita kerana selalunya yang dibasahi oleh orang kita adalah tiga helai rambut sahaja, bukan? Ini adalah kerana pada mazhab Syafi’iy, tiga helai sahaja sudah memadai.

Memang hal ini menjadi khilaf di kalangan ulama’ mazhab. Ringkasnya:

Mazhab Maliki dan Hanbali : Wajib menyapu seluruh kepala.

Mazhab Hanafi : Wajib menyapu seperempat bahagiankepala.

Mazhab Syafie : Cukup dengan menyapu kurang dari seperempat. Jadi andai kata seseorang menyapu kepala hanya pada sebahagian kecil kepala, maka hal ini adalah sah.

Jadi, kita akan bincangkan dahulu perkara ini dan para pelajar boleh pilih manakah yang hendak dipakai.

✍🏻Pertama, dalil dari Al-Qur’an, Maidah:6

وَامسَحوا بِرُءوسِكُم

“…dan sapulah kepalamu”

✍🏻Pendapat yang paling rajih cara menyapu air di kepala ialah menyapu sehingga ke seluruh bahagian kepala iaitu berdasarkan penjelasan Ibnu Qudamah رحمه الله bahawa [Lihat: Al-Mughni (di bawah perbahasan wudhu’)]:

“Terdapat sebahagian orang yang berpegang dengan pendapat bahawa: Menyapu kepala hanya sebahagian sudah memadai. Mereka berpendapat bahawa huruf (ب) dalam Al-Qur’an (بِرُؤُوْسِكُمْ) bermakna sebahagian (التبعيض). Mereka mentafsirkan ayat tersebut: Sapulah air pada sebahagian kepalamu. Walau bagaimanapun pendapat kami bahawa huruf (ب) bermakna: Seluruh kepala (الاِلصاق) sebagaimana firman Allah:

فَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ

“Dan sapulah kepalamu (bermaksud: keseluruhan kepalamu)”.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith dari amalan Nabi ﷺ dan para sahabat.

✍🏻Dari Abdullah Bin Zaid, bahawa :

Maksudnya : “Rasulullah ﷺ menyapu kepala dengan kedua-dua tangannya. Beliau menyapukan kedua-dua tangannya yang telah dilekatkan ke kepala iaitu bermula dari bahagian hadapan kepalanya, lalu menarik kedua-dua tangannya hingga ke tengkuk, kemudian menarik semula hingga ke tempat di mana memulakannya.”
( Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, At-Tirmizi, Ibnu Majah )

✍🏻Dalam hadith yang lain:

“Dari Abdullah bin Zaid رضي الله عنه, bahawasanya Nabi ﷺ menyapu (mengusap) kepala baginda ﷺ dengan kedua tangannya maka ditemukan kedua tangannya, digerakkan ke belakang. Dimulakan dari bahagian hadapan kepalanya kemudian terus menyapu dengan kedua tangannya sehingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikan semula kedua tangannya ke bahagian di mana baginda ﷺ bermula”.
[Bukhari 1/251]

✍🏻Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رحمه الله memilih pendapat yang mengatakan wajib mengusap keseluruhan kepala dalam wudhu’.

✍🏻Ibnu Musayyab berkata: “Kaum wanita sama dengan kaum lelaki, mereka juga harus mengusap keseluruhan kepalanya.”

Oleh kerana kuatnya hujah dan dalil yang memberi isyarat kepada sapuan keseluruhan kepala, maka kita berpendapat yang itulah pendapat yang rajih.


 

7. Bagaimana cara mengusap kepala?

Sejujurnya, jarang sangat saya melihat masyarakat kita menyapu keseluruhan kepala mereka. Jadi saya rasa ramai yang tidak tahu bagaimana caranya. Maka kita bincangkan di sini.

Mengusap kepala dilakukan dengan dua tangan, ke belakang dan ke depan. Dimulai dari depan kepala dan sampai ke tengkuk.

✍🏻Ini berdasarkan hadith Abdullah bin Zaid yang telah diberikan sebelum ini:

“Dari Abdullah bin Zaid رضي الله عنه, bahawasanya Nabi ﷺ menyapu (mengusap) kepala baginda ﷺ dengan kedua tangannya maka ditemukan kedua tangannya, digerakkan ke belakang. Dimulakan dari bahagian hadapan kepalanya kemudian terus menyapu dengan kedua tangannya sehingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikan semula kedua tangannya ke bahagian di mana baginda ﷺ bermula”. [Bukhari 1/251]

 

8. Mengusap seluruh kepala satu kali sahaja.

Para pakar fiqah sepakat bahawasanya wajibnya membasuh anggota wudhu’ hanya satu kali. Begitu juga dengan sapuan pada kepala, yang wajibnya hanya sekali sahaja. Bagi basuhan yang kedua dan ketiga dianggap sunnah.

Pendapat ini berdasarkan perintah berwudhu’ dalam Al-Qur’an yang hanya menyebut sekali basuhan. Begitu pun, ada ulama yang mengatakan sapuan kepala hanya sekali sahaja, bukan dua atau tiga.

✍🏻Pendapat yang mengatakan mengusap kepala hanya sekali sahaja berdasarkan hadith berikut ini.

عن حمران مولى عثمان بن عفان أنه رأى عثمان بن عفان دعا بوضوء فأفرغ على يديه من إنائه فغسلهما ثلاث مرات ثم أدخل يمينه في الوضوء ثم تمضمض واستنشق واستنثر ثم غسل وجهه ثلاثا ويديه إلى المرفقين ثلاثا ثم مسح برأسه ثم غسل كل رجل ثلاثا ثم قال رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يتوضأ نحو وضوئي هذا وقال من توضأ نحو وضوئي هذا ثم صلى ركعتين لا يحدث فيهما نفسه غفر الله له ما تقدم من ذنبه

Humran pembantu Utsman menceritakan bahawa Utsman bin Affan رضي الله عنه pernah meminta air wudhu’ untuk digunakan berwudhu’. Maka dituangkan air wudhu’ itu di atas kedua tangannya lalu dibasuhnya 3 kali, kemudian memasukkan tangan kanannya ke dalam air lalu berkumur-kumur diiringi memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya dari hidung, membasuh mukanya 3 kali lalu membasuh kedua tangannya sampai siku 3 kali, mengusap kepala, membasuh kaki kanan dan kiri sampai mata kaki 3 kali. Lantas Utsman رضي الله عنه berkata “Aku melihat Rasulullah ﷺ pernah berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian baginda ﷺ bersabda, “Barang siapa berwudhu’ seperti wudhu’ku ini kemudian dia salat dua rakaat dengan khusyuk (tidak memikirkan urusan dunia dan yang tidak punya kaitan dengan solat), maka Allah ﷻ akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu”.
[HR Bukhari dan Muslim]

Syarah:
Kalau diperhatikan, pada semua bahagian lain disebut tiga kali basuhan, tetapi apabila sampai pada bahagian kepala, tidak disebut tiga kali.


 

9. Mengusap seluruh kepala dua kali.

Ada juga pendapat yang mengatakan boleh sapu kepala lebih dari sekali. Oleh itu boleh sapu kepala dua kali.

✍🏻Ini berdasarkan hadith Ar-Rubayyi’ binti Mu’awwidz dari Nabi ﷺ di dalamnya disebutkan: “…. dan baginda ﷺ mengusap seluruh kepalanya dua kali…”
[Abu Dawud, no. 117]

Maknanya, ada juga dalil Nabi Muhammad ﷺ mengusap kepalanya dua kali.


 

10. Mengusap seluruh kepala tiga kali.

Boleh kalau mahu untuk menyapu kepala tiga kali.

✍🏻Imam Asy-Syafi’iy berpendapat disunnahkan mengusapnya tiga kali, dan beliau berhujjah dengan zahir riwayat Imam Muslim bahawa Nabi ﷺ berwudhu’ tiga kali – tiga kali.

Ini disamakan dengan basuhan anggota wuduk yang lain yang disunatkan tiga kali. Maka pada beliau, tidak ada perbezaan antara mencuci dengan mengusap. Oleh itu, kalau basuh boleh tiga kali, maka mengusap kepala tiga kali juga.

✍🏻Ada dalil dalam hadith:
Dari Syaqiq bin Salamah ia berkata: ”Aku melihat Utsman bin ‘Affan mencuci kedua tangannya tiga kali – tiga kali, dan mengusap kepalanya tiga kali, kemudian berkata,” Aku melihat Rasulullah ﷺ melakukan ini”.
[Abu Dawud no 110]

Kesimpulan:
Dibolehkan sekiranya mengusap kepala sekali, dua kali atau tiga kali.


 

11. Mengusap imamah (serban).

Kalau memakai serban, maka selalunya susah untuk dibuka dan memakainya semula. Maka, dibenarkan untuk menyapu sahaja atas serban.

✍🏻Ini berdasarkan hadith:
Dari Al-Mughirah bin Syubah bahawa Rasulullah ﷺ berwudhu’, lalu baginda ﷺ mengusap ubun-ubunnya beserta imamahnya, dan mengusap kedua khufnya.”
[Bukhari, no. 182, dan Muslim, no. 274]

Syarah:
Dari hadith ini, kita boleh melihat bahawa baginda ﷺ menyapu pada ubun-ubun baginda ﷺ dahulu dan selebihnya menyapu pada keseluruhan serban baginda ﷺ.

Jika memakai topi, maka itu tidak susah untuk dibuka maka tidaklah digalakkan walaupun ada juga yang membenarkan. Topi atau kopiah yang senang dibuka, maka bukalah sekejap dan sapu tangan yang basah pada rambut.

Bagi wanita yang memakai tudung, perlu dilihat keadaan. Kalau sukar hendak membuka dan memakai tudung semula, maka dibenarkan untuk menyapu sahaja di atas tudung. Ini tentunya memudahkan wanita terutama mereka yang pakai tudung sampai 23 lilitan, atau mereka yang terpaksa mengambil wudhu’ di tempat yang ada kemungkinan orang lelaki boleh nampak.

✍🏻Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Uthaimin رحمه الله berkata,”Jika terdapat kesulitan, misalnya kerana cuaca yang sangat dingin, atau ada kesulitan jika harus menanggalkan dan memakai kerudung kembali, maka mengusap semacam ini (iaitu mengusap kerudung), tidaklah mengapa. Jika tidak (ada kesulitan semacam itu), maka yang lebih utama adalah tidak mengusap kerudung, sehingga tidak bertentangan dengan hadith-hadith sahih dalam masalah ini (iaitu kewajiban mengusap seluruh bahagian kepala secara langsung).”
[Lihat Syarhul Mumti’, 1/239]


 

12. Mengusap bahagian dalam dan luar telinga.

✍🏻Jumhur (majoriti) ahli ilmu berpendapat bahawa mengusap kedua telinga dalam wudhu’ adalah sunat, bukan wajib. Sementara Mazhab Hanbali dan sebahagian Malikiyah berpendapat wajib.

Maka janganlah kita tinggalkan, kerana tidak susah untuk lakukan. Bagaimanakah caranya? Mungkin ada yang tidak tahu. Caranya dengan mengusap bahagian dalam telinga dengan jari telunjuk dan luarnya dengan ibu jari. Senang sahaja, jangan disusahkan.

✍🏻Ibnu Uthaimin رحمه الله mengatakan, “Mengusap kedua telinga, caranya seseorang memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga. Tanpa menekannya sampai sakit, cukup dimasukkan ke lubang telinga. Sementara ibu jarinya mengusap luar telinga.”

✍🏻Telah diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, no. 36 dan Nasa’i, no. 102 dan dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما, dia berkata,

تَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ وَأُذُنَيْهِ بَاطِنِهِمَا بِالسَّبَّاحَتَيْنِ وَظَاهِرِهِمَا بِإِبْهَامَيْهِ
(وصححه الألباني في صحيح النسائي)

“Rasulullah ﷺ berwudhu’ kemudian membasuh kepalanya dan kedua telinganya, bahagian dalamnya dengan kedua jari telunjuk dan bagian luarnya dengan kedua ibu jarinya.”
(Dinyatakan sahih oleh Syaikh Al-Albany dalam Sahih An-Nasa’i)
Telinga kanan dan telinga kiri dibasuh bersama-sama. Namun, saya selalu nampak orang basuh telinga kanan dan kemudian telinga kiri pula. Saya tidak pasti sama ada ini yang diajar di sekolah tetapi yang sebenarnya, dibasuh sekaligus.

Boleh lihat video ini: https://youtu.be/nbt9EvyW_Fk
YouTube
USTAZ ABU ASMA’ YUNUS BIN ZAINAL Fiqh Sunnah Imam Syafie (Siri 5) Tarikh : 24 Rejab 1435H / 24 Mei 2014 (Sabtu) Masa : 8.30 – 11.00 Pagi Tempat : Kg. Melayu …

 


13. Mengusap kedua telinga dengan menggunakan air yang digunakan untuk mengusap kepala dan bolehnya mengambil air yang baru untuk mengusap dua telinga jika diperlukan.

Kebiasaan yang kita lihat, orang akan ambil air yang baharu untuk basahkan telinga setelah diusap kepalanya. Ini memang boleh kerana ada hadith yang Nabi Muhammad ‎ﷺ mengambil air yang baharu untuk mencuci telinga.

✍🏻Dalam Bulughul Maram pada hadith no. 42 tentang tata cara wudhu’ disebutkan hadith berikut,

وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ { رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذُ لِأُذُنَيْهِ مَاءً غَيْرَ الْمَاءِ الَّذِي أَخَذَهُ لِرَأْسِهِ } .أَخْرَجَهُ الْبَيْهَقِيُّ ، وَهُوَ عِنْدَ مُسْلِمٍ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ بِلَفْظِ : { وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ بِمَاءٍ غَيْرِ فَضْلِ يَدَيْهِ } ، وَهُوَ الْمَحْفُوظُ

Dari ‘Abdullah bin Zaid, dia melihat Nabi ﷺ mengambil air untuk kedua telingannya dengan air yang berbeda dengan yang diusap pada kepalanya.
Diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi.

✍🏻Dalam riwayat Muslim disebutkan dengan lafazh, “Nabi ﷺ mengusap kepalanya dengan air yang bukan sisa dari tangannya.” Inilah hadith yang mahfuzh.

Namun, kalau hanya digunakan basahan air selepas sapuan kepala boleh juga. Maknanya, selepas sapu kepala terus sahaja sapu telinga seperti yang ditunjuk di dalam video. Ini adalah kerana telinga dikira sebagai sebahagian dari kepala, maka tidak perlu hendak mengambil air yang baharu.

✍🏻Dalilnya adalah hadith Abu Umamah –walau diperselisihkan ini adalah perkataan Abu Umamah atau langsung sabda Rasulullah ﷺ

الأُذُنَانِ مِنَ الرَّأْسِ

“Dua telinga adalah bahagian dari kepala.”
(Abu Daud no. 134, Tirmizi no. 37 dan Ibnu Majah no. 444. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan).

Syarah:
Apabila ia sudah dikira sebahagian dari kepala, maka sapu sekali harung sahaja.


 

14. Tiada dalil mengusap leher.

✍🏻Ibn Taimiyyah mengatakan tidak ada hadith yang sahih mengatakan Nabi Muhammad ﷺ mengusap lehernya.

✍🏻Ada pun jumhur/kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa mengusap leher dalam wudhu’ bukan merupakan sunnah dalam wudhu’, dan ini merupakan PENDAPAT YANG SAHIH. Bahkan sebahagian ulama’ mazhab Hanafiah menganggap bahawa mengusap leher ini adalah bid’ah.
(Lihat: Syarh Fath Al-Qadir: 1/36).

✍🏻Namun mazhab Malikiah hanya menganggapnya sebagai amalan makruh.
(Lihat: Hasyiah Al-Dasuqi: 1/103, dan Hasyiah Al-Shawi 1/128).

Ada pun yang berpendapat sunatnya mengusap leher, maka mereka berdalil dengan beberapa dalil, antaranya:

✍🏻HR Ahmad dalam Musnadnya (3/418):

قال الإمام أحمد: حدثنا عبدالصمد بن عبدالوارث، قال: حدثني أبي قال: حدثنا ليث، عن طلحة، عن أبيه، عن جده، أنه رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح رأسه حتى بلغ القذال وما يليه من مقدم العنق بمرة.[/arabic-font]

Ertinya: “Imam Ahmad berkata: Abdul-Shamad bin Abdul-Waarits memberitahukan kepada kami, dia berkata: Ayahku memberitahukan padaku, dia berkata: Laits memberitahukan kami, dari Thalhah, dari ayahnya, dari datuknya, bahawa dia melihat Rasulullah ﷺ mengusap kepalanya hingga sampai kebawah lehernya dan bahagian setelahnya, beliau ﷺmemulainya dari atas lehernya sebanyak satu kali usapan”.

Syarah:
Namun hadith ini lemah sanadnya, tidak boleh dijadikan dalil, kerana di dalam sanadnya terdapat rawi bernama Al-Laits bin Abi Sulaim.

Satu lagi hujah yang digunakan oleh mereka yang mengatakan sunat menyapu leher:

✍🏻HR Abu Nu’aim di dalam Tarikh Ashbahan sebagaimana dinukil Ibnu Hajar dalam Talkhis Habir (1/93) dengan sanadnya, dari Ibnu Umar رضي الله عنهما bahawa dia berwudhu’ dan mengusap lehernya, sambil berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

من توضأ ومسح عنقه، لم يغل بالأغلال يوم القيام

Ertinya: “Barang siapa yang berwudhu’ dan mengusap lehernya, maka dia tidak akan dibelenggu dengan rantai (neraka) dihari kiamat kelak”.

Syarah:
Dalam kitab “Al-Badr Al-Munir (1/38) Ibnu Al-Mulaqqin berkata: bahawa hadith ini “gharib (dhoif), dan saya tidak mengetahuinya kecuali dari ucapan Musa bin Thalhah, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Ubaid dalam kitab Gharibnya”.

Ertinya sanad hadith ini salah, yang benar adalah hanya ucapan sebahagian salaf, dan bukan hadith. Bahkan dia juga berkata: “Hadith ini tidak diketahui secara marfu’, namun ia hanyalah ucapan sebahagian salaf, bahkan Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muhadzab dan kitab lainnya: “hadith ini palsu”.

✍🏻Ibnul-Qayim juga berkata: “Tidak ada hadith sahih satu pun dari Nabi ﷺ tentang pengusapan leher ketika wudhu’”. Zaad Al-Ma’aad (1/195).

Kesimpulan:
Tidak ada sapuan pada leher.


 

15. Membasuh kedua kaki sampai ke mata kaki.

Ramai yang tidak menjaga bab membasuh kaki ini kerana mungkin ia jauh di bawah, maka mereka tidak pastikan yang air sampai ke mata kaki mereka.

✍🏻Basuh sampai ke mata kaki itu jelas disebut di dalam Al-Qur’an:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فاغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ بِرُؤُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَينِ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kalian hendak mengerjakan salat, basuhlah wajah-wajah kalian dan tangan-tangan kalian sampai siku. Usaplah kepala-kepala kalian dan cucilah kaki-kaki kalian sampai mata kaki….”
(Al-Maidah: 6)

✍🏻Adapun dalil dari As-Sunnah antara lain dalam hadith Humran, maula (bekas hamba) ‘Utsman bin ‘Affan رضي الله عنهما yang melihat bagaimana cara ‘Utsman mencontohkan wudhu Nabi ﷺ:

ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى إِلىَ الْكَعْبَيْنِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ

“Kemudian ia (‘Utsman) mencuci kakinya yang kanan beserta mata kaki sebanyak tiga kali, lalu mencuci yang kiri dengan cara yang semisalnya.”
(Sahih Bukhari no. 164 dan Muslim no. 226. Lafaz hadith ini menurut lafaz Muslim)

Tahukah ‘mata kaki’ itu apa? Sila lihat gambar di bawah

 


 

16. Mencuci kedua kaki tanpa batas jumlah cucian.

Secara umum, tidak boleh mencuci anggota wudhu’ lebih dari tiga kali. Ini kerana terdapat larangan dalam syarak.

✍🏻Dari Abdullah bin Amr bin ‘Ash رضي الله عنهما, beliau menceritakan,

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُهُ عَنِ الْوُضُوءِ، فَأَرَاهُ الْوُضُوءَ ثَلَاثًا ثَلَاثًا

Ada orang badwi datang menghadap Nabiﷺ bertanya tentang cara wudhu’. Kemudian baginda ﷺ mengajarkan berwudhu’ 3 kali-3 kali.

✍🏻Lalu Nabi ﷺ bersabda,

هَكَذَا الْوُضُوءُ، فَمَنْ زَادَ عَلَى هَذَا فَقَدْ أَسَاءَ وَتَعَدَّى وَظَلَمَ

Seperti ini cara wudhu’ yang benar. Siapa yang melebihi 3 kali bererti dia melakukan kesalahan, melampaui batas, dan bertindak zalim.
(Abu Daud no. 135, Nasai’ no. 140 dan disahihkan Syaikh Syuaib Al-Arnauth).

✍🏻Imam An-Nawawi رحمه الله‎ mengatakan,

وقد أجمع العلماء على كراهة الزيادة على الثلاث والمراد بالثلاث المستوعبة للعضو وأما إذا لم تستوعب العضو إلا بغرفتين فهي غسلة واحدة

Ulama’ sepakat dibencinya mencuci anggota wudhu’ lebih dari 3 kali. Yang dimaksud mencuci 3 kali adalah siraman yang mengenai semua permukaan kulit anggota wudhu’. Namun jika tidak menutupi kecuali dengan 2 kali cedukan tangan maka dihitung sekali cucian.
(Syarh Sahih Muslim, 3/109).

Syarah:
Maknanya, kalau cucur air sekali pada kaki tetapi tidak habis mengenai satu kaki dan dia cucur lagi air lain, itu baru kira sekali sahaja. Kalau terlebih basuh tiga kali, ianya makruh, tetapi tidaklah membatalkan wudhu’ itu.

✍🏻Imam An-Nawawi رحمه الله ‎mengatakan,

إذا زاد علي الثلاث فقد ارتكب المكروه ولا يبطل وضوءه هذا مذهبنا ومذهب العلماء كافة

Jika lebih dari 3 kali, dia telah melanggar yang makruh, namun wudhu’nya tidak batal. Ini adalah mazhab kami, dan mazhab para ulama’ seluruhnya.
(Al-Majmu Syarh Muhadzab, 1/440)

Maka, maksima membasuh anggota wudhu’ hanya tiga kali sahaja kecuali pada bahagian kaki.

✍🏻Ini kerana ada riwayat yang menyebut ada sahabat yang melakukannya:

حَدَّثَنَا مُؤَمَّلُ بْنُ الْفَضْلِ الْحَرَّانِيُّ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَزْهَرِ الْمُغِيرَةُ بْنُ فَرْوَةَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِ مَالِكٍ
أَنَّ مُعَاوِيَةَ تَوَضَّأَ لِلنَّاسِ كَمَا رَأَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ فَلَمَّا بَلَغَ رَأْسَهُ غَرَفَ غَرْفَةً مِنْ مَاءٍ فَتَلَقَّاهَا بِشِمَالِهِ حَتَّى وَضَعَهَا عَلَى وَسَطِ رَأْسِهِ حَتَّى قَطَرَ الْمَاءُ أَوْ كَادَ يَقْطُرُ ثُمَّ مَسَحَ مِنْ مُقَدَّمِهِ إِلَى مُؤَخَّرِهِ وَمِنْ مُؤَخَّرِهِ إِلَى مُقَدَّمِهِ
حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ خَالِدٍ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ قَالَ فَتَوَضَّأَ ثَلَاثًا ثَلَاثًا وَغَسَلَ رِجْلَيْهِ بِغَيْرِ عَدَدٍ

Telah menceritakan kepada kami Mu`ammal bin Al-Fadl Al Harrani telah menceritakan kepada kami Al-Walid bin Muslim telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Al-‘Ala telah menceritakan kepada kami Abu Al-Azhar Al-Mughirah bin Farwah dan Yazid bin Abu Malik bahawasanya Mu’awiyah pernah berwudhu’ di depan orang-orang sebagaimana dia melihat Rasulullah ﷺ berwudhu’. Tatkala dia sampai pada gerakan mengusap kepala, dia mengambil seceduk air, lalu mengambilnya dengan tangan kirinya hingga menyiramkannya pada bahagian tengah kepalanya, sampai air itu mengalir atau hampir saja mengalir. Kemudian dia mengusap kepala dari bahagian depannya sampai bahagian belakangnya, dan dari bahagian belakangnya sampai bahagian depannya. Telah menceritakan kepada kami Mahmud bin Khalid telah menceritakan kepada kami Al-Walid dengan sanad ini, dia berkata; Dia berwudhu’ tiga kali- tiga kali, dan membasuh kakinya tanpa hitungan.
Riwayat Abu Daud, No 124. Sahih.


 

17. Menyela-nyela jari kaki.

✍🏻Disunnahkan untuk menyela-nyela jari-jemari ketika mencuci berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

عن لقيط بن صبرة قَالَ: فَقُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَخْبِرْنيِ عَنِ اْلوُضُوْءِ! قَالَ: أَسْبِغِ اْلوُضُوْءَ وَ خَلِّلْ بَيْنَ اْلأَصَابِعِ وَ بَالِغْ فىِ اْلاِسْتِنْشَاقِ إِلاَّ أَنْ تَكُوْنَ صَائِمًا

Dari Luqaith bin Shabrah رضي الله عنه berkata, aku bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ khabarkan kepadaku tentang wudhu!”. Beliau ﷺ menjawab, “Sempurnakan wudhu’, sela-selalah jari jemarimu dan bersungguh-sungguhlah di dalam istinsyaq kecuali jika kamu sedang berpuasa”.
[An-Nasa’iy: I/ 66, Abu Dawud no. 142, Ibnu Majah no. 407, Ibnu Khuzaimah no.150, 168, Al-Hakim: 537 dan Ahmad: IV/ 33. Berkata Syaikh Al-Albani: Sahih]

✍🏻Malah ada perincian lagi cara untuk menyela jari-jari kaki itu:

عن المستورد بن شداد الفهري قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم إِذَا تَوَضَّأَ دَلَكَ أَصَابِعَ رِجْلَيْهِ بِخِنْصِرِهِ

Dari Al-Mustaurid bin Syaddad Al-Fahriy berkata, “Aku pernah melihat Nabi ﷺ apabila berwudhu’ Beliau menggosok-gosok jari jemari kakinya dengan jari kelingkingnya”.
[At-Turmudzi no. 40, Ibnu Majah no. 446 dan Abu Dawud no. 148. Berkata Syaikh Al-Albani: Sahih].

Dianjurkan kita menyela-nyela jari kaki kerana jari kaki kita rapat-rapat, jadi kalau tidak disela-sela, maka ada kemungkinan air tidak sampai ke celah-celah jari. Maka, kenalah buat dan jangan ditinggalkan.

Malangnya, saya jarang melihat masyarakat Melayu melakukan perkara ini. Tidak pasti sama ada dia malas atau tidak mampu melakukannya, atau mungkin tidak tahu anjuran melakukannya.

Bagi yang kesulitan di dalamnya, misalnya kerana sudah tua, badan gemuk sehingga agak susah membongkok atau perempuan yang sedang hamil atau selainnya maka hendaklah dia tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melakukannya. Namun jika ternyata ia tetap kesulitan di dalam melakukannya,

✍🏻Maka Allah ﷻ telah berfirman,
لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
[Al-Baqarah: 286].

Bagaimanakah caranya? Boleh lihat sini: https://youtu.be/I2P2jGEcHj0?t=1m14s
YouTube
Tata Cara wudhu yang benar yang sesuai petunjuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Semoga dengan pembahasan ini pula dapat meluruskan kesalahan-kesala…

 


18. Ancaman terhadap orang yang tidak sempurna mencuci kedua kakinya.

Ada juga yang saya lihat meringankan bab membasuh kaki sampaikan tidak kena keseluruhan kakinya. Antaranya tumit tidak kena. Mungkin kerana ia di belakang dan orang tidak nampak sama ada kena air atau tidak. Ini tidak patut dan Rasulullah ﷺ amat menekankan perkara ini.

✍🏻Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما berkata,
“Rasulullah ﷺ tertinggal dari kami dalam sebuah safar (perjalanan). Kemudian beliau dapat menyusul kami dan ketika itu kami berada di akhir waktu solat Asar. Maka kami pun bersegera untuk berwudhu’ dan mengusap kaki-kaki kami. Melihat hal tersebut beliau ﷺ bersabda dengan suara yang keras:

وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

“Celakalah tumit-tumit itu dari api neraka.” Beliau mengulangi ucapan ini dua atau tiga kali.
(Sahih, Bukhari no. 60, 96, 163, dan Muslim no. 241)

Syarah:
Riwayat menyebut baginda sebenarnya menjerit dengan muka yang merah dan diulang sampai tiga kali. Itu isyarat bahawa ia sangat berat.

✍🏻Dalam hadith yang menerangkan orang yang wudhu’nya kurang sempurna disebutkan,

عَنْ جَابِرٍ أَخْبَرَنِى عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ ». فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Dari Jabir, ‘Umar bin Al Khattab mengkhabarkan bahawa ada seseorang yang berwudhu’ dan ada bahagian kuku kakinya tidak terbasuh, kemudian Nabi ﷺ melihatnya dan berkata, “Ulangilah, perbaguslah wudhu’mu.” Lantas dia pun mengulangi dan kembali solat.
[Muslim no. 243].

Jangan kita jadi Syi’ah pula. Kewajiban Syi’ah ketika berwudhu’, mereka hanya boleh mengusap kaki, tidak boleh dicuci. Mengusap bererti tangan cukup dibasahi lalu mengusap anggota wudhu’ yang ada seperti saat mengusap kepala. Sedangkan mencuci bererti dengan mengalirkan air.

Inilah salah satu penyimpangan kaum Rafidhah (baca: Syi’ah). Jadi kalau hendak kenal Syi’ah, tengok cara mereka mengambil wudhu’ semasa membasuh kaki.


 

19. Memercikkan air setelah berwudhu’

Sunnah Nabi Muhammad ﷺ setelah berwudhu’ adalah memercikkan air pada bahagian kemaluan baginda ﷺ (jubah, seluar atau kain pelikat).

✍🏻Dalilnya:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، – هُوَ الثَّوْرِيُّ – عَنْ مَنْصُورٍ، عَنْ مُجَاهِدٍ، عَنْ سُفْيَانَ بْنِ الْحَكَمِ الثَّقَفِيِّ، أَوِ الْحَكَمِ بْنِ سُفْيَانَ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا بَالَ يَتَوَضَّأُ وَيَنْتَضِحُ ‏.‏ قَالَ أَبُو دَاوُدَ وَافَقَ سُفْيَانَ جَمَاعَةٌ عَلَى هَذَا الإِسْنَادِ وَقَالَ بَعْضُهُمُ الْحَكَمُ أَوِ ابْنُ الْحَكَمِ ‏.‏

Melalui sanad-nya dari Suryan bin Al-Hakam Ats-Tsaqafi atau Al-Hakam bin Sufyan dia berkata, “Bahawasanya Nabi ﷺ jika buang air kecil baginda ﷺ berwudhu’ dan memercikkan air”.
[Abu Dawud no. 166, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sunan Abu Dawud].

Ini sebenarnya adalah terapi dari Rasulullah ﷺ untuk menghilangkan was-was. Ini kerana orang yang ada penyakit was-was, dia akan selalu memeriksa bahagian kemaluan dia, takut ada air kencing yang meleleh keluar. Walhal tidak ada pun, cuma perasaan dia sahaja. Maka dianjurkan oleh Nabi ﷺ untuk memercikkan air ke bahagian kemaluan.

✍🏻Syaikh Abu Muhammad Al-Maqdisi dalam kitabnya Dzammul Was-Was, berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang agar memercikkan air pada kelamin dan celananya ketika dia kencing. Hal itu untuk menghindarkan was-was daripadanya, sehingga ketika dia nampak tempat basah (dari kainnya) dia akan berkata, ‘Ini dari air yang aku percikkan tadi.”


 

20. Wajibnya membasuh seluruh bahagian anggota wudhu’ secara merata.

Kita kena pastikan air sampai ke seluruh anggota wudhu’ itu. Sekali lagi diulangi di dalam hadith yang menerangkan orang yang wudhu’nya kurang sempurna disebutkan.

✍🏻Dalilnya:

عَنْ جَابِرٍ أَخْبَرَنِى عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ ». فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Dari Jabir, ‘Umar bin Al Khattab mengabarkan bahawa ada seseorang yang berwudhu’ dan ada bahagian kuku kakinya tidak terbasuh, kemudian Nabi ﷺ melihatnya dan berkata, “Ulangilah, perbaguslah wudhu’mu.” Lantas dia pun mengulangi dan kembali solat.
[Muslim no. 243].

Maka kerana itu dianjurkan supaya kita jamah anggota wudhu’ kita di dalam berwudhu’ untuk memastikan air sampai ke semua bahagian tubuh. Tambahan pula kalau kita jamah dan gosok-gosok bahagian anggota wudhu’ itu akan terasa kalau ada benda-benda yang menghalang air dari sampai ke anggota wudhu’.

Sebagai contoh, entah terpijak nasi di atas lantai dan melekat di kaki. Maka kalau kita jamah dan gosok, maka kita akan dapat rasa. Kalau kita cucur sahaja air, mungkin kita tidak perasan.


21. Hal-hal yang mewajibkan seseorang mengulangi wudhu’nya.

Kita telah bincangkan perkara-perkara yang membatalkan wudu’ dan boleh rujuk nota lepas di https://fiqhpraktis.wordpress.com/2018/09/14/pembatal-pembatal-wudhu/


22. Memulai dari sebelah kanan dalam wudhu’.

Tidaklah ada dalil khusus wudhu’ Nabi ﷺ menyuruh dimulakan dengan bahagian kanan. Namun dari dalil umum yang ada di mana Nabi ﷺ sentiasa memulakan semua perkara yang baik dari sebelah kanan.

✍🏻Kalau diperhatikan cara wudhu’ Rasulullah ﷺ, baginda memulakan dari sebelah kanan:

Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما menceritakan; “Rasulullahﷺ mengambil wudhu’ di mana bagindaﷺ mencebuk satu cebukan dengan tangan lalu berkumur dan berstinsyaq (yakni membasuh hidung), kemudian baginda ﷺ mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh muka, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kanannya (hingga ke siku), kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kirinya (hingga ke siku), kemudian bagindaﷺ menyapu kepalanya dan dua telinganya; telinga dalam dengan kedua jari telunjuknya dan telinga luar dengan dua ibu jarinya, kemudian baginda ﷺ mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kanannya, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kirinya”.
(Riwayat Imam An-Nasai dan At-Tirmizi. Menurut Imam At-Tirmizi; hadith ini hasan sahih)

Maka mulakanlah semua perkara yang baik dari kanan.

✍🏻Dari Aisyah رضي الله عنها menceritakan; “Rasulullah ﷺ menyukai bermula dengan sebelah kanan dalam semua urusannya; ketika memakai dua kasut atau sepatu, menyisir rambut dan bersuci”.
(Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Malah dalam memandikan jenazah, dimulakan membasuh dari bahagian kanan.

✍🏻Diriwayatkan hadith dari Hafsah bt Sirin hadith dari Ummi ‘Atiyah رضي الله عنها berkata telah bersabda Rasulallah ﷺ di dalam urusan memandikan jenazah anak perempuannya, (dimulakan) dari sebelah kanan jenazah, dan menyapu air ke anggota wudhu’nya.
[Hadith Bukhari, Kitab Jenazah]


23. Menyempurnakan wudhu’ ketika sulit.

Mungkin ada yang rasa sulit untuk mengambil wudhu’, terutama kalau keadaan sejuk, atau air tidak banyak, air kena cari jauh dan sebagainya. Keutamaan yang besar jika kita mampu menyempurnakan wudhu’ di kala sulit. Ini termasuk amalan yang dapat menghapus dosa dan meninggikan darjat.

Maka, tidak sama kalau mengambil wudhu’ dalam keadaan biasa dan dalam keadaan yang susah. Pahala bertambah kalau ianya susah, tetapi kita buat juga.

✍🏻Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

«أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللهُ بِهِ الْخَطَايَا، وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ؟» قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: «إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ، وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ، وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ، فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ»

“Mahukah kalian aku tunjukkan kepada suatu amal yang dapat menghapus kesalahan (dosa) dan meninggikan derajat?” Para sahabat menjawab,”Ya, wahai Rasulullah.” Rasulullah ﷺ bersabda,”(iaitu) menyempurnakan wudhu’ dalam keadaan sulit, banyaknya langkah menuju masjid, menunggu salat setelah mendirikan salat. Itulah kebaikan (yang banyak).”
(Muslim no. 251)

Syarah:
Dimaksudkan dengan menyempurnakan wudhu’ itu adalah mengambil wudhu’ dengan baik dan ratakan keseluruhan anggota wudhu’. Namun perlu diingatkan, bukanlah kita sengaja mahu menyusahkan diri kita.

Ada air suam tetapi sengaja mahu menggunakan air sejuk pula. Ini kebodohan yang dilakukan oleh golongan rahib dan tarekat yang sengaja menyusahkan diri mereka.Islam tidak suruh buat begitu. Ingatlah konsep asas dalam agama:

✍🏻Rasulullah ﷺ bersabda,

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ

“Sesungguhnya agama itu mudah.”
[Bukhari no. 39]

Syarah:
Janganlah kita sengaja mempersulitkan perkara yang mudah. Jangan ghuluw (berlebihan) dalam agama.


24. Tidak mengikut tertib dalam berwudhu’, tidak merosakkan wudhu’.

Ulama’ khilaf sama ada tertib wudhu’ perlu diikuti dari muka kemudian tangan, atau boleh sahaja hendak membasuh kaki dahulu.

✍🏻Mazhab Hanafi dan Maliki: Ia hanya sunat sahaja.
Mazhab Syafie dan Ahmad: Ia wajib.

✍🏻Perbezaan pendapat ini adalah kerana khilaf dalam melihat dalil yang ada. Mari kita lihat Maidah:6 (dalil utama tentang wudhu’)

{يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ}

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki”

Kalau kita lihat ayat ini, seolah-olah sudah ada tertib di situ, bukan? Maknanya muka, kemudian tangan, kemudian kepala, kemudian kaki tetapi para ulama’ yang mengatakan tertib bukan wajib, mengatakan huruf ‘و’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud turutan.

Lihat kalimah وُجُوهَكُمْ, وُجُوهَكُمْ, وَامْسَحُوا. Kalau turutan yang dikehendaki, maka huruf ’ف ’ atau ثم yang digunakan.

✍🏻Imam Bukhari رحمه الله juga memberi isyarat yang tertib tidak wajib dalam berwudhu’ kerana beliau menyusun tajuk pembasuhan kaki sebelum berkumur. Ini adalah isyarat kepada pendapat beliau.

✍🏻Dari segi hadith, banyak hadith menyebut Nabi ﷺ berwudhu’ mengikut tertib, tetapi ada juga hadith yang baginda tidak mengikut tertib:

Dibawakan kepada Rasulullah ﷺ air untuk berwudhu’, maka baginda ﷺ berwudhu’lah: membasuh kedua telapak tangannya tiga kali, kemudian membasuh wajahnya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya tiga kali-tiga kali, kemudian berkumur dan istinsyaq tiga kali, dan membasuh kepala serta telinga bahagian luar dan dalamnya dan membasuh kedua kakinya tiga kali-tiga kali.
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, dan Asy-Syaukani. Dia berkata: sanadnya sahih. Sanadnya dihasankan oleh Imam An-Nawawi dan Al- Hafizh Ibnu Hajar.

Syarah:
Boleh baca bagaimana Rasulullah ﷺ berkumur setelah basuh kedua tangan baginda ﷺ. Cuma bukanlah saya anjurkan mengubah tertib. Banyak lagi ulama’ mengatakan tertib adalah wajib. Maka, kita teruskan mengikut tertib. Cuma kalau tertinggal tertib, maka boleh sahaja berpatah balik dan membasuh bahagian tertinggal. Tidak perlu di ulang dari mula.


25. Larangan berlebihan dalam berwudhu’.

Jangan menambah apa-apa ajaran lain dalam ibadah wudhu’ kecuali apa yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Tatacara wudhu’ telah jelas dan tidak perlu ditambah-tambah lagi. Selain itu jangan berlebih-lebihan dalam menggunakan air. Pasang air pili perlahan sahaja, tidak perlu membuak-buak buang air.

✍🏻Di dalam Musnad dan Sunan dari hadith ‘Amr bin Syu‘aib, dari bapanya, dari datuknya, dia berkata, “Datang seorang badwi kepada Nabi ﷺ, bertanya kepada baginda ﷺ tentang wudhu’, maka Nabi ﷺmenunjukkan contohnya dengan tiga kali-tiga kali, kemudian bersabda, “Inilah wudhu’, maka barang siapa menambahnya maka dia telah berbuat keliru, melampaui batas dan berbuat zalim.”
[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Dawud dan An-Nasa-i رحمكم الله]

✍🏻Rasulullah ﷺ bersabda: “Satu mudd itu cukup untuk berwudhu’, sedangkan untuk mandi itu satu shaa’, dan akan datang sebuah kaum yang menganggap sedikit (ukuran) itu, maka mereka itu menyelisihi Sunnahku, sedangkan yang memegangi sunnahku akan berada di Jannah Hadziiratul Qudus, yang menjadi tempat hiburannya penghuni Jannah.
[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Dawud dan An-Nasa-i رحمكم الله]

Syarah:
Satu mudd itu adalah takungan dua tapak tangan sahaja. Ada yang jadikan dalam bentuk matrik, jadi satu mudd adalah dalam 0.6 liter. Lebih kurang sama sahaja dengan satu botol air mineral sekarang. Bagi satu sha’ adalah 4 mudd. Jadi satu sha’ adalah dalam lingkungan 2.7 liter air.

Maka, jangan gunakan banyak air. Memang negara kita banyak air, tetapi janganlah membazir. Pasang air kecil sahaja bila mengambil wudhu’. Ngeri saya, apabila melihat orang membuka pili air masa mengambil wudhu’.


26. Menuangkan air wudhu’ untuk orang lain.

Mengambil wudhu’ adalah satu ibadah. Persoalannya bolehkah kita membantu orang lain dalam ibadah? Bergantung, tengok pada ibadah apa. Kalau salat, tidaklah boleh tolong salat untuk orang lain pula.

✍🏻Namun, dalam wudhu’ kita boleh menolong orang lain untuk berwudhu’ seperti yang dilakukan oleh sahabat:

‎حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ عَنْ يَحْيَى عَنْ مُوسَى بْنِ عُقْبَةَ عَنْ كُرَيْبٍ مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ
‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا أَفَاضَ مِنْ عَرَفةَ عَدَلَ إِلَى الشِّعْبِ فَقَضَى حَاجَتَهُ قَالَ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ فَجَعَلْتُ أَصُبُّ عَلَيْهِ وَيَتَوَضَّأُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتُصَلِّي فَقَالَ الْمُصَلَّى أَمَامَكَ

Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Salam berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Yazid bin Harun dari Yahya dari Musa bin ‘Uqbah dari Kuraib mantan budak Ibnu ‘Abbas, dari Usamah bin Zaid, bahawa ketika Rasulullah ﷺ bertolak meninggalkan ‘Arafah beliau ﷺ menuju suatu lembah dan menunaikan hajatnya.” Usamah bin Zaid berkata, “Aku lalu menuangkan air untuknya berwudhu’. Aku lalu berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, apakah engkau akan salat?” Beliau ﷺ menjawab: “Tempat salat nanti akan di depanmu.”
[Sahih Bukhari]


 

27. Takhfif (meringankan) dalam wudhu’.

Apakah maksud meringankan wudhu’? Mari kita lihat dalilnya dan kita bincangkan selepas itu:

✍🏻Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawasanya Nabi ﷺ tidur hingga berdengkur, kemudian beliau ﷺ salat dan barangkali ia mengatakan, “Baginda ﷺ berbaring hingga berdengkur kemudian bangun lalu salat” (Ali bin Abdullah berkata), “Setelah itu Sufyan menceritakan kejadian ini kepada kami berkali-kali. Cerita itu beliau riwayatkan dari Amru dari Kuraib dari Ibnu Abbas, bahawasanya beliau berkata, ‘Pada suatu malam aku pernah menginap di rumah bibiku yang bernama Maimunah, Nabi ﷺ berdiri (bangun) di malam itu, maka ketika pada sebahagian malam Nabi ﷺberdiri (bangun) lalu berwudhu’ dari suatu bejana yang tergantung dengan wudhu’ yang ringan -Amru menggambarkan betapa ringan dan sedikitnya wudhu’ tersebut- setelah itu baginda ﷺ berdiri untuk salat. Aku pun berwudhu’ sebagaimana wudhu’ baginda ﷺ , kemudian aku menghampirinya dan berdiri di sebelah kirinya. Lalu Nabi ﷺ memindahkanku dan menempatkanku di sebelah kanannya. Nabi ﷺ salat sebagaimana yang dikehendaki Allah ﷻ, setelah itu baginda ﷺ tidur hingga berdengkur. Akhirnya datanglah kepadanya juru azan untuk memberitahu kepadanya (waktu) salat (telah masuk). Maka Nabi ﷺ pergi bersama orang itu lalu salat tanpa berwudhu’ lagi.’ Kami bertanya kepada Amru, ‘Sesungguhnya manusia mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ tidur matanya tetapi tidak tidur hatinya.’ Amru berkata, ‘Aku mendengar Ubaid bin Umair berkata, bahawa mimpi para Nabi adalah wahyu.’ Kemudian beliau membaca, ‘Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu.
(As-Safaat 102) [HR Bukhari]

Syarah:
Apakah maksud ‘meringankan wudhu’ dalam hadith ini? Ada beberapa pendapat yang diberikan:

1. Tidak banyak menggosok anggota wudhu’. Gosok juga tetapi gosok sedikit sahaja atau
2. Tidak basuh lebih dari sekali.

:round_pushpin:Dalam hadith ini, Rasulullah ﷺ meringankan wudhu’ baginda ﷺ kerana sebenarnya baginda ﷺ tidak berhadas. Jadi baginda ﷺ hanya memperbaharui wudhu’ sahaja walaupun tidak perlu. Ini kerana walaupun baginda ﷺ tidur, tetapi ‘tidur para Nabi’ tidaklah membatalkan wudhu’ kerana hati mereka tidak tidur.

Tidak sama dengan kita. Kalau kita tidur sahaja, maka perlu berwudhu’. Maka, sekiranya kita masih lagi ada wudhu’ tetapi kerana hendak salat, mungkin kita memperbaharui wudhu’ kita. Maka dalam keadaan begitu, kita boleh sahaja mengambil wudhu’ dengan cara yang ‘ringan’.


28. Menggunakan sisa wudhu’ orang lain.

Perbincangan ini ada berkenaan air musta’mal yang kita telah pernah bincangkan sebelum ini. Kita telah nyatakan yang air musta’mal adalah suci lagi menyucikan.

https://fiqhpraktis.wordpress.com/2018/08/19/air-suci-lagi-menyucikan/

Maka, sekiranya ada orang telah menggunakan air di dalam baldi untuk wudhu’ dan ada lebihan air, kita yang datang kemudian boleh juga menggunakan air itu untuk mengambil wudhu’. Air bukanlah hanya boleh digunakan sekali sahaja.

✍🏻Dalam Al-Qur’an, Allah ﷻmengatakan bahawa Dia telah menurunkan ‘air yang suci’.

Furqan:48 وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

Dan Dia lah yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,

Perkataan طَهُورًا air yang bersih suci itu adalah air yang boleh menyucikan ‘berkali-kali’ dari segi lafaz bahasanya. Bukan hanya sekali guna sahaja. Maka, dari ayat ini, kita boleh guna air yang sama untuk digunakan berkali-kali. Bukan sekali sahaja.

✍🏻Imam Bukhari رحمه الله‎ memberikan dalil bahawa air sisa lebihan boleh digunakan:

حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا جُحَيْفَةَ يَقُولُ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْهَاجِرَةِ فَأُتِيَ بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ فَجَعَلَ النَّاسُ يَأْخُذُونَ مِنْ فَضْلِ وَضُوئِهِ فَيَتَمَسَّحُونَ بِهِ فَصَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ وَالْعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ وَبَيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةٌ
وَقَالَ أَبُو مُوسَى دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَدَحٍ فِيهِ مَاءٌ فَغَسَلَ يَدَيْهِ وَوَجْهَهُ فِيهِ وَمَجَّ فِيهِ ثُمَّ قَالَ لَهُمَا اشْرَبَا مِنْهُ وَأَفْرِغَا عَلَى وُجُوهِكُمَا وَنُحُورِكُمَا

Telah menceritakan kepada kami Adam berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al-Hakam berkata, aku pernah mendengar Abu Juhaifah berkata, “Rasulullah ﷺ pernah keluar mendatangi kami di waktu tengah hari yang panas. Baginda ﷺ lalu diberi air wudhu’ hingga baginda ﷺ pun berwudhu’, selepas itu sahabat-sahabat mula mengambil sisa air wudhu’ baginda seraya menyapukan ke tubuh mereka. Kemudian Nabi ﷺ salat zuhur dua rakaat dan ‘Asar dua rakaat sedang di hadapannya diletakkan tombak kecil.” Abu Musa berkata, “Nabi ﷺ meminta satu mangkuk berisi air, baginda ﷺ lalu membasuh kedua tangan dan mukanya di dalam mangkuk itu, lalu menyembur air ke dalam mangkuk tersebut seraya bersabda kepada keduanya (Abu Musa dan Bilal): “Minumlah darinya dan tuangkan pada wajah dan leher kalian berdua.”

Syarah:
Sekiranya air itu tidak suci, tentu Nabi ﷺ tidak gunakan untuk memberi orang minum, berubat dan sebagainya. Kalau ada yang kata hadith di atas adalah kisah para sahabat mengambil berkat sahaja, tentulah mengambil berkat dengan air yang suci lagi menyucikan juga.

Jika ada yang berkata ini hanya khusus untuk Nabi ﷺ sahaja juga tidak boleh. Ini kerana jika Nabi ﷺ buat, tentunya kita boleh buat kecualilah, jika Nabi ﷺ mengatakan khusus untuk dia sahaja. Namun, tidak pula dikatakan begitu.


 

29. Beberapa keterangan bagi seorang yang berwudhu’.

a. Berkata-kata ketika mengambil wudhu’ dibolehkan kerana tidak ada larangan.

b. Doa-doa yang diajar semasa membasuh anggota wudhu’ adalah batil kerana tidak ada dalilnya.

c. Jika ragu dengan jumlah basuhan, maka ambil bilangan yang dia yakini.

d. Apa-apa sahaja bahan yang menghalang air kena pada anggota wudhu’, maka itu membatalkan wudhu’. Maka, kerana itu kena gosok supaya boleh rasa apa-apa bahan yang menghalang air. Tetapi kalau setakat warna sahaja seperti warna inai, dakwat, itu tidaklah menghalang air.

e. Sekiranya keluar darah istihadhah, orang yang kencing tidak lawas, atau yang sentiasa kentut, maka mereka berwudhu’ setiap kali hendak salat.

f. Boleh meminta bantuan orang lain untuk tolong dalam berwudhu’. Tukang tuang air atau tukang “spray”.

g. Boleh mengeringkan anggota wudhu’ selepas mengambil wudhu’.


30. Ringkasan praktis wudhu’.

a. Niat.

b. Siwak atau gosok gigi

c. Cuci tangan dan sela-sela pada jari. Pastikan semua bahagian kena air.

d. Berkumur dan masukkan air ke dalam hidung. Bersungguh dalam melakukannya.

e. Basuh wajah.

f. Menyela-nyela janggut.

g. Membasuh tangan hingga ke siku.

h. Mengusap kepala dari depan ke belakang.

i. Mengusap telinga dalam dan luar.

j. Mencuci kaki sampai ke mata kaki sambil menyela-nyela jari kaki.


31. Doa setelah wudhu’

✍🏻Dari Umar bin Khaththab رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا

“Tidaklah salah seorang di antara kalian berwudhu’ dan menyempurnakan wudhu’nya, kemudian mengucapkan, ‘Asyhadu an laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluhu’ [Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah semata, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah.] kecuali Allah akan bukakan untuknya lapan pintu langit yang boleh dia masuki dari pintu mana sahaja.”
[HR. Muslim no. 234; Abu Dawud no. 169; At-Tirmizi no. 55; An-Nasa’i 1/95 dan Ibnu Majah no. 470]

✍🏻Di dalam riwayat At-Tirmizi ada tambahan doa,

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ المُتَطَهِّرِينَ

“Allahummaj ‘alni minat tawwabiina waj’alnii minal mutathohhiriin [Ya Allah jadikanlah aku termasuk hamba-hambaMu yang rajin bertaubat dan menyucikan diri].”
[Dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani رحمه الله‎dalam Shahihul Jami’ hadith no. 6046]

✍🏻Ada pun tambahan doa,
واجعلني من عبادك الصالحين من الذين لا خوف عليهم ولا هم يحزنون

“Waj’alni min ‘ibaadika ash-shalihin minalladziina laa khoufun ‘alaihim walaa hum yahzanuun [Jadikanlah aku termasuk hamba-Mu yang soleh, (iaitu) hamba-hamba-Mu yang tidak ada rasa takut dalam diri mereka dan tidak pula bersedih hati.]”

:round_pushpin:Maka, tambahan doa dengan lafaz seperti ini tidak ada asalnya dari Nabi ﷺ, sehingga tidak boleh diamalkan.

✍🏻Syaikh Abu Usamah Salim bin ‘Ied Al-Hilali حفظه الله mengatakan,”Sebahagian orang menambahkan, ‘Waj’alni min ‘ibaadika ash-shalihin‘. Tambahan ini tidak ada asalnya sebagaimana yang aku jelaskan di dalam kitabku, ‘Silsilah Al-Ahaadits Allati Laa Ashla Laha’.” سلسلة الأحاديث اللتي لا أصل لها (Rangkaian hadith-hadith yang tidak ada asalnya)

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian soalan berkaitan bab ini.
Atau sambung ke perbincangan seterusnya, mengusap khuf.