X. Berlindung dari 4 Perkara Sebelum Berdoa

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

X. Berlindung dari 4 perkara sebelum berdoa

1⃣. Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda,

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Jika salah seorang di antara kalian selesai membaca tasyahhud akhir (sebelum salam), mintalah perlindungan kepada Allah dari empat perkara: (1) siksa neraka jahannam, (2) siksa kubur, (3) fitnah ketika hidup dan mati, (4) keburukan al-Masih ad-Dajjal.” (HR. Muslim no. 588).

2⃣. Do’a yang diajarkan oleh Nabi ﷺ disebutkan dalam riwayat lain,

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَشَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Allahumma inni a’udzu bika min ‘adzabil qobri, wa ‘adzabin naar, wa fitnatil mahyaa wal mamaat, wa syarri fitnatil masihid dajjal [Ya Allah, aku meminta perlindungan kepada-Mu dari siksa kubur, siksa neraka, fitnah ketika hidup dan mati, dan keburukan al-Masih ad-Dajjal].” (HR. Muslim no. 588)

Ada baiknya kalau kita sentuh sikit doa ini kerana mungkin lebih bermakna kalau kita tahu syarahnya. Kalau kita baca doa dan kita faham apa yang kita minta, maka ini lebih bermakna.

1. Azab kubur itu benar. Maka kita minta berlindung dari azab di alam barzakh. Azab kubur adalah muqaddimah kepada azab di akhirat. Maka kita minta diselamatkan dari azab ini.

2. Kalau selamat dari azab kubur pun belum tentu selamat dari azab di neraka. Maka minta sangat supaya diselamatkan dari azab neraka.

3. Fitnah dunia bermaksud ujian dunia. Ini mungkin kita kehairanan. Kerana memang dunia ini tempat ujian dan kita sentiasa sahaja kena ujian. Malah para Nabi dan Rasul pun kena ujian juga, bukan? Maka doa kita ini bukan minta tiada ujian langsung, tapi biarlah ujian itu tidak berat sangat sampai menyebabkan kita terpesong dari agama. Kerana ada orang yang terpesong agamanya kerana teruk sangat ujian itu.

4. Fitnah ketika mati juga adalah ujian ketika mati. Syaitan akan mengambil peluang hujung hayat kita untuk menyesatkan kita. Mereka akan datang dalam berbagai bentuk. Dalam doa yang lain Nabi Muhammad ﷺ pernah berdoa:

وَأَعُوذُ بِكَ أَن يَتَخَبَّطَنِي الشَّيطَانُ عِندَ المَوتِ

Aku berlindung kepada-Mu agar tidak disesatkan syaitan ketika kematian. (HR. Ahmad 8667, Abu Daud 1554 dan disahihkan al-Albani)

Maka memang syaitan akan ambil kesempatan itu. Berbagai pendapat diberikan cara iblis hendak menyesatkan manusia ketika sakaratul maut itu: datang dengan bentuk harta seperti emas dan makanan; datang dalam bentuk binatang yang menakutkan; dalam bentuk binatang yang dia minat seperti burung atau kucing; datang sebagai musuh orang itu; dalam bentuk ahli keluarga yang mengajaknya supaya jadi kufur; datang dalam bentuk ulama’ atau guru. Allahu a’lam.

Ada beberapa kejadian yang dialami para ulama’, ketika proses kematiannya, syaitan berusaha untuk menggodanya. Diantaranya Imam Ahmad bin Hambal رحمه الله.

Diceritakan oleh Abdullah putra Imam Ahmad رحمه الله, Aku menghadiri proses meninggalnya bapaku, Ahmad. Aku membawa selembar kain untuk mengikat janggut beliau. Beliau kadang pengsan dan sedar kembali. Lalu beliau berisyarat dengan tangannya, sambil berkata, “Tidak, menjauh…. Tidak, menjauh…” beliau lakukan hal itu berulang kali.

Maka aku tanyakan ke beliau, “Wahai ayahanda, apa yang Anda lihat? Beliau menjawab,

إن الشيطان قائم بحذائي عاض على أنامله يقول: يا أحمد فُتَّنِي، وَأَنـاَ أَقُولُ: لَا بُعْدٌ لَا بُعْدٌ

“Sesungguhnya syaitan berdiri di sampingku sambil menggigit jarinya, dia mengatakan, ‘Wahai Ahmad, aku kehilangan dirimu (tidak sanggup menyesatkanmu). Aku katakan: “Tidak, masih jauh…. Tidak, masih jauh….” (Tadzkirah Al-Qurthubi, Hal. 186)

Maksud cerita ini, syaitan hendak menyesatkan Imam Ahmad رحمه الله dengan cara memuji Imam Ahmad رحمه الله. Syaitan mengaku menyerah di hadapan Imam Ahmad رحمه الله, agar beliau menjadi ujub terhadap diri sendiri dan bangga terhadap kehebatannya. Tapi beliau sedar, ini adalah tipuan. Beliau tolak dengan tegas: “Tidak, saya masih jauh, tidak seperti yang kamu sampaikan….” Kalau tokoh agama pun kena uji, apatah lagi kita? Amat menakutkan sekali. Semoga kita terselamat.

5. Semua Nabi setiap umat mengingatkan umat mereka kepada bahayanya Dajjal. Cuma Dajjal besar belum lagi sampai. Namun bagaimana dengan Dajjal Kecil? Ini juga kita minta diselamatkan dalam doa ini. Apakah pula Dajjal Kecil itu?

Salah satu cara Dajjal Besar menyesatkan manusia adalah menampakkan yang benar sebagai salah dan yang salah sebagai benar. Dia akan tunjuk api yang sebenarnya jalan ke syurga dan dia tunjuk air yang sebenarnya jalan ke neraka. Ramai yang tertipu.

Maka di dunia ini juga ada Talbis Iblis yang menipu manusia dengan mencantikkan amalan yang batil kepada kita. Amalan-amalan itu adalah amalan bid’ah tetapi dinampakkan cantik oleh Iblis dan syaitan dan ramai yang termakan dengan penipuan ini. Maka kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk pelihara kita daripada tertipu dengan Dajjal Kecil ini.

Allahu a’lam. Sambung ke tajuk seterusnya.


 

🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-74☘️JUMAAT 26/04/19

1. Adakah qasar ini sunnah ataupun tamam lebih sunnah semasa Safar?

🔵 Qasar itu sunnah, malah ada yang berkata wajib. Sebab apabila membuat qasar ketika bermusafir, maka ia sunnah dan kita wajib mengikut sunnah.

Maka sebolehnya kena qasar. Salat dalam waktunya.

 

2. Adakah bid’ah penambahan “Sayyidina Muhammad” dalam selawat tasyahhud akhir?

🔵 Bid’ah. Kena belajar untuk tidak menyebutnya.

 

3. Adakah boleh menambahkan doa ini contohnya “Allahumma inni” ?

للَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَشَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

🔵 Ini tidak sunnah. Doa ini dibaca sendiri, bukannya dibaca secara beramai-ramai. Tetapi kerana sudah terbiasa membuat perkara bidaah sebab itu mereka membaca doa secara beramai-ramai.

Doa selepas salat kena dibaca sendiri sahaja.

 

4. Adakah boleh pelbagaikan doa dan lebih dari satu doa sebelum salam selepas tasyahud akhir?

🔵 Ya.

 

5. Manakah perkara yang sunnah, sama ada melakukan tasyahhud akhir, berdoa dan berselawat ke atas nabi atau pun tasyahhud akhir dan berselawat sahaja?

🔵 Yang wajib adalah tasyahhud dan selawat sahaja. Doa itu pula memang baik dilakukan dan amat digalakkan.

 

6. Adakah boleh membaca doa seperti “Allahumma inni a’udzubika min adzabi jahannam,wa min adzabi qobri,wa min fitnatil mahyaa wal mamaat,wa min syarri fitnatil masihid dajjal?

🔵 Boleh sebab susunan ada banyak jenis.

 

7. Adakah “Innaka khamiidun majiid disebut sebanyak dua kali dan tidak ada tambahan “fil a’la minna innak khamidun majiid pada bahagian tengah atau pun akhir?

🔵 Ya, dua kali kalau pakai susunan ini.

 

8. Adakah boleh jika hanya dibaca sekali sahaja pada bahagian akhir?

🔵 Tidak mengikut ajaran yang tepat.

 

9. Adakah terdapat dalil yang menyatakan bahawa perlu membaca selawat sebelum melaungkan azan?

🔵 Selawat dibaca selepas azan, ini memang ada dalil.

Tidak ada bacaan selawat atau apa-apa sebelum azan. Itu adalah bidaah.

Lainlah kalau hendak mengikut Brelvi dari India. Mereka memang membaca selawat sebelum azan sebab akidah mereka bahawa Nabi masih hidup lagi. Jadi apabila membaca selawat sebelum azan, Nabi datang mendengar azan dia.

 

10. Salat yang manakah perlu dilakukan dahulu untuk jamak takhir di antara Maghrib dan Isyak?

🔵 Salat Maghrib. Kena ikut susunan. Nabi tidak tukar susunan salat baginda.

 

11. Adakah boleh melakukan jamak takhir di rumah jika baru balik dari bermusafir?

🔵 Boleh buat jamak tamam. Boleh buat jamak takhir tetapi sunnah Nabi, baginda singgah di masjid dahulu sebelum balik ke rumah.

 

12. Adakah lelaki boleh memegang dan membaca Al-Qur’an jika tidak mengambil air wudhu’ ?

🔵 Boleh. Tetapi, di dalam mazhab Syafi’iy memang tidak boleh.

Al-Qur’an itu mulia. Kita kena melatih diri untuk menghormati Al-Qur’an dengan mengambil air wudhu’ apabila hendak memegangnya.

 

13. Saya ada pembantu rumah yang berumur 55 tahun. Beliau selalu meminta untuk salat berjemaah apabila saya hendak salat di rumah. Kadang-kadang saya tiada masalah sekiranya ada adik ipar lelaki saya. Apakah hukum apabila saya menjadi imam kepada pembantu rumah saya?

🔵 Syubhah maka harus dielakkan.

 

14. Walaupun isteri saya ada tetapi tidak ikut salat kerana datang haid?

🔵 Boleh kalau isteri ada di rumah.

 

15. Adakah berdosa jika berniaga makanan dalam bulan puasa dan kebanyakannya pelanggan tidak berpuasa?

🔵 Penjual itu tidak terlibat dengan dosa mereka.

 

16. Bagaimana pula jika penjual itu mengajak dan menggalakkan geng plastik hitam, geng gerai dalam kebun dan geng warung pintu belakang?

🔵 Itu kira bersubahat.

 

17. Adakah tugas imam ketika salat berjemaah termasuk membaca wirid dan berdoa untuk diaminkan oleh makmum?

🔵 Tugas imam selesai setelah memberi salam.

Sambung ke tajuk seterusnya.

W. Wajib Selawat pada Tasyahhud Akhir

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

W. Wajib Selawat pada Tasyahhud akhir

Salah satu dalil yang dijadikan hujah oleh para ulama’ terkait kewajiban membaca selawat kepada Nabi ﷺ adalah hadith riwayat Imam at-Tirmidzi dan Abu Daud daripada Fadhalah bin Ubaid رضي الله عنه;

✍🏼 Bahasa suatu ketika Nabi ﷺ mendengar ada orang berdoa pada saat tasyahhud, namun dia tidak membaca tahiyyat dan selawat kepada Nabi ﷺ Lalu Nabi ﷺ berkata;

عَجِلَ هَذَا، إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ، فَلْيَبْدَأْ بِتَمْجِيدِ رَبِّهِ جَلَّ وَعَزَّ، وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ يَدْعُو بَعْدُ بِمَا شَاءَ

“Orang ini terburu-buru, apabila kalian salat, mulailah dengan mengagungkan nama Allah جل وعز (baca tahiyyat), kemudian berselawat kepada Nabi ﷺ, kemudian berdoa dengan doa apapun yang dia inginkan.”
(Sunan Abu Daud no. 1266)

1. Beberapa lafaz tasyahhud

Bacaan tasyahhud yang diajarkan Rasulullah ﷺ bermacam-macam sehingga memberikan kelapangan kepada umat baginda untuk memilih di antara bacaan-bacaan tersebut.

A. Tasyahud Ibnu Mas’ud رضي الله عنه

Ini adalah bacaan tasyahhud yang paling sahih di antara bacaan-bacaan yang ada menurut para ulama’.

✍🏼 Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata, “Rasulullah ﷺ mengajariku tasyahhud, dalam keadaan telapak tanganku berada di antara dua telapak tangan baginda, sebagaimana baginda mengajariku surah al-Qur’an” (HR. al-Bukhari no. 6265 dan Muslim no. 899).

✍🏼 Adapun bacaannya adalah sebagai berikut,

ْ التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِين ِ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

“Segala penghormatan hanya milik Allah, juga segala pengagungan dan kebaikan. Semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada engkau wahai Nabi dan juga rahmat dan berkah-Nya. Dan juga semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada kami dan kepada hamba-hamba Allah yang salih. Aku bersaksi tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya’.”
(HR. al-Bukhari no. 831 dan Muslim no. 895)

Syarah: Apabila disebut Nabi ﷺ mengajar seperti mengajar Al-Quran, itu maksudnya bacaan ini tidak diubah-ubah. Sebagaimana ayat-ayat Al-Quran kita tidak ubah sedikit pun, bukan?

📍Sebahagian sahabat Nabi ﷺ meriwayatkan dengan,

السَّلاَمُ عَلَي النَّبِيّ
menggantikan,
السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ

Di antara yang meriwayatkan demikian adalah Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه dalam Sahih al-Bukhari (no. 6265) dan selainnya, dengan jalur selain jalur riwayat di atas. Beliau berkata, “Kami mengatakan saat Nabi ﷺ masih hidup,

السَّلاَمُ عَلَيْكَ
“Keselamatan atasmu….”

Tatkala Nabi ﷺ telah wafat, kami mengatakan,

السَّلاَمُ عَلَي النَّبِيّ
“Keselamatan atas Nabi….”

Al-Hafiz Ibnu Hajar رحمه الله berkata, “Menurut tambahan riwayat ini, zahirnya para sahabat mengucapkan,

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ

dengan huruf kaf yang menunjukkan kata ganti orang kedua (yang diajak bicara) ketika Nabi ﷺ masih hidup. Tatkala Nabi ﷺ sudah meninggal, mereka menyebutkan dengan lafaz ghaib (kata ganti orang ketiga yang tidak hadir). Mereka mengatakan,

السَّلاَمُ عَلَي النَّبِيُّ

(lihat Fathul Bari, 11/48) Syaikh al-Albani mengatakan, “Dalam hal ini masalahnya lapang. Sebab, lafaz mana pun yang diucapkan oleh seorang yang salat, asalkan itu sabit/pasti dari Rasulullah ﷺ, dia telah menepati sunnah.” (al-Ashl, 3/891)

📌 Pendapat Ibnu Utsaimin dalam Masalah Ini

Kata Fadhilatusy Syaikh Ibnu Utsaimin رحمه الله, “Menurut saya, ini adalah ijtihad Ibnu Mas’ud رضي الله عنه. Akan tetapi, ijtihad ini tidak benar dari tiga sisi:

1. Nabi ﷺ mengajari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه hadith ini dan tidak mengaitkannya dengan menyatakan, “Selama aku masih hidup (ucapkan begini…).” Nabi ﷺ justeru memerintahkan Ibnu Mas’ud رضي الله عنه untuk mengajari manusia lafaz seperti ini.

2. Orang yang mengucapkan salam kepada Nabi ﷺ di dalam salat tidaklah sama dengan orang yang mengucapkan salam dalam keadaan berhadapan/ bertemu, yang saling bertemu ini tidak terjadi lagi setelah wafat beliau (sampai lafaznya perlu diganti. Jadi keadaan di dalam salat ini adalah bukan kebiasaan).

Akan tetapi, orang yang mengucapkan salam kepada beliau di dalam salat hanyalah sebagai bentuk doa, bukan salam karena mengajak bicara.

3. Amirul Mukminin Umar ibnu Khaththab رضي الله عنه mengajari tasyahhud kepada manusia dalam posisi beliau sebagai khalifah di atas mimbar Nabi ﷺ dengan lafaz,

السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ

Hal ini disaksikan oleh para sahabat dan dalam keadaan Nabi ﷺ telah wafat. Namun, tidak ada seorang pun yang mengingkari lafaz yang diajarkan oleh Umar رضي الله عنه. Di samping itu, tidak diragukan bahawa Umar رضي الله عنه lebih berilmu dan lebih faqih daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, sampai-sampai Nabi ﷺ bersabda,

إِنْ يَكُنْ فِيْكُمْ مُحَدَّثُوْنَ فَعُمَرُ

“Jika di antara kalian ada muhaddatsun, dia adalah Umar.” (Fathu Dzil Jalali wal Ikram bi Syarh Bulughil Maram, 3/394)

📍Dalam fatwa al-Lajnah ad-Daimah dinyatakan, “Yang benar, seorang yang salat mengucapkan dalam tasyahhudnya,

السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Sebab, inilah yang sabit dalam hadith-hadith. Adapun riwayat dari Ibnu Mas’ud dalam masalah tasyahhud, jika memang hadithnya sahih, hal itu merupakan ijthad dari pelakunya yang tidak boleh dipertentangkan dengan hadith-hadith yang sabit. Seandainya hukumnya berbeza antara semasa hidup Rasulullah dan sepeninggal beliau, niscaya beliau akan menerangkannya kepada mereka.” (Fatawa al-Lajnah ad-Daimah, 7/10—11)

 

B. Tasyahhud Ibnu Abbas رضي الله عنهما

Menurut al-Imam asy-Syafi’iy رحمه الله, tasyahhud ini paling beliau senangi kerana paling sempurna. Meski demikian, beliau tidak mempermasalahkan orang lain yang mengamalkan tasyahud selain ini selama hadithnya sahih. (al-Umm, Bab “at-Tasyahud wash Shalah ‘alan Nabi”)

Adapun bacaannya,

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِىُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

“Segala penghormatan, keberkatan, selawat (pengagungan), dan kebaikan adalah bagi Allah. Semoga kesejahteraan terlimpah keatasmu wahai Nabi beserta rahmat Allah dan barakah-Nya. Mudah-mudahan kesejahteraan dilimpahkan pula kepada kami dan kepada seluruh hamba Allah yang salih. Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahwa Muhammad itu adalah utusan Allah” (HR. Muslim no. 403)

 

C. Tasyahud Abu Musa al-Asy’ari رضي الله عنه

Lafaznya,

التَّحِيَّاتُ الطَّيِّبَاتُ الصَّلَوَاتُ لِلَّهِ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

“ Segala penghormatan, segala kebaikan serta selawat (pengagungan) adalah bagi Allah. Semoga kesejahteraan terlimpah keatasmu wahai Nabi beserta rahmat Allah dan barakah-Nya. Mudah-mudahan kesejahteraan dilimpahkan pula kepada kami dan kepada seluruh hamba Allah yang salih. Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahwa Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya”. (HR. Muslim no. 902)

 

D. Tasyahud Ibnu Umar رضي الله عنهما

Lafaznya,

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ، الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ

“Segala penghormatan bagi Allah, begitu juga selawat (pengagungan) serta segala kebaikan. Semoga kesejahteraan terlimpah keatasmu wahai Nabi beserta rahmat Allah dan barakah-Nya. Mudah-mudahan kesejahteraan dilimpahkan pula kepada kami dan kepada seluruh hamba Allah yang salih. Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah – Tuhan Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya”.
(HR. Abu Daud no. 971, dinyatakan sahih dalam Sunan Abi Daud)

 

E. Tasyahhud Umar ibnul Khaththab رضي الله عنه

Saiyyidina Umar رضي الله عنه mengajarkannya kepada manusia dalam keadaan beliau berada di atas mimbar.

Lafaznya,

التَّحِيَّاتُ للهِ، الزَّاكِيَاتُ للهِ، الطَّيِّبَاتُ الصَّلَوَاتُ للهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ, السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ

”Segala penghormatan adalah milik Allah, segala pensucian hanyalah milik Allah, segala macam kebaikan dan selawat (pengagungan) hanyalah milik Allah. Semoga kesejahteraan terlimpah ke atasmu wahai Nabi beserta rahmat Allah dan barakah-Nya. Semoga keselamatan terlimpahkan bagi kami dan kepada hamba-hamba Allah yang salih. Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan Yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan utusanNya”.
(HR. Malik no.300 dalam al-Muwatta’, dan disahihkan al-Albani).
Walaupun riwayat ini mauquf sampai Umar, namun hukumnya marfu’ sebagaimana kata Ibnu Abdil Barr رحمه الله, “Dimaklumi, dalam urusan seperti ini tidaklah mungkin (seorang sahabat) mengatakan dengan ra’yu/akal-akalan/ pendapat pribadi.” (al-Istidzkar, 4/274)

 

F. Tasyahhud riwayat Aisyah رضي الله عنها

Lafaznya,

التَّحِيِّاتُ الطَّيِّبَاتُ الصَّلَوَاتُ الزَّاكِيَاتُ للهِ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ. وَأَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

”Segala Penghormatan, segala macam kebaikan, selawat (pengagungan), segala pensucian hanyalah milik Allah, Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah kecuali Allah -Tuhan Yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan utusanNya . Semoga kesejahteraan terlimpah ke atasmu wahai Nabi beserta rahmat Allah dan barakah-Nya. Semoga keselamatan terlimpahkan ke atas kami dan kepada hamba-hamba Allah yang salih.” (HR. Malik dalam Muwattha’ no. 302)

📌Bacaan Tasyahhud Manakah yang Paling Utama?

Yang mana saja dari bacaan di atas diamalkan oleh orang yang salat, semuanya sahih dan mencukupi. Kata an-Nawawi رحمه الله, “Ulama’ sepakat bolehnya membaca semua tasyahhud yang ada, namun mereka berselisih tentang mana yang paling utama dibaca.

2. Beberapa cara selawat pada tasyahhud.

Beza tasyahhud awal dengan akhir selain dari cara duduk yang berbeza, adalah bacaan selawat. Bacaan selawat adalah rukun salat dan tidak boleh ditinggalkan dalam tasyahhud akhir. Kita telah bincangkan yang selawat dalam tasyahhud awal tidak wajib tetapi ianya wajib dalam tasyahhud akhir.

Bacaan selawat pun ada banyak jenis.

📍Selawat Pertama:

Dari Ka’ab bin Ujrah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ mengajarkan selawat:

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ، اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

“Ya Allah, berikanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung/Mulia. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad (termasuk anak dan isteri atau umatnya), sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung/Mulia.” (HR. Al-Bukhari dalam Fathul Baari 6/408 dan Muslim).

Selawat ini dikenali dengan namanya yang terkenal: Selawat Ibrahimiyah. Inilah selawat yang terbaik sekali.

Mungkin timbul persoalan: Kenapa ada salam kepada Nabi Ibrahim عليه السلام pula? Nabi Muhammad ﷺ tidak memberitahu perkara ini tetapi ulama’ telah membahaskan perkara ini. Antara sebab yang diberikan:

a) Kerana Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang mengajarkannya dan memberikan contohnya kepada kita , walhal kita wajib mengikuti ajaran Baginda ﷺ

✍🏻 Firman Allah ﷻ di dalam Al-Quran Al-Karim ;

…وَمَاۤ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُوا۟ۚ…

Ertinya : “…..Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. …. “ (Al-Hasyr: Ayat 7)

b) Ianya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام yang digelar sebagai “Bapa Para Nabi عليه السلام “, apatah lagi Baginda Nabi Muhammad ﷺ sendiri berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام dan sekaligus jika Baginda عليه السلام adalah datuk kepada Rasulullah ﷺ , maka Baginda ﷺ juga adalah Nabi dan juga datuk kepada semua orang-orang Islam .

c) Kekalnya nama Baginda Nabi Ibrahim عليه السلام di dalam bacaan tahiyyat di dalam sembahyang kita, adalah merupakan satu penghormatan & doa yang dikabulkan oleh Allah ﷻ kepada Baginda عليه السلام.

✍🏻 Firman Allah ﷻ yang menggambarkan kisah permohonan doa Nabi Ibrahim عليه السلام kepada-Nya :

رَبِّ هَبۡ لِی حُكۡمًا وَأَلۡحِقۡنِی بِٱلصَّـٰلِحِینَ *⃣ وَٱجۡعَل لِّی لِسَانَ صِدۡقٍ فِی ٱلۡـَٔاخِرِینَ *⃣

Ertinya : “(Nabi Ibrahim berdo’a): “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang saleh, ( 83 ) . Dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian. (Surah asy-Syu’ara’: 84)

d) Nabi Ibrahim عليه السلام digelar sebagai “KhalilulLah“ (Kekasih Allah), manakala Nabi Muhammad ﷺ pula digelar sebagai “ HabibulLah “. Kedua-dua gelaran itu bermakna : KEKASIH ALLAH ﷻ , akan tetapi perkataan “Habib“ pada “HabibulLah“ itu lebih bermakna yang paling dikasihi oleh Allah ﷻ . Jadi, Nabi Muhammad ﷺ merupakan makhluk yang paling dikasihi dan dicintai oleh Allah ﷻ. Dan dengan berselawat ke atas kedua-dua Nabi Besar itu, ianya merupakan satu penghormatan pula kepada Baginda Nabi Muhammad ﷺ .

📍Selawat Kedua:

ﺍﻟﻠﻬﻢ ﺻﻞ ﻋﻠﻰ ﻣﺤﻤﺪ ﻭﻋﻠﻰ ﺃﺯﻭﺍﺟﻪ ﻭﺫﺭﻳﺘﻪ ﻛﻤﺎ ﺻﻠﻴﺖ ﻋﻠﻰ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ، ﻭﺑﺎﺭﻙ ﻋﻠﻰ ﻣﺤﻤﺪ ﻭﻋﻠﻰ ﺃﺯﻭﺍﺟﻪ ﻭﺫﺭﻳﺘﻪ ﻛﻤﺎ ﺑﺎﺭﻛﺖ ﻋﻠﻰ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ، ﺇﻧﻚ ﺣﻤﻴﺪ ﻣﺠﻴﺪ

“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri baginda dan keturunannya,sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan isteri-isteri baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung/Mulia” (HR. Bukhari no. 3369).

📍Selawat ketiga:

Dari riwayat Abi Sa’id al-Khudri رضي الله عنه

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ

”Ya Allah, berikanlah selawat kepada Muhammad, hamba-Mu dan rasul-Mu, sebagaimana selawat yang Engkau berikan kepada keluarga Ibrahim. Berikanlah berkah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana berkah yang Engkau berikan kepada Ibrahim.” (HR. Bukhari no. 4798)

📍Selawat Keempat:

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، النَّبِيِّ الأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، النَّبِيِّ الأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

”Ya Allah, berikanlah selawat kepada Muhammad Nabi yang ummi, dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad Nabi yang ummi, dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkahi keluarga Ibrahim. Atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.” Juga dari Abu Mas’ud Al-Anshari, Rasulullah ﷺ mengajarkan selawat: (bacaan di atas).
[ Dinilai sahih. HR. Abu Dawud no. 981, an-Nasa-i dalam“Amalul Yaum wal Lailah” no. 94, Ahmad dalam“Musnad”nya 4/119, Ibnu Hibban dalam “Sahih”nya no. 1950, Baihaqi dalam “Sunan” nya no. 2/146-147, Ibnu Khuzaimah dalam “Sahih”nya no. 711, ad-Daruquthni dalam “Sunan”nya no.1/354-355, al-Hakim dalam “al-Mustadrak” 1/268 dan ath-Thabrani dalam “Mu’jam al-Kabir”17/251-252]
📍Selawat Kelima:

Dari Riwayat Abu Thalhah

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ وَبَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

”Ya Allah, berikanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.”
HR. Nasai, At-Thahawi, dan sanadnya sahih.

Dari Abu Thalhah, Rasulullah ﷺ mengajarkan bacaan selawat: (bacaan di atas).
Dinilai sahih. HR Muslim 2/16, Abu Daud no. 980, at-Tirmidzi 5/37-38, an Nasa-i dalam “Sunan” nya3/45, Ahmad 4/118, 5/273-274, Ibnu Hibban dalam“Sahih”nya no. 1949, 1956, Baihaqi dalam“Sunan al Kubra” 2/146,dan Imam Malik dalam “al-Muwatta’ (1/179-180 Tanwirul Hawalik Syarah Muwatta’”]

📍Selawat Keenam:

Dari riwayat Amr Bin Hazm رضي الله عنه

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Ya Allah, berikan selawat kepada Muhammad, keluarganya, istri-istri dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah beri selawat kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung. Dan berkatilah Muhammad, keluarganya, istri-istri dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.
HR. Ahmad, Abdurazaq dalam Mushanaf, At-Thahawi dengan sanad yang sahih.
Dari Amr bin Hazm, dari salah seorang sahabat, bahawa Nabi ﷺ membaca: (bacaan di atas).

📍Salawat Ketujuh:

Dari jalan Thalhah bin ‘Ubaidullah رضي الله عنه

ﺍﻟﻠﻬﻢ ﺻﻞ ﻋﻠﻰ ﻣﺤﻤﺪ ﻭ ﻋﻠﻰ ﺁﻝ ﻣﺤﻤﺪ ﻛﻤﺎ ﺻﻠﻴﺖ ﻋﻠﻰ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ﻭ ﻋﻠﻰ ﺁﻝ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ﺇﻧﻚ ﺣﻤﻴﺪ ﻣﺠﻴﺪ ﻭﺑﺎﺭﻙ ﻋﻠﻰ ﻣﺤﻤﺪﻭ ﻋﻠﻰ ﺁﻝ ﻣﺤﻤﺪ ﻛﻤﺎ ﺑﺎﺭﻛﺖ ﻋﻠﻰ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ﻭ ﺁﻝ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ﺇﻧﻚﺣﻤﻴﺪ ﻣﺠﻴﺪ

“Ya Allah berikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah beri selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Maha Agung”.
[Dinilai sahih, HR. Ahmad 1/162, an-Nasai dalam “Sunannya 3/48 dan “Amalul Yaum wal Lailah” no 48, Abu Nu’aim dalam “Al Hilyah” 4/373, semuanya dari jalan ’Utsman bin Mauhab dari Musa bin Thalhah, dari bapaknya (Thalhah bin ‘Ubaidullah), disahihkan oleh al-Albani].

Perbincangan:

Bila kita perhatikan, seluruh lafaz yang disebutkan dalam hadith-hadith yang sahih tidak ada penambahan ucapan: sayyidina

Kerana itu kita seharusnya tidak menambah bacaan Sayyidina tersebut khususnya dalam salat kita. Cukuplah bagi kita sebaik-baik petunjuk dari Nabi ﷺ, dan kita bisa memilih satu di antara bacaan-bacaan selawat yang disebutkan dalam hadith-hadith yang sahih tersebut tanpa menambah ataupun menguranginya dalam bacaan salat kita, kerana baginda pernah menyatakan:

”Salatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku salat” (H.R al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

Malangnya, banyak tersebar bacaan – bacaan selawat yang dibuat-buat dan diada-adakan oleh orang-orang terkemudian dari zaman salaf, yang masa kehidupannya sudah demikian jauh dari para Sahabat Nabi ﷺ. Tetapi itulah yang diamalkan oleh masyarakat zaman sekarang.

Namun, yang sangat menghairankan, dengan bacaan-bacaan selawat yang tidak ada dasarnya sama sekali dari hadith Nabi ﷺ yang sahih tersebut, mereka berkeyakinan bahawa barang siapa yang membaca selawat selawat ‘inovasi’ baru itu akan mendapatkan pahala dalam jumlah ) tertentu, dengan keutamaan-keutamaan tertentu. Padahal, bacaan-bacaan tersebut di dalamnya juga terkandung pujian-pujian yang berlebihan kepada Nabi ﷺ yang dikhawatirkan boleh terjatuh pada kesyirikan.

Tidakkah kita merasa cukup dengan yang telah diucapkan Nabi ﷺ berupa lafaz-lafaz bacaan selawat yang baginda ajarkan sendiri kepada Sahabat-Sahabatnya dalam hadith-hadith yang sahih?
…ِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا…

”…dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad ( ﷺ), dan seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan (dalam permasalahan agama).. “ (Sahih Muslim 1435)

Semoga Allah ﷻ senantiasa memberikan petunjuk kepada kita dan seluruh kaum muslimin untuk senantiasa beribadah hanya kepadaNya semata dan hanya mengikuti tuntutan (Sunnah) Rasul-Nya dalam beribadah kepadaNya tersebut.

V. Tasyahhud Akhir

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

V. Tasyahhud Akhir

Apakah hukum duduk Tahiyyat/Tasyahhud Akhir? Hukum duduk tahiyyat akhir adalah wajib dan merupakan rukun salat. Jika ditinggalkan maka batallah salat.

Perbincangan panjang lebar adalah cara duduk semasa di Tasyahhud Akhir. Adakah kena duduk tawarruk juga kalau Tasyahhud Akhir? Ulama’ khilaf tentang perkara ini:

📍 Pendapat pertama, iaitu pendapat Imam Malik رحمه الله dan pengikutnya, duduk tasyahhud baik awal dan akhir adalah duduk tawarruk.

📍 Pendapat kedua, iaitu pendapat Imam Abu Hanifah رحمه الله dan pengikutnya, duduk tasyahhud baik awal dan akhir adalah duduk iftirasy.

📍 Pendapat ketiga, yaitu pendapat Imam asy-Syafi’iy رحمه الله. Beliau membezakan antara duduk tasyahhud awal dan akhir.

1⃣. Untuk duduk tasyahhud awal, beliau berpendapat seperti Imam Abu Hanifah رحمه الله, iaitu duduk iftirasy.

2⃣. Sedangkan untuk duduk tasyahhud akhir, beliau berpendapat seperti Imam Malik رحمه الله, yaitu duduk tawarruk.

Jadi menurut pendapat ini, duduk pada tasyahhud akhir yang terdapat salam (baik yang salatnya sekali atau dua kali tasyahhud) adalah duduk tawarruk. Duduk tawarruk terdapat pada setiap raka’at terakhir yang diakhiri salam kerana cara duduk demikian terdapat do’a, boleh jadi lebih lama duduknya. Sehingga duduknya pun dengan cara tawarruk kerana cara duduk seperti ini lebih ringan dari iftirasy. Cara duduk demikianlah yang kita sering saksikan di kaum muslimin di Malaysia dan di sekitar kita yang banyak mengambil pendapat Imam Syafi’iy رحمه الله.

📍 Pendapat keempat, pendapat Imam Ahmad رحمه الله.

1⃣. Jika tasyahhudnya dua kali, maka duduknya adalah tawarruk di raka’at terakhir.

2⃣. Namun jika tasyahhudnya cuma sekali, maka duduknya di raka’at terakhir adalah duduk iftirasy.

[Jadi kalau salat Zuhur, sama macam sahaja dengan kebiasaan kita. Tetapi kalau salat Subuh, maka masa Tahiyyat itu duduk iftirasy]

📍 Pendapat kelima, pendapat Ibnu Jarir Ath Thabari رحمه الله. Beliau berpendapat duduk tasyahhud dengan tawarruk mahupun iftirasy, semuanya dibolehkan. Alasannya kerana semuanya diriwayatkan dari Nabi ﷺ. Jadi boleh memilih dengan dua cara duduk tersebut. Terserah mahu melakukan yang mana. Ibnu ‘Abdil Barr رحمه الله sendiri lebih cenderung pada pendapat yang ini.

Semua pendapat di atas ada dalil sandaran mereka. Jadi tidaklah kita menuduh orang lain salah pula kalau kita nampak mereka lain dari apa yang kita biasa lakukan. Tetapi manakah pendapat yang paling kuat?

Meneliti dalil-dalil yang menjadi rujukan pendapat-pendapat itu, kita dapati pendapat Imam Syafi’iy رحمه الله yang lebih tepat. Ini dikuatkan kerana ada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya dari Muhammad bin ‘Amr bin ‘Atha’ رحمه الله bahawa beliau pernah duduk bersama beberapa orang dari sahabat Nabi ﷺ. Lalu kami pun menyebutkan tentang salatnya Rasulullah ﷺ.

✍🏻 Kemudian Abu Humaid As-Sa’idi رضي الله عنه berkata,

أَنَا كُنْتُ أَحْفَظَكُمْ لِصَلاَةِ رَسُولِ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – رَأَيْتُهُ إِذَا كَبَّرَ جَعَلَ يَدَيْهِ حِذَاءَ مَنْكِبَيْهِ ، وَإِذَا رَكَعَ أَمْكَنَ يَدَيْهِ مِنْ رُكْبَتَيْهِ ، ثُمَّ هَصَرَ ظَهْرَهُ ، فَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ اسْتَوَى حَتَّى يَعُودَ كُلُّ فَقَارٍ مَكَانَهُ ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَ يَدَيْهِ غَيْرَ مُفْتَرِشٍ وَلاَ قَابِضِهِمَا ، وَاسْتَقْبَلَ بِأَطْرَافِ أَصَابِعِ رِجْلَيْهِ الْقِبْلَةَ ، فَإِذَا جَلَسَ فِى الرَّكْعَتَيْنِ جَلَسَ عَلَى رِجْلِهِ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْيُمْنَى ، وَإِذَا جَلَسَ فِى الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ قَدَّمَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الأُخْرَى وَقَعَدَ عَلَى مَقْعَدَتِهِ .

“Aku adalah orang yang paling menghafal di antara kalian tentang salat Rasulullah ﷺ. Aku melihatnya tatkala bertakbir, baginda menjadikan kedua tangannya sejajar dengan kedua bahunya. Jika rukuk, baginda menetapkan kedua tangannya pada kedua lututnya, lalu meluruskan punggungnya. Jika mengangkat kepalanya, baginda berdiri tegak hingga kembali setiap dari tulang belakangnya ke tempatnya. Jika sujud, baginda meletakkan kedua tangannya tanpa menidurkan kedua lengannya dan tidak pula melekatkannya (pada lambungnya) dan menghadapkan jari-jari kakinya ke arah kiblat. Jika baginda duduk pada rakaat kedua, maka baginda duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (duduk iftirasy). Jika duduk pada rakaat terakhir, baginda mengedepankan kaki kirinya dan menegakkan kaki yang lain (kaki kanan), dan duduk di atas lantai – bukan di atas kaki kiri- (duduk tawarruk).”
(HR. Bukhari no. 828)

✍🏻 Hadith berikut juga mendukung pendapat Imam Asy Syafi’iy رحمه الله,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ تَنْقَضِي فِيهِمَا الصَّلَاةُ أَخَّرَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَقَعَدَ عَلَى شِقِّهِ مُتَوَرِّكًا ثُمَّ سَلَّمَ

“Jika Nabi ﷺ duduk pada salat dua raka’at yang diakhiri dengan salam, baginda mengeluarkan kaki kirinya dan baginda duduk tawarruk di sisi kiri.”
(HR. an-Nasai no. 1262. Syaikh al-Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih).

Jadi kesimpulannya: kalau duduk tasyahhud yang ada salam, maka duduk yang lebih tepat adalah duduk tawarruk. Tetapi kalau duduk iftirasy pun tidaklah rosak salat itu kerana ada pendapat yang mengatakan boleh. Cuma kita hendak mencari manakah yang lebih tepat sahaja berdasarkan dalil-dalil yang ada.

Kenapa agaknya ada beza antara duduk tahiyyat awal dan akhir? Ada yang berpendapat bahawa perbezaan itu hikmahnya adalah supaya dapat membezakan jumlah rakaat. Jadi tidaklah keliru nanti (eh, aku rakaat berapa ni? Aku tahiyyat awal ke akhir ni?). Jadi bila sudah duduk tawarruk itu tahulah yang kita sedang rakaat terakhir dan sebentar lagi akan salam.

Selepas tasyahhud awal masih ada gerakan setelah itu, sedangkan tasyahhud akhir tidak demikian. Maka kalau hendak bangun ke rakaat seterusnya, bangun dari duduk iftirasy lebih mudah dari duduk tawarruk.

Begitu pula jika ada makmum masbuq (yang lewat datang), maka dia dapat mengetahui berapa rakaat yang telah dilakukan (oleh jemaah). Dia boleh tengok mereka duduk apa, sama ada iftirasy atau tawarruk.

U. Bangkit Untuk Melaksanakan Rakaat ke 3 dan 4

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

U. Bangkit untuk melaksanakan rakaat ke 3 dan 4

Selepas selesai membincangkan sehingga ke Tasyahhud Awal di rakaat kedua, maka sekarang kita masuk ke perbincangan bagaimana untuk naik ke rakaat ke 3 dan 4. Ringkas sahaja kerana mudah sahaja. Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

1. Mengucapkan takbir ketika naik ke rakaat ke 3 dan 4.

2. Nabi Muhammad ﷺ bertopang (bertumpu kepada dua tangannya) semasa naik ke rakaat yang seterusnya. Telah dibincangkan sebelum ini.

3. Kebiasaannya, Rasulullah ﷺ membaca al-Fatihah sahaja dalam rakaat 3 dan 4. Cuma ada juga kadangkala baginda membaca surah-surah yang lain. Tetapi ini bukanlah kebiasaan.

T. Membaca Selawat pada Tasyahhud Awal

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

T. Membaca Selawat pada Tasyahhud Awal

Ini adalah satu perbincangan yang panjang lebar dalam feqah dan khilaf: Adakah baca selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam Tahiyat Awal? Shaikh Albani mengatakan Nabi Muhammad ﷺ berselawat kepada diri sendiri dalam Tasyahhud. Dan baginda juga memerintahkan umatnya untuk berselawat di dalam tasyahhud.

Tetapi, ramai juga ulama’ yang berpegang, hanya bacaan tahiyyat sahaja yang disyariatkan pada tasyahhud awal. Maka kita akan beri beberapa pendapat dalam hal ini.

i) Bacaan tahiyyat ialah;

التَّحِيَّاتُ المُبارَكاتُ الصَّلَواتُ الطَّيِّباتُ لِلَّهِ، السَّلامُ عَلَيْكَ أيُّهَا النَّبيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلامُ عَلَيْنا وعلى عِبادِ اللّه الصَّالِحينَ، أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ

“Segala kerajaan/kekuasaan, limpahan barakah, selawat dan kalimah-kalimah yang baik adalah milik Allah. Selamat sejahtera ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat Allah dan juga keberkatan-keberkatanNya. Selamat sejahtera juga ke atas kami serta ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah”. (Sahih Muslim no.612 dari Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما)

ii) Bacaan Selawat pula salah satunya;

اللَّهم صلِّ عَلَى مُحمَّدٍ وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما صلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وعَلَى آل إِبْرَاهِيْمَ وباركْ عَلَى مُحمَّد وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما باركتَ عَلَى إِبْرَاهِيْم وعَلَى آل إِبْرَاهِيْم في العالمينَ إنَّكَ حميدٌ مجيدٌ

“Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana Engkau mengurniakan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas ahli Ibrahim. Serta kurniakanlah barakah ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana Engkau kurniakan barakah ke atas Ibrahim dan ahli Ibrahim dalam seluruh alam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia”. (Sahih Muslim no. 405, Jami’u at Tirmizi no. 3220. Hadith dari Abu Mas’ud al-Ansari رضي الله عنه)

Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini.

Pendapat pertama, wajib membaca selawat ketika tasyahhud awal.

Ini adalah pendapat kedua Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله sebagaimana yang beliau tegaskan dalam kitab Al-Umm. Imam asy-Syafi’iy bahkan menegaskan, orang yang tidak membaca selawat ketika tasyahhud awal kerana lupa maka dia harus sujud sahwi. (al-Umm, 1/110).

Pendapat ini juga dipilih Imam Ibnu Baz dalam Fatwa beliau, dan Syaikh Al-Albani رحمهم الله dalam sifat salat Nabi ﷺ. Beliau mengatakan ada banyak dalil selawat dalam tasyahhud dan hadith itu tidak membezakan antara tasyahhud awal dan tasyahhud akhir.

 

Pendapat kedua, ketika tasyahud awal hanya membaca bacaan tasyahhud sampai dua kalimat syahadat dan boleh tidak ditambahi selawat. Ini adalah pendapat majoriti ulama’, diantaranya an-Nakhai, as-Sya’bi, Sufyan ats-Tsauri, dan Ishaq bin Rahuyah رحمهم الله. Pendapat ini yang lebih kuat dalam madzhab Syafiiyah, dan pendapat yang dipilih Ibnu Utsaimin رحمه الله.

📍 Syaikh Ibnu Ustaimin رحمه الله mengatakan,

لا يستحب أن تصلي على النبي صلى الله عليه وسلم في التشهد الأول ، وهذا ظاهر السنة ، لأن الرسول صلى الله عليه وسلم لم يعلِّم ابن مسعود وابن عباس إلا هذا التشهد فقط ، وقال ابن مسعود : ( كنا نقول قبل أن يفرض علينا التشهد ) وذكر التشهد الأول فقط ، ولم يذكر الصلاة على النبي صلى الله عليه; وسلم في التشهد الأول ، فلو كان سنة لكان الرسول عليه الصلاة والسلام يعلمهم إياه في التشهد

Tidak disunahkan berselawat kepada Nabi ﷺ di tasyahhud awal, inilah yang benar dalam Sunnah, sebab Nabi ﷺ tidak pernah mengajarkan Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas kecuali bacaan tasyahhud yang seperti ini saja.

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata: “Dulu, sebelum diwajibkan tasyahhud kepada kami, kami membaca ..”, lalu dia membaca bacaan tasyahhud awal saja, tanpa menyebutkan adanya selawat. Seandainya itu Sunnah, nescaya Nabi ﷺ mengajarkan selawat tersebut kepada mereka. (Syarhul Mumti’, 3/225)

InsyaaAllah, pendapat kedua inilah yang lebih kuat, kerana beberapa pertimbangan,

1. Makna zahir dari hadith di atas, dimana Rasulullah ﷺ hanya mengajarkan bacaan tasyahhud, dan bukan selawat.

2. Kebiasaan Rasulullah ﷺ duduk ringan (tidak lama) ketika tasyahhud awal, sebagaimana keterangan Ibnul Qayyim dalam Zadul Ma’ad (1/232).

Ubaidillah رحمه الله meriwayatkan daripada bapanya (Abdullah bin Masud رضي الله عنه) yang menceritakan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ كَأَنَّهُ عَلَى الرَّضْفِ

“Adalah Rasulullah ﷺ bila baginda duduk selepas dua rakaat, baginda duduk seolah-olah seperti baginda berada di atas batu yang dipanas di atas api”. (HR Imam at-Tirmizi. Menurut beliau hadith ini adalah hasan.)

Menurut ulama’, ungkapan “…seperti baginda duduk di atas batu yang dipanas di atas api” ialah simbolik kepada meringankan duduk ketika tahiyyat awal (iaitu tidak memanjang-manjangkan duduk sebagaimana orang yang tidak lama-lama duduk di atas batu yang panas). Berdalilkan hadith ini, para ulama’ menegaskan; duduk ketika tahiyyat awal janganlah dipanjangkan. Cuma mereka berbeza pandangan pada kadarnya.

3. Terdapat hadith yang diriwayatkan Ibnu Khuzaimah رحمه الله dalam sahihnya, bahawa Rasulullah ﷺ membaca tasyahhud dalam duduk tasyahhud awal dan baginda tidak berdoa [Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Ibnu Khuzaimah (Talkhis 3/507)].

Kesimpulan: Walaupun tidak wajib membaca selawat dalam tasyahhud awal, tetapi kalau baca, mendapat pahala membaca doa dan selawat. Maka bolehlah dibaca.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️

1. Kadar bacaan yang bagaimanakah yang perlu dibaca supaya menepati keadaan sebagaimana duduk di atas batu yang panas?

🔵 Ini hanya isyarat supaya tidak duduk terlalu lama. Tidak berdoa panjang.

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Adakah hadith yang meriwayatkan perihal Rasulullah ‎ﷺ melakukan sujud Sahwi selepas salam?

🔵 Kedua-dua ada hadith yang meriwayatkannya. Melakukan sujud Sahwi sebelum dan selepas salam. Ulama’ ada membincangkan perincian sujud Sahwi sebelum atau selepas. Tetapi boleh sahaja mengambil pendapat salah satunya.

 

2. Adakah wanita yang istihadhah perlu mandi wajib apabila berhenti darahnya?

🔵 Tidak wajib untuk mandi wajib, tetapi disunatkan mandi. Yang wajib adalah mengambil wudhu’ tetapi sunat untuk mandi setiap kali hendak salat. Maka boleh mandi 5 kali atau 3 kali mandi sehari. Hikmahnya dikatakan boleh mengubati penyakit. Kerana istihadah itu adalah darah penyakit.

 

3. Adakah selepas salat sunat wudhu’, tahiyatul masjid, atau rawatib sebelum salat fardhu perlu memperbaharui wudhu’ bagi wanita istihadah?

🔵 Hanya memperbaharui wudhu’ untuk salat fadhu sahaja bukan selainnya.

 

4. Adakah makmum masbuk perlu membaca tahiyyat sampai habis sebagaimana imam?

🔵 Ya.

 

5. Bagaimanakah wanita istihadhah yang musafir mengerjakan salat jama’ dan qasar? Adakah perlu mengambil wudhu’ untuk setiap satu salat Zuhur dan Asar?

🔵 Tidak. Apabila bermusafir. Satu wudhu’ sahaja. Cuma hendak tambah bab jama’ ni. Salat jama’ jika ada kepayahan hendak salat, maka boleh ditentukan sendiri untuk qasar dan jama’ atau qasar sahaja. Contohnya menaiki bas susah hendak berhenti salat. Tetapi jika naik kereta boleh berhenti-henti pada waktu salat. Kita boleh tentukan sendiri dan jangan ambil kesempatan.

 

6. Adakah wanita istihadhah yang musafir dengan kereta perlu jama’ tamam tanpa qasar?

🔵 Jika dengan kereta, maka lakukan qasar sahaja.

 

7. Adakah wanita istihadhah boleh memegang Al-Quran dan membacanya?

🔵 Wanita istihadhah adalah suci. Maka mereka boleh memegang dan membaca Al-Quran.

 

8. Adakah perlu menghadap kiblat ketika berdoa?

🔵 Boleh berdoa menghadap sebarang arah.

 

9. Adakah hadith yang menyokong hujah seperti di dalam gambar ini?

wp-15664390936921486466945.jpg

🔵 Tiada hadith yang khusus berkenaan makbulnya seorang wanita hamil. Ia adalah mafhum dari hadith yang berlainan. Di dalam kes ini adalah kerana dilanda kesulitan atau kesusahan. Semasa kesulitan, kita amat berharap kepada Allah. Maka doa kita lebih ikhlas. Apabila doa ikhlas dan khusyuk, maka doa lebih makbul. Kita boleh berdoa sepanjang masa. Tidak perlu menunggu hamil.

ُ💖💖رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ💖💖

“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami),

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

S. Tasyahhud Awal

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

S. Tasyahhud awal

Apa hukum duduk Tahiyyat/Tasyahhud Awal? Para ulama’ berbeza pandangan;

1. Pandangan Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafi’iy رحمهم الله; duduk Tahiyyat/Tasyahhud dan juga membaca Tahiyyat/Tasyahhud semasa duduk itu hukumnya sunat sahaja (tidak wajib). Jika ditinggalkan tidak membatalkan salat, namun hukumnya makruh dan disunatkan sujud sahwi.

📍 Dalil mereka ialah dalam hadith Musi’ as-Solah (iaitu hadith berkenaan seorang lelaki yang salah dalam menunaikan salat, lalu diajar oleh baginda) seperti hadith dari riwayat Abu Hurairah رضي الله عنه (Sunan Abu Daud no. 730), Nabi ﷺ tidak menyebutkan tentang tahiyyat/tasyahhud awal tatkala menerangkan kaifiyat salat .

Selain itu, ada hadith menceritakan bahawa Nabi ﷺ pernah tertinggal tasyahhud awal, namun baginda tidak mengulanginya, akan tetapi menggantinya dengan sujud sahwi sahaja.

✍🏻 Daripada Abdullah bin Buhainah Al-Asadi رضي الله عنه (sekutu suku Abdul Muttalib):

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ فِي صَلَاةِ الظُّهْرِ وَعَلَيْهِ جُلُوسٌ فَلَمَّا أَتَمَّ صَلَاتَهُ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ فَكَبَّرَ فِي كُلِّ سَجْدَةٍ وَهُوَ جَالِسٌ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّم

“Bahawa Rasulullah ‎ﷺ mendirikan salat Zuhur namun tidak melakukan duduk (tasyahud awal). Setelah baginda menyempurnakan salatnya, baginda sujud dua kali, dan baginda bertakbir pada setiap akan sujud dalam posisi duduk sebelum memberi salam”.
(Sahih Bukhari no. 1230 dengan lafaz ini; Sahih Muslim no. 570 dan lain-lain)

2. Pandangan Imam Ahmad; ia adalah wajib. Dalil mereka arahan Nabi ﷺ; “Apabila kamu duduk pada setiap dua rakaat, bacalah; “at-Tahiyyatul lillahi was-Solawati wat-Thaiyyibati…” (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai dan at-Thabrani dengan sanad yang sahih).

Selain itu, ia tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi ﷺ dengan sengaja. (al-Mughni, 1/373)

Kesimpulan: Janganlah kita tinggalkan tahiyyat awal dengan sengaja. Kalau kita tertinggal, maka salat itu masih sah lagi, cuma disunatkan untuk dilakukan sujud sahwi.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️

1. Adakah hanya membaca “at-Tahiyyatul lillahi was-Solawati wat-Thaiyyibati…” sudah memadai untuk tasyahhud, sebagaimana dinukilkan di dalam nota kelas?

🔵 Bukan. Tanda “…” bermaksud ada sambungannya. Perlu membaca keseluruhan tahiyyat. Rujuk kembali teks tahiyyat.

ُ💖💖رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ💖💖

“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami),

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

R. Cara Duduk Tasyahhud

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

R. Cara duduk tasyahhud

Duduk Tahiyyat/Tasyahhud bermakna duduk di hujung rakaat kedua dan hujung rakaat akhir (iaitu rakaat ketiga atau keempat) bagi salat yang melebihi dua rakaat. Tujuan duduk ialah untuk membaca tasyahhud atau tahiyyat dan juga selawat. Jadi duduk tahiyyat di dalam salat ada dua, iaitu;

1. Duduk tahiyyat awal; iaitu duduk di hujung rakaat kedua salat.
2. Duduk tahiyyat akhir; iaitu duduk di rakaat akhir salat.

Cara duduk tasyahhud adalah begini:

1. Duduk Iftirasy pada Tasyahhud Awal dan Duduk Tawarruk pada Tasyahhud Akhir.

✍🏻 Perbezaan antara dua jenis duduk tersebut berdalilkan hadith daripada Abu Humaid رضي الله عنه yang menceritakan sifat salat Nabi ﷺ;

فَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ جَلَسَ عَلَى رِجْلِهِ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْيُمْنَى وَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ قَدَّمَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْأُخْرَى وَقَعَدَ عَلَى مَقْعَدَتِهِ

“Apabila baginda duduk sesudah dua rakaat, baginda duduk di atas kakinya yang kiri dan menegakkan telapak kakinya yang kanan. Apabila baginda duduk pada rakaat yang akhir, baginda mengulurkan telapak kakinya yang kiri (ke bawah betis kanan) dan menegakkan telapak kakinya yang kanan dan baginda duduk di atas punggungnya”.
(Sahih Bukhari no.828)

Jadi seperti yang kita biasa lakukan di negara ini, kalau tahiyyat awal duduk iftirasy dan kalau tahiyyat akhir, duduk tawarruk. Dan itu adalah pandangan sebahagian ulama’ termasuk mazhab Syafi’iy. Sebahagian ulama’ yang lain (antaranya Imam Abu Hanifah) berpandangan; cara duduk semasa Tahiyyat Akhir adalah sama seperti cara duduk semasa Tahiyyat Awal iaitu Iftirasy.

✍🏻 Mereka berdalilkan hadith daripada Saidatina Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan sifat salat Nabi ﷺ ;

وَكَانَ يَقُولُ فِي كُلِّ رَكْعَتَيْنِ التَّحِيَّةَ وَكَانَ يَفْرِشُ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَيَنْصِبُ رِجْلَهُ الْيُمْنَى

“…Nabi membaca tahiyyat setiap selesai dua rakaat. Baginda (duduk tahiyyat dengan) menghampar kakinya yang kiri dan menegakkan kakinya yang kanan…” (Sahih Muslim no. 498 dengan lafaz ini; Ibnu Hibban no. 1768 dan Abu Daud no. 768).

Syarah: Dalam hadith ini ‘Aisyah رضي الله عنها hanya menyebutkan satu jenis duduk sahaja bagi Tahiyyat/Tasyahhud iaitu duduk Iftirasy. Oleh kerana itu, mazhab Hanafi mengatakan hanya ada satu cara duduk sahaja, iaitu iftirasy.

2. Meletakkan tapak tangan kanan atas paha kanan dan tapak tangan kiri atas paha kiri.

3. Merapatkan siku dengan sisi tubuh. Jangan kembang pula tangan.

4. Tidak boleh bertumpu pada tangan kiri. Jangan sebab rasa penat sampai hendak tampung pula tangan.

5. Menggenggam seluruh jari tangan kanan dan memberi isyarat dengan jari telunjuk.

Ada dua cara bagaimana cara jari dibentuk dalam Tasyahhud. Sila lihat gambar di bawah. Dua-dua cara ini boleh digunakan dan molek ditukar-tukar sekali sekala kerana kedua-dua dalilnya sahih. Iaitu Nabi pernah buat dua-dua, jadi dua-duanya adalah sunnah. Bila dua-dua sunnah, kita cuba untuk pakai kedua-duanya, jadi tukar-tukar.

6. Mengangkat jari telunjuk ketika berdoa.

Ketika duduk tahiyyat, sunat kita meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dalam keadaan jari hujung (iaitu kelingking), jari manis dan jari tengah digenggam, sementara jari telunjuk dilepaskan dan diangkat serta diisyaratkan (menghala ke arah kiblat) ketika menyebutkan (إلا الله) sambil meniatkan di dalam hati tauhid dan ikhlas di mana ia terus diluruskan tanpa meletak atau menjatuhkannya. Ibu jari diletakkan pada jari tengah. Adapun tangan kiri, hendaklah diletakkan di atas paha kiri.

Bilakah mengangkat jari dalam Tasyahhud?

Kebiasaan kita melihat masyarakat kita mengangkat jari semasa syahadah di dalam Tasyahhud. Yang rajihnya, jari itu diangkat semasa dari mula lagi Tasyahhud dan terus angkat jari itu dari mula sampai habis Tasyahhud.

✍🏻 Di antara hadith yang menunjukkan disyari’atkannya isyarat dari awal tasyahhud adalah hadith Abdullah bin Az-Zubair رضي الله عنهما:

وَوَضَعَ يَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ الْيُسْرَى وَوَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ

“Beliau ﷺ meletakkan tangan kiri di atas lutut kiri dan tangan kanan di atas paha kanan, dan memberi isyarat dengan jari telunjuknya.” (Sahih Muslim no. 579)

Syarah: Tidak disebut yang baginda Nabi ﷺ hanya mengangkat jari pada waktu-waktu tertentu. Tetapi nampaknya diangkat dari mula hingga habis. Dan dalam hadith yang lain menyebut baginda berterusan menggerak-gerakkan jarinya.

Adapun yang mengangkat jari sebab syahadah sahaja dan menurunkan kembali, tidak diketahui hadith sandarannya. Kerana dalam hadith yang sahih, Nabi ﷺ tidak disebut memberi isyarat pada tempat tertentu. Cuma nanti akan dibincangkan bagaimana ulama’ istinbat perbuatan itu dari hadith-hadith yang ada.

Lalu bagaimana dengan pendapat yang mengangkat jari bukan dari mula dan kemudian menurunkannya? Mari kita lihat perbincangan.

Perbezaan pendapat itu adalah kerana pemahaman berbeza pada hadith ini:

✍🏻 Dalam kitab sunan disebutkan riwayat dari Ibnu ‘Umar, dia berkata,

أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إِذَا جَلَسَ فِى الصَّلاَةِ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى رُكْبَتِهِ وَرَفَعَ إِصْبَعَهُ الَّتِى تَلِى الإِبْهَامَ الْيُمْنَى يَدْعُو بِهَا وَيَدُهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ بَاسِطَهَا عَلَيْهِ

“Ketika duduk dalam salat, Nabi ﷺ meletakkan tangan kanannya di paha kanannya, lalu baginda mengangkat jari di samping jari jempol (iaitu jari telunjuk tangan kanan) dan baginda berdoa dengannya. Sedangkan tangan kiri dibentangkan di paha kirinya.” (HR. Tirmizi no. 294).

Syarah: Jelas yang Nabi ﷺ mengangkat jari telunjuk baginda. Tetapi yang diperbincangkan adalah kalimat: “baginda berdoa dengannya”.

Imam Nawawi رحمه الله (ulama besar Mazhab Syafi’iy) dalam Syarh Shahih Muslim, “Berisyarat dengan jari telunjuk dimulai dari ucapan “illallah” dari ucapan syahadat. Berisyarat dilakukan dengan jari tangan kanan, bukan yang lainnya. Jika jari tersebut terpotong atau sakit, maka tidak digunakan jari lain untuk berisyarat, tidak dengan jari tangan kanan yang lain, tidak pula dengan jari tangan kiri.

Disunnahkan agar pandangan tidak lari dari isyarat jari tadi kerana ada hadith sahih yang disebutkan dalam Sunan Abi Daud yang menerangkan hal tersebut. Isyarat tersebut dengan mengarah kiblat. Isyarat tersebut untuk menunjukkan tauhid dan ikhlas.”

Ulama’ Hanafiyah berpendapat bahwa isyarat jari itu ada ketika penafian dalam kalimat tasyahhud, iaitu pada kata “laa”. Ketika sampai pada kalimat penetapan (itsbat) yaitu “Allah”, maka jari tersebut diletakkan kembali.

Ulama’ Malikiyah berisyarat dari awal hingga akhir tasyahhud.

Ulama’ Hanbali berisyarat ketika menyebut nama jalalah “Allah”.

Pada hadith Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما di atas pada lafaz hadith “lalu baginda mengangkat jari di samping ibu jari (yaitu jari telunjuk tangan kanan) dan baginda berdoa dengannya”, berdasarkan hal itu mengangkat telunjuk dimulai ketika berdo’a dalam tasyahhud.

Adapun lafaz doa dimulai dari dua kalimat syahadat. Kerana di dalamnya terdapat pengakuan dan penetapan kemahaesaan Allah. Hal itu penyebab suatu doa lebih berpeluang dikabulkan. Selanjutnya mengucapkan inti do’anya “allahumma shalli ‘ala Muhammad …” hingga akhir tasyahud dan sampai akhir salam.

Adapun awal tasyahud “attahiyyatulillah …” sampai ucapan “wa ‘ala ‘ibadillahish shalihin” bukanlah termasuk doa, namun itu adalah bentuk memuji Allah ﷻ dan doa keselamatan bagi hamba-Nya.

Adapun tentang masalah bila selesainya berisyarat dengan telunjuk, para sahabat yang meriwayatkan mengangkat jari telunjuk, tidaklah menyebutkan Nabi ﷺ menurunkannya di bahagian tertentu sebelum selesainya salam, sehingga disimpulkan bahawa mengangkat jari telunjuk itu terus sampai selesai salam, terlebih lagi akhir tasyahhud semuanya adalah do’a.

Dari sini dapat disimpulkan bahawa mengangkat jari saat tasyahhud dimulai sejak syahadatain (pada kalimat illallah) lalu diturunkan ketika akan bangkit ke raka’at ketiga untuk tasyahhud awal atau sampai salam untuk tasyahhud akhir.

Kesimpulan: Jadi dari penerangan yang penulis sudah cuba ringkaskan, terdapat banyak sekali pendapat. Maka boleh dibuat kajian sendiri dan anda boleh pilih manakah pandangan yang lebih kuat.

Jadi kita tahu kenapa ada yang angkat dari mula, ada yang angkat di pertengahan, ada yang angkat pada kalimah-kalimah tertentu. Dan kenapa ada yang menurunkannya dan tidak menunggu hingga ke hujung.

Maka kita bolehlah berlapang dada kalau kita tengok orang lain buat tidak sama dengan kita. Kita boleh pilih satu cara yang kita rasa paling kuat dan paling dekat dengan sunnah. Tetapi janganlah kita mengutuk amalan dan perbuatan orang lain kerana mereka juga ada sandaran. Kita pun tidak tahu sama ada perbuatan kita itu yang paling tepat. Entah nanti di masa hadapan, kita jumpa dalil yang lebih kuat pula yang berpihak kepada orang lain. Allahu a’lam.

Adakah sunnah menggerak-gerakkan jari semasa Tasyahhud?

Ini satu lagi perbincangan yang panjang lebar. Jarang dilihat orang kita gerakkan jari-jari dia semasa tahiyyat. Sampaikan ada yang jadikan ia sebagai tanda ‘Wahabi’. Dan penulis juga pernah dengar ada orang sebelah pegang (tidak ingat patahkan atau tidak) jari orang sebelah yang gerak-gerakkan. Kerana dia tersinggung atau dia takut orang sebelah batal salat sebab bergerak lebih dari tiga kali, Allahu a’lam.

Kalau kita nampak orang gerak-gerakkan jari dia semasa tahiyyat itu maknanya dia ada belajar cara sunnah juga. Tetapi tidaklah semestinya. Kerana pernah sekali penulis perasan ada budak muda yang menggerak-gerakkan jari dia semasa tasyahhud. Penulis sangka dia sunnah tetapi hairan kerana bab lain dia tidak buat cara sunnah. Jadi selepas salat penulis tegur dia untuk perbetulkan. Tetapi bukan sunnah rupanya. Dipendekkan cerita, dia baru masuk Tarekat dan kenapa dia gerak-gerakkan jari dia? Sebab Nur Muhammad ada di jari!

Baik, kembali kepada hukum menggerak-gerakkan jari (taharrik). Ulama’ khilaf tentang amalan ini. Ada yang berpendapat disunnahkan menggerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud pada saat berdoa, kerana datang di dalam hadith Wa-il bin Hujur رضي الله عنه:

✍🏻 Hadithnya berbunyi,

أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَفَعَ أُصْبُعَهُ فَرَأَيْته يُحَرِّكُهَا يَدْعُو بِهَا

“Bahawasanya baginda ﷺ mengangkat jari baginda, maka aku melihat baginda menggerakkannya, seraya berdoa dengannya.” (HR. Abu Daud, an-Nasa’i, Ahmad dan disahihkan Syaikh al-Albani dalam al-Irwa’ no. 367)

Syarah: Ini menunjukkan bahawasanya baginda ﷺ menggerakkan jari telunjuk baginda ketika berdoa sahaja bukan dari awal tasyahhud, dan gerakan yang dimaksudkan di sini adalah gerakan yang ringan.

Dalam hadith ini telah menunjukkan dengan jelas cara (sifat) salat Rasulullah ﷺ yang semasa menggerak-gerakkan jari telunjuknya, kerana kalimah يُحَرِّكُهَا adalah fi’lu al-mudhari’ yang menggunakan saddah (-ّ) pada huruf ra ( ر ), maka ini membuktikan perbuatan memberi isyarat dengan menggerak-gerakkan jari dengan cara yang diulang-ulang dan terus menerus dilakukan.

📍 “Mengikut sunnah telah menunjukkan bahawa menggerak-gerakkan jari telunjuk berlangsung sehingga salam (sehingga memberi salam). Inilah pendapat Imam Malik dan yang lain-lainnya”.

Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani رحمه الله menjelaskan lagi: “Menggerak-gerakkan jari telunjuk dalam tasyahhud merupakan perbuatan yang sabit dari Nabi Muhammad ﷺ.

Maka kalau kita tengok ada jemaah yang menggerakkan jari dalam tasyahhud itu maknanya dia pegang pendapat yang mengatakan ianya sunnah dan tahu bahawa memang ada hadith sahih tentang perbuatan itu.

Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana cara menggerakkan jari itu. Ramai yang sangka caranya begini:

Akan tetapi sebenarnya cara yang betul adalah begini:

Walaupun hadith menggerak-gerakkan jari itu dari hadith yang sahih, tetapi masih ada perbincangan lagi. Penulis tidak lagi menggerak-gerakkan jari kerana hujah ini:

📌 Ini adalah kerana Zaidah bin Qudamah, beliau meriwayatkan hadith dengan lafaz, “Kemudian baginda mengangkat jarinya, maka aku melihat baginda menggerak-gerakkan jarinya lantas baginda berdoa dengannya.”

Zaidah رحمه الله bersendirian dalam meriwayatkan hal ini berbeza dengan perawi yang lain. Bezanya beliau adalah kerana adanya tambahan lafaz “yuharrikuhaa”, ertinya: beliau menggerak-gerakkan jarinya.

Zaidah bin Qudamah itu siqah (boleh dipercayai) dan orang yang mulia, semoga Allah ﷻ merahmati beliau. Beliau juga dipandang sebagai orang yang siqah dan muthqin (kukuh hafalannya). Akan tetapi, majoriti perawi tidak menyebutkan sebagaimana yang disebutkan oleh Zaidah رحمه الله. Sehingga dari sini kita diamkan tambahan yang dibuat oleh Zaidah yaitu tambahan “yuharrikuhaa”, ertinya: beliau menggerak-gerakkan jarinya.

Ibnu Khuzaimah رحمه الله berkata, “Tidak ada dalam satu riwayat yang menyebutkan “yuharrikuha” kecuali dari riwayat Zaidah di mana beliau (bersendirian) menyebutnya.”

Maka ini adalah perkara khilafiah. Yang perlu diperhatikan, tidaklah usah berasa aneh jika ada yang tidak menggerak-gerakkan jari ketika tasyahhud. Sebagaimana tidak perlu berasa aneh jika ada yang menggerak-gerakkan jari kerana sebahagian ulama’ berpendapat seperti ini. Namun sebaik-baik pendapat yang diikuti adalah yang berpegang pada pendapat yang kuat.

Jika yakin bahawa hadith menggerak-gerakkan jari itu lemah kerana menyelisihi banyak perawi yang lebih tsiqah, maka sudah sepatutnya yang diikuti adalah yang yakin iaitu tidak menggerak-gerakkan jari. Namun ingat, tetaplah berlembut dengan pendapat lainnya kerana masalah ini masih dalam perkara khilafiyah (silang pendapat antara para ulama’). Wallahu a’lam bish shawab.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️

1. Ketika salat berjemaah, apabila kita habis membaca tahiyyat terlebih dahulu daripada imam, adakah boleh diturunkan jari?

🔵 Jika habis awal, boleh terus membaca doa yang lain. Ambillah peluang waktu itu untuk memperbanyakkan membaca doa. Jari masih diangkat sehingga salam.

 

2. Bagaimana pula apabila jari kita bergerak sendiri tanpa sengaja semasa baca tasyahhud?

🔵 Jika tidak sengajakan ia tidak dikira. “Tuharrik” yang dibincangkan ini adalah apabila sengaja digerakkan.

 

3. Adakah ada pendapat yang memutarkan jari atau menggerakkannya ke kiri dan kanan?

🔵 Memang ada yang menggerakkan secara putar, ke kiri dan kanan, malahan ada yang menuliskan kalimah la ilaaha ilallah dengan jari pun ada. Allahu a’lam. Tidak diketahui apakah hujah mereka.

 

4. Apakah hukum apabila melakukan gerakkan jari sedemikian?

🔵 Tidak diketahui asal usulnya. Maka ia tidak dilakukan, dan tidak anjurkan untuk melakukannya.

Allah ﷻ berfirman:

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;…
[Al-Isra’ 17:36]

 

5. Bagaimanakah orang yang tiada jari telunjuk untuk angkat jari semasa tasyahhud?

🔵 Tiada ganti untuk menggunakan jari lain. Maknanya gugur angkat jari bagi mereka.

ُ💖💖رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ💖💖

“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami),

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

Q. Duduk Istirehat

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

Q. Duduk Istirehat

Ini adalah duduk sebentar selepas sujud kedua, sebelum naik ke rakaat yang seterusnya. Ada pendapat yang kuat mengatakan ianya adalah sunnah. Inilah pendapat yang kuat.

Tetapi ini adalah dalam rakaat yang ganjil (rakaat pertama dan tiga) untuk naik ke rakaat kedua dan keempat. Maknanya bukanlah semua rakaat.

✍🏻 Di antara dalilnya adalah hadith Malik bin al-Huwairits رضي الله عنه:
أنه رأى النبي صلى الله عليه و سلم يصلي فإذا كان في وتر من صلاته لم ينهض حتى يستوي قاعدا

“Bahawasanya beliau melihat Nabi ﷺ, apabila baginda selesai dari rakaat ganjil (satu dan tiga) maka baginda tidak bangkit sampai duduk dengan tenang” (Sahih Bukhari no.780)

Duduk istirehat ini adalah sunat di dalam Mazhab Syafi’iy dan juga Hanbali. Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan Nabi ﷺ hanya melakukannya di usia lanjut kerana baginda sudah tua dan lemah. Hujah balas pula mengatakan tidak ada dalil yang baginda melakukannya kerana penat. Maka kita tidak katakan bahawasanya beliau ﷺ melakukannya kerana sudah tua atau sakit, kerana jika demikian halnya bererti para sahabat tidak pandai pula hendak membezakan mana yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ karena ibadah atau kerana keperluan. Kerana tidak ada tambahan dalam hadith-hadith yang ada: “kenapa baginda penat”.

Tetapi duduk istirehat ini tidaklah wajib. Ini kerana hadith-hadith lain yang menyebutkan sifat salat nabi ﷺ tidak menyebutkan duduk istirahat, sebagai hadith orang yang jelek salatnya, maka ini menunjukkan bahawa duduk istirehat ini tidak wajib.

📍 Berkata Syaikh Abdul Aziz bin Baz رحمه الله:
جلسة الاستراحة مستحبة للإمام والمأموم والمنفرد , وهي من جنس الجلسة بين السجدتين , وهي جلسة خفيفة لا يشرع فيها ذكر ولا دعاء ومن تركها فلا حرج. والأحاديث فيها ثابتة عن النبي صلى الله عليه وسلم من حديث مالك بن الحويرث ومن حديث أبي حميد الساعدي , وجماعة من الصحابة رضي الله عنهم

“Duduk istirahat adalah mustahab (dianjurkan) bagi imam, ma’mum, mahupun yang salat sendiri. Dan duduknya sejenis dengan duduk diantara dua sujud, duduknya ringan (sebentar) tidak disyari’atkan zikir dan doa di dalamnya. Barangsiapa meninggalkannya maka tidak mengapa.

Cara bangkit dari sujud untuk naik ke rakaat kedua

Ini mungkin satu perkara yang jarang dibincangkan di kalangan masyarakat. Dan jarang kita lihat sunnah ini diamalkan. Cara yang sunnah adalah dengan naikkan lutut dahulu dengan menompang pada tangan.

 

Langkah satu persatu adalah seperti berikut:

1. Bangkit ke rakaat berikutnya dengan membaca takbir intiqal: Allahu akbar.

2. cara bangkit yang benar adalah dengan bertumpu pada kedua tangan di tanah. Ini merupakan pendapat Imam Malik dan Imam asy-Syafi’iy.

✍🏻 Pendapat ini berdalil:

a. Hadith dari Ibn Umar رضي الله عنهما,
رَأَيتُ رَسُولَ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيه وَسَلّم يَعْجِنُ فِي الصَّلاَة

“Saya melihat Rasulullah ﷺ melakukan ‘ajn (bertumpu) dengan tangan ketika salat” (HR. ad-Daruquthni dan dishahihkan al-Albani)

b. Keterangan dari Al-Azraq bin Qais,
رَأَيْتُ عَبْدَ اللَّهِ بن عُمَرَ وَهُوَ يَعْجِنُ فِي الصَّلاةِ يَعْتَمِدُ عَلَى يَدَيْهِ إِذَا قَامَ

“Saya melihat Abdullah bin Umar رضي الله عنهما, melakukan ‘ajn ketika salat, bertumpu dengan kedua tangannya ketika hendak berdiri.” (HR. Thabrani dalam Mu’jam al-Ausath).

img_20190807_181117_349-151151699.jpg

img_20190807_181200_61199331131.jpg

3. Kondisi telapak tangan ketika dijadikan tumpuan untuk bangkit, boleh dengan cara mengepal atau dibuka, dan dua cara ini dibenarkan.

4. Bacaan takbir intiqal ketika bangkit ke rakaat berikutnya diupayakan tidak terlalu panjang: Allaahu akbar.

Bagaimanakah caranya? Boleh lihat video ini:

📍Ada yang berpendapat bahawa orang yang salat ketika bangkit dari sujud dengan cara mengepalkan tangannya didasarkan salah satu hadith berikut ini:

إذَا قَامَ مِنْ الصَّلَاةِ وَضَعَ يَدَهُ بِالْأَرْضِ كَمَا يَضَعُ الْعَاجِنُ

Ertinya, “Ketika Rasulullah ﷺ bangkit dalam salatnya baginda meletakkan tangannya di atas tanah sebagaimana tukang adunan roti meletakan tangannya (al-‘ajin).”

Syarah: Kalau orang mengadun roti (pernah tengok orang adun roti canai?) adalah dengan menumbuk adunan roti itu.

Tetapi ada yang tidak memegang hadith ini kerana hadith ini dikatakan tidak sahih. Rasulullah ﷺ sendiri ketika bangkit dari sujud tidak mengepalkan tanggannya, tetapi dengan menjadikan kedua telapak tangan dan telapak jari-jarinya di atas tanah, sebagaimana yang dijelaskan di atas mengetahui tata-caranya.

وَأَمَّا الْحَدِيثُ الَّذِي فِي الْوَسِيطِ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إذَا قَامَ مِنْ الصَّلَاةِ وَضَعَ يَدَهُ بِالْأَرْضِ كَمَا يَضَعُ الْعَاجِنُ فَلَيْسَ بِصَحِيحٍ وَإِنْ صَحَّ حُمِلَ عَلَى ذَلِكَ وَيَكُونُ الْمُرَادُ بِالْعَاجِنِ الشَّيْخَ الْكَبِيرَ لَا عَاجِنَ الْعَجِينِ

Ertinya, “Adapun hadith yang terdapat dalam kitab al-Wasith dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما bahawa Nabi ﷺ ketika berdiri dalam salat meletakkan tangannya di atas tanah sebagaimana tukang pembuat adunan roti, bukan termasuk hadith sahih. Dan jika hadith ini sahih maka mesti ditafsirkan dengan pentafsiran di atas (menjadikan kedua telapak tangan dan telapak jari di atas tanah), dan yang dimaksudkan dengan al-‘ajin adalah orang yang tua bukan tukang pembuat adunan roti (‘ajin al-‘ajn),” (Lihat M Khathib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Alfazh al-Minhaj, juz I, halaman 182).

📌 Tetapi, kita boleh juga berpegang kepada pendapat yang membenarkan kedua-dua cara ini. Bergantung kepada keselesaan.

Hikmah naik dengan lutut dahulu dan bertampung pada tangan lebih merupakan sebagai simbol tawaduk dan lebih dapat membantu orang yang salat. Ia lebih mudah dilakukan bagi orang tua atau muda kerana tidak memberi tekanan pada kaki.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️

1. Di dalam kitab salat cara nabi karangan Syaikh al-Albani mengatakan bahawa Rasulullah ‎ﷺ duduk Istirehat sebelum berdiri adalah kerana faktor umur Rasulullah ‎ﷺ ketika hampir wafat, semasa baginda masih muda, baginda terus bangun selepas sujud kedua tanpa duduk Istirehat. Adakah pendapat ini diterima?

🔵 Ini adalah satu perbincangan antara ‘ulama` yang mana, satu pihak berhujah dan satu pihak lagi bertanyakan kembali: bagaimanakah mereka tahu Baginda lemah waktu itu?

 

2. Hadith mengepal tangan ketika naik ke rakaat seterusnya dinyatakan tidak sahih. Apakah taraf sebenarnya hadith itu?

🔵 Dhaif. Berkata Ibnu as-Salah dalam al-Wasis –sebagaimana dalam at-Talkhis : “Hadith ini tidak sahih dan tidak dikenal serta tidak boleh berhujjah dengannya”.
Berkata an-Nawawi : “(Ini) Hadith lemah atau batil, tidak ada asalnya”. (al-Majmu’, 3/421).

 

3. Adakah hadith mengepal tangan boleh di amalkan meskipun ia dhaif?

🔵 Ya, kerana sebahagian ahli ilmu seperti Syaikh al-Albani menilai sanadnya sahih di dalam Sifat Salat Nabi ‎ﷺ. Maka, boleh pilih mana yang sesuai.

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Apakah hukum memejam mata ketika salat?

🔵 Harus jika dapat memberikan khusyuk. Tidaklah disuruh dan Tidaklah dilarang.

Contohnya, jika ada banyak benda di sekeliling, maka dengan pejam mata, boleh memberi khusyuk, silakan.

Tetapi tidaklah berkata: Wajib pejam mata hendak bagi khusyuk.

Sebab Nabi ‎ﷺ menyuruh membunuh binatang yang datang mengganggu ketika salat. Maka apabila memejamkan mata, bagaimanakah hendak tahu?

Ini bergantung pada keperluan.

 

2. Apakah yang perlu kita lakukan apabila kita yakin bacaan al-Fatihah imam salah?

🔵 Kesalahan bacaan itu jika terlalu berat, sehingga mengubah maksud atau tunggang terbalik, bolehlah makmum niat mufaraqah. Tetapi jika masih didengari lagi itu surah al-Fatihah, dimaafkan kepada makmum.

 

3. Berapakah salam pada salat jenazah?

🔵 Sunnah sekali sahaja salam. Jika dilakukan dua kali juga boleh.

 

4. Adakah makmum masbuk ketika imam di dalam tasyahhud akhir perlu menghabiskan bacaan tasyahhudnya?

🔵 Jika imam sudah habis tasyahhud, maka sudah terlambat dan perlu salat sendiri.

Jika imam masih membaca, maka terus sertai dan habiskan bacaan tasyahhud.

 

5. Bagaimana puasa wanita istihadah?

🔵 Puasa seperti biasa.

 

6. Adakah perlu berwudhu’ setelah salat sunat untuk melakukan salat fardhu?

🔵 Wudhu’ untuk setiap kali salat fardhu. Boleh gunakan wudhu’ yang sama untuk salat sunat.

 

7. Situasinya saya menjadi imam dan apabila tiba rakaat kedua, timbul rasa was-was. Adakah perlu saya menambah rakaat?

🔵 Bukan semua situasi apabila datang was-was, rakaat perlu ditambah. Tetapi perlulah dipilih yang mana lebih kuat di hati kita.

Kita pilih mana yang rasa kuat pada hati. Jika salah, makmum akan menegurnya.

ُ💖💖رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ💖💖

“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami),

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

P. Duduk Iq’aa Di Antara Dua Sujud

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

P. Duduk iq’aa di antara dua sujud

Selain duduk iftirasy, dibolehkan juga duduk iq’a. Ini jarang sekali kita nampak di masjid mungkin kerana ramai tidak tahu kewujudan cara duduk ini.

Cara duduk iq’a dalam salat yang dibolehkan adalah dengan menegakkan kedua kaki lalu duduk di atas kedua tumit kaki, dan jari-jari kaki menghadap ke kiblat.

✍🏻 Seorang tabi’in, Thawus bin Kaisan رحمه الله mengatakan:

قُلنا لابنِ عباسٍ في الإقعاءِ على القدَمينِ . فقال : هي السنةُ . فقلنا له : إنا لنراهُ جفاءً بالرجلِ . فقال ابنُ عباسٍ : بل هي سنةُ نبيِّكَ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ

“Kami bertanya mengenai duduk iq’a kepada Ibnu Abbas, dia berkata: itu sunnah. Thawus berkata: kami memandang perbuatan tersebut adalah sikap tidak elok terhadap kaki. Ibnu Abbas berkata: bahkan itu sunnah Nabimu ﷺ.” (HR. Muslim no. 536)

Tetapi, ada cara duduk iq’a yang dilarang.

✍🏼 Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, dia berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ وَنَهَانِي عَنْ ثَلَاثٍ أَمَرَنِي بِرَكْعَتَيْ الضُّحَى كُلَّ يَوْمٍ وَالْوِتْرِ قَبْلَ النَّوْمِ وَصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَنَهَانِي عَنْ نَقْرَةٍ كَنَقْرَةِ الدِّيكِ وَإِقْعَاءٍ كَإِقْعَاءِ الْكَلْبِ وَالْتِفَاتٍ كَالْتِفَاتِ الثَّعْلَبِ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan aku dengan tiga perkara dan melarangku dari tiga perkara. Memerintahkan aku untuk melakukan salat dhuha dua raka’at setiap hari, witir sebelum tidur, dan puasa tiga hari dari setiap bulan. Melarangku dari mematuk seperti patukan ayam jantan, duduk iq’a seperti duduk iq’a anjing, dan menoleh sebagaimana musang menoleh.” (HR. Ahmad no. 8106, disahihkan Ahmad Syakir dalam Takhrij Musnad Ahmad 15/240)

Duduk iq’a yang dilarang ini yaitu dengan meletakkan punggung di atas lantai lalu kaki sama ada di bahagian kanan dan kiri badan dalam keadaan terhampar.

📍 Imam an-Nawawi رحمه الله menjelaskan:

الإقعاء نوعان: أحدهما: أن يلصق أليتيه بالأرض وينصب ساقيه ويضع يديه على الأرض كإِقعاء الكلب، هكذا فسّره أبو عبيدة معمر بن المثنى، وصاحبه أبو عبيد القاسم بن سلام، وآخرون من أهل اللغة، وهذا النوع هو المكروه الذي ورد فيه النهي، والنوع الثاني: أن يجعل أليتيه على عقبيه بين السجدتين، وهذا هو مراد ابن عبّاس [رضي الله عنهما] بقوله سنة نبيّكم – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وقد نصّ الشافعي -رضي الله عنه- في البويطي والإملاء على استحبابه في الجلوس بين السجدتين

“Duduk iq’a ada dua macam: yang pertama, mendudukkan punggung di atas lantai kemudian menegakkan betisnya dan meletakkan kedua tangannya di atas lantai sebagaimana duduknya anjing. Ini yang ditafsirkan oleh Abu Ubaidah Ma’mar bin al-Mutsanna. Dan muridnya iaitu Abu Ubaid Al Qasim bin Salam. Dan para ahli bahasa yang lain. Duduk jenis ini makruh dan ini yang dilarang dalam hadith.

Yang jenis kedua, mendudukkan punggung di atas kedua tumit di antara dua sujud. Inilah yang dimaksudkan Ibnu Abbas رضي الله عنهما dalam perkataan beliau: “Ini adalah sunnah Nabimu ﷺ”. Dan Imam asy-Syafi’i dalam al-Buwaithi dan al-Imla’ menyatakan duduk seperti ini dianjurkan ketika duduk di antara dua sujud” (Syarah Sahih Muslim, 5/19).


📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Adakah boleh anak perempuan saya bersalaman dengan saudara lelaki dan ayah kepada suami saya yang bukan beragama Islam?

🔵 Jika mereka sebagai seorang Muslim adalah mahram, maka apabila mereka sebagai non-Muslim juga adalah mahram. Sama sahaja status mereka kerana Surah Nur Ayat 31 tidak membezakan antara mahram Islam dan mahram bukan Islam.

Oleh itu, datuk dan pakcik adalah mahram maka boleh bersalam dengan mereka.

 

2. Semasa hendak turun sujud, mana satukah yang perlu turun dahulu? Lutut atau tangan?

🔵 Keduanya boleh. Ikut kesesuaian.

‘Ulama` hadith: tangan dahulu.
‘Ulama` fiqh: lutut dahulu.

Kesimpulannya: ikut kesesuaian.

 

3. Apabila imam salat Tarawih melakukan 3 rakaat, apakah yang perlu dilakukan oleh makmum?

🔵 Perlu tegur dan tunggu imam sedar balik. Tidak boleh mengikut imam jika dia buat salah.

Imam perlu turun semula.

 

4. Jika imam cenderung kepada kurang rakaat, maka perlukah ditambahkan rakaat, walaupun makmum tahu sudah cukup rakaat?

🔵 Ya, perlu ditambah jika yakin kurang tetapi apabila mulai gerak untuk menambah rakaat dan makmum tegur (sebut subhanallah), maka imam sepatutnya mengikutinya dan jangan berdegil.

 

5. Bagaimanakah pendapat yang mengatakan andai imam sudah bangun lebih daripada rukuk maka tidak boleh turun semula?

🔵 Situasi ini apabila lupa tahiyat awal. Jika sedang naik untuk rakaat seterusnya tetapi belum melurus badan, kemudian tiba-tiba makmum tegur, maka imam perlu turun balik tetapi jika badan sudah lurus, maka tidak boleh turun. Biarlah makmum tegur tetapi imam boleh teruskan rakaat ketiga.

Ini kerana tahiyat awal itu adalah sunat sahaja bukan rukun. Jika rukun, maka perlu terus buat.

 

6. Adakah amalan khusus di bulan Syaaban yang menepati sunnah?

🔵 Setahu saya tidak ada amalan khusus di bulan Syaaban. Memang Nabi Muhammad ‎ﷺ banyak berpuasa di bulan Syaaban tetapi dikatakan itu kerana baginda menemani para isteri baginda yang mengganti puasa di bulan Syaaban.

 

7. Hari Jumaat yang lepas di Johor, khatib ada membaca Surah al-Hajj ayat 77 pada mukadimah khutbah pertama. Tiada siapa pun yang buat sujud Sajdah termasuk saya, saya pula ketahuinya apabila dibacakan terjemahannya di pertengahan khutbah.

Adakah saya perlu melakukan sujud Sajdah selepas mengetahuinya walaupun di dalam tempoh yang lama dari ayat dibacakan?

🔵 Tidak perlu. Tidak diwajibkan sujud Sajdah di dalam salat atau luar salat. Umar bin al-Khattab pernah sujud dan pernah sengaja tidak sujud (hendak mengajarkan yang ianya tidak wajib). Nanti kita belajar bab sujud Tilawah nanti.

 

8. Adakah mendengar khutbah lebih utama dari melakukan sujud Sajdah?

🔵 Tiada yang utama. Sujud boleh, tidak sujud pun boleh.

 

9. Bagaimanakah melakukan sujud Sajdah di luar salat? Contohnya ketika duduk.

🔵 Terus melakukan sujud sahaja. Sujud Sajdah atau sujud tilawah bukan salat. Maka boleh dibuat tanpa wudhu’, tanpa menutup aurat, tanpa mengadap kiblat. Terus sujud sahaja.

 

10. Adakah Sujud Sajdah tidak perlu memberi salam?

🔵 Sujud Tilawah atau Sajdah atau Syukur tiada salam. Ia bukan salat. Hanya salat sahaja yang ada salam.

Maka, terus bertakbir dan sujud. Kemudian bangun. Hendak bangun juga tidak ada takbir. Kerana hadith hanya menyatakan Nabi takbir semasa hendak sujud sahaja.

Kecualilah kalau menjadi imam. Maka perlu takbir selepas selesai sujud. Dikhuatiri makmum dua hari tidak bangun-bangun dari sujud sebab tidak tahu imam sudah habis sujud.

 

11. Bagaimanakah kita hendak menghadapi imam yang bacaan al-Fatihahnya terlalu cepat sedangkan kita makmum masih belum habis lagi?

🔵 Jika tidak membaca al-Fatihah juga boleh. Bacaan al-Fatihah ditanggung oleh imam menurut satu pendapat.

ُ💖💖رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ💖💖

“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami),

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

O. Duduk Antara Dua Sujud Dengan Tumakninah Yang Merupakan Rukun Salat

Tajuk:
1. Zikir-zikir yang dibaca ketika sujud

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

O. Duduk antara dua sujud dengan tumakninah yang merupakan rukun salat

Setelah sujud pertama, orang yang salat bangun dari sujud untuk duduk di antara dua sujud. Duduk di antara dua sujud merupakan rukun salat.

✍🏻 Dalam hadith al musi’ shalatahu, dari Rifa’ah bin Rafi رضي الله عنه, di dalamnya disebutkan:

ثُمَّ يَسْجُدُ حَتَّى تَطْمَئِنَّ مفاصلُه ثُمَّ يَقُوْلُ : اللهُ أكبرُ ويرفعُ رأسَه حتَّى يستويَ قاعدًا

“…kemudian baginda sujud sampai anggota badannya menempati tempatnya, kemudian mengucapkan “Allahu Akbar”. Kemudian mengangkat kepalanya (bangun dari sujud) sampai ke posisi duduk“ (HR. Abu Daud no. 857, dishahihkan Al Albani dalam Ashl Sifati Shalatin Nabi [1/189])

Cara duduk di antara dua sujud adalah dengan duduk iftirasy, iaitu dengan membentangkan punggung kaki kiri di lantai, dan mendudukinya, kemudian kaki kanan ditegakkan dan jari-jarinya menghadap kiblat.

img_20190807_174133_051487643615.jpg

Maaf, terpaksa sebut istilah Arab sikit. Mungkin ramai yang keliru kalau pakai nama-nama sebegini. Boleh tengok gambar:

img_20190807_174334_475-1838281718.jpg

Cara dua jenis duduk ini telah diketahui umum oleh masyarakat kita, cuma nama sahaja yang agak susah hendak ingat sebab pakai bahasa Arab. Yang dikenali dalam masyarakat kita:

Iftirasy: Duduk tahiyyat awal

Tawarruk: Duduk tahiyyat akhir

* Cara saya ingat, tawaruk itu bunyi lebih kurang dengan tawaduk dan duduk tawaruk itu pada saya lebih tawaduk.

✍🏻 Dalilnya:

1⃣ Daripada Abu Humaid As Sa’idi رضي الله عنه beliau berkata:

فَإِذَا جَلَس فِي الرَكعَتَين جَلَس على رجلٌه اليسرى، ونصب اليمنى، وإذا جلس في الركعة الآخرة، قدم رجلٌه اليسرى، ونصب الأخرى، وقعد على مقعدته

“Nabi ﷺ jika duduk dalam salat di dua rakaat pertama beliau duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan. Jika beliau duduk di rakaat terakhir, beliau mengeluarkan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya dan duduk di atas lantai.”(HR. Bukhari no. 828 dan Muslim no. 226)

2⃣ Abdullah bin Umar رضي الله عنهما mengatakan:

من سُنَّةِ الصلاةِ ، أنْ تنصِبَ القدمَ اليمنَى ، واستقبالُهُ بأصابعِها القبلةَ ، والجلوسُ على اليسرَى

“Diantara sunnah dalam salat adalah menegakkan kaki kanan lalu menghadapkan jari-jarinya ke arah kiblat dan duduk di atas kaki kiri.” (HR. An Nasa’i no. 1157, di-sahih-kan Al Albani dalam Sahih An Nasa’i)

Syarah: Apabila dikatakan jari-jari mengadap ke arah kiblat, maka kena bengkokkan jari supaya mengadap ke depan. Maka kita kena tunjukkan cara duduk iftirasy yang salah juga. Memang selalu kita tengok kalau salat di masjid/surau.

img_20190807_174522_397-1889144522.jpg


1. Zikir-zikir yang dibaca ketika duduk antara dua sujud

Ada beberapa bacaan yang sahih yang dibaca ketika duduk di antara dua sujud:

📍 Bacaan pertama:

✍🏻 Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata:

انَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ يقولُ بينَ السَّجدتينِ في صلاةِ اللَّيلِ ربِّ اغفِر لي وارحَمني واجبُرني وارزُقني وارفَعني

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika duduk di antara dua sujud pada salat malam beliau membaca: Rabbighfirlii warhamnii, wajburnii, warzuqnii, warfa’nii (artinya: Ya Allah ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, berilah rezeki dan tinggikanlah darjatku)” (HR. Ibnu Majah no.740, disahihkan al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah).

📍 Bacaan kedua:

✍🏻 Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما juga, beliau berkata:

أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ كانَ يقولُ بينَ السَّجدَتَينِ : اللَّهمَّ اغفِر لي وارحَمني واجبُرني واهدِني وارزُقني

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika duduk di antara dua sujud beliau membaca: Allahummaghfirli warhamnii, wajburnii, wahdini, warzuqnii (ertinya: Ya Allah ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, berilah aku petunjuk, dan berilah rezeki).” (HR. at-Tirmizi no.284, disahihkan al-Albani dalam Sahih at-Tirmizi)

📍 Bacaan ketiga:

✍🏻 Daripada Sa’ad bin Abi Waqqash رضي الله عنه, ketika Nabi ﷺ mengajarkan bacaan salat kepada orang Arab Badwi, baginda mengajarkan doa:

ْاَللّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ ، وَارْحَمْنِيْ ، وَعَافِنِيْ ، وَارْزُقْنِي

“Allahummaghfirlii warhamnii, wa’aafini, warzuqnii“ (disahihkan al-Albani dalam Sahih at-Targhib, 1562).

📍 Bacaan keempat:

✍🏻 Daripada Hudzaifah Ibnul Yaman رضي الله عنه, beliau berkata:

ثم جلسَ يقولُ ربّ اغفرْ لِي رَبِّ اغْفِرْ لِيْ مثلَ ما كانَ قائِما ثم سجدَ

“…kemudian Nabi duduk (setelah sujud) dan mengucapkan: rabbighfirlii, rabbighfirlii (Ya Allah ampuni aku, Ya Allah ampuni aku), dan lamanya semisal dengan lama berdirinya. Kemudian beliau sujud…” (HR. an Nasai no. 1665, disahihkan al-Albani dalam Sahih an-Nasa’i).

Syarah: Jadi ini adalah doa yang minima. Dan kalau baginda panjangkan maksudnya baginda ulang-ulang banyak kali.

📍 Bacaan Kelima:

✍🏻 Dalam hadith Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما disebutkan do’a duduk antara dua sujud yang dibaca oleh Nabi ﷺ,

رَبِّ اغْفِرْ لِي ، وَارْحَمْنِي ، وَاجْبُرْنِي ، وَارْفَعْنِي ، وَارْزُقْنِي ، وَاهْدِنِي.

“Rabbighfirlii warhamnii, wajburnii, warfa’nii, warzuqnii, wahdinii (artinya: Ya Allah ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, tinggikanlah darjatku, berilah rezeki dan petunjuk untukku).” (HR. Ahmad 1: 371. Syaikh Syu’aib al-Arnauth mengatakan bahawa hadithnya hasan).

Jadi kita boleh lihat ada lafaz-lafaz yang berlainan. Kemudian lafaz doa di atas diriwayatkan pula dalam jalur yang berbeza-beza dengan lafaz yang beragam, jumlah lafaznya ada tujuh kata.

✍🏻 Jika dikumpulkan semua lafaznya (ketujuh kata tersebut) menjadi:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ، وَارْحَمْنِي ، وَاجْبُرْنِي ، وَاهْدِنِي ، وَارْزُقْنِي ، وَعَافِنِي ، وَارْفَعْنِي

“Ya Allah ampunilah aku, sayangilah aku, tutuplah kekuranganku, anugrahkan kepadaku petunjuk, berikanlah padaku rizki, maafkanlah aku dan angkatlah darjatku.” (Lihat keseluruhan riwayat dalam kitab Aslu Sifati Sholatin Nabi : 809-814 karya Imam Muhammad Nashiruddin al-Albani).

📌 Pengumpulan ketujuh-tujuh kalimah ini lebih utama sebagaimana kata Imam An-Nawawi:

فالاحتياط [ يعني : لإصابة السنة ] والاختيار أن يجمع بين الروايات ويأتي بجميع ألفاظها وهى سبعة

“Yang lebih hati-hati (lebih sesuai dengan sunnah) dan yang lebih dipilihkan adalah mengumpulkan diantara riwayat-riwayat yang ada dan mendatangkan seluruh lafaz-lafaznya yang tujuh.” (Majmu’ Syarah Muhadzdzab : 3/437).

Maka, boleh kalau hendak dilafazkan kesemua tujuh kalimah itu tanpa ikut susunan pun tidak mengapa kerana ada keluasan dalam berdoa.

Tetapi mungkin anda pernah dapat gambar ini:

img_20190807_175843_400-491915466.jpg

Kalau kita lihat gambar ini, ia menyenaraikan 8 kalimat yang kita biasa diajar di negara ini. Dan penulis menolak dua kalimat: wa aafinii dan wa’ fuanni. Mari kita bincangkan sebentar.

Pertama, kalimah wa aafinii ada dalam hadith seperti yang kita telah senaraikan. Tetapi kerana ada riwayat yang berbeza-beza, mungkin dia tidak perasan. Maka tidak ada masalah langsung untuk kita baca.

Bagaimana pula dengan kalimah wa’ fuanni? Kalimah ini memang tidak ada dalam lafaz hadith. Ianya dari Imam Ghazali رحمه الله sahaja. Lalu adakah boleh untuk kita amalkan? Ini yang menjadi kontroversi sedikit.

Kalau kita hanya hendak mengamalkan lafaz-lafaz dari Nabi ﷺ, maka jangan dibaca. Tetapi kalau hendak berlapang dada, boleh juga dibaca. Ini adalah kerana doa ini bagus juga. Dan boleh dibaca di antara dua sujud. Kena ingat yang duduk antara dua sujud itu wajib, tetapi bacaan zikir itu sunat, kerana itu ada banyak lafaz yang diajar.

Dan pada tempat itu ia memang boleh dibaca doa. Kerana fiqh doa agak luas, asalkan tidak bersalahan dengan syarak. Maka boleh sahaja kita baca wa’ fuanni walaupun ia bukan lafaz dari Nabi ﷺ. Cuma jangan kita kata ianya dari lafaz Nabi ﷺ pula.

Adakah Mengangkat Tangan?

Ini jarang sekali kita lihat dilakukan dan memang nampak pelik kalau dilakukan. Tetapi sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ketika bangun dari sujud menuju duduk di antara dua sujud, maka seorang yang salat disyariatkan mengangkat tangan ketika bertakbir.

✍🏻 Kerana terdapat hadith:

كان يرفعُ يديه مع هذا التكبيرِ

“Biasanya Nabi ﷺ mengangkat tangan bersamaan dengan takbir ini (iaitu ketika bangun dari sujud)” (HR. Ahmad, Abu Daud, disahihkan al-Albani dalam Sifatu Shalatin Nabi, 151)

📍 Ibnu Qayyim mengatakan:

ونقل عنه الأثرم وقد سُئل عن رفع اليدين؟ فقال: في كل خفْض ورفْع، قال الأثرم: رأيت أبا عبد الله يرفع يديه في الصلاة في كل خفْض ورفْع

“Dinukil dari Al Atsram ketika beliau ditanya mengenai mengangkat tangan, beliau berkata: mengangkat tangan itu setiap kali merunduk dan setiap kali naik. Aku melihat Abu Abdillah (Imam Ahmad) mengangkat tangannya dalam salat setiap kali merunduk dan setiap kali naik.” (Bada’iul Fawaid, 4/89)

📍 Namun yang tepat, ini dilakukan kadang-kadang saja tidak setiap kali. Syaikh Husain al-Awaisyah mengatakan:

كان يرفع يديه مع هذا التكبير أحياناً

“Nabi ﷺ mengangkat tangan ketika takbir (saat bangun dari sujud) kadang-kadang” (Mausu’ah Fiqhiyyah Muyassarah, 2/70)

Walaupun ada dalilnya Nabi ﷺ mengangkat tangan semasa bangkit dari sujud tetapi hadith-hadith itu masih dipertikaikan. Maka kebanyakan ulama’ menetapkan mengangkat tangan dalam takbir disunnahkan dalam empat tempat sahaja:

1. Pada takbiratul ihram dirakaat yang pertama
2. Ketika hendak rukuk
3. Ketika mengucapkan Samiallâhu liman hamidah setelah rukuk
4. Ketika berdiri dari rakaat kedua menuju rakaat ketiga

✍🏻 Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Nafi’ maula Ibnu Umar رحمه الله, beliau mengatakan:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا دَخَلَ فِى الصَّلاَةِ كَبَّرَ ، وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَإِذَا رَكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ ، وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَفَعَ يَدَيْهِ ، وَإِذَا قَامَ مِنَ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ ورَفَعَ ذلكَ ابنُ عُمَر إلى نبيِّ اللهِ – صلى الله عليه وسلم -.

Sesungguhnya Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما biasanya jika hendak memulai salatnya beliau bertakbir dan mengangkat kedua tangannya. Jika hendak rukuk juga mengangkat kedua tangannya. Jika beliau mengucapkan, ”Sami’allâhu liman hamidah” juga mengangkat kedua tangannya. Jika berdiri dari rakaat kedua juga mengangkat kedua tangannya. Ibnu Umar رضي الله عنهما memarfu’kannya kepada Nabi ﷺ .” [HR. al-Bukhari, no. 739 dan Muslim no. 390]

📌 Nota: Kadangkala bukan semua kita kena amalkan. Tetapi kita kena tahu juga perbincangan ulama’. Supaya kalau kita nampak, tidaklah kita pelik dan tuduh orang yang melakukannya itu bodoh, padahal kita yang bodoh kerana tidak tahu ada pendapat yang mengatakan boleh.


SESI SOAL JAWAB
===================

img_20190807_175426_708-321782991.jpg

1. Adakah boleh duduk sedemikian kerana duduk iftirasy menyakitkan?

🔵 Saya tidak pasti. Kalau sakit, boleh.

Cuma nanti kita ajar duduk iq’a yang rasanya kurang sakit.

 

2. Zikir (doa) di antara dua sujud, yang manakah lebih afdhal, bacaan tujuh atau lapan kalimat?

🔵 Bacaan tujuh kalimat.

 

3. Adakah boleh membaca hanya lima kalimat sahaja untuk doa duduk di antara dua sujud berpandukan sebuah hadith?

🔵 Boleh.

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Adakah perlu menjawab azan yang berkumandang di dalam televisyen, radio atau aplikasi di telefon?

🔵 Tidak perlu dijawab kerana itu adalah rakaman sahaja.

 

2. Adakah perlu diam ketika mendengar azan sebagai tanda hormat?

🔵 Kalau azan yang betul pun, boleh bercakap juga.

ُ💖💖رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ💖💖

“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami),

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”