Air Suci lagi menyucikan

Air yang suci lagi menyucikan bermaksud bukan sahaja ianya suci, ia boleh pula menyucikan. Selalu kita panggil ‘air mutlak’. Ia boleh ‘mengangkat’ hadas. Maksudnya ‘menghilangkan’ hadas.

Maksudnya menyucikan kita dan membolehkan kita melakukan ibadat yang memerlukan kita suci semasa melakukannya: contohnya Solat dan Tawaf.

Ini berbeza dengan air kopi kerana air kopi itu memang suci (kalau tidak suci, maka tidak boleh diminum), tetapi ia ‘tidak menyucikan’. Oleh itu, jangan pula air wuduk pakai air kopi.

📌Senarai jenis-jenis air:

a. Air hujan

Bolehlah kalau duduk dalam hutan, tadah air hujan dan gunakan untuk ambil wudhu’.

b. Benda yang asal dari air

Contoh seperti salji dan embun. Boleh cairkan salji sampai jadi air; boleh kutip air embun pada daun-daun di pagi hari dan jadikan sebagai air wudhu’.

c. Air dari mata air atau air telaga.

d. Air laut

Kalau duduk tengah laut atau atas kapal, jangan takut sebab banyak air di sekeliling.

e. Air zam-zam

Pernah Nabi berwudhu’ menggunakan air zam-zam.

f. Air ajin

Ini adalah jenis air yang bercampur dengan benda lain, tetapi tidak mengubah sifatnya sebagai air mutlak. Kerana sedikit sahaja bercampur dengan benda asing. Dan benda itu pula suci.

Sebagai contoh, air yang dimasuki oleh daun, sabun, tepung. Masuk itu sedikit, sampai tidaklah menjadikan air itu sebagai ‘air sabun’, ‘air tepung’.

Ia tetap air mutlak lagi (suci lagi menyucikan). Dalilnya Nabi menyuruh guna air campuran perahan daun bidara untuk mandikan mayat.

Termasuk jenis air ini adalah air yang tersimpan di dalam bekas dan air itu ada bau bekas itu. Macam kalau kita letak air dalam baldi, ada bau plastik pada air itu. Tiada masalah untuk memakainya.

g. Air yang bercampur dengan benda najis, tapi tidak mengubah rasa, warna dan bau

Ini mungkin orang kita ada masalah sedikit. Terutama kepada mereka yang ada penyakit was-was. Mereka takut sangat kalau-kalau ada najis termasuk ke dalam air tadahan.

🔺Oleh itu, kita kena tanya tiga perkara:
– berubah tak rasa dia?
– berubah tak warna dia?
– berubah tak bau dia?

Kalau salah satu ini ada, maka air itu tidak boleh dipakai sebagai mengangkat wudhu’. Kalau ketiga-tiga tidak ada, maka bolehlah dipakai.

Ini berdasarkan hadith:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُطْرَحُ فِيهَا الْحِيَضُ وَلَحْمُ الْكِلَابِ وَالنَّتْنُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Dari Abu Said Al Khudri RA, bahwa Rasulullah pernah ditanyakan, “Apakah kita akan berwudhu dengan memakai air sumur Budho’ah? Sedangkan sumur tersebut biasa di airi air hujan, yang membawa kain bekas darah haid, daging-daging anjing, dan kotoran manusia? “Maka Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya air itu suci dan mensucikan, tidak dinajiskan oleh sesuatu apapun. ” {Shahih}
Riwayat Abu Dawud

Sebagian ulama seperti Abu Hanifah, Asy Syafi’i, Ahmad dan pengikut mereka memegang pendapat bahawa jika air kurang dari dua qullah (orang kita sebut kolah) dan kemasukan najis sedikit ataupun banyak, baik airnya berubah atau tidak, maka air tersebut menjadi najis.

Misalnya airnya adalah 5 liter, kemasukan satu titik kencing walaupun tidak merubah bau, rasa dan warnanya, maka air tersebut tetap najis kerana air lima liter masih kurang dari dua qullah. Mari kita bincangkan.

✒️Nota:
Berapa banyak air dua qullah itu? Ringkasnya ukuran air dua qullah adalah ukuran sekitar 200 liter.

Adapun hadits mengenai air dua qullah adalah sebagai berikut:

‎إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

“Jika air telah mencapai dua qullah, maka tidak mungkin dipengaruhi kotoran (najis).”
(HR. Ad Daruquthni)

Dalam riwayat lain disebutkan,

‎إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يُنَجِّسْهُ شَىْءٌ

“Jika air telah mencapai dua qullah, maka tidak ada sesuatupun yang menajiskannya. ”
(HR. Ibnu Majah dan Ad Darimi)

Walaupun hadis-hadis ini ada juga yang mengkritiknya tetapi dihasankan oleh Syaikh Albani dan Ibnu Taimiyyah. Jadi dari dua hadis ini, ulama berhujah yang kalau sedikit najis masuk dalam air yang kurang dua qullah, maka air itu tidak suci lagi.

Tapi bagaimana kalau air itu lebih dari dua qullah tetapi bila dimasuki najis telah berubah bau, warna atau rasa? Sepakat ulama mengatakan tidak suci.

Jadi perbincangan sekarang adalah bagaimana kalau air kurang dari dua qullah tetapi kemasukan najis tidak mengubah warna, bau atau rasa?

Kita telah sebutkan pendapat pertama yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara kita. Namun ulama lainnya seperti Imam Malik, ulama Zhohiriyah, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim, menyatakan bahawa air tidaklah menjadi najis dengan hanya sekedar kemasukan najis.

Air tersebut bisa menjadi najis apabila berubah salah satu dari tiga sifat yaitu rasa, warna atau baunya. Alasan pendapat pertama tadi kurang tepat kerana ada sebuah hadits yang menyebutkan,

‎إِنَّ الْمَاءَ طَهُورٌ لاَ يُنَجِّسُهُ شَىْءٌ

“Sesungguhnya air itu suci, tidak ada yang dapat menajiskannya.”
HR. Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa’i, Ahmad. Hadits ini dikatakan shohih oleh Syaikh Al Albani dalam Misykatul Mashobih no. 478

Hadits ini menjelaskan, air asalnya adalah suci sampai berubah rasa, bau atau warnanya.

Kalau begitu, bagaimana dengan hadis tentang dua qullah di atas? Itu Nabi hendak memberitahu kebiasaan air kalau banyak sampai dah dua qullah, maka tidaklah ia senang menjadi najis. Tapi tidaklah hadis itu meletakkan minima air kena ada dua qullah baru tidak terkesan dengan najis.

🔺Maka yang penting adalah: ada penukaran bau, rasa atau warna tak?

h. Air musta’mal (air yang telah digunakan)

Mus’tamal artinya sesuatu yang dipakai. Air mus’tamal adalah air yang telah digunakan untuk bersuci.

Sayyid Sabiq dalam Fiqhus Sunnah mengatakan:

‎وهو المنفصل من أعضاء المتوضئ والمغتسل

“Air musta’mal adalah air yang jatuh dari anggota badan orang yang berwudhu atau mandi” (Fiqhus Sunnah, 1/18).

Air musta’mal adalah suci dan boleh digunakan untuk wudhu’, mandi junub. Antara dalil yang membenarkan adalah hadis:

Hadits dari Al Miswar radhiallahu’anhu:

‎وإِذا توضَّأ النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ –، كادوا يقتتلون على وَضوئه

“Jika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berwudhu, mereka (para sahabat) hampir-hampir saling membunuh (kerana memperebutkan) bekas wudhu baginda”
(HR. Al Bukhari 189).

Dari hadis ini, kita boleh perhatikan yang para sahabat ber-tabarruk dengan air bekas wudhu Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam. Jika air musta’mal itu najis, maka tentu tidak akan diperebutkan oleh para sahabat dan akan dilarang oleh Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam.

Juga hadis:

‎عن ابن عباس –رضي الله عنهما– قال: اغتسل بعض أزواج النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – في جفنة ,فجاء النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ليتوضَّأ منها –أو يغتسل– فقالت له: يا رسول الله! إِنِّي كنتُ جُنُباً. فقال رسول الله – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: إِنَّ الماء لا يُجْنِب

Dari Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma, ia berkata: sebagian istri Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam mandi dalam sebuah bak. Lalu Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam datang untuk berwudhu -atau mandi- dari air bak tersebut. Maka diantara istri Nabi ada yang berkata: “Wahai Rasulullah, saya tadi mandi junub di situ”. Maka Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallambersabda: “sesungguhnya air itu tidak membuat junub”
(HR. Tirmidzi no. 65, ia berkata: “hasan shahih”).

Hadits di atas ini adalah dalil tegas bahawa air musta’mal boleh digunakan untuk bersuci. Dan banyak lagi sebenarnya dalil-dalil yang diutarakan oleh ulama berkenaan perkara ini.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:
“Semua yang disebut dengan sebutan ‘air’ maka ia suci dan mensucikan. Baik ia musta’mal (telah digunakan) untuk bersuci yang wajib atau bersuci yang sunnah, atau bersuci yang tidak sunnah (mubah)”
(Majmu’ Al Fatawa 19/236, dinukil dari Fatawa As Sual wal Jawab no. 224255).

Jadi kalau lebih basuhan pada tubuh kita dari wuduk atau dari mandi junub terkena kepada baldi berisi air, maka tidaklah menjadikan air itu sudah tidak boleh pakai.

Ada kalangan orang kita sampai tidak boleh menitik langsung. Ada juga yang tidak berani hendak cedok dalam bekas tadahan kerana takut air dalam tadahan itu jadi air musta’mal.

🔺Dari dalil-dalil yang diberikan, maka dapatlah kita tahu bahawa air musta’mal boleh digunakan dalam wuduk dan dalam mandi hadas. Jadi sudah tidak perlu risau.

i. Air yang telah dihangatkan atau dipanaskan

Ada satu fahaman dalam masyarakat kita yang air musyammas (air yang terdedah kepada matahari) tidak boleh digunakan untuk berwuduk.

Ini tidak benar kerana hadis: “Janganlah kalian mandi dengan air yang dipanasi oleh cahaya kerana itu dapat menyebabkan penyakit kusta”, tidak sahih.

Selepas ini kita sambung ke jenis air yang suci, tapi tidak menyucikan.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-2☘️
==========================

📍Bagaimana dengan air yang disimpan di dalam tempayan tetapi bila masa hendak digunakan berubah warna sedikit seperti kekerohan dan kita yakin tiada najis yang masuk ke dalam. Bolehkah dikira suci?

🔵 Ini air ajin. Boleh pakai tanpa was-was.

📍Bagaimana pulak air paip yang sudah di masak dan air paip yang di tapis? Adakah ini air mutlak?

🔵 Ya.

📍Jika air dalam lopak air atau di lubang-lubang jalan adakah boleh dikira air mutlak?

🔵 Ini air kotor. Adakah hendak pakai untuk ambil wuduk? Ia mungkin tidak najis tetapi kalau kotor, cari air lain lah.

📍Apakah bahagian jenis air untuk kapur barus kerana campuran air tersebut di gunakan semasa mandi jenazah pada kebiasaan orang melayu.

🔵 Termasuk jenis Air ajin.

📍 Jadi ustaz perubahan 3 sifat air itu hanya untuk yang kemasukkan najis dan bukan benda yang bukan najis kan?

🔵 Kalau dimasukkan kopi banyak sangat yang walaupun ia bukan najis, sampai jadi air kopi, tidak boleh juga untuk buat air wuduk.

📍Bagaimana kalau air yang termasuk tahi cicak?

🔵 Tahi cicak dikira termasuk dalam umum balwa. Satu konsep dalam fiqh: banyak sangat sampai susah hendak jaga. Maka dimaafkan. Kecualilah ada dua ribu tahi cicak tentu tidak sanggup hendak gunakan.

📍Jika air itu termasuk air najis tetapi tiada rasa dan bau malah kita tidak tahu,bolehkah digunakan untuk amik wuduk?

🔵 Bila tidak tahu itu yang maksudnya tidak berubah bau rasa dan warna. Mulanya kita tengok air tu ada warna lain macam tak? Nampak ok…tetapi bila angkat hendak letak ke muka…sudah tahu. Lagi pulak kalau kumur. Maka Islam sudah ajar tiga cara hendak test air.

📍Adakah air kapur barus itu sah digunakan untuk berwuduk kerana baunya kuat?

🔵 Sah. Kalau tidak sah, tidak bolehlah pakai basuh jenazah. Cuma dalam keadaan biasa, tidak pakai kan kapur masuk air?

📍Apakah kategori air hujan yang mengalir dari atap rumah kita sebab kita tidak tahu apa yang ada dekat atap?

🔵 Air ajin. Gunakan tiga cara untuk pastikan (check) warna, bau dan rasa.

📍 Bagaimana pula dengan air banjir yang banyak dan pekat?

🔵 Kalau keruh sangat, ia sudah jadi air lain: air becak, air banjir, air hampas.Tidak termasuk air mutlak lagi. Kalau masih nampak ok, ia cuma air ajin. Tiga cara tentukan warna,bau dan rasa.

📍Ini berkenaaan kisah kanak-kanak apabila mandi dalam satu bekas dan terkencing di dalam bekas tersebut, apakah kategori air itu? Bolehkah orang lain gunakan air itu?

🔵Pertama, jangan kencing bersepah dan ini semua tahu.
Kedua, kalau sudah tahu, basuhlah dulu sebab berlaku depan mata, tentu tidak mahu pakai.
Ketiga, kalau tidak nampak, kita tidak perlu periksa (check). Kita kena kira sebagai najis kalau kita nampak, atau berubah warna bau rasa.

Dari segi hukumnya jikalau tidak berubah bau warna dan rasa maka air itu masih dikira air suci. Kita masih lagi boleh pakai air itu untuk mengangkat hadas kita. Tetapi kita kena tahu yang jikalau kita kata air itu masih boleh digunakan tidak lah kita ‘suruh’ pakai. Kalau kita sudah tahu ada orang kencing Maka janganlah kita pakai kerana kita boleh cari air lain.

📍Bagaimana jika memang tiada air lain? Walaupun ada bau tetapi bau tanah sahaja dan kalau tayamum juga tidak boleh sebab semuanya di penuhi lumpur.

🔵 Air suci lagi. Kencing tu sikit sangat sedangkan air kolah banyak kerana yang banyak melarutkan yang sikit. Gunakan kaedah warna, bau, rasa untuk pastikan.

📍Apakah maksud sabda Rasulullah SAW “sesungguhnya air itu tidak membuat junub” maksudnya??

🔵 Air itu tidak ikut jadi junub sekali. Tetap suci.

📍Bolehkah kalau amik wuduk dalam baldi?

🔵 Boleh. Nabi dan sahabat biasa buat. Basuhan tangan pertama sahaja dekat luar. Lepas itu boleh cedok guna tangan.
Maksud basuhan pertama ialah jangan terus cedok sebab tangan itu mungkin kotor.

📍Jika orang yang pegang pendapat air mustakmal itu tidak boleh digunakan bersuci, kita perlu hormat, adakah kedua-dua pendapat ini adakah sama kuat?

🔵 Ya kita hormati kalau dia pakai juga pendapat itu. Namun yang kuatnya air musta’mal suci tetapi kalau ada hendak pakai juga, ikut dia lah.

📍Maksudnya boleh guna juga pendapat yang kurang kuat?

🔵 Boleh,kerana ia juga pendapat ulama yang Mujtahid. Entah-entah pendapat ini yang benar. Nabi sudah tiada hendak pastikan. Maka kita hormat. Maka kita boleh usaha sahaja hendak nilai berdasarkan hujah dan dalil yang ada. Maka setakat ini kita pegang air musta’mal suci. Dia juga kenalah hormat pegangan kita.

📍Adakah najis burung dikira najis dan najisnya sama kedudukannya dengan tahi cicak..

🔵 Ini dikira sebagai umum balwa juga. Susah hendak jaga. Oleh kerana burung boleh dimakan, maka tahi dia tidak najis.Ya sama kedudukan dengan najis cicak.

📍Ada sebuah masjid di pulau menggunakan air hujan dan air pam dari lubang yang dibuat. Bila air hujan sudah habis dari tangki simpanan mereka gunakan pula air pam dari perigi tersebut. Adakala satu masa air terasa masin sewaktu berwuduk. Apa status air tersebut dan apa yang harus dibuat ketika situasi tersebut?

🔵Ini ialah air ajin. Sikit sahaja rasa masin itu.

📍Bagaimana pula air hujan yang ditadah dalam bekas besar tetapi di dalamnya terdapat lumut (tumbuhan hijau/hitam). Adakah masih guna kaedah 3 cara (rasa/warna/bau)?

🔵Termasuk dalam kategori air ajin. Bau tanah sahaja, bukan bau najis. Tanah itu suci (suci dalam debu)

📍Ada sesetengah tempat seperti bendang atau paya sebegini. Bagaimana dengan status airnya? Adakala airnya bersih dan juga keruh. Macam dulu-dulu ada orang mandi bersama haiwan di tempat ini.

🔵Air ajin dan ini suci dalam debu juga.

📍Bagaimana dengan air dalam tali air dekat sawah padi yang biasanya pada musim panas air nya bertukar warna,ada bau dan itik berenang di situ.

🔵Air ajin. Tanah dan itik suci.

📍Ini boleh bermaksud tidak mengubah warna air?

🔵Air itu mungkin berubah warna kerana bercampur tanah tetapi kerana ia suci, tidak mengapa kalau berubah warna. Mungkin juga berlumut, tetapi lumut itu tidak najis maka tidak mengapa.

📍Apakah air sumur budho’ah? Kalau di tempat saya sumur itu bermaksud perigi.

🔵Nama sumur itu macam Telaga Hang Tuah,Telaga Mahsuri dan di Arab juga ada nama telaga.

📍Air musta’mal adalah suci dan boleh digunakan untuk wudhu’, mandi junub.
Jadi selama ini anak saya dan saya salah dalam menilai air musta’mal. Kalau belajar di sekolah dalam buku agama , air musta’mal suci tapi tidak boleh buat bersuci.

🔵 Buku sekolah pakai mazhab Syafie. Memang lah tidak boleh pakai untuk bersuci tetapi kita sudah jelaskan bahawa pendapat lebih kuat, air musta’mal suci dan menyucikan.

📍Jika kebiasaan apabila mandi tadah air dalam tong, air percikan yang kita mandi masuk dalam tong. Jadi air itu juga diguna untuk mandi jubub masih suci bolehkan, sebab ia jadi air ajin, selagi tidak merubah rasa, bau dan warna.Benarkah pemahaman saya ini?

🔵 Bukan air ajin tetapi air musta’mal. Kita sudah jelaskan bahawa ia suci dan menyucikan.

📍Bagaimana pula pemanas air (water heater), apakah hukumnya jika musim hujan mandi wajib dan wudhu adakalanya gunakan water heater?

🔵 Air jenis itu boleh dipakai. Sahabat biasa sahaja pakai air yang dipanaskan. Negara mereka ada musim sejuk yang kalau pakai air untuk mandi boleh jadi sakit sebab sejuk sangat.

📍Adakah terdapat larangan mandi junub tidak dibenarkan menggunakan air berlebihan, contoh mandi junub guna shower/air pancuran?

🔵 Nabi pernah tegur sahabat yang guna air banyak untuk ambil wuduk. Cuma mungkin orang mandi junub sekali dengan mandi biasa. Maka bolehlah.

📍Kaedah warna, bau dan rasa, maksudnya jika warna gunakan penglihatan dan bau kita gunakan hidung. Bagaimana pula dengan rasa? Rasa ini dalam deria sentuhan,lidah atau kedua-dunya?

🔵 Kalau ambil wuduk bukankah kita kumur? Itu rasa lah maksudnya.

📍Apabila kita sertu atau samak hendaklah menggunakan air yang ‘dicampur’ dengan tanah dan tidak boleh menggunakan air yang telah ‘bercampur’ dengan tanah (air lumpur).Benarkah begini?

🔵 Kalau air lumpur itu sudah boleh digunakan (ready-made) untuk sertu.

📍Sebelum ini ada melakukan begitu, adakah sah solat atau perlu qadha?

🔵Perkara sudah lepas tidak perlu qadha sebab berapa banyak awak hendak qadha? Banyak kesalahan yang dilakukan oleh sahabat, Nabi ada tegur tetapi baginda tidak suruh qadha.

📍Bukankah air itu telah menjadi air mustakmal, maka bolehlah berwuduk dan sah solat?

🔵Ini bab kebersihan. Tangan itu entah apa yang dilakukan sebelum itu, pegang apa-apa, maka jangan basuh dalam cebok/bejana/baldi.

📍Ustaz, air musta’mal tu sehingga berapa kali ia bersifat menyucikan? Contoh macam bekas lebihan isteri diguna untuk suami lepas itu diguna oleh yang lain sehingga seterusnya, sampai bila ustaz, tambahan pula kalau keadaan air sangat sikit ketika itu.

🔵Air musta’mal ini apabila bercampur air yang telah diangkat hadas ,menitik kembali atau celup tangan dalamnya. Tapi tidaklah para sahabat guna air iberkali-kali. Tidaklah ditadah air itu dan kemudian guna balik. Bukan tadah kemudian guna balik tetapi kalau air dalam baldi dicelup untuk wuduk. Kemudian orang lain guna dan seterusnya,masih lagi boleh dipakai. Cuma tidaklah tadah dekat bawah.

📍Adakah air ajin mempunyai peringkat? Jika air paya (tali air) yang tidak mengalir dan airnya coklat pekat dan nampak berminyak, adakah masih boleh digunakan?

🔵 Boleh agak sendiri samada ia bersih atau tidak. Kita di Malaysia ini banyak air. Selalu tidak ada masalah sebegini.

📍 Air tadahan baldi lebihan wudhuk (yang diambil dari paip) kategori apa?

🔵Air musta’mal.

📝Soalan luar topik kelas

📍Solat Dhuha ini ada yang katakan bukan Sunnah. Benarkah begitu?

🔵 Ya memang ada yang kata solat dhuha tidak ada.Namun tetap solat waktu dhuha itu dibenarkan. Ramai lagi yang kata ada solat dhuha. Nanti kita bincangkan di bab solat nanti.

📍Bagaimanakah cara pengiraan fidyah untuk ayah saya yang baru meninggal 9. Bolehkah duit peninggalan arwah digunakan untuk mmbeli beras sebagai bayar fidyah trsebut.

🔵 Ya,boleh guna duit peninggalan beliau untuk fidyah. Berapa hari tinggal puasa? Beri makan orang miskin untuk setiap hari tinggal. Saya cadangkan sponsor makanan di rumah anak yatim atau rumah gelandangan.

📍Mengenai puasa arwah ayah. Apakah kita kena kira anggaran sejak dia akil baligh sebab tidak pasti jumlah yang ditinggalkan? Sebelum ni alhamdulillah ayah saya boleh puasa penuh dan jika ada yang tertinggal sudah di ganti puasa itu. Apakah kita harus kira puasa yang ditinggalkan semasa zaman dia baru akil baligh?

🔵Kalau dia hendak ganti, dia patutnya telah wasiatkan tetapi tidak nampaknya. Maka kita juga tidak tahu dia ada tinggalkan atau tidak. Jadi kita doakan sahaja semoga semua dosanya diampunkan.

📍Selalunya adat di kampung saya mereka berikan beras dibayar sebagai fidyah. Bagaimana pengiraan itu dibuat sebenarnya?

🔵Asalnya fidyah ini beri makan. Ini pilihan saya tetapi ulama sudah mudahkan beri kelonggaran boleh ganti dengan beras. Satu cupak sehari.

📍Bolehkah jika ditukar dalam bentuk tunai,bayar ikut nilai satu cupak?

🔵 Asal hukum fidyah adalah dengan beri makanan, firman Allah Ta’âla,

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

“Dan orang-orang yang berat menjalan­kan (puasa) tersebut (jika tidak berpuasa) wajib membayar fidyah, (yaitu) memberi makan seorang miskin.” [Surah Al-Baqarah: 184]

Ada ulama yang membenarkan ganti dengan beras.Kemudian ada yang benarkan ganti dengan wang. Saya memilih tetap kena beri makan.

📍Bagaimana dengan 2 situasi di bawah?

1)kalau janin digugurkan kerana berzina, dikira syubahatkan?

2) Janin itu digugurkan dan halal disebabkan perkahwinan tetapi hanya sebelah pihak yang tahu (isteri) kerana beban kewangan dan sebagainya.

🔵Tidak subahat kerana sudah lepas kejadian itu. Gugur kerana beban kewangan bukan sebab yang sah. Haram hukumnya.

📍Kaki manakah yang patut di dahulukan ketika masuk atau keluar dari masjid dan juga tandas ?

🔵 Konsep utama:
Perlu dibandingkan dari mana dan hendak ke mana?

1) Keluar atau masuk ke masjid

• Dari dunia luar hendak ke masjid;
Masjid lebih mulia, maka masuk masjid dengan dahulukan kaki kanan.

• Dari masjid hendak ke luar;
Dari masjid hendak masuk ke dunia yang rendah, maka dahulukan kaki kiri.

2) Keluar atau masuk ke tandas

• Dari dunia luar hendak masuk ke tandas;
Tandas lebih hina jika dibandingkan dengan dunia luar. Maka dahulukan kaki kiri.

• Dari tandas ke dunia luar;
Hendak keluar ke kawasan yang lebih mulia, maka dahulukan kaki kanan.

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s