E. Beberapa Permasalahan Melibatkan Tayammum

Tajuk:
🔗 Bolehkah Tayammum bagi orang yang khuatir tertinggal rombongan?
🔗 Tayammum untuk balas salam ketika bermukim atau pun safar, walaupun pada ketika itu ada air.
🔗 Tayammum bagi orang sakit.
🔗 Tayamumum orang yang musafir
🔗 Tayammum orang yang dalam junub.
🔗 Apakah benar tayammum sampai ke lengan atau sampai ke ketiak?
🔗 Adakah tayammum sekali tepuk atau dua kali tepuk pada tanah?
🔗 Adakah tayammum dapat menggantikan kedudukan air?
🔗 Syarat sucinya tanah yang digunakan untuk tayammum.
🔗 Boleh tayammum secara jamaah dari satu tempat.
🔗 Sah solat orang yang wudu’ mengikuti imam yang tayammum.
🔗 Orang yang solat dengan tayammum tidak perlu mengulangi solat walaupun air ada sebelum habis waktu solat.
🔗 Membeli air untuk wudhu’ dan tidak tayammum.
🔗 Adakah batasan jarak tertentu untuk mencari air sebelum tayammum?
🔗 Jika air hanya cukup untuk bersuci.
🔗 Solat tanpa wuduk mahu pun tayammum.
🔗 Bolehkah seseorang bertayammum jika dia mampu menggunakan air tetapi khuatir akan keluar waktu apabila menggunakannya?
🔗 Makruhkah orang yang tidak mendapatkan air menyetubuhi isterinya?

E. Beberapa permasalahan yang melibatkan Tayammum

Seperti biasa, ada sahaja perbincangan yang timbul dalam bab Tayammum ini. Ulama telah membincangkan banyak perkara dan sekarang kita bincangkan beberapa permasalahan yang selalu ditimbulkan.

Semoga dengan meneliti permasalahan-permasalahan ini, kita semakin faham tentang Tayammum dan dapat mengamalkannya.

1. Bolehkah Tayammum bagi orang yang khuatir tertinggal rombongan?

Ini satu masalah yang mungkin sering terjadi. Biasalah Rombongan Kak Limah tiap-tiap cuti sekolah akan ada melawat ke sana sini naik bas. Bolehkah hendak pakai tayammum dalam keadaan begitu? Ini disebabkan kalau pergi ke tandas takut kena tinggal pula?

Begitu jugalah dalam keadaan menaiki bas express. Bolehkah tayammum sahaja? Syaikh Albani menjawab pertanyaan ini dengan mengatakan ini adalah isu relatif. Tertinggal rombongan itu bergantung kepada keadaan.

Ada yang kalau tertinggal itu boleh menyebabkan nyawa melayang kerana kena tinggal di kawasan musuh. Selain itu ada yang cuma tertinggal rombongan sahaja dan nanti rombongan akan patah balik.

Maka, ini kena nilai keadaan sendiri: adakah ia membahayakan atau tidak? Ia bergantung kepada keadaan anda. Anda sendiri yang akan menjawab di hadapan Allah ﷻ.


 

2. Tayammum untuk balas salam ketika bermukim atau pun safar, walaupun pada ketika itu ada air

✍Isu ini adalah berdasarkan hadis ini:

325 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ الْأَعْرَجِ قَالَ سَمِعْتُ عُمَيْرًا مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَقْبَلْتُ أَنَا وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَسَارٍ مَوْلَى مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى أَبِي جُهَيْمِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ الصِّمَّةِ الْأَنْصَارِيِّ فَقَالَ أَبُو الْجُهَيْمِ الْأَنْصَارِيُّ أَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الْجِدَارِ فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

325. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Ja’far bin Rabi’ah dari Al A’raj ia berkata, “Aku mendengar Umair mantan budak Ibnu Abbas, dia berkata, “Aku dan Abdullah bin Yasar, mantan budak Maimunah, isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengunjungi Abu Juhaim Ibnul Harits bin Ash Shimmah Al Anshari, dia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kembali dari Bi`ar Jamal (nama tempat), lalu ada seorang laki-laki menemui baginda seraya memberi salam, namun baginda tidak membalasnya. Baginda kemudian pergi ke dinding dan menepuk tangan ke dinding, lalu mengusap muka dan kedua belah tangannya. Baru kemudian membalas salam kepada orang itu.”
Sahih Bukhari no. 325.

Syarah:
Waktu itu Nabi Muhammad ﷺ berada di Madinah, maka baginda sedang bermukim dan baginda dalam hadas pada waktu itu. Apabila baginda mendengar salam, baginda tidak mahu menjawab salam itu dalam hadas, maka baginda terus sahaja tayammum.

Mungkin air ada waktu itu, tetapi baginda ﷺ hendak cepat kerana takut orang yang beri salam itu akan pergi. Ini hanya sunat sahaja. Tidaklah kita perlu ada wuduk baru boleh jawab salam.


 

3. Tayammum bagi orang sakit.

Walaupun ada air, tetapi orang sakit boleh menggunakan Tayammum.

✍Dalilnya ayat Maidah:6

وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah.

Namun, persoalannya, sakit yang macam mana? Maka ini pun perlu dijawab sendiri oleh pesakit. Sama ada sakitnya itu boleh pakai air atau tidak.

Ini kerana ada sakit yang biasa sahaja, demam sikit sahaja. Bolehlah pakai air untuk wudu’ kalau begitu, janganlah mengada-ngada tetapi ada jenis sakit yang memang bahaya pakai air. Mungkin luka tidak dapat sembuh atau air sangat sejuk sampai boleh menyebabkan dia jadi demam lagi teruk.

Selain itu mungkin, dia sakit dan air ada, tetapi tidak boleh hendak ke bilik air untuk ambil air. Maka ini pun boleh tayammum juga. Ringkasnya, kita kena nilai sendiri keadaan kita. Letaklah diri di pertengahan: jangan bermudah sangat dan jangan menyusahkan diri sangat sampai membahayakan.


 

4. Tayamum orang yang musafir

Selalunya Tayammum ini diamalkan oleh orang yang dalam musafir.

✍Dalil bagi orang yang musafir boleh tayammum (kalau tidak jumpa air) adalah ayat Nisa’:43

وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu

Mungkin dalam perjalanan itu ada air, tetapi air itu sedikit sahaja dan diperlukan untuk minuman, maka dalam keadaan ini boleh tayammum menggantikan air untuk mengangkat hadas.


 

5. Tayammum orang yang dalam junub.

Orang yang bertayamum juga boleh menggunakan Tayammum untuk mengangkat hadas besarnya itu.

✍Dalilnya adalah ayat Maidah:6 itu juga

وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah

Dalam ayat ini, kalimah ‘menyentuh wanita’ itu bukan sahaja bermaksud ‘sentuh’ biasa tetapi bersentuh-sentuhan. Keadaan yang dimaksudkan adalah jimak. Maka kalau dalam junub dan tiada air, maka boleh menggunakan tayammum. Ini disokong oleh sunnah juga.

✍Lihat hadis ini:

326 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

326. Telah menceritakan kepada kami Adam ia berkata; telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Hakam dari Dzar dari Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari Bapaknya berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Umar Ibnul Khaththab dan berkata, “bagaimana kalau aku mengalami junub tapi tidak mendapatkan air?” Maka berkatalah ‘Ammar bin Yasir kepada ‘Umar bin Al Khaththab, “Masih ingatkah engkau ketika kita dalam suatu perjalanan? Ketika itu aku dan engkau sedang berjunub. Adapun engkau tidak bersolat. Sedangkan aku bergulingan di atas tanah lalu solat? Kemudian hal itu aku sampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenarnya cukup kamu melakukan begini.” Baginda lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya di bahagian belakangnya hingga ke pergelangan.”
Sahih Bukhari no. 326

Syarah:
Hadis ini menjadi dalil bahawa junub juga boleh diangkat dengan Tayammum. Sama sahaja caranya untuk mengangkat hadas kecil, tidak ada bezanya. Bagaimana kalau dalam haidh? Sama juga, boleh tayammum.


 

6. Apakah benar tayammum sampai ke lengan atau sampai ke ketiak itu sahih?

Ada juga pendapat yang mengatakan sapu tangan dalam Tayammum itu seperti juga dalam wuduk: sampai ke siku. Ini adalah pendapat mazhab Syafie dan inilah yang diajar di sekolah-sekolah kita kerana rata-ratanya masyarakat kita berpegang dengan mazhab Syafie.

Ada juga yang berpendapat, tangan itu disapu sampai ke ketiak kerana tangan itu seluruh tangan kata mereka, iaitu sampai ke ketiak.

📍Lalu apakah pendapat yang rajih?

Dalam Kitab Sahih Bukhari, beliau bawa satu tajuk dalam Kitab Tayammum: Tayammum Untuk Muka Dan Kedua (Belakang) Tapak Tangan (Sahaja) . Tajuk ini dalam nada jazam (tegas) kerana Imam Bukhari hendak kritik pendapat yang mengatakan kena sapu sampai lengan dan ada yang kata sampai ketiak. Yang mengatakan demikian, mereka menggunakan konsep qiyas.

✍Hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari adalah hadis riwayat Ammar:

327 – حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ أَخْبَرَنِي الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ عَمَّارٌ بِهَذَا وَضَرَبَ شُعْبَةُ بِيَدَيْهِ الْأَرْضَ ثُمَّ أَدْنَاهُمَا مِنْ فِيهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ
وَقَالَ النَّضْرُ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ قَالَ سَمِعْتُ ذَرًّا يَقُولُ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى قَالَ الْحَكَمُ وَقَدْ سَمِعْتُهُ مِنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ عَمَّارٌ

327. Telah menceritakan kepada kami Hajjaj dia berkata; telah mengabarkan kepada kami Syu’bah telah mengabarkan kepada kami Al Hakam dari Dzarri dari Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari bapanya, telah berkata ‘Ammar: buat begini. Sambil Syu’bah menepuk kedua telapak tangannya ke tanah lalu mendekatkannya kepada mulutnya (lalu meniupnya) kemudian mengusapkannya ke mukanya dan bahagian belakang kedua tangannya. Dan telah berkata An Nadlar telah mengabarkan kepada kami Syu’bah dari Al Hakam dia berkata; saya mendengar Dzarr berkata; dari Ibnu Abdurrahman bin Abzaa, berkata Al Hakam; dan aku telah mendengarnya dari Ibnu Abdurrahman dari ayahnya berkata; Ammar berkata: muka bumi yang suci adalah air sembahyang (bahan penyuci) orang Islam. Ia memadai untuknya sebagai pengganti air.
Sahih Bukhari no. 327

Ayat Qur’an berkenaan dengan tayammum menggunakan kalimah ‘tangan’ tetapi tidak disebutkan had untuk menyampu dalam tayammum. Maka ada yang memegang perlu disapu sampai lengan mengikut perbuatan dalam wudu dan ada juga yang pegang bahawa perlu disapu keseluruhan tangan sampai ketiak.

Tidak pula mereka kata sapu sampai bahu kalaulah betul hendak pakai makna keseluruhan tangan. Sebenarnya kita kena pakai yang selalu dipegang sebagai ‘tangan’ dalam penggunaan syarak iaitu sampai pergelangan tangan sahaja.

Contohnya, dalam mengamalkan hudud, apabila pencuri ditangkap, mereka yang dipotong tangan juga hanya sampai pergelangan juga walaupun tidak disebut had tangan untuk dipotong di dalam Qur’an. Ini kerana pengamalannya dilihat dan diambil dari perbuatan Rasulullah.

Kesimpulan:
Untuk tayammum, maka hanya sapu pada muka dan tangan sampai ke pergelangan tangan sahaja. Malah lebih tepat lagi, belakang tapak tangan sahaja kerana tapak tangan sendiri sudah kena muka bumi maka tidaklah perlu untuk disapu lagi.

Malah, kalau kita lihat cara ini amatlah mudah bagi para wanita. Mereka tidak perlu juga hendak sinsing lengan.


 

7. Adakah tayammum sekali tepuk atau dua kali tepuk pada tanah?

Adakah tepukan sekali atau dua kali? Dua kali itu maksudnya: sekali untuk muka dan sekali lagi untuk tangan. Malah ada yang berkata sehingga tiga kali.

Tepukan pada muka bumi itu sekali sahaja. Inilah pendapat Imam Bukhari رضي الله عنه sampaikan beliau memasukkan satu tajuk di dalam Kitab Tayammum di dalam Sahih Bukhari: بَاب التَّيَمُّمُ ضَرْبَةٌ (Bab Bertayammum Hanya Dengan Satu Tepukan)

✍Beliau membawakan hadis ini sebagai hujah:

334 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ شَقِيقٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ فَقَالَ لَهُ أَبُو مُوسَى لَوْ أَنَّ رَجُلًا أَجْنَبَ فَلَمْ يَجِدْ الْمَاءَ شَهْرًا أَمَا كَانَ يَتَيَمَّمُ وَيُصَلِّي فَكَيْفَ تَصْنَعُونَ بِهَذِهِ الْآيَةِ فِي سُورَةِ الْمَائِدَةِ { فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا }
فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ لَوْ رُخِّصَ لَهُمْ فِي هَذَا لَأَوْشَكُوا إِذَا بَرَدَ عَلَيْهِمْ الْمَاءُ أَنْ يَتَيَمَّمُوا الصَّعِيدَ قُلْتُ وَإِنَّمَا كَرِهْتُمْ هَذَا لِذَا قَالَ نَعَمْ فَقَالَ أَبُو مُوسَى أَلَمْ تَسْمَعْ قَوْلَ عَمَّارٍ لِعُمَرَ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَاجَةٍ فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِد الْمَاءَ فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ نَفَضَهَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِe أَفَلَمْ تَرَ عُمَرَ لَمْ يَقْنَعْ بِقَوْلِ عَمَّارٍ
وَزَادَ يَعْلَى عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ شَقِيقٍ كُنْتُ مَعَ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبِي مُوسَى فَقَالَ أَبُو مُوسَى أَلَمْ تَسْمَعْ قَوْلَ عَمَّارٍ لِعُمَرَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَنِي أَنَا وَأَنْتَ فَأَجْنَبْتُ فَتَمَعَّكْتُ بِالصَّعِيدِ فَأَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا وَمَسَحَ وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ وَاحِدَةً

334. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Salam berkata; telah mengabarkan kepada kami Abu Mu’awiyah dari Al A’masy dari Syaqiq dia berkata; Aku pernah duduk bersama ‘Abdullah bin Mas’ud dan Abu Musa Al Asy’ari. Lalu Abu Musa berkata kepadanya, “Seandainya ada seseorang mengalami junub dan tidak mendapatkan air selama satu bulan, adakah dia tidak boleh bertayamum dan salat? Abdullah menjawab: Dia tidak boleh bertayammum walaupun tidak mendapat air selama sebulan. Abu Musa bertanya: Dan bagaimana dengan ayat di dalam Surah Al Maidah ayat 6: ‘(Lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih) ‘? ‘Abdullah berkata, “Kalau dipermudahkan kepada mereka dalam masalah ini, nanti bila dirasakan sejuk, mereka akan terus bertayamum menggunakan tanah.” Al A’masy bertanya, “Apakah kamu (Syaqiq) tidak suka orang bertayammum kerana ini?” Syaqiq menjawab, “Ya.” Kemudian Abu Musa berkata, “Tidakkah kamu pernah mendengar ucapan ‘Ammar kepada Umar, ‘Rasulullah ﷺ mengutusku di dalam suatu urusan, aku lalu junub dan tidak mendapatkan air. Maka aku pun berguling-guling di atas tanah seperti haiwan. Kemudian aku ceritakan hal tersebut kepada Nabi ﷺ, lalu baginda bersabda: “Sebenarnya cukup buatmu melakukan begini.” Nabi ﷺ kemudian menepuk telapak tangannya sekali ke permukaan tanah dan mengibaskannya, lalu mengusap belakang tangan kanannya dengan telapak tangan kirinya, dan belakang telapak kirinya dengan telapak tangan kanannya, kemudian baginda mengusap wajahnya dengan kedua-kedua belah tangannya.” Abdullah berkata, “Tidakkah engkau melihat ‘Umar tidak berpuas hati dengan kata-kata ‘Ammar itu?” Ya’la menambahkan dari Al A’masy dari Syaqiq, “Aku pernah bersama ‘Abdullah dan Abu Musa. Abu Musa lalu berkata, “Tidakkah kamu mendengar perkataan ‘Ammar kepada ‘Umar ‘Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah mengutus aku dan kamu, lalu aku mengalami junub dan kerananya aku bergulingan di atas tanah. Kemudian kita temui Rasulullah ﷺ menceritakan hal itu kepada baginda. Baginda lalu bersabda: “Sebenarnya buat begini sahaja sudah memadai untukmu.” Baginda lalu menyapu muka dan kedua tangannya satu kali sahaja.
(Sahih Bukhari No. 334)

Syarah:
Dalam hadis ini disebut Rasulullah ﷺ menepuk tangan baginda sekali sahaja ke tanah. Tidak dua atau tiga kali. Ini kita ketahui dari kalimah ضَرْبَةً yang bermaksud ‘sekali pukul’. Kalau dua kali tepuk, tentulah kalimah yang digunakan adalah ضربتين.


 

8. Adakah tayammum dapat menggantikan kedudukan air?

Perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulama’. Adakah Tayammum itu benar-benar mengangkat hadas, atau ia hanya sebagai rukhsah semasa darurat sahaja?

Kalau ia rukhsah semasa darurat sahaja, maka tidaklah hadas terangkat dengan Tayammum. Hadas masih tetap ada, cuma boleh untuk salat sahaja. Ini adalah pendapat Mazhab Syafie.

Bagi yang mengatakan Tayammum tidak mengangkat hadas, maka mereka berpendapat setiap kali hendak salat, kena Tayammum. Dan Tayammum hanya boleh dilakukan apabila waktu salat sudah masuk. Kalau waktu belum masuk, Tayammum tidak akan dikira.

Pendapat yang rajih adalah memang Tayammum itu telah mengangkat hadas. Ini adalah kerana Tayammum itu adalah ‘pengganti’ kepada air, dan sebagaimana air mengangkat hadas, maka Tayammum itu juga mengangkat hadas. Maknanya orang yang telah melakukan Tayammum adalah suci.

✍Dalilnya:

Rasulullah ﷺ bersabda, “Tanah adalah wudhu’ seorang muslim jika tidak mendapatkan air walaupun selama sepuluh tahun.”
(HR An-Nasai dan Ibnu Hibban).

Maknanya, tanah itu sebagai alat untuk menyucikan seseorang yang dalam hadas.

Ramai ulama’ yang berpendapat begini, antaranya Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah, Hasan al Basri رضي الله عنهم dan lain-lain lagi. Jadi tidak perlu untuk melakukan Tayammum setiap kali hendak salat. Dalam hadis, Nabi ﷺ ada menyebut, wanita yang istihadhah perlu mengambil wudhu’ setiap kali waktu salat. Namun, Nabi ﷺ tidak pernah menyebut orang yang bertayammum dikehendaki melakukan Tayammum setiap kali hendak salat.

Ini bersesuaian dengan kemudahan Tayammum yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Kalau setiap kali hendak salat dikehendaki melakukan Tayammum, itu tidaklah dikira sebagai memudahkan. Sudah menjadi satu kesusahan pula untuk mencari tanah untuk Tayammum.

Maknanya, sekali Tayammum dapat digunakan untuk beberapa salat, asalkan tidak batal Tayammum itu. Pembatalan Tayammum adalah sebagaimana pembatalan wudhu’ juga (seperti kentut dan buang air).


 

9. Syarat sucinya tanah yang digunakan untuk tayammum.

Syarat menggunakan tanah atau mukabumi sebagai alat Tayammum adalah ia mesti suci bersih. Kalau tidak bersih, maka tidak boleh digunakan. Ini kita pastikan dengan melihatnya sahaja. Kalau kita lihat mukabumi itu bersih tanpa najis, maka boleh digunakan tanpa was-was.

✍Dalilnya Allah ‎ﷻ berfirman dalam Nisa’:43

فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا

maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci);


 

10. Boleh tayammum secara jamaah dari satu tempat.

Tidak ada masalah untuk menggunakan tanah yang sama oleh ramai orang. Tanah itu tidak jadi mustaqmal. Sebagaimana air wudhu’ boleh diambil dari bekas yang sama oleh ramai orang, maka begitu juga dengan tanah.


 

11. Sah salat orang yang wudhu’ mengikuti imam yang tayammum

Perkara ini khilaf di kalangan ulama’. Ada ulama’ yang berpendapat makruh bagi mereka yang menggunakan Tayammum mengimami makmum yang bersuci dengan air.

Ibn Abbas رضي الله عنه pernah menjadi imam menggunakan Tayammum dan waktu itu beliau mengimami makmum yang berwudhu’. Kalau beliau tidak layak menjadi imam kerana bertayammum, tentu beliau sudah menyuruh orang lain untuk menjadi imam.

Akan tetapi sebenarnya tidak ada masalah kerana jelas di dalam hadis bagaimana telah dibawa oleh Imam Bukhari رضي الله عنه secara muallaq (tanpa sanad) dalam Sahih Bukhari:

✍Hadis

وَقَالَ الْحَسَنُ يُجْزِئُهُ التَّيَمُّمُ مَا لَمْ يُحْدِثْ وَأَمَّ ابْنُ عَبَّاسٍ وَهُوَ مُتَيَمِّمٌ وَقَالَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ لَا بَأْسَ بِالصَّلَاةِ عَلَى السَّبَخَةِ وَالتَّيَمُّمِ بِهَا

Al-Hasan berpendapat tayammum memadai untuknya selagi dia tidak berhadas. Dan Ibn Abbas رضي الله عنه menjadi imam dengan bertayamum. Yahya bin Said berpendapat tidak salah salat di atas tanah yang tandus yang masin dan bertayamum dengannya.

Dan dalam hadis yang lain, Imam Bukhari رضي الله عنه juga membawa hadis secara muallaq ketika Amar al As yang menjadi panglima perang dan beliau junub dan hanya bertayammum sahaja sedangkan ada sahabat lain yang berwudhu’ menjadi makmumnya.

✍Hadis:

وَيُذْكَرُ أَنَّ عَمْرَو بْنَ الْعَاصِ أَجْنَبَ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فَتَيَمَّمَ وَتَلَا { وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا } فَذَكَرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُعَنِّفْ

Dan ada disebutkan bahawa Amar bin al-As telah berjunub pada suatu malam yang sejuk. Dia telah bertayammum dan membaca firman Allah ‎ﷻ: “Jangan kamu membunuh dirimu sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada dirimu“. Perkara itu telah diceritakan kepada Nabi ﷺ namun baginda tidak menegur Amar.


 

12. Orang yang salat dengan tayammum tidak perlu mengulangi salat walaupun air ada sebelum habis waktu salat.

Kalau seseorang salat dengan menggunakan Tayammum, dia tidak perlu lagi salat walaupun selepas itu dia menjumpai air. Katakanlah pada awal waktu Zuhur dia telah salat dengan Tayammum. Kemudian dia meneruskan perjalanan dan sebelum waktu Zuhur habis, dia telah menjumpai air.

Maka, dia tetap tidak perlu menggantikan salatnya yang di awal waktu tadi. Ini adalah kerana salatnya telah sah dan tidak perlu diganti.

✍Dalilnya:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ الْمُسَيَّبِيُّ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نَافِعٍ، عَنِ اللَّيْثِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ بَكْرِ بْنِ سَوَادَةَ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ خَرَجَ رَجُلاَنِ فِي سَفَرٍ فَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمَا مَاءٌ فَتَيَمَّمَا صَعِيدًا طَيِّبًا فَصَلَّيَا ثُمَّ وَجَدَا الْمَاءَ فِي الْوَقْتِ فَأَعَادَ أَحَدُهُمَا الصَّلاَةَ وَالْوُضُوءَ وَلَمْ يُعِدِ الآخَرُ ثُمَّ أَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لِلَّذِي لَمْ يُعِدْ ‏”‏ أَصَبْتَ السُّنَّةَ وَأَجْزَأَتْكَ صَلاَتُكَ ‏”‏ ‏.‏ وَقَالَ لِلَّذِي تَوَضَّأَ وَأَعَادَ ‏”‏ لَكَ الأَجْرُ مَرَّتَيْنِ ‏”‏ ‏.‏

Dari Abu Sa’id al Khudri, dia berkata: “Dua orang lelaki keluar dalam satu safar. Kemudian tiba waktu salat, keduanya tidak memiliki air. Keduanya bertayammum dengan tanah yang suci lalu mengerjakan salat. Setelah itu, mereka mendapati air tatkala masih dalam waktu salat. Salah seorang dari keduanya wudhu’ dan salat semula dan yang seorang lagi tidak mengulanginya. Setelah itu keduanya mendatangi Rasulullah ﷺ dan menceritakan kejadian tersebut kepada baginda. Baginda bersabda kepada seorang yang tidak mengulangi: “Kamu telah menepati sunnah dan salat yang kamu kerjakan telah cukup bagimu”. Dan baginda bersabda kepada yang berwudhu’ dan mengulangi salatnya: “Bagimu pahala dua kali”.
(Sunan Abi Dawud No. 338. Sahih).

Syarah:
Hadis ini menjadi dalil bahawa tidak perlu mengulangi salat walaupun boleh menggunakan air semasa waktu salat masih ada. Sahabat yang seorang lagi tidak menepati sunnah. Tetapi beliau mendapat dua kali pahala kerana menggunakan ijtihadnya. Oleh kerana Nabi ﷺ telah memberi hukum tidak perlu mengulangi, maka perbuatan sahabat itu mengulangnya salatnya tidaklah perlu diikuti.

Sahabat itu sahaja yang mendapat dua kali pahala. Kalau kita pun ingin mengulangi salat, maka kita telah melanggar hadis yang lain:

✍Hadis:

لا تصلوا صلاة في يوم مرتين

Janganlah kamu mengerjakan salat dua kali dalam sehari.
(Riwayat Ahmad. Sanadnya hasan mengikut Albani).

✍Satu lagi dalil:

331 – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَوْفٌ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ عَنْ عِمْرَانَ قَالَ كُنَّا فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنَّا أَسْرَيْنَا حَتَّى كُنَّا فِي آخِرِ اللَّيْلِ وَقَعْنَا وَقْعَةً وَلَا وَقْعَةَ أَحْلَى عِنْدَ الْمُسَافِرِ مِنْهَا فَمَا أَيْقَظَنَا إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ اسْتَيْقَظَ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ يُسَمِّيهِمْ أَبُو رَجَاءٍ فَنَسِيَ عَوْفٌ ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ الرَّابِعُ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَامَ لَمْ يُوقَظْ حَتَّى يَكُونَ هُوَ يَسْتَيْقِظُ لِأَنَّا لَا نَدْرِي مَا يَحْدُثُ لَهُ فِي نَوْمِهِ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ عُمَرُ وَرَأَى مَا أَصَابَ النَّاسَ وَكَانَ رَجُلًا جَلِيدًا فَكَبَّرَ وَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ فَمَا زَالَ يُكَبِّرُ وَيَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى اسْتَيْقَظَ بِصَوْتِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ شَكَوْا إِلَيْهِ الَّذِي أَصَابَهُمْ قَالَ لَا ضَيْرَ أَوْ لَا يَضِيرُ ارْتَحِلُوا فَارْتَحَلَ فَسَارَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ نَزَلَ فَدَعَا بِالْوَضُوءِ فَتَوَضَّأَ وَنُودِيَ بِالصَّلَاةِ فَصَلَّى بِالنَّاس فَلَمَّا انْفَتَلَ مِنْ صَلَاتِهِ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ مُعْتَزِلٍ لَمْ يُصَلِّ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ مَا مَنَعَكَ يَا فُلَانُ أَنْ تُصَلِّيَ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيكَ ثُمَّ سَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاشْتَكَى إِلَيْهِ النَّاسُ مِنْ الْعَطَشِ فَنَزَلَ فَدَعَا فُلَانًا كَانَ يُسَمِّيهِ أَبُو رَجَاءٍ نَسِيَهُ عَوْفٌ وَدَعَا عَلِيًّا فَقَالَ اذْهَبَا فَابْتَغِيَا الْمَاءَ فَانْطَلَقَا فَتَلَقَّيَا امْرَأَةً بَيْنَ مَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ مِنْ مَاءٍ عَلَى بَعِيرٍ لَهَا فَقَالَا لَهَا أَيْنَ الْمَاءُ قَالَتْ عَهْدِي بِالْمَاءِ أَمْسِ هَذِهِ السَّاعَةَ وَنَفَرُنَا خُلُوفًا قَالَا لَهَا انْطَلِقِي إِذًا قَالَتْ إِلَى أَيْنَ قَالَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ قَالَا هُوَ الَّذِي تَعْنِينَ فَانْطَلِقِي فَجَاءَا بِهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثَاهُ الْحَدِيثَ قَالَ فَاسْتَنْزَلُوهَا عَنْ بَعِيرِهَا وَدَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِنَاءٍ فَفَرَّغَ فِيهِ مِنْ أَفْوَاهِ الْمَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ وَأَوْكَأَ أَفْوَاهَهُمَا وَأَطْلَقَ الْعَزَالِيَ وَنُودِيَ فِي النَّاسِ اسْقُوا وَاسْتَقُوا فَسَقَى مَنْ شَاءَ وَاسْتَقَى مَنْ شَاءَ وَكَانَ آخِرُ ذَاكَ أَنْ أَعْطَى الَّذِي أَصَابَتْهُ الْجَنَابَةُ إِنَاءً مِنْ مَاءٍ قَالَ اذْهَبْ فَأَفْرِغْهُ عَلَيْكَ وَهِيَ قَائِمَةٌ تَنْظُرُ إِلَى مَا يُفْعَلُ بِمَائِهَا وَايْمُ اللَّهِ لَقَدْ أُقْلِعَ عَنْهَا وَإِنَّهُ لَيُخَيَّلُ إِلَيْنَا أَنَّهَا أَشَدُّ مِلْأَةً مِنْهَا حِينَ ابْتَدَأَ فِيهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اجْمَعُوا لَهَا فَجَمَعُوا لَهَا مِنْ بَيْنِ عَجْوَةٍ وَدَقِيقَةٍ وَسَوِيقَةٍ حَتَّى جَمَعُوا لَهَا طَعَامًا فَجَعَلُوهَا فِي ثَوْبٍ وَحَمَلُوهَا عَلَى بَعِيرِهَا وَوَضَعُوا الثَّوْبَ بَيْنَ يَدَيْهَا قَالَ لَهَا تَعْلَمِينَ مَا رَزِئْنَا مِنْ مَائِكِ شَيْئًا وَلَكِنَّ اللَّهَ هُوَ الَّذِي أَسْقَانَا فَأَتَتْ أَهْلَهَا وَقَدْ احْتَبَسَتْ عَنْهُمْ قَالُوا مَا حَبَسَكِ يَا فُلَانَةُ قَالَتْ الْعَجَبُ لَقِيَنِي رَجُلَانِ فَذَهَبَا بِي إِلَى هَذَا الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ فَفَعَلَ كَذَا وَكَذَا فَوَاللَّهِ إِنَّهُ لَأَسْحَرُ النَّاسِ مِنْ بَيْنِ هَذِهِ وَهَذِهِ وَقَالَتْ بِإِصْبَعَيْهَا الْوُسْطَى وَالسَّبَّابَةِ فَرَفَعَتْهُمَا إِلَى السَّمَاءِ تَعْنِي السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ أَوْ إِنَّهُ لَرَسُولُ اللَّهِ حَقًّا فَكَانَ الْمُسْلِمُونَ بَعْدَ ذَلِكَ يُغِيرُونَ عَلَى مَنْ حَوْلَهَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ وَلَا يُصِيبُونَ الصِّرْمَ الَّذِي هِيَ مِنْهُ فَقَالَتْ يَوْمًا لِقَوْمِهَا مَا أُرَى أَنَّ هَؤُلَاءِ الْقَوْمَ يَدْعُونَكُمْ عَمْدًا فَهَلْ لَكُمْ فِي الْإِسْلَامِ فَأَطَاعُوهَا فَدَخَلُوا فِي الْإِسْلَامِ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ صَبَأَ خَرَجَ مِنْ دِينٍ إِلَى غَيْرِهِ وَقَالَ أَبُو الْعَالِيَةِ { الصَّابِئِينَ } فِرْقَةٌ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ الزَّبُورَ

331. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepadaku Yahya bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Auf berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Raja’ dari ‘Imran berkata, “Kami pernah dalam suatu perjalanan bersama Nabi ﷺ, kami berjalan di waktu malam hingga ketika sampai di akhir malam kami tidur, dan bagi orang yang bermusafir, tidak ada tidur yang paling enak (nyenyak) bagi musafir melebihi yang kami alami. Hingga tidak ada yang membangunkan kami kecuali panas sinar matahari. Dan orang yang pertama kali bangun adalah si fulan, lalu si fulan, lalu si fulan, Abu Raja’ memberitahu nama mereka tapi Abu ‘Auf lupa. Dan ‘Umar bin Al Khaththab رضي الله عنه adalah orang keempat bangun, sedangkan apabila Nabi ﷺ bila tidur tidak ada yang membangunkannya hingga baginda bangun sendiri, kerana kami tidak tahu apa yang terjadi pada baginda dalam tidurnya. Ketika ‘Umar رضي الله عنه bangun dan melihat apa yang terjadi kepada orang ramai -dan ‘Umar رضي الله عنه adalah seorang yang berani -, maka dia bertakbir dengan mengeraskan suaranya dan terus saja bertakbir dengan keras hingga Nabi ﷺ terbangun akibat kerasnya suara takbir ‘Umar رضي الله عنه. Tatkala baginda bangun, orang-orang mengadukan peristiwa yang mereka alami. Maka baginda bersabda: “Tidak mengapa, atau tidak ada apa-apa dan lanjutkanlah perjalanan.” Maka baginda meneruskan perjalanan dan setelah beberapa jarak yang tidak jauh baginda berhenti lalu meminta air untuk wudhu’, baginda lalu berwudhu’ kemudian menyeru untuk salat. Maka baginda salat mengimami orang banyak. Setelah baginda selesai melaksanakan salatnya, didapatinya ada seorang yang memisahkan diri tidak ikut salat bersama orang banyak. Maka Nabi ﷺ bertanya: “Wahai Fulan, apa yang menghalangimu untuk salat bersama orang banyak?” Orang itu menjawab, “Aku mengalami junub, sementara air tidak ada.” Baginda lantas menjelaskan: “Gunakanlah muka bumi (untuk bertayamum) kerana ia sudah memadai.” Kemudian Nabi ﷺ melanjutkan perjalanan hingga akhirnya orang-orang mengadu kepada baginda bahawa mereka kehausan. Maka Nabi ﷺ berhenti lalu meminta seseorang yang Abu Raja’ sebut namanya -namun ‘Auf lupa – dan ‘Ali seraya memerintahkan keduanya: “Pergilah kalian berdua mencari air.” Maka keduanya berangkat hingga berjumpa dengan seorang wanita yang berada di antara dua gereba besar berisi air di atas untanya. Maka keduanya bertanya kepadanya, “Di mana ada air?” Wanita itu menjawab, “Pada waktu inilah saya tinggalkan tempat air kelmarin. Dan sekarang kalangan kaum lelaki kami tiada di rumah.” Lalu keduanya berkata, “Kalau begitu marilah berangkat bersama kami”. Wanita itu bertanya, “Mahu ke mana?” Keduanya menjawab, “Kepada Rasulullah ﷺ.” Wanita itu bertanya, “Oh, kepada orang yang dipanggil (Shabi’i) itukah?” Keduanya menjawab, “Dialah yang kamu maksudkan itu. Berangkatlah.” Kemudian kedua sahabat Nabi ﷺ itu pergi bersama wanita tersebut menemui Nabi ﷺ. Keduanya kemudian menceritakan peristiwa itu kepada baginda. Kata perawi: lalu mereka meminta perempuan itu turun dari untanya. Kemudian Nabi ﷺ meminta satu bekas air, lalu menuangkan sedikit air dari bahagian atas mulut kantung-kantung air (milik wanita itu) ke dalam bekas itu, lepas mengikat kantung-kantung air tersebut sebelah atas, baginda membuka pula bahagian yang sebelah bawah seraya berseru kepada orang banyak: “minumlah kalian dan beri minumlah!” Maka orang-orang memberi minum sesiapa sahaja yang mereka mahu dan orang-orang meminum sesuka mereka. Dan akhirnya, baginda memberi sebekas air kepada orang yang tadi dalam janabah. Baginda lalu berkata kepadanya: “Pergi dan mandilah.” Dan wanita tersebut berdiri memerhatikan apa yang diperbuat terhadap airnya. Demi Allah ‎ﷻ, setelah semua orang selesai minum dan mengambil air daripada gereba, kami tetap merasakan ia lebih penuh dari sebelumnya.

Nabi ﷺ lalu bersabda: “Kumpulkanlah (makanan) untuknya.” Maka orang-orang pun mengumpulkan untuk perempuan itu tamar Ajwah, tepung gandum, sawiq sehingga terkumpul sebanyak makanan dalam selembar kain, mereka lalu menaikkan wanita tersebut di atas unta dan meletakkan bungkusan makanan tersebut di depannya. Kemudian Nabi ﷺ berkata kepada wanita tersebut: “Kamu mengetahui bahawa kami tidak mengurangi sedikit pun air milikmu, tetapi Allah ‎ﷻ jua yang telah memberi minum kepada kami.” Wanita tersebut terlambat sedikit sampai ke rumahnya, mereka lalu bertanya, “Wahai fulanah, apa yang membuat kamu terlambat?” Wanita tersebut menjawab, “Ada perkara ajaib telah berlaku! Aku bertemu dengan dua orang laki-laki yang kemudian mereka membawaku bertemu dengan seorang yang disebut Shabi’i itu, lalu laki-laki itu berbuat begini, begini. Demi Allah ‎ﷻ, sesungguhnya dia adalah tukang sihir yang paling pandai di antara ini dan ini.” Wanita tersebut berkata sambil memberi isyarat dengan mengangkat jari tengah dan telunjuknya ke arah langit, apa yang dimaksudkannya adalah antara langit dan bumi. Atau sememangnya dia adalah Utusan Allah ‎ﷻ. Selepas peristiwa tersebut, kaum Muslimin menyerang kawasan orang-orang musyrikin di sekitar kelompok perempuan tadi tetapi musyrikin dari kelompok wanita itu tidak diganggu. Pada suatu hari wanita itu berkata kepada kaumnya, “Aku fikir orang-orang Islam ini memang sengaja membiarkan kalian. Oleh itu mahukah kalian masuk Islam?” Maka kaumnya mendengar cakapnya dan mereka masuk ke dalam Islam.” Abu ‘Abdullah berkata, “Yang dimaksudkan dengan Shabi’i adalah keluar dari suatu agama kepada agama lain.” Sedangkan Abu’ ‘Aliyah berkata, “Ash-Shabi’un adalah kelompok dari Ahlul Kitab yang membaca Kitab Zabur.” Perkataan asbuq dalam Surah Yusuf itu bererti: aku akan cenderung.
(Sahih Bukhari no. 331)

Syarah:
Hadis ini panjang, tapi sila lihat kepada lelaki yang junub tidak salat asalnya bersama para sahabat pada waktu itu. Nabi suruh beliau tayammum sahaja dan salat. Kemudian, bila air sudah ada dan baginda suruh beliau mandi, tidaklah baginda suruh sahabat itu ulang kembali salatnya.


 

13. Membeli air untuk wudhu’ dan tidak tayammum.

Kalau berkemampuan untuk membeli air, maka bolehlah membeli air untuk mengangkat wudhu’. Walaupun air itu menjadi agak mahal dari kebiasaan. Asalkan tidak memudaratkan (air berharga terlalu mahal atau kehabisan duit semata-mata hanya untuk membeli air sahaja).

Syaikh Albani رحم الله mengatakan: “Termasuk kebiasaan manusia mengeluarkan wang untuk kepentingan duniawi. Maka mengeluarkan harta untuk masalah ini lebih utama lagi”.


 

14. Adakah batasan jarak tertentu untuk mencari air sebelum tayammum?

Kita telah belajar bahawa perlu dicari dulu air sebelum menggunakan Tayammum tetapi berapa jauhkah yang perlu dicari? Tidak ada penetapan dalam hal ini. Walaupun memang banyak pendapat tentang perkara ini.

Syaikh Albani رحم الله berpendapat, ia bergantung kepada masa. Kalau hendak dicari air itu lama sangat sehingga terluput waktu salat, maka tidak perlu dicari jauh-jauh.


 

15. Jika air hanya cukup untuk bersuci.

Bagaimana kalau terdapat air, tetapi hanya cukup untuk mencuci najis sahaja?

Maka, kita gunakan air itu secukupnya untuk mencuci najis dan selebihnya kita Tayammum sahaja. Kita hanya disuruh melakukan kewajipan berdasarkan kemampuan kita sahaja.

✍Ini berdasarkan ayat umum tentang perkara ini dalam Taghabun:16

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا استَطَعتُم
Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu

✍Dan juga hadis Nabi ﷺ:

فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Jika aku memerintahkan sesuatu, maka kerjakanlah semampu kamu.
(Sahih Muslim)


 

16. Salat tanpa wudhu’ mahupun tayammum.

Ini adalah satu situasi yang saya harap kita tidak perlu hadapi. Iaitu tidak ada langsung air dan juga tidak ada tanah atau mukabumi. Keadaan ini boleh terjadi kalau kita dipenjarakan dan mungkin diikat tidak boleh untuk ke mana-mana.

Lalu bagaimana dengan salat kita? Adakah ini lesen untuk kita tidak salat? Tentu tidak. Pergantungan dan talian hayat kita adalah dengan Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan. Tambahan pula kalau kita dalam keadaan tersepit, lagilah kita harus bermunajat kepada Allah ‎ﷻ dan cara terbaik adalah dengan salat.

Maka jangan jadikan tidak ada bahan pengangkat hadas sebagai alasan tidak salat. Dalam keadaan begini tetap juga kita salat, walaupun tidak dapat wudhu’ atau tayammum sekali pun.

✍Dalil bagi pendapat ini:

324 – حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ بْنُ يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلَادَةً فَهَلَكَتْ فَبَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا فَوَجَدَهَا فَأَدْرَكَتْهُمْ الصَّلَاةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَصَلَّوْا فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ لِعَائِشَةَ جَزَاكِ اللَّهُ خَيْرًا فَوَاللَّهِ مَا نَزَلَ بِكِ أَمْرٌ تَكْرَهِينَهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ ذَلِكِ لَكِ وَلِلْمُسْلِمِينَ فِيهِ خَيْرًا

324. Telah menceritakan kepada kami Zakaria bin Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Numair berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Urwah dari bapanya dari ‘Aisyah رضي الله عنها bahawa dia meminjam kalung kepada Asma’ lalu hilang. Maka Rasulullah ﷺ mengutus seseorang untuk mencarinya hingga kalung itu pun ditemukan. Lalu datanglah waktu salat sementara mereka tidak memiliki air, namun mereka tetap bersembahyang. Setelah itu mereka mengadukan peristiwa itu kepada Rasulullah ﷺ, hingga turunlah ayat tayamum. Usaid bin Al Hudlair lalu berkata kepada ‘Aisyah رضي الله عنها, “Semoga Allah ‎ﷻ membalasmu dengan segala kebaikan. Sungguh demi Allah ‎ﷻ, tidaklah terjadi suatu peristiwa menimpa anda yang anda tidak sukai kecuali Allah ‎ﷻ menjadikannya untuk anda dan Kaum Muslimin sebagai kebaikan.”
(Sahih Bukhari no. 324)

Syarah:
Waktu tidak jelas lagi tentang cara menggunakan tayammum. Maka Nabi ﷺ dan para sahabat tetap juga salat walaupun tidak ada air.


 

17. Bolehkah seseorang bertayammum jika dia mampu menggunakan air tetapi khuatir akan keluar waktu apabila menggunakannya?

Kalau seseorang itu ada kemampuan untuk mendapatkan air, tetapi kalau ia khuatir tidak sempat untuk mencari air kerana risaukan habis waktu, maka dia boleh salat dalam waktu menggunakan Tayammum.

✍Imam Bukhari رضي الله عنه membawakan hujah dalam kitab Sahih Bukhari perbuatan Ibn Umar.

وَأَقْبَلَ ابْنُ عُمَرَ مِنْ أَرْضِهِ بِالْجُرُفِ فَحَضَرَتْ الْعَصْرُ بِمَرْبَدِ النَّعَمِ فَصَلَّى ثُمَّ دَخَلَ الْمَدِينَةَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ فَلَمْ يُعِدْ

Ibn Umar رضي الله عنه datang daripada tanahnya di Juruf, waktu Asar masuk ketika beliau berada di Marbadil Naam dan beliau terus salat (yakni dengan bertayammum) kemudian baru memasuki Madinah. Matahari masa itu masih lagi tinggi. (Yakni waktu Asar masih lagi luas) tetapi beliau tidak mengulangi salatnya.

Syarah:
Waktu itu Ibn Umar رضي الله عنه dalam sekitar satu batu dari Madinah tetapi beliau merasakan yang beliau tidak sempat untuk sampai ke Madinah. Ini kerana beliau mempunyai urusan di tempat lain. Maka beliau telah salat dengan Tayammum.

Namun, apabila beliau tiba di Madinah, masih ada lagi waktu itu. Beliau tetap tidak mengulangi salatnya kerana salatnya di tempat sebelum itu sah.


 

18. Makruhkah orang yang tidak mendapatkan air menyetubuhi isterinya?

Mungkin timbul satu isu. Bagaimana kalau keadaan tidak ada air sedangkan kita dengan isteri kita?

Adakah salah kalau kita berjimak dengan isteri kita sedangkan kita tahu air tidak ada untuk mandi junub nanti?

Tidak salah untuk melakukan perkara ini. Perkara yang halal tidak menjadi makruh hanya kerana tidak ada air.

✍Dalilnya:

فَقَالَ أَبُو ذَرٍّ فَكُنْتُ أَعْزُبُ عَنِ الْمَاءِ وَمَعِي أَهْلِي فَتُصِيبُنِي الْجَنَابَةُ فَأُصَلِّي بِغَيْرِ طُهُورٍ فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِنِصْفِ النَّهَارِ وَهُوَ فِي رَهْطٍ مِنْ أَصْحَابِهِ وَهُوَ فِي ظِلِّ الْمَسْجِدِ فَقَالَ ‏”‏ أَبُو ذَرٍّ ‏”‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ وَمَا أَهْلَكَكَ ‏”‏ ‏.‏ قُلْتُ إِنِّي كُنْتُ أَعْزُبُ عَنِ الْمَاءِ وَمَعِي أَهْلِي فَتُصِيبُنِي الْجَنَابَةُ فَأُصَلِّي بِغَيْرِ طُهُورٍ فَأَمَرَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِمَاءٍ فَجَاءَتْ بِهِ جَارِيَةٌ سَوْدَاءُ بِعُسٍّ يَتَخَضْخَضُ مَا هُوَ بِمَلآنَ فَتَسَتَّرْتُ إِلَى بَعِيرِي فَاغْتَسَلْتُ ثُمَّ جِئْتُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّ الصَّعِيدَ الطَّيِّبَ طَهُورٌ وَإِنْ لَمْ تَجِدِ الْمَاءَ إِلَى عَشْرِ سِنِينَ فَإِذَا وَجَدْتَ الْمَاءَ فَأَمِسَّهُ جِلْدَكَ ‏”‏

Abu Dzarr berkata: “Satu ketika, aku jauh dari air, sementara isteriku ikut bersamaku. Lalu aku terkena junub dan kemudian mengerjakan salat tanpa bersuci. Setelah itu aku mendatangi Rasulullah ﷺ pada tengah hari. Baginda sedang bersama beberapa orang sahabat di bawah atap masjid. Rasulullah ﷺ bertanya: “Wahai Abu Dzarr”. Aku menjawab: “Ya. Sesungguhnya aku telah binasa wahai Rasulullah ﷺ!” Baginda bertanya: “Apakah yang membuatmu binasa?” Aku menjawab: “Aku tadi berada jauh dari air, sementara isteriku ikut bersamaku. Lalu aku terkena junub, dan kemudian aku mengerjakan salat tanpa bersuci.” Maka Rasulullah ﷺ memerintahkan seseorang agar mengambilkan air untukku, kemudian seorang budak wanita hitam datang dengan membawa seember air yang besar. Dia membawanya dalam keadaan bergoyang kerana penuhnya air dalam ember tersebut. Lalu, aku bersembunyi di balik untaku dan mandi. Setelah itu, aku datang kembali dan Rasulullah ﷺ bersabda: “Hai Abu Dzarr, sesungguhnya tanah yang baik adalah alat bersuci walaupun kamu tidak mendapatkan air selama sepuluh tahun. Jika kamu mendapatkan air, maka basuhlah kulitmu dengannya.”
(Sunan Abu Dawud no. 333 disahihkan oleh Albani).

Syarah:
Dalam kisah ini, Rasulullah ﷺ tidak memarahi Abu Dzarr menjimak isterinya walaupun tiada air. Ini adalah kerana perkara yang halal tidak boleh dilarang kecuali terdapat dalil larangan yang khusus.

 

Sekian bab Tayammum. Mari kita sambung Bab Haidh dan Nifas.


 

☘️SESI SOAL JAWAB ☘️
=========================
1. Bagi mereka yang telah mengalami kecederaan pada bahagian muka, kaki dan tangan akibat kemalangan. Adakah boleh bertayammum dengan cara menyapu kawasan wudhu’ yang tercedera semampu yang boleh?

🔵 Boleh mengambil air wudhu’ dahulu. Basuh sahaja anggota wudhu’ yang lain.

2. Adakah maksudnya kita tetap kena berwudhu’?

🔵 Ya

3. Adakah kemaluan tidak perlu tayammum?

🔵 Tidak.

4. Adakah Nabi suka membuat amal soleh dalam keadaan berwudhu’ disebabkan lebih banyak mendapat pahala?

🔵 Baginda melakukan begitu kerana amat beradab dengan Allah ‎ﷻ.

Kalau menjawab salam, ada nama Allah “As-Salam” di situ dan baginda tidak mahu menyebut Allah ‎ﷻ dalam keadaan berhadas. Tetapi ada pendapat yang mengatakan ini telah dimansuhkan kerana kemudiannya Nabi sentiasa menyebut nama Allah جل جلاله dan membaca Quran dalam semua keadaan.

5. Adakah benar kefahaman saya bahawa cara bertayammum yang rajih adalah menekapkan dua tapak tangan sebanyak sekali sahaja kemudian menyapu dua anggota tayammum?

🔵 Rajihnya hanya sebanyak sekali sahaja.

6. Adakah barang kemas, duit syiling, jalan yang berturap (tar), perkakas dapur (periuk, kuali, claypot) masih dikira alat untuk bertayammum? Ini kerana barang-barang tersebut berasas bahan buatan daripada permukaan bumi.

🔵 Memang ada pendapat sebegitu tetapi saya tidak berpegang dengan pendapat itu. Imam Bukhari masih lagi berpegang, yang berasal dari tanah, masih lagi “bersambung”(connected) dengan tanah.

Batu yang masih melekat di bumi.
Dinding yang berdiri di atas bumi.
Pokok dan tumbuhan yang masih hidup dan ditanam di muka bumi.

7. Bagaimanakah cara mereka yang OKU (tiada tangan) untuk bertayammum?

🔵 OKU boleh meminta bantuan untuk bertayammum.

8. Bagaimanakah jika OKU tersebut bersendirian?

🔵 Jika tiada kemampuan untuk melakukannya. Boleh terus solat tanpa tayammum.

9. Berdasarkan hadis ini, adakah tayammum yang dilakukan sebelum ini tidak mengangkat hadas besar beliau, sehingga Rasullullah ‎ﷺ menyuruhnya untuk mandi?

331 – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَوْفٌ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ عَنْ عِمْرَانَ قَالَ كُنَّا فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنَّا أَسْرَيْنَا حَتَّى كُنَّا فِي آخِرِ اللَّيْلِ وَقَعْنَا وَقْعَةً وَلَا وَقْعَةَ أَحْلَى عِنْدَ الْمُسَافِرِ مِنْهَا فَمَا أَيْقَظَنَا إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ اسْتَيْقَظَ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ يُسَمِّيهِمْ أَبُو رَجَاءٍ فَنَسِيَ عَوْفٌ ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ الرَّابِعُ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَامَ لَمْ يُوقَظْ حَتَّى يَكُونَ هُوَ يَسْتَيْقِظُ لِأَنَّا لَا نَدْرِي مَا يَحْدُثُ لَهُ فِي نَوْمِهِ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ عُمَرُ وَرَأَى مَا أَصَابَ النَّاسَ وَكَانَ رَجُلًا جَلِيدًا فَكَبَّرَ وَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ فَمَا زَالَ يُكَبِّرُ وَيَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى اسْتَيْقَظَ بِصَوْتِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ شَكَوْا إِلَيْهِ الَّذِي أَصَابَهُمْ قَالَ لَا ضَيْرَ أَوْ لَا يَضِيرُ ارْتَحِلُوا فَارْتَحَلَ فَسَارَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ نَزَلَ فَدَعَا بِالْوَضُوءِ فَتَوَضَّأَ وَنُودِيَ بِالصَّلَاةِ فَصَلَّى بِالنَّاس فَلَمَّا انْفَتَلَ مِنْ صَلَاتِهِ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ مُعْتَزِلٍ لَمْ يُصَلِّ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ مَا مَنَعَكَ يَا فُلَانُ أَنْ تُصَلِّيَ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيكَ ثُمَّ سَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاشْتَكَى إِلَيْهِ النَّاسُ مِنْ الْعَطَشِ فَنَزَلَ فَدَعَا فُلَانًا كَانَ يُسَمِّيهِ أَبُو رَجَاءٍ نَسِيَهُ عَوْفٌ وَدَعَا عَلِيًّا فَقَالَ اذْهَبَا فَابْتَغِيَا الْمَاءَ فَانْطَلَقَا فَتَلَقَّيَا امْرَأَةً بَيْنَ مَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ مِنْ مَاءٍ عَلَى بَعِيرٍ لَهَا فَقَالَا لَهَا أَيْنَ الْمَاءُ قَالَتْ عَهْدِي بِالْمَاءِ أَمْسِ هَذِهِ السَّاعَةَ وَنَفَرُنَا خُلُوفًا قَالَا لَهَا انْطَلِقِي إِذًا قَالَتْ إِلَى أَيْنَ قَالَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ قَالَا هُوَ الَّذِي تَعْنِينَ فَانْطَلِقِي فَجَاءَا بِهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثَاهُ الْحَدِيثَ قَالَ فَاسْتَنْزَلُوهَا عَنْ بَعِيرِهَا وَدَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِنَاءٍ فَفَرَّغَ فِيهِ مِنْ أَفْوَاهِ الْمَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ وَأَوْكَأَ أَفْوَاهَهُمَا وَأَطْلَقَ الْعَزَالِيَ وَنُودِيَ فِي النَّاسِ اسْقُوا وَاسْتَقُوا فَسَقَى مَنْ شَاءَ وَاسْتَقَى مَنْ شَاءَ وَكَانَ آخِرُ ذَاكَ أَنْ أَعْطَى الَّذِي أَصَابَتْهُ الْجَنَابَةُ إِنَاءً مِنْ مَاءٍ قَالَ اذْهَبْ فَأَفْرِغْهُ عَلَيْكَ وَهِيَ قَائِمَةٌ تَنْظُرُ إِلَى مَا يُفْعَلُ بِمَائِهَا وَايْمُ اللَّهِ لَقَدْ أُقْلِعَ عَنْهَا وَإِنَّهُ لَيُخَيَّلُ إِلَيْنَا أَنَّهَا أَشَدُّ مِلْأَةً مِنْهَا حِينَ ابْتَدَأَ فِيهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اجْمَعُوا لَهَا فَجَمَعُوا لَهَا مِنْ بَيْنِ عَجْوَةٍ وَدَقِيقَةٍ وَسَوِيقَةٍ حَتَّى جَمَعُوا لَهَا طَعَامًا فَجَعَلُوهَا فِي ثَوْبٍ وَحَمَلُوهَا عَلَى بَعِيرِهَا وَوَضَعُوا الثَّوْبَ بَيْنَ يَدَيْهَا قَالَ لَهَا تَعْلَمِينَ مَا رَزِئْنَا مِنْ مَائِكِ شَيْئًا وَلَكِنَّ اللَّهَ هُوَ الَّذِي أَسْقَانَا فَأَتَتْ أَهْلَهَا وَقَدْ احْتَبَسَتْ عَنْهُمْ قَالُوا مَا حَبَسَكِ يَا فُلَانَةُ قَالَتْ الْعَجَبُ لَقِيَنِي رَجُلَانِ فَذَهَبَا بِي إِلَى هَذَا الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ فَفَعَلَ كَذَا وَكَذَا فَوَاللَّهِ إِنَّهُ لَأَسْحَرُ النَّاسِ مِنْ بَيْنِ هَذِهِ وَهَذِهِ وَقَالَتْ بِإِصْبَعَيْهَا الْوُسْطَى وَالسَّبَّابَةِ فَرَفَعَتْهُمَا إِلَى السَّمَاءِ تَعْنِي السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ أَوْ إِنَّهُ لَرَسُولُ اللَّهِ حَقًّا فَكَانَ الْمُسْلِمُونَ بَعْدَ ذَلِكَ يُغِيرُونَ عَلَى مَنْ حَوْلَهَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ وَلَا يُصِيبُونَ الصِّرْمَ الَّذِي هِيَ مِنْهُ فَقَالَتْ يَوْمًا لِقَوْمِهَا مَا أُرَى أَنَّ هَؤُلَاءِ الْقَوْمَ يَدْعُونَكُمْ عَمْدًا فَهَلْ لَكُمْ فِي الْإِسْلَامِ فَأَطَاعُوهَا فَدَخَلُوا فِي الْإِسْلَامِ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ صَبَأَ خَرَجَ مِنْ دِينٍ إِلَى غَيْرِهِ وَقَالَ أَبُو الْعَالِيَةِ { الصَّابِئِينَ } فِرْقَةٌ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ الزَّبُورَ

331. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepadaku Yahya bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Auf berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Raja’ dari ‘Imran berkata, “Kami pernah dalam suatu perjalanan bersama Nabi ﷺ, kami berjalan di waktu malam hingga ketika sampai di akhir malam kami tidur, dan bagi orang yang bermusafir, tidak ada tidur yang paling enak (nyenyak) bagi musafir melebihi yang kami alami. Hingga tidak ada yang membangunkan kami kecuali panas sinar matahari. Dan orang yang pertama kali bangun adalah si fulan, lalu si fulan, lalu si fulan, Abu Raja’ memberitahu nama mereka tapi Abu ‘Auf lupa. Dan ‘Umar bin Al Khaththab رضي الله عنه adalah orang keempat bangun, sedangkan apabila Nabi ﷺ bila tidur tidak ada yang membangunkannya hingga baginda bangun sendiri, kerana kami tidak tahu apa yang terjadi pada baginda dalam tidurnya. Ketika ‘Umar رضي الله عنه bangun dan melihat apa yang terjadi kepada orang ramai -dan ‘Umar رضي الله عنه adalah seorang yang berani -, maka dia bertakbir dengan mengeraskan suaranya dan terus saja bertakbir dengan keras hingga Nabi ﷺ terbangun akibat kerasnya suara takbir ‘Umar رضي الله عنه. Tatkala baginda bangun, orang-orang mengadukan peristiwa yang mereka alami. Maka baginda bersabda: “Tidak mengapa, atau tidak ada apa-apa dan lanjutkanlah perjalanan.” Maka baginda meneruskan perjalanan dan setelah beberapa jarak yang tidak jauh baginda berhenti lalu meminta air untuk wudhu’, baginda lalu berwudhu’ kemudian menyeru untuk salat. Maka baginda salat mengimami orang banyak. Setelah baginda selesai melaksanakan salatnya, didapatinya ada seorang yang memisahkan diri tidak ikut salat bersama orang banyak. Maka Nabi ﷺ bertanya: “Wahai Fulan, apa yang menghalangimu untuk salat bersama orang banyak?” Orang itu menjawab, “Aku mengalami junub, sementara air tidak ada.” Baginda lantas menjelaskan: “Gunakanlah muka bumi (untuk bertayamum) kerana ia sudah memadai.” Kemudian Nabi ﷺ melanjutkan perjalanan hingga akhirnya orang-orang mengadu kepada baginda bahawa mereka kehausan. Maka Nabi ﷺ berhenti lalu meminta seseorang yang Abu Raja’ sebut namanya -namun ‘Auf lupa – dan ‘Ali seraya memerintahkan keduanya: “Pergilah kalian berdua mencari air.” Maka keduanya berangkat hingga berjumpa dengan seorang wanita yang berada di antara dua gereba besar berisi air di atas untanya. Maka keduanya bertanya kepadanya, “Di mana ada air?” Wanita itu menjawab, “Pada waktu inilah saya tinggalkan tempat air kelmarin. Dan sekarang kalangan kaum lelaki kami tiada di rumah.” Lalu keduanya berkata, “Kalau begitu marilah berangkat bersama kami”. Wanita itu bertanya, “Mahu ke mana?” Keduanya menjawab, “Kepada Rasulullah ﷺ.” Wanita itu bertanya, “Oh, kepada orang yang dipanggil (Shabi’i) itukah?” Keduanya menjawab, “Dialah yang kamu maksudkan itu. Berangkatlah.” Kemudian kedua sahabat Nabi ﷺ itu pergi bersama wanita tersebut menemui Nabi ﷺ. Keduanya kemudian menceritakan peristiwa itu kepada baginda. Kata perawi: lalu mereka meminta perempuan itu turun dari untanya. Kemudian Nabi ﷺ meminta satu bekas air, lalu menuangkan sedikit air dari bahagian atas mulut kantung-kantung air (milik wanita itu) ke dalam bekas itu, lepas mengikat kantung-kantung air tersebut sebelah atas, baginda membuka pula bahagian yang sebelah bawah seraya berseru kepada orang banyak: “minumlah kalian dan beri minumlah!” Maka orang-orang memberi minum sesiapa sahaja yang mereka mahu dan orang-orang meminum sesuka mereka. Dan akhirnya, baginda memberi sebekas air kepada orang yang tadi dalam janabah. Baginda lalu berkata kepadanya: “Pergi dan mandilah.” Dan wanita tersebut berdiri memerhatikan apa yang diperbuat terhadap airnya. Demi Allah ‎ﷻ, setelah semua orang selesai minum dan mengambil air daripada gereba, kami tetap merasakan ia lebih penuh dari sebelumnya.

Nabi ﷺ lalu bersabda: “Kumpulkanlah (makanan) untuknya.” Maka orang-orang pun mengumpulkan untuk perempuan itu tamar Ajwah, tepung gandum, sawiq sehingga terkumpul sebanyak makanan dalam selembar kain, mereka lalu menaikkan wanita tersebut di atas unta dan meletakkan bungkusan makanan tersebut di depannya. Kemudian Nabi ﷺ berkata kepada wanita tersebut: “Kamu mengetahui bahawa kami tidak mengurangi sedikit pun air milikmu, tetapi Allah ‎ﷻ jua yang telah memberi minum kepada kami.” Wanita tersebut terlambat sedikit sampai ke rumahnya, mereka lalu bertanya, “Wahai fulanah, apa yang membuat kamu terlambat?” Wanita tersebut menjawab, “Ada perkara ajaib telah berlaku! Aku bertemu dengan dua orang laki-laki yang kemudian mereka membawaku bertemu dengan seorang yang disebut Shabi’i itu, lalu laki-laki itu berbuat begini, begini. Demi Allah ‎ﷻ, sesungguhnya dia adalah tukang sihir yang paling pandai di antara ini dan ini.” Wanita tersebut berkata sambil memberi isyarat dengan mengangkat jari tengah dan telunjuknya ke arah langit, apa yang dimaksudkannya adalah antara langit dan bumi. Atau sememangnya dia adalah Utusan Allah ‎ﷻ. Selepas peristiwa tersebut, kaum Muslimin menyerang kawasan orang-orang musyrikin di sekitar kelompok perempuan tadi tetapi musyrikin dari kelompok wanita itu tidak diganggu. Pada suatu hari wanita itu berkata kepada kaumnya, “Aku fikir orang-orang Islam ini memang sengaja membiarkan kalian. Oleh itu mahukah kalian masuk Islam?” Maka kaumnya mendengar cakapnya dan mereka masuk ke dalam Islam.” Abu ‘Abdullah berkata, “Yang dimaksudkan dengan Shabi’i adalah keluar dari suatu agama kepada agama lain.” Sedangkan Abu’ ‘Aliyah berkata, “Ash-Shabi’un adalah kelompok dari Ahlul Kitab yang membaca Kitab Zabur.” Perkataan asbuq dalam Surah Yusuf itu bererti: aku akan cenderung.
(Sahih Bukhari no. 331)

🔵 Tayammum yang dilakukan sebelum itu telah mengangkat hadas tetapi apabila air sudah ada, atau sudah boleh dipakai, maka tayammum tadi menjadi batal untuk digunakan pada solat seterusnya.

10. Ketika seseorang menjama’kan salat Maghrib dan Isyak. Kemudian, selepas menunaikan salat Maghrib, wudhu’nya batal sebelum sempat melakukan salat Isyak. Adakah perlu mengulangi kedua-dua salat Maghrib dan Isyak dengan wudhu’ yang baru?

🔵 Tidak perlu. Salat Maghribnya sah dan hanya perlu solat Isyak sahaja dengan wudhu’ yang baru.

11. Adakah wanita yang mengalami istihadah ketika ketiadaan air perlu bertayammum setiap kali menunaikan salat?

🔵 Jika diqiyaskan dengan dalil bahawa wanita yang istihadah perlu memperbaharui wudhu’ setiap kali salat. Maka begitu jualah keadaannya dengan tayammum.

12. Adakah bertayammum membolehkan seseorang melakukan ibadah seperti salat, membaca Al-Quran, bertawaf dan sebagainya?

🔵 Ya, tetapi bukan semua perkara perlu ada tayammum baru boleh beribadah. Membaca zikir dan Al-Quran boleh dilakukan tanpa mengangkat hadas.

13. Adakah boleh menyentuh mushaf Al-Quran tanpa bersuci?

🔵 Ya. Boleh menyentuh mushaf Al-Quran atau terjemahan Al-Quran tanpa bersuci. Jika mengikut mazhab Asy-Syafi’iy tidak boleh menyentuh mushaf tanpa berlapik.

14. Di dalam situasi di bawah, adakah boleh menjama’kan solat?

Waktu itu Ibnu Umar رضي الله عنهما dalam sekitar satu batu dari Madinah. Beliau merasakan yang beliau tidak sempat untuk sampai ke Madinah kerana mempunyai urusan di tempat lain. Maka beliau telah salat dengan bertayammum. Tetapi apabila beliau tiba di Madinah, masih ada lagi waktu itu. Beliau tetap tidak mengulangi salatnya kerana salatnya di tempat sebelum itu sah.

🔵 Tidak kerana Ibnu Umar رضي الله عنهما tidak menjama’kan salatnya, bahkan beliau terus sahaja salat tanpa dengan bertayammum.

15. Di dalam menilai situasi seseorang itu mampu atau tidak. Apakah kayu ukur yang boleh kita gunakan supaya tidak terlalu memandang remeh hal-hal agama?

Contohnya, seseorang beranggapan bahawa boleh salat dengan membaca apa sahaja ayat Al-Quran yang dia mampu. Dia tidak membaca Al-Fatihah dalam solatnya. Hanya baca alif lam mim sahaja. Atau dia tidak mampu memahami bahasa Arab dalam salatnya. Maka dia hanya membaca bacaan dalam salat dengan bahasa Melayu yang diketahuinya sahaja.

🔵 Kayu ukur di dalam perkara ini adalah subjektif dan relatif kepada individu tersebut.

Kita dipertanggungjawabkan atas kemampuan kita. Sebagai analogi, ada orang boleh berlari 5 KM, ada yang boleh berlari 7 KM. Namun, jika orang yang mampu berlari 7 KM, hanya lari 5 KM sahaja kerana dia malas, maka dia telah menipu dirinya sendiri.

Hanya yang mengetahui kemampuan kita adalah Allah ﷻ dan kita sendiri. Orang lain belum tentu lagi mengenali dengan pasti batas kemampuan kita. Di hadapan Allah ﷻ nanti bagaimanakah kita ingin menjawab sesuatu yang kita sengaja ringankan walhal kita mampu melakukan yang lebih baik.

C. Kaifiat Tayammum

Tatacara Tayammum

🔗 Niat
🔗 Baca Basmalah
🔗Hal-hal yang Membatalkan Tayammum
🔗 Benda-benda yang Boleh Digunakan untuk Bertayammum dan Tidak Disyaratkan Mesti Dengan Tanah

a. Niat

Seperti perbincangan dalam wuduk dan mandi junub.


b. Baca Basmalah

Seperti perbincangan dalam wuduk dan mandi junub. Boleh rujuk nota-nota lepas kerana perbahasan yang sama sahaja. Mungkin di kalangan orang kita tidak biasa kerana air banyak sahaja. Selalunya kalau sakit, orang kita pilih untuk qadha sahaja. Padahal itu adalah salah.

Ramai yang bila masuk wad sahaja, seolah-olah dapat ‘lesen’ tidak solat. Tidak tahu siapa yang beri. Allah dan Nabi tidak pernah beri.

Mereka kata: “nantilah aku dah sihat nanti aku gantilah… “ tapi ada yang tidak sempat sihat sudah meninggal. Nak ganti macam mana?

Ini adalah kerana kejahilan solat dalam keadaan sakit dan cara untuk mengangkat hadas selain dari menggunakan air. Maka diharap pelajaran kita ini dapat dipanjangkan kepada orang ramai kerana ramai yang tidak tahu perkara ini.


c. Pukul tapak tangan pada tanah yang suci kemudian tiup pada tangan itu.

Selepas niat dan baca basmalah, maka cari tanah yang bersih (pada pandangan mata kita) dan pukul/tekap pada tanah itu. Kemudian tiup debu/tanah yang melekat pada tangan itu. Atau tepuk-tepuk tangan itu kerana kita bukan perlukan debu tanah itu sebenarnya. Kemudian usap tapak tangan itu pada wajah dan kedua-dua tangan.

✍Dalil:

326 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

326. Telah menceritakan kepada kami Adam ia berkata; telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Hakam dari Dzar dari Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari Bapaknya berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Umar Ibnul Khaththab dan berkata, “bagaimana kalau aku mengalami junub tapi tidak mendapatkan air?” Maka berkatalah ‘Ammar bin Yasir kepada ‘Umar bin Al Khaththab, “Masih ingatkah engkau ketika kita dalam suatu perjalanan? Ketika itu aku dan engkau sedang berjunub. Adapun engkau tidak bersolat. Sedangkan aku bergulingan di atas tanah lalu solat? Kemudian hal itu aku sampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenarnya cukup kamu melakukan begini.” Baginda lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya di bahagian belakangnya hingga ke pergelangan.”
Sahih Bukhari hadis 326

Syarah:

Kaifiat tayammum disebut dalam hadis ini. Kalau kita ringkaskan:

1. Tepuk tanah sekali sahaja.
2. Tiup tapak tangan atau ketuk-ketuk tangan itu supaya jatuh debu tanah
3. Sapu muka
4. Tanpa ambil tanah baru, sapu tangan pula.
5. Sapu tangan setakat pergelangan tangan sahaja. Tidak perlu sampai ke siku.


d. Cukup dengan sekali pukul sahaja.

Kadangkala ada yang mengajar Tayamum dengan mengatakan: sekali tepuk untuk muka dan sekali lagi untuk tangan. Namun, ini tidak ada dalam dalil yang sahih. Malah, yang disebut adalah sekali tepuk sahaja.

✍Dalilnya:

عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رضي الله عنهما قَالَ : بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَاجَةٍ ، فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِد الْمَاءَ ، فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : ” إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا ، فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ، ثُمَّ نَفَضَهَا ، ثُمَّ مَسَحَ بِها ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Dari ‘Ammar bin Yasir radiallahu’anhu bahawa dia berkata; Rasulullah sallallahu ‘alaihi sassalam mengutusku untuk sesuatu urusan lalu aku mengalami junub dan ketika itu aku tidak menemui air. Oleh kerana itu aku pun berguling-guling di tanah (untuk bersuci) sebagaimana haiwan berguling-guling. Aku menceritakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Hal tersebut Nabi bersabda” Sebenarnya sudah cukup bagimu bersuci dengan cara seperti ini. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memukulkan kedua tapak tangannya di atas tanah dengan sekali pukulan. Kemudian baginda meniupnya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu belakang tapak tangan kanan dengan tapak tangan kirinya, dan menyapu belakang tapak tangan kiri dengan tapak tangan kanannya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu wajahnya’
[Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tayammum, hadis no: 337]

Sekian cara untuk tayammum. Kalau dilihat, cara ini senang sahaja dan tidak susah dan kerana itu jangan kita susahkan.


2. Hal-hal yang membatalkan tayammum.

Sebagaimana wudu’ boleh batal, maka tayammum pun boleh batal juga. Mari kita lihat apakah yang membatalkan tayammum. Ada dua perkara yang perlu dilihat.

a. Setiap yang membatalkan wuduk juga membatalkan tayammum.

Oleh kerana Tayammum adalah pengganti kepada wudu’, maka apa sahaja yang membatalkan wudhu’ akan membatalkan Tayammum juga. Seperti kentut, buang air dan sebagainya. Sepakat ulama’ tentang hal ini.

b. Bila ada air.

Tayammum tidak dibolehkan lagi apabila telah ditemukan air bagi orang yang bertayammum kerana ketidakadaan air. Ini kerana bila sudah ada air, maka Tayammum tidak dibenarkan lagi. Bila ada air sahaja, maka Tayammum yang telah diambil automatik batal.

Kepada mereka yang Tayammum kerana tidak boleh guna air kerana sakit contohnya, maka apabila telah ada kemampuan menggunakan air atau tidak sakit lagi, maka Tayammum itu batal. Hanya yang menjadi khilaf adalah bagaimana kalau sedang solat, diketahui air telah ada.

Kalau kita ringkaskan pembatal tayammum:

1- Sepakat ulama semua pembatal wudhu akan membatalkan tayamum [Sahih Fiqh as-Sunnah]
2- Sepakat ulama jika menemui air sebelum menunaikan solat, batal tayamum. [Sahih Fiqh as-Sunnah]
3- Jika air ada ketika solat sedang didirikan, ulama berbeza pendapat:

✍🏻Berhenti solat, mengambil wudhu dan mengulangi solat: Ini mazhab Abu Hanifah, Ahmad

✍🏻Teruskan solat: Imam Malik, al-Syafie, satu riwayat Ahmad, Abu Tsaur, Daud dan Ibn al-Munzir [Sahih Fiqh as-Sunnah]

Ini pembatal yang kedua.


3. Benda-benda yang biasa digunakan sebagai alat tayammum dan tidak disyaratkan mesti dengan tanah.

Adakah kita boleh guna tanah sahaja sebagai bahan tayammum? Sebenarnya, bahan yang boleh digunakan untuk Tayammum juga khilaf yang besar di kalangan ulama.

Kalau kita ringkas khilaf pendapat itu, ia terbahagi kepada dua bahagian utama:

1️⃣ Pertama: Permukaan bumi secara mutlak, tidak kira pasir, gunung, batu, ataupun tanah. Ini pendapat Abu Hanifah, Abu Yusuf, Malik dan Ibn Taimiyyah.

2️⃣ Kedua: Tanah sahaja. Ini pendapat mazhab Syafie, Hanbali, Abu Tsaur dan Ibn al-Munzir. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

Hanya yang menjadi khilaf di kalangan ulama adalah kalimat فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا di dalam ayat Maidah:6 dan Nisa’:43. Maka apakah tafsiran bagi صَعيدًا طَيِّبًا (tanah yang baik) itu? Ada yang kata mesti tanah yang berdebu dan ada yang kata tanah yang boleh menumbuhkan tanaman.

Maka kerana itu pada pendapat mereka, hanya ‘tanah’ sahaja yang boleh digunakan. Kalau pasir di padang pasir sahaja sudah tidak boleh kerana padang pasir tidak boleh tumbuh tanaman.

Pendapat itu ditolak oleh ramai ulama termasuklah Imam Bukhari. Pada mereka, صَعيدًا itu bermaksud ‘muka bumi’ dan طَيِّبًا itu bermaksud ‘suci’ iaitu bersih dari kotoran. Jadi boleh digunakan permukaan muka bumi dan boleh jadi apa-apa sahaja.

Jadi, jikalau ia boleh jadi apa sahaja, asalkan muka bumi, maka di sini kita boleh kata salji pun boleh juga. Atau jikalau ia adalah batu licin, langsung tiada tanah di atas batu itu. Ini kerana batu itu pun boleh juga dikatakan sebagai ‘muka bumi’ juga.

Itu termasuklah juga pokok dan rumput tetapi kenalah pokok yang belum terputus dari bumi. Apabila kita dapat faham yang Allah bukan hendak menyusahkan kita dalam beramal ibadat, maka senanglah kita hendak faham dan terima perkara ini.

Kena faham perkara ini kerana ayat Qur’an di mana Allah bercakap tentang tayamum juga Allah sudah berfirman yang Dia bukan hendak menyusahkan kita.

✍🏻Ini disebut dalam ayat yang menyebut Tayammum juga iaitu Maidah:6

ما يُريدُ اللَّهُ لِيَجعَلَ عَلَيكُم مِن حَرَجٍ

Allah tidak hendak menyulitkan kamu

Maka, kalau kena cari tanah yang sesuai dengan syarat ia mesti ada debu, mesti boleh menumbuhkan tanaman, maka tidakkah itu menyusahkan?

Dan dari perbuatan Nabi dan para sahabat , mereka tidak menetapkan perkara ini. Mereka selalu bermusafir di padang pasir dan tentu tanah padang pasir itu tidak boleh menumbuhkan tanaman. Maka tidaklah ada disebut para sahabat bawa bekal tanah pula untuk bertayammum. Mereka gunakan sahaja pasir yang mereka jumpa di perjalanan.

Bilakah pula boleh tayammum?

B. Syariat Tayammum

Syariat Tayammum

1. Dalil dari Qur’an, sunnah dan Ijmak

Ayat pertama:

✍Dalil Qur’an tentang Tayammum adalah Nisa’:43

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Ayat kedua:

وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau berhubungan badan dengan perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan permukaan bumi yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu”.
(QS. Al Maidah [5] : 6).

✍Adapun dalil dari As Sunnah adalah sabda Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ dari sahabat Hudzaifah Ibnul Yaman rodhiyallahu ‘anhu,

« وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ »

“Dijadikan bagi kami (ummat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi was sallam ) permukaan bumi sebagai thohur (sesuatu yang digunakan untuk bersuci (tayammum)) jika kami tidak menjumpai air”.
Riwayat Muslim no 522


 

2. Kelebihan kepada umat Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ

Kelebihan boleh menggunakan Tayammum ini tidak diberikan kepada umat lain selain umat Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ . Maknanya umat terdahulu kena cari air juga untuk mengangkat hadas mereka.

✍Adapun keistimewaan keistimewaan tersebut dijelaskan dalam hadits Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ.

Dari Jabir bin Abdillah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda : “Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, iaitu aku ditolong dengan ketakutan (yang menimpa musuh) yang berlangsung selam satu bulan, semua belahan bumi telah dijadikan untukku masjid dan suci, sehingga siapa saja dari umatku yang datang kepadanya waktu shalat, maka dapat langsung menunaikannya, dihalalkan kepada bagiku sejumlah binatang ternak yang tidak dihalalkan kepada seorang nabi sebelumku, aku dianugerahi syafaat, dan seorang nabi di masa lalu diutus kepada suatu kaum tertentu, sementara aku diutus kepada seluruh umat manusia.”
(HR. Muttafaq ‘alaih)


 

3. Sebab pensyariatan Tayammum

✍Bilakah Tayammum mula disyariatkan?

322 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِالْبَيْدَاءِ أَوْ بِذَاتِ الْجَيْشِ انْقَطَعَ عِقْدٌ لِي فَأَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْتِمَاسِهِ وَأَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ فَأَتَى النَّاسُ إِلَى أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ فَقَالُوا أَلَا تَرَى مَا صَنَعَتْ عَائِشَةُ أَقَامَتْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسِ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاضِعٌ رَأْسَهُ عَلَى فَخِذِي قَدْ نَامَ فَقَالَ حَبَسْتِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسَ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَقَالَتْ عَائِشَةُ فَعَاتَبَنِي أَبُو بَكْرٍ وَقَالَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَقُولَ وَجَعَلَ يَطْعُنُنِي بِيَدِهِ فِي خَاصِرَتِي فَلَا يَمْنَعُنِي مِنْ التَّحَرُّكِ إِلَّا مَكَانُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى فَخِذِي فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَصْبَحَ عَلَى غَيْرِ مَاءٍ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ فَتَيَمَّمُوا فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ الْحُضَيْرِ مَا هِيَ بِأَوَّلِ بَرَكَتِكُمْ يَا آلَ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ فَبَعَثْنَا الْبَعِيرَ الَّذِي كُنْتُ عَلَيْهِ فَأَصَبْنَا الْعِقْدَ تَحْتَهُ

322. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari ‘Abdurrahman bin Al Qasim dari bapaknya dari ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ia berkata, “Kami keluar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam salah satu perjalanan yang dilakukannya. Hingga ketika kami sampai di Baida’, atau tempat peristirahatan pasukan, aku kehilangan kalungku. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berhenti untuk mencarinya. Orang-orang lain juga berhenti untuk mencarinya. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Sahabat-sahabat lalu bertemu dengan Abu Bakar Ash Shidiq seraya berkata, ‘Nah lihat apa yang telah diperbuat oleh ‘Aisyah? Dia telah membuatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang berhenti di tempat yang tiada air dan mereka juga tidak memiliki bekalan air! ‘ Lalu Abu Bakar datang kepadaku sedangkan saat itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang tidur dengan meletakkan kepalanya di pahaku. Kata Abu Bakar: “Engkau telah membuatkan Rasulullah tertahan di sini dengan orang-orang lain. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Mereka juga tidak mempunyai air. Kata Aisyah: Abu Bakar mengataiku macam-macam sungutan terhadapku. Dia juga telah menusuk pinggangku dengan tangannya, dan tidak ada yang menghalangiku untuk bergerak (karena rasa sakit) kecuali kerana keberadaan kepala Rasulullah yang di pahaku.” Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun di waktu subuh dalam keadaan tidak ada air. Allah Ta’ala menurunkan ayat tayamum, maka orang-orang pun bertayamum.” Usaid bin Al Hudlair lalu berkata, “Ini bukan keberkatanmu yang pertama wahai keluarga Abu Bakar!” ‘Aisyah berkata, “Kemudian unta yang aku tunggangi berdiri yang ternyata kami temukan kalungku berada dibawahnya.”__

Sekarang mari kita lihat cara melakukan (kaifiat) Tayammum dengan ringkas.

A. Pengertian Tayamum

Pengertian Tayamum

Dari segi bahasa, Tayammum bermaksud ‘keinginan’ seperti disebut dalam Baqarah:267

وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Dan janganlah kamu menginginkan yang buruk daripadanya

Dari segi syarak, ia bermaksud menggunakan tanah untuk mengusap muka dan tangan kerana ingin mengangkat hadas dengan tujuan melakukan ibadat dan selainnya.

Itulah pengenalan kepada Tayammum. Sekarang mari kita lihat manakah sumber pensyariatan Tayammum ini.

F. Masalah-masalah berkaitan Mandi bagi Wanita

Secara umumnya, sama sahaja cara mandi lelaki dan wanita. Namun, ada beberapa perkara yang membezakan sedikit antara keduanya kerana keadaan fizikal yang berlainan antara keduanya.

1. Wanita tidak wajib mengurai sanggulnya ketika mandi junub

Sebenarnya wanita tidak perlu membuka sanggul rambutnya semasa mandi junub.

✍Sandaran pendapat ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah. Dia mengatakan,

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أَشُدُّ ضَفْرَ رَأْسِى فَأَنْقُضُهُ لِغُسْلِ الْجَنَابَةِ قَالَ « لاَ إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِى عَلَى رَأْسِكِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ ».

“Aku berkata, wahai Rasulullah, aku seorang wanita yang sanggul rambut kepalaku, apakah aku harus membuka sanggulku ketika mandi junub?” Baginda bersabda, “Jangan (kamu buka). Cukuplah kamu menyiram air pada kepalamu tiga kali, kemudian siramlah yang lainnya dengan air, maka kamu telah suci.”
(HR. Muslim no. 330)

Syarah:

Maknanya, seorang wanita yang berambut panjang dan membuat sanggul pada rambutnya, dia tidak perlu membuka sanggulnya itu. Dia tidak perlu membasuh rambut dia pun. Dia cuma siram sedikit air pada kepalanya dan usahakan air itu supaya kena kepada kulit kepala.

Tidak dinafikan perkara ini mungkin baru bagi sesetengah orang. Bukan kita sahaja yang berasa pelik, tetapi perkara ini pun sudah ada khilaf di kalangan sahabat.

✍Lihat apa kata Saidatina Aisyah رضي الله عنها:

و حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى وَأَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَعَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ جَمِيعًا عَنْ ابْنِ عُلَيَّةَ قَالَ يَحْيَى أَخْبَرَنَا إِسْمَعِيلُ ابْنُ عُلَيَّةَ عَنْ أَيُّوبَ عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ عُبَيْدِ بْنِ عُمَيْرٍ قَالَ بَلَغَ عَائِشَةَ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو يَأْمُرُ النِّسَاءَ إِذَا اغْتَسَلْنَ أَنْ يَنْقُضْنَ رُءُوسَهُنَّ فَقَالَتْ يَا عَجَبًا لِابْنِ عَمْرٍو هَذَا يَأْمُرُ النِّسَاءَ إِذَا اغْتَسَلْنَ أَنْ يَنْقُضْنَ رُءُوسَهُنَّ أَفَلَا يَأْمُرُهُنَّ أَنْ يَحْلِقْنَ رُءُوسَهُنَّ لَقَدْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ وَلَا أَزِيدُ عَلَى أَنْ أُفْرِغَ عَلَى رَأْسِي ثَلَاثَ إِفْرَاغَاتٍ

Dan telah menceritakan kepada kami [Yahya bin Yahya], [Abu Bakar bin Abi Syaibah] dan [Ali bin Hujr] semuanya meriwayatkan dari [Ibnu Ulayah] [Yahya] berkata, telah mengabarkan kepada kami [Ismail bin Ulayah] dari [Ayyub] dari [Abu az-Zubair] dari [Ubaid bin Umair] dia berkata, ” [Aisyah] pernah mendengar Abdullah bin Amru memerintahkan orang-orang perempuan agar membuka tali ikatan rambut mereka apabila mereka mandi. Lalu Aisyah berkata, ‘Mengapa dia tidak menyuruh mereka agar mencukur rambut saja? Aku pernah mandi bersama-sama Rasulullah ﷺ menggunakan air dari bekas yang sama. Aku tidak menyiram kepalaku lebih dari tiga kali siram’.”


 

2. Wajib bagi wanita mengurai sanggulnya ketika mandi dari Haidh

Lain pula bagi wanita yang baru kering dari haidh. Kalau mandi junub, tidak perlu membasuh rambut, tetapi apabila bersuci dari haidh, maka hendaklah diuraikan rambut dan dibasuh rambut itu.

✍Dalilnya:

وَأَنَا حَائِضٌ فَشَكَوْتُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ دَعِي عُمْرَتَكِ وَانْقُضِي رَأْسَكِ وَامْتَشِطِي وَأَهِلِّي بِحَجٍّ فَفَعَلْتُ

“Maka ketika hari Arafah aku mengalami haidh, aku lalu mengadukan hal itu kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, baginda lalu bersabda: “Tinggalkanlah Umrahmu. Uraikan rambut kepalamu lalu sisirlah, kemudian mulailah talbiah dengan haji.” Maka aku pun laksanakan perintah baginda.”
HR Bukhari no. 317


 

3. Anjuran menggunakan pembersih haidh seperti kapas yang diletakkan pewangi pada tempat keluar darah.

✍Hal ini berdasarkan hadith ‘Aisyah رضي الله عنها,

أَنَّ أَسْمَاءَ سَأَلَتِ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ غُسْلِ الْمَحِيضِ فَقَالَ « تَأْخُذُ إِحْدَاكُنَّ مَاءَهَا وَسِدْرَتَهَا فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ دَلْكًا شَدِيدًا حَتَّى تَبْلُغَ شُئُونَ رَأْسِهَا ثُمَّ تَصُبُّ عَلَيْهَا الْمَاءَ. ثُمَّ تَأْخُذُ فِرْصَةً مُمَسَّكَةً فَتَطَهَّرُ بِهَا ». فَقَالَتْ أَسْمَاءُ وَكَيْفَ تَطَهَّرُ بِهَا فَقَالَ « سُبْحَانَ اللَّهِ تَطَهَّرِينَ بِهَا ». فَقَالَتْ عَائِشَةُ كَأَنَّهَا تُخْفِى ذَلِكَ تَتَبَّعِينَ أَثَرَ الدَّمِ. وَسَأَلَتْهُ عَنْ غُسْلِ الْجَنَابَةِ فَقَالَ « تَأْخُذُ مَاءً فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ – أَوْ تُبْلِغُ الطُّهُورَ – ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ حَتَّى تَبْلُغَ شُئُونَ رَأْسِهَا ثُمَّ تُفِيضُ عَلَيْهَا الْمَاءَ »

“Asma’ bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang mandi wanita haidh. Maka beliau bersabda, “Salah seorang dari kalian hendaklah mengambil air dan daun bidara, lalu engkau bersuci, lalu membaguskan bersucinya. Kemudian hendaklah engkau menyiramkan air pada kepalanya, lalu menggosok-gosoknya dengan keras hingga mencapai akar rambut kepalanya. Kemudian hendaklah engkau menyiramkan air pada kepalanya tadi. Kemudian engkau mengambil kapas bermisik, lalu bersuci dengannya. Lalu Asma’ berkata, “Bagaimana dia dikatakan suci dengannya?” Beliau bersabda, “Subhanallah, bersucilah kamu dengannya.” Lalu Aisyah berkata -seakan-akan dia menutupi hal tersebut-, “Kamu sapu bekas-bekas darah haidh yang ada (dengan kapas tadi)”. Dan dia bertanya kepada beliau tentang mandi junub, maka beliau bersabda, ‘Hendaklah kamu mengambil air lalu bersuci dengan sebaik-baiknya bersuci, atau bersangat-sangat dalam bersuci kemudian kamu siramkan air pada kepala, lalu memicitnya hingga mencapai dasar kepalanya, kemudian mencurahkan air padanya’.”
(HR. Bukhari no. 314 dan Muslim no. 332)

Syarah:

Anjuran ini diberikan kerana tempat laluan darah haidh itu berbau dan untuk menghilangkan baunya adalah dengan menggunakan kapas yang dicelup dengan minyak wangi. Zaman sekarang sudah ada sabun khas rasanya.


 

4. Tidak wajib bagi wanita mencuci bahagian dalam kemaluannya.

✍Ibn Taimiyah menyatakan: “Dia boleh melakukannya jika mahu.”

✍Syeikh Albani pula mengata: “boleh, supaya lebih bersih tetapi bukan bahagian dari ibadah.”

Maknanya, perkara ini bukan wajib, tetapi boleh dilakukan. Jangan ditekankan sampai menyebabkan kerisauan dalam perkara ibadah. Ini kerana mungkin ada wanita yang rasa was-was sama ada sudah bersih atau tidak bahagian kemaluannya.

📍Kita beritahu yang kalau dicuci bahagian luar sahaja sudah dikira bersih untuk melakukan ibadah. Jangan terbelit dengan pendapat yang keras yang mengatakan kena cuci sampai ke dalam kemaluan dan kena pastikan ia bersih.

Sekian. Mari kita lihat cara-cara mandi junub.


 

☘️SESI SOAL JAWAB ☘️
===================

1. Bagaimana pula kaedah mandi junub dan haidh ketika di dalam kolam renang, sungai, dan laut?

🔵 Kaedah itu lebih senang. Niat dan terjun sahaja. Masuk ke dalam air itu sudah pasti air akan kena di seluruh badan.

2. Berdasarkan hadith riwayat Bukhari : 317 dan atsar Aisyah, adakah tidak perlu membuka ikatan rambut ketika mandi?

🔵 Sekiranya mandi junub tidak perlu membuka ikatan rambut. Tetapi, apabila hendak mandi haidh kena membuka ikatan rambut.

3. Adakah mandi junub dan haidh boleh tayamum sekiranya tiada air?

🔵 Ya, boleh.

4. Bagaimana pula jika mencuci tempat laluan darah haidh hanya menggunakan air biasa sahaja?

🔵 Boleh. Anjuran menggunakan kapas yang telah dicelup dengan minyak wangi dan sabun itu hanya sunat sahaja.

5. Bagi wanita yang berambut tebal. Adakah kena memastikan air sampai ke akar rambut?

🔵 Kena pastikan air sampai ke kulit kepala.

6. Adakah air itu kena diratakan seluruh bahagian kulit kepala?

🔵 Ya, kena bagi air sampai ke kulit kepala. Sebab itu kena menggosok sedikit kepala ketika mandi supaya air sampai ke kulit kepala.

7. Jika menggosok sedikit kepala. Adakah perbuatan itu akan membasahkan rambut?

🔵 Rambut itu telah diikat dan disanggul. Jadi tidak akan terkena kesemuanya rambut itu. Yang basah dan terkena air hanya bahagian akar rambut sahaja.

8. Adakah ini disebabkan mereka faham pada ayat “hendaklah kamu bersuci atau bersangat – sangat suci?

🔵 Mereka hanya ghuluw dalam menambah. Tidak dimaksudkan di seluruh tetapi mereka menambah perbuatan tersebut.

E. Perkara-perkara yang Diharamkan bagi Orang dalam Junub

Tajuk:
👁‍🗨 Solat (Fardhu atau Sunat)
👁‍🗨 Tawaf

1. Solat. Sama ada solat fardhu atau solat sunat.

✍Dalilnya hadis Nabi:

“Allah tidak menerima solat tanpa bersuci”.
(HR. Muslim)


 

2. Tawaf.

Kita sudah bincangkan di dalam bab Wudhu’ dan kita ulangkaji sahaja di sini. Tidak boleh tawaf dalam hadas (kecil atau besar) ini adalah pandangan majoriti ulama’.

✍Berdasarkan hadith dari Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ

“Tawaf di Kaabah seperti solat, namun di dalamnya dibolehkan sedikit bicara.”
(An Nasai no. 2922)

✍Begitu pun, ada pendapat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan diikuti oleh Syaikh Muhammad bin Shaleh Al-‘Utsaimin رحمكم الله yang mengatakan suci dari hadas bukan syarat untuk sah tawaf.

Ini mungkin pelik bagi sesetengah orang, tetapi ada hujah yang diberikan:

1️⃣ Pertama:
Hadith yang menyatakan bahawa tawaf itu seperti salat, tidaklah marfu’ (sampai pada Rasulullah ﷺ). Hadith ini hanya mauquf (berhenti kepada perkataan sahabat sahaja) sampai pada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه.
[maknanya, hadith itu boleh dibincangkan lagi].

2️⃣ Kedua:
Tawaf tidaklah sama dari segi perbuatan dengan salat. Maka yang dimaksudkan ‘sama’ dengan salat itu adalah dari segi pahala, bukan di dalam semua keadaan. Maka, kita ambillah wudhu’ apabila hendak memulakan tawaf.

Namun, jika terbatal wudhu’ semasa tawaf, maka boleh diteruskan sahaja tawaf itu. Maka tentulah ini lebih mudah membayangkan keadaan waktu itu amatlah sesak dan jika mahu pergi mengambil wudhu’ kalau terbatal wudhu’, amatlah susah. Pendapat ini juga memudahkan orang yang apabila ke Tanah Haram, tetapi tiba-tiba didatangi haidh.

Susah-susah dia pergi ke sana, tetapi tidak boleh hendak menjalankan ibadah Haji atau Umrah pula. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir dia dapat pergi ke Tanah Haram untuk melakukan Umrah/Haji.

✍Maka pendapat Ibn Taimiyyah dan Shaikh Utsaimin ini sesuai dengan maqosid syar’iyyah:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”
(QS. Al Baqarah: 185).”

 

Allahu a’lam. Mari lihat perkara yang khusus berkenaan wanita pula.


 

☘️SESI SOAL JAWAB ☘️
===================

1. Apakah status hadith ini?

Tidak boleh tawaf dalam hadas (kecil atau besar) ini adalah pandangan majoriti ulama’ berdasarkan hadith dari Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ
“Tawaf di Kaabah seperti solat, namun di dalamnya dibolehkan sedikit bicara.”
(An Nasai no. 2922)

🔵 Status hadith itu sahih tetapi takrifan itu yang berbagai. Oleh sebab itu terdapat banyak pendapat. Hal ini sudah menjadi perkara biasa dalam agama.

2. Apakah tawaf yang dimaksudkan dalam hadith Riwayat Muslim ini?

١١٩ – (…) – حَدَّثَنَا أَبُو بَكۡرِ بۡنُ أَبِي شَيۡبَةَ وَعَمۡرٌوالنَّاقِدُ وَزُهَيۡرُ بۡنُ حَرۡبٍ. جَمِيعًا عَنِ ابۡنِ عُيَيۡنَةَ. قَالَ عَمۡرٌو: حَدَّثَنَا سُفۡيَانُ بۡنُ عُيَيۡنَةَ، عَنۡ عَبۡدِ الرَّحۡمَٰنِ بۡنِ الۡقَاسِمِ، عَنۡ أَبِيهِ، عَنۡ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنۡهَا قَالَتۡ: خَرَجۡنَا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، وَلَا نَرَىٰ إِلَّا الۡحَجَّ، حَتَّىٰ إِذَا كُنَّا بِسَرِفَ، أَوۡ قَرِيبًا مِنۡهَا حِضۡتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ ﷺ وَأَنَا أَبۡكِي فَقَالَ: (أَنَفِسۡتِ) – يَعۡنِي الۡحَيۡضَةَ – قَالَتۡ: قُلۡتُ: نَعَمۡ. قَالَ: (إِنَّ هٰذَا شَيۡءٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَىٰ بَنَاتِ آدَمَ، فَاقۡضِي مَا يَقۡضِي الۡحَاجُّ، غَيۡرَ أَنۡ لَا تَطُوفِي بِالۡبَيۡتِ حَتَّىٰ تَغۡتَسِلِي).
قَالَتۡ: وَضَحَّى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنۡ نِسَائِهِ بِالۡبَقَرِ.
[البخاري: كتاب الحيض، باب الأمر بالنساء إذا نفسن، رقم: ٢٩٤].

119. Abu Bakr bin Abu Syaibah, ‘Amr An-Naqid, dan Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami. Seluruhnya dari Ibnu ‘Uyainah. ‘Amr mengatakan: Sufyan bin ‘Uyainah menceritakan kepada kami, dari ‘Abdurrahman bin Al-Qasim, dari ayahnya, dari ‘Aisyah رضي الله عنها, beliau mengatakan: Kami pernah keluar berpergian bersama Nabi ﷺ dan kami hanya berfikiran untuk haji. Sampai kami tiba di Sarif atau lebih dekat daripada Sarif, aku mengalami haidh. Nabi ﷺ masuk menemuiku dalam keadaan aku sedang menangis. Baginda ﷺ bertanya, “Apakah engkau nifas?” ‘Aisyah berkata: Aku menjawab: Ya. Beliau bersabda, “Ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan atas puteri-puteri Adam. Kerjakanlah apa saja yang dikerjakan oleh orang yang berhaji namun engkau jangan tawaf di Kaabah sampai engkau mandi.”
‘Aisyah berkata: Rasulullah ﷺ menyembelih seekor sapi yang diniatkan untuk para isterinya.

🔵 Tawaf dalam apa-apa sahaja.

3. Adakah kita boleh memilih mana – mana pendapat bahawa wanita haidh boleh tawaf dan boleh untuk tidak tawaf sehingga dia suci?

🔵 Kalau wanita yang sedang datang haidh dan mampu untuk menunggu sehingga berhentinya darah haidh itu, maka tunggulah.Namun,  kalau darah haidh itu mengambil masa yang lama lagi untuk kering dan musim haji pun sudah hendak habis ataupun ketika umrah, masa agak terhad kerana masa penerbangan sudah ditempah maka, lakukanlah tawaf itu dan sempurnakanlah.

4. Adakah pandangan Abdullah bin Amru رضي الله عنه itu agak syadid?

🔵 Ya, syadid. Jadi janganlah mengikut pandangan tersebut.

5.  Adakah benar kefahaman saya bahawa boleh tawaf walaupun tidak suci jika mengikut pendapat Ibnu Taimiyyah?

🔵 Ya, benar.

D. Sunnah-sunnah Mandi

Selepas kita belajar rukun mandi sebelum ini, maka kita tahu untuk membezakan mana yang sunat dan tidak. Kita tahu sesuatu itu sunat apabila ia dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم : dalam cara baginda صلى الله عليه وسلم memulakan mandi, semasa mandi dan mengakhirinya.

Semua itu tidaklah wajib, tetapi sunat dan amat molek kalau kita dapat ikut. Ini kita akan sebutkan dalam cara-cara mandi nanti.

✅ Kita tidak senaraikan sekarang. Nanti kita lihat cara mandi Rasulullah صلى الله عليه وسلم maka kita akan tahu itu adalah sunnah-sunnah dalam mandi.

Mari kita lihat hal-hal yang haram dilakukan oleh orang yang dalam junub.

H. Masalah-Masalah yang Berhubungan dengan Mandi

Tajuk:

🔘 Larangan Membuang Air Kecil di Lantai Tempat Mandi
🔘 Boleh Mandi Tanpa Pakaian Jika Tidak Terlihat Orang
🔘 Memakai Penutup Ketika Mandi
🔘 Bagaimana Jika Ada 2 Kewajipan Mandi?
🔘 Mandi Sekali Sahaja Setelah Berhubungan dengan Beberapa Orang Isteri
🔘 Mengulangi Mandi pada Setiap Isteri
🔘 Orang yang Berjunub Boleh Tidur & Dianjurkan untuk Berwudhu’
🔘 Mandi Bersama-sama Isteri dari Satu Bekas
🔘 Mandi dengan Sisa Air Mandi Wanita
🔘 Ringkasan Praktis Tatacara Mandi

H. Masalah-Masalah yang Berhubungan Dengan Mandi

Sekarang kita hendak membincangkan perkara-perkara yang berkenaan Mandi Janabah. Ini adalah isu-isu yang ditimbulkan ulama dan telah menjadi perbahasan di kalangan mereka.

1. Larangan buang air kecil di lantai tempat mandi

✍Ada dalil larangan buang air di tempat mandi. Hadis itu:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ لاَ يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي مُسْتَحَمِّهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ فِيهِ ‏”

Dari Abdullah bin Mughaffal dia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “janganlah salah seorang di antara kalian buang air kecil di lantai tempat mandinya, kemudian dia mandi di situ.”
Sunan Abi Dawud no. 27. Disahihkan oleh Albani.

Syarah:

Hadis ini nampak larangan dari Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ tetapi ulama membincangkan adakah semua tempat tidak boleh? Jadi ada ulama mengatakan larangan ini adalah kalau lantai itu dari tanah. Namun, zaman sekarang, lantai mandi kita dari simen dan jubin. Kalau kita kencing pun di lantai bilik mandi, maka kalau dilalukan air, kencing itu akan hilang.


 

2. Boleh mandi tanpa baju jika tidak terlihat orang

Selalu timbul persoalan dalam masyarakat: bolehkah mandi bogel? Ada pemahaman dalam masyarakat kita yang mandi itu mesti kena ada pakai kain basah. Sebenarnya boleh sahaja mandi dalam keadaan bogel kalau tiada orang lain.

✍Dalilnya:

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ بَيْنَا أَيُّوبُ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا فَخَرَّ عَلَيْهِ جَرَادٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَجَعَلَ أَيُّوبُ يَحْتَثِي فِي ثَوْبِهِ، فَنَادَاهُ رَبُّهُ يَا أَيُّوبُ، أَلَمْ أَكُنْ أَغْنَيْتُكَ عَمَّا تَرَى قَالَ بَلَى وَعِزَّتِكَ وَلَكِنْ لاَ غِنَى بِي عَنْ بَرَكَتِكَ ‏”

Maksudnya : Diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه , dari Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ berkata: Sewaktu Nabi Ayyub عليه السلام mandi dalam keadaan bogel/telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya (untuk mengutip belalang emas), maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyab, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan-Mu.”
Riwayat al-Bukhari (279)

Syarah:

Imam Bukhari bawakan hadis ini sebagai dalil bahawa Nabi Ayyub عليه السلام juga mandi bogel. Jadi tidak ada masalah kalau hendak mandi bogel.

✍Ada lagi satu hadis Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi Musa عليه السلام mandi dalam keadaan tidak berpakaian di tempat yang jauh daripada orang ramai. Sabda Nabi SAW:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً، يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، وَكَانَ مُوسَى يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ، فَقَالُوا وَاللَّهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلاَّ أَنَّهُ آدَرُ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ، فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ، فَفَرَّ الْحَجَرُ بِثَوْبِهِ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ يَقُولُ ثَوْبِي يَا حَجَرُ‏.‏ حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى، فَقَالُوا وَاللَّهِ مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ‏.‏ وَأَخَذَ ثَوْبَهُ، فَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا

Maksudnya: “Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa عليه السلام mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata :’Demi Allah, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyaki aadar.’ Suatu ketika Nabi Musa عليه السلام pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata : ‘Hai batu, pakaianku!’. Akhirnya, orang-orang Bani Israil pun melihat Musa. Lalu mereka berkata : ‘Demi Allah, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.’ Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata : “Demi Allah, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu”
Riwayat al-Bukhari (no: 274)

Syarah:

Nabi Musa عليه السلام juga mandi bogel tetapi dengan syarat mandi bogel itu tidak boleh orang lain lihat. Oleh kerana itulah Nabi Musa عليه السلام mandi bogel tetapi tidak mandi dengan orang lain. Baginda عليه السلام mandi jauh dari mereka supaya aurat baginda tidak nampak.

Maka kalau kita mandi seorang diri, terutama dalam bilik air di rumah kita, boleh sahaja untuk mandi bogel. Malah kalau yang melihat itu suami isteri kita, lagilah tidak ada masalah. Namun, kalau ada anak-anak kita, maka kenalah tutup pintu atau pakai kain basahan.


 

3. Memakai penutup ketika mandi

Kalau ada kemungkinan orang boleh melihat aurat kita, maka kita hendaklah mengambil jalan supaya aurat kita terjaga.

✍Dalilnya adalah hadis:

271 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ عَنْ مَالِكٍ عَنْ أَبِي النَّضْرِ مَوْلَى عُمَرَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ أَنَّ أَبَا مُرَّةَ مَوْلَى أُمِّ هَانِئٍ بِنْتِ أَبِي طَالِبٍ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ سَمِعَ أُمَّ هَانِئٍ بِنْتَ أَبِي طَالِبٍ تَقُولُ ذَهَبْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْفَتْحِ فَوَجَدْتُهُ يَغْتَسِلُ وَفَاطِمَةُ تَسْتُرُهُ فَقَالَ مَنْ هَذِهِ فَقُلْتُ أَنَا أُمُّ هَانِئٍ

271. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah bin Qa’nab dari Malik dari Abu An Nadlr mantan budak ‘Umar bin ‘Ubaidullah, bahwa Abu Murrah mantan budak Ummu Hani’ binti Abu Thalib, telah mengabarkan kepadanya, bahawa dia mendengar Ummu Hani’ binti Abu Thalib berkata, “Aku pergi menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tahun pembukaan Kota Makkah, aku dapati baginda sedang mandi dan Fatimah menabirinya. Baginda lalu bertanya: “Siapa itu?” Aku menjawab, “Saya, Ummu Hani’.”

Syarah:

Lihat bagaimana Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ mandi dan ditutupi oleh anaknya Fatimah. Ini adalah kerana zaman itu tidak ada bilik mandi yang khusus.

✍Satu lagi hadis:

272 – حَدَّثَنَا عَبْدَانُ قَالَ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ قَالَ أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ عَنْ كُرَيْبٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ مَيْمُونَةَ قَالَتْ
سَتَرْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَغْتَسِلُ مِنْ الْجَنَابَةِ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ صَبَّ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَغَسَلَ فَرْجَهُ وَمَا أَصَابَهُ ثُمَّ مَسَحَ بِيَدِهِ عَلَى الْحَائِطِ أَوْ الْأَرْضِ ثُمَّ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ غَيْرَ رِجْلَيْهِ ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى جَسَدِهِ الْمَاءَ ثُمَّ تَنَحَّى فَغَسَلَ قَدَمَيْهِ
تَابَعَهُ أَبُو عَوَانَةَ وَابْنُ فُضَيْلٍ فِي السَّتْرِ

272. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdan berkata, telah mengabarkan kepada kami ‘Abdullah berkata, telah mengabarkan kepada kami Sufyan dari Al A’masy dari Salim bin Abu Al Ja’d dari Kuraib dari Ibnu ‘Abbas dari Maimunah dia berkata,
“Aku menabiri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang mandi junub. Baginda mencuci kedua tangannya, lalu dengan tangan kanannya baginda menuangkan air pada tangan kirinya, lalu mencuci kemaluannya dan apa yang terkena padanya. Baginda kemudian menggosokkan tangannya ke dinding atau tanah. Kemudian berwudu sebagaimana wudu untuk salat kecuali kedua kakinya. Kemudian baginda meratakan air ke seluruh badannya. Kemudian berganjak lalu mencuci kedua kakinya.”
Hadits ini dikuatkan oleh Abu ‘Awanah dan Ibnu Fudlail dalam menyebutkan lafaz “Aku menabiri Rasulullah SAW.”


 

4. Bagaimana jika ada dua kewajipan mandi?

Bagaimana kalau seseorang itu dalam keadaan junub pada Hari Jumaat? Adakah dia perlu sekali mandi sahaja atau mandi dua kali?

Perkara ini kita telah bincangkan semasa membicarakan Mandi Solat Jumaat. Ia adalah khilaf di kalangan ulama sama ada mandi sekali atau dua kali. Maka kita telah bentangkan di dalam perbincangan yang lalu, pendapat yang kuat adalah mandi dua kali: sekali untuk menghilangkan junub dan sekali lagi untuk Solat Jumaat.


 

5. Mandi sekali sahaja setelah berhubungan dengan beberapa orang isteri

Kalau menggiliri isteri lebih dari seorang, boleh kalau hendak mandi sekali sahaja.

✍Dalilnya:

259 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ وَيَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ إِبْرَاهِيمَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْتَشِرِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ ذَكَرْتُهُ لِعَائِشَةَ فَقَالَتْ يَرْحَمُ اللَّهُ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ ثُمَّ يُصْبِحُ مُحْرِمًا يَنْضَخُ طِيبًا

259. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu ‘Ady dan Yahya bin Sa’id dari Syu’bah dari Ibrahim bin Muhammad bin Al Muntasyir dari bapaknya berkata,: “Aku menyebutkan tentangnya (kata-kata Ibnu ‘Umar) kepada ‘Aisyah, maka jawabnya: “Semoga Allah merahmati Abu ‘Abdurrahman. Sungguh aku pernah memakaikan wewangian kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian baginda mendatangi isteri-isterinya. Dan pada esok paginya baginda mengenakan pakaian ihram dalam keadaan wangi semerbak“.
Sahih Bukhari no 259.

Syarah:

Imam Bukhari yang baginda hanya sekali sahaja mandi kerana minyak wangi masih ada lagi pada tubuh baginda. Kesannya masih ada lagi. Kalau setiap kali baginda mandi selepas mendatangi seorang isterinya, tentulah kesan minyak wangi itu sudah tiada.

✍Ada satu lagi hadis yang lebih jelas:

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas ibn Malik: “Sesungguhnya Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ bersama (jimak) dengan semua isteri baginda dengan sekali mandi.”
(Sahih al-Nasaa’i)


 

6. Mengulangi mandi pada setiap isteri

Molek juga untuk mandi setiap kali selepas mendatangi seorang isteri dan mandi dulu sebelum mendatangi isteri yang lain. Ini juga disebut dalam hadis:

✍Sabda Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ : “Jika kamu mendatangi ( jimak) pasangan kamu dan kemudian kamu ingin mengulanginya lagi, maka digalakkan kepadanya berwuduk.”
(Sahih Muslim)

Syarah:

Maka memang digalakkan untuk mandi setiap kali selepas jimak dan ingin menjimak lagi. Ini juga disebut dalam hadis yang lain:

✍Abu Rofi’ radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pada suatu hari pernah menggilir isteri-isteri baginda, baginda mandi tiap kali selesai berhubungan bersama ini dan ini. Aku bertanya, “Ya Rasulullah, bukankah lebih baik engkau cukup sekali mandi saja?” Baginda menjawab, “Seperti ini lebih suci dan lebih baik serta lebih bersih.”
(HR. Abu Daud no. 219 dan Ahmad 6/8. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadits ini hasan)


 

7. Orang berjunub boleh tidur, cuma dianjurkan wudu’ sebelum tidur

Namun, mengulang mandi atau terus mandi selepas jimak itu bukanlah wajib. Ia adalah sunat. Hanya yang baik adalah wudu’ dahulu sebelum tidur, seperti yang banyak disebut dalam hadis:

✍Hadis:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَيَرْقُدُ أَحَدُنَا وَهْوَ جُنُبٌ قَالَ « نَعَمْ إِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرْقُدْ وَهُوَ جُنُبٌ »

Dari Ibnu ‘Umar, dia berkata bahawa ‘Umar bin Al Khottob pernah bertanya pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Apakah salah seorang di antara kami boleh tidur sedangkan dia dalam keadaan junub?” Baginda menjawab, “Iya, jika salah seorang di antara kalian junub, hendaklah dia berwudhu lalu tidur.”
(HR. Bukhari no. 287 dan Muslim no. 306).

Syarah:

Nampak ini adalah anjuran yang kuat dari Nabi. Ditambah lagi dengan hadis yang lain:

✍Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia berkata,

كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ وَهْوَ جُنُبٌ ، غَسَلَ فَرْجَهُ ، وَتَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ

“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa jika dalam keadaan junub dan hendak tidur, beliau mencuci kemaluannya lalu berwudhu sebagaimana wudhu untuk shalat.”
(HR. Bukhari no. 288).

✍‘Aisyah رَضِيَ اللهُ عَنْهَا pernah ditanya oleh ‘Abdullah bin Abu Qois mengenai keadaan Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam,

كَيْفَ كَانَ يَصْنَعُ فِى الْجَنَابَةِ أَكَانَ يَغْتَسِلُ قَبْلَ أَنْ يَنَامَ أَمْ يَنَامُ قَبْلَ أَنْ يَغْتَسِلَ قَالَتْ كُلُّ ذَلِكَ قَدْ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا اغْتَسَلَ فَنَامَ وَرُبَّمَا تَوَضَّأَ فَنَامَ. قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى جَعَلَ فِى الأَمْرِ سَعَةً.

“Bagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam jika dalam keadaan junub? Apakah beliau mandi sebelum tidur ataukah tidur sebelum mandi?” ‘Aisyah menjawab, “Semua itu pernah dilakukan oleh baginda. Kadang baginda mandi, lalu tidur. Kadang pula baginda wudhu, barulah tidur.” ‘Abdullah bin Abu Qois berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan segala urusan begitu lapang.”
(HR. Muslim no. 307).

Namun, tetap wudu’ itu juga tidak wajib. Maka kalau kita simpulkan keadaan orang yang junub sebelum tidur:

1- Junub lalu mandi sebelum tidur, ini lebih sempurna.

2- Junub dan wudhu terlebih dahulu sebelum tidur, ini yang disunnahkan untuk memperingan junub.

3- Junub dan tanpa wudhu, lalu tidur. Cara seperti ini masih dibolehkan.


 

8. Mandi bersama isteri dari satu bekas

Apabila dikatakan mandi dari satu bekas, maknanya tangan bersentuhan dan air menitis-nitis kembali ke dalam bekas itu. Maka tidaklah ada air mustaqmal.

✍Mari kita lihat hadis yang dibawa Imam Bukhari.

242 – حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ مِنْ قَدَحٍ يُقَالُ لَهُ الْفَرَقُ

242. Telah menceritakan kepada kami Adam bin Abu Iyas berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu Dzi’b dari Az Zuhri dari ‘Urwah dari ‘Aisyah berkata, “Aku sendiri mandi bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dari satu bekas yang sama yang yang dipanggil Al Faraq.”
Sahih Bukhari no. 242.

✍Imam Al-Bukhari juga ada meriwayatkan hadis yang bermaksud :

“Daripada Aisyah رَضِيَ اللهُ عَنْهَا berkata: Aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ daripada satu bekas. Tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)”
(Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)

Syarah:

Maka tidak ada masalah kalau mandi bersama isteri, malah ini lebih romantik.


 

9. Mandi dengan sisa air mandi wanita

Ini adalah isu yang melibatkan air mustaqmal. Timbul persoalan: adakah boleh guna air yang telah digunakan oleh wanita? Maksud air yang telah digunakan bukanlah ditadah, tetapi bekas yang telah dicelup oleh wanita untuk mengangkat hadas. Kalau pakai pendapat ada air mustaqmal, maka tidak boleh tetapi lihatlah hadis-hadis yang ada:

✍Dari Ibnu Abbas رَضِيَ اللهُ عَنُْه bahwa Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ mandi dengan air bekas Maimunah رَضِيَ اللهُ عَنْهَا .

✍Dan ada satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Muslim

اغْتَسَلَ بَعْضُ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ
صلى الله عليه وسلم – فِي جَفْنَةٍ, فَجَاءَ لِيَغْتَسِلَ مِنْهَا, فَقَالَتْ لَهُ: إِنِّي كُنْتُ جُنُبًا؟ فَقَالَ: «إِنَّ الْمَاءَ لَا يُجْنِبُ». وَصَحَّحَهُ التِّرْمِذِيُّ, وَابْنُ خُزَيْمَ

“Sebagian isteri Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ mandi dalam sebuah baskom, lalu Beliau datang untuk mandi dari air tersebut. Isterinya berkata kepadanya: sesungguhnya Aku tadi dalam keadaan junub? Maka Rasulullah َصَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّم menjawab: “Sesungguhnya air tidak menjadi junub pula.”
Disahihkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Khuzaimah.

Syarah:
Maksud Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ , air itu tidak menjadi najis, maka air itu boleh digunakan untuk mengangkat hadas.

✍Yang mungkin timbul perbincangan adalah kerana ada lagi hadis yang lain seperti melarangnya:

وَعَنْ رَجُلٍ صَحِبَ النَّبِيَّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: نَهَى رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَنْ تَغْتَسِلَ الْمَرْأَةُ بِفَضْلِ الرَّجُلِ, أَوْ الرَّجُلُ بِفَضْلِ الْمَرْأَةِ, وَلْيَغْتَرِفَا جَمِيعًا. أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ. وَالنَّسَائِيُّ, وَإِسْنَادُهُ صَحِيحٌ

Dari seorang lelaki yang pernah bersahabat dengan Rasulullah, dia berkata Rasulullah melarang seorang wanita menggunakan sisa air lelaki, atau lelaki menggunakan sisa air wanita. Hendaklah keduanya menciduk.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasaai, dan sanadnya sahih.

Syarah:

Hadis ini berkenaan dengan adab. Sebaiknya lelaki atau perempuan mencedok air dari bekas yang besar supaya tidak ada menitis air masuk. Kalau menitis pun, ia adalah makruh sahaja.


 

10. Ringkasan tata cara mandi

1. Mencuci tangan
2. Mencuci qubul dan dubur
3. Basuh tangan dengan sabun selepas cuci kemaluan
4. Wuduk
5. Tuang air ke kepala dan menyela-nyela supaya air kena kepada kulit kepala.
6. Mula basuh bahagian kanan tubuh.
7. Pastikan air kena seluruh bahagian tubuh termasuk celah-celah kelangkang dan sebagainya.
8. Habis mandi. Tidak perlu angkat wuduk lagi.

Sekian bab Mandi Junub. Mari kita masuk ke perbincangan seterusnya, Bab Tayammum.


 

🍀SESI SOAL JAWAB🍀
========================

1. Adakah tidak menjadi masalah apabila ada orang kencing di tempat mandi?

🔵 Ya, tiada masalah. Apabila sudah kencing, maka jirus air dan bagi air lalu.

2. Apakah penyakit Aadar?

🔵 Busung telur.

3. Adakah boleh mandi dengan menggunakan daun bidara?

🔵 Ya, boleh tetapi zaman sekarang sudah menggunakan sabun untuk menggantikan daun bidara.

4. Adakah seseorang boleh berpuasa di dalam keadaan junub? Maksudnya mandi junub selepas azan subuh.

🔵 Puasanya sah. Suci daripada hadas bukan sebahagian daripada syarat sah puasa.

5. Adakah seseorang wanita yang telah suci dari haidh pada hari Jumaat perlu mandi wajib dua kali?

🔵 Mandi untuk hari Jumaat adalah untuk mereka yang menghadiri solat Jumaat sahaja.

6. Adakah benar jin menyukai melihat manusia bogel sama ada semasa mandi dan sebagainya?

🔵 Perkara berkenaan jin tersebut tidak saya ketahui. Belum menjumpai dalilnya.

Diriwayatkan dari Muawiyah bin Haidah ‎رضي الله عنه, bahwa beliau bertanya kepada Nabi ‎ﷺ tentang auratnya, bilakah wajib ditutup dan bilakah boleh ditunjukkan. Kemudian Nabi ‎ﷺ bersabda:
احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلاّ مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مما مَلَكَتْ يَمينُكَ
“Jaga auratmu, kecuali untuk isterimu atau budakmu.”

Orang itu bertanya lagi: Bagaimana jika seorang lelaki bersama lelaki yang lain?

Beliau menjawab:
إن اسْتَطَعْتَ أَنْ لاَ يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ
“Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat orang lain, lakukanlah!”

Orang itu bertanya lagi: Ketika seseorang itu sendirian?

Beliau menjawab:
فَالله أَحقّ أَنْ يستحيا مِنْهُ
“Allah lebih layak seseorang itu malu kepada-Nya.” (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibnu Majah, dan dinilai hasan oleh Al-Albani)

Apabila mandi, memang perlu berbogel kerana air boleh mengenai ke seluruh tubuh badan. Asalkan tidak ada orang yang melihat.

7. Adakah jin akan melihat kita ketika mandi di dalam tandas?

🔵 Membaca doa masuk ke tandas. Dihindari dari gangguan jin.

8. Adakah dikira mandi wajib apabila lap badan dengan kain basah sahaja?

🔵 Tidak dikira mandi wajib.

9. Adakah boleh berihram dengan kain yang dibasuh dengan pewangi pakaian?

🔵 Ada pendapat yang membolehkannya kerana dikira sebagai sabun.

B. Mandi-mandi Yang Dianjurkan

Tajuk:

🔘 Mandi Dua Hari Raya
🔘 Mandi Hari Arafah
🔘 Mandi Ihram
🔘 Mandi Ketika Memasuki Mekah
🔘 Mandi Orang Memandikan Jenazah
🔘 Mandi Setiap Kali hendak Berjimak
🔘 Mandi Bagi Wanita Istihadah, Mandi Setiap Kali Hendak Solat atau Gabungkan Mandi Zuhur/Asar, Maghrib/Isyak
🔘 Mandi Kerana Menguburkan Musyrik
🔘 Mandi Setelah Sedar Dari Pengsan

B. Mandi-mandi yang dianjurkan (Sunat, mustahab)

Sebelum ini kita telah bentangkan bilakah seorang Muslim itu diwajibkan mandi junub. Sekarang kita bentangkan pula bilakan seorang Muslim itu disunatkan untuk mandi.

1. Mandi Dua Hari Raya

Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Tiada dalil khusus dari hadith tentang perkara ini, melainkan atsar dari Saidina Ali:

✍Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.”
Atsar riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119. Diriwayatkan juga oleh Baihaqi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya Sahih].

✍Hujah yang lain:

عن سعيد بن المسيب أَنَّهُ قَالَ: سُنَّةُ اْلفِطْرِ ثَلاَثٌ اْلمـَشْيُ إِلىَ اْلمـُصَلَّى وَ اْلأَكْلُ قَبْلَ اْلخُرُوْجِ وَ اْلاغْتِسَالُ

Dari Sa’id bin al-Musayyab رضي الله عنه, bahawasanya dia berkata, “Sunnah di dalam Iedul Fitri itu ada tiga, iaitu berjalan menuju lapangan (padang), makan sebelum keluar (rumah) dan mandi”.
[Telah mengeluarkan atsar ini Al-Furyabi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya sahih].


 

2. Mandi Hari Arafah

Maksudnya ketika wukuf di Arafah. Maka mandi untuk hari Arafah bukan untuk setiap Muslim, akan tetapi hanya untuk jemaah haji sahaja. Tidak disyaratkan bersuci ketika wukuf di Arafah. Para ulama’ sepakat sahnya wukuf orang yang haidh dan dalam junub.

Akan tetapi dianjurkan berwukuf dalam keadaan suci dari dua hadas, sama ada besar atau kecil. Ini adalah kerana semasa wukuf di Arafah itu, para Haji sedang berzikir kepada Allah عز وجل, dan kita telah tahu bahawa kita dianjurkan dalam keadaan suci ketika mengingat Allah عز وجل.

Dalil sunat mandi ini adalah seperti atsar Sayidina Ali seperti yang telah disebut di atas. Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.”

Telah diketahui bahawa empat mazhab yang terkenal sepakat berpendapat dianjurkan mandi pada hari Arafah, siapa yang melaksanakannya diberi pahala.

✍Dalil anjurannya adalah perbuatan para sahabat رضي الله عنهم.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله mengatakan, “Tidak dinukil baik dari Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun dari para sahabat dalam haji kecuali tiga mandi. Mandi ihram, mandi ketika masuk Mekah dan mandi hari Arafah.”‘Majmu’ Fatawa, (26/132).


 

3. Mandi Ihram

✍Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga mandi di Dzulhulaifah (salah satu dari miqat Ihram). Terdapat riwayat dari Kharijah bin Zaid bin Tsabit dari ayahnya bahawa dia (ayahnya) melihat Nabi صلى الله عليه وسلم berihram dengan melepaskan pakaian baginda yang berjahit lalu mandi.
[Hadits Riwayat Tirmidzi no.760 cetakan Al-Alamiyah]

Syarah:
Baginda mandi di Dzulhulaifah kerana baginda berihram dari situ. Nabi صلى الله عليه وسلم menjadikan Dzulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah. Maka kita mandi di Miqat kita. Di manakah miqat itu boleh rujuk kepada Mutawwif.

✍Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله mengatakan, “Tidak dinukil baik dari Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun dari para shahabat dalam haji kecuali tiga mandi. Mandi ihram, mandi ketika masuk Mekah dan mandi hari Arafah.” Majmu’ Fatawa, (26/132).

✍Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz pernah menjawab ketika ditanya tentang hal ini: “Jika seorang berihram tanpa mandi, maka dia tidak berdosa. Lalu jika mandi di Mina ketika dia telah berihram maka juga tidak mengapa. Tetapi yang utama dan sunnah adalah jika dia mandi sebelum ihram. Jika tidak mandi (ihram tanpa mandi) atau hanya berwudhu’ sahaja, maka dia tidak berdosa dalam demikian itu. Sebab mandi ketika ihram hukumnya sunnah, demikian juga wudhu.”
[Disalin dari Buku Fatwa-Fatwa Haji dan Umrah oleh Ulama’-Ulama’ Besar Saudi Arabia]


 

4. Mandi ketika masuk Mekah

Selanjutnya yang dianjurkan untuk mandi adalah ketika memasuki kota Makkah untuk menunaikan tawaf ketika umrah atau haji.

عن نافع أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ لاَ يَقْدِمُ مَكَّةَ إِلاَّ بَاتَ بِذِي طُوًى حَتىَّ يُصْبِحَ وَ يَغْتَسِلَ ثُمَّ يَدْخُلُ مَكَّةَ نَهَارًا وَ يَذْكُرُ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم أَنَّهُ فَعَلَهُ

Dari Nafi’ bahwasanya Ibnu Umar رضي الله عنهما tidaklah memasuki kota Makkah melainkan dia bermalam di Dzu Thuwa sampai subuh dan mandi kemudian masuk kota Makkah di waktu siang hari. Dia menyebutkan dari Nabi صلى الله عليه وسلم bahawasanya baginda juga melakukannya.
[HR Muslim: 1259 (227) dan Bukhari: 1553, 1573. Berkata Asy-Syaikh Al-Albaniy: Sahih].

Berkata Ibnu Al-Mundzir رحمه الله, ”Mandi ketika masuk ke kota Makkah adalah dianjurkan menurut seluruh ulama’ dan meninggalkannya menurut mereka tidaklah menyebabkan membayar fidyah. Majoriti mereka mengatakan wudhu’ itu cukup darinya”.


 

5. Setelah memandikan jenazah

Jika seorang Muslim turut memandikan jenazah saudaranya maka dianjurkan untuk mandi setelah memandikannya.

✍Hal ini telah disebutkan di dalam beberapa riwayat antaranya hadith berikut ini,

عن أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: مَنْ غَسَلَ اْلمـَيِّتَ فَلْيَغْتَسِلْ وَ مَنْ حَمَلَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, ”Barangsiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi dan barangsiapa yang mengusungnya, maka hendaklah berwudhu’ ”.
[HR Abu Dawud: 3161, at-Tirmidzi: 993 dan Ahmad: II/ 280, 433, 454, 472. Berkata Asy-Syaikh Al-Albaniy: Sahih].

Syarah:
Zahir hadith ini nampaknya seolah-olah ia wajib, tetapi ulama’ tidak mewajibkannya kerana ada lagi hadith-hadith lain yang memberi isyarat bahawa ianya sunat sahaja.

✍Lihat hadith di bawah:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قَالَ: لَيْسَ عَلَيْكُمْ فىِ غَسْلِ مَيِّتِكُمْ غُسْلٌ إِذَا غَسَلْتُمُوْهُ فَإِنَّ مَيِّتَكُمْ لَيْسَ بِنَجَسٍ فَحَسْبُكُمْ أَنْ تَغْسِلُوْا أَيْدِيَكُمْ

Dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata, ”Tidak ada kewajiban atas kalian wajib di dalam memandikan mayat di antara kalian apabila kalian memandikannya kerana sesungguhnya mayat kalian itu bukanlah najis. Maka cukuplah bagi kalian untuk mencuci tangan-tangan kalian”.
[Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Telah mengeluarkan atsar ini Al-Hakim: 1466 dan Al-Baihaqi. Berkata Al-Hakim: Shahih berdasarkan syarat Al-Bukhari dan Al-Imam Adz-Dzahabi pun menyepakatinya.].

عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: كُنَّا نَغْسِلُ اْلمـَيِّتَ فَمِنَّا مَنْ يَغْتَسِلُ وَ مِنَّا مَنْ لاَ يَغْتَسِلَ

Dari Ibnu Umar رضي الله عنهما berkata, ”Kami pernah memandikan mayat, lalu di antara kami ada yang mandi dan di antara kami ada juga yang tidak mandi”.
[Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Telah mengeluarkan atsar ini Ad-Daruquthni: 1802 dan Al-Khathib dengan sanad yang sahih sebagaimana dikatakan oleh Al-Hafiz].

Hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه di atas menunjukkan perintah untuk mandi bagi yang telah memandikan mayat dan berwudhu’ bagi yang mengusungnya. Tetapi perintah tersebut hanyalah mengandung penganjuran dan tidak wajib kerana hadith dari Ibnu Abbas dan Ibnu Umar رضي الله عنهما berikutnya menerangkan di antara para sahabat رضي الله عنهم ada yang tidak melakukannya. Sekiranya ia wajib, tentulah mereka telah melakukannya.


 

6. Setiap kali hendak jimak

Islam adalah agama yang bersih dan sangat menyukai kebersihan. Ini termasuklah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah rumah tangga. Jimak merupakan salah satu dari beberapa keperluan suami dan isteri.

Namun ketika mereka melakukan hubungan seksual ini dalam keadaan yang tidak menyenangkan dari segi fizikal (bau badan dan sebagainya), akan dapat mengganggu hubungan seksual tersebut. Jangan main-main kerana dengan perkara ini boleh menyebabkan hubungan keduanya boleh menjadi menjadi renggang dan malah boleh terjadi perceraian.

Oleh sebab itu setiap Muslim, bukan hanya berusaha menunaikan kewajibannya sebagai suami yang menggauli isterinya dengan cara ma’ruf atau sebagai isteri yang berusaha memenuhi kehendak suaminya yang mengajaknya ke tempat tidur untuk berhubungan intim.

Selain itu mereka juga hendaklah berusaha untuk memperhatikan hal-hal yang dapat menimbulkan keinginan, ghairah dan kepuasan kepada pasangannya. Usaha itu di antaranya adalah dengan memperhatikan kebersihan tubuh, maka dianjurkan apabila seseorang di antara mereka ketika akan mendatangi pasangannya, hendaklah dalam keadaan bersih dan harum.

Mandi adalah jalan termudah kerana dengan mandi, tubuh akan menjadi segar, hilang kotoran dan bau-bauan yang tidak menyenangkan dan pasangannya pun akan lebih senang dan lebih bersemangat. Apalagi jika kedua pasangan tersebut hendak mengulanginya kembali setelah cukup rehat.

Hal ini telah dikerjakan oleh Rasulullah ﷺ yang pernah menggilir semua isteri-isterinya dalam satu malam. Setiap kali hendak menggilir salah seorang dari mereka, baginda mandi terlebih dahulu.

✍Hal ini berdasarkan dalil hadith di bawah ini,

عن أبي رافع أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم طَافَ ذَاتَ يَوْمٍ عَلَى نِسَائِهِ يَغْتَسِلُ عِنْدَ هَذِهِ وَ عِنْدَ هَذِهِ قَالَ: فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَلاَ تَجْعَلُهُ غُسْلاً وَاحِدًا؟ قَالَ: هَذَا أَزْكَى وَ أَطْيَبُ وَ أَطْهَرُ

Dari Abu Rafi’ رضي الله عنه bahawasanya Nabi صلى الله عليه وسلم suatu hari pernah berkeliling (menjimak) isteri-isterinya dan baginda mandi di sisi yang ini dan di sisi yang itu. Berkata (Abu Rafi’), ”aku bertanya, ”Wahai Rasulullah tidakkah engkau menjadikannya satu kali mandi sahaja?”. Beliau menjawab, ”Ini lebih suci, lebih harum dan lebih bersih”.
[HR Abu Dawud: 219, Ibnu Majah: 590 dan Ahmad: VI/ 8. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Dari hadis ini, menceritakan kepada kita yang setiap kali baginda jimak seorang isteri, baginda akan mandi dahulu sebelum menjimak isterinya yang lain. Mandi setiap kali hendak mengulangi jimak adalah lebih suci, lebih harum dan lebih bersih. Hal inipun disukai oleh suami isteri yang melakukannya meskipun mencuci faraj dan berwudhu’ itu sudah memadai.


 

7. Bagi wanita yang istihadah, mandi setiap kali hendak solat. Atau gabungkan mandi Zuhur/Asar, Maghrib/Isya’

Perempuan yang mengalami istihadhah dianjurkan mandi setiap kali hendak melakukan solat. Dalilnya seperti berikut:

✍Pertama

عن عدي بن ثابت عن أبيه عن جده عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: اْلمـُسْتَحَاضَةُ تَدَعُ الصَّلاَةَ أَيَّامَ أَقْرَائِهَا ثُمَّ تَغْتَسِلُ وَ تَتَوَضَّأُ لِكُلِّ صَلاَةٍ وَ تَصُوْمُ وَ تُصَلِّي

Dari Adi bin Tsabit dari ayahnya dari datuknya dari Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Orang yang istihadah meninggalkan salat beberapa hari kebiasaan haidhnya kemudian dia mandi dan wudhu’ untuk setiap kali solat. Dia juga mengerjakan puasa dan solat”.
[HR Ibnu Majah: 625, At-Tirmizi: 126, Abu Daud: 297 dan Ad-Darimi: I/ 202. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih]

Syarah:
Hadith ini menunjukkan atas wajibnya berwudhu’ (bagi orang yang istihadhah) untuk setiap kali salat. Namun disunatkan untuk mandi. Maka kena dipastikan sama ada itu adalah darah haidh atau darah istihadhah (darah penyakit).Ini kerana jika memang darah haidh maka tidak boleh salat dan berpuasa.

✍Kedua

عن عائشة قَالَتْ: اسْتُحِيْضَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبيِ حُبَيْشٍ فَسَأَلَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم فَقَالَتْ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ ؟ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : إِنمَّاَ ذَلِكَ عِرْقٌ وَ لَيْسَتْ بِاْلحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتِ اْلحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلاَةَ وَ إِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِيْ عَنْكِ أَثَرَ الدَّمِ وَ تَوَضَّئِيْ فَإِنمَّاَ ذَلِكَ عِرْقٌ وَ لَيْسَتْ بِاْلحَيْضَةِ قِيْلَ لَهُ: فَاْلغُسْلُ؟ قَالَ: ذَلِكَ لاَ يَشُكُّ فِيْهِ أَحَدٌ

Dari Aisyah رضي الله عنها berkata, “Fatimah binti Hubaisy pernah mengalami istihadhah, lalu dia bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, dia berkata, “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadhah, maka aku tidak suci, bolehkah aku meninggalkan salat?”. Rasulullah ﷺ menjawab, “Yang demikian itu adalah cairan penyakit bukannya haidh, maka jika datang waktu haidh tinggalkanlah salat dan apabila telah berlalu maka cucilah kesan darah darimu dan berwudhu’lah. Yang demikian itu hanyalah cairan penyakit dan bukannya haidh”. Ditanyakan kepadanya, “Kalau mandi bagaimana?”. Beliau menjawab, “hal tersebut, tiada seseorangpun yang ragu tentangnya”.
[HR An-Nasa’i: I/ 124. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih isnadnya].

✍Ketiga

عن حمنة بنت جحش قَالَتْ: كُنْتُ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَأَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَسْتَفْتِيْهِ وَ أُخْبِرُهُ فَوَجَدْتُهُ فىِ بَيْتِ أُخْتىِ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ امْرَأَةٌ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَمَا تَرَى فِيْهَا قَدْ مَنَعَتْنىِ الصَّلاَةُ وَ الصَّوْمُ؟ فَقَالَ: أَنْعَتُ لَكِ اْلكُرْسُفَ فَإِنَّهُ يُذْهِبُ الدَّمَ قَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ: فَاتَّخِذِيْ ثَوْبًا فَقَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ إِنمَّاَ أَثُجُّ ثَجًّا قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : سَآمُرُكِ بِأَمْرَيْنِ أَيَّهُمَا فَعَلْتِ أَجْزَأَ عَنْكِ مِنَ اْلآخَرِ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَيْهِمَا فَأَنْتِ أَعْلَمُ فَقَالَ لَهَا: إِنمَّاَ هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ فَتَحَيَّضِيْ سِتَّةَ أَيَّامٍ أَوْ سَبْعَةَ أَيَّامٍ فىِ عِلْمِ اللهِ ثُمَّ اغْتَسِلِيْ حَتىَّ إِذَا رَأَيْتِ أَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَ اسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّي ثَلاَثًا وَ عِشْرِيْنَ لَيْلَةً أَوْ أَرْبَعًا وَ عِشْرِيْنِ لَيْلَةً وَ أَيَّامَهَا وَ صُوْمِيْ فَإِنَّ ذَلِكَ يُجْزِيْكَ وَ كَذَلِكَ فَافْعَلِيْ كُلَّ شَهْرٍ كَمَا َتحِيْضُ النِّسَاءُ وَ كَمَا يَطْهُرْنَ مِيْقَاتَ حَيْضِهِنَّ وَ طُهْرِهِنَّ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَى أَنْ تُؤَخِّرِي الظُّهْرَ وَ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ فَتَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ الظُّهْرِ وَ اْلعَصْرِ وَ تُؤَخِّرِيْنَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلِيْنَ اْلعِشَاءَ ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فَافْعَلِيْ وَ تَغْتَسِلِيْنَ مَعَ اْلفَجْرِ فَافْعَلِيْ وَ صُوْمِيْ إِنْ قَدِرْتِ عَلَى ذَلِكَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هَذَا أَعْجَبُ اْلأَمْرَيْنِ إِلَيَّ

Dari Hamnah binti Jahsyi berkata, “Aku pernah mengalami istihadhah yang deras sekali, lalu aku mendatangi Rasulullah ﷺ untuk meminta fatwa kepadanya. Aku mendapatkan berita tentangnya lalu aku menjumpai baginda di rumah saudariku Zainab binti Jahsyi”. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadhah yang deras sekali, bagaimana pendapatmu, apakah ia mencegahku dari salat dan puasa?”. Baginda menjawab, “Aku akan terangkan kepadamu, kain kapas (yang engkau lekatkan pada farji) dapat menghilangkan (atau menyerap) darah”. Hamnah berkata, “darahku lebih banyak dari itu”. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, “Ambillah kain”. Hamnah berkata lagi, ”Darahku lebih banyak lagi dari itu kerana ia adalah darah yang mengalir”. Maka bersabdalah Rasulullah ﷺ, ”Aku akan perintahkan kepadamu dua hal, manapun yang engkau kerjakan nescaya mencukupimu dari yang lain, tetapi jikalau engkau mampu keduanya engkaulah yang lebih tahu”. Baginda bersabda kepadanya, ”Itu hanyalah satu gangguan dari beberapa gangguan syaitan, maka berhaidlah engkau enam atau tujuh hari di dalam ilmu Allah kemudian mandilah sehingga apabila engkau lihat (atau yakin) bahawa engkau telah suci dan telah sampai masa suci maka salatlah selama dua puluh tiga atau dua puluh empat hari dan puasalah. Maka sesungguhnya yang demikian itu cukup bagimu dan demikian pula hendaknya engkau lakukan setiap bulan sebagaimana perempuan haidh dan suci pada waktu haidh dan sucinya mereka. Jikalau engkau masih mampu maka hendaknya engkau mengakhiri salat Zuhur dan menyegerakan salat Asar lalu engkau mandi dan menjamak antara dua salat iaitu Zuhur dan Asar, dan engkau mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isya’ kemudian engkau mandi dan menjamak antara dua salat yaitu Maghrib dan Isya’, maka tunaikanlah. Engkau mandi bersama salat fajar maka tunaikanlah dan puasalah jika engkau mampu”. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, ”Cara yang terakhir inilah yang lebih aku sukai.”.
[HR Abu Daud: 287, At-Tirmizi: 128, Ibnu Majah: 627 dan Ahmad: VI/ 381-382, 439, 439-440. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Seperti yang telah disebut, dianjurkan untuk mandi setiap kali salat. Atau pun, boleh juga mandi sekali untuk salat Zuhur dan Asar; kemudian mandi sekali lagi untuk Maghrib dan Isya’; mandi sekali lagi untuk salat Subuh.

✍Keempat

عن عائشة قَالَتْ: اسْتُحِيْضَتِ امْرَأَةٌ عَلَى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَأُمِرَتْ أَنْ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ وَ تُؤَخِّرَ الظُّهْرَ وَ تَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلاً وَ أَنْ تُؤَخِّرَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلَ اْلعِشَاءَ وَ تَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلاً وَ تَغْتَسِلُ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ غُسْلاً فَقُلْتُ (يَعْنيِ شُعْبَةَ) لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ: عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم ؟ فَقَالَ: لاَ أُحَدِّثُكَ إِلاَّ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم بِشَيْءٍ

Dari Aisyah رضي الله عنها berkata, ”Pernah seorang perempuan mengalami istihadah di masa Rasulullah صلى الله عليه وسلم”. Lalu dia disuruh untuk menyegerakan Asar dan mengakhirkan Zuhur dan mandi dengan sekali mandi untuk keduanya. Dan juga untuk mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isya’ dan mandi dengan sekali mandi untuk keduanya. Dan juga mandi dengan sekali mandi untuk menunaikan salat subuh. Aku (yaitu Syu’bah) berkata kepada Abdurrahman, ”(Apakah itu) dari Nabi صلى الله عليه وسلم ?”. Dia menjawab, ”Aku tidak akan menceritakannya kepadamu tentang sesuatu melainkan dari Nabi صلى الله عليه وسلم”.
[HR Abu Daud: 294 dan An-Nasa’i: I/ 122. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih].

عن أُمِّ حَبِيْبَةَ بِنْتِ جَحْشٍ اسْتُحِيْضَتْ سَبْعَ سِنِيْنَ فَأَمَرَهَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَنْ تَغْتَسِلَ فَكَانَتْ تَغْتَسِلُ لِكُلِّ صَلاَةٍ

Dari Ummu Habibah binti Jahsyi رضي الله عنها, dia mengalami istihadhah selama tujuh tahun. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyuruhnya untuk mandi. Maka dia selalu mandi untuk setiap kali salat.
[HR Abu Daud: 291, 292. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih].

Istihadhah
Ia adalah darah perempuan yang keluar terus menerus tanpa berhenti atau berhenti sebentar (satu atau dua hari) dalam sebulan.

Hal ini dimanfaatkan oleh syaitan untuk menggoda kaum perempuan sehingga ada di antara mereka yang tidak melakukan salat, puasa dan tidak pula menerima ajakan suaminya untuk berjimak. Padahal ini adalah perilaku yang keliru dan tidak dapat dibenarkan oleh syari’at.

Jika ada seorang perempuan mengalami istihadhah maka hendaklah dia memperhatikan beberapa perkara di bawah ini:

1. Apabila dia pernah datang haidh lalu sekarang baru dia mengalami istihadhah, maka hendaklah dia tengok jadual haidh dia yang pernah terjadi kepadanya dalam sebulan. Maka tunggulah masa tanpa salat seperti biasanya dia ada haidh, dan hendaklah dia menganggap selainnya adalah darah istihadhah dan bolehlah dia salat dan puasa, juga boleh berjimak dengan suaminya.

2. Atau apabila dia baru pertama kali mengalami haidh lalu langsung mengalami istihadhah namun dia dapat membezakan warna darah haidhnya yang kental, berwarna hitam atau bau yang khas. Di saat itulah dia menghitung waktu haidhnya dalam sebulan dan selebihnya adalah darah istihadhah.

3. Atau seperti yang kedua, yakni dia baru mengalami haidh lalu dia terus mengalami istihadhah dan kerana itu dia tidak dapat membezakan antara darah haidh dan darah istihadhah maka dia mesti berketetapan untuk berhaidh selama enam atau tujuh hari dalam sebulan seperti umumnya perempuan lain mengalami haidh, lalu dia menganggap sisanya adalah darah istihadhah.

📌Dianjurkan baginya untuk mandi setiap kali hendak salat, atau menjadikan satu mandi untuk dua salat yang dijamak misalnya; Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isya’ sedangkan Subuh sekali mandi. Tetapi jika tidak, ia wajib berwudhu’ setiap kali salat yang dilakukan sesudah masuknya waktu salat.

Nota tambahan:
Ada ulama’ berkata mandi ini juga mungkin sebagai salah satu cara untuk mengubati sakit yang menyebabkan darah itu keluar. Boleh diamalkan sebagai usaha kita.


 

8. Mandi kerana menguburkan orang musyrik

Jika ada seorang muslim ikut menguburkan jenazah orang kafir atau musyrik, maka hendaklah dia mandi dengan mandi junub. Pada dasarnya, seorang muslim itu dilarang menguburkan jenazah orang kafir atau musyrik.

Namun ketika jenazah itu tidak ada yang menguburkan kerana suatu hal, maka mereka wajib menguburkannya tanpa memandikan, mengkafani, menyolatkan dan mendoakannya.

✍Hal ini sebagaimana telah diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ kepada Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه di dalam hadith berikut,

عن علي رضي الله عنه قَالَ: َلمــَّا تُوُفِّيَ أَبُوْ طَالِبٍ أَتَيْتُ النَّبيَّ صلى الله عليه و سلم فَقُلْتُ: إِنَّ عَمَّكَ الشَّيْخَ الضَّالَّ قَدْ مَاتَ فَمَنْ يُوَارِيْهِ قَالَ: اذْهَبْ فَوَارِهِ ثُمَّ لاَ تُحَدِّثْ شَيْئًا حَتىَّ تَأْتِيَنيِ فَقَالَ: إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا فَقَالَ: اذْهَبْ فَوَارِهِ قَالَ: فَوَارَيْتُهُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ قَالَ: اذْهَبْ فَاغْتَسِلْ ثُمَّ لاَ تُحَدِّثْ شَيْئًا حَتىَّ تَأْتِيَنيِ قَالَ: فَاغْتَسَلْتُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ قَالَ: فَدَعَا لىِ بِدَعَوَاتٍ مَا يَسُرُّنيِ أَنَّ ليِ بِهَا حُمُرَ النَّعَمِ وَ سُوْدَهَا قَالَ: وَ كَانَ عَلِيٌّ إِذَا غَسَلَ اْلمـَيِّتَ اغْتَسَلَ

Dari Ali رضي الله عنه berkata, “Ketika Abu Thalib wafat, aku datang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan berkata, “Sesungguhnya bapa saudaramu yaitu seorang tua yang sesat, sesungguhnya telah mati, maka siapakah yang akan menguburkannya?”. Baginda bersabda, “Pergi dan kuburkanlah lalu janganlah engkau berkata sesuatupun sehingga engkau mendatangiku”. Ali berkata, “Sesungguhnya dia telah mati dalam keadaan musyrik”. Beliau bersabda, “Pergi dan kuburkanlah”. Ali berkata, “Kemudian akupun menguburkannya lalu mendatanginya”. Baginda bersabda, ”Pergi dan mandilah lalu janganlah engkau berkata sesuatupun sehingga engkau mendatangiku”. Ali berkata, ”Lalu akupun mandi kemudian mendatanginya”. Ali berkata, ”Maka baginda mendoakan kebaikan kepadaku dengan beberapa doa yang membuatku bahagia seakan aku memiliki unta merah dan hitamnya”. Dia (iaitu Abdurrahman As-Silmiy) berkata, ”Ali biasanya mandi apabila memandikan mayat”.
[HR Ahmad: I/ 97, 103, Abu Daud: 3214, An-Nasa’i: I/ 110, IV/ 79-80 dan Al-Baihaqi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya Sahih].

Syarah:
Perintah Nabi ﷺ kepada Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه di atas menerangkan tentang penganjuran mandi baginya ketika selesai dari menguburkan Abu Thalib ayahnya yang mati dalam keadaan kafir. Dan hal inipun berlaku bagi semua umatnya kerana hadith tersebut tidak ada pengkhususan hanya bagi Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه sahaja.


 

9. Mandi setelah sedar dari pengsan

Masalah mandi selepas sembuh daripada penyakit gila ada disebutkan oleh ulama’. Jumhur ulama’ mengatakan hukum mandi ini adalah sunat dan ijma’ ulama’ bahawa mandi tersebut tidak wajib.

✍Antara yang menyebut masalah ini ialah An-Nawawi dalam Al-Majmuk, kata beliau :
“Berkata (ashab) ulama’ kami: dan disunatkan bagi orang yang pengsan mandi apabila telah sedar kerana mengikut Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

✍Ibn Munzir, Ibn Al-Sabbagh dan lain-lain berkata: Ijma’ ulama’ bahawa mandi tidak wajib ke atasnya.

✍Ibn Qudamah juga berkata :
“Fasal: Dan tidak wajib mandi ke atas orang gila dan orang pengsan apabila dia sedar daripadanya tanpa ada mimpi basah. Dan aku tidak mengetahui khilaf dalam permasalahan ini.

✍Ibn al-Munzir berkata: sabit bahawa Rasulullah ﷺ mandi kerana sebab pengsan, dan mereka bersepakat bahawasanya ia tidak wajib, dan kerana hilang akal itu sendiri tidak mewajibkan mandi.

Sedangkan berlaku inzal adalah disyaki sahaja. Maka kita tidak menghilangkan keyakinan dengan sebab syak. Namun jika yakin berlaku inzal maka wajib mandi atas kedua-duanya, kerana disebabkan oleh mimpi basah.
(al-Mughni 1/357)

✍Para ulama’ berdalilkan dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:

Ahmad bin Yunus menceritakan, katanya Za’idah daripada Musa bin Abi Aisyah daripada Ubaidillah bin Abdillah bin Utbah, katanya aku masuk berjumpa Aisyah maka aku berkata: Tidakkah mahu kamu ceritakan kepadaku tentang sakit Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Jawabnya: Ya, tatkala Nabi صلى الله عليه وسلم sakit baginda bersabda : “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab: Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda: “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab: Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda : “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab : Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda: Adakah orang ramai telah salat?
(Al-Bukhari:687 dan Muslim:418)

Sekian tajuk ini. Mari kita lihat kepada rukun-rukun mandi dan perkara wajib.


 

🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-31☘️
==========================

1. Adakah mandi ihram dilakukan semasa hendak berangkat menunaikan umrah atau haji, kemudian mandi sekali lagi sebelum memasuki Mekah?

🔵 Mandi ihram dilakukan semasa berniat untuk memakai ihram di miqat. Miqat berada di luar Mekah. Apabila ingin memasuki Mekah, disunatkan mandi lagi.

2. Apakah yang dinamakan miqat?

🔵 Miqat adalah tempat untuk berniat ihram dan memakainya.

3. Adakah mandi di hari Jumaat adalah sunat atau wajib?

🔵 Kita sudah membincangkan pada kelas yang lepas, ianya khilaf. Pilihan kita adalah ianya wajib. Meskipun begitu, pendapat yang mengatakan ianya sunat juga ada hujah, tapi hujah mewajibkannya lebih kuat pada pandangan penulis kitab rujukan kita.

4. Bagaimanakah cara mandi ihram dan mandi sebelum memasuki Mekah? Adakah sama dengan mandi junub?

🔵 Ya. Akan diterangkan kemudian cara-cara mandinya.

5. Berdosakah jika isteri merasa berat hari atau kurang berkenan di dalam melayani suami di sebabkan penat atau mengantuk?

🔵 Ia menjadi berdosa apabila si suami itu tidak redha. Jika isteri menolak ajakan suami, lalu si suami redha atau tidak kisah, maka tidaklah berdosa. Ini berdasarkan riwayat berikut, Dari Abu Hurairah ﺭﺿﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ berkata: Rasulullah ‎ﷺ bersabda:
” ﺇِﺫَﺍ ﺩَﻋَﺎ ﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻣْﺮَﺃَﺗَﻪُ ﺇِﻟَﻰ ﻓِﺮَﺍﺷِﻪِ ﻓَﺄَﺑَﺖْ، ﻓَﺒَﺎﺕَ ﻏَﻀْﺒَﺎﻥَ ﻋَﻠَﻴْﻬَﺎ، ﻟَﻌَﻨَﺘْﻬَﺎ ﺍﻟْﻤَﻼَﺋِﻜَﺔُ ﺣَﺘَّﻰ ﺗُﺼْﺒِﺢَ
Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur lalu si isteri enggan, lalu si suami tidur dalam keadaan marah kepadanya. Malaikat akan melaknatnya hingga Subuh. (Sahih Al-Bukhari no: 3237)

6. Apakah hukum seorang isteri jika suaminya tidak meredhai isterinya untuk berhijrah kepada yang baik?

🔵 Teruskan bersikap baik. Dalam hal kewajiban isteri terhadap Islam, adalah boleh tidak mematuhi suaminya.

7. Adakah isteri tetap berdosa jika suaminya redha atau tidak kisah apabila diajak untuk bersama? Berdasarkan riwayat berikut:
ﻋَﻦْ ﺃَﺑِﻲ ﻫُﺮَﻳْﺮَﺓَ ـ ﺭﺿﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ ـ ﻗَﺎﻝَ ﻗَﺎﻝَ ﺭَﺳُﻮﻝُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ” ﺇِﺫَﺍ ﺩَﻋَﺎ ﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻣْﺮَﺃَﺗَﻪُ ﺇِﻟَﻰ ﻓِﺮَﺍﺷِﻪِ ﻓَﺄَﺑَﺖْ، ﻓَﺒَﺎﺕَ ﻏَﻀْﺒَﺎﻥَ ﻋَﻠَﻴْﻬَﺎ، ﻟَﻌَﻨَﺘْﻬَﺎ ﺍﻟْﻤَﻼَﺋِﻜَﺔُ ﺣَﺘَّﻰ ﺗُﺼْﺒِﺢَ
Abu Hurairah ﺭﺿﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ berkata: Rasulullah ‎ﷺ bersabda: Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur lalu si isteri enggan, lalu si suami tidur dalam keadaan marah kepadanya. Malaikat akan melaknatnya hingga Subuh. (Sahih Al-Bukhari no: 3237)

🔵 Jika suami redha, maka isteri tidak berdosa.

8. Jika seseorang memasuki kota Mekah pada hari Jumaat sebelum solat Jumaat. Adakah perlu melakukan tiga kali mandi?

🔵 Mandi tersebut adalah sunat sahaja. Jika berat untuk melakukannya, maka boleh ditinggalkan.

9. Adakah penyakit darah istihadah tidak dapat diubati?

🔵 Ada pendapat mengatakan, mungkin mandi sebanyak tiga atau lima kali sehari sebagai salah satu rawatan untuk sakit istihadhah.

Selain itu, kena buat pemeriksaan di hospital. Sebab ia mungkin disebabkan masalah fizikal ataupun mental. Kalau fikiran sering terganggu pun boleh terkena penyakit seperti itu.

10. Bolehkah seorang makmum berdoa agak lama ketika sujud sedangkan imam telah pun berpindah rukun?

🔵 Menjadi seorang makmum tidak boleh hendak bersujud dalam masa yang lama kerana seorang makmum kena mengikut imam. Sekiranya imam sudah bangkit maka makmum kenalah bangkit. Macam kawad tentera. Kalau Komandan sudah bagi arahan untuk bergerak, maka kenalah bergerak.

Jika hendak berdoa lama di dalam sujud, bolehlah ketika menunaikan solat sunat. Buatlah selama mana yang mungkin.

11. Bagaimana pula jika seorang imam berdoa ketika sujud. Adakah imam itu perlu memberitahu kepada makmum sebelum menunaikan salat?

🔵 Imam boleh berdoa di dalam sujud dan menjadi seorang makmum kena ikut apa yang dilakukan oleh imam.
Tidak payah maklumkan hal itu kerana belum pernah lagi dibuat oleh orang.

Cuma apabila kita menjadi seorang imam, tidak dianjurkan menyeksa makmum. Mereka ada kerja, ada anak hendak diberi makan, dan mungkin sakit perut. Jika hendak berdoa lama di dalam salat, lakukan semasa salat sunat.

12. Adakah sah mandi junub sekiranya menggunakan air sabun dan syampu ketika mandi junub? Ada yang mengatakan tidak sah sebab takut air mutlak akan bercampur dengan air sabun dan shampu.

🔵 Sah. Yang mengatakan tidak sah itu kerana terbelit dengan perbincangan bab air iaitu jenis air musta’mal. Boleh rujuk semula nota kelas bab air musta’mal ini.

Allahu a’lam. Sekian.

Mengusap Khuf

Khuf adalah seperti kasut atau stoking (sebenarnya kasut tidak, stoking juga tidak). Khuf ini selalunya diperbuat dari kulit dan ia menutup buku lali sekali.

Ia selalunya dipakai di Tanah Arab pada musim sejuk. Bila kaki sejuk mereka akan pakai terus sepanjang masa. Ketika di rumah mereka juga pakai termasuk sewaktu solat pakai. Jadi apabila sudah memakai khuf, yang jadi masalah pula sekiranya mahu mengambil wudhu’.

Ini kerana apabila kaki sejuk, dikhuatiri akan menyebabkan demam. Selain itu ia menyulitkan pula selepas membasuh kaki kerana hendak lap air wudhu’ sebelum dipakai khuf semula. Maka, ada kemudahan yang diberikan dalam Islam tentang hal ini.

Akan tetapi, kita tidak memakai khuf di sini bukan? Jadi kenapa kita perlu belajar bab khuf? Ini kerana ada manfaat juga yang kita boleh ambil dari hukum ini. Contohnya, kalau askar pakai but di dalam hutan dan dia hendak solat, tidaklah perlu dia menanggalkan but.

Kita sebagai orang awam juga, ada keadaan susah untuk kita menanggalkan kasut dan mengambil wudhu’ di tempat orang ramai atau tempat yang susah mahu mengambil wudhu’, maka boleh manfaatkan juga hukum ini.


1. Kebenaran Mengusap Khuf.

Terdapat dalil yang banyak tentang amalan ini dan di antara hadith-hadith yang menyebutkan tentang mengusap khuf adalah sebagai berikut:

✍Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنه berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ. فَقَالَ : ((دَعْهُمَا، فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ)) فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا.

Aku pernah menyertai Nabi ﷺ dalam satu safar, (tatkala baginda ﷺ berwudhu’) aku pun menjulurkan tanganku untuk melepas dua khuf yang sedang baginda ﷺ kenakan. Namun baginda berkata: “Biarkan dua khuf ini (jangan dilepas) kerana aku memasukkan keduanya (yakni kedua kaki Rasulullah ﷺ) dalam keadaan suci.” Baginda ﷺ pun mengusap di atas kedua khuf tersebut.”
[Bukhari no. 206 dan Muslim no. 274]

Satu lagi hadis:

✍Hudzaifah ibnul Yaman رضي الله عنه menuturkan pengalamannya bersama Nabi ﷺ:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ، فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ قَوْمٍ، فَبَالَ قَائِمًا، فَتَنَحَيْتُ، فَقَالَ : ((اُدْنُه)) فَدَنَوْتُ حَتَّى قُمْتُ عِنْدَ عَقْبَيْهِ، فَتَوَضَّأَ، فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ.

Aku pernah berjalan menyertai Nabi ﷺ, lalu baginda ﷺ berhenti di tempat pembuangan sampah suatu kaum dan kencing di situ dalam keadaan berdiri. Maka aku pun menyingkir dari baginda ﷺ, namun baginda ﷺ berkata: “Mendekatlah.” Aku pun mendekat hingga aku berdiri di sisi kedua tumit baginda. Kemudian beliau ﷺ berwudhu’ dan mengusap di atas dua khufnya.”
[Muslim no. 273]

Catatan:
Juga terdapat dengan lafaz yang hampir sama di dalam Sahih Ibnu Hibban no. 1428. Jadi, ulama’ sepakat dibolehkan menyapu khuf dalam wudhu’ apabila kena syaratnya. Manakala yang menolaknya pula adalah golongan Khawarij dan Syiah sahaja.

✍Ibnul Mundzir berkata:
“Para ulama’ berselisih pendapat tentang manakah yang lebih afdhal, mengusap khuf atau pun melepaskan keduanya dan mencuci kaki?” Dia berkata: “pendapat yang dipilihnya, mengusap khuf lebih afdhal, kerana hal ini termasuk hal yang diingkari oleh ahlul bid’ah dari kaum Khawarij dan Syiah Rafidhah.” Dia berkata: “menghidupkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ yang diingkari oleh orang-orang yang menyelisihinya lebih baik dari meninggalkannya.”


2. Mengusap stoking.

Bagaimana pula dengan stoking? Orang kita jangan kata ada khuf, mengenai khuf juga mereka tidak tahu. Jadi, adakah mereka akan ketinggalan kemudahan yang Allah ﷻ berikan ini?

Para fuqaha’ bersepakat bahawa harus bagi seorang Muslim untuk menyapu stoking mereka sewaktu berwudhu’ menggantikan basuhan kaki jika stoking tersebut diperbuat daripada kulit dan menutupi buku lali.

Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang stoking biasa yang diperbuat daripada bulu ataupun kapas. Dalam isu ini mereka terbahagi kepada dua pendapat.

1. Pendapat yang menentang: Mereka mengatakan stoking bukan dijadikan dari kulit maka tidak sama dengan khuf.

2. Pendapat ini dikritik kerana memang ada hadith Nabi ﷺ menyapu stoking. Maka ini adalah pendapat yang kedua.

✍Hadith riwayat Al-Mughirah bin Syu’bah, katanya: Rasulullah ﷺ telah berwudhu’ dan baginda ﷺ menyapu khuf dan juga stokingnya.
[At-Tarmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, Ahmad. Imam At-Tarmizi mengkategorikan sebagai hadith hassan sahih]

✍Juga hadith Bilal: “Aku telah melihat Rasulullah ﷺ menyapu kedua stokingnya dan juga serbannya”.
(Ahmad, At-Tirmizi dan At-Tabrani. Hadith ini dikategorikan sebagai hassan sahih oleh Imam At-Tirmizi]

✍Terdapat sembilan orang sahabat yang mengharuskan perbuatan menyapu stoking yang tidak diperbuat daripada kulit, seperti Ali, Ammar bin Yasir, Ibnu Mas’ud, Anas, Ibn Umar, al-Barra, Bilal, Ibnu Abi Aufa dan Sahl bin Sa’ad.

✍Ia juga turut diamalkan oleh kebanyakan para tabi’in yang terkemuka seperti Ata’, Hassan al-Basri, Sa’id bin Musayyab, Ibnu Jubair, al-Nakha’i dan al-Thawri. [pengamalan para sahabat dan tabi’in ini telah menjadikan perbuatan menyapu di atas stoking sesuatu yang dapat diterima]

✍Dari Al-Azraq bin Qais, dia berkata: “Aku pernah melihat Anas bin Malik berhadas. Maka, ia membasuh mukanya, dua tangan dan mengusap dua stoking kakinya yang terbuat dari bulu”. Aku bertanya,”Engkau mengusapnya?” Dia menjawab,”Keduanya adalah khuf, hanya saja terbuat dari bulu”.
Disahihkan Ahmad Syakir; Ad-Dulabi (1/179).

Kesimpulannya:
Hujah membolehkan menyapu stoking ini juga amat kuat. Sekian hujah bagi mengatakan kalau pakai stoking juga boleh disapu menggantikan basuh kaki.


3. Mengusap alas kaki (sandal)

Kita telah sentuh tentang menyapu khuf yang menutup mata kaki dan juga stoking yang juga menutup mata kaki. Lalu bagaimana pula dengan kasut atau sandal yang tidak menutup mata kaki? Ini menjadi perbincangan ulama’.

✍Ada dalil Rasulullah pernah sapu sandal (capal) baginda. Ini berdasarkan Hadits Al-Mughirah bin Syu’bah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ

Rasulullah ﷺ berwudhu` dan mengusap dua stoking kaki dan sandalnya.
[Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani; Abu Dawud (159), At-Tirmizi (99), Ahmad (4/252]

Syarah:
Hadith ini memberi isyarat bahawa Rasulullah ﷺ berwudhu` dan mengusap stoking dan sandalnya. Hadith ini, dengan merujuk ulama’ yang mensahihkannya, mengandungi dua hal:

1. Rasulullah ﷺ memakai sandal dan juga stoking dan mengusapnya, sehingga hukumnya menjadi satu seperti pada pemakaian dua pasang stoking atau memakai dua pasang khuf sekaligus.

2. Al-Mughirah melihat Nabi ﷺ sedang mengusap satu usapan pada stoking dan usapan lainnya pada sandal. Sehingga hadith ini menjadi dalil bolehnya mengusap sandal, meski pun kaki tidak dibaluti dengan stoking.

Kesimpulan ini, walau agak jauh, tetapi didukung dalam hadith ini.

✍Hadith Abu Zhubyan, bahawa ‘Ali bin Abi Thalib berwudhu’` dan mengusap sandalnya, dan kemudian dia memasuki masjid dengan melepaskan dua sandalnya. Setelah itu dia mengerjakan solat …
[Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh Al-Baihaqi 1/288, ath Thahawi 1/58 lihat Tamamul Minnah hlm. 15] dan tidak ada penyebutan kata stoking dalam hadith ini.

Akan tetapi, ulama’ juga meletakkan syarat, ini jenis sandal yang susah hendak dibuka (memerlukan dua tangan waktu hendak dibuka). Ini kerana ada sandal yang ikat juga. Bukannya jenis selipar Jepun yang mudah dilepaskan begitu sahaja.


4. Mengusap khuf atau stoking yang koyak.

Bagaimana pula kalau khuf atau stoking itu koyak pula? Ada ulama’ yang mengatakan sudah tidak boleh lagi di amalkan sapu khuf kerana ia sudah tidak sempurna sifat khuf itu iaitu menutup kaki. Tetapi pendapat ini dikritik. Maka, boleh menyapu khuf walaupun ada koyak sedikit atau banyak.

Antara hujah:

1️⃣ Hukum asal boleh menyapu khuf dan stoking dan tidak ada tambahan yang mengatakan jika khuf koyak, tidak boleh disapu.

2️⃣ Sahabat zaman dahulu juga tentu ada mengalami khuf dan stoking yang koyak rabak kerana mereka miskin. Namun tidak disebut pengkhususan yang mengatakan kalau koyak sudah tidak boleh.

3️⃣ Kalau tidak boleh sapu khuf kerana koyak, tentu Nabi ﷺ sudah menegur. Namun, tidak ada riwayat sebegini.

4️⃣ Koyak atau tidak, selagi khuf dan stoking boleh dipakai, maka ia tetap dikira sebagai khuf dan stoking.

5️⃣ Tujuan dibenarkan menyapu khuf adalah untuk kemudahan. Kalau sudah ditetapkan syarat yang ketat, hilanglah tujuan asal untuk beri kemudahan itu.


5. Mengusap pembalut.

Rukhsah mengusap khuf ini dipanjangkan pula untuk perbuatan menyapu atas kain pembalut luka. Ini menjawab persoalan ramai orang: ‘bagaimana kalau anggota wudhu’ berbalut?’

Jadi salah satu cara yang dianjurkan oleh ulama’ adalah dengan sapu tangan yang basah di atas pembalut itu dan tidak perlu dibuka. Termasuk juga tidak perlu hendak tayamum lagi. Wudhu’ itu sudah sah.


6. Perbincangan tambahan berkenaan sapu khuf.

a. Adakah jika membuka khuf membatalkan wudhu’?

Saya cuba terangkan dengan memberi satu senario: Katakanlah kita memakai khuf, boot atau stoking pada pagi hari. Waktu Zuhur, wudhu’ kita batal dan kita ambil wudhu’ dan pada kasut kita sapu sahaja. Kemudian kita buka (mungkin kerana masuk masjid), adakah ia membatalkan wudhu’ itu?

Adakah boleh dipakai lagi wudhu’ itu pada waktu Asar nanti? Ulama’ berbeza pendapat tentang perkara ini:

1. Wudhu’ masih tetap sah. Tidak ada apa-apa yang perlu dilakukan.

2. Perlu membasuh kaki sahaja.

3. Mengulang wudhu’.

Pendapat pertama adalah yang lebih rajih (tepat), bersesuaian dengan rukhsah (kemudahan) yang Allah ﷻ berikan. Bila Allah ﷻ dah beri kemudahan, jangan kita sempitkan.

Hujah lain:

1. Sayidina Ali memakai sandal dan beliau menyapu pada sandalnya itu dan kemudian beliau lepaskan dan solat.

2. Ikut logik. Katakanlah seorang menyapu kepala dan kemudian dia botakkan kepalanya. Adakah dia kena ambil wudhu’ semula kerana rambut yang disapu tadi sudah tiada?

3. Ini juga pendapat Syaikh Al-Albani, Ibnu Taimiyah, Hasan Basri, Ibnu Hazm dan Ibnul Munzir.

Kesimpulan:
Kalau seseorang menyapu khuf, stoking atau kasut dan dia membuka khuf itu, tidaklah membatalkan wudhu’nya. Dia boleh pakai kembali khuf itu dan wudhu’ tetap kekal. Asalkan tidak berhadas semasa buka khuf.


 

b. Adakah jika telah habis batas waktu, terus membatalkan wudhu’ itu?

Rukhsah menyapu khuf dibenarkan selama tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir dan sehari semalam bagi orang yang bermukim. Lalu bagaimana kalau masa itu telah tamat? Adakah wudhu’ terbatal secara automatik?

Ini juga ada khilaf:

1. Perlu mengambil wudhu’ semula kerana wudhu’ telah batal.

2. Hanya basuh kaki sahaja.

3. Tidak batal wudhu’ dan tidak perlu buat apa-apa.

✅Pendapat ketiga inilah yang dipilih oleh Syaikh Al-Albani dan Ibnu Taimiyah رحمكم الله Wudhu’ masih sah selagi tidak berhadas. Kalau sudah berhadas, barulah batal wudhu’ dan perlu di ambil wudhu’ semula untuk solat.


 

c. Haruskan khuf dilepaskan jika junub?

Khuf perlu dilepaskan kerana junub. Maknanya, menyapu khuf hanya boleh dipakai untuk hadas kecil sahaja.

✍Hal ini dinyatakan dari hadith Shafwan bin ‘Assal رضي الله عنهما, dia berkata:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرْنَا إِذَا كَانَ سَفْرًا أَلاَّ تَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَنَوْمٍ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami, apabila kami sedang safar agar tidak melepaskan khuf-khuf kami selama tiga hari tiga malam kecuali bila ditimpa janabah. Akan tetapi apabila hanya buang air besar, kencing, dan tidur (tidak perlu melepaskannya).”
[At-Tirmidzi no. 96. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’us Sahih, 1/538]


 

d. Memakai khuf ketika suci adalah syarat.

Ini syarat yang perlu diperhatikan. Kena memakai khuf, but atau stoking semasa suci. Jadi ambil wudhu’ dahulu barulah pakai khuf. Ini jelas dalam hadith yang telah diberikan sebelum ini:

✍Al-Mughirah bin Syu’bah رضي الله عنهماberkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ. فَقَالَ : ((دَعْهُمَا، فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ)) فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا.

Aku pernah menyertai Nabi ﷺ dalam satu safar, (tatkala baginda ﷺ berwudhu’) aku pun menjulurkan tanganku untuk melepas dua khuf yang sedang baginda ﷺ kenakan. Namun baginda berkata: “Biarkan dua khuf ini (jangan dilepas) kerana aku memasukkan keduanya (yakni kedua kaki Rasulullah ﷺ) dalam keadaan suci.” Baginda ﷺ pun mengusap di atas kedua khuf tersebut.”
[Bukhari no. 206 dan Muslim no. 274]


 

e. Bahagian alas kaki yang diusap.

📍Inilah yang penting : Bagaimana cara hendak mengusap khuf itu?

Jawapan:
Tempat yang diusap adalah bahagian atas kaki itu atau bahagian lain, kecuali bawah. Kita bukan hendak sapu kotoran tanah dari khuf itu.

Boleh lihat video ini: https://youtu.be/yrqY2YnAbhw

Ini menjadi dalil bahawa agama kita ini bukan ikut akal kita. Jikalau ikut logik, mestilah sapu bahagian bawah yang terkena tanah, bukan?

✍Sayidina Ali رضي الله عنه pernah berkata; “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf lebih logik dari menyapu di atasnya. Namun aku telah melihat Nabi ﷺ menyapu bahagian atas dua khufnya”.


 

f. Berapa lama batas waktu boleh menyapu khuf dan bilakah masa itu bermula?

Musafir: 3 hari tiga malam – 72 jam
Orang bermukim: Sehari semalam – 24 jam.

✍Dalilnya adalah hadith riwayat Shafwan bin ‘Assal رضي الله عنهما, dia berkata:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرْنَا إِذَا كَانَ سَفْرًا أَلاَّ تَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَنَوْمٍ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami, apabila kami sedang safar agar tidak melepaskan khuf-khuf kami selama tiga hari tiga malam kecuali bila ditimpa janabah. Akan tetapi apabila hanya buang air besar, kencing, dan tidur (tidak perlu melepaskannya).”
[At-Tirmizi no. 96. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’us Sahih, 1/538]

✍Penetapan tempoh di atas adalah berdasarkan

Hadis dari Sayidina ‘Ali رضي الله عنه yang menceritakan; “Nabi ﷺ memberi (kebenaran) tiga hari tiga malam kepada orang musafir (untuk menyapu khuf) dan sehari semalam untuk orang mukim (yakni tidak bermusafir)”.

📍Persoalan yang mungkin timbul: bilakah bermula masa ini?

Jawapan:
Masa bermula sejak mula sapu khuf. Bukan semasa mula pakai khuf. Saya bagi senario:

Ambil wudhu’ dan memakai khuf pada pukul 7 pagi. Kemudian pergi kerja. Pada pukul 10 pagi anda membuang air. Wudhu’ batal pukul 10 pagi. Pada pukul 2 petang anda mahu solat Zuhur. Maka, anda ambil wudhu’ dan sapu sahaja pada khuf.

📍Bilakah waktu sehari semalam bermula? Adakah dari pukul 7 pagi, atau pukul 10 pagi, atau pada pukul 2 petang?

Jawapan:
Pada pukul 2 petang baru masa bermula untuk sehari semalam (atau tiga hari tiga malam, bergantung sama ada anda bermukim atau musafir). Ini pandangan yang rajih kalau dibandingkan dengan pendapat-pendapat yang lain.


 

🍀SESI SOAL JAWAB ☘️
==================

1. Jika bagi wanita, mereka akan menanggalkan stoking apabila memasuki tandas untuk menunaikan hajat, maka dengan cara mengambil wudhu’ dahulu sebelum memakai stoking, kemudian apabila hendak solat hanya perlu menyapu di atas stoking sahaja. Adakah ini dibolehkan?

🔵 Ya, boleh.

 

2. Adakah perlu menggunakan air yang banyak untuk mengusap khuf sebagaimana membasuh kaki?

🔵 Tidak, mengusap khuf bersamaan dengan mengusap kepala. Hanya perlu basahkan tangan sahaja.

 

3. Adakah hanya perlu mengusap bahagian atas khuf sahaja dan meninggalkan bahagian tapak khuf?

🔵 Ya.

 

4. Adakah perlu mengusap sehingga tiga kali sapuan?

🔵 Cukup sekadar sekali usapan sahaja.

 

5. Adakah kita boleh menggunakan hukum memakai khuf jika bukan di dalam keadaan cuaca yang sejuk?

🔵 Ya, musyaqqah (kepayahan) itu bukan sahaja bermaksud ‘sejuk’ tetapi juga membawa maksud kepayahan kita untuk membuka dan memakai kembali kasut.

 

6. Bagaimanakah caranya mengusap khuf ini?

🔵 Hanya perlu menyapu bahagian atas sahaja. Tidak perlu menyapu bahagian belakang khuf. Perbuatan ini bersifat ta’abbudi sahaja (taat kepada arahan). Bukannya sehingga perlu dicuci.

 

7. Situasinya adalah kita khuatir kehilangan but berjenama kepunyaan kita semasa hendak solat di masjid, adakah boleh mengqiyaskan but tersebut sebagai khuf dan membawanya bersama ketika solat?

🔵 Jawapan:

a. Ya, boleh solat dengan but tersebut.

b. Walaupun begitu, tidak boleh memakai but ke dalam masjid yang ada permaidani. Perlu bersesuaian dengan keadaan.

 

8. Adakah benar fahaman saya iaitu apabila memasuki tandas tanpa memakai stoking, kemudian berwudhu’ tetapi tidak membasuh kaki kerana berniat untuk mengusap stoking kelak. Selepas itu hanya perlu mengusap stoking sahaja sebelum menunaikan solat?

🔵 Jika tiada kepayahan untuk membuka dan memakai stoking apabila hendak ke tandas, maka gugurlah rukhsah untuk menggunakan hukum mengusap khuf.

 

9. Bagaimanakah kaedah jika telah berwudhu’ dan berniat untuk mengusap stoking apabila terbatalnya wudhu’, tetapi ketiadaan air pada waktu itu?

🔵 Jika tiada air, maka boleh tayammum.

 

10. Jika kita memakai stoking dan kasut, adalah perlu menyapu pada kaki stoking hingga ke hujung kasut?

🔵 Tidak, hanya perlu mengusap pada atas kasut.

 

11. Adakah benar kaedah mengusap khuf adalah dengan menggunakan tiga jari? Bolehkah dilakukan dengan selain tiga jari?

🔵 Ya kerana itu adalah salah satu pendapat yang menyatakan tiga jari sudah cukup. Tiada dalil khusus yang menetapkan bilangan jari.

 

12. Adakah boleh melakonkan watak para Nabi dan sahabat dan apakah dalil jika ia dilarang?

🔵 Tidak boleh kerana ia boleh menyebabkan kita merendahkan sifat Nabi. Katakanlah pelakon itu buat muka marah, adakah Nabi begitu? Atau dia buat sifat gelak-gelak? Adakah Nabi begitu?

Ia bahaya kerana jikalau manusia melihat, mereka akan terkesan dan terbayang-bayang begitulah perihal Baginda padahal tidak. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini tetapi ada dalil umum iaitu kita disuruh untuk menghormati Rasulullah ‎ﷺ di dalam semua perkara.

 

13. Adakah mengambil wudhu’ dengan menggunakan spray dan air yang seminima satu gelas boleh diterima di dalam mazhab Asy-Syafi’iy?

🔵 Tiada masalah bagi mazhab Asy-Syafi’iy kerana cara ini melebihi dari keperluan minima mazhab Asy-Syafi’iy.

Contohnya di dalam mazhab Asy-Syafi’iy tidak perlu menyapu seluruh kepala dan juga tidak perlu menjamah anggota wudhu’ untuk pastikan air wudhu’ sampai kepada anggota wudhu’.

 

14. Bagaimanakah cara untuk duduk tasyahud dengan memakai but?

🔵 Boleh gunakan cara duduk iq’a seperti di dalam gambar. Kita akan bincangkan dengan lebih tuntas di dalam bab solat kelak.

15.  Apakah yang dimaksudkan dengan “melepaskan khuf” selepas tiga hari dan tiga malam? Bagaimanakah caranya jika bermusafir lebih daripada tiga hari dan tiga malam?

🔵 Apabila tamat tempoh khuf, perlu memperbaharui wudhu’ tanpa memakai khuf. Berwudhu’ seperti biasa dan kemudian memakai khuf kembali.

 

16. Adakah tidak perlu untuk mandi selama tiga hari dan tiga malam?

🔵 Jika di negara sejuk, adalah perkara biasa apabila tidak mandi untuk berhari-hari. Ini juga berlaku di Tanah Arab pada zaman dahulu. Apabila tiada halangan untuk mandi seperti biasa, maka gugurlah rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf.

 

17. Saya keliru dengan pernyataan yang menyatakan hanya perlu menyapu khuf apabila berhadas kecil. Mohon mencerahan.

🔵 Jika berhadas kecil, hanya perlu memperbaharui wudhu’ tanpa membasuh kaki. Jika berhadas besar, maka perlu mandi seperti biasa.

 

18. Adakah boleh membuka khuf apabila khuatir terkena najis apabila menunaikan hajat?

🔵 Jika tiada masalah untuk membuka khuf, maka gugurlah rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf.

 

19. Adakah boleh tidak mahu menggunakan rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf?

🔵 Rukhsah adalah hadiah yang Allah ﷻ berikan. Allah ﷻ suka jika kita menerima hadiah-Nya.

 

20. Adakah benar fahaman saya bahawa rukhsah menggunakan khuf apabila ada kesusahan untuk membuka dan memakai kembali khuf, serta kemudaratan yang berlaku apabila khuf dibuka seperti musim terlalu sejuk, tempat yang berbatu tajam dan lain-lain.

🔵 Ya, dalam situasi kita di Malaysia ini, jika ada kepayahan untuk membuka dan memakai kembali sarung kaki (khuf, but, kasut, stokin dan lain-lain), atau bekerja di tempat yang sukar untuk mengambil wudhu’ (di dalam kapal terbang, kapal selam, kapal angkasa dan lain-lain), mungkin rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf boleh digunapakai.

 

21. Adalah mereka yang terlantar sakit boleh menggunapakai rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf supaya mudah untuk mengambil wudhu’?

🔵 Ya, boleh selama tempoh sehari dan semalam.

 

22. Adakah orang sakit tidak boleh memakai khuf selama tempoh tiga hari dan tiga malam?

🔵 Ya, tidak boleh kerana tempoh tiga hari dan tiga malam hanya untuk mereka yang bermusafir.

 

23. Adakah boleh menyapu pada stoking nipis sebagaimana yang selalu wanita memakainya?

🔵 Kita ambil pendapat yang kata boleh.

 

24. Adakah boleh bertukar-tukar stoking di dalam tempoh tiga hari dan tiga malam bermusafir?

🔵 Ya, boleh. Caranya dengan terus menggantikan stoking yang baru tanpa melengahkannya.

 

25. Jika untuk yang bermukim. Adakah tidak boleh menanggalkan stoking di dalam tempoh sehari dan semalam?

🔵 Ya, tidak boleh dilepaskan selama tempoh tersebut.

 

26. Adakah akan basah tudung apabila kita menyapu air wudhu’ pada tudung?

🔵 Sebenarnya, perbuatan menyapu tudung tidak menyebabkan tudung basah. Kita perlu menyapu kepala, bukannya membasahkan kepala.

 

27. Adakah hukum menyapu pada penutup kepala seperti tudung dan serban ini boleh diqiyaskan dengan khuf iaitu perlu mengambul wudhu’ sempurna baru boleh pakai menutup kepala? Adakah mempunyai had tempoh juga sebagaimana khuf?

🔵 Sebenarnya tiada dinyatakan hal sedemikian di dalam rukhsah menyapu serban atau tudung.

 

28. Adakah batal apabila membuka stoking sebentar kerana ingin menggaru kaki yang gatal?

🔵 Tidak batal. Malah, jika kita menyapu khuf tetapi tetap solat di masjid tanpa menggunakan khuf, apabila memakai kembali khuf masih boleh digunakan. Asalkan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.

 

29. Adakah mereka yang bermusafir dan memggunakan rukhsah berwudhu’ semasa memakai khuf akan melakukan semua aktiviti dengan memakai khuf seperti tidur, makan, berburu dan lain-lain?

🔵 Ya, melakukan semua aktiviti dengan memakai khuf.

 

30. Adakah boleh memakai dua lapis stoking, kemudian keesokannya, menanggalkan satu stoking dan berwudhu’ dengan stoking lain?

🔵 Ya, boleh.

 

31. Adakah selepas memakai stoking, kemudian menambah stoking lain lagi tanpa perlu perbaharui wudhu’?

🔵 Ya, boleh.

 

32. Adakah boleh tidak memulakan membaca surah tanpa lafaz bismillah?

🔵 Hukum membaca bismillah ini merupakan perkara khilaf, sama ada ia adalah sebahagian dari surah atau tidak. Jadi boleh dibaca ataupun tidak.

 

33. Adakah sah solat apabila tidak membaca bismillah pada Al-Fatihah,?

🔵 Ini perkara khilaf. Jawapan ringkasnya, solat sah.

 

34. Adakah perlu mengulangi solat apabila melihat cecair jernih keluar dari kemaluan, walhal telah mandi wajib yang berwudhu’?

🔵 Tidak perlu. Solatnya sah kerana keluar bukan dengan syahwat.

 

35. Adakah sunnah untuk iqamah apabila melakukan solat qada?

🔵 Ya, sunnah.