Y. Berdoa Sebelum Salam dan Lafaz-lafaznya

Doa lebih baik diucapkan di dalam ibadah. Lebih-lebih lagi dalam salat kerana salat itu adalah ibadah yang utama. Tambahan pula waktu itu kita sedang menghadap Allah ﷻ maka molek sekali kita panjatkan doa kita pada waktu itu.

Perumpamaannya begini: Katakan anda berjumpa Menteri kerana hendak meminta sesuatu. (Ini perumpamaan sahaja, bukan senang hendak jumpa menteri dan menteri tidak buat kerja begini). Kita sudah jumpa Menteri, bersembang tanya itu dan ini, kemudian kita keluar pejabatnya.

Apabila di luar pejabat, baru kita SMS/Whatsapp permintaan kita.

Tentulah Menteri itu hairan dan kata: “Eh tadi masa depan saya pakcik tak cakap apa pulak? Kenapa dah keluar baru nak minta? Bukankah lebih elok minta semasa depan saya?”

Mari kita lihat beberapa doa yang boleh dijadikan amalan.

1⃣ Doa Mohon Perlindungan Daripada Azab Neraka, Azab Kubur, Fitnah Kehidupan Dan Kematian Dan Fitnah Dajjal.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ،
وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال

Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari azab neraka jahanam, dari azab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari kejahatan fitnah Dajjal.” (Sahih Muslim no. 924).

2⃣ Doa Ini Sangat Baik Diamalkan Jika Kita Ada Masalah Hutang.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari azab kubur, aku berlindung denganMu dari fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu dari fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari dosa dan hutang.” (Sahih Bukhari no. 789)

3⃣ Doa Yang Ini Amat Baik Untuk Melupuskan Sifat Mazmumah Yang Ada Pada Diri Kita.

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمْرِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sifat bakhil, aku berlindung denganMu dari sifat pengecut, aku berlindung denganMu dari dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku berlindung denganMu dari fitnah dunia dan siksa kubur. (Sahih Bukhari no. 5893)

4⃣ Doa Mohon Diampunkan Dosa Yang Terdahulu.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي, أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْت

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah bagiku dosa-dosa yang terdahulu, yang terkemudian, yang aku rahsiakan, yang aku nyatakan, yang aku melampau, dan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku tentangnya. Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengemudiankan sesuatu, tiada illah sebenar melainkan Engkau.” (Hadith Riwayat Muslim no. 1762).

5⃣ Doa Mohon Ampun Kerana Menzalimi Diri Sendiri. Doa ini adalah doa taubat. Sesuai Sangat Dibaca Selepas Membaca Tahiyyat Akhir Dalam Salat Taubat.

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْماً كَثِيراً وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ. فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak. Tiada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah bagiku dengan keampunan disisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Hadith Riwayat Bukhari no. 6181 dan Muslim no. 6819).

6⃣ Doa Yang Amat Baik Untuk Memohon Allah ﷻ Jadikan Kita Hambanya Yang Bersyukur Dan Sentiasa Mengingatinya.

اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

Maksudnya, “Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepadaMu dan beribadah yang baik untukMu” (Sunan Abu Daud no. 1301, Sunan Nasa’i no. 1286)

7⃣ Doa Ini Untuk Memohon Allah ﷻ Mudahkan Urusan Hisab/Perbicaraan Kita Di Mahkamah Allah ﷻ Di Akhirat Nanti.

اللهم حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرَا

Maksudnya, “Ya Allah! Hitunglah aku dengan perhitungan yang mudah.” (Musnad Ahmad no. 23082)

8⃣ Doa Mohon Perlindungan Dari Perbuatan Syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu dari menyekutukan-Mu sedang aku mengetahuinya. Dan aku memohon ampun kepada-Mu atas apa Yang aku tidak ketahui. (HR Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 716, Musnad Ahmad no. 19108, Amal al-Yaumi wal Lailah Ibnu Sunni no. 258, Al Hakim At-Tirmizi no. 4/142, Abu Ya’la no. 58. Sahih al-Albani dalam Sahih Adabul Mufrad no. 551)

9⃣ Doa Mohon Ampun Dosa

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya, “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu. Ya Allah Yang Maha Esa, Tempat meminta sesuatu, Yang Tidak Melahirkan dan Tidak Dilahirkan, dan tidak ada yang setara dengannya, ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Sunan Abu Daud no. 835)

🔟 Doa Memohon Dimasukkan Ke Syurga Dan Diselamatkan Dari Neraka

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon kepada-Mu, agar dimasukkan ke Syurga dan aku berlindung dengan-Mu dari Neraka.” (Sunan Abu Daud no. 672)

Doa-doa ini dan mungkin ada lagi doa-doa lain boleh dibaca sebelum kita memberi salam. Dari segi turutan doa, boleh dibaca doa dalam Al-Qur’an sebagai doa yang terbaik kerana Allah ﷻ yang ajar. Kemudian doa yang diajar oleh Nabi ﷺ. Kemudian kita boleh susun doa-doa kita sendiri yang lafaznya baik.

Doa-doa ini bukanlah perlu dibaca setiap kali. Boleh pilih-pilih doa-doa itu. Ini kerana Nabi ﷺ pun tidaklah baca semua sekali doa itu sekaligus. Boleh pilih-pilih doa itu.

Doa ini bukanlah dibaca kalau kita menjadi makmum. Apabila imam sudah memberi salam, maka kita tidaklah boleh tunggu lama, kenalah kita beri salam juga. Jadi kalau ingin membaca doa panjang, boleh salat sunat dan bacalah doa sepanjang mana pun.

🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-75☘️RABU 01/05/19
========================

1. Apakah doa yang sesuai dibaca sebelum salam, oleh seorang imam?

🔵 Boleh membaca doa yang pertama. Permohonan lengkap dan padat.

2. Bolehkah dibaca secara jama’ doanya?

🔵 Kekalkan lafaz asal doanya dan itu yang lebih baik. Setiap orang ada permohonannya tersendiri. Masyarakat kita perlu belajar cara berdoa. Jangan hanya bergantung orang untuk membacakan doa selagi kita hidup.

3. Apakah hukum menambah selawat dengan lafaz sayyidina di dalam salat mahupun di luar salat?

🔵 Tidak diajarkan oleh Rasulullah ‎ﷺ, dan tidak di amalkan oleh sahabat. Maka ia bid’ah dhalalah.

4. Adakah doa-doa yang diajarkan Rasulullah ‎ﷺ tidak boleh diubah lafaznya?

🔵 Ya, doa yang sahih daripada Nabi jangan ditukar lafaznya. Gunakan sahaja seperti lafaz yang telah disebutkan. Lagipun doa itu untuk dibaca sendiri, bukannya dijama’kan supaya dibacakan sekali untuk orang lain. Meskipun begitu boleh menambah apa-apa doa daripada ayat Al-Quran. Di dalamnya ada doa untuk ibu bapa dan keluarga.

5. Adakah boleh berdoa di dalam hati sambil memejamkan mata supaya lebih khusyuk?

🔵 Sekali sekala adalah dibolehkan tetapi kebiasaannya doa dilafazkan. Hati adalah tempat niat.

6. Jika imam telah habis membaca tasyahhud dan selawat kemudian memberi salam, adakah kita perlu terus mengikut imam memberi salam tanpa menghabiskan selawat?

🔵 Habiskan selawat dan terus ikut imam dengan memberi salam.

7. Adakah doa-doa yang dinyatakan dibaca sebelum salam boleh dibaca semasa sujud?

🔵 Ya boleh.

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS (1/2)

1. Semasa salat sunat, adakah boleh berdoa lama ketika sujud?

🔵 Boleh.

2. Berkenaan doa selepas salam, adakah boleh menadah tangan?

🔵 Kebanyakan berdoa adalah tanpa menadah tangan. Doa tanpa menadah tangan lebih mudah. Malah Imam Izz Abdul Salam berkata: “Tidaklah mengangkat tangan di dalam doa itu melainkan juhala’ (orang jahil).” Maka doa ketika makan, doa selepas wudhu’, doa naik kenderaan, doa sebelum berjimak, doa masuk tandas serta selainnya, adalah tidak perlu mengangkat tangan. Doa yang biasa mengangkat tangan adalah selepas salat.

3. Adakah boleh melaksanakan dua kali witir di dalam satu malam? Contohnya telah menutup salat Tarawih dengan salat Witir, kemudian ingin melaksanakan salat Tahajjud pula.

🔵 Salat Tahajjud boleh ditutup tanpa salat Witir. Sebahagian pendapat ada menyatakan boleh melakukan dua kali witir tetapi pendapat itu tidak kuat.

4. Apakah dalil mengharuskan bacaan doa ketika rukuk?

🔵 Sila rujuk kembali nota kelas berkenaan rukuk.

5. Adakah boleh melaksanakan witir tiga rakaat dengan satu salam?

🔵 Boleh, tetapi bukan seperti salat Maghrib. Witir tiga rakaat tanpa tahiyyat awal.

6. Adakah seseorang boleh membaca doa yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah ‎ﷺ semasa salat.

🔵 Boleh, doa dibaca di mana-mana sahaja di dalam salat. Hanya dianjurkan untuk memperbanyakkan doa semasa sujud, kerana ia tempat paling dekat dengan Allah.

7. Adakah benar seseorang perlu tunggu Imam keluar dari masjid untuk mendapatkan kelebihan tertentu?

🔵 Saya tidak tahu. Yang dinyatakan oleh hadith adalah apabila seseorang salat bersama imam hingga selesai, dicatit baginya pahala seperti menghidupkan keseluruhan malam. Daripada Abu Zar al-Ghifari, bahawa Rasulullah ‎ﷺ bersabda:

إنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Sesiapa yang berdiri (salat) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”.
[Jami’ Al-Tirmizi, no. Hadith 734. Hadith ini adalah Hasan Sahih sebagaimana dinyatakan oleh Imam Al-Tirmizi]

8. Jika kita ingin sambung salat Tahajjud dan Witir di rumah, adakah boleh meninggalkan witir bersama imam, tetapi masih boleh mendapat kelebihan selesai salat bersama imam?

🔵 Boleh meninggalkan witir bersama imam tetapi tidak mendapat ganjaran seperti selesai salat bersama imam.

9. Adakah boleh berniat tarawih semasa salat Witir bersama imam?

🔵 Tidak boleh kerana bilangan rakaat tarawih dan witir berbeza. Tidak mengapa menghabiskan salat bersama imam dengan witir. Tetap boleh menunaikan solat tahajjud nanti. Walaupun begitu, jika tertidur hingga terlepas salat tahajjud, masih mendapat pahala salat sepanjang malam kerana telah salat bersama imam sebelumnya.

10. Apakah puasa wisal?

🔵 Puasa dua hari tanpa berbuka dan tanpa bersahur. Nabi ada melakukannya tetapi Nabi melarang sahabat buat. Kerana ia memudharatkan. Ini adalah pengkhususan yang diberikan kepada baginda.

Tetapi di zaman sekarang sejak ada “Intermittent Fasting”, sudah ada yang tidak makan selama tiga hari berterusan. Dan ia tetap dilarang.

Dari Abu Hurairah, dia berkata:
نَهَى رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ اَلْوِصَالِ, فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ اَلْمُسْلِمِينَ: فَإِنَّكَ يَا رَسُولَ اَللَّهِ تُوَاصِلُ? قَالَ: ” وَأَيُّكُمْ مِثْلِي? إِنِّي أَبِيتُ يُطْعِمُنِي رَبِّي وَيَسْقِينِي “. فَلَمَّا أَبَوْا أَنْ يَنْتَهُوا عَنِ اَلْوِصَالِ وَاصَلَ بِهِمْ يَوْمًا, ثُمَّ يَوْمًا, ثُمَّ رَأَوُا اَلْهِلَالَ, فَقَالَ: ” لَوْ تَأَخَّرَ اَلْهِلَالُ لَزِدْتُكُمْ ” كَالْمُنَكِّلِ لَهُمْ حِينَ أَبَوْا أَنْ يَنْتَهُوا
Sesungguhnya Rasulullah ‎ﷺ melarang dari puasa wisal. Ada seorang muslim yang menyanggah Rasul, “Sesungguhnya engkau sendiri melakukan puasa wisal?” Rasul pun memberikan jawapan, “Siapa yang semisal denganku? Sesungguhnya aku di malam hari diberi makan dan minum oleh Rabbku.” Lantaran mereka tidak mau berhenti dari puasa wisal, Nabi berpuasa wisal bersama mereka kemudian hari berikutnya lagi. Lalu mereka melihat hilal, baginda pun berkata, “Seandainya hilal itu tertunda, aku akan menyuruh kalian menambah puasa wisal lagi.” Maksud baginda menyuruh mereka berpuasa wisal terus sebagai bentuk hukuman bagi mereka karena enggan berhenti dari puasa wisal.
[Sahih Al-Bukhari no. 1965 dan Sahih Muslim no. 1103]

Juga hadith dari Abu Sa’id Al-Khudri, dia mendengar Rasulullah ‎ﷺ bersabda:
لاَ تُوَاصِلُوا ، فَأَيُّكُمْ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُوَاصِلَ فَلْيُوَاصِلْ حَتَّى السَّحَرِ » . قَالُوا فَإِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ « إِنِّى لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ ، إِنِّى أَبِيتُ لِى مُطْعِمٌ يُطْعِمُنِى وَسَاقٍ يَسْقِينِ
Janganlah melakukan wishal. Jika salah seorang di antara kalian ingin melakukan wisal, maka lakukanlah hingga sahur (menjelang Subuh).” Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau sendiri melakukan wisal.” Rasul ‎ﷺ bersabda: “Aku tidak seperti kalian. Di malam hari, aku diberi makan dan diberi minum.”
[Sahih Al-Bukhari no. 1963]

11. Adakah qunut tiga rakaat dan satu salam mempunyai bacaan qunut?

🔵 Ya ada. Sunat dibaca pada rakaat terakhir.

12. Adakah salat Dhuha juga boleh dilaksanakan 4, 6, 8 dan 12 rakaat dengan satu salam?

🔵 Salat Dhuha dilaksanakan dua rakaat – dua rakaat. Tidak seperti salat Witir.

13. Adakah benar salat qabliyah Zuhur ada dua dan empat rakaat?

🔵 Ya. Boleh pilih salah satu.

14. Adakah membaca qunut witir perlu mengangkat tangan?

🔵 Sunat dengan mengangkat tangan.

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s