1⃣ Salam termasuk rukun salat. Sehingga orang yang meninggalkan salam, baik dengan sengaja mahupun lupa maka salatnya batal.
Dari Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,
مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
“Kunci salat adalah bersuci, yang mengharamkannya adalah takbiratul ihram dan yang menghalalkannya adalah salam.” (Musnad Ahmad no.1075, Sunan Abu Daud no.618, Jami’ at- Tirmizi no.3, Sunan Ibnu Majah no.275 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth)
Syarah: Mengharamkannya: batas yang mengharamkan untuk melakukan kesibukan di luar salat. Selepas kita takbiratul ihram, sudah haram buat benda-benda lain selain dari aktiviti salat.
Contoh: makan nasi lemak halal, tetapi haram makan dalam salat.
Menghalalkannya: batas yang menghalalkan untuk melakukan kesibukan di luar salat. Selepas salam, sudah boleh makan nasi lemak balik.
2⃣ Salam yang statusnya rukun salat adalah salam pertama, sedangkan salam kedua hukumnya sunah. Rasulullah ﷺ pernah melakukan salam sekali.
Dari Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau menceritakan,
أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كان يسلم تسليمة واحدة
“Bahawa Nabi ﷺ pernah melakukan salam sekali.” (HR. Baihaqi dalam al-Kubra no. 3107, at-Thabrani dalam al-Ausath no. 8473, dan yang lainnya)
Maka, kalau ada yang hendak terkentut sangat, tunggulah sampai habis salam pertama.
3⃣ Adakah menoleh itu wajib?
Tidak. Inti dari salam adalah bacaan Assalamu alaikum wa rahmatullah….. Sementara menoleh ketika salam, hukumnya dianjurkan dalam mazhab Syafiiyah. Salat tetap sah, sekalipun tidak menoleh ketika salam. Imam An-Nawawi رحمه الله mengatakan,
ولو سلم التسليمتين عن يمينه أو عن يساره أو تلقاء وجهه أجزأه وكان تاركا للسنة
Jika ada orang yang mengucapkan salam dua kali ke kanan atau ke kiri, atau menghadap ke arah depan (tidak menoleh), salatnya sah, sekalipun dia meninggalkan sunah. (al-Majmu’ Syarh Muhadzab, 3/478).
Jadi kalau sakit kepala, tidak menoleh pun tidak mengapa. Kalau sengaja tidak mahu menoleh kerana malas sangat, atau kerana kepala seberat bangunan, salat tetap sah.
4⃣ Dianjurkan untuk menoleh secara penuh ketika salam dua kali, sehingga pipi orang yang salat kelihatan dari belakang.
Dari Sa’ad bin Abi Waqqas رضي الله عنه, beliau menceritakan,
كُنْتُ أَرَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسَارِهِ، حَتَّى أَرَى بَيَاضَ خَدِّهِ
”Saya melihat Rasulullah ﷺ melakukan salam dengan menoleh ke kanan dan ke kiri. Hingga aku melihat putihnya pipi baginda.” (HR. Muslim 582).
Syarah: Bila nampak pipi dari belakang itu memberi isyarat yang Nabi ﷺ pusing kepala sampai melihat ke kanan dan ke kiri dengan lengkap.
5⃣ Cara salam ada 5:
a. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” ketika menoleh ke kanan dan ke kiri.
Dari Abu Ubaidah bin Abdullah bin Jarrah رضي الله عنه,
أَنَّ ابْنَ مَسْعُودٍ كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، وَعَنْ يَسَارِهِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، يَجْهَرُ بِكِلْتَيْهِمَا
Bahawa Ibnu Mas’ud salam ke kanan dengan mengucapkan, “Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” dan menoleh ke kiri dengan membaca, “Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” beliau mengeraskan keduanya. (HR. Abdurazaq dalam Musannaf, 3129).
Hal yang sama juga dilakukan sahabat Ammar bin Yasir رضي الله عنهما (Musannaf Abdurazaq 3134).
b. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” ketika salam pertama dan mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah” pada saat salam kedua.
Dari Wa-il bin Hujur رضي الله عنه, beliau menceritakan,
صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ»، وَعَنْ شِمَالِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ»
“Saya salat bersama Nabi ﷺ. Beliau mengucapkan salam ketika menoleh ke kanan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” dan ketika menoleh ke kiri beliau mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” (HR. Abu Daud 997 dan disahihkan al-Albani)
c. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah” ketika menoleh ke kanan dan ke kiri.
Dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه,
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ
“Saya melihat Rasulullah ﷺ melakukan salam ke kanan dan ke kiri, mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah”, hingga terlihat putihnya pipi baginda.” (Sunan Nasa’i no. 1130, Abu Daud dan disahihkan al-Albani).
d. Salam pertama mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” dan salam kedua mengucapkan, ”Assalamu alaikum.”
Dari Wasi’ bin Hibban, beliau pernah bertanya kepada Ibnu Umar رضي الله عنهما tentang tata cara salat Nabi ﷺ. Beliau pun menunjukkannya, di antaranya,
وَذَكَرَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ عَنْ يَمِينِهِ، السَّلَامُ عَلَيْكُمْ عَنْ يَسَارِهِ
Wasi’ menyebutkan bahwa Ibnu Umar mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” ketika menoleh ke kanan dan mengucapkan ”Assalamu alaikum.” ketika menoleh ke kiri. (Sunan Nasai no. 1340 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).
e. Salam sekali dengan hanya mengucapkan ”Assalamu alaikum.”
Aisyah رضي الله عنها menceritakan tata cara salat Nabi ﷺ,
ثم يسلم تسليمة واحدة، السلام عليكم، يرفع بها صوته، حتى يوقظنا
”Kemudian baginda salam sekali, mengucapkan ’Assalamu alaikum’ dengan mengangkat suaranya, sehingga membangunkan kami.” (Musnad Ahmad no. 24795 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).
6⃣ Nabi ﷺ kadangkala salam sekali dengan menoleh sedikit ke arah kanan;
Aisyah رضي الله عنها menceritakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ فِي الصَّلَاةِ تَسْلِيمَةً وَاحِدَةً تِلْقَاءَ وَجْهِهِ يَمِيلُ إِلَى الشِّقِّ الْأَيْمَنِ قَلِيلًا
”Rasulullah ﷺ melakukan salam sekali ketika salat ke arah depan dengan menoleh sedikit ke kanan.” (HR. Ibn Khuzaimah dalam sahihnya no. 706, Hakim dalam Mustadrak no. 805, An-Nasai dalam Al-Kubra no. 1454 dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani)
✂️ Kesalahan Yang Dilakukan Ketika Salam
1. Membuka tangan kanan dan kiri ketika menoleh pada saat salam. Saya pernah juga melihat perkara ini dilakukan.
Sebenarnya kebiasaan ini pernah dilakukan sebahagian sahabat di zaman Nabi ﷺ.
Dari Jabir bin Samurah رضي الله عنه,
”Ketika kami salat bersama Rasulullah ﷺ, kami mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah – Assalamu alaikum wa rahmatullah” sambil berisyarat dengan kedua kanan ke samping masing-masing. Kemudian Rasulullah ﷺ mengingatkan,
عَلَامَ تُومِئُونَ بِأَيْدِيكُمْ كَأَنَّهَا أَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ؟ إِنَّمَا يَكْفِي أَحَدَكُمْ أَنْ يَضَعَ يَدَهُ عَلَى فَخِذِهِ ثُمَّ يُسَلِّمُ عَلَى أَخِيهِ مَنْ عَلَى يَمِينِهِ، وَشِمَالِهِ
”Mengapa kalian mengangkat tangan kalian, seperti keldai yang suka lari? Kalian cukup letakkan tangan kalian di pahanya kemudian salam menoleh ke saudaranya yang di samping kanan dan kirinya.” (Sahih Muslim no. 657 dengan lafaz ini, Musnad Ahmad no.20120, Sunan Al-Baihaqi no. 917, Sunan Nasa’i no. 1318 dan yang lainnya).
Syarah: Jadi tidak perlu angkat tangan beri isyarat atau buka tangan kanan bila salam ke kanan dan buka tangan kiri bila salam ke kiri.
2. Menggangguk ke depan, ke kanan dan ke kiri.
Kita biasa melihat ada angguk dahulu sebelum salam. Angguk depan, angguk kanan, kemudian angguk depan semula, kemudian angguk ke kiri. Saya tidak tahu dari mana asalnya amalan ini. Tidak ada di dalam sunnah. Pernah ada yang beritahu kepada saya kenapa dia melakukannya tetapi saya sudah lupa.
✴️ 1. Cara salat yang diriwayatkan berlaku bagi lelaki dan wanita
Kita telah banyak menyampaikan cara-cara salat. Kita tidak bezakan mana-mana pun dari cara-cara itu kerana cara salat bagi lelaki dan wanita sama sahaja. Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak pernah membezakan.
Apa yang lazim diajarkan di dalam kitab-kitab atau kelas-kelas pengajian Fardhu ‘Ain di Malaysia ialah wujud perbezaan dalam sifat salat lelaki dan perempuan. Umpamanya bagi perempuan apabila mengangkat tangan ketika Takbir hendaklah merapatkan tangan dan ketiaknya. Sedangkan bagi lelaki hendaklah merenggangkan tangan dari ketiaknya. Ketika sujud pula kaum perempuan hendaklah merapatkan pahanya kepada perutnya serta tangannya pula dirapatkan kepada rusuk. Sedangkan bagi lelaki dijauhkan pahanya dari perut serta tangannya direnggangkan dari rusuk kiri dan kanan.
Oleh kerana tidak ada dalil yang sarih tentang perbezaan ini, maka kita boleh katakan yang ia adalah pendapat sahaja.
👁🗨 Menurut al-Albani رحمه الله:
Tidak terdapat keterangan dari sunnah yang menerangkan adanya cara-cara khusus untuk perempuan yang berbeza dengan cara yang berlaku untuk lelaki. Bahkan sabda Nabi ﷺ: “Salatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersalat”, berlaku secara umum dan mencakupi kaum perempuan.
👁🗨 Ibrahim al-Nakha’i menyatakan:
تَفْعَلُ الْمَرأَةِ فِي الصَّلاَةِ كَمَا يَفْعَلُ الرَّجُلُ.
Dalam salat, wanita mengerjakannya sama dengan cara yang dilakukan oleh lelaki.
👁🗨 Al-Albani رحمه الله juga telah membawa sebuah riwayat dari al-Bukhari dalam kitabnya al-Tarikh al-Saghir, mukasurat 95 dari Ummu al-Darda’ رضي الله عنها berbunyi:
أََنَهَا كَانَتْ تَجْلِسُ فِي صَلاَتِهَا جِلْسَةَ الرَّجُلِ, وَكَانَتْ فَقِيْهَةً.
Sesungguhnya (Ummu Darda’) dalam salat, duduk seperti cara duduk lelaki,
padahal beliau seorang perempuan yang ahli fiqh.
✴️ 2. Zikir-zikir dan doa setelah salam.
Kita dianjurkan berzikir selepas menunaikan salat. Ada zikir-zikir dan doa yang sahih dari ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi sebelum itu, mari kita lihat apakah Adab Berzikir Selepas Salat:
1. Dibaca secara individu (bukan secara berjemaah atau koir).
2. Dibaca dengan merendahkan suara, yakni tidak dikuatkan atau dinyaringkan, apatah lagi sehingga menggunakan alat pembesar suara sebagaimana yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Namun hendaklah cukup sekadar diri sendiri yang mendengar dan memahaminya atau menghayatinya.
[Kuat atau tidak ini kena dinilai sendiri. Saya sendiri pernah ditegur oleh seorang warga Bangladesh kerana zikir kuat. Padahal tentulah saya sudah zikir perlahan kalau dibandingkan dengan orang lain. Tetapi masih lagi ditegur oleh orang. Maka kena lebih berhati-hati kalau ada orang lain di sebelah kita.]
3. Tidak disunnahkan berzikir selepas salat dengan suara yang kuat, diperdengarkan, serta jama’i (atau koir), melainkan jika bagi tujuan mengajar kepada mereka yang ingin mempelajari sampai difahami. Malangnya di negara kita sudah merdeka 60 tahun pun tetapi masyarakat masih tidak pandai-pandai lagi. Kerana itulah agaknya imam-imam tidak pernah berhenti dari menggunakan mikrofon semasa berzikir selepas salat jemaah.
👁🗨 Adakah membaca zikir beramai-ramai dan dengan suara kuat ini sebab mengikut mazhab Syafi’iy رحمه الله? Mari kita lihat apa kata beliau sendiri.
Al-Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله berkata di dalam kitabnya, Al-Umm:
وَأَخْتَارُ للامام وَالْمَأْمُومِ أَنْ يَذْكُرَا اللَّهَ بَعْدَ الِانْصِرَافِ من الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ الذِّكْرَ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يَجِبُ أَنْ يُتَعَلَّمَ منه فَيَجْهَرَ حتى يَرَى أَنَّهُ قد تُعُلِّمَ منه ثُمَّ يُسِرُّ فإن اللَّهَ عز وجل يقول {وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِك وَلَا تُخَافِتْ بها} يعنى وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ الدُّعَاءَ وَلَا تَجْهَرْ تَرْفَعْ وَلَا تُخَافِتْ حتى لَا تُسْمِعَ نَفْسَك
“Aku berpendapat bahawa bagi imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah di setiap kali selesai dari salat, dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, melainkan bagi seorang imam yang bertujuan mengajari makmumnya tentang zikir tersebut, maka dia boleh mengeraskan suara bacaan zikirnya, sehingga apabila dia telah mengetahui bahawa para makmum telah tahu, maka hendaklah dia kembali merendahkan suara zikirnya, kerana Allah عز وجل berfirman:
وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلا
“Dan janganlah engkau mengeraskan suaramu dalam salatmu dan janganlah pula merendahkannya.” (Surah al-Israa’, 17: 110)
Maksud kata الصلاة (Ash-Shalah) wallahu Ta’ala a’lam adalah doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau menjahrkan (mengangkat dan memperdengarkan) suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhafit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya. (Al-Umm, 1/127)
Maknanya, yang membaca zikir kuat (lagi teruk bila pakai mikrofon) itu bukan sahaja langgar arahan Allah ﷻ, bahkan langgar kata-kata Imam Syafi’iy رحمه الله sendiri.
✴️ 4. Zikir-zikir ini dilaksanakan sebaik selesai salat fardhu setelah salam.
❎ Beberapa Bentuk Kesalahan Umum Ketika Berzikir Setelah Salat:
I. Berzikir dengan suara yang lantang serta berlagu.
II. Berzikir atau berdoa secara jama’i, koir, dan bertekongkan imam.
III. Berzikir dengan zikir-zikir yang tidak ada landasan atau pedomannya dari dalil yang sahih, sama ada lafaznya, bilangannya, mahupun kaifiyatnya (tatacaranya). Seperti contohnya berzikir dengan bacaan surah Al-Fatihah dan menambah lafaz tertentu pada istighfar.
✴️ 4. Berzikir dengan biji tasbih. Sebahagian ulama’ menganggap berzikir dengan menggunakan biji tasbih adalah bid’ah dan mencontohi amalan kaum Yahudi, Nasara, dan Budha. Sebaliknya yang sahih dari Nabi ﷺ, disunnahkan agar membilang bacaan-bacaan zikir dengan jari tangan kanan. (lihat: Sunan Abi Daud, no. 1501, 1502. At-Tirmidzi, no. 3486)
Sebenarnya, sudah banyak ulama’ yang menulis dan membahas hukum penggunaan alat tasbih untuk menghitung zikir.
👁🗨 Menurut Syaikh Bakr Abu Zaid رحمه الله, dari ulama’ yang terdahulu ataupun yang sekarang (kontemporari), yang pendapatnya boleh dijadikan sebagai hujjah, menunjukkan kesimpulan, bahawa tidak ada satu pun hadith yang sahih yang membolehkan menggunakan selain jari tangan untuk menghitung zikir.
Biji tasbih yang banyak digunakan oleh orang kita sekarang tidaklah ada dalam sejarah Islam yang awal. Melainkan ia diambil daripada amalan agama-agama lain. Pada zaman tabi’in baru mula ada menggunakan kerikil atau biji kurma (belum pakai biji tasbih lagi), tetapi itu pun sudah ditegur oleh sahabat kerana sahabat masih ada lagi.
Banyak atsar sahabat dan tabi’in رحمهم الله yang menunjukkan, bahawa mereka mengengkari orang yang menggunakan bijian atau kerikil untuk menghitung zikirnya. Di antara atsar tersebut ialah:
👁🗨 Atsar Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, dari Ibrahim berkata:
كَانَ عَبْدُ اللهِ يَكْرَهُ العَدَّ وَيَقُوْلُ أَيَمُنُّ عَلَى اللهِ حَسَنَاتِهِ
Abdullah bin Mas’ud membenci hitungan (dengan tasbih) dan berkata,” Apakah mereka menyebut-nyebut kebaikannya di hadapan Allah?” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al Mushnaf, no. 7667 dengan sanad yang sahih).
Atsar dari Amru bin Yahya رحمه الله; dia menceritakan pengengkaran Abdullah bin Mas’ud terhadap halaqah di masjid Kuffah yang orang-orangnya bertasbih, bertahmid dan bertahlil dengan kerikil. Riwayat selengkapnya, lihat Sunan Ad Darimi, Kitabul Muqaddimah, hadith no. 206. Juga disebutkan dalam Tarikh Wasith, Aslam bin Sahl Ar Razzaz Al Wasithi. Syaikh Al-Albani mensahihkan sanad hadith ini dalam As Silsilah Ash Shahihah, hadith no. 2005
Adapun yang membawa masuk alat tersebut ke dalam dunia Islam dan yang pertama kali memperkenalkannya ialah kelompok-kelompok tareqat atau tasawwuf; disebutkan oleh Sidi Gazalba sebagai hasil kombinasi pemikiran antara Islam dengan Yahudi, Kristian, Manawi, Majusi, Hindu dan Budha serta mistik Pytagoras. Rujukan: Sidi Gazalba, Sistematika Filsafat.
Allahu a’lam. Selepas itu, apakah zikir dan doa yang sahih dari Sunnah?