G. Membaca Al-Fatihah Adalah Rukun Setiap Salat

Tajuk:
1⃣. Keutamaan membaca al-Fatihah.
2⃣. Adakah Basmalah dibaca dengan kuat?
3⃣. Adakah Basmalah termasuk salah satu dari surah al-Fatihah?
4⃣. Orang yang tidak mampu hafal surah al-Fatihah.
5⃣. Adakah surah al-Fatihah dibaca juga oleh makmum?

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

G. Membaca Fatihah adalah rukun bagi setiap rakaat

Tidak perlu dipanjangkan lagi, semua sudah tahu bahawa Surah al-Fatihah adalah rukun salat. Memang perlu dibaca dan tidak boleh ditukar dengan surah-surah lain. Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Salat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah.

✍🏻 Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

”Tidak ada salat (tidak salatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.” (HR. Ibnu Majah no. 828)


1. Keutamaan membaca al-Fatihah

Bacaan al-Fatihah kita di dalam salat itu didengari oleh Allah ﷻ dan dijawab oleh Allah ﷻ

✍🏻 Dalilnya adalah;

« قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ ( الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِى عَبْدِى وَإِذَا قَالَ (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَىَّ عَبْدِى. وَإِذَا قَالَ (مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ). قَالَ مَجَّدَنِى عَبْدِى – وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَىَّ عَبْدِى – فَإِذَا قَالَ (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ). قَالَ هَذَا بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ. فَإِذَا قَالَ (اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ ). قَالَ هَذَا لِعَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ »

“Allah تعالى berfirman: Aku telah membahagikan salat antara-Ku dan antara hamba-Ku dua bahagian. Dan bagi hamba-Ku apa dia pinta. Maka apabila hamba berkata (Alhamdulillahirabbil alamin). Allah تعالى menjawab: Hamba-Ku memuji-Ku. Dan apabila dia berkata (Arrahmanirrahim) Allah تعالى berfirman: Hamba-Ku telah memuja muji ke atas-Ku. Dan apabila dia berkata (Malikiyaumiddin), Allah menjawab: hamba-Ku memuliakan Aku dan Dia berkata hamba-Ku menyerahkan kepada-Ku. Apabila dia berkata (Iyyakana’budu wa iyyakanasta’in) Dia berfirman “Ini diantara-Ku dan antara hamba-Ku, dan untuk hamba-Ku apa yang dia pinta”. Dan apabila dia membaca (Ihdinassirotolmustaqim……….waladdollin) Maka Allah menjawab: Ini adalah untuk hamba-Ku, dan baginya apa yang ia minta.
(HR. Muslim no. 904)

Syarah: Ini adalah salah satu dari Hadith Qudsi. Amat hebat sekali hadith ini dan perlu kita ketahui. Kalau kita dapat ingat hadith ini dan kita bayangkan semasa salat itu Allah ﷻ sedang menjawab bacaan kita, maka tentunya bacaan al-Fatihah kita lebih bermakna, bukan? Inilah salah satu dari cara untuk mendapat khusyuk di dalam salat.

Penting untuk kita faham apa yang kita baca dalam salat supaya setiap tutur kata kita itu bermakna dan tidaklah kita cakap kosong sahaja. Oleh kerana al-Fatihah ini sudah beribu dan entah berjuta kali kita baca, sehingga tanpa kita hadir hati pun, kita boleh baca dengan lengkap. Tetapi masalahnya, bila kita tidak tumpukan perhatian, maka fikiran kita akan menerawang jauh entah ke mana.

Maka hadith di atas amat penting untuk kita ingat.

Surah al-Fatihah ini adalah satu surah yang amat agung. Ini kita tahu dari banyak pujian Rasulullah ﷺ .

✍🏻 Antaranya sebuah hadith dimana Rasulullah ﷺ bersabda:
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ

“Alhamdulillahirabbil ‘alamin (surah al-Fatihah) adalah as-Sab’ul matsani dan al-Qur’an yang agung yang dikurniakan padaku.” (Sahih Bukhari no. 4622 dari Abu Sa’id bin al-Mu’alla).

Syarah: As-Sab’ul Mathani bermaksud ‘tujuh yang diulang-ulang’. Maksudnya ada tujuh ayat di dalamnya dan memang sentiasa diulang-ulang oleh Muslimin di dalam kehidupan sehariannya.

Lagi satu maksud Sab’ul Mathani ialah ia mengandungi tujuh perkara utama yang diulang-ulang di dalamnya. Maksudnya, Fatihah ini sebenarnya adalah ‘ringkasan’ kepada keseluruhan Al-Quran. Maka apabila kita membacanya, maka kita diingatkan kepada keseluruhan Al-Quran.

Tetapi untuk memahaminya, kenalah dahulu belajar tafsir Surah al-Fatihah ini. Barulah bacaan kita lebih bermakna. Barulah sekejap gembira, sekejap takjub, sekejap takut hendak menangis, sekejap rasa sayang sangat kepada Allah ﷻ, sekejap berharap, sekejap benci kepada Yahudi dan kemudian kesian kepada Nasara.

Semua ini dan banyak lagi ada di dalam Surah al-Fatihah. Tetapi kalau tidak dipelajari tafsirnya, tentu tidak terasa.

Maka kerana kehebatan Surah al-Fatihah inilah yang menyebabkan ia amat sesuai sekali dibaca di dalam salat kita. Tentu ada sebab kenapa Allah ﷻ suruh kita baca al-Fatihah di dalam setiap rakaat kita, bukan?


2. Apakah Basmalah dibaca dengan kuat?

Ini mungkin satu perkara yang agak janggal pula kepada pelajar baru. Kenapa pula ada persoalan ini? Bukankah selalu kita baca basmalah?

Membaca basmalah sebelum membaca al-Fatihah adalah perkara yang khilaf. Ada ulama’ yang mewajibkan membacanya dan ada yang tidak, malah makruh pula membaca basmalah. Perbincangan ini adalah sebagai pengetahuan kepada anda kalaulah ada yang tidak baca basmalah dalam al-Fatihah, tidaklah terkejut sangat. Apabila kita ada ilmu, kita boleh relaks sahaja dan tidak kelam kabut.

Lebih teruk lagi, tidaklah menuduh orang yang tidak membaca basmalah itu sebagai Wahabi. Antara Imam yang kata tidak wajib membaca basmalah adalah Imam Nawawi رحمه الله. Sejak bila pula beliau mendaftarkan diri menjadi Wahabi?

Ulama’ khilaf sama ada dibacakan basmalah sebelum baca Surah al-Fatihah ataupun tidak, kerana ulama’ pun khilaf, adakah Basmalah sebahagian Surah al-Fatihah ataupun tidak? (ini akan dibincangkan dalam topik seterusnya nanti). Bagi mereka yang mengatakan Basmalah sebahagian dari al-Fatihah, maka kena baca basmalah dengan jahr dan kalau yang berpendapat basmalah bukan sebahagian dari al-Fatihah, maka tidak boleh basmalah dibaca jahr (sama ada tidak baca langsung, atau dibaca sirr sahaja).

Menurut al-Hafiz Ibn Katsir (700 – 774 H), seorang imam besar, ahli tafsir, dan antara ulama agung bermazhab Syafi’iy, para ulama’ bersepakat bahawa kalimah بسم الله الرحمن الرحيم Bismillahirrahmaanirrahiim (Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang), adalah salah satu ayat dalam Surah An-Naml (iaitu ayat ke-30).

Kemudian mereka berbeza pendapat dalam perkara-perkara berikut:

1. Adakah basmalah merupakan ayat tersendiri yang diletakkan pada setiap awal surah? Atau
2. Merupakan bahagian awal surah yang ditulis pada awalnya? Atau
3. Sebahagian daripada setiap surah yang tuliskan pada awal surah? Atau
4. Sebahagian daripada Surah al-Fatihah sahaja, tetapi tidak pada surah lain? Atau
5. Pemisah antara surah-surah, dan bukan ayat Al-Quran? Dan pendapat ini, antara pendapat-pendapat ulama’ salaf dan khalaf, adalah yang paling disukai daripada yang tersebut di atas.

Kalau kita lihat perbahasan di atas, memang banyak sekali khilaf antara ulama’. Maka tidak hairanlah kalau masyarakat pun ada khilaf.

Daripada kata-kata Ibn Katsir رحمه الله ini, dapat kita ketahui bahawa jumhur ulama’ berpendapat bahawa basmalah hanyalah pemisah atau pembatas antara surah-surah dalam Al-Quran, dan bukan ayat Al-Quran itu sendiri. Dan pendapat ini merupakan pendapat yang menjadi popular (kegemaran) di kalangan ulama’ salaf (terdahulu) mahupun khalaf (terkemudian). Dan kita juga mengetahui, bahawa Ibn Katsir رحمه الله adalah salah seorang ulama’ bermazhab Syafi’iy.

✍🏻 Antara dalil yang digunakan sebagai hujah mengatakan tidak dibacakan basmalah secara jahar adalah:

1⃣. Hadith daripada Anas رضي الله عنه yang menyebutkan,
َعَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا كَانُوا يَفْتَتِحُونَ الصَّلَاةَ بِ
{ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ }

Maksudnya: “bahawasanya Nabi ﷺ, Abu Bakr dan ‘Umar رضي الله عنهما memulai salat dengan bacaan Alhamdulillaahi Rabbil’alamiin.” (Sahih Bukhari no. 701)

2⃣. Disebutkan dalam kitab tersebut, Imam Muslim رحمه الله telah menambah:

لَا يَذْكُرُونَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فِي أَوَّلِ قِرَاءَةٍ وَلَا فِي آخِرِهَا

Mereka tidak menyebut Bismillaahirrahmaanirrahiim pada awal bacaan mahupun akhirnya. (Sahih Muslim no. 606)

3⃣.
وفي رواية لاحمد و النسائي و ابن خزيمة : لا يجهرون ببسم الله الرحمن الرحيم
Dan dalam satu riwayat daripada Ahmad, Nasa`i dan Ibn Khuzaimah: Mereka tidak membaca dengan kuat Bismillaahirrahmaanirrahiim.
(Bulughul Maram, kitab as-Salat no. 300)

4⃣.
وفي اخرى لابن خزيمة : كانو يسرون

Dan dalam riwayat daripada Ibn Khuzaimah: Mereka membaca Bismillaahirrahmaanirrahiim dengan suara yang lembut.
(Bulughul Maram, Kitab as-Salat no. 301)

Syarah: Berdasarkan riwayat ini, dapat ditakwilkan kepada riwayat yang meniadakan membacanya sepertimana dalam riwayat Imam Muslim رحمه الله. Namun bukanlah tidak dibaca langsung basmalah itu, tetapi dibaca secara lembut sahaja.

Akan tetapi pihak yang mengatakan basmalah dibaca jahr ada hujah mereka juga. Antaranya sebuah hadith yang diriwayatkan secara jemaah daripada sahabat-sahabat, bahawasanya Rasulullah ﷺ menjaharkan bacaan Bismillaahirrahmaanirrahiim.

✍🏻 Iaitu dalil dari riwayat Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nua’im bin Abdullah al-Mujmar رحمه الله. Beliau berkata;

صلَّيتُ وراءَ أبي هُرَيْرةَ فقرأَ : بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ، ثمَّ قرأَ بأمِّ القرآنِ حتَّى إذا بلغَ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ فقالَ : آمينَ . فقالَ النَّاسُ : آمينَ ويقولُ : كلَّما سجدَ اللَّهِ أَكْبر ، وإذا قامَ منَ الجلوسِ في الاثنتَينِ قالَ : اللَّهُ أَكْبر ، وإذا سلَّمَ قالَ : والَّذي نفسي بيدِهِ إنِّي لأشبَهُكم صلاةً برسولِ اللَّهِ – صلَّى اللَّهُ عليهِ وعلَى آلِهِ وسلَّمَ – .

Aku pernah salat di belakang Abu Hurairah kemudian dia membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , lalu membaca surat Al Fatihah hingga tatkala telah sampai pada غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّين , (bukan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang tersesat) dia mengucapkan آمينَ. Orang-orang pun lalu mengucapkan آمينَ pula. Abu Hurairah juga mengucapkan اللَّهُ أَكْبر setiap kali hendak sujud, dan ketika bangun dari duduk tahiyyat pertama. Setelah selesai salam, dia berkata; Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, Aku adalah orang yang paling menyerupai Rasulullah ﷺ dalam salat.

(Dinilai hasan oleh syaikh Muqbil Hadi al-Wad’iy dalam Sahih al-Musnad no.1404. Namun riwayat Nu’aim Al Mujmar dinilai sahih di sisi mazhab Syafi’iy)

Syarah: Maka pihak yang mengatakan memang sunnah bacaan basmalah jahar itu pun ada dalilnya. Tetapi, menurut Prof. Dr. HAMKA, apabila kita selidiki lebih mendalam, seperti yang telah dilakukan oleh Imam asy-Syaukani رحمه الله dalam kitab Nailul Authar, setiap hadith yang menjadi pegangan bagi golongan yang men”jahr”kan itu ada sahaja Naqd (kritikan) terhadap perawinya, sehinggakan yang betul-betul bebas daripada kritikan langsung tidak ada. At-Tirmizi pernah mengatakan: “Isnadnya tidaklah sampai sedemikian tinggi nilainya.”

Kesimpulan: Terdapat perbezaan pendapat yang ketara antara para sahabat, tabiin, dan para ulama’ secara umumnya. Kedua-dua golongan, yang men”jahr”kan dan men”sir”kan bacaan basmalah masing-masing mempunyai dalil-dalil dan hujah mereka sendiri.

Pendapat saya, dalil yang mengatakan tidak men”jahr”kan basmalah adalah lebih kuat. Ini dikuatkan lagi dengan keterangan daripada muhaddith abad ini, Syaikh Nasiruddin al-Albani رحمه الله dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Sifat Solat Nabiyyi ﷺ min Al-Takbiir ilaa At-Tasliim ka`annaka taraahaa (Sifat Salat Nabi ﷺ daripada takbir hingga salam seolah-olah engkau melihatnya). Beliau mengambil pendapat yang men’sir’kan bacaan basmalah.

Begitulah juga pendapat Syaikh Husain bin ‘Audah al-Awayisyah, penulis kitab ENSIKLOPEDI FIQIH PRAKTIS yang menjadi rujukan utama kelas kita ini.

Maka boleh sahaja kalau jadi imam dan bacaan basmalah itu dilembutkan. Dan kalau kita menjadi makmum kepada imam yang berbuat begitu, tidaklah kita hairan lagi. Tidaklah kecoh pakat kumpul makmum yang lain dan cari imam lain sebab salat tidak sah kerana imam tidak membaca basmalah.


3. Apakah Basmalah termasuk salah satu dari Surah al-Fatihah?

Ini juga adalah satu perbincangan panjang lebar juga di kalangan ulama’. Saya sampaikan di sini supaya kita tahu ada perbincangan ini dan tidaklah kita hairan kalau ada yang baca al-Fatihah tetapi tidak menyebut basmalah. Namun tidaklah kita membincangkannya dengan terlalu panjang kerana di sini hanyalah kelas pemula sahaja.

Oleh kerana negara ini kebanyakannya memakai pendapat Imam Syafi’iy, maka kita sudah biasa menerima basmalah sebagai sebahagian dari al-Fatihah. Akan tetapi, menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanafiyah, pendapat yang paling sahih dalam mazhab Hanbali, dan menjadi pendapat kebanyakan fuqaha, basmalah bukanlah sebahagian dari al-Fatihah dan bukan sebahagian dari awal surah apa pun dalam Al-Quran. Namun basmalah adalah ayat yang ada dalam Al-Quran.

📍 Fungsi basmalah adalah untuk memisah satu surah dengan surah lainnya. Basmalah disebut di awal surah al-Fatihah. Sedangkan menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Malikiyyah, basmalah bukan sebahagian dari ayat Al-Quran kecuali pada surah an-Naml.

✍🏻 Dalil bahawasanya basmalah bukan sebahagian dari al-Fatihah adalah dari hadith Qudsi yang kita telah pernah berikan sebelum ini. Riwayat ini dari Abu Hurairah رضي الله عنه,

« قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ ( الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِى عَبْدِى وَإِذَا قَالَ (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَىَّ عَبْدِى. وَإِذَا قَالَ (مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ). قَالَ مَجَّدَنِى عَبْدِى – وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَىَّ عَبْدِى – فَإِذَا قَالَ (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ). قَالَ هَذَا بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ. فَإِذَا قَالَ (اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ ). قَالَ هَذَا لِعَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ ».

“Allah تعالى berfirman: Aku membahagi salat (maksudnya: Al Fatihah) menjadi dua bahagian, iaitu antara diri-Ku dan hamba-Ku dua bahagian dan bagi hamba-Ku apa yang dia minta. Jika hamba mengucapkan ’alhamdulillahi rabbil ‘alamin (segala puji hanya milik Allah)’, Allah تعالى berfirman: Hamba-Ku telah memuji-Ku. Ketika hamba tersebut mengucapkan ‘ar rahmanir rahiim (Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang)’, Allah ‎تعالى berfirman: Hamba-Ku telah menyanjung-Ku. Ketika hamba tersebut mengucapkan ‘maaliki yaumiddiin (Yang Menguasai hari pembalasan)’, Allah ‎berfirman: Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku. Dia berkata sesekali: Hamba-Ku telah memberi kuasa penuh kepada-Ku. Jika ia mengucapkan ‘iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in (hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan)’, Allah berfirman: Ini antara-Ku dan hamba-Ku, bagi hamba-Ku apa yang dia minta. Jika dia mengucapkan ‘ihdiinash shiroothol mustaqiim, shirootolladzina an’amta ‘alaihim, ghoiril magdhuubi ‘alaihim wa laaddhoollin’ (tunjukkanlah pada kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang telah Engkau beri nikmat, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan jalan orang yang sesat), Allah berfirman: Ini untuk hamba-Ku, bagi hamba-Ku apa yang dia minta.” (HR. Muslim no. 395).

Syarah: Kalau dibaca hadith ini, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ terus mula menyebut al-Fatihah dengan kalimat alhamdulillah… bukannya bismillah.

📌 Alasan kedua: Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia bahagikan al-Fatihah ini kepada ‘dua bahagian’. Dan kalimah iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in adalah antara Allah ‎ﷻ dan hambaNya, yang bermaksud ia duduk di tengah-tengah. Kalau ingin jadikan iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in duduk di tengah-tengah, maka basmalah tidak termasuk. Cuba tengok balik susunan al-Fatihah itu. Kalau buang basmalah, barulah kemas iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in duduk di tengah-tengah.

Mungkin timbul persoalan lain pula: bagaimana pula al-Fatihah itu disebut sebagai tujuh ayat yang diulang-ulang? Kalau buang basmalah, tinggal 6 sahaja, kan?

Jangan takut, ia tetap 7 ayat juga. Iaitu ayat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ dipecah menjadi dua:

Kalimat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم menjadi ayat ke 6 dan kalimat غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ menjadi ayat ke 7.

Tetapi, memang ada juga pendapat yang mengatakan basmalah adalah sebahagian dari al-Fatihah.

✍🏻 Dalil:

1⃣. Terdapat hadith dari Ummu Salamah رضي الله عنها menceritakan:

أنّ النبيَّ قرأ في الصلاة بسم الله الرحمن الرحيم ، وعدها آية.

“Sesungguhnya Nabi membaca Bismillahirrahmanirrahim sebagai satu ayat (dari al-Fatihah)”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang sahih. Dinilai sahih dalam Irwa’ no. 343 oleh al-Albani. Kedudukan sanad hadith ini sebagai sahih juga ditegaskan oleh Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka al-Fiqhul-Manhaji (Jil. 1, hlm. 131)).

2⃣. Daripada Nu’aim al-Mujmar رحمه الله:

. صَلَّيتُ وَراءَ أبي هُرَيرةَ فقَرَأَ: {بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ} [الفاتحة: 1]، ثم قرَأَ بأُمِّ القُرآنِ، حتى بلَغَ {غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ} [الفاتحة: 7]، قال: آمينَ، وقال النَّاسُ: آمينَ، ويقولُ كلَّما سَجَدَ: اللهُ أكبرُ، وإذا قام منَ الجُلوسِ منَ اثنتَينِ قال: اللهُ أكبرُ، ثم يقولُ إذا سَلَّمَ: والذي نَفْسي بيَدِه، إنِّي لأشبَهُكم صَلاةً برسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ..

Aku pernah salat di belakang Abu Hurairah kemudian dia membaca ” بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ [ al-Fatihah:1], lalu membaca surah al-Fatihah hingga tatkala telah sampai pada ‘ { غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } [al-Fatihah:7], (bukan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang tersesat) dia mengucapkan ‘Aamiin.’ Orang-orang pun lalu mengucapkan Aamiin pula. Abu Hurairah juga mengucapkan ‘Allahu Akbar’ setiap hendak sujud, dan bangun dari duduk tahiyyat pertama. Setelah selesai salam, dia berkata; Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, Aku adalah orang yang paling menyerupai Rasulullah ﷺ dalam salat.

(Dinilai sahih oleh Syaikh Syu’aib al-Arna’outh, takhrij Sunan ad-Daruqutni no. 1168).

Kesimpulan: Kedua-dua kumpulan mempunyai hujah masing-masing. Jadi ianya kekal menjadi ikhtilaf di kalangan ulama’. Maka kita terima itu sebagai khilaf dan menerima seadanya dalam perkara ini yang memerlukan berlapang ada (iaitu apabila dua-dua pihak ada dalil).


4. Orang tidak mampu menghafal surah al-Fatihah

Kita telah sebut yang al-Fatihah adalah rukun salat. Ini jelas melalui sabda Nabi ﷺ:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tiada salat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.” (HR Imam al-Bukhari no. 756)

Tetapi bagaimana jikalau seseorang itu tidak mampu menghafal al-Fatihah (mungkin kerana masih kecil atau mualaf yang baru masuk Islam?).

Allah ﷻ tidak membebankan sesiapa yang tidak mampu. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

al-Baqarah:286

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada Al-Quran, maka bolehlah orang itu menggantikannya dengan zikir sebagai ganti surah al-Fatihah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad رحمهم الله.

✍🏻 Daripada Abdillah bin Abi Aufa رضي الله عنه;
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ: إِنِّي لاَ أَسْتَطِيعُ أَنْ آخَذُ مِنَ القُرْآنِ شَيْئًا ، فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئُنِي مِنهُ ، قَالَ: قُلْ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.
(رواه أبو داود وأحمد)

Maksudnya: Telah datang seseorang kepada Nabi ﷺ, lalu beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ: Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatu pun daripada Al-Quran, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada Al-Qur’an.

Lalu Baginda ﷺ pun menjawab: Bacalah:

(سُبْحَانَ اللَّهِ ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ).

(Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan tiada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar). (HR Imam Abu Daud no. 832 dan Musnad Ahmad no. 18322)

Syarah: Jadi boleh terus salat dan baca zikir-zikir itu. Akan tetapi hendaklah seseorang itu berusaha sedaya mungkin untuk belajar menghafal Surah al-Fatihah kerana penukaran kepada zikir di atas bukanlah berterusan.

Ia untuk jangka masa pendek sahaja, sehingga dia boleh lancar membaca al-Fatihah.


5. Apakah Surah al-Fatihah dibaca juga oleh makmum?

Seperti yang kita telah pernah sebutkan, al-Fatihah wajib di dalam salat sama ada salat Fardhu atau Salat sunat. Akan tetapi kewajipan ini gugur bagi makmum. Makmum wajib diam dan mendengar bacaan imam dalam rakaat jahriah.

✍🏻 Ini berdasarkan kepada firman Allah ﷻ dalam A’raf:204

وَإِذا قُرِئَ القُرآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.

Syarah: Oleh kerana imam sedang membaca surah dari Al-Quran selepas Fatihah, maka wajib makmum mendengar bacaan imam itu.

Dalil-dalil lain yang menunjukkan makmum tidak perlu membaca surah al-Fatihah dalam salat jahriyyah (iaitu apabila imam membaca surah dengan kuat – rakaat pertama dan kedua dalam salat Subuh, Maghrib dan Isyak) adalah hadith berikut:

✍🏻 Dalil-dalilnya:

1⃣. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , beliau berkata;

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا.

Dijadikan imam itu hanya untuk diikuti. Oleh kerana itu apabila imam takbir, takbirlah kalian, dan apabila imam membaca, maka hendaklah kalian diam mendengarkan (bacaan imam itu).”
[Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah رحمه الله dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani رحمه الله dalam Sahih Sunan Ibn Majah, hadith no. 846]

2⃣. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, katanya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
انْصَرَفَ مِنْ صَلاَةٍ جَهَرَ فِيهَا بِالْقِرَاءَةِ
فَقَالَ: هَلْ قَرَأَ مَعِي أَحَدٌ مِنْكُمْ آنِفًا؟
فَقَالَ رَجُلٌ: نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ.
قَالَ: إِنِّي أَقُولُ مَالِي أُنَازَعُ الْقُرْآنَ؟
قَالَ: فَانْتَهَى النَّاسُ عَنْ الْقِرَاءَةِ
مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا جَهَرَ
فِيهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الصَّلَوَاتِ بِالْقِرَاءَةِ
حِينَ سَمِعُوا ذَلِكَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ ِ.

Dari Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah ﷺ sesudah selesai mendirikan salat yang baginda keraskan bacaannya (jahriyah)
di dalam salat itu, Baginda bertanya:

“Apakah ada seseorang di antara kamu yang membaca bersamaku tadi?”
Maka seorang laki-laki menjawab, “Ada ya Rasulullah!”
Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berkata: Mengapakah (bacaan)ku dilawan dengan Al-Quran juga?”
Berkata Abu Hurairah: “Kemudian berhentilah orang-orang dari membaca bersama Rasulullah ﷺ pada salat-salat
yang Rasulullah ﷺ keraskan bacaannya,
ketika mereka sudah mendengar (larangan) yang demikian itu dari Nabi ﷺ ”.
[Sahih: Dikeluarkan oleh at-Tirmizi رحمه الله dan beliau berkata: “Hadith ini hasan.” Al-Albani رحمه الله menilainya sahih, rujuk Shahih Sunan at-Tirmizi, hadith no. 312]

📌 Pendapat makmum tidak membaca al-Fatihah dalam salat jahriyah ini juga adalah menjadi pilihan Ahmad bin Hanbal dan Malik bin Anas, al-Zuhri, Ibnul Mubarak, Ishak dan dikuatkan oleh Ibnu Taymiyyah رحمهم الله.

Membaca al-Fatihah atau tidak bagi makmum di belakang imam, adalah masalah yang sering menjadi perselisihan dan perdebatan, bahkan sampai-sampai ada sebagian ulama’ membuat tulisan tersendiri tentang hal ini. Perselisihan ini berasal dari pemahaman dalil. Ada dalil yang menegaskan harus membacanya dan ada dalil yang memerintahkan untuk membacanya. Di lain sisi, ada juga ayat atau berbagai hadith yang memerintahkan diam ketika imam membacanya. Dari sinilah terjadinya khilaf.

📍 Secara umumnya, ada tiga pendapat:

1⃣. Mazhab Hanafi, langsung tidak membaca al-Fatihah di belakang imam. Kerana imam telah menanggung bacaan al-Fatihah makmum.

2⃣. Mazhab Syafie, makmum tetap wajib membaca al-Fatihah di belakang imam.

3⃣. Pendapat ketiga ini menjamak dua pendapat di atas. Ini adalah pendapat mazhab Malik. Kalau dengar bacaan al-Fatihah imam (rakaat pertama dan kedua, makmum tidak membaca al-Fatihah. Tetapi kalau tidak dengar (rakaat ketiga, keempat atau duduk jauh atau pekak), maka baca al-Fatihah.

Lalu bagaimana pula kalau tidak membaca al-Fatihah? Bukankah al-Fatihah itu wajib? Memang wajib, tetapi ia telah ditanggung oleh imam.

✍🏻 Ini berdasarkan seperti dalil-dalil di bawah:

1⃣. Daripada Jabir bin Abdullah bin Amru bin Haram رضي الله عنهما,

من كان له إمام فقراءة الإمام له قراءة

“Barangsiapa yang salat di belakang imam, bacaan imam menjadi bacaan untuknya.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah no. 850. Syaikh Al Albani رحمه الله mengatakan bahwa hadis ini hasan. Namun, ada juga yang mengkritik hadith ini dan kerana itu bukan semua mengambil hadith ini sebagai sandaran).

Akan tetapi ada lagi dalil lain sebagai penguat. Hadith lainnya adalah sabda Nabi ﷺ,

2⃣. Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه;

إِنَّمَا الإِمَامُ – أَوْ إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ – لِيُؤْتَمَّ بِهِ ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا ، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا ، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا ، وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ . فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ . وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

“Sesungguhnya imam itu diangkat untuk diikuti. Jika imam bertakbir, maka bertakbirlah. Jika imam rukuk, maka rukuklah. Jika imam bangkit dari rukuk, maka bangkitlah. Jika imam mengucapkan ‘sami’allahu liman hamidah’, ucapkanlah ‘rabbana wa lakal hamd’. Jika imam sujud, sujudlah.” Dalam riwayat Muslim pada hadith Abu Musa terdapat tambahan,

وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا

“Jika imam membaca (al-Fatihah), maka diamlah.”

(HR Bukhari no. 733 dan Muslim no. 411)

Serta satu lagi adalah perbuatan seorang sahabat, Abu Bakrah (bukan Abu Bakr).

3⃣. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari jalan al-Hasan, dari Abu Bakrah bahawasanya dia mendapati Nabi ﷺ sedang rukuk. Lalu Abu Bakrah rukuk sebelum sampai ke saf. Lalu ia menceritakan kejadian yang dia lakukan tadi kepada Nabi ﷺ,

زَادَكَ اللَّهُ حِرْصًا وَلاَ تَعُدْ

“Semoga Allah menambah semangat untukmu, namun jangan diulangi.” (HR Bukhari no. 783)

Syarah: Dari hadith ini Abu Bakrah رضي الله عنه tidak sempat dapat al-Fatihah dengan imam. Beliau hanya sempat dapat rukuk sekali sahaja. Kemudian Nabi ﷺ tidak pun menyuruh Abu Bakrah رضي الله عنه mengulang baca al-Fatihah.

📍 Maka pendapat yang mengatakan makmum tidak perlu membaca al-Fatihah dalam rakaat jahriyyah adalah kuat. Maka janganlah takut untuk senyap sahaja mendengar bacaan imam.

Ada juga imam yang melakukan inovasi dengan berhenti sekejap selepas membaca al-Fatihah untuk beri peluang kepada makmum untuk membaca al-Fatihah. Tujuannya supaya makmum baca juga al-Fatihah dan semasa imam baca surah, makmum dapat dengar bacaan surah imam.

Dalil untuk perbuatan ini tidak ada dalam sunnah. Maka paling tinggi ianya adalah setakat ijtihad sahaja. Tetapi ada masalah kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah melakukan perkara ini. Jadi kita takut hendak buat sesuatu yang baginda tidak lakukan, sedangkan baginda salat setiap hari dan tidak ada contoh sebegitu daripada baginda dan para sahabat.

Dan perbuatan ini pun mengelirukan makmum. Bayangkan, imam beri peluang membaca al-Fatihah tetapi tidak beri masa yang cukup. Semasa makmum sempat baca tiga empat ayat al-Fatihah, imam sudah mula baca surah. Makmum pun pening sekejap: hendak habiskan al-Fatihah atau berhenti dengar bacaan imam?

Dan kalau jadi imam dan amalkan perbuatan ini pun agak susah juga: sementara bagi peluang makmum baca al-Fatihah, imam buat apa? Adakah menunggu sahaja dengan senyap? Adakah baca al-Fatihah sekali lagi? Adakah baca surah lain sementara menunggu?

📌 Kalau buat salah satu dari tiga perkara di atas, apakah pula dalilnya? Allahu a’lam.

Setelah membaca Fatihah, maka kita akan membaca ta’min.


SESI SOAL JAWAB KELAS
========================

1. Bolehkah menggunakan kedua-dua hujah ni: Kadang-kadang membaca bismillah dan kadang-kadang tidak membacanya ketika di dalam salat?

🔵 Ya boleh. Ada masa hendak baca dan ada masa tidak baca. Sebab kedua-dua ada hujah dan dalil.

Kalau saya jadi imam kepada pelajar saya, saya tidak jahr basmalah. Kalau jadi imam kepada bukan pelajar, saya jaharkan. Elakkan kontroversi.

Sebab ada dalil. Kalau doa selepas salat, saya sudah tidak kira siapa makmum. Sebab dalil doa selepas salat memang tidak ada. Biarlah mereka terpinga-pinga.

 

2. Adakah basmalah itu tidak perlu dibaca atau hanya dibaca secara sir?

🔵 Imam Malik berpendapat makruh kalau baca basmalah.

Yang lain kata: Baca basmalah tetapi dibaca sirr.

Imam Syafie: Baca jahr.

Boleh lihat hujah-hujah mereka dan boleh buat pilihan. Mereka semua imam-imam kita.

 

3. Adakah ini juga untuk bacaan surah selepas al-Fatihah?

🔵 Ya.

 

4. Sekiranya makmum mengambil pendirian tidak membaca al-Fatihah ketika imam jahr, perlukah makmum itu membaca ta’awwuz juga?

🔵 Ini pun ada khilaf.

1⃣ Hanafi: Makmum langsung tidak baca al-Fatihah sebab bacaan al-Fatihah sudah ditanggung imam.

2⃣ Syafie: Makmum kena baca al-Fatihah setiap rakaat.

3⃣ Ahmad: Makmum cuma baca al-Fatihah pada rakaat ketiga dan empat sahaja.

Maka makmum yang membaca al-Fatihah, boleh sahaja ta’awwuz.

 

5. Dalam salat Zuhur umpamanya, bolehkah dibaca basmalah pada rakaat pertama dan tidak dibaca basmalah pada rakaat kedua atau keempat. Bercampur aduk antara membaca dan tidak membaca basmalah di dalam satu salat?

🔵 Ya, boleh.

 

6. Bolehkah wanita salat jahr jika dia salat di kamarnya?

🔵 Boleh.

 

7. Adakah wanita yang membaca jahr ketika salat sendirian mesti sirrkan suaranya jika suaminya lalu di situ?

🔵 Kalau suami dan anak-anak dengar tidak mengapa. Perkara yang menjadi masalah ialah kalau ajnabi dengar. Kalau dia salat dalam bilik, itu di kira sudah selamat.

 

8. Adakah batal salat kalau ajnabi dengar bacaan salat daripada wanita bukan mahram?

🔵 Tidak batal. Tetapi itu tidak bagus. Sebab itu wanita salat dalam bilik sahaja. maksud saya, kalau suami dan anak yang dengar, boleh lagi sebab bukan ajnabi.

Tetapi suara perempuan bukanlah kuat. Cuma kalau salat tetapi ada orang lelaki lain, maka akan mengganggu khusyuk. Sama sahaja, kalau lelaki salat tetapi ada perempuan, khusyuk jadi terganggu.

 

9. Sekiranya dia salat di ruang salat wanita, adakah dia mesti membaca secara sirr untuk tidak mengganggu orang lain yang sedang salat?

🔵 Senang sahaja. Untuk wanita, biar diri sendiri sahaja yang dengar. Tidak perlu disuarakan. Selalunya tidak kuat mana pun suara perempuan.

 

10. Andaikan kita salat sendirian dan ingin membaca beberapa surah pendek, misalannya surah 3 Qul, adakah boleh jika tidak dibaca basmalah antara ketiga-tiga surah tersebut atau seeloknya dibaca basmalah sebagai penanda pemisah antara surah-surah?

🔵 Kedua-duanya boleh.

 

11. Firman Allah ﷻ:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang) …
[Al-Muzzammil 73:20]

Adakah ini suatu rukhsah atau kadar minima ayat yang wajib dibaca di dalam salat?

🔵 Ini adalah berkenaan bacaan surah selepas Fatihah dalam salat sunat.

 

12. Bolehkah perempuan membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara perlahan atau baca sekadar menggerakkan mulut sahaja (tidak mengeluarkan suara) sama ada bersendirian atau berjemaah?

🔵 Boleh sahaja dibaca kuat atau tidak.

Kalau baca dengan kuat (keluar suara) jangan sampai ganggu orang. Itu sahaja.

 

13. Adakah sama sahaja hukumnya bagi imam wanita untuk jemaah wanita dengan imam lelaki?

Adakah imam wanita tidak membaca kuat atau imam hanya baca dalam hati?

🔵 Ya, tidak boleh baca dalam hati.

Imam wanita dan lelaki sama sahaja. Cuma imam wanita duduk dalam saf.

 

14. Manakah pendapat yang rajih dalam membaca surah al-Fatihah dalam salat berjemaah?

Sekiranya kita memilih pendapat Imam Malik, adakah kita kena berpegang pada pendapat itu selamanya atau kita boleh tukar kepada pendapat lain pula apabila ada keperluan?

🔵 Semua pendapat itu ada dalil. Maka boleh pilih salah satu yang anda rasa paling kuat.

Pendapat dan pegangan boleh berubah dari masa ke semasa. Ada ketika, kita sangka itu satu pendapat yang kuat. Tetapi kemudian dapat dalil yang menguatkan pendapat yang lain, maka boleh sahaja tukar. Ini bukan macam pilih pasukan bola sepak, pegang sampai mati.

 

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Bagi salat jamak qasar , adakah iqamah boleh dibaca pada salat kedua setelah selesai menunaikan salat yang pertama?

🔵 Ya, ini sunnah.

 

2. Bagaimanakah jarak kaki ketika berdiri untuk salat ketika bersendirian dan berjemaah?

🔵 Biasa sahaja, selebar bahu lebih kurang, jangan kuncup dan jangan kangkang. Kaki menghadap ke kiblat, tidak capang ke kiri dan kanan.

 

3. Saya terbaca ada pelbagai versi pendapat yang menyentuh bab kaki. Ada pendapat kata kalau berjemaah kena sampai perlu bersentuh bahu dan kaki. Tidak boleh renggang sehasta. Jika tidak, maka batal saf. Adakah itu benar?

🔵 Bahu sahaja yang kena rapat, tetapi kaki tidak perlu.

Jika tidak sentuh bahu sahaja sudah dikira tiada pahala saf. Tidak perlu tunggu sampai sehasta.

 

4. Bagi jemaah perempuan sesama perempuan, adakah kedudukan imamnya sebaris dengan makmum?

Adakah kena bersentuh bahu juga sama seperti jemaah lelaki?

🔵 Ya. Sama baris dan bersentuh bahu.

 

5. Benarkah bahagian tapak kaki perempuan kena dirapatkan ketika salat? Atau boleh saja seperti lelaki?

🔵 Cara salat wanita sama sahaja seperti lelaki.

 

6. Adakah larangan lalu di hadapan orang salat itu, bagi orang yang salat berjemaah atau salat sendirian?

Bagaimana jika seorang makmum yang mempunyai hajat tetapi laluannya terhalang oleh orang yang salat sunat?

🔵 Kalau salat jemaah tiada masalah lalu di hadapan makmum lain, sebab sutrah makmum adalah sutrah imam.

Jika kes orang yang salat sendirian, maka tidak boleh lalu di hadapan dia. Kena tunggulah.

Orang yang salat itu yang masalah. Tidak tahu cari tempat sesuai untuk salat.

 

7. Benarkah kalau lalu di tempat dia sujud itu yang tidak boleh. Kalau lalu di luar tempat sujud masih boleh, walaupun tiada sutrah?

🔵 Ya.

 

8. Apakah maksud luar tempat sujud?

🔵 Agak-agak kawasan kepala dia sujud.

 

9. Adakah syarat sutrah kena tinggi dan memadaikah jika ia sehelai kertas A4?

🔵 Dalil yang ada, sutrah kena tinggi sebab dalam hadith sebut pelana unta atau kuda.

Tetapi ada juga yang kata garisan juga boleh. Cuma hadith yang sebut garis itu tidak sahih. Maka sebaiknya ambil benda yang tinggi. Contohnya seperti bag sandang tetapi kalau tidak ada, pakai jugalah pendapat garisan itu.

 

10. Jika sutrah itu sudah tinggi, adakah ia juga mesti panjang dan selebar tubuh orang yang salat itu?

🔵 Tidaklah kena ikut ukuran tepat. Asalkan orang tahu itu sutrah.

Tidak ada ukuran lebar. Biasanya Nabi pakai tongkat sahaja dengan cacak tongkat di hadapan baginda.

 

11. Bolehkah jika saya letak kunci sahaja buat tanda, jika itu saja yang ada.

🔵 Kunci terlalu kecil untuk dijadikan sutrah.

 

12. Jika anak kecil usia 2 tahun lalu di hadapan ketika sedang salat, adakah kena sekat?

🔵 Tidak perlu. Sebab dia pun tidak faham.

 

13. Kalau saya ternampak serangga atau haiwan kecil pada telekung kawan, bolehkah saya tepis serangga tersebut sedang ketika itu saya juga sedang salat?

🔵 Biarkan.

 

14. Bagaimanakah cara yang benar ketika minum air zam-zam?

i) Minum berdiri sambil mengadap kiblat.
ii) Minum duduk sambil mengadap kiblat.

🔵 Telah ada larangan Nabi tentang minum sambil berdiri. Dan dalam masa yang sama, ada juga hadis Nabi minum berdiri. Antaranya semasa minum air zam-zam.

Maka, larangan minum berdiri itu adalah makruh, bukan haram. Kerana apabila Nabi larang dan kemudian buat pula yang baginda larang, maka larangan itu dikira sebagai makruh.

Maka, minum air termasuk air zam-zam itu sebaiknya duduk. Cuma kalau perlu minum berdiri, maka boleh sahaja.

Maka adab yang lebih penting adalah membaca basmalah, mengadap kiblat, berdoa, minum sampai kenyang dan tidak bernafas dalam air.

 

15. Adakah berdoa itu untuk air zam-zam sahaja atau boleh juga air selain air zam-zam?

Adakah dibaca doa khusus atau boleh saja apa-apa doa?

🔵 Kalau pasal duduk atau berdiri itu adalah untuk semua air.

Air yang berkat ialah air zam-zam. Boleh baca doa apa-apa sahaja. Tiada doa khusus.

 

16. Untuk mengamalkan sesuatu ilmu, wajibkah kita hafal dan tahu ulama’ yang mengeluarkan fatwa dan ijtihad tersebut?

Contohnya jika hendak tinggalkan qunut subuh, wajibkah kita tahu itu pendapat siapa?

🔵 Tidak wajib tahu siapa punya pendapat. Memadai sekadar kita tahu ada pendapat sebegitu.

Langkah terbaik ialah kita tahu itu pendapat siapa, apakah dalil sandaran yang dipakai. Inilah yang terbaik.