A. Haidh

Tajuk:
🎀 Pengertian Haidh
🎀 Waktu Haidh
🎀 Warna Darah Haidh
🎀 Masa Haidh

Sekarang kita belajar satu bab yang asalnya khusus untuk wanita. Namun begitu para lelaki haruslah juga ambil tahu akan perkara ini kerana mereka yang akan ajarkan wanita di bawah jagaan mereka.


A. Haidh

1. Pengertian Haidh

Haidh dari segi bahasa bermakna mengalir. Turun sesuatu secara mengalir. Dari segi syarak, ia adalah darah yang keluar dari rahim wanita ketika seorang wanita sudah mencapai usia baligh.

Keluar darah itu menjadi hal yang rutin bagi dirinya pada waktu-waktu yang telah dimaklumi. Ia keluar secara semulajadi dan bukan kerana penyakit.


2. Waktu Haidh

Sunnah tidak menetapkan batasan umur seorang gadis mula didatangi haidh. Oleh sebab itu, kita haruslah memerhatikan dan mengenali apakah sifat darah haidh itu. Yang menetapkan had minima umur 9 tahun adalah pendapat ulama dari ijtihad mereka sahaja sedangkan tiada penetapan di dalam nas.

Tidak dapat ditetapkan had umur kerana ada yang didatangi awal dan ada yang lewat. Ada yang mengikut zaman, ada pula yang mengikut tempat tinggal, persekitaran atau cara kehidupan, tumbesaran serta faktor pemakanan.

Kalau terdapat kebiasaan umur pada sesuatu zaman, tidaklah ia tetap begitu untuk sepanjang zaman. Maka kita tidak tetapkan berapakah had umur.

Begitupun, ulama menetapkan yang kalau sudah berumur 15 tahun tetapi tidak juga didatangi haidh, maka itu sudah dikira baligh dan wajib baginya untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang mukallaf (seorang yang mempunyai tanggungjawab syariat).

Tidak mungkin dia masih ingin bersenang-lenang dan bergoyang kaki sahaja, tanpa perlu solat dan berpuasa, bukan?

Nas juga tidak menetapkan bilakah putusnya haidh seseorang wanita itu. Cuma ulama mazhab ada meletakkan had umur tertentu.

✍🏻Mazhab Syafie menetapkan had umur 62 tahun. Kalau selepas itu masih keluar darah lagi, ia tidak dikira sebagai haidh lagi tetapi darah penyakit.

✍🏻Menurut Imam Ibnu Taimiyyah, tiada had bagi umur paling rendah atau bawah dan paling lama atau paling hujung untuk kedatangan haidh.

Bagi wanita yang telah putus haidh, dia hendaklah bertindak sebagai wanita yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain.

Dalam masalah iddah pula, dia hendaklah beriddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan tempoh haidh atau bilangan tempoh suci lagi.

✍🏻Ini ditegaskan oleh Allah ‎ﷻ dalam firmanNya dalam surah al-Talaq: ayat 4 iaitu tempoh eddah dikira selama 90 hari.

📍Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan didatangi haidh?

🔹Para ulama berikhtilaf di dalam masalah ini:

▪️ Menurut jumhur ulama; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haidh. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa dia sedang mengandung, maka darah itu bukan darah haidh, tetapi adalah darah penyakit. Inilah pendapat yang kuat.

◾Namun menurut Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Al-Laits pula; ada kemungkinan perempuan mengandung didatangi haidh. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidhnya serta kelihatan seperti ciri-ciri haidh pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haidh.

📍Pendapat pertama lebih kuat kerana ikut sains biologi pun, bila sudah mengandung tiada darah haidh lagi.


3. Warna Darah Haidh

Untuk mengetahui sama ada darah yang keluar adalah haidh ataupun tidak, maka haruslah dikenali warna-warna haidh itu.

Secara umumnya terdapat empat (4) jenis warna haidh:

🔺a. Hitam

✍🏻Nabi ﷺ berkata kepada Fatimah binti Abu Hubaisy:

إِذَا كَانَ دَمُ الحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِيْ عَن الصَّلاَةِ، فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ … رواه أبو داود والنسائي وصححه ابن حبان والحاكم

“Darah haidh iaitu apabila berwarna hitam yang dapat diketahui, maka tinggalkan salat, tetapi jika selain itu cirinya maka berwudhu’lah dan lakukan salat kerana itu adalah darah penyakit.”
(Sunan Abu Dawud no. 247, Sunan Nasa’i  no. 215 dan dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim).

🔺b. Merah

Ada juga yang berwarna merah iaitu darah ini keluar ketika di dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

Maknanya, asal darah haidh itu adalah kehitaman dan setelah beberapa lama, ia berubah menjadi merah pula.

🔺c. Kuning

Ada yang berwarna kekuningan iaitu darah ini keluar ketika dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

✍🏻Diriwayatkan oleh Malik dalam Kitab Al-Muwaththa, no. 130, dari Ummu Alqomah, beliau berkata:

كَانَ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضَةِ يَسْأَلْنَهَا عَنْ الصَّلَاةِ فَتَقُولُ لَهُنَّ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ “. وصححه الألباني في ” إرواء الغليل ” برقم (198)”

“Sejumlah wanita mengirimkan kepada Aisyah Ummul Mukminin dengan membawa bejana yang berisi kapas yang ada (cairan) kekuning-kuningan dari darah haidh. Mereka bertanya tentang salat (jika keluar cairan seperti ini). Kemudian (Aisyah) berkata kepada mereka, “Jangan anda semua terburu-buru (salat) sampai anda semua melihat lendir putih. Yang beliau maksudkan hal itu suci dari haidh.”
(Disahihkan oleh Al-Albany dalam Irwaul Ghalil, no. 198)

Ini kalau ia bertepatan dengan waktu haidh. Kalau waktu lain (luar kitaran kebiasaan), ia tidak dikira haidh.

✍🏻Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنها yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haidh) sebagai sesuatu (dari darah haidh)”.
(Riwayat Imam Bukhari no. 326 dan Abu Daud no. 307)

🔺d. Coklat

Ada juga yang berwarna kecoklatan iaitu darah ini keluar ketika dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

Kalau darah warna kuning dan coklat itu datang sebelum datang haidh, maka ia juga dikira sebagai haidh. Namun, kalau ia datang sendirian, maka ia tidak dikira sebagai haidh.


4. Masa Haidh

Ulama khilaf apakah batas minima dan maksima haidh itu. Ini adalah kerana tiada penetapan yang mantuq dari Nabi Muhammad ﷺ.

✍🏻Maka batas-batas yang ada adalah menurut pendapat ulama sahaja. Pendapat yang biasa dijadikan penetapan, haidh itu dikira haidh kalau ia keluar sekurang-kurangnya: sehari semalam (24 jam).

✍🏻Kalau keluar sekejap sahaja, maka itu tidak dikira haidh lagi, tetapi darah istihadah sahaja. Ini juga pendapat Mazhab Asy-Syafi’iy.

✍🏻Bagi tentang batas maksima pula, yang selalu digunakan oleh ulama adalah 15 hari di dalam sebulan. Kalau masih juga keluar darah melebihi dari 15 hari, maka itu tidak lagi dikira sebagai haidh, tetapi sudah dikira sebagai darah penyakit istihadah. Ini juga pendapat Mazhab As-Syafi’iy.

✍🏻Menurut Imam Ibnu Taimiyyah pula, tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haidh dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haidh baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari.

 

Sekian Bab Haidh, sekarang kita bincangkan bab Nifas pula.


☘️SESI SOAL JAWAB KELAS☘️
=========================

1. Sekiranya seorang wanita haidh selama tiga hari kemudian darah haidh berhenti selama dua hari dan haidh datang semula. Adakah perlu menunaikan salat dalam tempoh dua hari yang berhenti darah haidh itu?

🔵 Apabila sudah berhenti, maka tentu anda akan sangka haidh telah habis.
Jadi dalam masa dua hari itu, anda tentu sudah mandi, salat, ataupun berpuasa.

Persoalannya yang lebih penting, adakah dua hari ‘suci’ itu dikira dalam tempoh haidh atau tidak?

Ulama khilaf tentang perkara ini:

a) Mazhab Syafi’iy dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari haidh dikira sebagai haidh. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haidh pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari adalah haid.

b) Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpandangan; hari suci antara hari-hari kebiasaan haidh adalah dikira suci. Oleh demikian, seorang wanita pada hari suci tersebut hendaklah mandi dan menunaikan salat, harus ia berpuasa, beriktikaf, membaca al-Qur’an dan tidak ditegah suaminya mensetubuhinya pada hari suci itu.

Tetapi, jika mengikut pendapat mazhab Shafi’iy pula, sekiranya berpuasa maka, puasa itu tidak sah dan tidak akan dikira.

2. Adakah ini maksudnya perlu dilihat kepada kebiasaan darah haidh keluar?

🔵 Ya, kebiasaan adalah satu indikasi yang boleh digunakan. Kalau selalu 7 hari keluar darah, tetapi kali ini 3 hari sahaja, maka ada kemungkinan belum habis haidh lagi.

3. Sekiranya setiap bulan kitaran haidh macam itu. Adakah maksudnya kita boleh memilih pandangan dari salah satu mazhab?

🔵 Ya, boleh memilih salah satu mazhab.

4. Adakah masih dikira dalam keadaan haidh jika telah suci selama 10 hari kemudian keluar lagi darah menyerupai haidh?

🔵 Bergantung kepada individu sama ada hendak menggunakan pendapat mengikut imam Syafi’iy atau imam Malik?

Jika mengikut Mazhab Syafi’iy maka 10 hari itu adalah masih dalam haidh. Implikasinya adalah kalau puasa dalam 10 hari itu, ia tidak dikira.

5. Selepas nifas, para ibu akan lambat datang haidh. Adakah boleh beranggapan bahawa mereka terus suci sehinggalah datang haidh?

🔵 Ya