Cara menghilangkan najis

Menghilangkan Najis

Habis bab perkara-perkara yang selalu dianggap najis tetapi sebenarnya bukan najis. Sekarang kita akan masuk ke bahagian baru tentang MENGHILANGKAN NAJIS. Sudah tahu mana najis, maka sekarang kita belajar macam mana nak basuh pula.

Pertama, kita hendak belajar apakah hukum menghilangkan najis. Hukumnya adalah WAJIB. Terutama kalau hendak melakukan ibadah solat. Sebelum solat kena pastikan yang najis itu telah dibersihkan. Kalau hendak tangguh juga, setakat hendak solat sahaja.

Keduanya, najis-najis itu ada cara untuk membersihkannya. Maka bukanlah satu cara untuk semua perkara. Kita akan ajar satu persatu. Selalunya dengan membasuh guna air lah, tapi ada cara yang boleh renjis dengan air sahaja.

Kaedah untuk membersihkan najis

1. Tahi

Tahi dapat dihilangkan dengan istinjak iaitu dengan menggunakan air, atau batu atau yang sejenisnya (guna tisu atau kertas, contohnya).

Apa pula istinjak ini? Istinjak adalah perbuatan menghilangkan najis dari qubul dan dubur. Qubul dan dubur? Senang kata,bahagian ‘depan’ dan ‘belakang’. Yang terbaik adalah istinjak dengan menggunakan air.

✍🏻Dalilnya dalam Tawbah:108. Potongan ayatnya:

فيهِ رِجالٌ يُحِبّونَ أَن يَتَطَهَّروا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُطَّهِّرينَ

Di dalamnya mesjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

Walaupun tidak disebut dalam ayat ini, tetapi tafsir ayat ini memberitahu kita yang mereka yang dipuji dalam ayat ini adalah penduduk Quba’ (kalau pergi Madinah ada Masjid Quba’). Mereka itu sudah biasa istinjak dengan air, maka Allah SWT memuji mereka kerana menggunakan air untuk istinjak.

✍🏻Nabi Muhammad SAW juga istinjak dengan air.
Dalilnya Anas r.a. menceritakan; “Adalah Nabi SAW pabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk beliau beristinjak”.

Rasanya kebiasaan orang kita memang dari kecil lagi sudah pakai air untuk istinjak. Jadi tidak perlu hendak promote lagi. Namun dalam masa yang sama, boleh juga hendak istinjak dengan menggunakan bahan kesat seperti batu, kertas atau kayu. Ini juga penting juga untuk dipelajari ada masa air tidak ada.

Jika pergi ke negara asing, tengok-tengok tidak ada air pula diberikan kerana negara lain ada yang tidak biasa pakai air untuk basuh ‘depan’ dan ‘belakang’ mereka. Salah satu alat yang digunakan untuk istinjak adalah dengan batu.

✍🏻Dalilnya : Dari Aisyah, bahawa Nabi SAW. Bersabda :
“Apabila salah seorang di antara kamu pergi buang air besar, maka bersucilah dengan tiga buah batu, kerana sesungguhnya ia itu telah mencukupinya“.
(HR Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, dan Dara Quthni, dan Dara Quthni berkata: Sanad hadis ini Shahih-Hasan)

Alat yang biasa dipakai adalah batu dan kerana itu selalu disebut batu tetapi kalau ada bahan kesat lain juga boleh digunakan juga. Jangan kita sangka kena batu sahaja. Mana hendak cari batu dalam toilet zaman sekarang, kan?

Cara yang Nabi SAW larang adalah pakai tahi kering dan tulang sahaja.

✍🏻Sabda Nabi : Kata Nabi SAW.;
“Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”.
Riwayat Imam at-Tirmizi.

Syarah:
Nabi SAW hanya melarang dua bahan ini sahaja. Maka bahan-bahan lain boleh digunakan. Senang sebut yang dilarang sahaja kerana yang tidak boleh pakai yang sikit. Kalau hendak sebut semua yang boleh dipakai, banyak sangat. Maka Nabi SAW sebut bahan yang dilarang sahaja.

2. Darah Haidh

Darah haidh itu boleh dibersihkan dari pakaian dengan cara mengerik (mengikisnya) dengan batang kayu serta mencucinya dengan air dengan campuran sabun.

Zaman sekarang kita pakai sabun dan letak dalam mesin basuh lebih mudah. Jika tidak ada air yang banyak, maka boleh kerik dan gosok dengan air sahaja. Itu sudah cukup untuk membolehkan pakaian itu digunakan untuk solat. Maknanya, kalau ada kesan-kesan darah lagi, itu pun tidak mengapa.

3 . Bekas yang dijilat oleh anjing

Kalau hendak pakai lagi bekas itu, maka kena sertu bekas itu. Cara sertu adalah:

1. Basuhan pertama air yang bercampur tanah.
2. 6 kali bilas dengan air biasa.

4. Air kencing

Air kencing dibasuh dengan air atau dengan benda kesat kecuali kalau air kencing anak lelaki yang berumur kurang dari dua tahun dan hanya minum susu ibunya. Air kecing budak itu boleh dipercik dengan air sahaja.

5. Kotoran pada ‘ekor kain’.

Ini kepada wanita yang kainnya panjang. Bila berjalan di tanah, entah ada najis yang terkena pada hujung kainnya, bukan? Maka tidak perlu risau kerana bila dia jalan lagi, maka tanah yang dihadapan akan membersihkan kalau ada najis-najis yang terkena di belakang tadi.

6. Wadi

Disucikan dengan air.

7. Madzi

Bahagian kemaluan yang terkena madzi itu hendaklah dibersihkan dengan air.

8. Kulit bangkai

Cara untuk mencucinya adalah dengan samak (sila rujuk beza samak dan sertu dulu). Selepas disamak, kulit itu boleh dipakai.

9. Jika tikus jatuh ke dalam minya sapi dan yang sejenisnya.

Buang tikus dari minyak itu dan sekitarnya. Ini jikalau tidak ada beza pada warna, bau dan rasa. Kalau ada, jangan pakai pula.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ فَأْرَةٍ سَقَعطَتْ فِي سَمْنٍ، فقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :أَلْقُوْهَا وَمَا حَوْلَهَا فَاطْرَحُوهُ وَكُلُوا سَمْنَكُمْ
( رواه البخاري)

✍🏻“Sungguh Rasulullah SAW ditanya mengenai bangkai tikus yang jatuh ke dalam minyak goreng (minyak goreng yang beku), maka bersabda Rasulullah SAW: buang bangkai itu dan buang minyak yang disekitarnya, maka minyak itu boleh kalian makan (karena bangkai dan minyak yang disekitarnya sudah dibuang, maka sisa minyak tetap suci berbeda dengan air atau minyak yang cair) ( Shahih Bukhari)

Ini kalau hendak pakai lagi minyak itu. Kalau tidak berani, elok dibuang sahaja. Kita hendak menceritakan hukum, bukan kita anjurkan pakai lagi minyak itu.

10. Jika air banyak dan najis jatuh ke dalamnya.

Kalau sifat air itu tidak berubah dari segi warna, bau dan rasa, maka buang najis itu dan air itu boleh dipakai.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُطْرَحُ فِيهَا الْحِيَضُ وَلَحْمُ الْكِلَابِ وَالنَّتْنُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

✍🏻Dari Abu Said Al Khudri RA, bahwa Rasulullah pernah ditanyakan, “Apakah kita akan berwudhu dengan memakai air sumur Budho’ah? Sedangkan sumur tersebut biasa di airi air hujan, yang membawa kain bekas darah haid, daging-daging anjing, dan kotoran manusia? “Maka Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya air itu suci dan mensucikan, tidak dinajiskan oleh sesuatu apapun. ” {Shahih} Sunan Abi Dawud.

11. Air yang sedikit dan terkena najis

Air jenis ini disucikan dengan menjadikan air itu banyak. Tambah lagi air sampai hilang warna, baru dan rasa air dari najis.

12. Tali ampaian

Tali jemuran dapat disucikan dengan sinar matahari dan angin. Kalau boleh basuh, basuhlah tetapi kalau tidak nampak najis, maka terimalah ia sebagai suci. Jangan ada was-was pada benda yang kita tidak nampak.

13. Najis yang larut dalam air yang banyak.

Jika najis telah larut dalam air sampai tiada kesan warna, bau dan rasa, maka air itu dikira sebagai suci.

Ringkasan:

Apakah kaifiyat bersuci dari najis yang ditetapkan oleh Syarak?

1. Bersuci dengan menggunakan air
2. Bersuci dengan air bercampur tanah
3. Bersuci dengan benda-benda kesat
4. Bersuci dengan menggosok ke tanah


Bagaimana caranya bersuci dengan air?

Menggunakan air adalah cara asal dalam bersuci. Tidak harus berpaling dari menggunakan air dalam bersuci kecuali dengan keizinan dari Syarak. Maknanya, kalau ada air, maka pakailah air.

Cara bersuci dengan air ialah:

▪️Pertama : Buang najis terlebih dahulu,

▪️Kedua : Basuh tempat yang terkena najis itu dengan air hingga hilang sifat-sifatnya iaitu warnanya, baunya dan rasanya.

Jika sekali basuhan telah dapat menghilangkannya, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Jika tidak, wajib diulangi lagi basuhan termasuk dengan menggosok-gosoknya atau melakukan seumpamanya.

Setelah dibasuh berulang kali, namun warna najis masih tidak tanggal atau baunya masih tidak hilang, ketika itu dimaafkan, yakni basuhan dianggap sempurna dan tidak perlu diulangi lagi.

Ini macam makan kari power mamak, selepas makan memang basuh macam mana cara sekalipun, memang tidak hilang. Maka dimaafkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan benda-benda kesat? Bilakah harus bersuci dengannya?

Benda-benda kesat adalah seperti batu, kertas atau tisu yang kesat, kayu dan sebagainya. Benda-benda kesat ini harus digunakan untuk beristinjak iaitu membersihkan najis di kemaluan setelah kencing atau berak.

Telah sabit di dalam hadis bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam- menggunakan batu untuk beristinjak. Maka dikiaskan kepadanya segala benda yang kesat yang dapat menanggalkan najis dari dua saluran tersebut.

Apa syarat beristinjak dengan benda kesat?

Paling baik ialah berinstinjak dengan air kerana ia lebih menyucikan. Diharuskan beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja sekalipun terdapat air. Maknanya, kalau ada air, tetapi hendak pakai benda kesat juga, ini dibolehkan. Macam di negara asing, air bukan tidak ada, tetapi mereka sudah biasa pakai kertas toilet, maka itu tidak salah.

Namun hendaklah dengan memenuhi syarat-syarat di bawah;

1️⃣ Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan.

Tidak harus kurang dari tiga kali sapuan sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.

✍🏻Salman –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Nabi menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)”
(Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai).

Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).

2️⃣ Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.

3️⃣ Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.

4️⃣ Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh menanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut. Itu sebab kita katakan kena bahan yang kesat.

5️⃣ Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang.

✍🏻Sabda Nabi; “Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-9☘️
==============================

1. Adakah kesemua bangkai serangga itu tidak najis?

🔵 Ya, kesemua bangkai serangga tidak najis.

2. Adakah hukum muntah itu tidak najis tertakluk pada semua jenis muntah atau hanya muntah bayi yang menyusu ibunya?

🔵Hukum muntah adalah tidak najis. Ini tertakluk pada semua jenis muntah.

3. Adakah di dalam mazhab Asy-Syafi’iy menghukumkan muntah itu najis?

🔵 Ya, tetapi mengikut fiqh sunnah, muntah dihukumkan tidak najis.

4. Adakah beristinjak menggunakan benda kesat ini akan menghilangkan sifat-sifat najis, contohnya rasa, warna dan bau?

🔵Menggunakan benda kesat untuk beristinjak pasti masih meninggalkan sedikit bau dan rasa najis.

Perlu kita fahami bahawa apa yang memadai untuk Nabi Muhammad ‎ﷺ, pasti juga akan memadai untuk kita semua sebagai ummatnya.

5. Adakah bilasan enam kali menggunakan air mutlak untuk membasuh jilatan anjing pada bekas makanan/minuman perlu dipastikan ianya mencukupi enam kali bilangannya?

🔵Tidak semestinya mencukupi enam kali bilasan. Ada juga pendapat yang boleh menggunakan tiga kali bilasan sahaja.

6. Berkenaan sertu. Apakah kadar sukatan yang diperlukan untuk menentukan bahawa bilasan pertama itu adalah cukup dianggap sebagai air tanah?

🔵Tiada ketetapan untuk menentukan kadar sukatan air tanah. Memadai untuk memekatkan campuran air dan tanah itu supaya dipanggil air tanah.

7. Bagaimanakah hendak menghitung enam kali air bersih jika menggunaan paip? Adakah dibolehkan dengan cara sekali buka air paip tetapi membasuh dengan lama sedikit?

🔵Sebagaimana mengambil wuduk menggunakan air paip. Kita mengenakan pada air, kemudian elak dan mengenakan air kembali.

8. Situasi di tempat kerja, kadang kala ketika kencing, air kencing terkena pada pakaian seperti seluar dalam. Adakah memadai dengan mencuci sedikit tempat yang terkena air kencing?

🔵Ya, jika pasti ada bahagian yang terkena air kencing, hanya basahkan tempat tersebut. Ini sama juga caranya dengan membersihkan madzi.

Masalah dengan orang kita ini, perasan seluar dalam terkena air kencing walhal tidak. Itulah was-was namanya.

Rasullullah ‎ﷺ telah mengajarkan kita untuk menghilangkan was-was dengan cara:
Kita merenjiskan air pada bahagian seluar sehingga nampak tompokan air supaya kita hilang kepastian adakah itu air kencing atau tidak? ini adalah cara untuk menghilangkan was-was.

Imam Ahmad رحمه الله telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad رحمه الله: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94)

Cadangan al-Imam Ahmad رحمه الله ini berteraskan hadith: “Bahawa Rasullullah ‎ﷺ kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh Al-Albani).

Rasullullah ‎ﷺ melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

9. Kebiasaan mencuci pakaian putih kita boleh gunakan peluntur untuk menghilangkan kesan darah haidh. Jika pakaian berwarna yang terkena haidh, kita akan membasuhnya dengan sabun sahaja dan masih ada kesan darah cumanya warnanya sedikit pudar. Adakah boleh dipakai untuk solat?

🔵Pakaian tersebut boleh dibawa untuk solat. Pada zaman dahulu peluntur dan sabun pun masih belum ada.

10. Bagi mereka yang mengalami penyakit dedas (kencing tidak lawas), adakah masih sah solat mereka? Kebiasaannya orang yang lebih berumur akan mengalaminya. Ketika solat, air kencing akan keluar sedikit demi sedikit.

🔵Jika dia memang mempunyai penyakit tersebut, maka dimaafkan. Jika dia khuatir juga, maka bawalah kain yang bersih untuk dibawa solat kerana yang pentingnya adalah solat. Tidak perlu lagi untuk belek-belek kainnya setelah ambil wuduk.

11. Adakah air kencing bayi perempuan di bawah dua tahun yang menyusu ibunya sahaja hanya perlu bersihkan dengan cara memercikkan air pada tempat terkena air kencing tersebut?

🔵Bayi perempuan perlu dibasuh air kencingnya.

12. Jika tangan tersentuh najis dan kemudian najis itu kering dengan sendirinya, apabila tangan tersebut menyentuh pakaian. Adakah pakaian itu dikira bernajis dan tidak boleh digunakan untuk solat ?

🔵Tangan yang terkena najis perlu dibersihkan secepat mungkin. Tidak perlu dilengahkan sehingga najis itu mengering sendiri.

Walaupun begitu, najis yang telah kering dikira sebagai najis hukmiah. Kesan najis tidak ada lagi tetapi kita mengetahui bahawa ada najis di situ. Najis tersebut tidak berpindah ke tempat lain dan jika tersentuh pada baju, baju itu boleh digunakan untuk solat.

13. Apakah hukum kencing di urinal (tempat kencing untuk lelaki).
Adakah dikira sebagai kencing di tempat terbuka?

🔵
i. Berkenaan kencing berdiri, ringkasnya dibolehkan. Di dalam mazhab Asy-Syafi’iy, ada pendapat yang menyatakan hukumnya makruh tetapi mazhab yang lain membenarkan kencing berdiri kerana Rasullullah sendiri pernah kencing berdiri.

ii. Berkenaan kencing di tempat awam, kita perlulah menjaga aurat kita. Jika ada kemungkinan orang boleh nampak aurat kita, maka sebaiknya kita perlulah elakkannya. Penggunaan urinal tidak terhindar daripada kemungkinan orang boleh ternampak aurat kita.

iii. Selain itu, penggunaan urinal juga tidak terselamat daripada percikan air kencing. Jika percikan air kencing terkena pada pakaian, maka pakaian itu sudah tidak boleh dibawa dalam solat. Jika air kencing tidak dibasuh dengan baik, maka menjadi sebab untuk diazab di dalam kubur.

Kesimpulan: Boleh kencing berdiri, tetapi seperti yang Imam Ahmad رحمه الله katakan, ianya mempunyai dua syarat iaitu:
i. Jangan ada percikan
ii. Tidak menunjukkan aurat.

Penggunaan urinal tidak terselamat dari dua perkara ini.

14. Sebahagian wanita apabila batuk mereka akan terkencing sedikit. Jika ketika solat perkara ini berlaku, dia akan berhenti solat, bersihkan diri, memperbaharui wuduk dan mulai solat semula. Adakah dibolehkan dia meneruskan sahaja solat jika perkara ini kerap berlaku? Apakah boleh juga dilakukan apabila tidak kerap berlaku?

🔵Jika selalu terjadi maka dimaafkan. Maka teruskan sahaja solat. Pastikan dia bersih semasa hendak mulakan solat. Apabila terjadi ketika dalam solat, maka dimaafkan.

Berkenaan pakaian pula, ada khilaf di antara ulama. Ada ulamak menegaskan; “harus dia menunaikan solat dengan pakaian itu kerana dimaafkan baginya dengan sebab keuzuran yang dialaminya yang sudah tentu menyukarkannya jika perlu ditukar atau dibasuh sentiasa”. Pandangan inilah yang dikemukakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh at-Toharahnya

Pandangan mazhab Malik dan Abu Hanifah; dimaafkan jika najis yang terkena pakaian adalah sedikit iaitu kurang dari kadar keluasan satu dirham (bersamaan duit 10 sen). Jika melebihi satu dirham tidak haruslah dipakai kecuali setelah membasuhnya terlebih dahulu.

Tidaklah perlu membasuh menggunakan mesin basuh. Hanya cukup sekadar basahkan dan gonyoh tempat yang terkena kencing.

15. Adakah beristinjak menggunakan batu dan benda kesat ini adalah suatu alternatif jika ketiadaan air sahaja atau boleh digunakan juga walaupun ketika ada air?

🔵Beristinjak menggunakan batu dan kayu adalah dibolehkan walaupun ketika ada air.

Berbeza dengan wuduk. Tayamum hanya boleh dilakukan jika ketiadaan air.

16. Selain batu dan kayu, adakah boleh menggunakan daun kering untuk beristinjak jika di dalam hutan?

🔵Apa-apa yang bersifat kesat adalah dibolehkan.

📝Soalan luar topik kelas

1. Sebilangan daripada orang kita mengatakan bahawa orang bukan Islam itu pengotor kerana beristinjak menggunakan tisu, adakah ini benar?

🔵Itu adalah pandangan yang tidak benar, Nabi Muhammad ‎ﷺ ada juga beristinjak menggunakan batu.

2. Adakah boleh menggunakan hukum bersandarkan pada hadith yang lemah?

Sebagai contoh, dalil yang menyatakan bahawa muntah dan darah manusia itu najis.

Diriwayatkan oleh Ammar bin Yasir RA yang berbunyi

يا عمار إنما يغسل الثوب من خمس : من الغائط , والبول , والقيء , والدم , والمني

“Wahai Ammar, pakaian harus dicuci jika terkena 5 hal: kotoran manusia, air kencing, muntah, darah, dan mani.”
al-Bayhaqi dan Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menilainya dhaif (lemah).

🔵Begitulah di dalam fiqh ini. Kita diberikan pilihan , terpulanglah untuk gunakan yang mana satu.

Jika beramal dengan hadith dhaif ini adalah untuk kegunaan diri sendiri sahaja. Tidak boleh memaksa orang lain supaya orang lain juga mengikutinya

3. Semasa beristinjak mengggunakan batu atau bahan-bahan lain yang selayaknya, adakah konsep menghilangkan warna, bau dan rasa tetap digunapakai?

🔵Setakat yang mampu sahaja dibersihkan menggunakan bahan kesat tersebut. Najis tersebut tidak akan hilang kesemuanya. Kerana itulah beristinjak menggunakan air adalah terbaik.

☘️SESI SOAL JAWAB KELAS KE-10☘️
=======================

1) Adakah pakaian yang terkena darah dari badan sendiri sah dibawa solat?

🔵 Sah.

2) Adakah air sirap yang melebihi kadar dua qullah boleh digunakan untuk mencuci najis?

🔵 Itu bukan ‘air’, tetapi ‘air sirap’ maka ia bukan “suci dan menyucikan”.

Boleh dirujuk pada nota kelas terawal: “Jenis-jenis air”.

Ada juga disentuh tentang dua qullah.

3) Bolehkah diulaskan dengan lebih lanjut berkenaan mensucikan sesuatu dengan terik matahari dan angin, serta keadaan sejuk beku?

🔵 Ia dicucikan oleh alam.

4) Adakah masih perlu mengambil kira mesti dihilangkan pada bau, rasa dan warnanya?

🔵 Tidak.

5) Hadith berkenaan hukum menggunakan minyak yang telah terjatuh tikus ke dalamnya, adakan juga terpakai pada cicak jika terjatuh ke dalam minyak?

🔵 Ya. Sama sahaja.

6) Adakah memadai jika sesuatu itu di bersihkan dengan bahan kimia?

🔵 Ada perbincangan ulama’ tentang perkara ini. Saya memilih pendapat yang berpendapat tetap kena menggunakan air juga. kerana dalil yang sampai kepada kita adalah “menggunakan air”.

7) Adakah maksud dicuci oleh alam itu hanya untuk semua najis atau terhad kepada najis yang ringan sahaja?

🔵 Untuk ampaian dan perkara yang terdedah di luar rumah. kalau tidak nampak najisnya, maka janganlah was-was. Terima sahaja ia sebagai suci kerana telah dibersihkan oleh alam, hujan, angin dan matahari.

8) Adakah begini maksudnya dicuci oleh alam?

Kes 1: Tayar kereta yang terlanggar najis kucing atau anjing. Kita hanya perlu membiarkan sahaja selagi ia tidak meninggalkan kesan kotoran di rumah kita. Lama kelamaan, najis itu hilang dengan sendirinya dan kita menganggap tayar kereta kita sudah tiada najis lagi.

Kes 2: Kucing membuang air di tepi rumah kita. Lama kelamaan najis itu hilang. Jadi tanah di tempat najis kucing itu dianggap sudah bersih.

🔵 Ya, analogi yang bagus.

Islam tidak memberatkan ummatnya.

9) Adakah maksud dicuci oleh alam itu juga sama seperti kes kucing yang kencing pada perdu pokok serai. Lalu hujan turun membersihkannya dan kita boleh menggunakan serai itu untuk masakan. Benarkah analogi ini?

🔵 Benar. Analogi yang bagus.

10) Bolehkah beristinjak menggunakan daun?

🔵 Mesti menggunakan daun yang kesat. Jika daun seperti daun sireh, ia tidak kesat maka ia tidak memberi kesan kepada najis.

11) Adakah beristinjak dengan air sirap yang lebih dari dua qullah menyucikan?

🔵 Ia (air sirap) adalah suci tetapi tidak menyucikan. Najis belum suci lagi jika dicuci dengan air sirap. Sila rujuk semula bab jenis-jenis air.

Dua qullah itu bukanlah sesuatu yang memberi kesan “ajaib” yang bermaksud ia boleh bertukar status menjadi air mutlak pula. Ia tidak begitu.

Air sirap sama ada 2 qullah atau 4 qullah, tetap juga namanya air sirap. Suci tetapi tidak menyucikan.

12) Apakah hukumnya bersuci dengan menggunakan tisu basah? Ianya sedikit kesat tetapi basah dengan air campuran bahan kimia.

🔵 Bagus. Ia berkesan dan basah.

13) Saya mempunyai kawan yang ada penyakit kencing tidak lawas. Apakah hukumnya jika membiarkan kencing tanpa terus beristinjak. Kemudian apabila masuk waktu solat, baharulah dicuci?

🔵 Kencing tetap mesti dibasuh.

Hukumnya memang wajib bersuci semasa hendak solat.

Tetapi maqasid agama Islam adalah kebersihan. Kalau kencing tidak terus dibasuh, nanti akan dibawa merata najis itu.

14) Jika memakan petai, jering atau makanan seumpamanya yang menyebabkan kencing berbau, perlukah dihilangkan baunya ketika bersuci?

🔵 Tidak perlu dihilangkan langsung. Kita tidak diberati dengan perkara ini.

15) Jika selama ini, saya memahami hanya di dalam berwudhu’ dan mandi wajib sahaja perlu kepada air mutlak. Manakala di dalam hal beristinjak, kita tidak perlu menggunakan air yang suci lagi menyucikan. Salahkah kefahaman saya itu?

🔵Ya, tidak benar fahaman begitu.

16) Adakah wadi ini, kita dituntut untuk benar-benar teliti kerana ianya agak sukar untuk diketahui di mana kuantitinya juga amat sedikit. Adakah keluarnya wadi itu, membatalkan wudhu’?

🔵 Apabila ia sedikit dan tidak dapat dikesan, maka tidaklah perlu kita bersusah hati. Tidak perlu untuk dibelek sama ada wujud atau tidak. Kalau ia keluar, dan dapat dipastikan kewujudannya, maka baharulah dibasuh dan diambil wudhu’ kembali.

keluar wadi membatalkan wudhu’ tetapi tidak perlu mandi janabah.

17) Adakah wadi itu adalah air yang keluar selepas berhubungan intim?

🔵 Bukan, itu adalah mani.

18) Situasi ketika air mani yang meleleh melalui laluan yang sama setelah keluar mazi. Adakah mani tersebut telah dikira bercampur najis atau di dalam situasi itu tidak perlu difikirkan tentang bercampurnya kedua air tersebut, maka lelehan itu kekal tidak najis walaupun terkena pada pakaian kita, alas tidur dan lain-lain?

🔵 Kita tidak perlu hendak mengkaji sampai begitu. Tidak perlu hendak diperiksa sama ada air mazi atau tidak. Tidak semestinya setiap air mani terdapat mazi.

Zaman sekarang kita tidak memakai pakaian yang ada mani lagi. Kita berada di zaman yang banyak pakaian. Maka tidak perlulah dirisau.

Kita juga tidak memakai cadar untuk solat.

Kalau pun jika hanya ada satu helai pakaian sahaja, senang sahaja hendak dicuci jika terkena mazi.

Dari Sahl bin Hunaif, beliau berkata,

كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الاِغْتِسَالَ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ « إِنَّمَا يُجْزِيكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ». قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَكَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِى مِنْهُ قَالَ « يَكْفِيكَ بِأَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهَا مِنْ ثَوْبِكَ حَيْثُ تُرَى أَنَّهُ أَصَابَهُ ».

“Dulu aku sering terkena mazi sehingga aku sering mandi. Lalu aku menyoal hal ini kepada Rasulullah ‎ﷺ mengenai kejadian yang menimpaku ini. Nabi ‎ﷺ lantas bersabda, ‘Cukup bagimu berwudhu’ ketika berkeadaan seperti ini.’ Aku lantas berkata lagi, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana jika ada sebahagian mazi yang mengenai pakaianku?’. Baginda ‎ﷺ menjawab, ‘Cukup bagimu mengambil air seukuran telapak tangan, lalu engkau renjisi pada pakaianmu ketika engkau terkena mazi’.”

HR. Abu Daud no. 210, Tirmidzi no. 115, dan Ibnu Majah no. 506. Shaikh Al-Albani dalam Sahih wa Dho’if Sunan Abi Daud mengatakan bahawa hadis ini hasan.

19) Adakah keputihan itu adalah wadi?

Ini kerana keputihan selalunya keluar apabila seseorang itu berada di dalam kepenatan, tekanan atau selepas kering haidh.

Hanya sahaja sifat keputihan itu agak melekit jika disentuh.

🔵 Keputihan bukanlah wadi. Memang terdapat ulama’ yang mengaitkan wadi dengan keputihan dan kerana itu mereka mengatakan ianya najis. Tetapi saya berpegang bahawa ia tidak sama.

Ringkasnya:

1. Keputihan diqiyaskan dengan Wadi. Maka ia najis dan mesti dicuci setiap kali.

2. Ia bukan najis.

Adapun wadi itu kadang-kadang keluarnya semasa meneran atau apabila membuang air besar. Ia tidak sama dengan keputihan.

20) Seorang jema’ah solat dibelakang sutrah. Sedang dia di dalam keadaan duduk antara dua sujud, seorang kanak-kanak tiba-tiba melintasinya dan dia bertindak memukul kaki kanak-kanak tersebut. Bolehkah tindakannya itu?

🔵 Ulama’ khilaf dalam berhukum terhadap anak kecil yang melintas jika mereka (iaitu anak kecil itu) belum mukallaf lagi.

Yang sebaiknya adalah cuba menghalang mereka semampu kita. Ini melihat kepada hadith Nabi yang menghalangi anak kambing yang mahu lalu di hadapan baginda. Jika anak kambing yang tiada akal pun baginda cuba menghalangnya apatah lagi kalau seorang kanak-kanak?

Kalau mereka melintas di hadapan juga, maka biarkanlah.

21) Bagaimanakah hendak dihubungkan dengan hadith berkaitan dengan cucu Nabi yang bermain-main ketika Nabi mengimamkan solat sehingga cucu baginda naik di atas belakang Nabi ketika baginda sedang sujud?

🔵 Itu naik dibelakang baginda. Bukan lalu di hadapan sutrah.

22) Adakah keputihan membatalkan wudhu’?

🔵 Tidak batal.

23) Bagaimankah hukumnya dengan masalah wanita yang sudah berumur dan mengalami masalah angin keluar dari vagina. Adakah ia membatalkan wudhu’?

🔵 Itu bukan kentut.
Orang kita memanggilnya “kentut vagina” atau ” kentut depan” tetapi ia sebenarnya bukanlah kentut.

Di dalam istilah perubatan, ia dinamakan “flatus vaginalis”.

24) Saya pernah berhadapan dengan wanita berumur dan selalu berulang-ulang mengambil wudhu’ disebabkan mereka mempunyai masalah seperti itu.

🔵 Nanti akan dibincangkan di dalam bab perkara yang membatalkan wudhu’.

25) Adakah makruh menahan kentut sebelum solat atau ketika sedang solat?

🔵 Makruh menahan kentut semasa sedang solat. Sama juga dengan menahan berak dan kencing. Kerana ia akan mengganggu solat.

Jika sedang solat, ia bergantung kepada keadaan juga. Sekiranya desakan untuk angin keluar itu sangat kuat sehingga menggangu solat, maka hukum menahannya adalah makruh.

Jika desakan itu hanya datang sekejap, kemudian hilang maka itu tidak mengapa.

26) Tidur yang bagaimanakah di katakan membatalkan wudhu’ seseorang?

🔵 Akan dibincangkan nanti dengan panjang lebar. Secara ringkasnya adalah tidur yang nyenyak. Maksudnya, kalau dia terkentut, dia sendiri tidak sedar bahawa dia telah terkentut.

27) Apakah yang perlu dibuat jika saya terpaksa berulang-ulang mengambil wudhu’ kerana terkentut?

🔵 Hal ini terjadi kerana anda mempunyai penyakit was-was. Inilah yang saya fahami dari bentuk soalan anda.

Untuk kes seperti ini, jangan berhenti solat kecuali jika ada bau atau bunyi.

28) Bagaimana jika jelas kedengaran bunyinya, kerana saya jarang membuang air besar?

🔵 Anda harus mencari jalan untuk mengubatinya. Itu sudah penyakit. Ia bukan lagi perasaan was-was.

29) Adakah kita boleh melintasi dihadapan orang yang solat dalam anggaran melebihi tempat sujudnya jika mereka solat tanpa sutrah dan secara berselerak seperti yang biasa terjadi di surau-surau pusat membeli belah atau di hentian rehat lebuh raya.

🔵 Banyak pendapat tentang jarak itu. Syaikh Utsaimin رحمه الله berpendapat asalkan lepas anggaran jarak sujud.

30) Adakah membatalkan solat jika seorang wanita melintas di hadapan seseorang yang solat tanpa sutrah sejarak 25 meter di dalam masjid?

🔵 Itu sudah sangat jauh.

31) Bagaimana pula jika jarak lintasannya 3 hasta daripada orang yang bersolat?

🔵 Ia mengikut kadar ukuran ketinggian orang yang bersolat tersebut.

32) Adakah hadith yang menyebut ” anjing hitam, himar dan wanita yang melintas di hadapan orang bersolat tanpa sutrah, membatalkan solat” itu bermaksud mereka melintas di dalam kawasan sujud pesolat? Sekiranya di luar dari lingkungan itu, maka tidak mengapa?

🔵 Ia tidaklah sampai membatalkan solat. Hanya berkurang pahala sahaja.

Dan yang menjadi masalah adalah, jika mereka lalu dihadapan orang solat, solat menjadi terganggu dan hilang khusyuk. Jika jarak lintasan sudah sangat jauh, mungkin tidak menggangu lagi.

33) Adakah terdapat dalil supaya menutup kepala sewaktu masuk ke tandas?

🔵 Tiada dalil sahih supaya menutup kepala. Yang sahihnya adalah membaca doa.

34) Adakah tisu basah boleh digunakan untuk berintinjak selepas membuang air kecil bagi mengantikan air ?

🔵 Boleh.