Disangka najis, tapi tidak sebenarnya

Benda-benda yang dikira Najis, tetapi tidak sebenarnya:

1. Mani

Dalil air mani bukanlah najis adalah hadis ini:

✍🏻Diriwayatkan daripada Alqamah
رضي الله عنه Katanya: Bahawa suatu pagi seorang sahabat mencuci pakaiannya. Lalu Saidatina Aisyah رضي الله عنها berkata: Sepatutnya kamu membasuh sebahagiannya sahaja. Sekiranya kamu melihat kekotorannya, basuhlah tempat kotor tersebut. Sebaliknya jika tidak kelihatan, memadailah dengan kamu memercikkan air disekitarnya sahaja. Sesungguhnya aku pernah mengikis air mani yang terdapat pada pakaian Rasulullah ﷺ seterusnya baginda menggunakan pakaian tersebut untuk mendirikan sembahyang.
Sahih Muslim.

✍🏻Dalam riwayat lain, Aisyah رضي الله عنها berkata:

Aku mengikis kesan air mani pada pakaian Nabi ﷺ yang telah kering. Kemudian, baginda memakainya untuk solat.”
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaai dan Ibn Majah)

Syarah: Air mani itu sudah kering dan Aisyah menggerik/mengikis/scratch sahaja. Maksudnya masih ada lagilah kesan-kesan mani itu pada kain baginda. Namun kerana ia tidak najis, maka tidak menjadi masalah.

✍🏻Dalam riwayat lain:

Aku membasuh kesan air mani pada pakaian Nabi ﷺ .Kemudian, baginda memakainya untuk solat. Sedangkan, masih basah kesan tompokan air basuhan itu pada bajunya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syarah: Kalaulah air mani itu najis, tentulah Nabi Muhammad ﷺ tidak mengenakannya untuk bersolat.

Ulama berbeza pendapat sama ada air mani perlu dibasuh atau sekadar mengikisnya. Tindakan yang terbaik, perlu dibasuh jika ia masih basah.

Jika sudah kering, cukuplah dengan hanya mengikisnya kerana tsabit perbuatan Aisyah رضي الله عنها (isteri Nabi ﷺ ).

Jika seseorang terlupa membasuhnya ketika masih basah, solatnya tetap sah. Seeloknya basuh dengan segera. Yer la, takkan hendak jalan-jalan pergi 7-11 dengan baju yang ada bekas air mani pula, kan? Orang kata apalah pula….

2. Khamr (arak)

Ada yang menyangka arak adalah najis berlandaskan ayat Maidah:90

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلامُ رِجسٌ مِن عَمَلِ الشَّيطانِ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan.

Kalimah رِجسٌ dalam ayat ini menyebabkan ramai yang menyangka arak itu najis. Ini tidak benar. Ia bukanlah najis dalam bentuk fizikal (najis ‘aini) tetapi najis dari segi hukum sahaja (najis hukmi).

Benda yang haram tidak semestinya najis. Kalaulah yang haram itu terus menjadi najis, maka emak, anak perempuan dan wanita lain turut menjadi ‘najis’ lah juga seperti yang disebut dalam Nisa:23

حُرِّمَت عَلَيكُم أُمَّهاتُكُم وَبَناتُكُم وَأَخَواتُكُم وَعَمّاتُكُم…

Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan;

Jadi sekiranya arak terkena pada baju, tidaklah haram dibawa ke dalam solat. Walaupun begitu tidaklah pula kita berkata boleh diminum arak itu. Sama juga dengan air mani sebelum ini: bukanlah bila kita berkata ia tidak najis, bererti boleh diminum pula.

📍Satu konsep yang perlu kita fahami: Hukum asal semua benda adalah suci, dan pengharamannya tidaklah terus menjadikan ia najis.

3. Kotoran dan air kencing haiwan yang halal dimakan dagingnya.

Hal ini mungkin pelik bagi sesetengah orang hendak menerimanya tetapi pendapat ini berdasarkan kepada hadis yang sahih:

✍🏻Ada riwayat dari Anas bin Malik رضي الله عنه , beliau bercerita,

قَدِمَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَوْمٌ مِنْ عُكْلٍ أَوْ عُرَيْنَةَ فَاجْتَوَوُا الْمَدِينَةَ فَأَمَرَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِلِقَاحٍ وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا

Ada sejumlah orang dari suku Ukl dan Uranah yang datang menemui Nabi ﷺ. Namun mereka mengalami sakit kerana tidak sesuai duduk di Madinah. Lalu Rasulullah ﷺ memerintahkan mereka untuk mendatangi kandang unta, dan menyuruh mereka untuk meminum air kencingnya dan susunya
(HR. Bukhari 1501 dan Muslim 4447)

Ulama mengambil hukum dari hadis ini: Jikalau kencing atau tahi yang keluar dari binatang yang boleh dimakan, maka dua perkara itu tidaklah najis. Ini kerana kalau ia najis, tentulah Nabi Muhammad ﷺ tidak akan menyuruh mereka meminum air kencing unta itu. Inilah juga pendapat Imam Ibnu Taimiyyah.

Tambahan pula unta, kambing dan lain-lain binatang adalah haiwan yang biasa bersama dengan para sahabat pada zaman Nabi ﷺ.

Tidaklah ada mana-mana dalil yang mengatakan baginda ﷺ mengajar mereka membersihkan diri mereka dari kotoran yang datang dari binatang-binatang tersebut sebelum solat. Maka tidak disebut ia sebagai najis, merupakan dalil kesuciannya.

Satu lagi hujah, Rasulullah ﷺ telah melakukan tawaf dengan menaiki unta. Kita pun tahu bahawa Masjidil Haram itu adalah tempat yang suci dan diutamakan jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain di atas muka bumi ini.

Tentu sahaja unta itu ada kemungkinan akan kencing ataupun berak pada waktu itu. Kalaulah kencing dan berak unta itu najis, tentulah Nabi ﷺ tidak akan menaikinya untuk mengerjakan tawaf.

✍🏻Baginda juga membenarkan para sahabat solat di kandang kambing:

Dari Al-Bara’ bin ‘Azib رضي الله عنه , ia berkata,

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنِ الْوُضُوءِ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ فَقَالَ « تَوَضَّئُوا مِنْهَا ». وَسُئِلَ عَنْ لُحُومِ الْغَنَمِ فَقَالَ « لاَ تَتَوَضَّئُوا مِنْهَا ». وَسُئِلَ عَنِ الصَّلاَةِ فِى مَبَارِكِ الإِبِلِ فَقَالَ « لاَ تُصَلُّوا فِى مَبَارِكِ الإِبِلِ فَإِنَّهَا مِنَ الشَّيَاطِينِ ». وَسُئِلَ عَنِ الصَّلاَةِ فِى مَرَابِضِ الْغَنَمِ فَقَالَ « صَلُّوا فِيهَا فَإِنَّهَا بَرَكَةٌ »

“Rasulullah ﷺ ditanya mengenai wudhu kerana memakan daging unta, beliau menjawab, ‘Berwudhulah kerana memakan daging unta.’ Beliau ditanya mengenai berwudhu karena memakan daging kambing, beliau menjawab, ‘Tidak perlu berwudhu karena memakan daging kambing.’ Beliau ditanya tentang shalat di tempat menderumnya unta, beliau menjawab, ‘Jangan shalat di tempat menderumnya unta karena unta biasa memberikan was-was seperti syaitan.’ Beliau ditanya tentang shalat di kandang kambing, ‘Silakan shalat di kandang kambing, di sana mendatangkan keberkahan (ketenangan).’”
(HR. Abu Daud, no. 184; Tirmidzi, no. 81; Ahmad, 4:288. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa hadits ini shahih)

Syarah: Kalaulah kotoran dari kambing itu najis, tentulah baginda tidak membenarkan para sahabat solat di situ.

4. Darah, kecuali darah haidh dan nifas.

Kita telah menyebutkan kenajisan ‘darah haidh’ sebelum ini. Boleh dirujuk pada nota-nota yang lepas. Sekarang kita membincangkan darah yang lain, iaitu darah manusia dan darah haiwan-haiwan yang boleh dimakan. Darah itu suci dan tidak najis.

Hujahnya kerana semua perkara adalah suci pada asalnya, kecuali jika ada dalil yang mengatakan ianya najis.

Dalilnya di dalam satu hadis yang agak panjang:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْنِي فِي غَزْوَةِ ذَاتِ الرِّقَاع.ِ فَأَصَابَ رَجُلٌ امْرَأَةَ رَجُلٍ مِنْ الْمُشْرِكِينَ فَحَلَفَ أَنْ لَا أَنْتَهِيَ حَتَّى أُهَرِيقَ دَمًا فِي أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ.

Daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنه , dia berkata: Kami keluar bersama Rasulullah ‎ﷺ di dalam misi perang Dzat al-Riqa’. (Dalam peperangan itu), seorang lelaki (muslimin) telah menyerang isteri lelaki kaum musyrikin (kerana wanita itu turut berperang). Maka suami itu bersumpah bahawa dia tidak akan berhenti (untuk membalas dendam) sehinggalah dapat menumpahkan darah para sahabat Muhammad.

فَخَرَجَ يَتْبَعُ أَثَرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْزِلًا فَقَال:َ مَنْ رَجُلٌ يَكْلَؤُنَا؟ فَانْتَدَبَ رَجُلٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَرَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ. فَقَالَ: كُونَا بِفَمِ الشِّعْبِ.

Maka dia keluar mengikuti jejak Nabi ‎ﷺ. Maka Nabi ‎ﷺ turun di satu tempat persinggahan (untuk bermalam), lalu bertanya: “Siapakah lelaki yang akan mengawasi kami?” Seorang lelaki dari kalangan Muhajirin dan seorang lelaki dari kalangan Anshar segera menyahut seruan Nabi itu. Baginda berpesan: “Berjagalah di mulut (jalan masuk) bukit ini.”

قَالَ: فَلَمَّا خَرَجَ الرَّجُلَانِ إِلَى فَمِ الشِّعْبِ اضْطَجَعَ الْمُهَاجِرِيُّ وَقَامَ الْأَنْصَارِيُّ يُصَلِّ. وَأَتَى الرَّجُلُ فَلَمَّا رَأَى شَخْصَهُ عَرِفَ أَنَّهُ رَبِيئَةٌ لِلْقَوْمِ فَرَمَاهُ بِسَهْمٍ فَوَضَعَهُ فِيهِ فَنَزَعَهُ حَتَّى رَمَاهُ بِثَلَاثَةِ أَسْهُمٍ ثُمَّ رَكَعَ وَسَجَدَ.

-Jabir رضي الله عنه melanjutkan: Maka tatkala dua lelaki itu keluar (dan sampai) ke mulut bukit, lelaki Muhajirin berbaring sementara lelaki Anshar bangun melaksanakan solat. Maka datanglah lelaki musyrikin tadi. Tatkala dia melihat ciri-ciri lelaki Anshar itu, dia tahu bahawa lelaki itu adalah pengawas bagi kaumnya (pasukan muslimin). Maka dia memanahnya dan mengena lelaki Anshar tersebut, tetapi dia menariknya keluar. Lelaki musyrikin itu terus memanah sehingga tiga anak panah sementara lelaki Anshar itu pula tetap rukuk dan sujud.

ثُمَّ انْتَبَهَ صَاحِبُهُ. فَلَمَّا عَرِفَ أَنَّهُمْ قَدْ نَذِرُوا بِهِ هَرَبَ. وَلَمَّا رَأَى الْمُهَاجِرِيُّ مَا بِالْأَنْصَارِيِّ مِنْ الدَّمِ قَال:َ سُبْحَانَ اللَّهِ أَلَا أَنْبَهْتَنِي أَوَّلَ مَا رَمَى؟ قَالَ: كُنْتَ فِي سُورَةٍ أَقْرَؤُهَا فَلَمْ أُحِبَّ أَنْ أَقْطَعَهَا.

Kemudian bangunlah sahabat Muhajirin yang berbaring tadi. Tatkala lelaki musyrikin mengetahui lelaki Muhajirin itu akan meminta pertolongan pasukannya, dia melarikan diri. Apabila lelaki Muhajirin melihat sahabat Ansharnya yang berlumuran darah, dia berkata: “Subhanallah! Kenapa tidak membangunkan aku apabila terkena panahan yang pertama?” Lelaki Anshar itu menjawab: “Aku saat itu sedang membaca surah (di dalam solat) dan tidaklah aku suka untuk memotongnya (dengan memberhentikan solat dan mengejutkan kamu)”.
[Shahih Sunan Abu Daud, no: 170/198]

Syarah hadis:

Kalaulah darah itu najis, tentulah ia telah membatalkan wuduk lelaki itu. Dan tentu Rasulullah tahu kisah kejadian ini dan tidaklah baginda menegur lelaki itu.

Memang ada pendapat yang mengatakan darah itu haram dan kerana itu ia adalah najis. Mereka mengambil dalil dari firman Allah سبحانه و تعالى ,

قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

“Katakanlah: “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaKu, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi – karena sesungguhnya semua itu kotor.” (QS. Al An’am: 145). Para ulama tersebut menyatakan bahawa, oleh kerana di dalam ayat ini disebut darah itu haram, maka natijahnya darah itu adalah najis.

Akan tetapi kita telah menjelaskan sebelum ini bahawa tidaklah sesuatu yang haram itu otomatik menjadikannya najis. Memang darah tidak boleh diminum, tetapi tidaklah menjadikan ianya najis.

Dalil lain:
Al Hasan Al Bashri رحمه الله mengatakan,

مَا زَالَ الْمُسْلِمُونَ يُصَلُّونَ فِى جِرَاحَاتِهِمْ

“Kaum muslimin (yaitu para sahabat) biasa mengerjakan shalat dalam keadaan luka.” Disebutkan oleh Bukhari secara mu’allaq (tanpa sanad) dalam kitab shahihnya.

Dalil lagi:

Dalam Muwatho’ disebutkan mengenai sebuah riwayat dari Miswar bin Makhromah, ia menceritakan bahwa ia pernah menemui ‘Umar bin Al Khottob رضي الله عنه pada malam hari saat ‘Umar ditusuk. Ketika tiba waktu Subuh, ia pun membangunkan ‘Umar untuk solat Subuh. ‘Umar mengatakan,

وَلَا حَظَّ فِي الْإِسْلَامِ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ

“Tidak ada bahagian di dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.” Lalu ‘Umar رضي الله عنه solat dalam keadaan darah yang masih mengalir.

Bagaimana pula dengan darah haiwan? Ia juga tidak najis dan dalilnya:

Ada riwayat dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه yang menguatkan hujah bahawa darah dari haiwan yang halal dimakan itu suci. Riwayat tersebut,

صَلَّى بْنُ مَسْعُوْدٍ وَعَلَى بَطْنِهِ فَرْثٌ وَدَمٌّ مِن جَزْرِ نَحْرِهَا وَلَمْ يَتَوَضَّأْ

“Ibnu Mas’ud رضي الله عنه pernah solat dan di bawah perutnya terdapat kotoran (haiwan ternak) dan terdapat darah unta yang disembelih, namun beliau tidak mengulangi wudhu’nya.” Mushonnaf ‘Abdur Rozaq (1/125)

Ada pula riwayat daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, ia mengatakan, “Nabi ‎ﷺ pernah solat di sisi Ka’bah. Sedangkan Abu Jahal dan sahabat-sahabatnya sedang duduk-duduk ketika itu. Sebahagian mereka mengatakan kepada yang lainnya, “Cubalah kalian pergi ke tempat penyembelihan si fulan”. Lalu Abu Jahal mendapatkan kotoran haiwan, darah sembelihan dan sisa-sisa lainnya, kemudian dia perlahan-lahan meletakkannya kepada Nabi ‎ﷺ ketika baginda sedang sujud. Baginda ﷺ merasa kesulitan di dalam solatnya. Ketika baginda ﷺ sujud, Abu Jahal kembali meletakkan kotoran dan darah tadi di antara bahunya. Baginda tetap sujud, sedangkan Abu Jahal dan sahabatnya dalam keadaan tertawa.”
HR. Bukhari no. 240 dan Muslim no. 1794.

5. Lendir yang keluar dari kemaluan wanita

Lendir ini termasuklah yang dipanggil ‘keputihan’ oleh orang kita. Ia juga tidak najis kerana mengambil konsep bahawa sesuatu perkara itu tidak najis melainkan ada dalil dari syarak yang mengatakan ianya najis.

📍Soalan pertama perbincangan kita: Adakah lendir dari kemaluan wanita itu najis?

Cairan keputihan yang keluar dari organ pembiakan wanita, adalah hal yang wajar terjadi di masa silam. Meskipun demikian, kita tidak menjumpai adanya riwayat daripada para sahabat wanita (shahabiyah) yang menanyakan hal itu kepada Nabi ﷺ . Padahal umumnya mereka hanya memiliki satu pakaian. Jika ini najis, tentu Rasulullah ﷺ akan mengingatkannya.

Memang ada ulama yang mengatakan ianya najis kerana diqiyaskan dengan mazi yang juga dikira sebagai najis tetapi hujah ini tidak kuat kerana ada lagi hujah-hujah yang lain.

Salah satu dalil yang digunakan oleh ulama’ adalah hadis tentang Saidatina Aisyah رضي الله عنها hanya mengerik/mengikis mani dari baju Rasulullah.

Eh, macam mana pula hadis ini dijadikan dalil bagi ‘keputihan’? Mari kita lihat hadis itu kembali.

Telah berkata A’isyah رضي الله عنها :
كُنْتُ أَفْرُكُهُ مِنْ ثَوْبِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Aku mengerik mani itu dari baju Rasulullah ﷺ .
(HR. Muslim 288, Nasai 296, dan yang lainnya).

Yang difahami dari hadis ini (sebagaimana keterangan Ibnu Qudamah رحمه الله),

1. Mani yang ada di baju Nabi ﷺ adalah bekas hubungan badan (baginda dan Aisyah), dan bukan mani mimpi basah. Ini kerana para Nabi tidak mengalami mimpi basah.

2. Kerana mani itu bekas dari hubungan badan, maka tentulah cairan yang menempel di situ bercampur dengan cairan yang ada di faraj wanita.

3. A’isyah رضي الله عنها menggeriknya, dan perbuatan menggerik itu tentu tidak akan bersih sempurna.

4. Tetapi pakaian itu terus sahaja dipakai baginda untuk bersolat, maka ini menunjukkan yang ia bukan najis. Kalau tidak, tentu baginda tidak akan memakai pakaian itu di dalam solat.

Imam An-Nanawi رحمه الله menjelaskan mengenai ikhtilaf ulama dan merajihkan bahwa keputihan adalah suci, beliau menjelaskan,

رطوبة الفرج ماء أبيض متردد بين المذى والعرق فلهذا اختلف فيها …وقال صاحب الحاوى في باب ما يوجب الغسل نص
الشافعي رحمه الله في بعض كتبه علي طهارة رطوبة الفرج

“Keputihan yang keluar dari kemaluan wanita iaitu cairan putih. Diperselisihkan sifatnya apakah disamakan dengan madzi dan cairan kemaluan. Kerananya ulama’ berbeza pendapat mengenai hukumnya. Penulis kitab al-Hawi mengatakan, Imam as-Syafi’iy رحمه الله menegaskan di dalam sebahagian kitab-kitabnya bahwa keputihan wanita hukumnya adalah suci.” Al-Majmu’, 2/570, syamilah

Kita tidak menafikan yang memang terdapat perbezaan pendapat ulama’ berkait pembahasan hal ini. Dan ini memang masalah klasik yang tidak akan habis dibincangkan.

Ringkasan dari kajian tentang pendapat-pendapat yang ada:

1. Apakah keputihan itu najis atau tidak, pendapat terkuat mengatakan ianya tidak najis.

2. Jika keluar apakah membatalkan wudhu’ atau tidak, pendapat terkuat mengatakan tidak membatalkan wudhu’.

Oleh itu, ringkasan dari hujah yang ada berkenaan keputihan:

1.Tidak ada dalil satupun baik shahih, hasan bahkan dhaif yang mengharuskan berwudhu’ jika keluar keputihan.

2. Keputihan adalah hal yang biasa terjadi pada wanita baik di zaman Rasulullah ﷺ, suatu hal yang bersifat lumrah, sudah tentu akan ditanyakan oleh para sahabat wanita atau akan dijelaskan oleh syari’at.

3. Pembebanan harus berwudhu’ setiap kali keluar keputihan akan memberatkan bagi para wanita.

4. Allah SWT menyebut haid adalah “kotoran” di dalam Al-Quran dan lainnya suci, maka hukum asalnya keputihan adalah suci.

6. Muntah manusia

Muntah manusia juga tidak najis kerana menggunakan konsep umum iaitu sesuatu perkara itu asalnya suci sehinggalah ada dalil yang mengatakan ianya najis. Tidak ada mana-mana dalil yang sahih mengatakan bahawa muntah itu najis.

Jadi kalau sedang dukung anak dan muntah anak kena kepada baju, boleh terus bawa baju pakai untuk solat.

7. Peluh orang dalam junub dan wanita yang haidh

✍🏻Imam Bukhari membincangkan perkara ini dalam Kitab Sahihnya:

274 – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ قَالَ حَدَّثَنَا بَكْرٌ عَنْ أَبِي رَافِعٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقِيَهُ فِي بَعْضِ طَرِيقِ الْمَدِينَةِ وَهُوَ جُنُبٌ فَانْخَنَسْتُ مِنْهُ فَذَهَبَ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْنَ كُنْتَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ كُنْتُ جُنُبًا فَكَرِهْتُ أَنْ أُجَالِسَكَ وَأَنَا عَلَى غَيْرِ طَهَارَةٍ فَقَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ إِنَّ الْمُسْلِمَ لَا يَنْجُسُ

274. Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Humaid berkata, telah menceritakan kepada kami Bakar dari Abu Rafi’ dari Abu Hurairah, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berjumpa dengannya di salah satu jalan di Madinah, sementara ia dalam keadaan junub.” Abu Hurairah berkata, ‘Aku pun menyelinap keluar dan pergi mandi’. Setelah itu datang lagi, baginda lalu bertanya: “Ke mana saja kamu tadi wahai Abu Hurairah?” Abu Hurairah menjawab: “Aku tadi dalam keadaan berjunub. Dan aku tidak suka di dalam majlismu sedang aku dalam keadaan tidak suci.” Mendengar jawapan Abu Hurairah itu, Beliau pun bersabda: “Subhaanallah! Sesungguhnya orang Muslim itu tidak itu najis.”

Syarah: Sama sahaja kalau wanita dalam haidh, peluh mereka tidak najis.

8. Bangkai binatang yang darahnya tidak mengalir.

Bangkai binatang seperti lalat, semut, labah-labah, nyamuk dan sejenisnya bukan najis.

✍🏻Dalilnya:

عن أبي هريرة –رضي الله عنه- قال قال رسول الله –صلي الله عليه و سلم- ((إذا وقع الذباب في شراب أحدكم فليغمسه, ثم لينزعه, فإن في أحد جناحيه داء, و في الآخر شفاء))
أخرجه البخاري, و أبو داود, و زاد: ((و إنه يتقي بجناحيه الذي فيه الداء))

Dari Abu Hurairoh –radhiyallahu ‘anhu-, dia berkata, Rasulullah –shallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda, “Jika lalat hinggap ke minuman salah seorang diantara kalian, maka hendaklah dia menenggelamkannya, kemudian buanglah (lalat tersebut), kerana sesungguhnya di salah satu sayapnya ada penyakit, dan di sayap lainnya ada ubat”.
Dikeluarkan oleh Al Bukhari.

Syarah:
Kalau lalat itu najis, tentu Nabi SAW tidak beri minum air itu lagi.

Kesimpulan:
Kita telah sebut apakah yang najis dan kita pun dah sentuh perkara yang selalu dianggap sebagai najis, tapi sebenarnya tidak.

Tidaklah kita hendak sebut semua benda dalam alam ini. Maka selain dari yang kita sudah sebut ini, bukanlah najis. Kan senang begitu? Sudah tahu mana najis, jadi selain darinya tidak najis.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS KE-7☘️
=======================

1) Saya hendak bertanya berkenaan ikan masin, ikan jeruk dan ikan pekasam yang selalu dijual di Sabah dan Sarawak. Ikan yang diawet ini dijual bersama isi perutnya, apakah dikira najis dan haram dimakan?

🔵Apa sahaja yang di dalam perut ikan tidak dikira sebagai najis.

Merujuk nota kelas sebelum ini iaitu bangkai ikan dan belalang dikecualikan dari bangkai yang dikira najis. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah ‎ﷺ .

‎أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمَانِ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

“Dihalalkan bagi kalian dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Adapun dua bangkai tersebut adalah ikan dan belalang. Sedangkan dua darah tersebut adalah hati (lever) dan limpa. [Riwayat Ibnu Majah no. 3314 dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah Al Ahadith Al Sahihah no.1118]

Perkara ini juga telah dibincangkan secara tuntas oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Disebutkan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 – 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

i. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunnah Rasulullah ‎ﷺ. Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.

ii. Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.

iii. Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.

2) Apakah hukum memakan telur masin yang disalut dengan sekam/selut? Difahamkan telur yang tidak dibasuh dikira sebagai najis

🔵Halal kerana lendir yang terkena pada telur semasa keluar itu tidak dikira sebagai najis.

Jika terkena najis ayam sekali pun, seperti yang telah dibincang dalam kelas, kotoran dari haiwan yang boleh dimakan seperti ayam tidak dikira najis.

3) Apakah pandangan di dalam Mazhab Asy-Syafi’iy berkenaan telur ayam yang terkena najis?

🔵Sebahagian ulama di dalam Mazhab Asy-Syafi’iy berpendapat bahawa kulit telur yang terkena najis wajib dibasuh. Selain itu mereka berpendapat lendiran dari kemaluan haiwan juga adalah najis kerana terbit dari tempat najis.

Walaubagaimanapun, jumhur mazhab menyatakan bahawa telur ayam tidak wajib dibasuh.

4) Adakah pengharaman memakan keldai merangkumi kesemua jenis keldai atau keldai jinak sahaja?

🔵Keldai jinak diharamkan memakannya manakala keldai liar seperti kuda belang, kiang, onager dan lain-lain tidak diharamkan.

5) Kawan saya ada menyewa sebuah rumah kepunyaan orang bukan Islam dan ingin menggunakan perkakas di dalam rumah tersebut seperti peti ais dan lain-lain. Adakah cukup dengan hanya membasuh perkakas tersebut dengan air sahaja sebelum menggunakannya?

🔵Ya, memadai dengan hanya membasuh perkakas tersebut dengan air sahaja sebelum menggunakannya.

6) Apakah yang perlu dilakukan jika ada anjing menjilat bekas makanan kucing, kemudian tangan kita terkena bekas jilatan anjing daripada bekas makanan itu ketika hendak membasuhnya?

🔵Jikalau nampak dan pasti bekas jilatan anjing itu, maka perlulah disertu tangan dan bekas makanan tersebut.

7) Adakah boleh menggantikan tanah dengan menggunakan sabun untuk menyertu?

🔵Ada pendapat yang menyatakan boleh menggunakan sabun untuk menyertu tetapi saya lebih bersetuju dengan tanah sahaja kerana hujahnya lebih kuat. Tanah juga mempunyai kelebihan tertentu.

8) Benarkah cara menyertu adalah membasuh kali pertama dengan campuran air dan tanah , kemudian dibilas dengan enam kali air mutlak?

🔵Ya benar. Campuran air tanah itu boleh disiram mahupun dengan cara menggosoknya pada tempat yang terkena najis

9) Adakah benar bahawa memakan daging unta membatalkan wuduk tetapi apabila terkena najis (air kencing dan tahi) unta tidak membatalkan wuduk?

🔵Ya benar. Selain najis unta, najis daripada haiwan lain juga tidak membatalkan wuduk tetapi jika tersentuh najis, maka perlu membasuhnya sebelum solat walaupun najis tersebut tidak membatalkan solat.

Tambahan lagi, jika ianya tidak najis, maka boleh dibawa solat.

Ada bangsa lain selalu berinteraksi dengan najis haiwan, apabila tiba waktu solat terus mereka menunaikannya. Sebagai contoh, ada negara yang menggunakan tahi lembu sebagai bahan bakar dan juga sebagai bahan binaan rumah mereka.

10) Bagaimanakah dengan najis burung gagak? Adakah boleh dibawa solat?

🔵Najis burung dikira sebagai umum balwa. Ianya tetap najis tetapi oleh kerana susah dijaga, maka dimaafkan.

11) Adakah terkena najis membatalkan solat?

🔵Terkena najis tidak membatalkan wuduk mahupun solat.

Walaupun sedemikian, sebelum memulakan solat kita hendaklah memastikan tidak ada najis pada badan kita. Jika ada najis, maka perlulah dibasuh najis itu sahaja tanpa perlu mengambil wuduk semula.

Jika najis datang semasa solat, maka najis itu tidak membatalkan solat kerana ianya datang kemudian.

12) Adakah masalah keputihan wanita membatalkan wuduk?

🔵Perkara ini mempunyai banyak pendapat dan saya memilih keputihan itu bukan najis.

13) Apakah hukum air kolam ikan dan kuah masakan yang terkena pada pakaian solat?

🔵Air kolam ikan dan kuah masakan tidak dikira sebagai najis dan pakaian tersebut boleh dibawa untuk solat.

Pada zaman sahabat mereka mempunyai satu pakaian sahaja. Kadangkala tidak mempunyai baju dan hanya mempunyai kain sahaja. Maka mereka pakai apa sahaja yang ada untuk dibawa solat

Pada zaman sekarang, kita mempunyai banyak pakaian. Boleh silih berganti pakaian. Sebaiknya adalah memakai baju bersih apabila hendak menghadap Allah.

Kekotoran dan kenajisan adalah perkara yang berbeza. Kita patut tahu membezakan yang mana boleh dibawa solat dan yang mana tidak. Bukan semua kekotoran itu adalah najis.

Apabila sedang memasak, atau memancing, boleh sahaja solat dengan pakaian yang sama apabila sampai waktu solat.

14) Saya sering memberi makan kepada anjing terbiar. Kadang kala, anjing tersebut sering meleset-leset pada saya dan tangan saya juga basah terkena air liur anjing ketika memberinya makan. Walaupun begitu saya hanya membasuh tangan saya dengan air biasa. Adakah tindakan saya ini betul?

🔵Ya betul, basuh dengan air sahaja.

Ada sebuah hadith menceritakan bagaimana seorang pemuda membantu anjing kehausan untuk minum dan tidak diceritakan bahawa perlunya berhati-hati akan kenajisannya semasa hendak memberi anjing itu minum.

Daripada Abu Hurairah ‎رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ‎ﷺ bersabda,

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِى بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِى كَانَ بَلَغَ مِنِّى. فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِىَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِى هَذِهِ الْبَهَائِمِ لأَجْرًا فَقَالَ فِى كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

“Ketika seorang laki-laki sedang berjalan, dia merasakan kehausan yang sangat, lalu dia turun ke sumur dan minum. Ketika dia keluar, ternyata ada seekor anjing sedang menjulurkan lidahnya menjilati tanah basah karena kehausan. Dia berkata, ‘Anjing ini kehausan seperti diriku.’ Maka dia mengisi sepatunya dan memegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik dan memberi minum anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kita bisa meraih pahala dari binatang?” Beliau menjawab, “Setiap memberi minum pada hewan akan mendapatkan ganjaran.” [Riwayat Al-Bukhari no. 2363 dan Muslim no. 2244]

15) Saya pernah tercirit di dalam seluar tetapi sangat sedikit najisnya dan cair . Saya ke tandas dan membasuh seluar itu pada bahagian punggung bagi menghilangkan najis itu. Walaupun kesan najisnya telah hilang tetapi baunya pada pengamatan saya masih ada. Saya telah menggunakan seluar itu untuk solat kerana ketiadaan seluar lain mahupun kain lain di surau R&R tesebut. Adakah sah solat saya?

🔵Solatnya sah kerana itu sahaja yang mampu kita lakukan pada waktu itu.

Nabi Muhammad ‎ﷺ dan para sahabat beristinjak dengan menggunakan batu. Tentu sahaja masih ada bau lagi, bukan? Maka cara itu diterima.

16) Apakah yang perlu dilakukan apabila bersentuhan dengan bulu anjing yang basah ?

🔵Najis akan berpindah, maka perlu dibasuh sahaja tanpa perlu sertu.

17) Bagaimanakah dengan solat orang yang berpenyakit buasir di mana seluarnya senantiasa terkena najis apabila buasirnya terkeluar?

🔵Apabila sudah ada penyakit, maka dimaafkan.

📝Soalan luar topik kelas

1) Bolehkah melakukan ibadah tawaf menggunakan skyboard?

🔵Ya, boleh bertawaf dengan menggunakan alat bantuan berjalan seperti kerusi roda, kerusi roda elektrik, skyboard dan hoverboard. Selain itu, boleh juga bertawaf dengan kenderaan seperti helikopter dan unta.

2) Apakah penyakit yang boleh diubati dengan meminum air kencing unta?

🔵Berkenaan penyakit yang boleh diubati dengan meminum air kencing unta, ini perlu dirujuk kepada pengamalnya dan mereka yang arif tentang perubatan.

3) Di tempat kerja saya ada banyak kucing dan juga anjing. Makanan kering yang diletakkan di dalam bekas makanan kucing bukan sahaja dimakan oleh kucing tetapi juga anjing . Adakah boleh keduanya berkongsi di dalam satu bekas makanan?

🔵Ya, boleh.

4) Jika keputihan itu tidak najis, maka pakaian dalam yang terkenanya tidaklah perlu ditukar. Bukankah akan rasa tidak selesa?

🔵 Isu geli dan tidak selesa adalah hal lain tetapi dari segi hukum, keputihan bukanlah najis.

Apabila kita membuat perkara yang tidak perlu, maka ia akan menyusahkan kita, memenatkan kita dan menyebabkan kita rasa agama Islam ini agama yang menyusahkan. Walhal sebenarnya tidak.

Hukum yang Allah berikan memang boleh diamalkan. Cumanya ada yang menjadikan ianya membebankan daripada yang sepatutnya.

5) Adakah keputihan tidak boleh disamakan dengan darah haidh?

Dikatakan ada hadith mengajarkan cara membersihkan darah haidh dengan cara meruang.

🔵Keputihan memang tidak sama dengan darah haidh. Darah haidh telah jelas di dalam hadith Nabi menyuruh untuk dibasuh tetapi keputihan tidak disebutkan di dalam hadith.

Tiada hadith yang menerangkan bahawa perlunya meruang sepengetahuan saya.

Hadith yang ada adalah mengajarkan untuk menyapukan wangian pada tempat keluar darah.

Hadithnya adalah:-

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ أَسْمَاءَ سَأَلَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ غُسْلِ الْمَحِيضِ فَقَالَ تَأْخُذُ إِحْدَاكُنَّ مَاءَهَا وَسِدْرَتَهَا، فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ دَلْكًا شَدِيدًا، حَتَّى تَبْلُغَ شُؤُونَ رَأْسِهَا ثُمَّ تَصُبُّ عَلَيْهَا الْمَاءَ ثُمَّ تَأْخُذُ فِرْصَةً مُمَسَّكَةً فَتَطَهَّرُ بِهَا، فَقَالَتْ أَسْمَاءُ: وَكَيْفَ تَطَهَّرُ بِهَا؟ فَقَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ تَطَهَّرِينَ بِهَا؟! فَقَالَتْ عَائِشَةُ: كَأَنَّهَا تُخْفِي ذَلِكَ. تَتَبَّعِينَ أَثَرَ الدَّمِ. وَسَأَلَتْهُ عَنْ غُسْلِ الْجَنَابَةِ، فَقَالَ: تَأْخُذُ مَاءً فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ أَوْ تُبْلِغُ الطُّهُورَ، ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ حَتَّى تَبْلُغَ شُؤُونَ رَأْسِهَا، ثُمَّ تُفِيضُ عَلَيْهَا الْمَاءَ. فَقَالَتْ عَائِشَةُ: نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الْأَنْصَارِ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّينِ

Daripada ‘Aisyah: Bahawa Asma bertanya Nabi ‎ﷺ. mengenai mandi wanita haidh Sabda baginda: “Hendaklah kamu mengambil air dan daun bidaranya, dia bersihkan dengan sebaiknya. Kemudian dia curahkan air ke atas kepalanya dan menggosoknya betul-betul sehingga sampai ke akar rambutnya. Kemudian dia siram air ke atas kepalanya. Kemudian dia ambil kapas yang bercampur kasturi dan dia bersihkan dengannya”. Kata Asma: Bagaimana (cara) dia bersihkan dengannya? Sabda Nabi: Subhana Allah!! Bagaimana engkau hendak bersihkan dengannya?!!. Kata ‘Aisyah: Seakan dia menyembunyikan perkara itu (Dia memperlahankan suaranya agar hanya didengar oleh Nabi ‎ﷺ tetapi tidak didengar oleh orang lain). (Sabda Nabi): “Engkau ikuti kesan darah”. Dia bertanya (pula) tentang mandi junub. Sabda Nabi: “Hendaklah dia mengambil air dan bertuhur (berwuduk) serta mengelokkan tuhur itu atau menyempurnakan tuhur. Kemudian hendaklah dia curahkan air ke atas kepalanya lalu menggosoknya sehingga ke akar rambut. Kemudian dia mencurahkan air ke atasnya”. Kata ‘Aisyah: “Sebaik-baik wanita, wanita Ansar, malu tidak pernah menghalang mereka bertafaqquh dalam agama. [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Faraj wanita diciptakan boleh membersihkan dengan sendiri. Tidak perlu meruang.

6) Adakah pahala bertawaf dengan cara berjalan dan dengan menggunakan kenderaan berbeza?

🔵Ya, pahalanya berbeza

7) Bolehkah melakukan ibadah sa’i menggunakan kenderaan?

🔵Ya, boleh.

8) Adakah boleh disamakan keputihan dengan wadi?

🔵Tidak boleh disamakan. Memang ada ulama yang mengqiyaskan hukum keputihan dengan madzi (bukan Wadi) dan oleh kerana itu mereka berpendapat ianya najis.

Perkara ini kita akan bahaskan dengan tuntas kemudiannya. Ringkasnya keputihan tidak najis.

🍀 SESI SOAL JAWAB KELAS KE-8 🍀
==========================

1) Adakah aurat wanita termasuk di bawah dagu?

🔵 Dagu bukan aurat, tetapi bawah dagu adalah aurat.

2) Bolehkah mengerjakan solat walaupun darah masih belum kering selepas digigit pacat?

🔵 Ya, boleh.

3) Bolehkah pesakit kanser payudara yang baru selesai menjalani pembedahan terus mengerjakan solat, walaupun darahnya belum kering dan masih ada bekas tadahan bagi darah yang mengalir?

🔵 Boleh sahaja diteruskan solat.

4) Adakah sah solat jika terdapat tompokan darah yang besar pada pakaian solat?

🔵 Sah solat kerana darah bukan najis, sama ada ianya sedikit ataupun banyak.

5) Adakah darah istihadhah yang berwarna coklat dikira najis?

🔵 Darah istihadhah bukan najis kerana ianya bukan darah haidh. Sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ tentang darah istihadhah, “Itu adalah darah yang berasal dari urat.” (Hadith sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari (327) dan Muslim (333))

6) Benarkah apa yang keluar dari tubuh kita itu boleh membatalkan solat?

🔵 Tidak benar. Kena tengok apa yang sudah disenaraikan sebagai najis, maka selain daripada itu bukan najis.

7) Bolehkah berwudhu’ dalam keadaan kita tahu terdapat keputihan tetapi tidak dibersihkan?

🔵 Ya, boleh kerana keputihan bukan najis.

8) Bagaimana pula kedudukan keputihan yg berwarna seperti berwarna hijau atau kuning?

🔵 Jika sudah ada warna maka tidaklah dinamakan keputihan, tetapi disebabkan ada penyakit dan ada bau. Ada pendapat yang mengatakan ianya najis namun pendapat ini tiada dalil khusus. Maka ianya dikira bukan najis kerana yang kotor dan sakit tidak menjadikan ia najis.

9) Adakah lendir yang berwarna tidak wajib dibasuh kerana ia bukanlah najis?

🔵 Ya, jika bukan najis maka tidak wajib dibasuh. Jika solat dengannya, solat adalah sah. Namun digalakkan untuk dibasuh.

10) Adakah sama air mani yang keluar semasa berjimak dengan air mani yang keluar semasa mimpi basah?

🔵 Ya, ianya sama. Lihat dalil hadis ini. Nabi Muhammad ﷺ tidak ihtilam (mimpi basah). Maka air mani baginda hanya keluar kerana jimak. Maka bila dikatakan jimak, bukan air mani baginda sahaja tetapi bercampur lendir dari isteri baginda juga. Jadi, oleh kerana air mani tidak najis, maka lendir juga dikira tidak najis.

11) Mengapakah kebanyakan orang kita apabila ditahan di wad (warded) tidak melaksanakan solat?

🔵 Ini kerana orang kita masih jahil bab hukum. Mereka merasakan seolah-olah masuk wad automatik dapat tiket tidak perlu melaksanakan solat.

12) Apakah ada dalil menyuruh wanita istihadhah untuk berwuduk setiap kali ingin mengerjakan solat walaupun dia tidak berhadas? Jikalau ada, adakah ianya wajib atau dianjurkan sahaja?

🔵 Terdapat pelbagai pendapat. Pendapat yang kuat hanya satu wudhu’ untuk satu solat fardhu. Boleh juga untuk solat sunat tetapi bila masuk solat fardhu lain, kena perbaharui wudhu’. Contohnya ambil wudhu’ dan pakai untuk solat zuhur dan solat sunat ba’diyah. Jika masuk waktu asar maka kena ambil wudhu’ lain.

13) Kenapa tidak boleh menggunakan satu wudhu’ untuk dua solat fardhu sedangkan istihadhah tidak najis?

🔵 Diriwayatkan dari Aisyah رضي الله عنها berkata: Fatimah binti Jahsy datang kepada Nabi ﷺ dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku wanita yang sering mengalami istihadhah sehingga tidak pernah suci, apakah aku harus meninggalkan solat?”

Baginda menjawab,

لَا. إِنَّمَا ذَلِكَ عِرْقٌ, وَلَيْسَ بِحَيْضٍ, فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي اَلصَّلَاةَ, وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ اَلدَّمَ, ثُمَّ صَلِّي

“Tidak, sesungguhnya itu hanyalah penyakit dan bukan haid. Apabila datang haidmu maka tinggalkan solat. Jika telah selesai maka bersihkan darah haidmu itu (mandi) lalu solatlah.” (Muttafaq ‘Alaih) Dalam lafaz Bukhari, “Kemudian berwudhu’lah setiap kali solat.”

14) Adakah hukum ini hanya bagi orang yang ada darah istihadhah sahaja?

🔵 Ya. Perlu ambil wudhu’ baru jika masih ada darah. Kalau tiada darah keluar, maka boleh terus menggunakan wudhu’ yang sama.

Hadis Nabi menyuruh mengambil wudhu’ setiap kali solat itu adalah kerana orang yang bertanya sentiasa keluar darah istihadhah.

15) Adakah darah wanita mengandung yang mengalami “bleeding” dikira istihadhah?

🔵Ya, benar. Dia perlu mengambil wudhu’ baru setiap kali
solat fardhu.

16) Apakah hukumnya orang Islam menerima darah daripada orang bukan Iislam? Saya pernah mendengar pendapat seorang ustaz yang mengatakan hukumnya haram kerana orang bukan Islam makan benda yang haram jadi darahnya juga haram. Beliau menyandarkan hujahnya dengan ayat Al-Quran yang menyatakan orang kafir itu najis. Mohon penjelasan ustaz.

🔵 Ini adalah salah faham yang amat besar. Lebih teruk dari kes yang mengatakan tidak boleh berkongsi mesin basuh dengan orang Islam. Ini kerana ianya melibatkan nyawa manusia. Tidak ada masalah orang Islam menerima darah orang bukan Islam. Darah orang bukan Islam bukanlah najis. Tidak ada ketulan khinzir atau “beer” dalam darah itu. Makanan yang dimakan sudah habis diproses dan sudah bertukar bentuk.

Ayat Al-Quran yang dimaksudkan adalah At-Taubah ayat 28 dimana Allah memberitahu orang musyrik itu najis. Namun najis di sini bukanlah najis hissi (najis yang jelas nampak). Bukan bermaksud kena basuh tangan jika bersalam dengan orang bukan islam. Sebenarnya yang dikatakan najis pada ayat ini adalah akidah dan fahaman mereka iaitu najis maknawi (najis dari segi makna) sahaja. Bukanlah najis yang sebenar.

17) Adakah ajaran ustaz tersebut telah menyalahi ajaran Nabi ﷺ kerana baginda memberitahu kita Islam adalah agama yang mudah?

🔵 Hadith berkata tidak akan menang mereka yang menyusahkan. Ini kerana jika menyusahkan syariat agama kita tidak akan mampu hendak mengamalkan benda-benda yang ditokok tambah.

Sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ.

إِنَّ الدِّيْنَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّيْنَ إِلاَّ غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوْا وَقَارِبُوْا، وَأَبْشِرُوْا، وَاسْتَعِيْنُوْا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ.

“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agamanya kecuali akan dikalahkan (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna). Oleh karena itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas), dan bergembiralah (kerana memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan beribadah pada waktu pagi, petang dan pada sebahagian malam.”
HR. Al-Bukhari (no. 39), Kitabul Iman bab Addiinu Yusrun, dan an-Nasa-i (VIII/122)

18) Apakah hukum bagi orang yang menyusahkan syariat agama kemudian dia menyebarkan kepada orang ramai?

🔵 Berdosa sebagaimana disebut dalam hadith di atas.

19) Bolehkah dinyatakan nama beliau supaya masyarakat dapat berhati-hati pada masa hadapan?

🔵 Boleh. Pernah dikatakan kepada Ahmad bin Hanbal: “Manakah yang lebih engkau suka, seseorang yang berpuasa, solat, dan melakukan iktikaf atau orang yang berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah?” Beliau menjawab: “Apabila dia berdiri dan solat serta beriktikaf, maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk dirinya sendiri. Namun apabila dia berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk kaum muslimin, inilah yang lebih utama.”

Kita juga perlu berusaha untuk membuat penilaian. Usaha ini bukanlah percuma tetapi Allah akan membalasnya dengan pahala.

20) Adakah Sunni dan Salafi itu berbeza?

🔵 Istilah Sunnah, Sunni dan Salaf adalah lebih kurang sahaja.

Perkataan ” Sunni” digunakan apabila membandingkan dengan “Syiah”. Contoh: Shi’ie dan Sunni.

Sunnah pula bermaksud mengikut contoh amalan Nabi Muhammad dan sahabat.

Jika hendak mengikut contoh Nabi dan sahabat, kena melihat kepada amalan dan fahaman golongan di tiga kurun yang pertama, iaitu golongan Salaf.

Maka, Sunnah, Salaf, Nabi dan sahabat adalah saling berkaitan.

Ramai yang mengaku Sunnah, tetapi mereka bukanlah Sunnah seperti golongan Salaf.

21) Adakah haiwan halal tetapi dilindungi dibawah akta perlindungan haiwan seperti landak boleh di makan?

🔵 Jika wujud akta itu, maka kena taat kepada arahan pemerintah.

22) Bolehkah membaca lafaz yang mengandungi nama Allah ketika di dalam bilik air yang bersekali dengan tandas?

🔵 Yang dilarang adalah ketika masih ada najis ketika itu. Jika sudah dibersih n najis tiada lagi maka boleh membaca lafaz “bismillah”

23) Adakah dalil yang menyokong perkara di atas?

🔵 Tiada, kerana ketika zaman dahulu tandas tidak seperti tandas hari ini.

24) Bolehkah seorang yang sentiasa membawa Quran meletakkan Qurannya di atas sinki bilik air tetapi masih di luar tandas?

🔵 Ya, boleh. Sinki di bilik air tidak di kira sebagai tandas.

25) Bolehkah kita memegang Quran tanpa wudhu’?

🔵 Mengikut pendapat yang rajih, boleh. Jika masih tidak yakin, boleh memegang terjemahannya.

26) Adakah solat fardu yang ditinggal ketika usia remaja wajib diqodha atau hanya bertaubat?

🔵 Terdapat khilaf di dalam hal ini. Ada yang berpendapat wajib diqodha dan ada yang berpendapat tidak.

Saya berpegang pada pendapat tidak ada qadha jika meninggalkan solat dengan sengaja. Wajib bertaubat dan belum tentu Allah akan menerima taubatnya itu. Maka,kena perbanyakkan amalan sunat.

Bagi mereka yang berpegang wajib diqadha, maka kena qadha solat tersebut. Setiap kali selesai solat fardhu, tambah satu lagi solat. Contohnya Solat Subuh maka ditambah satu lagi Solat Subuh, kemudian Solat Zuhur maka ditambah satu lagi Solat Zuhur. Jika telah meninggalkan solat selama 20 tahun, maka 20 tahunlah lakukan begitu.

27) Rutin kerjaya saya adalah sentiasa di dalam permusafiran. Bolehkah saya melakukan jamak ta’khir jika saya tidur pada waktu Maghrib dan bangun pada waktu Isyak dengan tidak berniat jamak ta’khir sebelum tidur?

🔵 Teruskan sahaja solat Maghrib dan Isyak dan ia dimaafkan kerana tertidur. Salah satu keadaan di mana pena diangkat ( tidak dicatat dosa) ialah tidur.

28) Ketika bermusafir, bolehkah dilakukan solat jamak ta’khir solat Zohor di dalan waktu Asar sedangkan tidak berniat akan melakukan solat jamak ta’khir ketika waktu Zohor?

🔵 Perlu berniat apabila masuk waktu. Jika tidak boleh solat (pada waktu itu), maka hendaklah berniat jamak ta’khir. Anda sepatutnya peka dengan waktu solat dan jangan asyik terlupa.

29) Adakah memberi sedekah Al-Fatihah apabila mendengar berita kematian, suatu sunnah Nabi?

🔵 Ia bukan sunnah, tetapi bida’ah. Sunnahnya (ketika mendengar berita kematian) ialah mendoakan si mati supaya diampunkan dosa, dijauhkan azab dan lainnya.

30) Adakah wudhu untuk solat Isyak terbatal sekiranya seseorang makan selepas solat Maghrib?

🔵 Wudhu’ tidak terbatal dengan (aktiviti) makan.