T. Membaca Selawat pada Tasyahhud Awal

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

T. Membaca Selawat pada Tasyahhud Awal

Ini adalah satu perbincangan yang panjang lebar dalam feqah dan khilaf: Adakah baca selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam Tahiyat Awal? Shaikh Albani mengatakan Nabi Muhammad ﷺ berselawat kepada diri sendiri dalam Tasyahhud. Dan baginda juga memerintahkan umatnya untuk berselawat di dalam tasyahhud.

Tetapi, ramai juga ulama’ yang berpegang, hanya bacaan tahiyyat sahaja yang disyariatkan pada tasyahhud awal. Maka kita akan beri beberapa pendapat dalam hal ini.

i) Bacaan tahiyyat ialah;

التَّحِيَّاتُ المُبارَكاتُ الصَّلَواتُ الطَّيِّباتُ لِلَّهِ، السَّلامُ عَلَيْكَ أيُّهَا النَّبيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلامُ عَلَيْنا وعلى عِبادِ اللّه الصَّالِحينَ، أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ

“Segala kerajaan/kekuasaan, limpahan barakah, selawat dan kalimah-kalimah yang baik adalah milik Allah. Selamat sejahtera ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat Allah dan juga keberkatan-keberkatanNya. Selamat sejahtera juga ke atas kami serta ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah”. (Sahih Muslim no.612 dari Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما)

ii) Bacaan Selawat pula salah satunya;

اللَّهم صلِّ عَلَى مُحمَّدٍ وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما صلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وعَلَى آل إِبْرَاهِيْمَ وباركْ عَلَى مُحمَّد وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما باركتَ عَلَى إِبْرَاهِيْم وعَلَى آل إِبْرَاهِيْم في العالمينَ إنَّكَ حميدٌ مجيدٌ

“Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana Engkau mengurniakan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas ahli Ibrahim. Serta kurniakanlah barakah ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana Engkau kurniakan barakah ke atas Ibrahim dan ahli Ibrahim dalam seluruh alam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia”. (Sahih Muslim no. 405, Jami’u at Tirmizi no. 3220. Hadith dari Abu Mas’ud al-Ansari رضي الله عنه)

Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini.

Pendapat pertama, wajib membaca selawat ketika tasyahhud awal.

Ini adalah pendapat kedua Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله sebagaimana yang beliau tegaskan dalam kitab Al-Umm. Imam asy-Syafi’iy bahkan menegaskan, orang yang tidak membaca selawat ketika tasyahhud awal kerana lupa maka dia harus sujud sahwi. (al-Umm, 1/110).

Pendapat ini juga dipilih Imam Ibnu Baz dalam Fatwa beliau, dan Syaikh Al-Albani رحمهم الله dalam sifat salat Nabi ﷺ. Beliau mengatakan ada banyak dalil selawat dalam tasyahhud dan hadith itu tidak membezakan antara tasyahhud awal dan tasyahhud akhir.

 

Pendapat kedua, ketika tasyahud awal hanya membaca bacaan tasyahhud sampai dua kalimat syahadat dan boleh tidak ditambahi selawat. Ini adalah pendapat majoriti ulama’, diantaranya an-Nakhai, as-Sya’bi, Sufyan ats-Tsauri, dan Ishaq bin Rahuyah رحمهم الله. Pendapat ini yang lebih kuat dalam madzhab Syafiiyah, dan pendapat yang dipilih Ibnu Utsaimin رحمه الله.

📍 Syaikh Ibnu Ustaimin رحمه الله mengatakan,

لا يستحب أن تصلي على النبي صلى الله عليه وسلم في التشهد الأول ، وهذا ظاهر السنة ، لأن الرسول صلى الله عليه وسلم لم يعلِّم ابن مسعود وابن عباس إلا هذا التشهد فقط ، وقال ابن مسعود : ( كنا نقول قبل أن يفرض علينا التشهد ) وذكر التشهد الأول فقط ، ولم يذكر الصلاة على النبي صلى الله عليه; وسلم في التشهد الأول ، فلو كان سنة لكان الرسول عليه الصلاة والسلام يعلمهم إياه في التشهد

Tidak disunahkan berselawat kepada Nabi ﷺ di tasyahhud awal, inilah yang benar dalam Sunnah, sebab Nabi ﷺ tidak pernah mengajarkan Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas kecuali bacaan tasyahhud yang seperti ini saja.

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata: “Dulu, sebelum diwajibkan tasyahhud kepada kami, kami membaca ..”, lalu dia membaca bacaan tasyahhud awal saja, tanpa menyebutkan adanya selawat. Seandainya itu Sunnah, nescaya Nabi ﷺ mengajarkan selawat tersebut kepada mereka. (Syarhul Mumti’, 3/225)

InsyaaAllah, pendapat kedua inilah yang lebih kuat, kerana beberapa pertimbangan,

1. Makna zahir dari hadith di atas, dimana Rasulullah ﷺ hanya mengajarkan bacaan tasyahhud, dan bukan selawat.

2. Kebiasaan Rasulullah ﷺ duduk ringan (tidak lama) ketika tasyahhud awal, sebagaimana keterangan Ibnul Qayyim dalam Zadul Ma’ad (1/232).

Ubaidillah رحمه الله meriwayatkan daripada bapanya (Abdullah bin Masud رضي الله عنه) yang menceritakan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ كَأَنَّهُ عَلَى الرَّضْفِ

“Adalah Rasulullah ﷺ bila baginda duduk selepas dua rakaat, baginda duduk seolah-olah seperti baginda berada di atas batu yang dipanas di atas api”. (HR Imam at-Tirmizi. Menurut beliau hadith ini adalah hasan.)

Menurut ulama’, ungkapan “…seperti baginda duduk di atas batu yang dipanas di atas api” ialah simbolik kepada meringankan duduk ketika tahiyyat awal (iaitu tidak memanjang-manjangkan duduk sebagaimana orang yang tidak lama-lama duduk di atas batu yang panas). Berdalilkan hadith ini, para ulama’ menegaskan; duduk ketika tahiyyat awal janganlah dipanjangkan. Cuma mereka berbeza pandangan pada kadarnya.

3. Terdapat hadith yang diriwayatkan Ibnu Khuzaimah رحمه الله dalam sahihnya, bahawa Rasulullah ﷺ membaca tasyahhud dalam duduk tasyahhud awal dan baginda tidak berdoa [Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Ibnu Khuzaimah (Talkhis 3/507)].

Kesimpulan: Walaupun tidak wajib membaca selawat dalam tasyahhud awal, tetapi kalau baca, mendapat pahala membaca doa dan selawat. Maka bolehlah dibaca.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️

1. Kadar bacaan yang bagaimanakah yang perlu dibaca supaya menepati keadaan sebagaimana duduk di atas batu yang panas?

🔵 Ini hanya isyarat supaya tidak duduk terlalu lama. Tidak berdoa panjang.

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Adakah hadith yang meriwayatkan perihal Rasulullah ‎ﷺ melakukan sujud Sahwi selepas salam?

🔵 Kedua-dua ada hadith yang meriwayatkannya. Melakukan sujud Sahwi sebelum dan selepas salam. Ulama’ ada membincangkan perincian sujud Sahwi sebelum atau selepas. Tetapi boleh sahaja mengambil pendapat salah satunya.

 

2. Adakah wanita yang istihadhah perlu mandi wajib apabila berhenti darahnya?

🔵 Tidak wajib untuk mandi wajib, tetapi disunatkan mandi. Yang wajib adalah mengambil wudhu’ tetapi sunat untuk mandi setiap kali hendak salat. Maka boleh mandi 5 kali atau 3 kali mandi sehari. Hikmahnya dikatakan boleh mengubati penyakit. Kerana istihadah itu adalah darah penyakit.

 

3. Adakah selepas salat sunat wudhu’, tahiyatul masjid, atau rawatib sebelum salat fardhu perlu memperbaharui wudhu’ bagi wanita istihadah?

🔵 Hanya memperbaharui wudhu’ untuk salat fadhu sahaja bukan selainnya.

 

4. Adakah makmum masbuk perlu membaca tahiyyat sampai habis sebagaimana imam?

🔵 Ya.

 

5. Bagaimanakah wanita istihadhah yang musafir mengerjakan salat jama’ dan qasar? Adakah perlu mengambil wudhu’ untuk setiap satu salat Zuhur dan Asar?

🔵 Tidak. Apabila bermusafir. Satu wudhu’ sahaja. Cuma hendak tambah bab jama’ ni. Salat jama’ jika ada kepayahan hendak salat, maka boleh ditentukan sendiri untuk qasar dan jama’ atau qasar sahaja. Contohnya menaiki bas susah hendak berhenti salat. Tetapi jika naik kereta boleh berhenti-henti pada waktu salat. Kita boleh tentukan sendiri dan jangan ambil kesempatan.

 

6. Adakah wanita istihadhah yang musafir dengan kereta perlu jama’ tamam tanpa qasar?

🔵 Jika dengan kereta, maka lakukan qasar sahaja.

 

7. Adakah wanita istihadhah boleh memegang Al-Quran dan membacanya?

🔵 Wanita istihadhah adalah suci. Maka mereka boleh memegang dan membaca Al-Quran.

 

8. Adakah perlu menghadap kiblat ketika berdoa?

🔵 Boleh berdoa menghadap sebarang arah.

 

9. Adakah hadith yang menyokong hujah seperti di dalam gambar ini?

wp-15664390936921486466945.jpg

🔵 Tiada hadith yang khusus berkenaan makbulnya seorang wanita hamil. Ia adalah mafhum dari hadith yang berlainan. Di dalam kes ini adalah kerana dilanda kesulitan atau kesusahan. Semasa kesulitan, kita amat berharap kepada Allah. Maka doa kita lebih ikhlas. Apabila doa ikhlas dan khusyuk, maka doa lebih makbul. Kita boleh berdoa sepanjang masa. Tidak perlu menunggu hamil.

ُ💖💖رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ💖💖

“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami),

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s