J. Membaca ayat setelah al-Fatihah

Tajuk :

1⃣. Surah-surah apakah yang dibaca Nabi ﷺ pada salat-salatnya?
2⃣. Nabi ﷺ pernah membaca surah-surah yang serupa (dan tidak) pada satu rakaat.
3⃣. Sifat Qira’ah Nabi.
4⃣. Membaca Al-Quran dengan tartil dan membaguskan suara ketika membacanya.
5⃣. Apakah yang diucapkan jika seseorang membaca akhir Surah Qiyamah dan awal Surah al-A’la.
6⃣. Waktu-waktu surah al-Fatihah dan surah lainnya dibaca jahar dan sirr

 

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

J. Membaca ayat setelah al-Fatihah

Disunatkan setelah membaca al-Fatihah untuk membaca surah yang lain.

Tidak diperselisihkan lagi bahawa membaca mana-mana ayat Al-Quran setelah membaca al-Fatihah itu sememangnya disyari’atkan.

✍🏻 Antara dalil disyari’atkan pembacaan ayat-ayat Al-Qur’an setelah pembacaan al-Fatihah adalah hadith Abi Sa’id رضي الله عنه:

أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ.

Kami telah diperintah (oleh Nabi) agar membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat/surah) yang mudah (bagi kami).
(Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya. Berkata an-Nawawi dalam Majmu’ Syarah al-Muhazzab, jld. 3, ms. 285: “Sanadnya sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim.” Juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, hadith no. 818)

📌 Menurut asy-Syafi’iy رحمه الله:

Saya menyukai bahawa orang yang mengerjakan salat itu, membaca sesudah Umm Al-Quran, akan satu surah dari Al-Quran. Kalau dibacanya setengah surah nescaya memadai. Kalau hanya dibacakan Umm Al-Quran tanpa membaca apa-apa surah dari Al-Quran maka tidak perlu diulangi raka’at tersebut. Saya tidak menyukai perbuatan itu bagi mereka yang mengerjakan salat. Saya menyukai sekiranya paling kurang dibacanya sesudah Umm Al-Quran surah yang terpendek dari Al-Quran seperti surah al-Kautsar atau yang serupa dengan itu. (asy-Syafi’iy, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 260)

Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan Al-Quran yang wajib di dalam salat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat.

✍🏻 Daripada Atha’ bin Abi Rabah رحمه الله ;

عَنْ عَطَاءٍ قَالَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ
فِي كُلِّ صَلَاةٍ قِرَاءَةٌ فَمَا أَسْمَعَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْمَعْنَاكُمْ وَمَا أَخْفَى مِنَّا أَخْفَيْنَاهُ مِنْكُمْ وَمَنْ قَرَأَ بِأُمِّ الْكِتَابِ فَقَدْ أَجْزَأَتْ عَنْهُ وَمَنْ زَادَ فَهُوَ أَفْضَلُ

“Dalam setiap salat terdapat suatu bacaan, maka sesuatu yang diperdengarkan oleh Nabi ﷺ, nescaya kami memperdengarkannya kepada kalian. Dan sesuatu yang disembunyikan oleh baginda, nescaya kami menyembunyikannya dari kalian, sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan Al-Quran yang diwajibkan di dalam salat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik”.
(Sahih Muslim no. 601 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Walaupun sunat, akan tetapi tidak digalakkan meninggalkannya dengan sengaja kerana akan mengurangkan pahala salat kita.

Membaca surah atau ayat selepas al-Fatihah hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Adapun pada rakaat ketiga atau keempat, tidak disunatkan.

✍🏻 Daripada Abi Qatadah رضي الله عنه, dia meriwayatkan;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ مِنْ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ وَيُسْمِعُنَا الْآيَةَ أَحْيَانًا وَيَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُخْرَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

“Sesungguhnya Nabi ﷺ membaca pada dua rakaat yang awal (iaitu rakaat pertama dan kedua) di dalam salat Zuhur dan Asar; al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (iaitu rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Sahih Muslim no. 686)

Sebenarnya Nabi Muhammad ﷺ juga pernah membaca ayat atau surah dari Al-Quran di rakaat ketiga dan keempat dalam salat Zuhur dan Asar. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Said al-Khudri رضي الله عنه.

✍🏻 Dalilnya;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلاَةِ الظُّهْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ
فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ ثَلاَثِينَ آيَةً وَفِي الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً
(أَوْ قَالَ نِصْفَ ذَلِكَ) وَفِي الْعَصْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ
فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً وَفِي الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ نِصْفِ ذَلِكَ.

Bahawa Nabi ﷺ membaca (ayat) pada dua rakaat yang pertama dalam salat Zuhur kira-kira 30 ayat pada setiap rakaat dan pada dua rakaat yang akhir kira-kira 15 ayat. Dan pada dua rakaat yang pertama dalam salat Asar pada setiap rakaatnya kira-kira 15 ayat.
Sedang pada dua rakaat (yang akhir) setengah dari itu.
(Sahih Muslim no. 688)

Syarah:
Jadi kalau hendak membaca surah pada rakaat ketiga dan keempat, dibolehkan. Cuma tidaklah ditekankan. Hukum yang sunatnya tetap pada rakaat pertama dan kedua sahaja.

Bagi orang yang salat berjemaah, jika salat yang dikerjakan adalah salat jahriyyah (iaitu salat yang sunat diperdengarkan bacaan Al-Quran di dalamnya), memadai dia hanya mendengar bacaan surah atau ayat oleh imamnya sahaja. Tidak perlu lagi dia membaca surah atau ayat selepas al-Fatihah.

✍🏻 Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
قَالَ أَبُو عَبْد الرَّحْمَنِ كَانَ الْمُخَرِّمِيُّ يَقُولُ هُوَ ثِقَةٌ يَعْنِي مُحَمَّدَ بْنَ سَعْدٍ الْأَنْصَارِيَّ

“Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (Al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)”.

Abu Abdurrahman berkata; al Makhrami berkata; Muhammad bin Sa’ad al-Anshari orangnya tsiqah (terpercaya). (Sunan Nasa’i no. 913. Hasan Sahih menurut al-Albani)

Dikecualikan jika makmum berada berjauhan dengan imam dan tidak dapat mendengar bacaan imamnya, pada ketika itu sunat dia membaca sendiri.

Adapun jika salat yang dikerjakan ialah salat sirriyyah (iaitu salat yang tidak sunat diperdengarkan bacaan Al-Quran di dalamnya), makmum disunatkan membaca sendiri surah atau ayat selepas al-Fatihah itu, iaitu tidak memadai dengan bacaan imamnya sahaja.

✍🏻 Dalilnya, hadith daripada Jabir رضي الله عنهما;

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ
كُنَّا نَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ وَفِي الْأُخْرَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

“Kami membaca di dalam salat Zuhur dan Asar di belakang imam pada dua rakaat yang pertama surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Pada dua rakaat yang lain (iaitu rakaat ke tiga dan ke empat), kami hanya membaca al-Fatihah sahaja” (Sunan Ibnu Majah no. 834 dengan sanad yang sahih)

Rasulullah ﷺ ketika menjadi imam dalam salat begitu peka dengan keadaan makmum dalam menentukan jumlah ayat yang ingin baginda bacakan. Sekiranya ada keuzuran maka baginda akan memendekkan bacaan baginda dalam salat. Di antara keuzuran tersebut adalah sekiranya baginda terdengar suara bayi yang sedang menangis, keadaan cuaca yang mendung menunjukkan hari hendak hujan, dalam keadaan musafir dan juga ketika salat khauf.

✍🏻 Dalilnya adalah sebuah hadith daripada Qatadah bahawa Anas bin Malik رضي الله عنهما menceritakan kepadanya;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
إِنِّي لأَدْخُلُ فِي الصَلاَةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا
فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي
مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ.

Bahawa Nabi ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya aku masuk dalam salat dan berkeinginan untuk memperpanjangkan salat tersebut. Lalu aku mendengar tangisan anak kecil, maka aku pun meringankan salatku kerana aku mengetahui besarnya kesedihan ibu anak itu kerana tangisannya.
(Sahih Bukhari no. 709).

📍 Maka, sebagai imam kena tengok kesesuaian makmum. Kalau ada orang tua, atau ada anak-anak kecil, maka boleh baca surah yang pendek-pendek sahaja.


1. Surah-surah apakah yang dibaca Nabi ﷺ pada salat-salatnya?

Memang ada hadith-hadith yang menyebut surah-surah yang Nabi ﷺ baca pada Salat Subuh, Zuhur dan sebagainya. Tetapi itu bukanlah penetapan. Kerana Nabi ﷺ pun menukar-nukar surah yang baginda baca. Kadangkala Nabi ﷺ baca panjang dan adakala baginda baca surah yang pendek.

Pada dasarnya kita boleh memilih apa sahaja ayat-ayat dari Al-Quran yang mudah untuk dibaca setelah pembacaan Umm al-Kitab.

✍🏻 Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Abi Said رضي الله عنه:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ
أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ

“Kami telah diperintah (oleh Nabi ﷺ) supaya kami membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat/surah) yang mudah (bagi kami).
(Sunan Abu Daud no. 695)

📍 Menurut Syaikh Sayyid Sabiq رحمه الله: “Rasulullah ﷺ tidaklah menentukan surah-surah tertentu yang dibaca pada waktu salat tertentu hingga tidak boleh membaca yang lain…” (Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah)


2. Nabi ﷺ pernah membaca surah-surah yang serupa (dan tidak) pada satu rakaat

Maksud ‘serupa’ itu adalah surah-surah itu ada persamaan dari segi kandungan makna dan kisah di dalamnya. Tapi tidaklah semestinya semua surah itu kena ada persamaan. Maka boleh dibaca lebih dari satu surah dalam satu rakaat.

Rasulullah ﷺ pernah membaca Surah ar-Rahman dan an-Najm dalam satu rakaat; Surah al-Qamar dan al-Haqqah pada satu rakaat; Surah ath-Thur dan adz-Dzaariyat pada satu rakaat; Surah al-Waqiah dan al-Qalam pada satu rakaat; Surah al-Ma’ariji dan an-Naaziat pada satu rakaat; Surah al-Mutaffifeen dan ‘Abasa pada satu rakaat; Surah al-Insan dan al-Qiyaamah pada satu rakaat; dan Surah an-Naba’ dan al-Mursalaat pada satu rakaat.

Oleh kerana ada dalil di atas, maka kalau membaca dua surah dalam satu rakaat, maka dibolehkan.

Kebiasaan dalam salat sirriyyah apabila kita telah menghabiskan bacaan sesuatu surah atau ayat dari Al-Quran dan imam pula masih belum rukuk maka kita akan hanya menunggu imam tersebut untuk menghabiskan bacaannya tanpa membaca apa-apa.

Maka dari hadith ini dapatlah kita fahami bahawa bukanlah menjadi satu kesalahan untuk kita membaca beberapa surah sementara menunggu imam untuk rukuk. Malah perbuatan ini adalah lebih baik kerana sekiranya kita tidak membaca apa-apa maka fikiran kita tentu akan mengelamun tentang perkara-perkara lain yang tidak berkaitan dengan ibadah salat.


3. Sifat Qira’ah Nabi ﷺ

Berikut diterangkan tentang cara-cara Nabi ﷺ membaca Al-Quran yang dipetik dari hadith-hadith Nabi ﷺ iaitu:

a. Membaca dengan jelas, satu huruf demi satu huruf

✍🏻 Daripada Abdullah bin ‘Amru, dia berkata;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ..

“Rasulullah ﷺ bersabda: “Dikatakan kepada orang yang membaca Al Qur’an: “Bacalah, dan naiklah, serta bacalah dengan tartil (jangan terburu-buru), sebagaimana engkau membaca dengan tartil di dunia …”
(Sunan Abu Daud no. 1252. Dinilai hasan sahih oleh al Albani رحمه الله)

b. Memanjangkan bacaan sesuai dengan hukum tajwid

✍🏻 Daripada Qatadah, dia berkata;

عَنْ قَتَادَةَ قَالَ
سَأَلْتُ أَنَسًا عَنْ قِرَاءَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ كَانَ يَمُدُّ مَدًّا

“Aku bertanya kepada Anas bin Malik, “Bagaimanakah cara Rasulullah ﷺ membaca Al-Quran?” Anas menjawab, “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).” (Abu Daud no. 1253. Sahih menurut al-Albani)

c. Memotong bacaan pada setiap ayat

✍🏻 Dalilnya;

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ
أَنَّهَا ذَكَرَتْ أَوْ كَلِمَةً غَيْرَهَا قِرَاءَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
{ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ }
يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةً

Daripada Ummu Salamah bahawa dia menyebutkan -atau kalimat yang lainnya- bacaan Rasulullah ﷺ ;

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ, الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ, الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ, مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ

baginda membacanya dengan memutus bacaan satu ayat-satu ayat.”
(Sunan Abu Daud no. 3487 dan dinilai sahih oleh al-Albani رحمه الله. Sunan at-Tirmizi no. 2851)

d. Kadang kala dengan suara yang perlahan, kadang kala dengan suara yang kuat

✍🏻 Daripada Abdullah bin Abi Qais, dia berkata;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَيْسٍ قَالَ
سَأَلْتُ عَائِشَةَ كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّيْلِ أَكَانَ يُسِرُّ بِالْقِرَاءَةِ أَمْ يَجْهَرُ فَقَالَتْ كُلُّ ذَلِكَ قَدْ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا أَسَرَّ بِالْقِرَاءَةِ وَرُبَّمَا جَهَرَ فَقُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي الْأَمْرِ سَعَةً
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ

“Aku bertanya kepada mengenai bacaan Rasulullah ﷺ, “Adakah Baginda membaca secara perlahan ataupun kuat?” Aisyah menjawab, “Kedua-dua cara itu pernah dilakukan oleh baginda. Kadang kala Baginda baca dengan perlahan, dan kadang kala Baginda baca dengan kuat.” Aku membalas, “Seluruh pujian kepada Allah yang memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara ini. ”
Abu Isa berkata, bahawa hadith ini hasan sahih gharib. (Sunan Tirmidzi no. 411 dan dinilai Sahih oleh al-Albani رحمه الله)

e. Membaca Al-Quran pada waktu malam

✍🏻 Dalilnya;

عَنْ أُمِّ هَانِئٍ بِنْتِ أَبِي طَالِبٍ قَالَتْ
كُنْتُ أَسْمَعُ قِرَاءَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّيْلِ وَأَنَا عَلَى عَرِيشِي

Ummu Hani binti Abi Thalib berkata:
“Aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ membaca (Al-Quran) pada waktu malam, dan ketika itu aku berada di atas tempat tidur.” (Sunan Ibnu Majah no. 1339)

f. Membaca dengan suara yang merdu

✍🏻 Dalilnya;

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Daripada Al Bara` bin ‘Azib ia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Perindahlah Al-Quran dengan suara kalian.” (Sunan Abu Daud no. 1256)


4. Membaca Al-Quran dengan tartil dan membaguskan suara ketika membacanya

Allah ﷻ memerintahkan kita agar kita membaca Al-Quran dengan tartil.

✍🏻 firman-Nya ﷻ :

وَرَتِّلِ الْقُرْءَانَ تَرْتِيلا

Dan bacalah al-Qur’an itu dengan tartil. (Al-Muzammil: 4)

📍 Tetapi bagaimanakah bacaan yang dikira sebagai tartil? Berikut beberapa keterangan sahabat tentang makna tartil:

1⃣. Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه menjelaskan makna tartil dalam ayat,
”Mentajwidkan huruf-hurufnya dengan mengetahui tempat-tempat berhentinya”. (Syarh Mandhumah Al-Jazariyah, hlm. 13)

2⃣. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan,

بينه تبييناً
Dibaca dengan jelas setiap hurufnya.

3⃣. Abu Ishaq رضي الله عنه pula mengatakan,

والتبيين لا يتم بأن يعجل في القرآة، وإنما يتم التبيين بأن يُبيِّن جميع الحروف ويوفيها حقها من الإشباع

Membaca dengan jelas tidak mungkin boleh dilakukan jika membacanya terburu-buru. Membaca dengan jelas hanya boleh dilakukan jika dia menyebut semua huruf, dan memenuhi cara pembacaan huruf dengan benar. (Lisan al-Arab, 11/265).

📌 Oleh itu, inti tartil dalam membaca adalah membacanya perlahan-perlahan, jelas setiap hurufnya, tanpa berlebihan. (Kitab al-Adab, as-Syalhub, hlm. 12)

Maka, sebaik mungkin, kita kena belajar tajwid supaya kita tahu bagaimana bacaan yang benar. Tetapi tidaklah ini mengganggu kita untuk mengerjakan salat pula. Kalau masih tidak tahu tajwid, maka boleh sahaja baca setakat yang kita mampu. Tetapi tidaklah boleh jadi imam lagi.

Kita hendaklah sedaya upaya membaca Al-Quran dengan bacaan yang indah.

✍🏻 Rasulullah ﷺ bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya: Hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu. (Sunan Nasa’i no. 1015, daripada al- Bara’ رضي الله عنه)

Berdasarkan sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Lubabah رضي الله عنه.

✍🏼 Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: Bukan dari kalangan kami sesiapa yang tidak melagukan bacaan Al-Quran.
(Sunan Abu Daud no.1471. Hasan Sahih menurut al-Albani)

Syarah: melagukan Al-Quran ini seperti yang kita biasa dengar qari-qari seperti Imam Abdurrahman as-Sudais حفظه الله baca. Mereka ada lenggok mereka sendiri. Maka kita pun boleh juga melagukan dengan cara kita.

Bukanlah maksud ‘lagu’ dalam ayat ini seperti tarannum seperti Bayati, Soba, Hijaz dan lain-lain.

Lebih-lebih lagi, bukanlah hendak lagukan ikut lagu Hindustan, pop yeh yeh dan sebagainya. Jangan buat perkara yang tidak pernah dilakukan pada zaman dahulu. Cuba dengar bacaan qari yang terkenal, sedap sahaja mereka baca walaupun mereka tidak ikut irama lagu-lagu tertentu. Ada yang perlahan, ada yang laju. Maka kita boleh ikut kesesuaian kita: kalau hendak rancak sedikit maka kita lagukan laju sedikit.


5. Apakah yang diucapkan jika seseorang membaca akhir dari surah Qiyaamah dan awal Surah al A’la?

Ada beberapa ayat yang apabila dibaca, ada jawapan yang disunatkan untuk menjawabnya. Ini boleh dibaca di dalam salat mahu pun di luar salat.

✍🏻 Dua ayat Al-Quran yang sunnah dijawab;

1⃣. Al-Qiamah: 40

Daripada Musa bin Abi Aisyah رحمه الله, beliau menceritakan;

“Ada orang yang salat di atas rumahnya, ketika dia membaca,

أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى

(Bukankah Dzat yang demikian itu lebih mampu menghidupkan yang mati?)”

Maka dia mengucapkan,

” سُبْحَانَكَ “

“Maha Suci Engkau”

lalu dia menangis. Mereka pun bertanya kepada lelaki tersebut perihal perbuatannya itu. Dia menjawab, “Aku pernah mendengarnya daripada Rasulullah ﷺ.”

(HR. Abu Daud no. 750 dan sahih menurut al-Albani).

2⃣. Satu lagi adalah ayat al-A’la:1. Ini berdasarkan satu hadith riwayat Ibnu Abbas رضي الله عنهما;

حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ إِسْرَائِيلَ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ مُسْلِمٍ الْبَطِينِ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَرَأَ ‏{‏ سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى ‏}‏ قَالَ ‏”‏ سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى ‏”‏ ‏.‏

Ibnu Abbas meriwayatkan: “Apabila Nabi ﷺ membaca سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى maka baginda membaca: سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى (Maha Suci Rabbku yang Maha Tinggi).

(Sunan Abi Daud no.749, sahih menurut al-Albani)


6. Waktu-waktu Surah Fatihah dan surah lainnya dibaca dengan jahar dan sirr

Ada waktu dianjurkan untuk melirihkan bacaan ayat dan ada kalanya dianjurkan jahr. Secara umumnya begini: Salat Subuh, Maghrib dan Isyak dijaharkan pada dua rakaat pertama (ini kita semua sudah tahu). Salat Zuhur dan Asar dilirihkan bacaannya.

Salat Jumaat, Solat Eid, Salat Gerhana dan Istisqa’ juga dijaharkan bacaannya.

Untuk salat sunat yang dikerjakan siang hari, tidak perlu dikeraskan bacaan. Untuk salat sunat yang dikerjakan pada malam hari pula, boleh pilih sama ada untuk mengeraskan atau melirihkan bacaan. Tetapi yang lebih molek adalah pertengahan diantara keduanya.

✍🏻 Dalilnya dari sebuah hadith yang menjelaskan:

عن أبي قتادة رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم خرج ليلة فإذا هو بأبى بكر رضى الله عنه يصلى يخفض من صوته . قال : و مر بعمر رضى الله عنه و هو يصلى رافعا صوته. قال : فلما اجتمعا عند النبى صلى الله عليه و سلم. قال يا أبا بكر مررت بك و أنت تصلى تخفض صوتك. قال : قد أسمعت من ناجيت يا رسول الله . قال : فارفع قليلا . ثم قال لعمر : مررت بك و أنت تصلى رافعا صوتك ؟ فقال يا رسول الله أوقظ الوسنان و أطرد الشيطان. قال : إخفض من صوتك شيئا.

“Diriwayatkan dari Abu Qatâdah رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ pernah keluar pada suatu malam. Lantas beliau mendapati Abu Bakar رضي الله عنه sedang salat dengan melirihkan suaranya. Beliau juga mendapati Umar رضي الله عنه sedang salat dengan mengeraskan suaranya. Tatkala mereka berdua berkumpul bersama Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Wahai Abu Bakar, aku melewatimu saat kamu salat dengan suara lirih.” Abu Bakar berkata: “Sungguh suaraku terdengar oleh Dzat yang menjadi objek munajatku wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Keraskanlah sedikit suaramu!.” Kemudian Rasulullah bersabda kepada Umar : “Aku berjalan melewatimu saat kamu salat dengan mengeraskan suara.” Umar berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin membangunkan orang yang kantuk dan mengusir setan.” Baginda bersabda: “Perlahankanlah sedikit suaramu!.” (HR. Abu Daud no. 1133 dan al-Hakim. Disahkan oleh al-Hakim dan disetujui oleh az-Zahabi)

Syarah: Maka kita pilih suara yang agak-agak pertengahan di antara keduanya.

Setelah membaca surah, maka kita akan bergerak ke rukuk bersama dengan takbir.


SOAL JAWAB KELAS
==========================

1. Bolehkah membaca surah yang sama pada kedua-dua rakaat atau membaca dua hingga tiga ayat dari surah yang panjang?

🔵 Kedua-dua cara tersebut boleh, tetapi ia bukanlah sunnah.

Dalil dibolehkannya amalan tersebut adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud (no. 816), daripada seorang lelaki dari Juhainah, bahawasanya dia mendengar Nabi ﷺ membaca (اذا زلزلت الارض) (surat Az-Zalzalah) pada kedua rakaat salat Subuh. Dan aku tidak tahu apakah Rasulullah ﷺ lupa, ataukah beliau membacanya dengan sengaja.”

Dihasankan oleh Syaikh Al Albani رحمه الله dalam “Sahih Sunan Abi Daud“.

Syaikh Al Albani رحمه الله menulis dalam kitab beliau “Sifat Salat Nabi” (hal. 90): “Tampaknya Nabi ﷺ melakukannya dengan sengaja, sebagai bentuk pensyariatan (hal tersebut).”

Kena faham beza ‘dibolehkan’ dan ‘masyru’ (disyariatkan). Ada yang Nabi ﷺ buat sekali sekala dan ada yang sahabat buat dan Nabi ﷺ tidak larang. Maknanya, ia boleh dilakukan, tetapi tidaklah sampai ke tahap sunat yang kita perlu ulang-ulang buat. Kita lihat bagaimana Syaikh Utsaimin menjelaskan hal ini:

Syaikh Ibnu Utsaimin رحمه الله berkata:

“Berdasarkan tinjauan tersebut, bahwasanya ia dibolehkan, namun tidak disyari’atkan: Kisah seorang lelaki yang diutus oleh Nabi ﷺ mengutus satu pasukan yang dipimpin oleh seorang lelaki. Pemimpin pasukan tersebut biasa mengimami para sahabatnya dan mengakhiri bacaannya dengan surah al-Ikhlas. Ketika mereka kembali dan mengabarkan hal tersebut kepada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tanyakanlah kepadanya mengapa dia melakukannya?”, kemudian lelaki tersebut menjawab, “Sesungguhnya surah tersebut mengandung sifat-sifat Ar-Rahman, dan aku senang membacanya.” Maka Nabi ﷺ bersabda, “Beritahukanlah kepadanya bahwa Allah mencintainya.” Nabi ﷺ menyetujui amalan lelaki tersebut, iaitu ia mengakhiri bacaan salatnya dengan surat al-Ikhlas. Akan tetapi, Rasulullah ﷺ tidak mensyari’atkannya, kerana beliau tidak mengakhiri bacaan salatnya dengan surah al-Ikhlas, tidak pula memerintahkan ummatnya untuk melakukannya. Maka menjadi jelaslah dengan keterangan ini bahawasanya ada amalan-amalan yang dibolehkan, namun tidak disyari’atkan. Maksudnya, jika ada orang yang melakukannya maka ia tidak diengkari, akan tetapi tidak dituntut untuk berbuat demikian. ” (Selesai kutipan dari “Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin” 17/252)

Jadi kalau orang tanya hukum: Bolehkah baca surah yang sama pada rakaat ke dua, jawapannya: Ya, boleh.

Tetapi ia bukanlah sunnah. Kita sebagai pelajar hendaklah mencari sebanyak mungkin pahala dan ikut sebanyak mana sunnah yang kita boleh ikut.

 

2. Jikalau membaca surah selain al-Fatihah pada rakaat ketiga dan keempat bukan sunat, maka adakah tiada pahala?

🔵 Boleh dapat pahala tetapi bukan tahap sunat dan bukan untuk dilazimi.

 

3. Adakah membaca surah lain pada rakaat ketiga dan keempat sunnah untuk ditinggalkan atau dilakukan?

🔵 Ia setakat boleh sahaja. Katakanlah kita sudah habis baca al-Fatihah, tetapi imam masih tidak habis lagi. Kalau lama, boleh kita baca surah dahulu. Tetapi bukanlah untuk dilazimi. Perkara yang dilazimkan adalah baca pada rakaat pertama dan kedua.

 

4. Adakah surah selain al-Fatihah perlu dimulakan dengan basmallah?

🔵 Ia sama seperti perbincangan sebelum ini sama ada basmalah sebahagian dari surah atau pun tidak. Jadi, boleh pilih salah satu. Hendak baca boleh; tidak baca pun boleh juga.

 

5. Bagaimanakah untuk mengamalkan bacaan surah selepas al-Fatihah ini?
i. Perlu dibaca seluruh surah sepenuhnya?
ii. Dibaca awal tetapi tidak dihabiskan?
iii. Dibaca pertengahan hingga akhir surah?
iv. Dibaca mana2 sahaja ayat Al-Quran, bukan permulaan mahupun akhir surah, juga tidak dihabiskan bacaan?
v. Awal surah dibaca pada raakat pertama dan akhir surah dibaca pada rakaat kedua?

🔵 i. Ini sunnah terbaik.
ii. Boleh.
iii. Boleh.
iv. Boleh.
v. Boleh.

 

6. Adakah kalau kita hendak baca dua surah dalam satu rakaat kita perlu baca ikut urutan surah seperti dalam Al-Quran?

🔵 Hal ini disebut sebagai tankis al-surah, iaitu membaca surah selepas kemudian baru membaca surah yang sebelumnya. Seperti contoh, seseorang yang membaca surah an-Nas, kemudian dia membaca surah al-Falaq berikutnya. Ia menjadi perbincangan ulama’ yang panjang lebar.

 

7. Adakah makruh hukumnya kalau tidak ikut urutan?

🔵 Tentunya ada khilaf sama ada boleh atau tidak. Pendapat yang rajih, hukumnya adalah makruh dan khilaf aula (menyelisihi keutamaan) di sisi jumhur para fuqaha.

 

8. Adakah begitu juga kalau rakaat pertama mesti baca al-Falaq dahulu dan rakaat kedua baca an-Nas walaupun an-Nas ada 6 ayat?

🔵 Sebaiknya baca Al-falaq dahulu pada rakaat pertama dan an-Nas pada rakaat kedua. Bilangan ayat tidak dikira.

 

9. Bagaimana pula kalau 2 rakaat ba’diah Isyak dan 1 Witir dibaca surah al-Mulk setiap satu rakaat 10 ayat? Bolehkah dijadikan amalan tetap?

🔵 Boleh. Tetapi cubalah jangan dijadikan amalan tetap. Tambahlah ayat-ayat lain pula.

Dibenarkan kalau itu sahaja ayat yang dihafal. Tetapi janganlah selama-lama baca ayat itu sahaja.

 

10. Baca surah ikut urutan ini boleh buat khatam Al-Quran masa salat?

🔵 Ya, tentu sekali.

Para sahabat tadabbur Al-Quran dalam salat mereka (salat sunat). Ini adalah waktu paling baik untuk tadabbur Al-Quran kerana waktu itu memang tidak buat kerja lain dan tumpu buat ibadat sahaja kerana sedang salat.

Tetapi, kalau hafal surah al-Ikhlas dan an-Nas sahaja, tidak dapatlah tadabbur.

Selalunya ini juga dilakukan oleh orang kita semasa Tarawih. Sebab itu ulama’ dahulu buat pembahagian Al-Quran yang dinamakan ruku’. Ada 540 ruku’ dalam Al-Quran. 20 rakaat x 27 hari = 540 ruku’.

“Maka, sebagai imam kena tengok kesesuaian makmum. Kalau ada orang tua, atau ada anak-anak kecil, maka boleh baca surah yang pendek-pendek sahaja.”

 

11. Berdasarkan perkara di atas, adakah itu maksudnya imam hanya disunatkan memendekkan bacaan surah-surah sahaja dan bukan pendekkan rukuk, sujud dan bilangan rakaat?

🔵 Tidaklah seperti itu.

 

12. Bagaimanakah adab membaca Al-Quran? Adakah dibaca al-Fatihah atau basmalah dahulu atau masih ada tuntutan lain yang perlu di buat semasa hendak mula membaca Al-Quran?

🔵 Isti’azah dan bismillah sahaja.

 

13. Adakah dituntut melagu-lagukan azan sepertimana dituntut membaca Al-Quran dengan suara yang baik?

🔵 Tidak boleh.

 

14. Jika tidak menjadi sunat membaca Al-Quran dengan tarannum, apakah keperluan belajar taranunm?

🔵 Tidak ada keperluan. Dahulu apabila Parsi ditakluk Islam, raja-rajanya suka lagu. Apabila tidak boleh ada nyanyian, maka mereka nyanyikan Al-Quran dengan lagu kegemaran mereka yang terdahulu.

 

15. Adakah ini bermaksud mengikuti bacaan qiraat yang 7, bukanlah bertaranum seperti selalu di pertandingan tilawah Al-Quran?

🔵 Qiraat lain dengan tarannum. Qiraat ini umumnya tidak diamalkan lagi kecuali kalau ada yang tahu sahaja.

 

16. Berapakah jumlah sebenar Qiraat dan bolehkah kita menukar-nukar Qiraat di dalam salat?

🔵 Bilangan Qiraat yang mutawatir ada 7. Ilmu Qiraat ini ilmu tinggi. Kalau tidak mahir, tidak perlu tukar. Kalau tahupun, elok tidak diamalkan sekiranya jadi imam sebab boleh buat orang keliru. Pernah terjadi makmum mufaraqah kerana dia tidak tahu imam pakai Qiraat lain.

 

17. Jika kita salat sendirian terutama salat sunat iaitu salat Tahajud, bolehkah kita baca surah yang panjang (tetapi belum hafal) sambil pegang Al-Quran?

🔵 Timbul perkara ini kerana kita hendak membaca lebih banyak ayat Al-Quran dalam salat. Lagi banyak ayat Al-Quran, lagi banyak pahala dalam salat.

Memegang mushaf menjadi khilaf dan perbincangan yang banyak diantara ulama’. Ringkasnya, ada yang membenarkan dan ada tidak. Mazhab Hanbali dan Syafi’iy membenarkan sedangkan mazhab Hanafi tidak membenarkan langsung.

Sebab tidak galakkan kerana ia mengganggu juga. Banyak pergerakan, tidak dapat sedekap ikut sunnah, mengganggu konsentrasi kerana hendak tengok bacaan.

Kesimpulannya, boleh tetapi hanya di dalam salat sunat sahaja. Selalunya dilakukan dalam salat Tarawih tetapi kalau salat sunat yang lain pun boleh juga.

Dalil yang membenarkan dalam salat sunat:

عن عائشة أم المؤمنين رضي الله عنها أنها كان يؤمها عبدها ذكوان ويقرأ من المصحف

Daripada Aishah Ummul Mukminin رضي الله عنها, sesungguhnya dia telah diimamkan oleh budak suruhannya bernama Zakwan dalam keadaan Zakwan membaca daripada Mushaf . (Diriwayatkan secara mua’llaq oleh Imam Bukhari dalam Bab 436 Hukum Berimam Dengan Budak Suruhan/Maula. Turut diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Abi Shaibah. Menurut Imam Ibn Hajar, athar ini adalah sahih).

Apa yang Zakwan lakukan adalah salat Tarawih. dan diringankan bab ini dalam salat sunat kerana memang salat sunat agak longgar. Kerana itu salat sunat boleh kalau dilakukan sambil duduk atau baring.

 

18. Apakah hukum kalau salat sunat sambil pegang handphone?

🔵 Hukum yang sama, sebab sekarang dalam handphone sudah ada mushaf.

Tetapi kena flight mode supaya tidak terganggu dengan panggilan dan pesanan yang masuk.

 

19. Adakah berbisik termasuk kepada bacaan pertengahan? Bagaimana pula jika bacaan tidak didengari? Adakah sah salat?

🔵 Berkenaan bab ‘Rukun Qawli’ yang selalu disebut di dalam media sosial itu tidak ada dalilnya. Selalu disebutkan bahawa perlu didengari pada telinga.

Ini tidak benar dan tiada dalilnya. Ia menjadi masalah apabila dihukumkan tidak sah salat.

Yang sebenarnya adalah perlu disebut dan diucapkan oleh mulut tetapi tidak semestinya perlu didengari pada telinga.

Yang disebut pertengahan di dalam kelas kita malam ini adalah apabila solat jahr (kuat) maka hendaklah suara itu pada pertengahan kerana itulah yang terbaik.

 

20. Bagaimana pula dengan salat jenazah di malam hari? Adakah perlu jahr atau sirr?

🔵 Salat jenazah tetap dibaca secara sirr, sama ada malam atau siang. Dari Abu Umamah dia berkata:

السُّنَّةُ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الْجَنَازَةِ أَنْ يَقْرَأَ فِي التَّكْبِيرَةِ الأُولَى بِأُمِّ الْقُرْآنِ مُخَافَتَةً ثُمَّ يُكَبِّرَ ثَلاَثًا وَالتَّسْلِيمُ.

Berdasarkan as-Sunnah salat jenazah adalah membaca Al-Fatihah sesudah takbir pertama secara perlahan, kemudian diikuti dengan takbir sebanyak tiga kali dan sesudahnya salam.
[Sunan An-Nasai no.1963]

 

21. Adakah bacaan akhir surah Al-Qiyamah dan awal surah Al-A’la perlu dijawab secara sirr di dalam salat?

🔵Ya.

 

22. Adakah sunat menjawab bacaan akhir surah Al-Qiyamah dan awal surah Al-A’la yang dibaca sendiri?

🔵 Sama ada kita membaca sendiri atau kita mendengar bacaan orang lain.

 

📜 SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Jika seorang lelaki berpuasa qadha kemudian, kemudian puasanya batal kerana jimak dengan isteri, adakah hukumnya macam puasa fardhu, kena kaffarah puasa dua bulan berturut-turut?

🔵 Ibnu Rusyd di dalam kitab Bidayatul-Mujtahid berkata, “Jumhur ulama’ sepakat bahawa tidak ada kewajiban membayar kaffarah akibat membatalkan puasa qadha Ramadhan secara sengaja. Hal ini karena di dalam puasa qadha tidak ada unsur kemuliaan dalam waktu pelaksaannya, iaitu bulan Ramadhan.”

 

2. Adakah makruh kalau sengaja batalkan puasa qadha’?

🔵 Puasa qadha’ macam puasa wajib. Tidak boleh dibatalkan.

Berkata Syaikh Utsaimin رحمه الله:

Jika seseorang telah memulai puasa wajib seperti puasa qadha Ramadan dan kifarah sumpah, dan kifarah fidyah memotong rambut dalam ibadah haji jika seorang yang berihram menggundul kepalanya sebelum tahalul, atau puasa serupa yang wajib maka tidak dibolehkan dalam puasa seperti itu membatalkannya tanpa uzur syarie.

Demikian pula, siapa yang telah memulai melakukan amal yang wajib, maka dia harus menyempurnakannya, tidak boleh dia batalkan kecuali ada uzur syarie yang membolehkannya untuk membatalkan.

 

3. Benarkah jika sengaja membatalkan qadha puasa Ramadhan tanpa uzur syarie, hukumnya bukan makruh tetapi berdosa sebab ia sama dengan puasa wajib?

🔵 Ya, benar. Umpama batalkan puasa ramadhan juga.

 

4. Apakah contoh uzur syarie?

🔵 Maksudnya sakit sangat sampai tidak tahan. Kalau terus puasa juga, boleh mudarat. Lembik longlai, sudah muntah-muntah atau demam. Kena jujur menilai sendiri. Sebab sendiri tahu mampu atau tidak. Nanti sendiri kena jawab dengan Tuhan (“kenapa kamu buka puasa hari itu?”).

 

5. Apakah maksud “cengkaman anjing-anjing-Mu” dalam bacaan doa qunut Nazilah?

🔵 Doa qunut Nazilah tidak ada yang standard. Boleh berubah-ubah ikut keadaan.

Ini kaedah bahasa arab lama. Isyarat kepada mereka dimusnahkan oleh serangan dari Allah. Anjing itu boleh jadi anjing betul atau tentera dari manusia. Nabi Muhammad pun pernah doa begitu untuk Abu Lahab.

Contoh kita doa untuk musnahkan Israel zionis. Allah boleh hantar tentera Amerika yang musnahkan mereka.

 

6. Adakah itu maksudnya “anjing neraka” yang berasal dari khawarij?

🔵 Bukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s