F. Berdiri pada Salat Fardhu (Qiyam)

BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT

F. Berdiri pada Salat Fardhu (Qiyam)

Jikalau kita mampu, maka wajib untuk salat berdiri dalam Salat Fardhu. Inilah yang dinamakan ‘qiyam’. Kalau salat sunat, memang ada pilihan sama ada mahu salat duduk atau berdiri. Tetapi kalau salat fardhu, wajib berdiri.

Tentunya tengok keadaan. Kalau tidak mampu, maka boleh salat duduk, baring, malah salat dengan mata pun boleh.

✍🏻 Ini berdasarkan firman-Nya:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.
(Surah al-Taghabun: 16)

Dan ini juga berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain رضي الله عنه katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang salat.

✍🏻 Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

“Bersalatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”
(HR. al-Bukhari no.1066)

Malah, kalau dalam keadaan takut, seseorang boleh salat fardhu sambil berjalan kaki atau di atas kenderaan. Dalam keadaan itu, qiblat pun sudah tidak dikira lagi.

Kalau seseorang itu terpaksa salat tanpa berdiri kerana keuzuran, dia akan tetap dapat pahala yang sama kalau dia salat berdiri.

✍🏼 Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

َ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan ketika dia beramal dalam keadaan dia bermukim dan juga dalam keadaan dia sihat.
(Sahih Bukhari no. 2274)

Bagaimana kalau boleh berdiri tetapi keadaan tidak sesuai, seperti salat di atas perahu di tengah gelombang lautan? Boleh juga duduk. Ini berdasarkan satu hadith:

✍🏻 Dalam sebuah hadith, Ibnu Abbas رضي الله عنهما bertanya kepada Rasulullah ﷺ :

يا رسولَ اللهِ كيف أُصَلّي في السفينَةِ قال صلّ فيها قائما إلا أن تخافَ الغرقَ

“Wahai Rasulullah, bagaimana cara salat di atas perahu? Baginda bersabda: ‘salatlah di dalamnya sambil berdiri, kecuali jika engkau takut tenggelam‘”
(HR. Ad Daruquthni 2/68, disahihkan Al Albani dalam Sahih Al Jami 3777. Menurut al-Baihaqi; hadith ini hasan. Lihat Faidhul-Qadier, hadith no. 5009 ).

Syarah: Maknanya, kita ikut kemampuan kita. Kalau rasa mampu salat berdiri kerana mungkin keadaan laut tidak bergelombang sangat, maka berdirilah. Kalau tidak boleh, barulah duduk. Jangan terus duduk.

Seperti yang telah disebut, salat sunat boleh dibuat secara duduk malah boleh berbaring.

✍🏻 Nabi ﷺ bersabda:

من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ

“Sesiapa yang salat secara berdiri itulah yang afdal, dan sesiapa yang bersalat secara duduk dia mendapat separuh pahala salat berdiri dan sesiapa yang bersalat secara mengiring dia mendapat separuh pahala salat duduk.”
( HR. al-Bukhari no. 1065)

Syarah: Maka boleh kalau mahu salat sunat duduk (tanpa sebab apa-apa) tetapi pahalanya jadi separuh dan kalau salat berbaring, pahala jadi suku. Mungkin jarang kita buat di negara ini. Tetapi kalau di negara lain, ada yang buat.

Sebagai contoh, imam salat terawih lama sangat, maka ada yang tidak tahan dan duduk dalam saf dan malah ada yang berbaring pun. Apabila kita tahu hukum, maka boleh sahaja kita melakukannya.

Semasa kita berdiri qiyam, tentunya yang pertama sekali kita baca adalah Surah Fatihah.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS ☘️
========================

1. Bagaimanakah keadaan seseorang yang tidak mampu berdiri tetapi yang mampu sujud? Adakah boleh sujud dengan duduk di atas kerusi?

🔵 Lakukan bahagian mana yang termampu. Jika boleh diri, maka perlu berdiri.

2. Bagaimanakah keadaan salat sambil berjalan kaki? Adakah perlu berhenti ketika rukuk dan sujud kemudian sambung berjalan kembali?

🔵 Situasinya adalah semasa itu sedang dikejar musuh. Maka tidak sempat hendak berhenti untuk rukuk dan sujud. Oleh itu, lakukan dengan isyarat sahaja.

3. Bagaimanakah salat sunat secara duduk atau baring ini? Adakah perlu takbiratul ihram secara berdiri kemudian terus duduk atau mulakan dengan keadaan duduk?

🔵 Takbir ketika duduk atau baring.

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Apakah hukum mengulangi bacaan Al-Fatihah kerana was-was dengan bacaan kita?

🔵 Ini adalah masalah was-was kerana gangguan syaitan. Ini perlu diperbaiki penyakit itu.

2. Adakah boleh ketika membaca Al-Fatihah tetapi hati fokus dengan terjemahan Al-Fatihah?

🔵 Boleh, itu adalah peringkat yang permulaan. Peringkat perlu menterjemah dahulu di dalam fikiran kerana tidak mahir bahasa Arab.

Apabila sudah mahir nanti, maka sudah boleh fokus pada bacaan tanpa perlu menterjemahkannya.

3. Adakah benar sukar untuk khusyuk jika kita tidak memahami konsep ihsan? Untuk mendalami tafsir ini, adakah perlu menghadiri kelas tafsir atau sekadar rujuk kitab tafsir sahaja?

🔵 Ada banyak tempat sudah boleh mempelajari tafsir sekarang. Di UiTO ini pun ada beberapa kelas tafsir dan saya pun sudah tafsirkan surah Al-Fatihah dalam group yang lain.

Boleh membaca sendiri kitab tafsir, tetapi lebih baik jika ada guru yang mengajar kerana jika sekadar membaca sahaja, lebih susah hendak faham.

Ya, konsep ihsan itu perasaan seperti Allah sedang melihat kita. Tetapi dimulakan dengan tafhim (faham apa yang dibaca). Kita faham apa yang kita sebut, kita dapat rasai seperti sedang berdialog dengan Allah dan senanglah sedar yang Allah sedang memerhatikan kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s