Tajuk :
1. Melirihkan Bacaan Ta’awwuz
2. Membaca Ta’awwuz Pada Setiap Rakaat
BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT
E. Isti’azah (membaca Ta’awwuz)
Isti’adzah atau ta’awwuz (ada dua panggilan) ini adalah lafaz:
اَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
Kalau inginkan bacaan yang panjang, boleh dibaca:
أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ
“A’udzu billahis samii’il ‘aliim, minasy syaithoonir rojiim min hamzihi wa nafkhihi wa naftsih (ertinya: aku berlindung kepada Allah Yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui dari gangguan syaitan yang terkutuk, dari kegilaannya, kesombongannya, dan nyanyiannya yang tercela).”
(HR. Abu Daud no. 775 dan Tirmizi no. 242. Al Hafiz Abu Thahir mengatakan sanad hadith ini hasan).
Tetapi boleh sahaja dibaca yang pendek itu.
✍🏻 Dalil membaca ta’awwuz ini adalah ayat Nahl:98
فَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ فَاستَعِذ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ
Apabila kamu membaca Al Qur’an hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.
Tafsir: Oleh kerana sebentar lagi akan dibacakan Surah Fatihah dalam salat, maka kerana itu disyariatkan membaca ta’awwuz.
1. Memperlahankan bacaan ta’awwuz
Jumhur Ulama’ berpendapat ta’awwuz dibaca senyap. Cuma Imam as-Syafi’iy berpendapat boleh pilih sama ada membaca jahr atau sirr di dalam salat yang jahr.
2. Membaca ta’awwudz pada setiap rakaat
📌 Ini adalah satu persoalan: Adakah ta’awuz itu dibaca pada rakaat pertama sahaja atau pada setiap rakaat?
Disyariatkan untuk membacanya setiap rakaat berdasarkan keumuman ayat Nahl:98. Ini adalah kerana setiap rakaat ada dibacakan Fatihah, bukan?
Akan tetapi ada juga ulama’ yang berpendapat ta’awwuz itu dibaca sekali sahaja berdasarkan satu hadith:
✍🏻 Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا نَهَضَ مِنَ الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ اسْتَفْتَحَ الْقِرَاءَةَ بِ (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ) وَلَمْ يَسْكُتْ
“Rasulullah ﷺ ketika bangkit ke rakaat kedua, baginda memulai dengan membaca ‘alhamdulillahi rabbil ‘aalamiin … ‘. Belum tidak diam sejenak sebelum itu.”
(HR. Muslim no. 599).
Syarah: Kalau dilihat literal dari hadith ini, baginda terus membaca Fatihah sahaja, tanpa ada bacaan lain sebelumnya (tiada ta’awwuz).
Akan tetapi, Syaikh Albani رحمه الله berhujah yang hadith ini hanya mengatakan yang pada rakaat kedua dan seterusnya, baginda tidak membaca doa istiftah, bukannya tidak membaca ta’awwuz.
Kesimpulan: Untuk keluar dari khilaf, apa salahnya baca ta’awwuz pada setiap rakaat? Tidak ada sesiapa pun yang akan marah, bukan? Malah ia adalah doa yang baik. Akan tetapi, kalau terlupa, tidaklah mengapa kerana ada juga pendapat yang mengatakan ia tidak wajib.
Bagaimana cara qiyam dalam solat?
🍀SESI SOAL JAWAB KELAS🍀
1. Adakah boleh membaca ta’awuz sebelum surah lain selepas Al-Fatihah?
🔵 Ta’awuz dibaca untuk Al-Fatihah sahaja.
2. Bilakah waktu untuk melakukan perbuatan membaca ta’awuz kemudian meludah ke kiri dan kanan supaya dihindari dari gangguan syaitan?
🔵 Ia dilakukan apabila merasakan diganggu syaitan. Bila-bila masa sahaja.
3. Semasa membaca Al-Fatihah dan merasa diganggu syaitan di dalam salat , adakah harus kita membaca ta’awuz dan meludah? Adakah perlu mengulangi bacaan Al-Fatihah?
🔵 Harus. Tidak perlu mengulangi bacaan Al-Fatihah.
4. Jika merasakan ada gangguan iblis semasa salat, tetapi tidak membaca ta’awuz dan meludah, cuma beristighfar di dalam hati sahaja. Adakah perbuatan istighfar itu menyelisihi sunnah?
🔵 Semasa salat, kadang-kala fikiran memang akan berawangan. Maka perlu kembalikan fokus tersebut.
Satu cara adalah perlu fahami apakah kalimah-kalimah yang disebut di dalam salat itu. Ini dipanggil tafhim.
Masalah kita, tidak diajar apakah maksud takbir, masuk zikir-zikir, maksud rukuk dan juga sujud itu. Jika kita mengetahui falfasah di sebaliknya, maka setiap kalimah dan perbuatan kita itu bermakna, maka kita dapat menumpukan perhatian.
📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS
1. Adakah boleh sekadar membaca ta’awuz sebelum memasuki tandas?
🔵 Boleh tetapi tidak dapat pahala doa Nabi ajar. Sebab memasuki tandas ada doa yang khusus.
2. Adakah perlu dibaca sewaktu berjalan menuju ke tandas atau hanya apabila di hadapan pintu tandas?
🔵 Sama sahaja. Asalkan sebelum memasuki tandas.