Tajuk:
1. Meletakkan tangan di atas dada.
2. Cara mengangkat tangan
3. Waktu mengangkat tangan.
BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT
C. Mengangkat tangan dan meletakkannya atas dada
Para ulama’ bersepakat bahawa disyariatkan mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram dan semasa berubah rukun (takbir intiqal).
✍ Dalilnya pada hadith;
أنَّ النبيَّ صلّى الله عليه وسلّم كان يرفعُ يديه حذوَ مَنكبيه؛ إذا افتتح الصَّلاةَ، وإذا كبَّرَ للرُّكوع، وإذا رفع رأسه من الرُّكوع
“Nabi ﷺ biasanya ketika memulai salat, ketika takbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepada setelah rukuk, baginda mengangkat kedua tangannya setinggi bahunya”
(Sahih Bukhari no.735)
Namun mereka berselisih pendapat mengenai hukumnya. Sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya wajib, seperti Al-Auza’i, Al-Humaidi, Ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim. Dalil mereka adalah kerana hadith-hadith menunjukkan bahawa Nabi ﷺ selalu mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram.
Sedangkan baginda bersabda:
صلوا كما رأيتموني أصلي
“Salatlah kalian sebagaimana kalian melihatku salat.” (Sahih Bukhari no.5549)
Namun pendapat ini tidak tepat, kerana banyak tata cara salat yang baginda selalu lakukan seperti duduk tawaruk, duduk iftirasy, berdoa istiftah, dan lain-lain namun tidak wajib hukumnya. Bahkan ini semua tidak dinilai wajib oleh ulama’ yang mewajibkan mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Sehingga ada idthirad (kegoncangan) dalam pendapat ini.
📌 Yang benar, Ibnul Munzir telah menukil ijma ulama’ bahawa mengangkat tangan ketika takbiratul ihram itu hukumnya sunnah (Shifatu Shalatin Nabi, 63-67).
Sekarang timbul persoalan yang agak menarik: Berapa tinggi tangan diangkat semasa takbiratul ihram itu?
Kedua tangan diangkat setinggi bahu atau setinggi hujung telinga?
✍ 1. Berdasarkan hadith;
كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ إذا قام إلى الصلاةِ يرفعُ يديه حتى إذا كانتا حذوَ مِنكَبيه
“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi bahunya.” (HR. Ahmad 9/28, Ahmad Syakir mengatakan: “sanad hadith ini sahih”)
✍ 2. Juga hadith;
كانَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إذا افتتحَ الصلاةَ رفع َيدَيهِ حتى تكوناَ حَذْوَ أُذُنَيهِ
“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika memulai salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi kedua telinganya.” (HR. Al Baihaqi 2/26)
✍ 3. Serta hadith dari Malik bin Huwairits رضي الله عنه
أنه رأى نبي الله صلى الله عليه وسلم . وقال : حتى يحاذي بهما فروع أذنيه
“Dia melihat Nabi ﷺ salat, dia berkata (tangannya diangkat) sampai setinggi pangkal telinganya.” (HR. Muslim no.391, Abu Daud no.745)
Ini adalah khilaf tanawwu’ (perbezaan variasi), maka seseorang boleh memilih salah satu dari cara yang ada. Bahkan yang lebih utama terkadang mengamalkan yang satu dan terkadang mengamalkan yang lain, sehingga masing-masing dari sunnah ini tetap lestari dan diamalkan orang.
Saya katakan tadi yang perbincangan ini menarik kerana pernah timbul dulu ada yang kata kalau hendak kenal orang Wahabi, tengok cara mereka angkat takbir. Kalau setakat bahu (“style Batman” katanya) itulah Wahabi. Mungkin dia tidak tahu hadith-hadith ini sampai dia berkata begitu.
Selain dari takbiratul ihram, kita disyariatkan juga untuk mengangkat tangan semasa berubah rukun. Ini dinamakan takbir intiqal. Yang selalu baginda lakukan adalah:
a. Ketika rukuk
b. Bangkit dari rukuk
c. Bangkit dari rakaat kedua
1. Meletakkan tangan di atas badan
Ini adalah perbuatan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. Kita panggil sedekap. Para ulama bersepakat bahawa bersedekap ketika salat adalah hal yang disyariatkan.
✍ Ini berdasarkan hadith dari Sahl bin Sa’ad رضي الله عنه
كان الناسُ يؤمَرون أن يضَع الرجلُ اليدَ اليُمنى على ذِراعِه اليُسرى في الصلاةِ
“Dahulu orang-orang diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan di atas lengan kirinya ketika salat” (HR. Al Bukhari no.740)
Syarah: Walaupun dalam hadith Bukhari ini terdapat ungkapan perintah untuk bersedekap, namun tidak diketahui perkataan dari salaf, baik dari sahabat, tabi’in, mahupun tabi’ut tabi’in ataupun para imam mazhab yang menyatakan wajibnya bersedekap dalam salat (lihat Sifat Shalat Nabi Lit Tharifi, 84).
Dengan demikian bersedekap dalam salat hukumnya sunnah tidak sampai wajib.
Letak tangan kanan pula ada di Para ulama’ bersepakat bahawa tangan kanan berada di atas tangan kiri, namun mereka berbeza pendapat mengenai perincian bentuk sedekap, yang merupakan khilaf tanawwu’ (perbezaan dalam variasi). Walaupun demikian, cara yang bersedekap yang benar dibahagi menjadi dua cara:
Cara pertama iaitu al wadh’u (meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri tanpa melingkari atau menggenggam).
Maknanya letak sahaja tangan kanan atas tangan kiri.
Tiga tempat: di punggung tangan kiri, di pergelangan tangan kiri dan di lengan bawah dari tangan kiri.
✍ Dalilnya, hadith dari Wa-il bin Hujr tentang sifat salat Nabi ﷺ,
ثم وضَع يدَه اليُمنى على ظهرِ كفِّه اليُسرى والرُّسغِ والساعدِ
“..setelah itu baginda meletakkan tangan kanannya di atas punggung tangan kiri, atau di atas pergelangan tangan atau di atas lengan” (HR. Abu Daud no.727, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abi Daud).
Cara kedua iaitu al qabdhu (jari-jari tangan kanan melingkari atau menggenggam tangan kiri).
✍ Dalilnya, hadith dari Wa-il bin Hujur رضي الله عنه:
رأيتُ رسولَ اللَّهِ إذا كانَ قائمًا في الصَّلاةِ قبضَ بيمينِهِ على شمالِهِ
“Aku Melihat Nabi apabila berdiri dalam salat baginda melingkari tangan kirinya dengan tangan kanannya” (HR. An Nasa-i no.886, Al Baihaqi no. 2/28, disahihkan Al Albani dalam Sahih An Nasa-i).
Adapun di luar dua cara ini, seperti meletakkan tangan kanan di siku kiri, atau di lengan atas, adalah kekeliruan dan tidak ada satu pun ulama’ yang membolehkannya.
📍Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله mengatakan: “Kita pernah melihat orang yang bersedekap dengan memegang sikunya, apakah ini ada dasarnya? Jawabnya, ini tidak ada dasarnya sama sekali.” (Syarhul Mumthi’, 3/36).
Sebahagian ulama’ membezakan tata cara bersedekap lelaki dengan wanita, namun yang tepat tata cara bersedekap lelaki dengan wanita adalah sama. Kerana pada asalnya tata cara ibadah yang dicontohkan oleh Nabi ﷺ itu berlaku untuk lelaki dan wanita kecuali ada dalil yang membezakannya.
Di manakah pula letak dua tangan kita?
Pernahkah anda dengar ada yang berkata: “Kalau nak kenal Wahabi, mereka akan sedekap di dada.” Benarkah itu ciri-ciri wahabi? Maka Nabi Muhammad ﷺ pun Wahabi jugalah kalau begitu? Maka di manakah kita hendak meletak tangan kita semasa berdiri? Kalau sekarang kita tengok pelbagai cara yang ada.
Para ulama’ berbeza pendapat mengenai letak sedekap. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat bahawa letak sedekap adalah di bawah pusat.
✍ Berdasarkan dalil hadith;
أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : مِنَ السُّنَّةِ وَضْعُ الْكَفِّ عَلَى الْكَفِّ فِي الصَّلَاةِ تَحْتَ السُّرَّةِ
“Ali رضي الله عنه berkata: Termasuk sunnah, meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan dalam salat di bawah pusat” (HR. Abu Daud 758, Al Baihaqi, 2/31)
Namun hadith ini sangat lemah kerana ada perawinya yang bernama Ziad bin Zaid Al Kufi statusnya majhul ‘ain, dan Abdurrahman bin Ishaq yang berstatus dhaiful hadith.
Adapun Syafi’iyyah dan Malikiyyah berpendapat di bawah dada dan di atas pusat.
✍ Dalilnya hadith Wail bin Hujr;
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ
“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mengencangkan keduanya di atas dadanya ketika baginda salat” (HR,. Abu Daud 759, Al Baihaqi 4/38, At Tabrani dalam Mu’jam Al Kabir 3322)
Adapun Syafi’iyyah dan Malikiyyah berpendapat di bawah dada dan di atas pusat.
✍ Dalilnya hadith Wa-il bin Hujr;
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ
“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mengencangkan keduanya di atas dadanya ketika baginda salat” (HR,. Abu Daud 759, Al Baihaqi 4/38, Ath Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 3322)
Syafi’iyyah dan Malikiyyah memaknai bahawa maksud lafadz عَلَى صَدْرِهِ adalah bahagian akhir dari dada. Namun kesahihan hadith ini diperselisihkan oleh para ulama’. Yang tepat insya Allah, hadith ini lemah. Letak kelemahannya pada perawi Mu’ammal bin Isma’il, yang dapat dirinci sebagai berikut:
Juga dinukil sebagai salah satu pendapat imam Ahmad رحمه الله bahawasanya letak sedekap betul-betul di atas dada, sesuai zahir hadith. Ini juga yang dikuatkan oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله dan juga Syaikh Al Albani رحمه الله.
📌 Namun kerana tidak ada hadith yang sahih dari Nabi ﷺ tentang ini maka yang tepat tidak ada batasan letak sedekap. Dalam hal ini perkaranya luas. Sedekap boleh di atas dada, di bawah dada, di perut, di atas pusat mahupun di bawah pusat (lihat Sifat Shalat Nabi Lit Tharifi, 90).
Semoga ini dapat menyelesaikan permasalahan ini di kalangan kita. Boleh letak di mana-mana bahagian tubuh, asalkan di ‘tengah tubuh’.
Adapun bersedekap di dada kiri atau di rusuk kiri, dan orang yang melakukannya sering beralasan bahawa itu adalah tempatnya jantung, ini adalah alasan yang dibuat-buat yang tidak ada asalnya.
Kadangkala ada juga kita tengok orang pegang senget sebelah kiri. Ini tidak ada dalilnya dan kena ditinggalkan. Ada kekeliruan dalam cara itu.
2. Cara mengangkat tangan semasa takbir.
Jari-jari direnggangkan, tidak terlalu terbuka dan juga tidak dirapatkan.
✍ Berdasarkan hadith;
كان إذا قام إلى الصلاة قال هكذا – وأشار أبو عامر بيده ولم يفرج بين أصابعه ولم يضمها
“Biasanya Nabi ﷺ jika salat baginda begini, Abu Amir (perawi hadith) mengisyaratkan dengan gerakan tangannya, baginda tidak membuka jari-jarinya dan tidak merapatkannya”
(HR. Ibnu Khuzaimah no.459, disahihkan Al Albani dalam Sahih Ibnu Khuzaimah)
Untuk telapak tangan, sebahagian ulama’ seperti Ibnul Qayyim, At Thahawi, Abu Yusuf dan sebahagian besar Hanabilah menganjurkan mengarahkan telapak tangan lurus ke arah kiblat ketika mengangkat kedua tangan.
✍ Berdalil dengan hadith;
إذا استفتح أحدُكم الصلاةَ فليرفع يديْهِ ، وليستقبل بباطنِهما القِبلةَ
“Jika salah seorang kalian memulai salat hendaklah mengangkat kedua tangannya, lalu hadapkan kedua telapak tangannya ke arah kiblat”
(HR. Al Baihaqi dalan Sunan Al Kubra 2/27, dalam Silsilah Adh Dha’ifah (2338) Al Albani berkata: “dhaif jiddan”)
Dan ada beberapa hadith yang semakna namun tidak ada yang sahih.
✍ Adapun hadith dari Wa-il bin Hujr رضي الله عنه;
لأنظرن الى صلاة رسول الله صلى الله عليه و سلم قال فلما افتتح الصلاة كبر ورفع يديه فرأيت إبهاميه قريبا من أذنيه
“Sungguh aku menyaksikan Nabi ﷺ salat, ketika baginda memulai salat baginda bertakbir lalu mengangkat kedua tangannya sampai aku melihat kedua ibu jarinya dekat dengan kedua telinganya” (HR. An Nasai no.1101, disahihkan Al Al-bani dalam Sunan An Nasai)
Oleh itu, hadith ini bukan merupakan dalil yang sarih akan perbuatan ini. Namun memang terdapat atsar sahih dari Ibnu Umar رضي الله عنهما
✍🏻 Lafaz atsarnya;
انه كان اذا كبر استحب ان يستقبل بإبهامه القبلة
“Ibnu Umar رضي الله عنهما biasanya ketika bertakbir beliau menyukai menghadapkan kedua ibu jarinya ke arah kiblat” (HR. Ibnu Sa’ad dalam Ath Thabaqat 4/157, dinukil dari Shifatu Shalatin Nabi, 63)
Maka, sebahagian ulama’ berdalil dengan keutamaan menghadap kiblat di luar dan di dalam ibadah.
✍ 1. Di antaranya seperti ayat;
قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya” (QS. Al Baqarah: 144)
✍ 2. Juga hadith Nabi ﷺ:
البيتِ الحرامِ قبلتِكم أحياءً وأمواتًا
“Masjidil Haram adalah kiblat kalian ketika hidup mahupun ketika mati.” (HR. Abu Daud no. 2875)
Hadith ini diperselisihkan kesahihannya dan secara umum ini adalah pendalilan yang tidak sharih (tegas). Oleh kerana itu, yang rajih insya Allah, mengarahkan kedua telapak tangan ke kiblat ketika takbiratul ihram itu boleh dilakukan sebagaimana perbuatan Ibnu Umar رضي الله عنهما namun tidak sampai disunnahkan (Shifatu Shalatin Nabi, 63-66).
3. Waktu mengangkat tangan
📍Persoalan: Adakah takbir dahulu atau angkat tangan dahulu?
Menurut Malikiyyah dan Syafi’iyyah, takbir bersama dengan mengangkat tangan. Inilah yang biasa dilakukan di negara ini.
Sedangkan Hanafiyyah dan salah satu pendapat Syafi’iyyah, mengangkat tangan itu sebelum takbir.
Sebahagian ulama’ Hanafiyah juga berpendapat mengangkat tangan itu setelah takbir.
📌 Yang benar, kita ada pilihan untuk takbir salah satu dari tiga cara ini, ertinya boleh mengangkat tangan dahulu sebelum takbir, boleh setelah takbir dan dibolehkan juga sekali dengan takbir. Kerana semua ini pernah dipraktikkan oleh Nabi ﷺ(Ashlu Sifati Shalatin Nabi, 193-199).
Dalil sebelum takbir:
✍ 1. Hadith dari Ibnu Umar رضي الله عنهما:
كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ رفع يديه حتى تكونا حذو منكبيه ثم كبَّر
“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir” (HR. Muslim no.390)
✍🏻 2. Hadith dari Abu Humaid As Sa’idi رضي الله عنه:
كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ يرفع يديه حتى يحاذي بهما منكبيه، ثم
يكبر
“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir”
(HR. Abu Daud no.729 disahihkan Al Al-bani dalam Sahih Abi Daud)
Dalil bersamaan dengan takbir:
✍🏻 1. Hadith dari Ibnu Umar رضي الله عنهما:
رأيت النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افتتح التكبير في الصلاة، فرفع يديه حين يكبر حتى يجعلهما
حذو منكبيه، وإذا كبَّر للركوع؛ فعل مثله
“Aku melihat Nabi ﷺ memulai salatnya dengan takbir. Lalu baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga keduanya setinggi bahu. Jika baginda hendak rukuk, baginda juga melakukan demikian.”
(HR. Bukhari no.738)
✍🏻 2. Hadith Malik Ibnul Huwairits رضي الله عنه:
أن رسول الله كان إذا صلى ، يرفع يديه حين يكبر حيال أذنيه ، وإذا أراد أن يركع ، وإذا رفع رأسه من الركوع
“Rasulullah ﷺ biasanya jika salat baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga sampai setinggi kedua telinganya. Baginda lakukan itu juga ketika hendak rukuk atau hendak mengangkat kepala dari rukuk.” (HR. An Nasa-i no.879, disahihkan Al Albani dalam Sahih Sunan Nasa-i)
Dalil setelah takbir:
✍🏻 Atsar dari Abu Qilabah رحمه الله,
أنه رأى مالك بن الحويرث ، إذا صلى كبر . ثم رفع يديه . وإذا أراد أن يركع رفع يديه . وإذا رفع رأسه من الركوع رفع يديه . وحدث ؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يفعل هكذا
“Ia melihat Malik bin Al Huwairits jika salat beliau bertakbir, lalu mengangkat kedua tangannya. Jika beliau ingin rukuk, beliau juga mengangkat kedua tangannya. Jika beliau mengangkat kepala dari rukuk, juga mengangkat kedua tangannya. Dan beliau pernah mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ juga melakukan seperti itu” (HR. Muslim no. 391)
Setelah kita sedekap, maka kita mula membacakan Doa Istiftah.
🍀SESI SOAL JAWAB KELAS ☘️
=========================
1. Bagaimanakah keadaan untuk memulakan salat?Ke manakah arah mata harus melihat?
🔵 Sebelum takbir perlu berdiri sejenak bagi mengingatkan diri untuk salat. Tenangkan diri dan jangan kelam kabut.
Mata pandang satu tempat sahaja. Selalunya memandang ke tempat sujud. Ini untuk memperoleh fokus. Jangan matakan melilau untuk melihat ke merata arah.
2. Bagaimanakah wanita mengangkat tangan untuk bertakbir? Adakah tangan berada di depan dada atau sisi?
🔵 Takbir wanita sama sahaja dengan takbir lelaki. Nabi Muhammad tidak mengajarkan takbir berlainan untuk wanita.
3. Adakah cara yang betul mengangkat tangan untuk takbir dengan,
a. Kepit ketiak, atau
b. Siku di angkat hingga paras bahu (sampai terkena sahabat di sebelah) ?
🔵 Perlu dilaraskan bersesuaian dengan keadaan. Tidak perlu kembangkan siku itu, kerana tangan hanya diangkat paras bahu dan telinga sahaja.
4. Ada yang menyatakan, salat itu adalah himpunan doa. Oleh yang demikian, ketika mengangkat takbir, belakang tangan perlu menghadap kiblat (gaya berdoa). Adakah benar dasar pendapat ini?
🔵 Tidak benar, itu adalah rekaan sendiri menggunakan akal. Tiada dalil juga ia dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.
5. Adakah ada perbezaan antara tatacara angkat tangan untuk takbiratulihram dan takbir intiqal?
🔵 Tiada perbezaan.
6. Adakah mengangkat takbir sebelum rukuk itu dilakukan oleh Nabi?
🔵 Ya.
7. Adakah rukun qauli wajib dilafazkan atau boleh dibaca di dalam hati.
🔵 Perlu dilafazkan. Bacaan di dalam hati, itu adalah tempat niat. Maknanya mulut perlu bergerak. Tidak semestinya telinga perlu mendengar.
8. Bagaimanakah keadaan tangan semasa iktidal? Tangan sedekap atau lurus ke bawah?
🔵 Saya tidak membincangkan hal ini kerana ini baru kelas pemula dan ramai tidak mengetahui pun perbincangan ini.
Ia khilaf. Selepas naik dari rukuk, kedudukan tangan di tepi atau sedekap balik. Perbuatan Nabi sendiri tidak jelas. Sebab itu khilaf. Hadith yang berkenaan adalah:
كَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ اسْتَوَى حَتَّى يَعُوْدَ كُلُّ فَقَارٍ مَكَانَهُ
Apabila mengangkat kepalanya (bangkit dari rukuk), maka beliau pun meluruskan (badannya) hingga semua rangkaian tulang belakangnya kembali ke posisinya.
[Sahih Al-Bukhari].
Kalimah ‘kembali ke posisi’ itu yang khilaf. Posisi yang bagaimana? Maka ada tiga pendapat:
a. Sedekap sunnah. Ini adalah pendapat Syaikh Utsaimin
b. Sedekap bukan sunnah. Bangkit dari rukuk, tangan di tepi. Ini pendapat Syaikh Albani.
c. Dua-dua boleh. Sebab hadis tidak menjelaskan. Ini pendapat Imam Ahmad. Zaman beliau juga sudah ada perbincangan tentang hal ini.
9. Jika tidak melakukan takbir intiqal sebelum rukuk, adakah salat dikira sah?
🔵 Ia sunnah, tetapi ada ulama mengatakan ianya wajib. Maka lakukanlah, jangan ditinggalkan.
10. Adakah ada larangan untuk menguatkan suara ketika melafazkan rukun qauli hingga mengganggu orang lain?
🔵 Ya, mengganggu orang lain dengan sengaja sentiasa sahaja salah. Berdosa.
11. Adakah membaca basmallah dan ta’awuz sebelum salat boleh diamalkan?
🔵 Tidak boleh menjadi rutin.
12. Adakah boleh melafazkan takbir perpindahan rukun hanya apabila hampir-hampir sempurna rukun seterusnya?
🔵 Boleh. Asalkan ada takbir.
13. Adakah panjang takbir perlu berpandungan bacaan Ahli Qiraat?
🔵 Boleh gunakan bacaan biasa sahaja, tidak seperti bacaan surah yang dibaca dengan tajwid.
📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS
1. Jika terlupa tahiyat awal, apakah yang perlu dilakukan?
🔵 Melakukan sujud sahwi sebelum salam.
2 Jika sewaktu tahiyat akhir terasa terlupa berapa rakaat, apakah yang perlu dilakukan?
🔵 Perlu menambah rakaat dan kemudian sujud sahwi.
3. Berkenaan menyapu kepala ketika mengambil wudhu’. Adakah wajib menyapu seluruh kepala atau boleh juga menyapu sebahagian kepala?
🔵 Ini khilaf. Yang rajih adalah menyapu seluruh kepala.
4. Ketika mengambil wudhu’, adakah telinga perlu disapu atau dibasuh?
🔵 Menyapu air ke telinga.
5. Apakah hadis yang digunakan untuk perbuatan menyapu sebahagian kepala?
🔵 Tiada hadis berkenaan menyapuq sebahagian kepala. Cuma ulama mazhab benarkan berdasarkan huruf ب dalam برءوسكم dalam Surah Al-Maidah ayat 6.
Itupun tidak sepakat. Malah ada ulama seperti mazhab Imam Malik yang mengatakan wajib menyapukan air ke seluruhan kepala dan tidak sah jika meninggalkannya. Begitu juga pendapat imam Al-Bukhari.
6. Adakah benar cara melakukan sujud sahwi inj adalah selepas bacaan “…hamidummajid”, terus sujud, membaca zikir seperti biasa, kemudian duduk iftirasy, membaca zikir seperti biasa, kemudian sujud, membaca zikir seperti biasa, kemudian duduk tawarruk, akhir sekali memberi salam?
🔵 Ya, benar.
7. Adakah boleh melakukan sujud sahwi tanpa diserta zikirnya?
🔵 Membaca zikir adalah sunnah.
8. Ada orang berpegang pada pendapat: asalkan ibadah aku sah sudahlah; buat yang wajib sahaja sudahlah; bukan batal jika tinggalkan yang sunat; dll. Adakah amalan meninggalkan sunat ini boleh menjerumuskan seseorang ke lembah perkara bid’ah?
🔵 Itu adalah pendapat yang tidak bijak. memang ada hadis yang boleh dijadikan sebagai dalil, tetapi hadis itu boleh ditafsirkan lagi. Ada hadis yang menceritakan sahabat datang kepada Nabi dan dia kata dia tidak akan tambah dari apa yang Nabi sebutkan.
Kita kena menyedari yang amalan kita tidak banyak, tidak sempurna. Maknanya kita miskin pahala, dosa pun banyak, maka banyak pahala kita yang ketirisan sahaja. Jangan melepaskan peluang hendak menambah pahala dengan buat amalan-amalan sunat.
Tiada perkaitan antara meninggalkan perkara sunat dengan bid’ah.
9. Apakah benar pendapat yang menyatakan, jika kita hanya buat yang wajib sahaja dan meninggalkan yang sunat, pahala amalan kita tidak sempurna (bukan markah penuh) walaupun ibadahnya sah?
🔵 Kita sebagai manusia tidak boleh memandang ibadah kita sempurna. Itu sudah terkena talbis iblis. Maka kita perlu memandang ibadah kita sentiasa sahaja kurang dan ianya boleh ditampung dengan amalan sunat.
Meninggalkan perkara sunat masih sah ibadah tetapi ini perbincangan pahala. Pahalanya tidak lengkap.
10. Bagaimanakah cara yang betul untuk salat duduk? Siapakah yang diberi kelonggaran untuk melakukan salat dengan cara duduk sahaja?
🔵 Agak sukar untuk dijawap secara terperinci. Mereka yang diberi keringanan untuk salat secara duduk bergantung kepada keadaan dia.
Sebelum duduk atas kerusi, perlu diperhatikan keupayaan seseorang itu. Bolehkah dia berdiri, duduk tawaruk, iftirasy, bersila, atau bersimpuh? Perlu mencuba untuk melakukan sebegitu dahulu sebelum terus menggunakan kerusi.
Saya tidak pernah menemuramah orang yang duduk atas kerusi tetapi saya khuatiri, mereka terus duduk atas kerusi, padahal boleh bersila, atau boleh duduk tahiyat lagi. Malah jika boleh berdiri, makanboleh sahaja salat berdiri.
11. Apakah perbezaan sunat dengan sunnah?
🔵 Sunnah itu bermaksud ‘contoh’, iaitu contoh daripada Nabi ﷺ.
Dalam Sunnah, ada perbuatan yang hukumnya wajib dan ada yang ‘sunat’. contoh: solat fardhu itu sunnah, tapi ia wajib, bukan sunat.
Di negara ini menggunakan istilah ‘Sunat’, tetapi sebenarnya istilah ‘mandub’ lagi bagus. Apabila disebut sunat, sudah membuatkan orang keliru dengan sunnah.
Mandub (atau sunat di dalam negara kita) adalah sesuatu yang jika dibuat mendapat pahala, jika ditinggalkan tidaklah berdosa.
Orang kita selalunya berpendapat jika tidak dibuat adalah tidak mengapa, maka mereka tidak melakukannya.
Sepatutnya mereka perlu melihat: jika dibuat mendapat pahala, jika ditinggalkan amatlah rugi, maka perlulah dibuat.
12. Adakah boleh hanya melakukan duduk iftirasy sahaja ketika tahiyat awal dan akhir?
🔵 Ya, boleh.
13. Adakah sah wudhu’ anggota yang terkena dakwat pen?
🔵 Sah, dakwat pen tidak menghalang wudhu’ kerana ia nipis sahaja.
14. Adakah berzikir dan berdoa selepas salat fardhu yang diketuai oleh imam itu adalah sunnah?
🔵 Bukan sunnah,
tidak ada doa berjemaah selepas salat yang diamalkan oleh Nabi atau sahabat. Tudak ada hadith sahih atau dhaif tentang perkara ini. Jadi yang manusia buat adalah kekeliruan tentang doa.
15. Adakah bacaan di dalam salat sendirian atau berjamaah perlu dibaca sehingga didengari oleh diri sendiri dengar, atau boleh dibaca di dalam hati. Contohnya bacaan Al-Fatihah?
🔵 Membaca Al-Fatihah adalah sebahagian dari rukun qauli. Memang perlu dibaca yang bermaksud buka mulut dan membaca.
Tetapi suara tidak semestinya didengari pada telinga kita. Saya tahu sudah lama berlegar di medsos yang mengatakan rukun qauli perlu didengari pada telinga.
Akan tetapi hujah itu tidak ada dalil. Jadi ia dibaca sahaja dan tidak semestinya perlu didengari pada telinga kita.
Jangan dibaca di dalam hati. Hati adalah tempat niat. Bacaan kena dibaca, perlu disebut. Rasanya kita boleh faham samada kita sebut atau tidak.
16. Adakah sunnah untuk menguatkan bacaan ketika salat malam (salat fardu dan salat sunat)?
🔵 kedua-dua adalah sunnah.
17. Adakah doa dan zikir pada pada waktu lain sama juga seperti bacaan dibdalam salat iaitu mesti membuka mulut dan mengerakkan lidah dan tidak semestinya terdengar suara ditelinga sendiri ?
🔵 Doa dan zikir tempatnya di mulut, niat tempatnya di hati. Maka perlu disebut. Tetapi tidaklah perlu didengari pada telinga.
18. Bilakah waktu sesuai untuk mengamalkan kalimah lailahaillallah tersebut. Saya biasa membacanya semasa naik motor pergi kerja? Bolehkah dibaca selepas salat?
🔵 Tiada masalah dengan bacaan tahlil pada bila-bila masa. Yang menjadi masalah adalah ‘majlis tahlil’ sahaja.
19. Adakah boleh salat selepas pengera azan di telefon pintar, tetapi Masjid belum mengumandangkan azan?
🔵 Jika diyakini bahawa telah masuk waktu, maka boleh salat dan salatnya sah.
20. Apakah hukum apabila turut membaca di dalam hati mengikut bacaan imam semasa imam membaca surah dalam solat?
🔵 Harus. Tidaklah disuruh dan tidaklah dilarang. Memang kita perlu mendengar apa yang imam baca. Lebih baik adalah faham apa yang imam baca dan hayati surah itu. Perlunya belajar tafsir dan banyak makna yang boleh diingatkan. Jika sudah faham makna, maka lebih khusyuk salat sebab tidak teringat perkara lain. Apabila kita tidak tahu, dengarlah sahaja bacaan imam.