Tajuk:
1⃣ Pengertian niat
2⃣ Adakah niat diucapkan?
BAB FARDHU DAN SUNNAH SALAT
Sekarang kita masuk bab baru dimana tatacara salat diajar dengan terperinci satu persatu.
A. Niat
Mari kita lihat satu bab yang amat mengelirukan umat Islam di dunia. Dengan bab niat inilah jadi keliru habis dan kelam kabut kita tengok cara orang salat.
Sampaikan berkali-kali mereka angkat takbir kerana niat tidak ‘masuk’. Benarkah begitu? Bagaimanakah cara niat yang sebenarnya?
1. Pengertian niat
Niat adalah syarat sah salat atau ia adalah rukun salat. Maknanya niat memang kena ada.
✍ Allah ﷻ telah berfirman dalam Al-Bayyinah:5
وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama
✍🏼 Dan jangan lupa satu hadith yang amat terkenal sekali:
ٍعَنْ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Dari Umar, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana dia hijrah.”
(Sahih Bukhari no. 52 dengan lafaz ini; Sahih Muslim no. 3530; dan empat imam Ahli Hadith)
Maka yang membezakan sama ada sesuatu amalan itu menjadi ibadah atau tidak, adalah niat.
Niat juga menentukan sama ada ibadah itu diterima ataupun tidak: kerana ibadah yang niatnya tidak ikhlas maka tidak diterima oleh Allah ﷻ.
2. Adakah niat diucapkan?
Ini adalah satu perbincangan yang amat besar dan ramai yang tidak faham tentang hal ini. Maka kita kena buka hati dan minda kita untuk memikirkannya.
Ramai dari kalangan masyarakat Islam kita melafazkan niat yang dimulai dengan: Usolli…. Akan tetapi tidak pernah perkara ini dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan diajar oleh baginda dan para sahabat baginda. Maka ia tidaklah ada dalam syarak. Maka ianya adalah amalan bid’ah.
Tetapi mungkin yang mengajarnya mengatakan ia adalah bidaah Hasanah? Benarkah begitu? Kita katakan ia bukan bidaah yang baik berdasarkan hadith:
✍🏼 Dari Jabir bin Abdullah رضي الله عنها, Rasulullah ﷺ bersabda:
ُ.ُ …إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ
“Sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu ialah kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”
(Sunan Nasa’i no.1560 dengan lafaz ini; Sahih Muslim no.1435 dan lainnya).
Memang ada yang berfatwa lafaz niat ini khilaf di nusantara kerana wujud di dalam kitab-kitab genre baru mazhab.
Contoh:
1. Kitab Mughni Muhtaj karya Khatib Syarbini dan al-Bahooti. Keduanya dari mazhab Syafi’iyah yang menyatakan hukumnya sunat.
2. Al-Dardir dari mazhab Maliki menyatakan hukumnya harus.
Isu ini menjadi semakin panas apabila golongan muhaqqiqin, dan aliran salafiyah atau ahli hadith dan gerakan sunnah seperti Ibnu Taymiyah, muridnya Ibnu Qayyim, dan buku Talbis Iblis karya Ibnu Jauzi رحمهم الله yang membid’ahkan talafudz niat. Ini kerana hukum asal di sisi mazhab Syafi’iy sendiri dan Imam an-Nawawi رحمه الله.
✍🏼 Imam Asy-Syafi’i رحمه الله berkata;
الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل
“Was-was dalam niat salat dan taharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kekurangan warasan dalam akal”
(Al Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28)
✍🏼 Menurut Imam al-Syuyuti رحمه الله pula;
ومن البدع أيضاً: الوسوسة في نيّة الصّلاة، ولم يكن ذلك من فعل النبي – صلى الله عليه وسلم – ولا أصحابة، كانوا لا ينطقون بشيء
من نية الصلاة بسوى التكبير. وقد قال تعالى: لقد كان لكم في رسول الله أُسوة حسنة
“Termasuk bid’ah, was-was dalam niat salat. Nabi ﷺ dan para sahabat baginda tidak pernah begitu. Mereka tidak pernah sedikitpun mengucapkan lafaz niat salat selain takbir”
Hukum muttakhir, lafaz niat adalah bid’ah. Ini hukum asal di dalam mazhab Syafi’iy. Kajian para muhaqqiqin mendapati banyaknya terjadi masalah akibat talafudz niat yakni terjadinya wabak was-was ketika hendak berniat.
Persoalan yang perlu dirungkai atau diteliti. Siapa yang menjadikan talafudz niat dari bid’ah kepada khilaf?
📍Dari manakah asalnya talafudz niat ini muncul?
Talafudz Niat: Niat yang dilafazkan untuk membantu hati.
Ia di mulai oleh Imam Abu Abdillah al Zubairi رحمه الله. Wafat pada tahun 317H di Basrah, Iraq.
(ابوعبد الله الزبير بن أحمد بن سليمان بن عبد الله بن عاصم بن المنذر بن الزبير بن العوام الأسدي.
Abu Abdillah al Zubair susur galurnya dari keturunan az Zubair bin Awwam رضي الله عنه. Imam Abu Abdillah al Zubair telah salah di dalam memahami perkataan Imam Asy-Syafi’i رحمه الله iaitu ketika menyimpulkan bahawa wajib melafazkan niat dalam salat dari perkataan beliau.
📍Ini disebabkan oleh salahfaham beliau terhadap ungkapan Imam Asy-Syafi’i رحمه الله yang berikut:
إذا نوى حجّاً وعمرة أجزأ، وإنْ لم يتلفّظ وليس كالصّلاة لا تصح إلا بالنّطق
“Jika seseorang berniat haji atau umrah maka itu sah walaupun tidak diucapkan. Berbeza dengan salat, salat tidak sah kecuali dengan an Nutq (lafaz)”
Imam An Nawawi رحمه الله berkata:
قال أصحابنا: غلط هذا القائل، وليس مراد الشافعي بالنّطق في الصّلاة هذا، بل مراده التكبير
“Para ulama mazhab kami berkata, yang berkata demikian telah salah. Bukanlah maksud Imam Asy-Syafi’i رحمه الله itu melafazkan niat di dalam salat, namun maksud an Nutq adalah takbir”
(Al Majmu’, 3/243)
Syarah:
Imam syafi’i رحمه الله di dalam al-Umm, ketika membicarakan Ibadah Umrah dan Haji, di dalam bab Niat di Miqat.
Kita disunatkan melafazkan Niat haji dan umrah dengan kuat, Labbaika Umratan wa Hajjan. Imam Asy-Syafi’i رحمه الله berkata, ungkapan lafaz itu cuma sunat akan tetapi untuk salat perlu dilafazkan.
Lafaz yang dimaksudkan dengan salat bukan lafaz niat tetapi bertakbiratul Ihram. Apa yang difahami oleh Imam Abu Abdillah al Zubairi رحمه الله adalah Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله mewajibkan lafaz niat ketika salat.
Akan tetapi kesilapan Imam az Zubairi رحمه الله telah berkembang menjadi suatu fenomena talafudz dan ussolli di nusantara. Fenomena ini terjadi kerana tidak sampainya kalam Imam an-Nawawi رحمه الله kepada umat nusantara.
Maka, yang sahih Nabi ﷺ tidak memulakan salat dengan lafaz niat salat.
✍ Dalil hadith dari ‘Aisyah رضي الله عنها berkata:
كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يستفتح الصَّلاة بالتّكبير
“Adapun Rasulullah ﷺ memulai salatnya dengan takbir”
(HR. Muslim, no.498)
Menurut pendapat Imam Asy-Syafi’i رحمه الله, bil Nutq adalah takbir bukan usolli.
Hukum:
Talafudz niat adalah bid’ah kerana menyalahi sifat salat Nabi ﷺ dan merupakan kesilapan dalam memahami matan kenyataan Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله. Inilah kesilapan Imam Abu Abdillah az Zubairi رحمه الله dari Basrah.
Dikatakan bahawa talafudz niat ini adalah untuk membantu orang yang hendak memulakan salat. Akan tetapi kita melihat ia tidak membantu, malah merosakkan salat. Berapa ramai yang kita lihat keliru dengan lafafudz niat ini sampai berkali-kali dia melafazkan niat dan berulangkali takbiratul ihram kerana niat tidak ‘masuk’?
Dan berapa ramai yang tidak melakukan amal ibadat kerana tidak tahu untuk baca niat? Mereka sangka niat itu wajib maka kerana mereka tidak tahu ‘lafaz niat’?
Maka memang tidak boleh dilafazkan niat ini walaupun ia diajar di sekolah-sekolah sekarang. Kita kena berani untuk salat tanpa lafaz niat. Kita tidak perlu melafazkannya sebagaimana kita tidak perlu untuk beritahu sesiapa yang kita hendak minum air, baca buku, berjalan dan sebagainya. Niat itu memang sudah ada, tidak perlu dilafazkan.
Kalau niat tidak dilafazkan, perlukan ia disusun dalam hati kita? Kalau kita selalu lihat, terseksa mereka yang terpaksa menjaga qasad, ta’rudh dan ta’yin.
Contoh:
Qasad = sahaja aku
Ta’rudh = solat
Ta’yin = fardhu subuh
Semasa mereka takbiratulihram, lama mereka takbir (Allaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahu akkkkkkkkkkkkkbar!) Ini tidak diajar dalam syarak salaf tapi ia datang kemudian dan telah menyusahkan umat Islam kita. Sedangkan takbiratul ihram itu mudah sahaja: Allahu akbar.
Maka bagaimana yang patut kita lakukan? Sebelum kita memulakan salat, kita berdiri tegak dahulu, sedar yang kita akan memulakan salat apa dan kemudian terus angkat takbir. Memang niat kena ada, tetapi tidaklah susah seperti yang biasa diajar di sekolah. Tenang-tenang sahaja dalam salat.
Selepas niat, kita belajar cara takbiratul ihram pula.
🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️
=========================
1. Adakah benar perlakuan sahabat, tabi’in dan tabi’ al-tabi’in juga bukan penguat bagi sesuatu amalan walaupun mereka adalah salaf al-salih? Contohnya, dikhabarkan dari Ibnu Khuzaimah dari Al-Rabi’ berkata: Apabila (Imam) Al-Syafi’i mahu memulakan salat, beliau berkata:
بِسْمِ اللَّهِ ، مُوَجِّهًا لَبَيْتِ اللَّهِ مُؤْدِيًا لِفَرْضِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ اللَّهُ أَكْبَرُ
Bismillah, dalam keadaan menghadap Baitullah, menunaikan kefarduan yang Allah ‘Azza Wajalla, Allah Akbar.
[Mu’jam Ibnu Al-Muqri no.319]. Hadis maqtu’.
🔵 Walaupun sahabat melakukan sesuatu amalan, belum tentu ia menjadi hukum syarak jika dia mengamalkannya berseorangan. Yang benar menjadi sunnah adalah jika dilakukan oleh Khulafa al-Rasyidin.
Kerana apabila mereka melakukan kesalahan maka ia akan diketahui oleh sahabat-sahabat yang lain dan mereka akan menegurnya.
Contohnya, Usman bin Affan memerintahkan azan dua kali untuk salat Jumaat. Sahabat masih ramai lagi pada waktu itu dan mereka tidak menegur pun perbuatan tersebut. Maka ia menjadi syarak.
Kalau sahabat buat amalan menyendiri dan tidak disokong dengan dalil dari Rasulullah, atau sahabat-sahabat lain, maka ia tidak kuat.
📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS
1. Apakah ada zikir-zikir semasa membasuh anggota wudhu’?
🔵 Tidak ada amalan sedemikian.
2. Ketika perang Khandak, Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah dilalaikan daripada menunaikan salat. Adakah Rasulullah ﷺ dan para sahabat qadha’ salat berturut-turut dengan setiap satu salat dilaungkan azan dan iqamah?
🔵 Mereka mengqadha’kan salat berturut-turut. Azan hanya sekali dan mengulangi iqamah untuk setiap salat.
3. Adakah qadha’ yang dilakukan itu didahulukan dengan salat Maghrib, kemudian qadha’ Zuhur dan kemudian Asar?
🔵Salat dilakukan mengikut turutan walaupun waktu Maghrib. Turutannya adalah Zuhur, kemudian Asar, dan kemudian Maghrib.
Oleh yang demikian jika jama’ takhir, perlu melakukan salat awal Zuhur atau Maghrib dahulu walaupun pada waktu salat Asar atau Isyak.
4. Bagaimanakah jika yang terlalai itu adalah musafir? Adakah qada’ salat perlu tamam atau qasar?
🔵 Jika dia masih di dalam musafir maka qada’ dilakukan secara qasar. Jika sudah bukan musafir, maka dilakukan secara tamam.
5. Apakah hukum menjual jual organ tubuh?
🔵 Ia adalah perkara baru yang tiada dalilnya. Maka ia dalam ruang lingkup ijtihad. Ada yang berpendapat boleh dan ada berpendapat tidak.
Saya pilih pendapat yang menyatakan ianya haram kerana organ tubuh bukan harta untuk diniagakan.
6. Apakah hukum memakai seluar jeans yang menampakkan bentuk paha, dipakai oleh lelaki?
🔵 Tidak boleh. Firman Allah ﷻ:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
[Surah al-A’raf, 7:26]
Pakaian itu bukan hanya menutup kulit sahaja, tetapi juga tidak boleh menunjukkan bentuk badan. Sama untuk wanita dan lelaki. Kerana itu di dalam ayat di atas, ada tambah: وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.
Maka pakailah pakaian yang menunjukkan ketaqwaan. Jika jeans ketat tu mengiurkan para wanita, maka janganlah memakainya. Kita perlu menilai adakah wanita akan teransang atau tidak?