A. Syarat-Syarat Sah Salat

Tajuk :
1⃣ Masuk waktu
2⃣ Suci dari hadas
3⃣ Bersih pakaian, badan dan tempat salat dari najis
4⃣ Menutup aurat
5⃣ Mengadap kiblat

BAB SYARAT DAN CARA SALAT

 

A. Syarat-Syarat Sah Salat

Kita telah belajar bab Taharah (Kenal air, kenal najis, wudhu’, mandi dan tayamum), Haidh dan Nifas, Istihadah. Kemudian kita telah belajar kepentingan dan waktu salat. Dan kemudian kita baru sahaja belajar tentang azan dan iqamah.

Sekarang sebelum kita masuk ke dalam cara salat, kita kena tahu dahulu syarat-syarat salat yang perlu diketahui SEBELUM salat. Kena pastikan semua ini dipenuhi dahulu sebelum mula salat.


 

1. Masuk waktu

Waktu hendak salat, kena pastikan yang waktu memang telah masuk. Kita telah belajar hal ini dalam bab Waktu-waktu Salat. Kalau salat sebelum waktunya, memang salat itu tidak sah. Kalau zaman sekarang, tentunya senang tengok jam sahaja.


 

2. Suci dari hadas

Sebelum salat juga kena pastikan yang kita bebas dari hadas. Jadi kita telah belajar bab wudhu’, mandi, tayamum, istihadah, haidh dan juga nifas. Maka kena pastikan semua itu telah dipenuhi.


 

3. Membersihkan pakaian, badan dan tempat salat dari najis

Pastikan pada tubuh badan kita tidak ada najis. Dan bukan diri sahaja perlu dibersihkan tetapi pakaian dan tempat juga perlu bersih dari najis. Kita telah belajar apakah najis dan apakah yang tidak. Dan kita telah belajar cara-cara membersihkan najis itu juga.

✍🏼 1. Dalil pakaian kena bersih adalah ayat Muddaththir: 4

وَثِيابَكَ فَطَهِّر
dan pakaianmu bersihkanlah,

✍🏼 2. Dan dalil bagaimana Nabi ﷺ mengajarkan cara untuk mencuci pakaian yang terkena darah haidh. Kesimpulan ini berdasarkan riwayat dari Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Khaulah binti Yasar bertanya kepada Nabi ﷺ,

َ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ خَوْلَةَ بِنْتَ يَسَارٍ أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلَّا ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ قَالَ إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ثُمَّ صَلِّي فِيهِ فَقَالَتْ فَإِنْ لَمْ يَخْرُجْ الدَّمُ قَالَ يَكْفِيكِ غَسْلُ الدَّمِ وَلَا يَضُرُّكِ أَثَرُهُ

Bahawasanya Khaulah binti Yasar pernah mendatangi Nabi ﷺ, kemudian berkata; “Wahai Rasulullah, saya hanya memiliki satu pakaian, dan saya haidh dengan menggunakan pakaian tersebut.” Baginda bersabda, “Jika haidhmu telah berhenti, cucilah bahagian pakaianmu yang terkena darah haidh, kemudian salatlah dengan menggunakan pakaian tersebut.” Khaulah bertanya lagi, “jika darah tersebut tidak luntur (bekas darah itu tidak mahu hilang)?” Baginda menjawab, “Cukuplah kamu cuci dengan air, dan tidak usah pedulikan bekasnya.”
(Sunan Abu Daud no. 310 dan dinilai sahih oleh Al-Albani)

✍🏼 3. Dalil tempat salat perlu dibersihkan adalah hadith daripada Anas bin Malik رضي الله عنه. Beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah ﷺ, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah ﷺ menggertaknya, tetapi Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah ﷺ pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir kepada Allah عز وجل, salat, dan membaca al-Qur’an.” Atau sebagaimana sabda Nabi ﷺ yang sesuai. Setelah itu baginda memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.”
(HR. Muslim 2/133, no. 429)


 

4. Menutup aurat

Semua tahu yang kita kena menutup aurat semasa salat.

✍🏼 Dalilnya A’raf 31:

يا بَني آدَمَ خُذوا زينَتَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ

Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid

Tafsir: salah satu tafsir ayat ini adalah kita haruslah memastikan pakaian kita menutupi aurat apabila salat. ‘Masuk masjid’ itu sama ada ketika tawaf dan juga ketika salat. Jadi kenalah menutup aurat walaupun salat bersendirian dan tidak ada orang lain kerana menutup aurat ketika salat adalah hak Allah ‎ﷻ.

 

a. Apa yang wajib ditutupi oleh lelaki dalam salat

Wajib bagi lelaki menutup qubul dan duburnya. Tetapi bukanlah itu sahaja. Malah dalam salat kena menutup lebih lagi dari luar salat. Sebagai contoh, luar salat boleh sahaja lelaki membuka dua bahunya, tetapi dalam salat kena tutup. Berkenaan hal ini, tidak dinafikan bahawa di sana terdapatnya riwayat yang berkaitan.

✍🏼 Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ شَىْءٌ

Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu solat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya.
(Bukhari no. 359)

Syarah: Berdasarkan zahir hadith di atas, terdapatnya larangan ke atas perbuatan salat dalam keadaan bahagian bahu terdedah. Di dalam kaedah usul fiqh mengatakan, bahawa larangan itu membawa erti pengharaman. Justeru, sebahagian para ulama’ mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah haram.

Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi رحمه الله mengatakan: Wajib ke atas seseorang yang salat untuk meletakkan sesuatu daripada pakaian di atas bahunya, sekiranya dia mampu untuk melakukannya. Inilah pendapat Ibn Al-Munzir dan dihikayatkan daripada Abu Ja’far, beliau berpendapat bahawa tidak sah salat bagi sesiapa yang tidak menutup bahunya.

Manakala majoriti para fuqaha pula berpendapat: Yang demikian itu tidak wajib, dan ia bukanlah syarat sah salat. Inilah pendapat Imam Malik, dan Imam Asy-Syafi’iy, kerana kedua-dua bahu tersebut bukanlah aurat maka ia menyamai baki anggota badan yang lain. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/618).

Manakala Imam Al-Nawawi رحمه الله di dalam kitabnya Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (2/274) apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Kata para ulama’: Hikmahnya adalah, jika dia memakai baju dan tidak ada sesuatu di atas bahunya, maka tidak selamat daripada terdedah bahagian auratnya, berbeza dengan jika diletakkan pakaian di atas bahu.

Kata beliau lagi: Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Asy-Syafi’iy serta jumhur berpendapat: Larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih, bukannya kepada pengharaman. Jika seseorang itu salat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka salatnya dikira sah berserta hukum makruh. Sama ada dia mampu meletakkan sesuatu di atas bahunya ataupun tidak.

Manakala Imam Ahmad رحمه الله dan sebahagian para salaf berpendapat bahawa salatnya tidak sah sekiranya dia mampu meletakkan sesuatu (daripada pakaian) di atas bahunya. Manakala dalam riwayat lain yang juga daripada Imam Ahmad bin Hanbal رحمه الله beliau berpendapat bahawa solatnya adalah sah, akan tetapi berdosa jika dia meninggalkan meletak sesuatu dari pakaian di atas bahunya.

Kesimpulan:
Setelah meneliti dan menilai isu ini dengan merujuk kepada nas-nas berkaitan berserta pandangan para ulama’, kita boleh simpulkan bahawa salat dengan memakai singlet, atau tidak memakai baju yang mendedahkan kedua-dua bahu orang lelaki, hukumnya adalah MAKRUH dan salat tersebut sah.

Nabi ﷺ pun pernah salat dengan satu kain tetapi baginda tetap menutup bahu baginda. Ini berdasarkan hadith at-Tirmizi رحمه الله.

Umar bin Abu Salamah رضي الله عنهما berkata bahawasanya dia melihat Rasulullah ﷺ bersembahyang di dalam rumah Ummu Salamah (isterinya) berbalut dengan sehelai kain.

✍🏼 Dari ‘Umar bin Abu Salamah رضي الله عنهما,

أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ قَدْ أَلْقَى طَرَفَيْهِ عَلَى عَاتِقَيْهِ

Bahawa dia melihat Nabi ‎ﷺ salat di rumah Ummu Salamah dengan mengenakan satu kain yang kedua sisinya digantungkan pada kedua bahunya.
[Sahih Al-Bukhari no.355].

Nabi ﷺ pernah bersembahyang dalam keadaan berbalut menggunakan sehelai kain di mana ditarikkannya satu hujung kain dan celah ketiak kanan baginda dan dinaikkannya ke atas bahu kiri; kemudian ditarikkannya satu hujung yang sebelah lagi dan celah ketiak kiri dan dinaikkannya ke atas bahunya yang kanan; kemudian dipertemukan dua hujung kain itu lalu disimpulkannya ke dadanya. Sesudah itu baginda lalu bersembahyang dalam keadaan tersebut.

Sekian semoga kita dapat menjaga pakaian kita di dalam salat. Kita panjangkan bab ini kerana rasanya ramai juga yang salat tanpa berbaju (pakai kain pelekat sahaja) atau pakai baju singlet sahaja. Semoga kita tidak melakukannya lagi.

 

b. Hujah bagi orang yang berpendapat paha tidak termasuk aurat

Sekarang kita masuk ke perbincangan yang agak kontroversi sedikit. Ada yang berpendapat pusat, paha dan lutut bukanlah aurat dan mereka juga berpegang dengan dalil. Nanti kita akan lihat pula hujah mereka yang mengatakan paha itu adalah aurat pula.

Mazhab Hanafi menganggap apa yang di antara pusat dan lutut sebagai daerah aurat. Mereka menganggap lutut itu aurat sedangkan pusat tidak. Manakala mazhab Syafi’iy dan Hanbali mengatakan antara pusat dan lutut itu aurat manakala pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat. Adapun mazhab Maliki, Zahiri dan satu pandangan daripada Imam Ahmad رحمهم الله menyatakan bahawa paha itu bukan aurat. Wallahu a’lam

Hujah golongan yang mengatakan paha bukan aurat:

✍🏼 Hadith dari Aisyah رضي الله عنها

– كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم مُضطجِعًا في بيتِه كاشفًا عن فخِذَيْه فاستأذَن أبو بكرٍ فأذِن له وهو على تلكَ الحالِ فتحدَّث ثمَّ استأذَن عُمَرُ فأذِن له وهو على تلكَ الحالِ فتحدَّث ثمَّ استأذَن عُثمانُ فجلَس رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم وسوَّى ثيابَه

Sesungguhnya Rasulullah ﷺ berbaring di rumahku sambil terdedah kedua pahanya, bila Abu Bakar meminta izin untuk masuk, baginda membenarkannya masuk dalam keadaan terdedah pahanya. Kemudian Umar meminta izin, baginda mengizinkannya masuk dalam keadaan pahanya tersingkap. Kemudian Usman meminta izin untuk masuk lalu Rasulullah ﷺ duduk dalam keadaan normal pakaiannya (menutup pahanya).”
(Sahih Ibnu Hibban no. 6907, sanadnya sahih di atas syarat Muslim. Sunan Al Kubra li al-Baihaqi 2/231)

Syarah: kalau paha itu memang aurat, maka tentulah baginda telah menutupinya ketika Abu Bakar dan Umar masuk menemui baginda.

✍🏼 Hadith dari anas رضي الله عنه:

ثم حَسَرَ الإِزَارَ عن فخِذه حتى إني أَنْظُرُ إلى بَيَاضِ فَخِذِ نبي الله

“Kemudian tersingkaplah paha Nabi ﷺ sehingga aku melihat keputihan paha Nabi Allah.”
(Sahih Bukhari no. 358)

Hujah ini mengatakan, kalaulah paha itu aurat, tentu Allah ‎ﷻ telah menjaganya dari ternampak kepada khalayak. Kerana Allah ‎ﷻ menjaga aurat Nabi Muhammad ﷺ.

✍🏼 Ini berdasarkan dalil:

351 – حَدَّثَنَا مَطَرُ بْنُ الْفَضْلِ قَالَ حَدَّثَنَا رَوْحٌ قَالَ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ بْنُ إِسْحَاقَ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يُحَدِّثُ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَنْقُلُ مَعَهُمْ الْحِجَارَةَ لِلْكَعْبَةِ وَعَلَيْهِ إِزَارُهُ فَقَالَ لَهُ الْعَبَّاسُ عَمُّهُ يَا ابْنَ أَخِي لَوْ حَلَلْتَ إِزَارَكَ فَجَعَلْتَ عَلَى مَنْكِبَيْكَ دُونَ الْحِجَارَةِ قَالَ فَحَلَّهُ فَجَعَلَهُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ فَسَقَطَ مَغْشِيًّا عَلَيْهِ فَمَا رُئِيَ بَعْدَ ذَلِكَ عُرْيَانًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

351. Telah menceritakan kepada kami Mathar bin Al Fadlal berkata, telah menceritakan kepada kami Rauh berkata, telah menceritakan kepada kami Zakaria bin Ishaq telah menceritakan kepada kami ‘Amru bin Dinar berkata, “Aku mendengar Jabir bin ‘Abdillah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ memunggah batu bersama orang-orang kafir Quraisy untuk pembinaan semula Ka’bah, ketika itu baginda memakai kain.” Al ‘Abbas lalu berkata kepadanya, “Wahai anak saudaraku, alangkah baiknya jika kau membuka kainmu dan meletakkannya di atas kedua belah bahumu sebagai pelapik kepada batu-batu (yang kau pikul itu). Perawi berkata: Maka baginda membuka kainnya dan hampir meletakkannya atas kedua belah bahu, tiba-tiba baginda terjatuh pengsan. Setelah peristiwa itu tidak lagi Nabi ﷺ dilihat bertelanjang (tidak terdedah auratnya).”
(Sahih Bukhari no. 351).

Syarah: Allah ‎ﷻ pengsankan Nabi ﷺ sebelum baginda membuka kain baginda untuk memelihara aurat baginda.

📌AMARAN: Di sini bukanlah saya menganjurkan salat memakai seluar pendek pula. Kita semua ada kain yang cukup, jadi tidak perlu untuk tunjuk paha pula. Kita lihat pula hujah yang mengatakan paha itu aurat.

 

c. Hujah bagi orang yang mengatakan paha termasuk aurat

Ada juga pendapat yang mengatakan paha lelaki itu merupakan aurat. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’, di antara mereka adalah Abu Hanifah, Malik, Asy-Syafi’iy di dalam salah satu pendapat beliau dan Ahmad dalam suatu riwayat.

✍🏼1. Pendapat ini berdalil dengan suatu riwayat dari Zur’ah bin Abdurrahman bin Jarhad dari bapanya (Abdurrahman bin Jarhad) beliau berkata: “Jarhad termasuk salah seorang ahlus suffah, sesungguhnya beliau berkata: “Rasulullah ﷺ duduk di samping kami dalam keadaan pahaku tersingkap. Maka baginda ﷺ bersabda:

أما علمت أن الفخذ عورة ؟

“Apakah kamu tidak tahu bahawa sesungguhnya paha itu aurat?”
(HR. Abu Daud no. 4014 dan disahihkan oleh syaikh Al-Albani رحمه الله)

✍🏼 2. Diriwayatkan pula, sesungguhnya Rasulullah ﷺ melewati Jarhad dalam kondisi paha Jarhad tersingkap (kainnya). Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

إن الفخذ عورة

“Sesungguhnya paha itu aurat”.
(HR. At-Tirmidzi no. 2793 dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani رحمه الله)

Dalam dua hadith di atas, terdapat dalil yang sangat jelas sesungguhnya paha lelaki itu adalah aurat. Dan ini adalah pendapat yang benar dan kuat dalam masalah ini. Cuma bagi mereka yang mengatakan paha bukan aurat adalah kerana mereka mengkritik hadith-hadith di atas. Ini biasa sahaja dalam menilai hadith-hadith (ada yang terima sebagai sahih dan ada yang kritik).

Jadi, pendapat kedua ini mengatakan paha adalah aurat. Akan tetapi yang dimaksudkan aurat di sini adalah aurat ringan, bukan termasuk aurat besar, untuk mengkompromikan dengan hadith-hadith lain yang sekilas menunjukkan bahawa paha itu bukan aurat (iaitu pendapat golongan yang mengatakan paha bukan aurat).

✍🏼 Al-Imam Ibnul Qayyim رحمه الله berkata:

”Jalan kompromi diantara hadith-hadith di atas, apa yang telah disebutkan oleh beberapa sahabat Imam Ahmad: sesungguhnya aurat itu ada dua:

Aurat mukhaffafah (ringan) dan aurat mughalladzah (berat). Aurat berat adalah dubur dan kemaluan, sedangkan aurat ringan adalah dua paha. Tidak saling meniadakan antara perintah untuk menundukkan pandangan dari dua paha kerana keduanya adalah aurat, dan antara menyingkap keduanya kerana keduanya adalah aurat ringan”.
( Tahdzibus Sunan : 11/36 )

✍🏼 Dan pendapat yang menyatakan bahawa paha adalah aurat ringan, adalah pendapat yang dikuatkan oleh asy-syaikh Abdul Aziz bin Baz رحمه الله beserta Lajnah Daimah ( Majmu’ Fatawa Lajnah Daimah : 6/165 )

Kesimpulan: kalau kita tahu ada dua pendapat sebegini, tidaklah kita terkejut sangat kalau ada yang tidak kisah kalau pasukan bola negara Islam selamba sahaja memakai seluar pendek. Tetapi tidaklah kita sampai berjalan ke hulu ke hilir pergi ke “shopping mall” dengan memakai seluar pendek sahaja. Dan jauh sekali kita suruh orang salat dengan memakai seluar pendek pula.

 

d. Bahagian tubuh wanita yang wajib ditutupi dalam salat

Wanita wajib menutupi keseluruhan tubuhnya dalam salat kecuali wajah dan tapak tangan.

✍🏼 Dalilnya adalah ayat Nur: 31

وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ إِلّا ما ظَهَرَ مِنها

dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.

Tafsir: Jumhur ulama’ menafsir ‘yang biasa nampak’ itu adalah wajah dan juga tapak tangan.

Masyarakat wanita kita sudah biasa memakai telekung untuk salat jadi tidak ada masalah dalam bab ini. Tetapi sekiranya tidak memakai telekung namun pakaian dia menutup auratnya, maka masih boleh salat. Tidaklah wajib memakai telekung itu.

 

e. Bolehkah lelaki membuka kepalanya dalam salat?

Secara umum, kita dianjurkan untuk berhias dan berpenampilan yang sempurna ketika hendak salat.

✍🏼 Allah ‎ﷻ berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ

“Wahai manusia, gunakanlah perhiasanmu ketika memasuki setiap masjid” (QS. Al A’raf: 31).

Tafsir:
Perhiasan yang disentuh dalam ayat ini bermaksud memakai pakaian yang indah-indah, yang bersih, memakai wangian. Termasuk dalam perkara ini adalah menutup kepala juga bagi lelaki.

Dan di antara bentuk berhias ketika hendak salat yang dianjurkan ulama’ kepada para lelaki adalah dengan memakai penutup kepala.

✍🏼 Syaikh Muhammad bin Salih Al Utsaimin رحمه الله mengatakan:

وقد سبق في أثر ابن عمر أنه قال لمولاه نافع: «أتخرجُ إلى النَّاس حاسرَ الرَّأس؟ قال: لا، قال: فالله أحقُّ أن يُستحى منه» وهو يدلُّ على أن الأفضل ستر الرأس

“Telah kami sampaikan sebuah atsar dari Ibnu Umar, beliau berkata kepada maula-nya, Nafi’:‘Apakah engkau keluar menemui orang-orang tanpa penutup kepala? Nafi’ berkata: Tidak. Ibnu Umar berkata: Sungguh malu kepada Allah adalah lebih layak daripada kepada yang lain‘.
Hal ini menunjukkan bahawa menutup kepada itu lebih afdhal” (Syarhul Mumthi’, 2/137)

Memakai penutup kepala pula adalah kebiasaan Rasulullah ﷺ, para sahabat, para ulama’ dan orang-orang salih, baik di luar atau di dalam salat.

✍🏼 Beberapa riwayat menunjukkan hal ini, di antaranya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ، فَمَسَحَ بِنَاصِيَتِهِ ، وَعَلَى الْعِمَامَةِ ، وَعَلَى الْخُفَّيْنِ

“Nabi ﷺ berwudhu’, baginda mengusap ubun-ubunnya, mengusap imamahnya (penutup kepala), dan mengusap khufnya”
(HR. Bukhari no. 182, Muslim no. 274)

✍🏼 Dalil seterusnya:

أنه كان يُصلِّي في العِمامة
“Adalah baginda biasanya salat dengan memakai imamah”
(HR. Bukhari 205, Muslim 1359)

Syarah: Maka apabila Rasulullah ﷺ sentiasa memakai penutup kepala ketika salat, maka ia menjadi sunnah baginda. Dan menyelisihi sunnah adalah perkara yang makruh.

Salat seorang lelaki tanpa penutup kepala diperselisihkan para ulama’ hukumnya. Sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya makruh tanzih.

Sebagaimana pendapat Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani رحمه الله, ketika mengomentari perkataan Sayyid Sabiq dalam Fiqhus Sunnah yang mengatakan bahawa tidak ada dalil keutamaan menggunakan penutup kepala dalam salat.

✍🏼 Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani رحمه الله mengatakan:

“Menurut hemat saya dalam permasalahan ini, salat tanpa memakai penutup kepala itu makruh. Kerana setiap muslim dianjurkan ketika hendak salat untuk berpenampilan sebagus dan seislami mungkin, berdasarkan hadith yang kami bawakan di awal kitab ini:

إنَّ اللهَ أحَقُّ أنْ يُتزَيَّنَ له

‘Sungguh berhias untuk Allah adalah lebih layak daripada untuk yang lain‘
(HR. Ath Thabrani dalam Al Ausath, 7/127).

Memakai penutup kepala adalah adat orang beriman zaman berzaman. Zaman sekarang pun kalau kita tengok orang berkopiah, kita sudah ada rasa hormat terhadapnya. Akan tetapi kerana budaya orang Barat yang tidak memakai penutup kepala, maka kita telah terikut-ikut dengan cara mereka.

Diingatkan yang menutup kepala adalah anjuran yang kuat, tetapi bukanlah wajib. Maka kerana ia anjuran, maka cuba kita bersemangat dalam menutup kepala ketika salat.


 

5. Mengadap kiblat

Kewajipan mengadap kiblat ke Ka’bah adalah dari firman Allah ‎ﷻ dalam al-Quran.

✍🏼 Dalilnya surah al- Baqarah:144

فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ

Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya.

Tafsir: Orang yang nampak Ka’bah wajib menghadap ke Ka’bah. Tetapi orang yang tidak mampu melihatnya kerana jauh, maka wajib baginya menghadap ke arahnya sahaja (tidak perlu tepat).

✍🏼 Dasarnya adalah firman Allah ‎ﷻ dalam Baqarah:286

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Bagi yang tidak mampu melihat Ka’bah (misalnya kita orang Malaysia), maka cukup menghadapkan tubuhnya ke arah Ka’bah secara umum iaitu ke arah barat bagi orang yang berada di timur Ka’bah.

Dan tidak perlu menghadap tepat ke Ka’bah. Oleh kerana itu, tidak perlu serong beberapa darjah ke utara ketika salat. Demikian, menurut pendapat yang paling kuat.

✍🏼 Nabi ﷺ tidak pernah memerintahkan para sahabat untuk salat persis menghadap Ka’bah. Nabi ﷺ bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ

“Antara timur dan barat adalah kiblat.”
(Sunan At-Tirmizi no. 314 dan disahihkan Al-Albani.)

Kalau lari beberapa darjah itu maka, tidak ada masalah. Bayangkan kalau sekarang kita memang ada kompas, tetapi zaman dahulu tidak ada kompas, bagaimana mereka boleh mendapatkan arah kiblat yang tepat?

📍 Orang yang tidak pasti arah kiblat, maka wajib berusaha untuk mencari arah kiblat. Hal ini boleh dilakukan dengan beberapa cara:

a. Bertanya kepada penduduk setempat atau orang yang tahu. Macam kita selalu tanya tuan rumah. Kalau tuan rumah tidak tahu arah kiblat, memang ada masalah (kisah benar).

b. Jika tidak mungkin untuk bertanya maka boleh menggunakan tanda-tanda alam. Seperti sinar matahari, tengok bayang.

Jika dua cara di atas tidak boleh juga, maka salat menghadap ke arah manapun berdasarkan dugaan kuat bahawasanya arah itu adalah kiblat.

Jika ternyata arah yang dia pilih itu salah (ertinya tidak menghadap kiblat) maka salatnya sah dan tidak perlu diulangi. Ini berdasarkan dalil:

✍🏼 Jabir bin Abdillah رضي الله عنهما mengatakan,

كنَّا مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلم في مسيرةٍ أو سِرِيَّةٍ ، فأصابَنا غيمٌ فتحرَّينا واختلفْنا في القِبلةِ ، فصلَّى كلُّ رجلٍ منَّا على حدَةٍ ، فجعل أحدُنا يخطُّ بين يديهِ لنعلمَ أمكِنَتَنا ، فلمَّا أصبحنا نظرناهُ فإذا نحن صلَّيْنا على غيرِ القبلةِ فذكرْنا ذلك للنبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلم فلم يأمرْنا بالإعادةِ وقال : قد أجزَأَتْ صلاتُكم.

Kami pernah dalam suatu perjalanan, tiba-tiba kami diliputi awan gelap. Kemudian masing-masing memilih arah kiblat dan arah kiblat kami berbeza-beza. Seseorang di antara kami membuat garis di depannya supaya tahu ke arah mana ketika salat. Ketika di pagi hari, kami melihat garis yang dibuat semalam. Ternyata kami salat tidak menghadap kiblat. Kejadian ini kami sampaikan kepada Nabi ﷺ [tetapi baginda tidak menyuruh kami mengulangi salat]. Beliau bersabda, “Salat kalian sudah benar.”

[HR. Daruqutni no. 101. Hasan atau sahih di mana setiap jalan menguatkan antara satu sama lain (Usul Sifat Al-Salah 1/72).

Catatan: Telah disebutkan takhrijnya di dalam Al-Irwa’ (296) . Tambahan lafaz (tetapi baginda tidak menyuruh kami…) disebut dari Ad-Daruqutni dan Al-Hakim].

Tetapi kenalah diusahakan terlebih dahulu. Bagi orang yang tidak tahu arah kiblat dan memungkinkan baginya untuk mengetahui arah kiblat dengan bertanya kepada penduduk setempat namun jika dia tidak mahu bertanya, sehingga salatnya tidak menghadap kiblat maka salatnya batal dan harus diulangi.

📌 Orang yang salat dengan tidak menghadap kiblat, kemudian di tengah-tengah salat dia diingatkan bahawa kiblatnya salah maka tidak perlu membatalkan salatnya namun cukup menghadapkan tubuhnya ke arah kiblat yang sebenar.

Dia cuma gerak sahaja. Jangan takut untuk bergerak. Tidak perlu untuk mengira berapa kali pergerakan, terus bergerak sahaja.

Kalau ada orang yang nampak sahabat dia salah kiblat, dia boleh memperbetulkannya. Pegang bahunya dan gerakkannya ke arah kiblat yang betul. Yang dipegang, jangan pula melompat terkejut. Dan janganlah keraskan badan, ikut sahaja ke arah mana yang dihalakan.

Tidak salah membetulkan kiblat dalam salat.

✍🏼 Dalilnya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ
بَيْنَا النَّاسُ بِقُبَاءٍ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ إِذْ جَاءَهُمْ آتٍ فَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أُنْزِلَ عَلَيْهِ اللَّيْلَةَ قُرْآنٌ وَقَدْ أُمِرَ أَنْ يَسْتَقْبِلَ الْكَعْبَةَ فَاسْتَقْبِلُوهَا وَكَانَتْ وُجُوهُهُمْ إِلَى الشَّأْمِ فَاسْتَدَارُوا إِلَى الْكَعْبَةِ

Dari Abdullah bin Umar, dia berkata, “Tatkala para sahabat di Quba’ sedang melakukan salat subuh, tiba-tiba datang seorang (ketika mereka sedang salat) sambil berkata, ‘ Sesungguhnya malam tadi Rasulullah ﷺ diturunkan ayat Al Qur’an, baginda disuruh menghadap Ka’bah! ‘ Waktu itu wajah mereka sedang menghadap ke arah Syam, maka secara spontan mereka memalingkan ke Ka’bah.”
(Sahih Bukhari no. 6710)

Akhirnya, para sahabat yang sedang melaksanakan salat Subuh berjemaah memutar arah tubuhnya. Imam berputar, yang awalnya menghadap ke utara menjadi salat jemaah menghadap ke selatan. Ini semua mereka lakukan tanpa membatalkan salat.

📍Bagaimana salat orang yang berada di atas kenderaan? Baru-baru ini keluar gambar viral salat Subuh berjemaah dalam LRT. Bagaimana dengan kiblat mereka?

a. Jika ingin melakukan salat wajib maka cubalah turun dari kenderaan. Jika tidak memungkinkan turun maka boleh salat di atas kenderaan sambil duduk.

✍🏼 Dari Jabir bin Abdullah رضي الله عنهما:

فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُصَلِّيَ الْمَكْتُوبَةَ نَزَلَ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ

“Apabila baginda hendak melakukan salat wajib, baginda turun (dari haiwan tunggangannya), lalu salat (di tanah) dengan menghadap kiblat.”
(Sahih Bukhari no. 1035)

Tentulah kalau dalam LRT dan kapal terbang/bot tidak boleh turun, maka teruskan sahaja salat di atas kenderaan itu.

b. Jika ingin salat sunat maka tidak perlu turun dan boleh terus salat di atas kenderaan sambil duduk. Tidak perlu mengadap kiblat kerana ia adalah salat sunat.

✍🏼 Dalilnya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ

“Aku melihat Nabi ﷺ salat diatas haiwan tunggangannya kearah mana saja haiwan tunggangannya berjalan”.
(Sahih Bukhari no. 1030)

Syarah: Maknanya tidaklah Nabi ﷺ menyuruh untanya menghadap ke kiblat sekejap sebab baginda ingin salat. Cuma, kerana baginda berada di atas unta, bila masuk waktu fardhu, maka baginda berhenti dan salat di tanah dan mengadap kiblat.

c. Orang yang salat di atas atas (dalam) kenderaan boleh tidak menghadap kiblat jika tidak boleh salat sambil menghadap kiblat. Tetapi salatnya menghadap searah dengan kendaraannya atau ke arah mana sahaja yang mudah baginya.

Ini termasuk dalam kes LRT tempoh hari. Mereka boleh mengadap sahaja ke arah mana LRT tersebut. Bila LRT bergerak, tidaklah perlu bergerak ikut LRT pula.

d. Satu lagi situasi yang dibolehkan tidak mengadap kiblat adalah ketika takut, sakit, dihalang atau dipaksa tidak mengadap kiblat.

✍🏼 1. Dalilnya al- Baqarah:286.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

✍🏼 2. Dan juga ayat Baqarah:239

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا
Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka shalatlah sambil berjalan atau berkendaraan.

Kalau dalam perang pun boleh solat mengadap musuh walaupun bukan ke arah Kaabah. Ini adalah apabila solat khauf.

✍🏼 Dalilnya:

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ، قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، قَالَ سَأَلْتُهُ هَلْ صَلَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَعْنِي صَلاَةَ الْخَوْفِ قَالَ أَخْبَرَنِي سَالِمٌ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قِبَلَ نَجْدٍ، فَوَازَيْنَا الْعَدُوَّ فَصَافَفْنَا لَهُمْ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي لَنَا فَقَامَتْ طَائِفَةٌ مَعَهُ تُصَلِّي، وَأَقْبَلَتْ طَائِفَةٌ عَلَى الْعَدُوِّ

Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman berkata, telah mengabarkan kepada kami Syu’aib dari Az Zuhri berkata, Aku bertanya kepadanya, “Apakah Nabi ﷺ melaksanakan shalat khauf?” Ia berkata; Salim telah mengabarkan kepadaku bahwa ‘Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما berkata, “Aku pernah ikut suatu peperangan bersama Rasulullah ﷺ ke arah Najd, kami menghadap ke arah musuh dan membuat barisan untuk mereka. Rasulullah ﷺ lalu berdiri mengimami kami. Sekelompok orang yang bersama baginda melaksanakan salat sementara sekelompok yang lain menghadap musuh.
(Sahih Bukhari no. 942)

 

Sekarang kita lihat apakah tatacara salat dengan ringkas.


🍀SESI SOAL JAWAB KELAS☘️
=========================

1. Apakah hukum salat memakai singlet bagi lelaki?

🔵 Tidak mengikuti sunnah, makruh.

2. Apakah hukum salat dengan memakai alas kaki seperti selipar dan kasut.

🔵 Boleh, tetapi tengok kepada keadaan. Pada zaman Nabi itu adalah sunnah dan memang Nabi menyuruhnya. Ini adalah kerana pada waktu itu salat dilakukan di atas tanah dan pemakaian alas kaki juga menyelisihi Ahli Kitab yang sembahyang tanpa kasut.

Tetapi pada zaman sekarang, masjid dan surau menggunakan karpet, maka tidak boleh memakai alas kaki. Jika salat di jalanan, maka boleh memakai kasut, tidak ada masalah.

3. Adakah benar bahawa tiada riwayat yg mengatakan Nabi ‎ﷺ pada zamannya salat dengan memakai pakaian berupa kain atau seluar pendek?

🔵 Ya, tiada riwayat sedemikian tetapi ada riwayat sahabat yang masih budak (belum baligh), salat dengan memakai kain singkat. Dari Amru bin Salamah رضي الله عنه katanya: … Rasulullah ‎ﷺ bersabda:

حَقًّا فَقَالَ صَلُّوا صَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا وَصَلُّوا صَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا فَنَظَرُوا فَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَكْثَرَ قُرْآنًا مِنِّي لِمَا كُنْتُ أَتَلَقَّى مِنْ الرُّكْبَانِ فَقَدَّمُونِي بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَأَنَا ابْنُ سِتٍّ أَوْ سَبْعِ سِنِينَ وَكَانَتْ عَلَيَّ بُرْدَةٌ كُنْتُ إِذَا سَجَدْتُ تَقَلَّصَتْ عَنِّي فَقَالَتْ امْرَأَةٌ مِنْ الْحَيِّ أَلَا تُغَطُّوا عَنَّا اسْتَ قَارِئِكُمْ فَاشْتَزَوْا فَقَطَعُوا لِي قَمِيصًا فَمَا فَرِحْتُ بِشَيْءٍ فَرَحِي بِذَلِكَ الْقَمِيصِ

“Salatlah kalian sedemikian, di waktu sedemikian. Jika waktu salat tiba, hendaklah salah seorang diantara kalian mengumandangkan azan, dan yang mengimami kalian yang banyak hafazan Al-Qurannya.” Lantas mereka saling mencermati, dan tiada yang lebih banyak hafazan Al-Qurannya selain diriku disebabkan aku bertemu dengan pengendara, maka kemudian mereka menyuruhku maju (menjadi imam), padahal umurku ketika itu baru enam atau tujuh tahun, ketika itu aku memakai kain apabila aku bersujud, kain itu tersingkap dariku. Maka salah seorang wanita kampung mengajukan saranan; “Tidakkah sebaiknya kalian tutup tubuh ahli qira’ah kalian?” Maka mereka langsung membeli dan memotong baju untukku, sehingga tiada yang menandingi kegembiraanku daripada kegembiraanku terhadap baju itu.
[Sahih Al-Bukhari no.4051]

Itu kisah pada zaman dahulu. Zaman sekarang kain sudah mencukupi, maka tutuplah aurat besar atau kecil dengan pakaian yang indah-indah.

4. Adalah wanita boleh salat dengan memakai pakaian biasa, berseluar dan stoking?

🔵 Boleh. Pakaian harus labuh serta tidak menunjukkan bentuk tubuh.

5. Adakah menutup kepala merupakan sunnah atau Rasulullah‎ ﷺ menutup kepala dan memakai serban kerana adat sebagai orang Arab?

🔵 Yang saya sampaikan ini membawa ke arah sunnah yang dituntut. Bukan setakat adat sahaja.

6. Adakah maksudnya dianjurkan memakai serban ketika di luar salat?

🔵 Ya, di luar pun digalakkan. Ianya adalah pakaian islamik.

7. Manakah yang lebih afdhal di pakai di antara songkok dengan kopiah?

🔵 Tiada beza. Asalkan menutup kepala.

8. Adakah memakai topi moden dikira memenuhi sunnah?

🔵 Tidak sama sebab bukan budaya kita. Sunnah jika hanya memakai kopiah, songkok atau serban.

9. Bagi orang yang salat dalam kenderaan, adakah tidak perlu salat seperti biasa sekiranya tiada tempat duduk dan hanya salat berdiri sahaja?

🔵 1⃣. Kalau salat sunat, boleh terus duduk sahaja.

2⃣. Kalau salat fardhu, cuba berdiri dan kalau boleh menghadap ke arah kiblat.

10. Semasa menghadiri latihan kerja (training). Kami diberi satu bilik untuk salat. Saya salat menghadap kiblat bersama seseorang. Selepas saya selesai menunaikan salat, ada orang menegur bahawa kiblat saya salah. Dia mengesyorkan saya untuk salat semula dengan kiblat yg betul. Adakah perlu saya ulang salat tersebut?

🔵 Rajihnya tidak perlu. Tetapi kalau mengikut mazhab, dianjurkan untuk salat semula. Langkah selamat kena salat semula. Boleh diulang salat jika waktu itu sahaja.

Tetapi kalau sudah 20 tahun berlalu salat satu masjid, kemudian ada yang kata kiblat tidak sah, tidak perlulah qadha.

11. Bolehkah menunda khutbah dan salat Jumaat jika ada ceramah?

🔵 Tidak patut ada ceramah sebelum khutbah Jumaat itu. Ia adalah bid’ah dan sebenarnya hanya mengganggu jemaah hendak salat sunat dan berzikir.

12. Adakah perlu salat semula jika selesai salat baru perasan ada najis di atas sejadah?

🔵 Tidak perlu. Sebaiknya periksa tempat salat sebelum salat. Tetapi kalau tidak perasan tidak perlu ulang.

13. Adakah pakaian ihram juga perlu menutup bahu?

🔵 Semasa tawaf kena membuka bahu. Semasa salat pula baru kena menutup bahu.

14. Adakah batal salat atau berdosa tetapi salat sah sekiranya salat menampakkan bentuk badan?

🔵 Sah atau tidak, selalunya khilaf. Pengajaran yang perlu diambil adalah jangan buat seperti itu sahaja.

 

📜SOALAN LUAR TOPIK KELAS

1. Adakah lantai masjid pada zaman Nabi ‎ﷺ adalah tanah?

🔵 Ya, tiada karpet, simen mahupun papan.

2. Adakah lelaki boleh mendedahkan pahanya, berdasarkan hadis dari
Aisyah رضي الله عنها:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان جالساً كاشفاً عن فخذه فاستأذن أبو بكر فأذن له وهو على حاله، ثم استأذن عمر فأذن له وهو على حاله، ثم استأذن عثمان فأرخى عليه ثيابه

Sesungguhnya Rasulullah ﷺ duduk sambil terdedah pahanya, bila Abu Bakar رضي الله عنه meminta izin untuk masuk, Nabi ﷺ membenarkannya masuk dalam keadaan terdedah pahanya. Kemudian Umar رضي الله عنه meminta izin, baginda mengizinkannya masuk dalam keadaan pahanya tersingkap. Kemudian Usman رضي الله عنه meminta izin untuk masuk lalu baginda menutup pahanya.”
[Sahih Muslim no.2401 dan Al-Sunan Al-Kubra 2/231 (Baihaqi)]

🔵 Paha adalah aurat, tetapi aurat ringan. Orang warak, orang ada pengetahuan agama, tidak berbuat begitu.

3. Bagaimanakah aurat semasa di rumah sendiri? Biasanya di rumah lebih santai, berseluar pendek sahaja tanpa memakai baju.

🔵 Jika di sekitar rumah sendiri, maka boleh. Mungkin lebih selesa dan hanya anak-beranak sahaja melihatnya.

4. Adakah boleh menderma organ dalaman bertujuan hendak membantu dan menyelamatkan nyawa orang lain?

🔵 Menderma organ boleh. Menjual organ tidak boleh.

5. Adakah perlu bertayamum untuk setiap khutbah, ditambah tayammum untuk salat ketika ketiadaan air?

🔵 Lakukan sekali sahaja.

6. Boleh beri pencerahan tentang ini. Sebab katanya ada pendapat dari Ibnu Hajar dan Al-Ramli bahawa kena;
1) Tayammum untuk khutbah pertama
2) Tayammum untuk khutbah kedua
3) Tayammum untuk salat Jumaat
(al-Taqrirat al-Sadidah 150).

🔵 Pendapat memang ada tetapi tidak mempunyai dalil.

7. Mohon pencerahan status hadith ini?

: مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

dari Anas bin Malik RA, ia mengatakan Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang salat kerana Allah selama 40 hari secara berjemaah dengan mendapatkan takbir pertama (takbiratul ihramnya imam), maka ditulis untuknya dua kebebasan, iaitu kebebasan dari api neraka dan kebebasan dari sifat kemunafikan.

[hadith riwayat Tirmidzi 241]

🔵 Terdapat perbahasan yang panjang mengenai hadith ini. Berkata Imam Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Talkhis Habir 2/27) bahawa hadith ini dinilai dhaif oleh kebanyakan ulama’ dari golongan mutaqaddimin yang menyatakan periwayatannya adalah mursal. Akan tetapi ia dinilai hasan oleh sebahagian ulama’ mutaakhirin.

Syaikh Al Albani menyatakan hadith ini berdarjat hasan setelah dilihat pada semua tariq periwayatannya.

Boleh diamalkan kerana jika hadith ini dhaif sekalipun, masih boleh dipakai lagi sebagai fadhail amal.

🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s