D. Waktu-waktu Salat

Tajuk:

Waktu salat Zuhur
Waktu salat Asar
Waktu salat Maghrib
Waktu salat Isyak
Waktu salat Subuh

D. Waktu-waktu Salat

Zaman sekarang kita selalunya melihat jam sahaja untuk menentukan bilakah masuknya waktu salat. Tetapi sebenarnya waktu itu ditentukan oleh keadaan alam pada waktu itu. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu pun bilakah masuk waktu salat jika tidak ada jam. Maka sekarang kita belajar perkara ini, untuk kita tahu bilakah masuk waktu itu.

Secara umumnya, Islam adalah agama yang menggunakan alam sebagai penanda aras dan waktu untuk melakukan ibadat. Kita mungkin sudah tahu tentang Hilal (anak bulan) Ramadhan dan Hari Raya. Sekurang-kurangnya tentu semua orang tahu tentang anak bulan ini sebab sudah tentu ramai yang menunggu sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan ketika bulan Ramadhan dan yang lebih penting, ketika tibanya Hari Raya.

Begitu juga dengan waktu salat. Waktu salat juga ditentukan dengan melihat kepada alam. Maka, tiada masalah jika tidak ada jam.


1. Waktu Zuhur

Waktu Zuhur adalah apabila matahari telah ‘tergelincir’. Apakah maksud tergelincir ini? Tergelincir di sini bermaksud bergerak sedikit sahaja dari kedudukan di tengah-tengah langit.

✍🏻 Dalil hadis dari Anas bin Malik;

507 – حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ

Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Syu’aib dari Az Zuhri berkata, telah mengkhabarkan kepadaku Anas bin Malik, bahawa Rasulullah ﷺ keluar rumah untuk melaksanakan salat Zuhur sebaik sahaja matahari tergelincir.
(Sahih Bukhari no. 507).

Untuk menentukan waktu Zuhur adalah dengan melihat bayang iaitu habis bayang di sebelah barat dan timbul bayang di sebelah timur. Kalau matahari betul-betul tegak di atas kepala kita, dan kita pacakkan sebatang kayu di atas tanah, tiada bayang-bayang, bukan?

Namun, apabila matahari itu bergerak sahaja sedikit, bayang-bayang akan menjelma. Maka, inilah tandanya waktu Zuhur telah masuk.

Cuma di negara kita, matahari tidak berada tegak di atas kepala kita. Maka kalau kita pacakkan sebatang kayu lurus, maka akan terus ada bayang. Maka kenalah perhatikan bayang itu.

Sampai satu masa, tidak bergerak bayangnya (mungkin berterusan 2cm sahaja). Kemudian bila bayang itu bergerak sahaja (menjadi 2.1cm), maka itu tandanya telah gelincir matahari dan waktu Zuhur sudah masuk.

Sampai bilakah waktu Zuhur itu? Harus dilihat juga kepada bayang-bayang kayu itu. Selagi bayang-bayangnya belum sama panjang dengan panjang kayu itu, maka masih lagi dalam waktu zuhur.


2. Waktu Asar

Waktu Asar masuk apabila bayang-bayang kayu telah sama panjang dengan batang kayu itu.

Kalau kita gunakan contoh kayu yang panjangnya 1 meter, maka bayangnya pun 1 meter juga. Dan kalau bayangnya memang telah ada sepanjang 2cm (seperti contoh di atas tadi), maka waktu Asar masuk apabila bayang menjadi 1.2 meter.

✍🏻 Dalil hadis;

‏ أَمَّنِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى الظُّهْرَ فِي الأُولَى مِنْهُمَا حِينَ كَانَ الْفَىْءُ مِثْلَ الشِّرَاكِ ثُمَّ صَلَّى الْعَصْرَ حِينَ كَانَ كُلُّ شَيْءٍ مِثْلَ ظِلِّهِ

Nabi ﷺ bersabda, Jibril عليه السلام telah mengimamiku di rumah sebanyak dua kali. Dia telah salat Zuhur pertama apabila panjang bayang sepanjang satu tali kasut. Kemudian dia telah salat Asar apabila panjang bayang sama panjang dengan barangnya.
(Sahih dari Sunan Tirmizi no 149).

1. Masa salat Asar dari waktu mulanya sampailah terbenam matahari.

📌 Salat Asar adalah salat yang penting sampaikan ada ancaman khusus bagi mereka yang meninggalkannya:

✍🏻 Dalil hadis dari Abu Al-Malih رضي الله عنه

520 – حَدَّثَنَا مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ: حَدَّثَنَا هِشَامٌ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ، عَنْ أَبِي قِلاَبَةَ، عَنْ أَبِي المَلِيحِ، قَالَ: كُنَّا مَعَ بُرَيْدَةَ فِي غَزْوَةٍ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، فَقَالَ: بَكِّرُوا بِصَلاَةِ العَصْرِ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ»

520. Telah menceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Abu Katsir dari Abu Qilabah dari Abu Al Malih berkata, “Kami pernah bersama Buraidah pada suatu peperangan pada hari mendung, lalu dia berkata, “Segeralah laksanakan salat ‘Asar! Kerana Nabi ﷺ pernah bersabda: “Barangsiapa meninggalkan salat ‘Asar sesungguhnya terhapuslah amalnya.”
(Sahih Bukhari no 520).

Syarah:

Apakah maksud ‘terhapus amalan’? Dalam mentakwil hadis ini, ulama’ berbeza pendapat:

1. Yang dikatakan terhapus amalnya itu adalah kalau dia tidak salat itu kerana dia berpendapat ‘tidak perlu salat’. Iaitu dia menganggap salat adalah tidak fardhu. Bukan sebab dia malas untuk salat.

Kalau menganggap salat tidak fardhu, maka dia telah jatuh murtad. Kalau dia cuma malas sahaja, maka imannya tidak sempurna, tetapi bukanlah sampai tidak beriman langsung.

2. Apakah yang terhapus? Semua amalan atau salat itu sahaja?

Ada yang berpendapat:

🔽majaz (seolah-olah) sahaja, atau

🔽 hampir-hampir, atau

🔽 amalan itu tidak sempurna, atau

🔽 amalan itu tidak dapat menyelamatkannya dari neraka. Dia akan dimasukkan ke neraka dahulu, barulah dipakai pahala dari amalannya itu, atau

🔽 pahala yang terhapus adalah salat hari itu sahaja.

🔽 dia tidak mendapat keseluruhan pahala salat kerana dia tidak buat di awal waktu. Hanya akan mendapat pahala yang penuh kalau dia buat di awal waktu.

🔽 amalan kebajikan lainnya akan terhapus. Sebagai contoh, kalau dia lewat salat itu kerana perniagaannya, keuntungan perniagaannya itu tiada keberkatan.

Ringkasnya, janganlah tinggalkan salat Asar. Itu sahaja yang kita perlu ingat kerana salat Asar ini bahaya kerana ia waktu yang kita sedang sibuk dengan kehidupan seharian kita. Sibuk untuk menyiapkan kerja, kemudian sibuk untuk balik ke rumah. Kerana sibuk dengan dunia, maka ada yang sampai terlupa salat Asar.

✍🏻 Salat Asar itu sangat penting sampaikan Allah ‎ﷻ menyebut khusus salat ini di dalam Qur’an (Al Baqarah: 238).

حافِظوا عَلَى الصَّلَواتِ وَالصَّلاةِ الوُسطىٰ
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar),

Tafsir:

Ulama’ mengatakan bahawa Salat Wusta yang disebut dalam ayat ini adalah Salat Asar berdasarkan hadis:

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ
لَمَّا كَانَ يَوْمُ الْأَحْزَابِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَلَأَ اللَّهُ قُبُورَهُمْ وَبُيُوتَهُمْ نَارًا كَمَا حَبَسُونَا وَشَغَلُونَا عَنْ الصَّلَاةِ الْوُسْطَى حَتَّى غَابَتْ الشَّمْسُ

Nabi ﷺ menjelaskan melalui Ali bahawa ketika perang Ahzab, dikatakan oleh baginda,” Kami dilalaikan (oleh musuh) dari salat wusta, iaitu salat ‘asar. Semoga Allah memenuhi rumah – rumah dan kuburan mereka dengan api neraka.”
(HR. Muslim, I/205, 437 dan 627).


3. Waktu Maghrib

Waktu Maghrib bermula apabila matahari telah terbenam sepenuhnya. Iaitu cakera/sfera matahari yang bulat itu telah terbenam sepenuhnya di ufuk.

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ سَعْدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ، قَالَ قَدِمَ الْحَجَّاجُ فَسَأَلْنَا جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الظُّهْرَ بِالْهَاجِرَةِ، وَالْعَصْرَ وَالشَّمْسُ نَقِيَّةٌ، وَالْمَغْرِبَ إِذَا وَجَبَ‏.‏

527. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar berkata, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ja’far berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Sa’ad bin Ibrahim dari Muhammad bin ‘Amru bin Al Hasan bin ‘Ali berkata, “Al Hajjaj datang, lalu kami bertanya kepada Jabir bin ‘Abdillah (tentang waktu-waktu sembahyang). Maka beliau menjawab, “Nabi ﷺ selalu melaksanakan salat Zuhur ketika betul-betul tengah hari, salat ‘Asar pada ketika matahari masih suci bersih, salat Maghrib ketika matahari telah terbenam.
(Sahih Bukhari no 527).

Waktu Maghrib masih ada selagi terdapat warna mega merah.

✍🏻 Dalilnya:

ُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ

Hadis: “Waktu Maghrib ialah selagi tidak hilang syafaq ahmar (mega merah)”.
(Sahih Muslim no. 966)

Oleh kerana waktu mega ini tidak lama, maka salat Maghrib memang perlu disegerakan. Ia tidak seperti salat-salat lain yang lebih panjang waktunya.


4. Waktu Isyak

Waktu Isyak adalah dari mula habisnya mega merah itu (malam gelap) hingga ke pertengahan malam. Sebenarnya waktu berakhirnya Salat Isyak ini terdapat tiga pandangan di kalangan ulama’:

⚫ Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam.

Pandangan ini diutarakan oleh Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله dan Imam Ahmad رحمه الله serta segolongan ulama’ yang lain.

⚫ Kedua; sebelum berakhir separuh malam.

Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah رحمه الله.

⚫ Ketiga; sehingga terbit fajar sadiq.

(nanti akan diterangkan apakah fajar ini).

1) Pandangan pertama (sepertiga malam)

Pandangan pertama mengatakan sepertiga malam, berdalilkan hadis dari Buraidah رضي الله عنه yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah ﷺ tentang waktu salat.

✍🏻 Dalilnya;

ٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ……..ِ ثُمَّ أَمَرَهُ بِالْعِشَاءِ فَأَقَامَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ ثُمَّ أَمَرَهُ مِنْ الْغَدِ ….. ثُمَّ أَمَرَهُ بِالْعِشَاءِ فَأَقَامَ حِينَ ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ ثُمَّ قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ عَنْ مَوَاقِيتِ الصَّلَاةِ فَقَالَ الرَّجُلُ أَنَا فَقَالَ مَوَاقِيتُ الصَّلَاةِ كَمَا بَيْنَ هَذَيْنِ

Mengenai salat Isyak, Buraidah رضي الله عنه menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah ﷺ melakukan salat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya… Kemudian, baginda menjelaskan kepada lelaki yang bertanyakan waktu salat; “Waktu salat ialah di antara dua waktu tersebut”.
(Sunan Tirmizi, no. 140. Abu Isa berkata; “Hadits ini darjatnya hasan gharib shahih”).

2) Pandangan kedua (separuh malam)

✍🏻 Berdalilkan sabda Nabi ﷺ;

َ أَخَّرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِشَاءَ ذَاتَ لَيْلَةٍ إِلَى شَطْرِ اللَّيْلِ أَوْ كَادَ يَذْهَبُ شَطْرُ اللَّيْل

“..Suatu malam Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengakhirkan shalat isya` hingga separah malam atau nyaris separah malam berlalu, ..”

(Sahih Muslim no. 1012, juga terdapat dalam riwayat Abu Daud dan An-Nasai dari Ibnu Umar رضي الله عنهما)

Imam Ibnu Qudamah رحمه الله dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan salat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…”
(al-Mughni, 1/275).

3) Pandangan ketiga

Berdasarkan hadis ini:

أَمَا إِنَّهُ لَيْسَ فِي النَّوْمِ تَفْرِيطٌ إِنَّمَا التَّفْرِيطُ عَلَى مَنْ لَمْ يُصَلِّ الصَّلَاةَ حَتَّى يَجِيءَ وَقْتُ الصَّلَاةِ الْأُخْرَى

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian (meremehkan salat). Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan salat (dengan sengaja) hingga masuk waktu salat yang lain”
(Sahih Muslim no. 1099 dan Sunan Abu Daud no. 373).

Syarah:

Akan tetapi pandangan ini agak lemah kerana kalau kita katakan waktu salat itu sehingga ke waktu salat yang seterusnya, maka tentulah salat Subuh pun boleh sampailah ke waktu Zuhur. Adakah kita pernah lihat orang salat Subuh pada pukul 11 tengah hari? Tentu tidak ada, bukan?

Hadis riwayat Muslim itu hanya memberitahu tentang berdosa kalau melewatkan salat sampai terkeluar dari waktunya. Akan tetapi, memang ada pendapat mazhab yang mengharuskan salat Isyak selepas tengah malam. Antaranya pendapat Mazhab Asy-Syafi’iy.

Secara ringkasnya dalam Mazhab Syafi’iy, keseluruhan waktu salat terbahagi kepada empat;

1) Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.

2) Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

3) Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu salat yang lain kecuali Subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

4) Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh salat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat salat. Salat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhannya dikira qadha’.


5. Waktu Subuh

Waktu subuh adalah dari terbitnya fajar sadiq sehingga terbitnya matahari. Fajar Sadiq ini juga disebut ‘fajar kedua’. Maksudnya Fajar yang benar. Cahayanya menyebar di ufuk. Fajar yang pertama disebut Fajar Kaazib (Fajar Tipu).

img_20190308_001143_7902079293008.jpg

Ini ☝️ adalah fajar kaazib. Belum masuk waktu subuh lagi. Kalau kita perhatikan, cahaya sudah keluar tetapi ia menaik ke atas.

Ini barulah Fajar Sadiq. Kalau kita lihat cahayanya pun sudah lain. Cahayanya lebih menyebar dan tidak naik ke atas.

Bagaimana pula kalau dapat hanya satu rakaat sahaja subuh atau asar?


☘️SESI SOAL JAWAB KELAS☘️
=========================

1. Adakah puak anti hadis tidak belajar mentafsir Al-Quran dan menyebabkan mereka tersalah tafsir?

🔵 Mereka ada belajar, belajar sendiri, buat fahaman sendiri dan buat agak-agak sendiri. Mereka mengikut kaedah sendiri.

Memang bahaya sebab mereka itu pandai, tetapi memandai sendiri.

Mentafsir kenalah difahami dengan fahaman Nabi Muhammad yang kena pakai hadis. Dah mereka menolak hadis, kenalah pakai akal.

2. Sekiranya panjang bayang-bayang matahari itu 2cm adakah belum masuk waktu Zuhur?

🔵 Itu contoh sahaja.

Negara kita matahari tidak tepat atas kepala. Jadi sentiasa ada bayang-bayang. Maka kena tengok berapa panjang bayang-bayang itu. Saya beri contoh 2cm itu sahaja. Mungkin sahaja lebih panjang atau pendek.

3. Bagaimana pula jika awan gelap?

🔵 Malaysia ini tidaklah awan gelap sangat sampai tiada langsung matahari.

4. Adakah kita boleh menunaikan salat kalau kita yakin sudah masuk waktu tetapi belum mendengar azan di surau?

🔵 Ya

5. Adakah terdapat wirid selepas salat seperti salat fardu Zuhur atau salat fardu yang lain ?

🔵 Zikir sama sahaja seperti salat-salat yang lain.

6. Adakah sah salat jika memakai jubah, seluar yang labuh dan longgar serta memakai stokin untuk wanita?

🔵 Itu sudah menutup aurat.

7. Apakah contoh perkara yang harus bersebab untuk melewatkan salat?

🔵 Tanpa bersebab pun tidak mengapa. Jika masih ada waktu lagi untuk salat.

Tetapi berdasarkan dalil, pendapat ini tidak kuat.

8. Adakah perlu berada di bangunan yang tinggi untuk melihat fajar kaazib?

🔵 Ketika berada di tempat biasa juga boleh nampak. Mungkin kita tidak nampak sebab:

a. Banyak bangunan halang pandangan.

b. Kita selalunya masih tidur pada waktu ni, dan tidak tengok ke langit.

9. Adakah terbitnya matahari ini dipanggil waktu syuruq?

🔵 Syuruq artinya terbit. Tetapi jika salat syuruq, dilakukan apabila matahari sudah tinggi segalah.

Syuruq adalah apabila matahari sudah keluar sepenuhnya. Fajar pula adalah apabila sudah keluar cahaya.

10. Adakah Salat Syuruq dan Salat Isyraq sama?

🔵 Ya, sama.

11. Ketika bermusafir dan telah melakukan salat jama’ qasar takdim. Saya solat Isyak pada waktu Maghrib. Kemudian terlupa dan melakukan salat dengan imam salat tamam, adakah boleh mengubah niat salat ketika itu kepada salat sunat witir?

🔵 Boleh menukar niat tetapi menukar kepada salat sunat mutlak sahaja. Tidak boleh khususkan salat sunat seperti salat witir.

 

🌺🌼🌺🌼🌺🌼🌺🌼🌺🌼🌺🌼🌺

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s