Sisa minuman yang suci

Sisa minuman yang suci

1. Sisa minuman manusia.

Sisa makanan dan minuman manusia tidak najis walaupun mereka itu adalah orang kafir kerana mereka tidak najis.

Cuma yang najis adalah akidah mereka. Ini penting kerana ada salah faham sehingga hendak berjabat tangan dengan orang kafir terasa takut. Ada yang menyangka berjabat tangan dengan orang kafir itu sampai membatalkan wuduk. Tidaklah begitu.

Ini adalah salah penafsiran terhadap ayat Tawbah:28

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini;

Syarah: Hanya yang najis adalah akidah mereka. Bukannya tubuh badan mereka.

Islam juga tidak menganggap perempuan yang di dalam haidh sebagai najis atau kotor.

✍🏻Rasulullah pernah meminum sisa minuman ‘Aisyah ketika dia sedang haid, bahkan bibir baginda pun diletakkan tepat pada tempat bibir ‘Aisyah sebelumnya.”
(HR. Muslim)

Ini berlawanan dengan agama lain seperti Yahudi, contohnya yang menjauhkan wanita dari orang lain semasa wanita itu di dalam haidh. Sampaikan tidak boleh duduk makan sekali.

Orang kita juga mungkin ada yang tersalah faham kerana apabila seseorang itu sedang haidh, dia berkata: “saya dalam kotor”. Bila mengunakan kalimah ‘kotor’ agaknya mungkin itu punca ada yang salah sangka.

📍Oleh itu, kita perlulah tahu membezakan di antara najis maknawi (figuratif) dan najis haqiqi (memang betul-betul najis). Kalau dikatakan orang kafir itu najis, ia adalah najis maknawi sahaja (dari segi makna), bukan haqiqi (bukanlah mereka benar-benar najis).

2. Sisa minuman haiwan yang boleh dimakan dagingnya

Ini kerana di dalam syarak, binatang yang boleh dimakan, tubuh mereka bukanlah najis. Maka bekas jilatan mereka juga tidak najis. Haiwan seperti kuda, lembu, burung dan lainnya.

Sebab hukum asal semua binatang adalah suci sehinggalah ada dalil yang menjelaskan kenajisannya.

3. Sisa air minuman kucing.

Kucing tidak boleh dimakan tetapi sisa minuman mereka bukan najis.

✍️Dalam Riwayat Bukhari ada disebut:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ الْقَعْنَبِيُّ عَنْ مَالِكٍ عَنْ إسحاق بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ عَنْ حُمَيْدَةَ بِنْتِ عُبَيْدِ بْنِ رِفَاعَةَ عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ وَكَانَتْ تَحْتَ ابْنِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ دَخَلَ فَسَكَبَتْ لَهُ وَضُوءًا فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ فَأَصْغَى لَهَا الانَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ قَالَتْ كَبْشَةُ فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ أَتَعْجَبِينَ يَا ابْنَةَ أَخِي فَقُلْتُ نَعَمْ فَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّهَا مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ

75 – `Abdullah bin Maslamah Al-Qa`nabi meriwayatkan kepada kami daripada Malik daripada Ishak bin `Abdillah bin Abi Thalhah daripada Humaidah binti `Ubaid bin Rifa`ah daripada Kabsyah binti Ka`b bin Malik – beliau ialah isteri kepada anak Abi Qatadah – bahawa Abu Qatadah telah masuk ke rumahnya lalu beliau (Kabsyah) pun menuangkan air wudhu’ kepadanya. Tiba-tiba datang seekor kucing terus sahaja kucing itu meminum air dari bekas itu. Dia pun menyenggengkan bekas tersebut supaya kucing itu dapat minum. Kabsyah berkata: Abu Qatadah pun melihat aku memerhatikan kepadanya maka dia pun berkata: “Adakah engkau berasa hairan wahai anak saudaraku”? Maka aku pun mengiyakannya. Abu Qatadah pun berkata berkata bahawa Rasullullah SAW berkata “Sesungguhnya” kucing itu bukan najis, ia ialah sebahagian (binatang) yang lalu-lalang di antara kamu dikalangan lelaki dan perempuan”

Sekian bab sisa minuman yang suci. Sekarang kita lihat pula sisa minuman yang tidak suci pula.


🍀 SESI SOAL JAWAB KELAS KE-6 ☘️
========================

1) Mengapakah daging keldai dianggap najis?

🔵 Daging keldai dianggap najis kerana ia kotor.

Hal ini sebagaimana maksud hadith berikut:
وَعَنْهُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : لَمَّا كَانَ يَوْمُ خَيْبَرَ أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَلْحَةَ فَنَادَى إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ الْأَهْلِيَّةِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Dari Anas Ibnu Malik رضي الله عنه, dia berkata: “Ketika hari perang Khaibar Rasulullah ﷺ memerintahkan Abu Thalhah, kemudian menyeru: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang engkau sekalian memakan daging keldai negeri (bukan yang liar) kerana ia kotor.” (Muttafaq Alaihi)

2) Adakah status tulang, bulu dan tanduk yang kering tetap najis?

🔵 Jika tulang, tanduk, atau bulu itu kering, ia tidak memindahkan kekotoran.

3) Adakah daging haiwan yang ditunggangi seperti kuda juga tidak boleh dimakan?

🔵 Tidak. Hanya keldai sahaja. Kuda boleh dimakan.

4) Adakah tulang yang dimaksudkan ini adalah dari haiwan buas atau keldai?

🔵 Maksudnya tulang dari binatang yang najis. Keldai dan babi pula dari binatang buas.

5) Benarkah orang kafir tidak boleh menghampiri Masjidil Haram dan bagaimana pula dengan masjid di tempat kita?

🔵 Benar, orang kafir tidak boleh menghampiri Masjidilharam. Namun masjid di tempat kita mereka digalakkan masuk.

6) Adakah benar memakan daging unta membatalkan wudhu’ dan apakah hikmahnya?

🔵 Ya, benar. Namun hikmahnya saya tidak tahu. Bukan semua perkara ulama’ tahu. Hikmah ini pun adalah ijtihad ulama’ sahaja. Yang pasti ada dalil mengatakan bahawa ia membatalkan wudhu’. Tetapi sebabnya tidak dijelaskan. Cuma ulama’ selalunya akan cuba mencari punca mengapa sesuatu perkara itu dilarang. Tetapi kita harus tahu yang ianya adalah ijtihad sahaja.

7) Sisa air minuman kucing bukan najis, adakah arnab juga boleh dikiaskan seperti kucing?

🔵 Arnab adalah haiwan yang boleh dimakan jadi bekas jilatannya tidak najis. Manakala kucing dikhususkan di dalam hadith kerana kucing tidak boleh dimakan namun sisa air minumannya tidak najis.

8) Apakah hikmah kucing disebut di dalam hadith?

🔵 Kerana kucing adalah haiwan yang tinggal bersama kita dan susah untuk di kawal.

9) Adakah perbahasan mengenai jenis-jenis lalat?

🔵 Tiada. Sama hukum untuk semua jenis lalat.

10) Adakah roti yang telah ditebuk tupai masih boleh dimakan?

🔵 Jumhur ulama mengatakan yang tupai halal dimakan maka sisa tupai tidak najis.

11) Adakah perlu ada niat lain ketika berwudhu’ jika menggunakan satu mud air bagi mengelakkan air menjadi musta’mal?

🔵 Tidak perlu. Ianya menyusahkan dan menambah benda yang tidak perlu. Memadai dengan terus mencelupkan tangan sahaja.

12) Bolehkah kita mengambil wudhu’ seperti cara menyapu khuf, walaupun tanpa keuzuran, kesulitan mahupun bermusafir contohnya ketika di rumah?

🔵Boleh. Jika tidak musafir boleh dipakai khuf selama sehari. Kalau bermusafir boleh dipakai khuf selama tiga hari berturut-turut.

13) Bolehkah menyapu kasut dan terus ke stokin jika wudhu’ terbatal semasa memakai kasut biasa yang tidak melebihi buku lali dan berstokin?

🔵 Boleh sahaja menyapu di atas stokin atau kasut, tetapi stokin mestilah menutup buku lali kerana hukum khuf ini ialah memakai kasut kulit yang menutupi buku lali, ianya bukan kasut biasa.

14) Apakah hukum air di dalam tangki “stainless steel” yang dipasang di sesetengah rumah itu di kira air musyammas?

🔵 Ianya air mutlak yang boleh digunakan. Suci lagi menyucikan. Pendapat yang mengatakan ianya air musyammas adalah tidak kuat hujahnya.

15) Beberapa bulan yang lepas, sebatang anak sungai berubah menjadi bewarna biru akibat lepasan sisa air buangan dari sebuah kilang. Adakah ini dikira sebagai air ajin?

🔵 Ini sudah terlalu banyak bahan pewarna. Jika sudah tiada air lain, bolehlah dipakai.

16) Apakah maksud air muqayyad?

🔵 Air muqayyad adalah air campuran bahan suci seperti air kopi, suci tetapi tidak boleh dipakai untuk berwudhu’.

Kalau muqayyad musfaq pula, ia semacam air perigi bercampur dedaunan, maka ia boleh.

17) Adakah keputihan itu bukan wadi dan apakah hukumnya?

🔵 Allahu a’lam. Banyak sekali pendapat ulama’ yang saling berbeza di dalam hal ini.

Saya memilih pendapat bahawa, ianya tidak najis. Kerana keputihan adalah perkara lazim bagi wanita dari zaman Nabi sendiri tetapi tidaklah ada hadith yang mengatakan ianya najis dan membatalkan wudhu’.

18) Sekarang ini tikus sedang mengamuk di kejiranan saya. Habis digeriknya barang-barang termasuk bungkusan tepung saya juga ditebuknya. Saya buangkan sahaja bahagian tepung yang berhampiran bekas tebukan itu. Bolehkah saya menggunakan tepung yang selebihnya?

🔵 Ya boleh dipakai lagi. Hadith riwayat Maimunah رضي الله عنها Rasulullah ‎ﷺ ditanya tentang bangkai tikus yang terdapat di dalam minyak sapi, lalu baginda bersabda:

ألقوها وما حولها وكلوه

Maksudnya: “Buangkan ia (tikus itu) dan apa yang di sekelilingnya, dan makanlah ia (minyak sapi itu).
Direkod oleh Bukhari (no: 5218)

19) Kawasan perumahan tempat saya tinggal selalu terjadi masalah kekurangan air. Bolehkah saya gunakan air yang hanya tinggal satu bekas baldi utk berwudhu’ dan sahkah solat saya nanti?

🔵 Ya, air satu baldi itu boleh dipakai untuk berwudhu’. Sah untuk solat.

20) Jika kita khuwatirkan makanan itu membahaya di sebabkan kencing tikus maka bolehkah kita membuang makanan dan air itu?

🔵 Boleh.

21) Tikus sekarang adalah haiwan pembawa penyakit, bolehkah kita makan makanan yang sudah tercemar seperti soalan di atas?

🔵 Kita hanya menyebut dari segi hukum. Kalau berbahaya dari segi kesihatan, maka baik dibuang sahaja.

Kalau nampak dia hanya menggigit di bahagian luar sahaja, bahagian dalam masih selamat lagi.

22) Saya anti betul dengan tikus disebabkan penyakit yang dibawanya. Saya pernah pasang perangkap dan berjaya tangkap tikus. Cuma yang menjadi masalah macam mana hendak bunuh tikus. Oleh kerana tidak sanggup bunuh, akhirnya kami lepas di padang. Apakah cara terbaik untuk bunuh tikus? Bolehkah letakkan racun dalam makanan tikus?

🔵Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yag artinya :
” … Apabila kalian membunuh, maka lakukanlah dengan cara yang baik … ” ( HR. Muslim)

Maka jangan lemaskan atau bakar kerana itu menyeksa. Boleh letak di dalam guni dan pukul dengan segera sampai mati. Racun menyebabkan tikus akan lama terseksa.

23) Berkenaan najis ringan, bagaimana jika anak lelaki itu ada disisipkan air masak atau air mineral tetapi bukan berterusan, hanya sementara susu si ibunya belum ada. Adakah masih dikira najis ringan ?

🔵Boleh berikan kerana itu tidak dikira makan selain dari susu ibunya.

24) Minta pandangan ustaz. Apakah tindakan terbaik untuk dilakukan jika kita bekerja di restoran makanan segera dan tahu pihak atasan mengamalkan perniagaan tidak telus seperti menipu pelanggan untuk melariskan sesuatu produk? Pekerja bawahan berasa terpaksa menipu juga untuk mencapai target yang diberi. Adakah dalam soal mencari rezeki yang diberkati cara begini dibolehkan walaupun ada yang berpendapat itu strategi bisnes?

🔵Tidak boleh. Kena tegur dan kalau tegur tidak berkesan, kena tinggalkan cari kerja lain.

25) Adakah benar jika dari segi berpakaian walaupun bertudung tetapi masih menampakkan bentuk badan itupun dikira tidak menutup aurat dengan sempurna dan mempengaruhi keberkatan rezeki?

🔵Ya benar. Aurat kena baju longgar.

26) Berkenaan bahagian bangkai yang suci. Selain tulang, kuku, tanduk, sumbu, gading, huf/telapuk dan gigi haiwan. Adakah kasturi/buntat haiwan serta bulunya perlu disamak dahulu sebelum dimanfaatkan sebagaimana kulitnya atau boleh sahaja cucian biasa sebagaimana kulit ayam dan lembu?
Kasturi atau buntat yang digunakan untuk buat minyak wangi dan biasanya ada pada kijang dan rusa.

🔵Tidak perlu samak.

27) Baru tahu rupanya, “kasturi” yang selalu keluar kat lirik lagu, atau yang diterjemah dari hadis perkataan “الْمِسْكِ” itu adalah wangian minyak kasturi yang diperbuat dari haiwan. Saya fikirkan dari limau kasturi.

🔵 Ini sebab kadang kadang di hutan ada bau wangi tetapi itu bukan hantu, bau kasturi dari kijang itulah dan english jadi ‘musk’. Allah SWT juga sebut tanah di syurga nanti adalah kasturi. Jadi tengoklah bentuk kasturi yang macam pasir itu. dapatlah bayangkan tanah syurga yang wangi.
Dalam sebuah hadis lain diceritakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tanah syurga itu licin putih, kasturi murni.” (Hadis riwayat Muslim).

28) MashaAllah tidak sangka bau wangi kasturi itu dari kijang rupanya.

🔵Biasa sahaja jika orang keliru sebab tidak tahu. Macam dulu kisah kubur para habib di Yaman berbau wangi. kecoh habis tetapi selepas disiasat sebab ada pokok bunga tengah kembang dan bau wangi. Mudah dan senang sahaja kena tipu.

29) Adakah binatang selain kijang ada bau wangi?

🔵Dalam dunia ini, hanya terdapat lima jenis haiwan yang menghasilkan kasturi iaitu kijang jantan, lembu, musang, kura-kura dan tikus (tikus jenis tikus muskrat (Ondatra zibethicus). Paling populer adalah kasturi kijang jantan yang hidup di pergunungan Himalaya.

30) Bukan semua lembu sebab tidak pernah lagi berbau harum lembu ni walau hari-hari jumpa.Adakah duduk sebelah dengan kijang boleh dapat mencium bau wangi itu?

🔵Ya, tidak tahulah jenis lembu yang mana. Mungkin tidak sebab dia akan keluarkan kasturi itu sebab hendak tanda tempat dia.

31) Adakah boleh, kalau bunuh kijang semata-mata untuk dapatkan pewangi dan jadikan itu mata pencariannya?

🔵Boleh kerana kasturi adalah produk berasal dari kijang. Maksudnya boleh makan kijang itu seperti kita ambil kulit lembu dan makan daging lembu itu. Kasturi itu diambil dari kelenjar dia. Jika hendak dapat 1kg kasturi, dalam 30 kijang sebab itu dulu 1kg kasturi, harganya 2kg emas sebab susah hendak dapatkan.

32) Jika kawasan perumahan kita jauh dari masjid bolehkah membeli jam dinding yang mengalunkan azan dan zikir sebagai penentu waktu solat?

🔵Boleh

33) Adakah boleh digunakan untuk kegunaan harian jika air itu kelihatan bersih tetapi ada parasit? Kalau kita sekadar syak atau mahu mengelak dari risiko, bolehkah bertayammum?

🔵Jika sudah tahu bahaya jangan pakai. Kalau tidak ada air lain, boleh tayammum namun kena berusaha cari air lain dahulu.

34) Bolehkah bertayammum sahaja walaupun ada air?

🔵Tidak boleh. Kalau istinjak, boleh pilih pakai air atau batu tetapi wuduk tiada pilihan. Kalau ada air, kena pakai air.

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s